Sunday 31 January 2010

Apresasi Novel Dunia oleh S.N. Datuk A. Samad Said.


SN Datuk A. Samad Said akan hadir dalam acara, Apresasi Novel Dunia pada 6 Feb. ini.


Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan mengadakan sebuah acara bersama-sama Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said pada hari Sabtu 6 Feb. 2010 bertempat di Dewan Kenanga, Bangunan MPSJ, Subang Jaya (USJ 5). Majlis akan bermula jam 9.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari. Acara itu dinamakan, 'Apresasi Novel Dunia oleh SN Datuk A.Samad Said.' Ianya akan diisi dengan ceramah Datuk A. Samad Said membicarakan kenapa beliau membaca berulang kali novel Dr. Zhivago karya sasterawan besar Russia, Boris Pasternak.


Pengalaman dan minat A.Samad Said membaca berulang kali novel itu amat luar baisa sekali. Kebiasaannya pembaca hanya membaca sekali atau dua kali sesebuah novel. Tentu ada sesuatu yang istimewa di sebalik yang tersirat dalam karya itu. Justeru itu, Paksi berpendapat bahawa pengalaman Pak Samad itu harus dikongsi bersama dengan khalayak yang lain.


Pak Samad sebagai Sasterwan Negara membaca karya pengarang Russia berulang kali adalah merupakan satu penghormatan kepada pengarang Rusia itu. Sehubungan dengan itu Paksi turut mengundang Dr. V. Pogadev seorang ahli akademik berbangsa Rusia dari Universiti Malaya untuk sama-sama dalam acara ini.


Majlis itu adalah tajaan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan pengisiannya dilaksanakan oleh Paksi. Sesungguhnya kita perlukan Majlis-Majlis Perbandaran seperti ini untuk menyemarak dan merakyatkan lagi bidang kesusasteraan. Kali ini Paksi membawa kesusateraan antara bangsa iaitu novel karya pengarang dari Rusia. Ianya sekali gus menjadi titik mula satu fasa baharu dalam dunia kesusasteraan dan budaya kita. Paksi tidak hanya melihat sastera tempatan tetapi sudah melangkau sempadan antara bangsa.


Majlis ini adalah percuma dan semua rakyat jelata terutama para sasterawan dan budayawan Selangor dan Kuala Lumpur diundang untuk menghadiri majlis ini. Datanglah beramai-ramai, kita sama manfaatkan majlis yang amat berfaedah ini. Terima kasih.

Saturday 30 January 2010

Isu, 'Ekspres Pelesit.'

Tadi malam saya diundang menjadi panel dalam program ISU terbitan RTM 1, jam 10 - 11 malam. Saya mewakili Persatuan Pengusha Bas SeMalaysia, digandingkan dengan Timbalan Ketua Trafik Bukit Aman, Tuan Fuad Abd. Latiff.


Tajuk Isu itupun kurang selesa kerana bertajuk, 'Ekspres Pelesit'. Ungkapan itu mungkin diambil terus daripada laporan sebuah akhbar harian yang membuat pendedahan terhadap sikap para pemandu bas ekspres yang dianggap mereka bagaikan 'pelesit.' Pelesit umumnya digambarkan sebagai perkara yang negatif. Pelesit ialah sejenis belalang kecil yang menghisap darah. Jadi saya kira kurang sesuai digunakan perkataan itu untuk pemandu-pemandu bas ekspres yang seolah-olah melihat kepada yang negatif sahaja. Syukur, perbincangan berjalan lancar dan sempurna dikendalikan oleh pengacara yang manis Wan Saharani. Lagipun pihak polis tidak 'belasah' kami, sebaliknya melihatkan keprihatinan pihak polis terhadap masalah pengusaha dan pemandu.


Secara peribadi, saya tidak menafikan bahawa ada segolongan pemandu bas ekspres yang kaki pecut bagaikan 'pelesit' gamaknya. Seperti kata Datuk Sulah, Ketua Pengarah JPJ, kita tidak semestinya memfokuskan satu aspek sahaja iaitu 'pemandu' kerana ada aspek-aspek lain yang menyumbang kepada masalah itu.


Aspek jalan raya, peralatan keselamatan sepanjang jalan raya, gaji rendah, bayaran trip, payahnya mendapat pemandu dan aspek penguatkuasaan juga menyumbang kepada masalah ini. Pihak polis yang mengambil kesempatan menyenaraihitamkan pengusaha atas kesalahan pemandu berlarutan dan menjadi sungutan kepada pengusaha. Cara begini tidak akan memberi pengajaran kepada pemandu yang membuat kesalahan kerana mereka tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh penguatkuasa. Orang lain yang membuat salah, orang lain yang dihukum. Fenomena ini masih berterusan tanpa apa-apa penyelsaian.


Apapun semua orang terpaksa mengambil tanggungjawab ini. Pengusaha harus mengambil pemandu yang berhemah, tidak ada rekod kesalahan trafik dan jenayah. Adakan kursus pemanduan berhemah pada sekala yang berpatutan. Pihak polis jangan buat kerja mudah, paling senang senaraihitamkan pengusaha, minta mereka bayar saman yang kesalahan dilakukan oleh para pemandu, kes selesai. Akan tetapi, ia mungkin selesai dalam fail polis, bagaimana pula sikap pemandu yang terlepas daripada sebarang hukuman itu?


Kita kurang faham apakah maksud sebenar denda atau kompoun yang dikenakan kepada pesalah trafik. Tujuannya ialah sebagai pengajaran supaya tidak melakukan kesalahan itu lagi.

Tetapi apabila kompoun atau denda boleh diberikan diskaun bagaikan barangan di Supermarket, adakah ianya akan berkesan kepada pesalah sebagai pengajaran? Apakah matlamat pihak penguatkuasa mengenakan denda? Dalam aspek ini ianya lebih menampakan bahawa denda atau kompoun itu sebagai 'revenew' atau hasil yang dipungut untuk jabatan masing-masing. Justeru, berlakulah perlumbaan untuk mendapat kutipan tertinggi melalui denda itu bagi agensi penguatkuasa masing-masing. Ianya menjadi sumber hasil, bukan penderaan atau hukuman terhadap para pesalah. Natijahnya, pesalah tidak berasa serik dan terus melakukan kesalahan kerana kompoun boleh mendapat diskaun! Mereka hanya akan patuh peraturan lalu-lintas sekiran ada anggota penguatkuasa di situ. Mereka hanya mematuhi undang-undang apabila diperhatikan, bukan mematuhi undang-undang kerana ianya suatu peraturan.


Ini berlaku bukan sahaja di kalangan pemandu-pemandu bas ekspres sahaja. Ianya dilakukan juga oleh pemandu-pemandu kenderaan persendirian lain, penunggang motosikal dan lain-lain.

Pokoknya, kita sebagai warga yang bertanggungjawab seharusnya mendisplinkan diri, menjadi warga yang patuh kepada peraturan dan undang-undang. Walahualam!


Hari ini Thaipusam, kepada penganut Hindu saya ucapkan selamat menyambut Hari Thaipusam. Biarkan mereka dengan agama mereka, kita dengan agama kita.

Isu, 'Ekspres Pelesit.'

Tadi malam aku diundang menjadi penel dalam progran ISU terbitan RTM 1

Friday 29 January 2010

Rancangan Isu di RTM 1 malam ini

Malam ini, Jumaat 29 Januari 2010, aku diundang sebagai ahli panel membincangkan masalah bas ekspres yang diberi tajuk, ' Ekspres Pelesit.' Perkara ini ditimbulkan oleh Utusan Malaysia dan mendapat liputan selama tiga hari memfokuskan perkara itu. Aku diundang atas kapasitiku sebagai Timbalan Presiden Pan Malaysian Bus Opretators' Associations (PMBOA). Khabarnya pegawai polis trafik juga ada sama.

Perbincang tersebut dalam Rancangan ISU di RTM 1 bermula jam 10 hingga 11 malam. Satu jam, OO banyak juga boleh dibicarakan. Kawan-kawan, boleh le menonton RTM 1 malam ini, lihat bagaimana saya berhujah agaknya.

Wednesday 27 January 2010

Cerpen dalam Mingguan Malaysia Ahad 24 Jan. 2010.


Ini cerpen saya yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia Ahad 24 Jan 2010 lalu. Saya siarkan di dalam blog ini bagi dimanfaatkan para sahabat an pembaca yang terlepas membeli akhbar mingguan tersebut. Terima kasih kerana membaca.
Cerpen

Imam Wahab
Oleh RAZALI ENDUN


Hj Joned amat tidak setuju sekali cara imam baru masjid di kampungnya mengimamkan sembahyang. Sembahyangnya tidak mengikut tradisi orang-orang kampung bersolat. Banyak yang tidak kena dengan cara sembahyangnya. Orang kampung menjadi keliru. Cara sembahyang imam baru ini tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kampungnya. Sudah ada yang melabelkan imam itu membawa ajaran sesat.

Jadah apakah imam ini berkelakuan pelik seperti itu. Dia semacam mahu mengharu- birukan masyarakat kampung yang sekian lama aman tenteram dengan cara sembahyang yang diamalkan sejak nenek moyang mereka lagi. Cara imam itu sembahyang berlainan benar dengan cara turun temurun masyarakat kampungnya bersolat selama ini. Yang menghairankan Hj. Joned, kenapa Pejabat Agama melantik imam muda ini menjadi imam di kampungnya?

Setakat mengimamkan sembahyang, Hj Joned pun boleh dan mampu melakukannya. Selepas imam masjid itu meninggal dunia, Hj Jonedlah yang mengimamkan solat di masjid itu secara sukarela sebelum imam baru ini sampai. Sebelum itu jemaah masjid kampung itu diimamkan oleh imam Shafie selama 20 tahun lamanya. Selepas kematian imam Shafie, Pejabat Agama berpendapat tidak ada calon di kalangan orang kampung yang layak.

Hj. Joned pernah dicalonkan untuk mengisi kekosongan itu. Dia pernah menghadiri temu duga di pejabat agama bagi mendapatkan tauliah. Akan tetapi dia tidak lulus temu duga itu kerana sudah terlalu tua. Usianya sudah 85 tahun. Kesemua giginya sudah luruh. Mulutnya terkulum ke dalam. Lidahnya sudah keras, kaku. Tajwidnya sudah tidak tepat. Ikhfaknya sudah tidak jelas. Dengungnya tidak kedengaran. Nafasnya pendek, tidak boleh sampai enam harakat. Sebutannya melalut-lalut.

Lagi pun Hj Joned tidak pernah belajar di mana-mana sekolah agama. Dia hanya belajar dengan guru agama yang mengajar seminggu sekali di kampungnya. Dia banyak belajar melalui pengalaman. Sekolah pondok pun dia tidak pernah masuk. Tidak seperti imam baru itu yang mendapat pendidikan agama di Makkah Al-Mukaramah. Imam baru itu khabarnya belajar mengaji dengan imam Masjidil Haram. Tajwidnya tepat, lagunya sedap, suaranya mantap. Dia kelulusan universiti Jordan dalam bidang Hadis dan Falsafah Islam.

Pada mulanya masyarakat kampung mengalu-alukan kedatangan imam muda itu. Namanya Mohd Wahab bin Abdul Wahhub. Baru 35 tahun usianya. Orang kampung panggil dia, imam Wahab. Sebut sahaja nama imam Wahab orang kampung pasti kenal. Hari pertama hampir penuh satu masjid jemaah mengikuti di belakang imam Wahab. Masing-masing terpesona dengan bacaan ayat-ayat Quran yang sedap dan enak didengar. Yang tidak faham hukum tajwid pun amat tertarik dengan bacaan imam muda itu. Yang mengetahui hukum hakam itu tentu lebih menghayati bacaan imam muda itu. Imam Wahab mendapat sanjungan dan penghormatan luar biasa masyarakat kampung itu.

Hari demi hari masyarakat kampung mulai jadi keliru apabila imam Wahab tidak mengikut tata cara solat orang kampung turun temurun. Hj. Joned pun jadi pelik dengan cara imam itu solat. Doa iftitah pun tidak dibacanya. Terus sahaja baca Fatihah tanpa dimulai dengan kalimah Bismillah. Suatu pagi ketika solat Subuh, imam itu tidak baca doa qunut. Hj Joned fikir tentu dia terlupa. Hj. Joned yang berdiri di belakang imam itu menegurnya dengan ungkapan, “Subanallah!”. Imam Wahab tidak hiraukan teguran Hj. Joned sebaliknya dia terus sujud. Hj. Joned pun ikut sujud sama kerana dia sudah berniat mengikut imam. Mungkin imam itu akan melakukan Sujud Sahwi, fikir Hj. Joned.

Akan tetapi imam muda itu tidak pula melakukan Sujud Sahwi untuk membetulkan kealpaan membaca doa qunut. Yang lebih pelik lagi, selepas memberi salam, imam itu sapu punggung, bagun dan terus pergi. Tidak pernah dia membaca doa selepas sembahayang pun. Berzikir jauh sekali. Imam muda ini melakukan cara-cara yang di luar kebiasaan masyarakat kampungnya bersolat selama ini.

Tatkala imam Shafie mengimamkan jemaah masjid kampungnya dulu, hampir setengah jam berwirid dan berzikir selepas sembahyang fardhu. Kepala imam Shafie terangguk-angguk macam kepala itik ghariah mengawan. Kepala-kepala makmum turut tersentuk-sentuk macam belatuk membuat sarang. Biji tasbih di tangan imam Shafie ligat berputar di hujung jemarinya. Makmum berasa puas, biarpun berlamaan berwirid dan berzikir. Amat berlaianan sekali dengan cara imam Wahab. Cara amal ibadatnya terpesong jauh daripada tradisi amalan masyarakat di kampung itu.

Tambah kalut lagi apabila suatu hari berlaku kematian di kampung itu. Yang meninggal itu kebetulan pula bapa kepada Semail Wakang, Pengerusi JKKK kampung itu. Imam Wahabbi hanya mengimamkan solat jenazah sahaja. Selepas itu dia pulang. Dia tidak pergi ke kubur untuk membacakan talqin pada mayat yang dikuburkan. Tidak menjirus air mawar di atas kubur. Tidak juga dia mahu bertahlil. Tanam pokok kemboja di atas kubur pun dia tidak mahu. Malah menanam batu nisan juga dia anggap sebagai bidaah.

Puas dipujuk, dia masih enggan melakukannya. Kata imam Wahab, dia tidak mahu melakukan perkara bidaah itu. Tidak ada bacaan talqin di atas kubur. Yang mati tetap mati. Tiada siapa boleh beri pertolongan kepada si mati kecuali amalan baik dan ketaqwaan si mati sebelum kematiannya.

Selepas dipujuk, diheret dan dipaksa, imam Wahabbi tetap enggan membacakan talqin. Semail Wakang semakin berang apabila imam Wahab tetap dengan pendiriannya. “Ini tak betul, pak imam. Pak imam sudah melakukan kesalahan berat. Tauliah pak imam boleh ditarik balik,” Semail Wakang mengancam imam Wahab.

“Membaca talqin di atas kubur itu lebih tidak betul daripada tidak membacanya,” tangkis imam Wahab menegakkan pendapatnya. Dia masih enggan bertolak ansur dalam khilaf pandangan para ulama. Baginya tidak ada faedahnya membaca talqin di atas kubur. Perkara itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah. Ianya sekadar menyedapkan hati keluarga dan waris si mati sahaja.

“Tetapi perkara ini sudah berlaku sejak turun temurun lagi. Nenek moyang kami sudah melakukannya. Siapa pak imam mahu menunjuk pandai di sini?” lengking Semail Wakang dengan suara lantang. Tersentak imam Wahab dengan lengkingan Semail itu. Sepanjang usianya, dia tidak pernah ditengking begitu kasar sekali. Apa lagi untuk bersuara lantang seperti itu, belum pernah dilakukannya.

“Tak apa, pak haji Joned boleh sempurnakan bacaan talqin itu,” Imam Wahab menyarankan kepada Semail sebagai jalan keluar. Hj. Joned agak tersentak diminta berbuat demikian. Dia teragak-agak dengan saranan imam Wahab itu. Demi melaksanakan amalan tradisi masyarakat kampung itu, Hj. Joned pun sanggup. Semail Wakang berasa lega kerana jenazah ayahnya disempurnakan dengan bacaan talqin oleh Hj. Joned. Semail Wakang yakin dengan bacaan talqin itu Roh bapanya akan berada di dalam keadaan aman dan tenteram di Alam Barzakh.

Semenjak peristiwa itu orang kampung memandang serong kepada imam itu. Ramai sudah tidak mahu lagi mengimamkan imam yang sudah sesat barat itu. Ada di antara mereka cuba membantah, tetapi belum ada yang berani memprotes terang-terangan. Mungkin mereka berasa ragu tentang hukum hakam itu. Sesetengahnya mahu mengelakkan perpechan berlaku dalam masyarakat kampung itu. Sebab itu dibiarkan sahaja perkara itu berlaku meskipun para makmum sudah berpecah dua.

Semail Wakang semakin tidak sebulu dengan imam Wahab. Imam muda itu sudah melampau. Dia sudah memecah belahkan masyarakat kampung itu. Sudah beratus tahun amalan tradisi keagamaan diamalkan di kampung itu, tiba-tiba dengan kehadirian imam itu segalanya menjadi celaru. Imam itu bukan sahaja cuba mempengaruhi masyarakat kampung itu supaya menerima ajarannya, namun sudah ada pula yang menjadi pengikut setianya. Jelas sekali imam ini membawa perpecahan di dalam masyarakat kampung itu. Semail Wakang tidak boleh terima manusia durjana seperti ini. Imam itu perlu disingkirkan. Dia perlu digantikan dengan imam yang mengikut ajaran tradisi agama masyarakat kampung itu.

Semail Wakang berpakat dengan Hj. Joned mahu singkirkan imam Wahab. Kata Semail, Hj Joned lebih layak menjadi imam di kampung itu daripada imam muda itu. Imam itu umur pun belum setahun jagung, ubun-ubun masih lembut, hingus masih meleleh. Hj. Joned sudah matang. Sudah lebih daripada dewasa. Sudah pikun. Meskipun pelajarannya tidak tinggi, tetapi pengalamannya luas. Nak cari calon lain dalam kampung itu tidak ada langsung yang layak. Yang muda-muda sudah meninggalkan kampung pergi merantau. Yang tinggal kakek-kakek tua sebaya dengan Hj. Joned yang pengetahuan agama mereka pun masih diragukan.

“Tapi pencalonan saya sudah ditolak oleh pejabat agama,” semacam mengadu nada suara Hj Joned terhadap saranan Semail itu.

“Itu tidak penting. Kali ini pejabat agama mesti dengar pandangan darpada Pengerusi JKKK kampung. Kalau pandangan JKKK tidak mahu dipakai, pandangan siapa lagi yang mereka mahu?” Semail menekankan suaranya pada kalimat akhir itu bagaikan suatu ugutuan layaknya.

“Lagipun imam Wahab itu orang luar kampung ini. Kita mahu anak jati kampung ini menjadi imam masjid kampung kita, bukan orang luar” sambung Semail semakin keras nada suaranya. Hj. Joned semakin yakin, dengan pengaruh Semail sebagai Pengerusi JKKK, dia akhirnya akan dinobatkan sebagai imam kampung itu nanti.

Sebagai langkah pertama Semail Wakang menulis surat kepada Pejabat Agama minta digantikan imam Wahab dengan Hj. Joned. Pejabat Agama membalas mengatakan tiada alasan yang kukuh yang membolehkan pejabat agama menggantikan imam itu.

“Dah jelas sesat pun tidak cukup alasan?” rungut Semail kepada Hj. Joned setelah membaca jawapan suratnya daripada pejabat agama itu.

“Ini tak boleh jadi pak Haji, kita kena protes habis-habisan,” Semail semacam menghasut Hj. Joned. Mata Hj Joned tercerlung mendengar perkataan protes itu.

“Bagaimana caranya?” Tanya Hj. Joned minta kepastian.

“Kita adakan tunjuk perasaan besar-besaran membantah tindakan pejabat agama ini,” jelas Semail meyakinkan Hj. Joned.

Hj. Joned termenung sejenak. Dia tidak berapa setuju dengan cadangan Semail itu. Banyak risikonya. Silap-silap berpuluh trak FRU akan datang menyekat demonstrasi itu. Hj. Joned sudah serik terkena siraman air kimia dan gas pemedih mata semasa turut berdemonstrasi membantah PPSMI suatu ketika dulu. Pada usianya sepikun itu dia berasakan berdemonstrasi sudah tidak sesuai lagi.

“Tak payah tunjuk perasaan, saya ada cara lain,” bisik Hj Joned ke telinga Semail. Semail mengangguk-anggukkan kepalanya mendengar bisikan itu tanpa mengetahui apakah cara lain yang dimaksudkan oleh Hj. Joned. Semail tersenyum lebar. Dia yakin Hj Joned ada caranya sendiri.

Suatu pagi sebelum solat Subuh, Hj. Joned sudah berada di atas sejadah imam. Pagi itu dia mendahului imam Wahab sampai di masjid. Semail Wakang yang memang liat datang solat Subuh, pagi itu datang awal bersama-sama Hj. Joned. Sebelum solat fardhu Hj Joned sudah bersila rapat di atas sejadah imam. Dia berwirid di atas sejadah itu. Apabila imam Wahab sampai, dia agak terperanjat sejadahnya sudah diduduki oleh Hj. Joned. Sebaik-baik sahaja bilal selesai iqamat, Hj. Joned sudah berdiri tegak di atas sejadah imam. Imam Wahab datang meluru mendapatkan sejadahnya. Dia mahu mengimamkan solat itu seperti biasa. Hj. Joned enggan memberikan sejadah itu kepada imam Wahab. Hj. Joned terus mengangkat takbiratulihram. Imam Wahab cuba menepis. Hj. Joned menyulam rapat dan erat kedua lengannya di atas pusatnya seraya kiam.

Makmum jadi keliru. Siapa sebenarnya menjadi imam pada pagi itu. Melihat Hj. Joned tidak mahu bergerak daripada sejadah imam, imam Wahab mengambil sejadah lain lalu dibentangnya di sudut kanan masjid itu. Makmun tambah keliru. Imam yang mana mahu diikut. Ada yang pergi mengikuti imam Wahab. Ada yang masih tunggu di belakang Hj. Joned. Semail Wakang sibuk mengarahkan para makmum mengikuti Hj. Joned, bukan imam Wahab. Namun, pengikut setia imam Wahab tetap mengimamkan imam muda itu.

Pagi itu berlakulah sembahyang dua imam di dalam satu masjid dalam satu waktu. Berkumandanglah bacaan ayat-ayat suci di antara Hj. Joned dengan imam Wahab. Hj Joned hanya membaca ayat pendek sahaja pagi itu. Imam Wahab pula membaca surah Sejadah yang panjang. Imam Wahab tambah dengan sujud sejadah, Hj. Joned buat sujud biasa. Kebetulan pula pagi itu pagi Jumaat. Hj. Joned tidak hafal surah itu, sebab itu dia membaca ayat-ayat pendek. Seperti biasa imam Wahab tidak membaca doa qunut. Hj. Joned membaca doa itu. Selepas solat, wirid Hj. Joned amat panjang sekali. Jemaah imam Wahab sudah sapu punggung sebaik sahaja memberi salam.

Siang itu kejadaian sembahyang dua imam sudah tersebar luas. Pihak media sudah dapat menghidu berita itu. Kampung itu dikunjungi oleh pihak media untuk membuat liputan. TV pun datang menginterview Hj Joned untuk mendapatkan penjelasan. Maka petang dan malam itu muka Hj. Joned terpapang di kaca-kaca tv di seluruh negara. Kembang hati Hj. Joned apabila melihat wajahnya terpapang di kaca tv.

Esoknya heboh lagi di kampung itu. Kali ini bukan berita dua imam tetapi Hj. Joned ditangkap pegawai pejabat agama. Orang pejabat agama membawa bersama-sama
mereka orang media untuk merakamkan peristiwa penangkapan Hj. Joned. Sekali lagi muka Hj. Joned mendapat siaran meluas pihak media terutama tv.

Hj. Joned diheret ke balai polis dan pejabat agama untuk diambil keterangannya. Malunya bukan kepalang. Dia berasakan orang pejabat agama sengaja mahu memalukannya dengan membawa berbondong-bondong orang media. Perlu apakah dia ditangkap sebegitu rupa kalau sekadar mahu mendapatkan keterangan untuk melengkapkan siasatan? Bigung Hj. Joned memikirkan.

“Tuan Haji ditahan kerana kesalahan menjadi imam sembahyang tanpa Tauliah,” jelas salah seorang pegawai pejabat agama setelah Hj. Joned meminta penjelasan. Hj Joned mengaru kepalanya. Serbannya terungkai apabila tangannya dengan kasar merentap serban itu dari lilitan keliling kepalanya. Hj. Joned mendengus macam lembu korban mahu dikorbankan. Matanya merah. Dadanya berombak-ombak.

Tuesday 26 January 2010

Azizi Hj. Abdullah kemalangan

Terperajat aku membaca blog Kassim Muhamad malam ini melihat gambar Azizi terlentang akibat kemalangan jalan raya. Mujur dia tidak parah. Harap-harap dia akan sembuh secepat yang mungkin. Sama-sama kita berdoa semoga beliau lekas sembuh.

Cuma terkilan sedikit, kawan-kawan yang tahu tak sms aku untuk beritahu musibah ini. Kalau diberitahu, mungkin juga saya bisa menziahari beliau hujung minggu lepas. Insyallah, anda akan sembuh, Azizi, kami semua doakan kesejahteraan kamu.

Sunday 24 January 2010

Bicara Karya Sastera NegeriMelaka

Sebahagian daripada guru-guru pelatih yang memenuhi Dewan Tun Fatimah untuk mendengar bicara karya sastera Negeri Melaka pada 22 Jan. 2010 lalu.


Hanita Hassan, pengarang novel, "Haruskah Aku Berlari," turut dibicarakan pada majlis Bicara Karya tersebut


Dari kanan: Azhar Salleh, Ramli Abu (moderator) Mohamad Hj.Musip dan Shamsuddin Othman.




Bicara Karya Sastera Negeri Melaka 2010.


Bicara Karya Sastera Negeri Melaka yang berlangsung di Dewan Tun Fatimah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPGM), pada 22 Januari lalu menyingkap tirai aktiviti sastera di negeri Melaka bagi tahun 2010. Majlis Bicara Karya Sastera itu dianjurkan oleh Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama IPGM Kampus Perempuan Melayu.

Sebanyak tiga buah karya telah dibicarakan pada majlis tersebut iaitu dua buah novel berjudul ,”Haruskah Aku Berlari,” dan ‘Meraduk Ranjau,’ masing-masing ditulis oleh Hanita Hassan dan Mohd Kassim Mahmud dan sebuah Kumpulan Puisi berjudul,” Simbiosis” karya Borhan Md. Zain. Ketiga-tiga karya tersebut telah dikupas dengan rinci oleh tiga orang tokoh sastera yang pakar dalam bidang masing-masing. Novel, ‘Haruskah Aku Berlari’ dipertanggungjawabkan kepada Mohamad Hj. Musip, ‘Meranduk Ranjau,’ dibicarakan oleh Azhar Salleh, manakala Kumpulan Puisi ‘Simbiosis’ diulas oleh Shamsuddin Othman.

Novel ‘Haruskah Aku Berlari’ (HAB) memaparkan kisah cinta golongan remaja. “Walaupun demikian, ianya bukan sekadar cinta yang jiwang-jiwang,” ujar Mohamad Hj.Munsip. Katanya lagi, cinta yang dipaparkan di dalam novel ini ialah sebuah cinta sejati yang masih dalam lingkungan batas-batas agama, adab dan tata-susila budaya Melayu.

Sebagai novel remaja, novel ini menepati cita rasa pembacaan golongan remaja. Ianya mampu memberikan pendidikan dan hiburan kepada kumpulan sasar iaitu golongan remaja. Pengarangnya berjaya dalam penggunaan bahasa dan nahu dengan betul, yang menjadi asas kepengarangan sesebuah karya kreatif. Dalam sesebuah karya, bahasalah yang berbicara, bukan pengarangnya.

Mohamad Munsip yang menggunakan pendekatan Stilistik dan Psikologi cinta berpendapat novel ini telah memperlihatkan dua dimensi yang terjalin erat iaitu dimensi kebijaksanaan psikologi dan dimensi keupayaan berbahasa. Menurutnya, novel ini berjaya dalam faktor bahasa dan gaya penceritaannya berviarasi, segar dan rinci.

Meskipun novel ini bertemakan percintaan, tetapi ianya disulam dengan nilai yang positif. Ayat-ayat yang dibina dengan berlandaskan psikologi cinta dan pemikiran rasional yang berlapikkan agama menguatkan lagi tanggapan ianya bukan sekadar novel cinta. Hanita Hassan sebagai bekas wartawan telah menunjukkan keterampilannya memilih gaya penulisan yang bersahaja, segar dan luwes. Ayat-ayat yang dibina menerapkan tatabahasa yang mesra nahu.

Kumpulan Puisi Borhan Md. Zain, ‘Simbiosis’ diambil pendekatan teori ‘Rasa Insianiah’ ciptaan Shamsuddin Othman untuk tesis PHD-nya. Shamsuddin Othman pada mukadimahnya menyatakan bahawa makna ‘simbiosis’ pada umumnya merujuk kepada interaksi akrab antara dua organisma. Sesuai dengan konsep Rasa Insaniah, maka ‘simbiosis’ dilihat lebih menekankan aspek ketauhidan yang memiliki sifat-sifat keinsanan yang secara halus diserap di dalam puisi-puisi Borhan Md. Zain.

Sajak-sajak seperti, ‘Ketika berbisik di telinga Rina, Puisi buat sang gadis, Perempuan yang berdiri, Isteriku, Puisi sang suami, Puteri Siliwangi, Kekasih, Bona fida dan Selamat tinggal kekasih,’ antara contoh pengaliran rasa cinta yang tidak dapat disembunyikan kehadirannya di dalam puisi-puisi Borhan.

Puisi Sang Suami memperlihatkan kejujuran pengucapan tentang rasa cinta dalam hubungan sesama insan. Keputusan memilih seorang wanita kemudian memuji keberuntungan wanita itu menjadi isterinya adalah satu simbiosis yang jarang-jarang berlaku di dalam kehidupan pasangan suami isteri. Cuba perhatikan bait-bait puisi beliau:-

Aku sesungguhnya beruntung
menjadikan kau isteri
dan dapat memilikimu sepanjang hari
- dalam hati
- dalam budi
- dalam emosi dan naluri
- dalam setiap bait puisi.

Dalam setiap lingkaran hidup
kau adalah penyambung hujungnya
dalam setiap denyutan nadi ini
kau adalah penggerak sarafnya

Setiap gerak kau di hujungnya
setiap marah kau di hati
menyirami diri ini.

Azhar Salleh dalam membicarakan novel Mohd Kassim Mahmud bertajuk, ‘Meranduk Ranjau,’ mengambil pendekatan Teori Konseptual Kata Kunci yang diperkenalkan oleh Prof. Mohamad Mokhtar Abu Hassan. Menurut Azhar, novel ini bukan novel sejarah, tetapi novel yang berbicara tentang sejarah.

Pendekatan feminisme melalui novel ini lebih banyak memperlihatkan upaya sang wanita dalam gerakan nasionalisme. Pengarang seolah-olah menafikan peranan kaum lelaki. Meranduk Ranjau mengisahkan perjuangan menentang penjajah Portugis di Batu Sawar. Dang Bunga yang berguru dengan Pak Guru Lela Perkasa terpaksa berdepan dengan keangkuhan Dang Seri ‘anjing penjilat’ kongkongan Portugis. Dang Bunga sentiasa dibantu oleh rakan-rakannya dan tidak pernah menyerah kalah.

Novel ini ditampilkan untuk memberi dimensi nasionalisme kepada pembaca. Dimensi atau perspektif ini diolah melalui pendekatan feminisme. Membaca novel ini pembaca didedahkan kepada dua kesedaran. Pertama kesedaran sejarah dan kedua kesedaran sastera.

Pengarang novel ini menghadirkan sesuatu yang segar untuk tatapan generasi kini. Beliau tidak melihat unsur sejarah perlu dihafal dengan unsur tarikh dan peristiwa. Beliau memandang suatu kewajaran untuk memartabatkan wanita dan memperkukuhkan sejarah melalui gaya naratif.

Majlis yang dipenuhi oleh guru-guru pelatih itu turut disertai oleh encik Mohamad Daud Mohamad, Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP, Pengarah IPGM Hajah Norhayati dan para penulis negeri Melaka.

Saturday 23 January 2010

Mokhtar Yasin Penerima Anugerah Sasterawan Negeri Melaka



Faizal Tehrani menerima hadiah Tokoh Penulis Muda Melaka





Hj. Mokhtar Yasin dipakaikan selendang sempena anugerah Sasterawan Negeri Melaka oleh TYT Tun Mohd Khalil Yaakob



Kerajaan Negeri Melaka buat julung-julung kalinya mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009 pada 22 Januari lalu di Seri Negeri, Air Keroh, Melaka. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob, Yang DiPertua Negeri Melaka.

Seramai lima orang telah dipilih oleh Panel Penilai untuk menerima hadiah sastera tersebut yang dibahagikan kepada empat kategori. Keempat-empat kategori tersebut ialah:-

i) anugerah Sasterawan Negeri Melaka
ii) anugerah Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka
iii) anugerah Tokoh Penulis Bukan Melayu Negeri Melaka
iv) hadiah galakan Penulis Remaja Negeri Melaka.

Anugerah Sasterawan Negeri Melaka merupakan penganugerahan tertinggi di antara ke empat-empat kategori itu yang membawa pulang cek bernilai RM 7,000, sijil dan sepersalinan pakaian pahlawan Melayu. Tokoh yang bernasib baik ialah, Hj. Mokhtar Yasin, mantan guru dan pengiat sastera yang tidak asing di negeri Melaka.

Sementara itu Tokoh Penulis Muda negeri Melaka telah dikurniakan kepada penulis muda tersohor iaitu Mohd Faizal bin Musa @ Faizal Tehrani. Beliau menerima cek bernilai RM 3,000, sijil dan plak.

Tokoh Penulis Bukan Melayu dianugerahkan kepada Joseph Selvam yang menerima RM 2,000, sijil dan plak. Bagi hadiah galakan Penulis Remaja dua orang telah dipilih untuk menerima hadiah ini iaitu Ilya Ireeza bte Noor Zehan dan Muhamad Hasif bin Mohd Jelani. Kedua-dua mereka menerima RM 1,000 seorang, sijil dan plak.

Sejumlah 75 pencalonan diterima bagi kategori Anugerah Sasterawan Negeri Melaka dan setelah disenarai pendekkan hanya 13 dikategorikan sebagai layak untuk dipertimbangkan selanjutnya. Dari 13 nama itu dipilih pula sehingga 7 orang dan akhirnya 3 orang menjadi pertimbangan akhir untuk memilih seorang tokoh sasterawan Negeri Melaka. Pemilihan panel penilai akhirnya memilih Mokhtar Yasin, sasterawan veteran di negeri Melaka.

Seramai 500 orang hadir pada majlis yang gilang gemilang itu. TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob ditemani isteri beliau Toh Puan Dato’ Zurina bte Kassim turut memeriahkan majlis dan menyampaikan hadiah Sasterawan Negeri Melaka. Turut hadir SN Datuk A. Samad Said.

Sayangnya Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak dapat hadir pada majlis itu kerana mengikuti YAB Perdana Menteri melawat India. Beliau diwakili oleh YB Datuk Hj. Yaakob Md. Amin, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia.

Bagi golongan penulis dan sasterawan negeri Melaka tentu sekali penganugerahan ini menggembirakan mereka kerana ianya merupakan satu pengiktirafan kepada mereka oleh kerajaan negeri. Mereka sangat terharu setelah 52 tahun merdeka, baru kali ini mereka mendapat pengiktrifan daripada kerajaan negeri. Ianya bukan sekadar anugerah atau hadiah, akan tetapi suatu penghormatan kepada golongan penulis yang telah menghasilkan karya-karya kreatif mereka untuk membina jati diri dan tamadun bangsa.

Idea untuk mengadakan anugerah sastera ini sebenarnya dicetuskan oleh Ikatan Persuratan Melayu, Melaka (IPM) dalam ucapan Ketua Satunya pada majlis pementasan teater Dinsman bertajuk, Menunggu Kata Dari Tuhan di Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah Julai tahun lalu. Cetusan idea itu telah mendapat perhatian serius Datuk Tahir Hassan yang mewakili Ketua Menteri pada majlis tersebut. Dengan usaha Datuk Tahir, maka majlis penganugerahan ini segera diadakan pada 22 Jan. lalu. Sebenarnya kami tidak menyangka penganugerahan ini diberikan sebegitu cepat, kerana mungkin kerajaan negeri mengambil masa yang panjang untuk mempertimbangkan kertas cadangan IPM itu.

Kerajaan negeri berjanji anugerah ini akan diberikan setiap tahun. Tahun 2010 ini siapa pula yang akan bernasib baik menggondol hadiah berprestij negeri Melaka ini?

Yang menjadi tanda tanya ialah laporan Pengerusi Panel Penilai yang menerima sebanyak 75 pencalonan untuk kategori Anugerah Sasterawan Negeri Melaka, yang bukan sahaja sangat menggalakan, tetapi jumlah itu semacam tidak sepadan dengan realiti sebenar. Apakah negeri Melaka mempunyai penulis kreatif sebanyak itu? Sedangkan hakikatnya yang prolifik menulis hanya beberapa kerat sahaja, paling ramai pun sejumlah jari tangan dan kaki. Negeri Melaka sebenarnya ketandusan penulis. Kalau tidak diusahakan untuk menyediakan pelapis, dikhuatiri negeri Melaka akan kekontangan para penulis kreatif. Mungkin anugerah seperti ini akan merangsang penulis-penulis muda lebih giat lagi menulis sebagai kesinambungan kepada penulis-penulis veteran.

Sebenarnya hanya segelintir sahaja yang masih bergiat dan terus-terusan menulis dalam genre masing-masing. Yang kerap tersiar karya-karya mereka di dalam akhbar dan majalah hanya beberapa orang sahaja seperti Aladin Mohamad, Razali Mohamad, Mohd Adid Abd. Rahman, Osman Dol, Razali Endun, Arbak Othman, Zean Kasturi, Borhan Md.Zain dan beberapa orang lagi. Dari mana datang 75 orang tokoh yang dicalonkan itu?
Apa pun, kalau benar angka itu, ianya satu petanda yang positif demi kesinambungan penulisan kreatif di negeri ini.

Tuesday 19 January 2010

Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke-18

Azizi Hj. Abdullah tersenyum lebar selepas mendapat hadiah


Majlis penyampian Hadiah Sastera Perdana ke-18 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 18 Januari lalu merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada golongan sasterawan tanah air. Hadiah sastera ini dinilai setiap dua tahun sekali dan merupakan salah satu anugerah/hadiah sastera yang berprestij.

Penyampaian hadiah sastera kali ini merangkumi karya-karya yang terhasil dan diterbitkan bagi tempoh 2004/2005 dan 2006/2007. Majlis penyampian hadiah bagi tahun 2004/2005 sepatutnya diadakan pada tahun 2006, telah tidak diadakan kerana sebab-sebab yang tidak diketahui.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) telah mula diwujudkan pada tahun 1971 dengan nama Hadiah Karya Sastera. Nama ini diguna pakai sehingga 1976 apabila diberi penamaan semula. Pada tahun 1981-1995, hadiah ini dikenali sebagai Hadiah Sastera Malaysia. Bermula tahun penilaian 1996/97, hadiah ini dinaikkan taraf dan diberikan nama baru sesuai dengan prestij yang ditonjolkan. Semenjak itu ianya dikenali dengan nama Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka telah diberi mandat dan amanah oleh Kerajaaan Pusat untuk menyelenggarakan hadiah sastera ini.

HSPM merupakan hasil penilaian karya sastera yang diterbitkan dalam bentuk buku dan karya eceran yang telah disiarkan dalam akhbar, majalah, jurnal dan buku, atau karya yang dipentaskan, (bagi skrip drama); dalam tempoh penilaian iaitu setiap dua tahun sekali. Ianya dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, A,B dan C.

Kategori A terbitan berbentuk buku seperti novel, kumpulan cerpen, puisi, drama, esei/kritikan sastera, kajian sastera dan biografi/autobiografi. Hadiah yang disediakan untuk setiap kategori ini ialah RM 10,000.00. Kategori B merupakan karya eceran seperti puisi, cerpen, esei sastera dan drama. Hadiah untuk kategori ini sebanyak RM 1,000 setiap satu. Manakala hadiah untuk kategori C sebanyak RM 5,000 setiap satu bagi genre novel remaja, kumpulan cerpen, puisi dan drama remaja. Kumpulan novel, cerpen, puisi dan drama kanak-kanak juga tergolong dalam kategori ini.

Di antara penerima hadiah utama pada Majlis Penyampian HSPM kali ini ialah mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari, Faisal Tehrani, SN Arenawati dan SN Muhamad Hj. Salleh. Said Zahari memenangi dalam kategori biografi/autobiografi berjudul, ‘Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari,’ terbitan Utusan Publications & Distributions.

Faisal Tehrani memenangi dua hadiah utama dalam kategori novel iaitu, ‘Bedar Sukma Rindu,’ dan ‘Manikam Kalbu,’ memenangi kategori Novel Remaja. SN Arenawati berjaya dengan novelnya, ‘Armageddon Jilid 1: Mandala,’ terbitan UKM. SN Muhamad Hj Salleh dinobatkan hasil karyanya dalam Kumpulan Puisinya bertajuk, ‘Salju Shibuya,’ yang diterbitkan oleh DBP. Manakala Azizi Hj. Abdullah memenangi dalam kategori eceran apabila dua buah cerpennya bertajuk, ‘Sangeeta dan Jusoh, Aku pun Nak ke Sana,’ yang disiarkan oleh Dewan Sastera.

Hadiah-hadiah utama telah disampaikan oleh Tan Sri Mahyuddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Dalam ucapannya Tan Sri Mahyuddin telah mencadangkan supaya penyampaian hadiah ini dibuat setiap tahun, memandangkan terlalu banyak karya yang dihasilkan untuk dinilai. Dengan adanya penyampaian hadiah setiap tahun maka penilaiannya boleh dibuat dengan lebih teliti dan saksama.

Beliau juga telah mensyorkan supaya para sasterawan merebut peluang peruntukan sebanyak RM 200 juta yang disediakan oleh kerajaan untuk kegiatan seni. Sayangnya peruntukan itu tidak dikhususkan untuk kegiatan bahasa dan sastera Melayu, sebaliknya untuk bidang kesenian lain seperi animasi, filem dan drama. Ini terbukti apabila beliau menyarankan supaya karya-karya sastera diadaptasi ke filem untuk mendapatkan peruntukan ini.

Namun demikian, saranan beliau untuk diadakan majlis penyampian hadiah ini setiap tahun adalah satu cadangan yang baik. Akan tetapi beberapa kekangan birokrasi seharusnya diselesaikan terlebih dahulu agar hasrat beliau dapat disempurnakan sebaik mungkin. Persoalan peruntukan untuk majlis ini perlu diambil kira, kerana DBP dikhabarkan di dalam kesulitan kewangan kerana peruntukan untuknya bagi 2010 telah dipotong sebanyak RM 30 juta.

Untuk mendapatkan orang kenamaan menyampaikan hadiah-hadiah ini juga sesuatu yang merumitkan. HSPM bagi tahun 2004/05 tidak dapat diadakan kerana khabarnya sukar untuk mendapatkan orang kenamaan untuk hadir pada majlis ini. Pemimpin kerajaan seharusnya memberi keutamaan pada majlis-majlis seperti ini sebagai penghargaan mereka pada bidang sastera.

Selain itu ianya juga melibatkan pengurusan dan pengendalian yang amat merumitkan sekiranya diadakan setiap tahun. Sudah sampai masanya DBP mengwujudkan sebuah jabatan baru dengan melantik seorang Ketua Jabatan yang bertanggungjawab terhadap pengumpulan, pembacaan dan penelitian semua karya yang diterbitkan dalam mana-mana penerbitan.

Setelah disusun atau dijilid mengikut kategori masing-masing, ianya diserahkan kepada panel penilai. Panel penilai, kalau boleh bertugas sepenuh masa. DBP tidak seharusnya menunggu karya-karya itu dihantar oleh penulis atau penerbit kerana ada kemungkinan mereka terlepas pandang dan tidak peka. Masih banyak lagi karya-karya sastera yang bermutu yang tidak dihantar untuk dinilai oleh panel penilai HSPM. Selain itu jumlah hadiahnya harus dinaikkan sesuai dengan peningkatan hidup masa kini.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke-18

Hadiah Sastera Perdana Ke-18














Majlis penyampian Hadiah Sastera Perdana ke-18 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 18 Januari lalu merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada golongan sasterawan tanah air. Hadiah sastera ini dinilai setiap dua tahun sekali dan merupakan salah satu anugerah/hadiah sastera yang berprestij.

Penyampaian hadiah sastera kali ini merangkumi karya-karya yang terhasil dan diterbitkan bagi tempoh 2004/2005 dan 2006/2007. Majlis penyampian hadiah bagi tahun 2004/2005 sepatutnya diadakan pada tahun 2006, telah tidak diadakan kerana sebab-sebab yang tidak diketahui.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) telah mula diwujudkan pada tahun 1971 dengan nama Hadiah Karya Sastera. Nama ini diguna pakai sehingga 1976 apabila diberi penamaan semula. Pada tahun 1981-1995, hadiah ini dikenali sebagai Hadiah Sastera Malaysia. Bermula tahun penilaian 1996/97, hadiah ini dinaikkan taraf dan diberikan nama baru sesuai dengan prestij yang ditonjolkan. Semenjak itu ianya dikenali dengan nama Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka telah diberi mandat dan amanah oleh Kerajaaan Pusat untuk menyelenggarakan hadiah sastera ini.

HSPM merupakan hasil penilaian karya sastera yang diterbitkan dalam bentuk buku dan karya eceran yang telah disiarkan dalam akhbar, majalah, jurnal dan buku, atau karya yang dipentaskan, (bagi skrip drama); dalam tempoh penilaian iaitu setiap dua tahun sekali. Ianya dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, A,B dan C.

Kategori A terbitan berbentuk buku seperti novel, kumpulan cerpen, puisi, drama, esei/kritikan sastera, kajian sastera dan biografi/autobiografi. Hadiah yang disediakan untuk setiap kategori ini ialah RM 10,000.00. Kategori B merupakan karya eceran seperti puisi, cerpen, esei sastera dan drama. Hadiah untuk kategori ini sebanyak RM 1,000 setiap satu. Manakala hadiah untuk kategori C sebanyak RM 5,000 setiap satu bagi genre novel remaja, kumpulan cerpen, puisi dan drama remaja. Kumpulan novel, cerpen, puisi dan drama kanak-kanak juga tergolong dalam kategori ini.

Di antara penerima hadiah utama pada Majlis Penyampian HSPM kali ini ialah mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari, Faisal Tehrani, SN Arenawati dan SN Muhamad Hj. Salleh. Said Zahari memenangi dalam kategori biografi/autobiografi berjudul, ‘Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari,’ terbitan Utusan Publications & Distributions.

Faisal Tehrani memenangi dua hadiah utama dalam kategori novel iaitu, ‘Bedar Sukma Rindu,’ dan ‘Manikam Kalbu,’ memenangi kategori Novel Remaja. SN Arenawati berjaya dengan novelnya, ‘Armageddon Jilid 1: Mandala,’ terbitan UKM. SN Muhamad Hj Salleh dinobatkan hasil karyanya dalam Kumpulan Puisinya bertajuk, ‘Salju Shibuya,’ yang diterbitkan oleh DBP. Manakala Azizi Hj. Abdullah memenangi dalam kategori eceran apabila dua buah cerpennya bertajuk, ‘Sangeeta dan Jusoh, Aku pun Nak ke Sana,’ yang disiarkan oleh Dewan Sastera.

Hadiah-hadiah utama telah disampaikan oleh Tan Sri Mahyuddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Dalam ucapannya Tan Sri Mahyuddin telah mencadangkan supaya penyampaian hadiah ini dibuat setiap tahun, memandangkan terlalu banyak karya yang dihasilkan untuk dinilai. Dengan adanya penyampaian hadiah setiap tahun maka penilaiannya boleh dibuat dengan lebih teliti dan saksama.

Beliau juga telah mensyorkan supaya para sasterawan merebut peluang peruntukan sebanyak RM 200 juta yang disediakan oleh kerajaan untuk kegiatan seni. Sayangnya peruntukan itu tidak dikhususkan untuk kegiatan bahasa dan sastera Melayu, sebaliknya untuk bidang kesenian lain seperi animasi, filem dan drama. Ini terbukti apabila beliau menyarankan supaya karya-karya sastera diadaptasi ke filem untuk mendapatkan peruntukan ini.

Namun demikian, saranan beliau untuk diadakan majlis penyampian hadiah ini setiap tahun adalah satu cadangan yang baik. Akan tetapi beberapa kekangan birokrasi seharusnya diselesaikan terlebih dahulu agar hasrat beliau dapat disempurnakan sebaik mungkin. Persoalan peruntukan untuk majlis ini perlu diambil kira, kerana DBP dikhabarkan di dalam kesulitan kewangan kerana peruntukan untuknya bagi 2010 telah dipotong sebanyak RM 30 juta.

Untuk mendapatkan orang kenamaan menyampaikan hadiah-hadiah ini juga sesuatu yang merumitkan. HSPM bagi tahun 2004/05 tidak dapat diadakan kerana khabarnya sukar untuk mendapatkan orang kenamaan untuk hadir pada majlis ini. Pemimpin kerajaan seharusnya memberi keutamaan pada majlis-majlis seperti ini sebagai penghargaan mereka pada bidang sastera.

Selain itu ianya juga melibatkan pengurusan dan pengendalian yang amat merumitkan sekiranya diadakan setiap tahun. Sudah sampai masanya DBP mengwujudkan sebuah jabatan baru dengan melantik seorang Ketua Jabatan yang bertanggungjawab terhadap pengumpulan, pembacaan dan penelitian semua karya yang diterbitkan dalam mana-mana penerbitan.

Setelah disusun atau dijilid mengikut kategori masing-masing, ianya diserahkan kepada panel penilai. Panel penilai, kalau boleh bertugas sepenuh masa. DBP tidak seharusnya menunggu karya-karya itu dihantar oleh penulis atau penerbit kerana ada kemungkinan mereka terlepas pandang dan tidak peka. Masih banyak lagi karya-karya sastera yang bermutu yang tidak dihantar untuk dinilai oleh panel penilai HSPM. Selain itu jumlah hadiahnya harus dinaikkan sesuai dengan peningkatan hidup masa kini.




Monday 18 January 2010

Sajak, 'Manusia dan Alam'

Mutakhir ini, malapetaka kerap berlaku di atas bumi ini. Namun manusia tidak menganggapnya satu pembalasan atau bala daripada Allah. Manusia hanya menganggap ianya suatu bencana alam yang terjadi dengan sendirinya. Dalam Islam tidak ada perkara yang akan terjadi dengan sendirinya tanpa penciptanya. Kejadian bencana ini sebenarnya bala daripada Allah swt. Macam-macam bencana berlaku.

Terakhir sekali gempa bumi di pulau Haiti. Puluhan ribu orang mati dalam gempa sekuat 7.0 sekala richter. Kita turut bersimpati apa yang berlaku di sana. Sebelum ini beberapa tempat lain di dunia ini gempa juga berlaku. Yang paling dahsyat ialah Tsunami di Acheh. Di Padang, Sumatera Oktober tahun lalu juga mengorbankan banyak nyawa.

Saya telah mencipta sebuah sajak khusus untuk mangsa gempa di Padang ini. Sajak ini pernah didekalamsikan di Dewan Perhimpunan China oleh Shukri Abdullah, pada majlis kutipan derma gempa tersebut yang dinamakan "Malam Prihatin Padang." Sajak tersebut telah saya hantar ke Majalah Dewan Sasatera dan diterbitkan pada bulan Januari 2010 ini. Ikutilah isi kandungan puisi ini. Terima kasih kerana membacanya.


(Kenangan kepada mangsa gempa di Padang)

Lihat,
Betapa indahnya ranah Minang
Gunung ganang tegak berdiri
Sawah bendang menguning padi
Hilai tawa jejaka padusi
Suasana aman cantik berseri

Ranah ini negeri beradat
Adat dikendung, syarak dijunjung
Syarak mengata, adat memakai
Adat bersendi syarak
Syarak bersendi Kitabullah
Menjadi panduan zaman berzaman

Kok duduk sama rendah
Kok berdiri sama tinggi
Kok kata sama seiya
Kok lenggang sama seayun
Kok bukit sama didaki
Kok mendapat sama laba
Kok cicir sama rugi
Sepadang kita sepermainan
Berkatnya kita tegah dek muafakat
Celakanya kita tegak dek bersilang

Di tanah ini
Lahir ramai para ulama, sasterawan dan cendakiawan
Pak Hamka, Nasir, Adam Malik dan Hatta
Menyinar nama keseluruh alam

11

Alam Minang yang cantik dan tenteram
Menjadi sayu semesta alam
Entah kenapa para unggas enggan terbang,
Para haiwan enggan makan
Ikan di laut menghempas di pantai
Apakah petanda malapetaka membadai?

Tidak semena-mena, pagi 1 Oktober itu
Langit hitam
Guruh berdentum dentam
Bumi bergegar
Gunung ganang bergoncang
Bukit bukau luruh
Bumi tiba-tiba merekah
Menelan segala,
yang berpahala dan berdosa

Manusia menjadi panik
Mereka tertanya-tanya
Apakah ini hari kiamat?

Allah telah Berfirman
Seperti Ayat Al-Qaariah;
Pada hari itu
manusia adalah seperti anai-anai yang bertebaran
gunung ganang seperti bulu yang berterbangan

Firman Allah dalam ayat Az-Zalzalah;
Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat
Bumi telah mengeluarkan beban-beban berat yang dikandungnya
Manusia lalu bertanya, kenapa jadi begini?
Pada hari itu bumi menceritakan ceritanya
Kerana sesungguhnya
Tuhanmu telah memerintahkan yang sedemikian itu.

Sadakahllah hul azim!
Maka benarlah kata-kata Allah itu
Apa yang berlaku itu persis apa yang diceritakan
Manusia jadi bingung, ketakutan dan tidak keruan
Berlari-lari mencari perlindungan
Di bukit sudah luruh
Di laut sudah resah
Di bumi sudah rekah
Manusia hanya pasrah
Meminta perlindungan Allah!

Apakah musibah ini
Hanya bencana alam yang biasa terjadi?
Atau malapetaka daripada Illahi
Sebagai balasan hambaNya yang sudah tidak peduli
Tentang dosa dan maksiat yang menjadi-jadi
Tentang alam yang tidak dijaga oleh kalian sendiri?
Tentang seruan amal makruf nahi mungkar
Yang menjadi slogan basi!

Kini ranah Minang sudah musnah
Jiwa dan harta benda punah ranah
Air mata menumpah ruah
Di seluruh pelusuk negeri
Manusia meratap pilu di halaman rumah
Di sudut-sudut kota, di permatang sawah
Sebahagian di antaranya masih bertarung dengan maut
Anak-anak kekeringan air mata
Tangisan mereka bagai loceng kematian
Melengking tinggi ke pundak langit
Meminta-minta ikhsan dariMu, ya Allah!

Episod sedih ini menyentuh nubari kita semua
Yang masih ada sifat ketaqwaan dan kemanusiaan
Hari ini hari mereka
Esok entah hari kita pula
Yang hidup perlu meneruskan kehidupan mereka
Yang pergi kita panjatkan doa
Semoga diberi hidayah di dalam Syurga

Al-Fatihah!

RAZALI ENDUN
Kuala Lumpur
25 Okt. 2009

Dewan Sastera Januari 2010

Sunday 17 January 2010

Mengenali William Shakespeare

Saya dan isteri bergambar dengan pelakon-pelakon teater di rumah Shakespeare. Terima kasih kepada mereka kerana sudi bergambar dengan kami.



Pada bulan Julai hingga akhir September 2009 saya dan isteri berkesempatan ke United Kingdom menziarahi anak dan menantu yang sedang belajar di sana. Sempat juga bertemu denga tiga orang cucu-cucu saya. Pada kesempatan itu saya telah berpeluang melawat bekas rumah William Shakespeare, sasterawan dan dramatis Inggeris yang tersohor di seluruh dunia.
Saya perturunkan sedikit riwayat hidup William Shakespeare untuk pengetahuan kita bersama.

Willian Shakespeare, sasterawan terkenal dunia yang menghabiskan banyak masanya dalam dunia pementasan drama meninggalkan legacy yang unggul di Britain. Rumah tempat kelahirannya di Stratford-Upon-Avon, terletak di tengah-tengah England dijadikan tempat pelancongan. Malahan kawasan-kawasan berdekatan seperti Warwick, Kenilworth dan Royal Leamington Spa termasuk di dalam ‘Shakespeare Country’ yang dikunjungi ramai pelancong setiap hari.

Shakespeare yang dilahirkan di rumah tersebut pada April 1564 dibesarkan dalam keluarga kelas pertengahan. Ayahnya John Shakespeare seorang pengusaha sarung tangan di pekan kecil itu telah berjaya di dalam perniagaannya. Pada 1568 John menjadi walikota Stratford dan dilantik sebagai agen kerajaan yang berpusat di London. Ibu William, Mary Arden anak seorang petani dari kampung ‘Wilmcote’ yang berdekatan.

William Shakespeare adalah anak ketiga di antara lapan beradik dan merupakan anak lelaki sulung dalam keluarganya. Dua orang di antara adik beradiknya meninggal pada waktu kecil.

Rumah dua tingkat itu terletak di Henley Street, Stratford dibina berlantaikan kayu dan berdindingkan batu bata. Di tingkat bawah ada dapur, ruang tamu dan sebuah bengkel kecil di mana ayah William, John membuat sarung tangan dan menjualnya melalui tingkap rumah. Tingkat atas mempunyai dua bilik tidur satu daripadanya menjadi tempat William dilahirkan. Di belakang rumah ada sebidang kecil tanah dijadikan laman dan ditanam dengan pokok-pokok bunga yang berwarna warni.

Pekan Starford-Upon-Avon mendapat namanya daripada nama Sungai Avon yang berdekatan. Pada ketika William Shakespeare dilahirkan, pekan itu hanya ada sekitar 200 buah rumah sahaja. Sekarang ini pekan itu sudah membangun, berkembang dengan pesatnya, apa lagi dengan adanya rumah Shakespeare yang dijadikan sebagai pusat tarikan pelancong di pekan kecil itu. Setiap hari ribuan pelancong berkunjung ke rumah itu yang datang daripada pelbagai negara. Rumah itu dibuka untuk pelancong pada hari-hari berkerja sahaja, hari Sabtu dan Ahad ditutup.

Shakespeare Country terletak di tengah-tengah England dan mudah dikunjungi dengan kereta, kereta api dan kapal terbang. Dengan kereta dari London memakan masa sekitar tiga setengah jam menggunakan Lebuhraya M40 yang menghubungkan utara, timur, barat dan selatan United Kingdom. Ada perkhidmatan kereta api dari London yang memakan masa 90 minit perjalanan. Manakala dengan pesawat ada tiga lapangan terbang yang berkhidmat dalam negeri dan antarabangsa iaitu di Birmingham, Coventry dan East Midlands.

Apa yang menarik, bukan sahaja rumah tersebut menjadi kunjungan orang ramai tetapi dipersembahkan juga teater terbuka di laman belakang rumah itu. Selain dari itu banyak kedai sovenier terdapat di situ menjual pelbagai cendera hati dan buah tangan yang ada kaitannya dengan kehidupan William Shakespeare.

Willian Shakespeare selain menjadi penulis skrip beliau juga seorang pelakon teater dan penyair. Banyak sajak-sajaknya tersebar di seluruh dunia dan menjadi teks sastera di England. Namun demikian, beliau lebih terserlah dan terkenal sebagai ‘playwright’ atau penulis skrip drama dan pelakon.

Usia mudanya penuh dengan kecelaruan apabila pada usia 18 tahun dia terlibat mengadakan perhubungan intim dengan seorang gadis berusia 26 tahun bernama Anne Hathaway. Dia terpaksa mengawini Anne kerana gadis itu telah hamil. Anak mereka yang pertama, Susanna dilahirkan pada 1583 dan 20 bulan kemudian mereka mendapat anak kembar yang diberi nama Hamnet dan Judith.

Selepas itu William ke London untuk mengadu nasibnya di sana. Di London dia mendapat perhatian ramai apabila dia berkesempatan mempersembahkan banyak karya teaternya di sana disamping menubuhkan beberapa buah kumpulan teater. Nama William Shakespeare menjadi masyur dan dikenali ramai ketika beliau berada di kota besar ini.

Pada 1613 William Shakespeare berhenti berlakon dan berteater. Beliau pulang ke kampung halamannya di Stratford dan kemudian meninggal dunia pada 23 April 1616 dalam usia 52 tahun. Beliau dikebumikan di Holy Trinity Church, di pekan itu.

Apa yang menarik ialah keterlibatan pihak berkuasa Inggeris berusaha terus-terusan untuk menghidupkan lagenda sasterawan negaranya. Rumahnya bukan sahaja dijadikan tempat pelancongan, tetapi diexpolitkan oleh sesetengah pihak untuk mengaut laba.





Saturday 16 January 2010

Melaka: Kerajaan Negeri Melaka akhirnya bersetuju dengan cadangan Ikatan Persuratan Melayu (Melaka) supaya diwujudkan anugerah sastera Negeri Melaka. Anugerah sastera bagi 2009 merupakan yang pertama, akan disempurnakan oleh TYT Yang DiPertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yakob pada 22 Januari 2010 ini di Sri Negeri, Kompleks Jabatan Kerajaan Negeri Melaka, Jalan Gapam, Hang Tuah Jaya, Melaka. YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijangka akan hadir. Siapa yang bernasib baik akan menerima anugerah sulung ini masih dirahasiakan. Mengikut sumber, ianya akan diketahui pada hari tersebut.

Selain anugerah sastera Negeri Melaka, turut diberi penghargaan ialah:
1. anugerah tokoh penulis muda Negeri Melaka
2. anugerah tokoh penulis bukan Melayu
3. hadiah galakan Penulis Remaja (2 pemegang)

Inilah julung-julung kali anugerah serupa ini disampaikan kepada para penulis dan sasterawan Negeri Melaka. Ianya diharapkan akan berkekalan sebagai penghargaan kepada para seniman dan budayawan sastera yang menyumbang kepada pembinaan budaya bangsa. Kalau para artis seperti penyayi, pemuzik dan pelakon mendapat pengiktirafan, maka para sasterawan juga seharusnya mendapat pengiktirafan yang sama kalau pun tidak melebihi mereka.

Siapa pun yang akan menerima anugerah tersebut, kita ucapankan Tahniah dan Syabas. Semoga anugerah ini akan memberi galakan untuk penerima tersebut terus gigih berkarya menghasilkan karya-karya sastera yang lebih bermutu.

Terima kasih kepada kerajaan Negeri Melaka yang sangat prihatin terhadap sumbangan para sasterawan.

Cucuku


Ini cucuku yang terkecil sekali. Namanya Bilal Adam. Sekarang baru berusia satu setengah tahun. Hidup di kelilingi cucu-cucu amat bahagia sekali. Semoga cucu-cucuku ini akan menjadi manusia yang baik, beriman dan bertaqwa dan menjadi anak-anak yang soleh. Insyallah!-Amin

Isu Kalimah ‘Allah.’ Jangan Semarakkam Sentimen Rakyat

Oleh RAZALI ENDUN


Isu kalimah ‘Allah’ sudah merebak menjadi tegang. Peristiwa membakar beberapa buah gereja di Lembah Kelang dan di tempat-tempat lain sangat-sangat mendukacitakan. Ianya tidak seharusnya berlaku sekiranya semua pihak sensitif dan menggunakan fikiran yang waras untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimah Allah ketika ini adalah akibat kegagalan pelbagai pihak menghidu kesan akibat yang akan berlaku daripadanya. Daripada pihak kerajaan, iaitu Kementerian Dalam Negeri, pihak gereja dan golongan Melayu/Islam yang membantah, seharusnya memikirkan kesan buruknya, bukan sekadar berkeras dan melayani emosi yang meluap-luap. Pihak-pihak lain tidak seharusnya meyemarakkan lagi sentimen rakyat dengan menggalakkan perhimpunan dan demonstarsi. Tindakan provokasi akan menyulitkan lagi penyelesaian masalah ini.

Isu yang berbangkit kelihatan mudah dan enteng. Ianya berkisar kepada penggunaan kalimah Allah dalam akhbar Herald-The Catholic Weekly, terbitan sebuah gereja di Lembah Kelang. Akhbar tersebut telah dilarang mengguna perkataan atau kalimah Allah dalam terbitan akhbarnya oleh Kementerian Dalam Negeri. Susulan daripada itu, pihak gereja melalui Bishop Roman Katholik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam telah mengemukakan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan telah memberi kebenaran kepada akhbar tersebut menggunakan kalimah Allah seperti alasan-alasan yang diberikan. Keputusan tersebut telah tidak dapat diterima oleh sebilangan umat Islam di negara ini.

Kita berasa amat pelik Kementerian Dalam Negeri yang di bawahnya terletak pasukan polis dan Special-Branchnya (SB) yang mempunyai kepakaran merisik, gagal menghidu kesan akibat yang mungkin berlaku hasil daripada keputusan mahkamah nanti. Isu yang dibawa ke mahkamah ada kaitannya dengan agama, dan agama selalunya dikaitkan oleh kerajaan sebagai salah satu perkara sensitif. Pihak Kementerian Dalam Negeri seharusnya berusaha menyelesaikan masalah tersebut pada peringkat awal lagi. Seharusnya KDN sudah mengadakan perbincangan secara telus dengan pihak gereja mencari jalan penyelesaian dan cuba mengelakkan isu tersebut dibawa ke mahkamah.

Pihak KDN seharusnya sudah dapat membayangkan akibat yang akan berlaku sekiranya keputusan mahkamah menyebelahi pihak gereja. Isu yang dibangkitkan ialah kalimah ‘Allah’ yang menjadi pegangan tauhid umat Islam. Sudah pasti umat Islam tidak akan bersetuju dengan keputusan seperti ini, walaupun daripada segi perundangan negara ianya harus dihormati. Sensitiviti awal inilah yang tidak ada pada Menteri Dalam Negeri, pegawai-pegawai dan SB-SBnya, sehingga menimbulkan kekecohan yang berlaku sekarang.


Kita tidak menafikan bahawa pihak gereja mempunyai haknya dari segi Perlembagaan Negara untuk memanjangkan perkara tersebut ke mahkamah. Perlembagaan Negara juga membenarkan agama-agama lain bebas mengamalkan kegiatan agama mereka, meskipun agama Islam diangkat sebagai agama rasmi. Atas asas itu juga mahkamah membuat keputusan. Akan tetapi, kebebasan itu tidaklah mutlak kerana agama-agama lain terikat dengan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama bukan Islam di kalangan orang Islam yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Enakmen ini telah diwartakan pada 1988.

Sayugia diingatkan, bahawa hal ehwal yang berkaitan dengan agama Islam adalah terletak di bawah kuasa Raja-Raja Melayu dan negeri-negeri. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, maka Yang diPertuan Agung adalah ketua agama bagi negeri-negeri berkenaan. Pihak gereja tidak seharusnya berkeras mahu terus menggunakan kalimah ‘Allah’ kerana dalam konteks agama Katolik, mereka tentu maklum tentang sensitiviti umat Islam yang keberatan menerima tuntutan mereka. Apabila pihak gereja berkeras dengan tuntutan mereka, maka ianya menimbulkan andaian adanya agenda di sebalik tuntutan itu. Ianya akan ditafsir sebagai, ‘lulus jarum, lulus kelindan.’ Gejala seperti ini membentuk sikap hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pegangan orang lain.

Reaksi spontan umat Islam terhadap keputusan mahkamah itu sesuatu yang boleh dijangkakan. Sudah pasti kalimah Allah yang menjadi pegangan tauhid dan aqidah umat Islam tidak rela disekutukan dengan agama lain seperti Katolik yang berfahaman trinity, iaitu kewujudan Tuhan bersifat tiga elemen iaitu bapa, anak dan roh. Ini bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam Islam Allah tidak beranak dan diperanakkan.

Ini ditegaskan di dalam Surah Al-Ikhlas ayat 1-4 yang bermaksud, ‘Katakanlah Wahai Muhamad, Dialah Allah Tuhan Yang Maha Esa. Allah tempat bergantung dan meminta sesuatu. Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya.’

Kalimah Allah adalah nama yang merujuk zat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza dengan nama-nama lain yang lazim dipakai.

Maka bantahan umat Islam itu meskipun wajar, tetapi harus berlandaskan undang-undang negara. Jangan pula ada pihak yang berkepentingan mengapi-apikan sehingga menimbulkan keadaan huru hara. Apa lagi apabila ada yang tidak dapat mengawal perasaan dengan bertindak di luar kewarasan dengan membakar gereja. Tindakan ini tidak menggambarkan ajaran Islam itu sendiri, malahan ianya perbuatan provokasi yang akan menjejaskan keharmonian perhubungan kaum dan agama yang telah sekian lama kita nikmati. Tidak akan berkesudahan sekiranya provokasi dibalas juga dengan provokasi.

Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana yang mungkin. Semakin lama dibiarkan, maka semakin panjang rentetan persoalannya. Semakin kusut dan sulit nanti untuk diselesaikan.

Justeru kerana itu semua pihak mesti kembali kepada realiti kehidupan masa kini. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Apa yang dibolehkan di negara lain, tidak semestinya sesuai dengan negara ini. Maka jalan penyelesaiannya ialah dengan semua pihak bertolak ansur demi kesejahteraan perpaduan rakyat di negara ini.

Saranan Datuk Clarence Bongkos Malakun, Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia supaya pihak akhbar Herald-The Catholic Weekly menggugurkan tuntutan dan menarik balik kes mahkamah, harus diberi pertimbangan yang wajar. Mahkamah tidak akan dapat menyelesaikan isu ini, malahan ianya akan bertambah rumit apabila sampai di peringkat yang lebih tinggi. Tentu sekali akan terjadi konflik di antara kuasa mahkamah dengan kuasa Raja-Raja Melayu nanti.

Sekiranya pihak gereja masih degil dan berkeras mahu meneruskan tuntutannya, maka tiada jalan lain lagi selain Majlis Raja-Raja Melayu dengan cepat dan tegas mencampuri isu ini untuk ditangani selaras dengan kuasa dan undang-undang yang sedia ada. Ketegasan Sultan Selangor menghalang kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam, seperti dilaporkan oleh media (BH 12 Jan 2010), adalah manifestasi rasa kecewa baginda terhadap isu yang dibangkitkan ini. Apakah arahan baginda ini boleh dianggap sebagai contempt atau ‘menghina mahkamah?’ Sudah mula terpercik konflik yang dibayangkan di atas tadi.

Kalau pihak akhbar berkenaan masih mahu meneruskan tuntutannya sehingga ke mahkamah yang lebih tinggi, maka mereka seharusnya sanggup menanggung risiko sekirannya berlaku pertelagahan yang lebih besar. Sudah sampai masanya pihak orang bukan Islam dan bukan Melayu menunjukkan toleransi mereka terhadap isu sensitif ini. Orang Melayu/Islam sudah banyak bertolak ansur demi menjaga perpaduan kaum di negara ini. Sudah dapat dibayangkan apa akan berlaku sekiranya keputusan mahkamah yang paling tinggi dalam negara ini tidak menyebelahi Kementerian Dalam Negeri dalam permohonan rayuan mereka. Tidak ada yang dapat dilakukan nanti apabila nasi sudah menjadi bubur.

Kita tidak mahu nanti KDN akan bermaharajalela pula menggunakan Akta ISA sebagai penyelesaiannya. Pastinya bagi KDN menggunakan ISA kaedah yang paling mudah. Atas apa alasan sekalipun, ISA tidak wajar digunakan kepada sesiapa sahaja untuk menyelesaikan masalah. Kita mempunyai Akta dan undang-undang yang mencukupi untuk mendakwa mereka yang disyaki bersalah di mahkamah.

Oleh hal yang demikian, KDN seharusnya berbincang dengan pihak akhbar berkenaan untuk mencari jalan bagi menyelesaikan isu ini di luar mahkamah. Perbincangan di luar mahkamah tidak menjejaskan proses mahkamah yang sedang berjalan. Inisiatif perlu dimulakan oleh KDN sendiri agar kemelut ini dapat diselesaikan pada kadar yang segera. Lebih lama dibiarkan akan lebih kusut jadinya. Semua pihak mesti memikirkan kesan buruknya, bukan soal menang atau kalah.