Monday 31 January 2011

Cik Gu Mala kalah

Kekalahan cik gu Mala memang sudah dijangka oleh banyak pihak kerana DUN Tenang adalah kubu kuat Umno. Namun aku turut sedih kekalahannya dengan majoriti yang lebih besar daripada PRU 12 dulu. Malah di kawasan-kawasan Cina yang solid sokong calon Pas dulu sudah berpaling tadah. Hanya satu kawasan Cina sahaja terus memberikan undi pada cik gu Mala. Nampaknya wajah manis dan cun cik gu Mala tidak berjaya menarik simpati pengundi, terutama Melayu.

Seperti yang pernah aku katakan wajah cik gu Mala bawa rezeki, tetapi Umno/BN terang-terang tabur rezeki. Bagi mereka itu bukan rasuah kerana tafsir rasuah mengikut undang-undang yang mereka buat tidak terpakai kepada mereka. Kerana undang-undang dicipta bukan untuk mereka yang berkuasa, tetapi untuk mereka yang dikuasa. P.Ramlee sudahpun membayangkan peristiwa ini dalam filem Nujum Pak Belalangnya. Kata Menteri Undang-Undang dalam filem itu, "Jangan bimbang, undang-undang hamba yang buat."

Ini bermakna Pas dan PR mesti muhasabah diri. Pengaruh Umno khususnya di kalangan orang Melayu amat kebal dan kukuh. Sebenarnya Umno/BN berkuasa melalui kuasa yang ada padanya. Semua pegawai dan kakitangan kerajaan tidak boleh angkat muka pada orang politik Umno/BN. Sesiapa cuba melawan tauke pasti akan menerima akibatnya.

Selepas ini jangan terperanjat suami cik gu Mala akan menghadapi tekanan daripada pelbagai pihak terutama Jabatan Pelajaran. Pastinya dia akan ditukar atau apa-apa saja yang boleh membuatkannya berhenti daripada menjadi guru. Lihat saja apa jadi pada pengarah Jabatan Kerajaan Johor yang terang-terangan berkempen untuk Umno seperti tersiar dalam video, dan laporan polis juga telah dibuat, tak apapun berlaku pada beliau. Aku bimbang kalau ada dua set undang-undang digunakan dalam negara ini, takut-takut nanti terjadi seperti di Tunisia dan Mesir. Pada ketika itu, menyesal pun tak berguna lagi.

Pas dan PR jangan tunggu berkempen apabila ada pilihan raya saja. Ceramah juga dikurangkan kerana ceramah tidak memberi kesan pada orang ramai. Lebih baik adakan dialog berkelompok sepanjang masa dan dua hala sifatnya, melalui kaedah ini dapat dinilai dan dikaji pendirian serta tahap pemikiran orang ramai yang ditemui.

Di DUN Merlimau pun aku fikir PR tak ada peluang untuk menang kerana di Melaka sudah dikepung dan ditanam dengan pemikiran hanya Umno/BN saja yang boleh memerintah. Aku fikir tak payahlah PR sibuk-sibuk mahu bertanding di situ, buang masa dan duit aja. Ini bukan kerana aku tidak ada semangat juang, kerana menang atau kalahpun tidak mengubah kedudukan kerajaan Melaka. Tapi, kalau mahu juga berjuang untuk mengukur tahap pengaruh, teruskanlah. Pengaruh tidak boleh berlaku hanya ketika kempen pilihan raya saja, ianya harus berterusan sepanjang masa. Aku fikir contohilah parti Keadilan di Turki, mereka berjaya menawan hati rakyat dengan kerja-kerja kebajikan yang dilakukan berterusan walaupun menghadapi tentangan daripada tentera yang berfahaman sekular. Walalahualam!

Thursday 27 January 2011

Nak Tahu Kenapa depa nak pinda Akta Cetak

Berita terbaru paling hangat sekarang ialah kerajaan melalui kementerian dalam negeri (KDN) berura-ura benar mahu meminda Akta Mesin Cetak supaya Akta itu merangkamui juga dunia siber iaitu blog, twitter dan facebook. Bantahan awal sudah dapat didengar daripada Kesatuan Wartawan National (NUJ), Kumpulan anti akta mesin cetak(Kami), beberapa orang para blogger dan individu lain.

Ura-ura pihak kerajaan ini mencerminkan betapa kebelakangnya pemikiran mereka terhadap media alternatif yang semakin luas pengaruh dan pembacaannya. Kerajaan tidak harus gusar dengan perkembangan teknologi canggih ini dalam menyampaikan maklumat. Yang perlu kerajaan sampaikan maklumat dengan betul. Media yang di bawah pengaruh kerajaan juga memberi maklumat dengan betul, jangan menyeleweng dan cuba mengelapkan maklumat yang benar atau yang tidak menguntungkan pihak kerajaan. Siarkan maklumat itu dengan seimbang, jangan hanya siarkan aktiviti pihak kerajaan sahaja dan mengelapkan aktiviti parti-parti politik yang lain. Seimbangkan laporan, buat laporan secara jujur dan profesional, bukan laporan bersifat propoganda politik seperti apa yang berlaku sekarang. Buktinya apa yang berlaku ketika PRK dan sekarang di DUN Tenang, lihat sahaja laporan media cetak dan elektronik, sangat bias, berat sebelah dan bersifat propoganda semata-mata.

Saya percaya orang ramai tak payah mencari alternatif lain untuk mendapatkan maklumat seperti dalam internet atau membeli Harakah, Siasah atau media alternatif yang lain, sekiranya media arus perdana bersikap profesional dan tidak berat sebelah. Jangan fikir rakyat sekarang tidak cerdik membezakan antara propaganda politik dan maklumat yang benar.

Justeru kerana kecerdikan rakyatlah maka kerajaan berasa bimbang tentang pengaruh alam siber ini. Dengan menyekat maklumat, maka kerajaan sampai bila-bila pun akan dapat memperdaya dan memperbodohkan rakyat. Ini suatu prespesi yang salah, kerana alam siber ada pelbagai punca maklumat yang dapat dicapai. Kalau kerajaan menyekat penyampaian maklumat, rakyat bukan sahaja kabur maklumat tetapi akan menjadikan mereka buta maklumat sepanjang masa. Apa ditakuti kalau maklumat itu betul, kalau tidak betul berikan maklumat yang betul.

Pengaruh internet ini telah berjaya menjatuhkan kerajaan zalim Tunisia. Begitu juga melalui facebook dan twitter, rakyat Mesir dapat digembeleng untuk bagkit membantah kerajaan kuku besi Hosi Mubarak yang telah memerintah Mesir lebih dari 30 tahun. Walaupun ada pilihanraya berlangsung di Mesir, tetapi pilihanraya itu hanya topeng untuk membenarkan Hosni terus berkuasa dengan pelbagai penipuan.

Hubaya!Hubaya! kalau kerajaan kita juga cuba bersikap sedemikian, maka jangan terperanjat suatu hari nanti kejadian yang sama mungkin berlaku di sini. Adakan pilihanraya dengan telus, jangan berat sebelah, Institusi Kehakiman hendaklah bebas untuk menjadi check & balance, peguam negara dan pihak penguatkuasa jangan memilih-milih mengambil tindakan. Jangan rasuah dan pemimpin tertinggi kerajaan mesti menunujkkan contoh yang baik. Kalau pemimpin kerajaan sendiri merasuah rakyat ketika PRK atau PRU, apa diharapkan dengan rakyat. Kalau keroh air di hulu, mana mungkin jernih air di kuala. Ikan busuk bermula dari kepalanya, dan akan diikuti membusuk oleh bahagian lain.

Demikainlaj al-kisahnya, kerana takut digulingkan macam di Tunisia dan Mesir, maka depa ni siang-siang sudah mahu sekat maklumat. Namun depa tidak sedar pengelapan maklumat ini bagaikan bom jangka yang akan meletup bila-bila masa saja.

Sunday 23 January 2011

Cik gu Malah yang tenang


Semalam 22 Hanuari 2011 ,(Sabtu) hari penamaan calon PRK Tenang (Labis, Johor) aku dan beberapa orang kawan turun untuk melihat keadaan di Tenang. Sebelum berlepas, aku, Hasni Abas, Dinsman, Nordin dan Kasim sudah pasang angan-angan, pada kesempatan berada di Tenang nanti, harap-harap akan dapat berjumpa dengan calon Pas yang cantik ayu, Cik Gu Normala Sudirman. Mereka menumpang kereta aku ke rumah Hasni di Kg. Pandan dan dari situ menumpang kereta Hasni Ke Labis.


Pagi masih dingin, suria masih belum memancarkan cahayanya. Ketika kami bertolak dari rumah Hasni, mentari pagi dengan malas mula menjenguk di ufuk timur. Perjalanan kami lancar dan licin kecuali terpaksa beberapa kali berhenti kerana perut aku meragam sejak sarapan makan nasi lemak di R&R Seremban hala Selatan. Mujur tak tercerit dalam kereta Hasni, kalau tidak tentu haru mereka kena hidu shit yang busuk lagi membusukkan.


Lebih kurang jam 12 tengahari, kami sampai di pekan Labis. Penamaan calon baru selesai. Beribu-ribu orang penyokong kedua-dua buah parti mulai bersurai. Ada yang membawa bendera parti masing-masing, pakai topi dan baju logo parti masing-masing dan yang paling menarik baju T yang ada gambar Cik gu Mala yang ayu dan tenang. Amani Jagat belum kelihatian di stesen minyak petronas. Selepas beberapa minit menuggu, Amni sampai dengan kereta Proton wira coklat bersama abangnya. Mereka memakai logo pas di dada masing-masning. Kami kemudian dibawa sekitar pekan Labis menuju ke khemah operasi Pas. Kami terjumpa YB Sallahuddin Ayob dan ustaz Nasaruddin Tantawi di situ. Mereka kemudian meninggalkan kami agak tergesa-gesa kerana ada 'meeting', kata mereka.


Di Pekan Labis kelihatan banyak bendera dacing tercacak di sepanjang jalan. Bendera Pas tak kelihatan, kecuali satu dua batang yang terpencil. Tapi di khemah markas Pas banyak bendera Pas berkibar dengan megah sekali. Yang menariknya markas Pas ini betul-betul bersebelahan dengan markas Parti Gerakan kawasan Labis.


Kami dibawa ke markas Pemuda Pas, di sana kami berjumpa dengan Suhaizat. Dia memberi taklimat pada rombongan Paksi ini dan menacadangkan ada lebih molek Paksi berkerjasama dengan 'Anak' supaya tidak kelihatan terlibat secara langsung dalam kempen politik dalam aktiviti membudayakan masyarakat. Memang Paksi mahu membuat aktiviti di DUN itu pada kesempatan PRK ini dengan tujuan mendekatkan masyarakat di situ memahami budaya dan sastera.


Kami pun berjumpa dengan Saiful di Felda Cempelak. Dia berikan kerjasama yang baik. Maka diaturkan beberapa buah program pada 27 dan 28 Jan ini. Salah satu programnya ialah ceramah sastera untuk penutut-penuntut yang akan mengambil SPM. Ada beberapa program lain juga diatur sama.


Selepas itu kami dibawa Amni ronda di sekeliling Felda itu dan perkampungang Melayu, Kg Seberang Merah. Namanyanya merah, menunjukkan petanda yang amat sukar bagi pekerja Pas menembusi perkampungan ini. Ini diakui oleh petugas Pas. Memang benar pun setelah kami kelilingi kampung itu hampir setiap rumah kibarkan bendera dacing. Sehelai pun bendera Pas tidak kelihatan. Di kampung itu ada lebih kurang 500 pengundi, ini bermakna Pas tidak mungkin dapat undi di kampung itu.


Amat payah aku lihat Pas boleh mengalahkan Umno/BN di situ. Tetapi siapa tahu wajah tenang dan ayu cik gu Mala boleh membikin keadaan menjadi sebaliknya. Wajah cik gu Mala cukup ayu dan menawan. Moga-moga dengan ketenangan wajahnya, keayuan manis senyumannya dapat memikat pengundi-pengundi di situ. Kata seorang kawan, 'wajah cik gu Mala bawa rezeki, tetapi Umno/BN tabur rezeki di situ. Entahlah.


Dalam perjalanan pulang malam itu kami singgah di Segamat, mencari seorang sasterawan tanah air yang dilupakan. Kami jumpa dia, sdra Baharuddin Kahar di gerai menjual sate di Jalan Kolam Air, Segamat. Wajah tuanya itu menggambarkan penderitaan hidup yang beliau tanggung selama ini. Kami disambut meriah oleh beliau dan berbual panjang, meskipun menganggu perniagaan satenya. Beliau asyik melayan kami sehinggakan mengabaikan pelanggannya. Ada seorang wanita mengandung datang merayu kepadanya meminta dibakarkan sate untuknya, "kalau tak dapat banyak, tiga cucuk pun jadilah, bang," rayu wanita itu menandakan betapa 'mengidamnya' wanita itu mahu memakan sate. Baha bangkit dan mengipas satenya dengan tekun.


Cerita Baha akan saya tulis dengan lebih lengkap pada kesempatan lain.


Tuesday 18 January 2011

Hujah Mempertahankan Novel Interlok

Kewajaran Interlok sebagai teks sastera
di sekolah-sekolah.

1. ISU

1.1 Novel Interlok telah menjadi polemik yang berpanjangan. Pengumuman Datuk T. Murugiah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa novel tersebut telah ditarik balik daripada dijadikan teks Komponan Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (Komsas), memeranjatkan banyak pihak. Alasannya, beliau telah menerima banyak aduan daripada masyarakat India yang mendakwa novel ini mengandungi isu sensitif serta menghina sesetengah kaum, khususnya India.

1.2 Semenjak itu novel ini telah mendapat perhatian masyarakat dan perbincangan mengenainya berterusan sehingga menimbulkan suasana kurang harmoni di antara kaum apabila novel tersebut dan gambar pengarangnya dibakar di Kelang. Ianya telah menjadi isu besar dan polemik yang bertali arus sehingga ke hari ini. Isunya ialah novel ini tidak sesuai untuk dijadikan teks sastera di sekolah-sekolah kerana mengandungi unsur menghina sesetengah kaum, justeru itu ianya perlu ditarik balik.

1.3 Setakat ini isu ini hanya diperbesarkan oleh masyarakat India sahaja. Manakala masyarakat Melayu dan Cina seolah-olah tidak sensitif atau tersentuh seperti masyarakat India. Namun demikian, masyarakat Melayu terutama golongan penulis dan sasterawan menolak tuntutan kaum India, sebaliknya mempertahankan novel itu dikekalkan sebagai teks sastera di sekolah-sekolah.

2. Pertemuan dengan Ngo India dan Paksi

2.1 Pergeseran pendapat di antara dua kaum terbesar ini telah mendapat perhatian
Dewan Pemuda Pas Pusat. Dengan inisiatif Dewan ini, maka pada 13 Januari lalu satu pertemuan muhibbah telah diatur bagi mempertemukan beberapa Ngo India dengan Badan-Badan Penulis dan Budayawan Melayu untuk mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua pihak tentang isu ini. Ianya menjadi wadah untuk memahami pandangan masing-masing sebagai perintis wacana intelektual bagi mencari jalan penyelesaian secara berhemah dan bijaksana. Apabila ianya dalam kerangka intelektual, pastinya emosi dan sentimen perkauman dengan sendirinya tertolak dalam perbincangan.

2.2 Ngo-Ngo India yang menghadiri wacana itu ialah Malaysian Indian Movement (MIM), Hindraf, Malaysian Indian Voice (MIV) dan Dewan Perhimpunan Penyokong Pas. Manakala di pihak Ngo Melayu terdiri daripada Persatuan Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Badan Budaya Bertindak, Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), Kesatuan Perkerja-Perkerja Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail dan Prof Shaharir Mohamad Zain. Encik Suhaizan Kaiat, dari Dewan Pemuda Pas bertindak sebagai moderator. Turut hadir Dr. Shafie Abu Bakar, ADUN Bangi.

3. Alasan Ngo-Ngo India pada pertemuan muhibbah

3.1 Dalam perbincangan itu beberapa orang wakil Ngo India telah berucap dan melahirkan pandangan dan pendapat mereka terhadap novel ini. Daripada perbincangan itu, hanya tiga poin utama dapat disenaraikan sebagai isu yang dipertikaikan.

Novel ini tidak sesuai sebagai buku teks di sekolah-sekolah. Justeru itu ianya perlu ditarik balik.
Kasta Paria dalam novel ini menghina kaum India
Novel ini bukan novel sejarah kerana terdapat beberapa faktanya tidak tepat.

3.2 Poin (ii) dan (iii) bertindak sebagai alasan bagi menyokong Poin (i). Justeru dengan
alasan sedemikian maka mereka berpendapat ada ‘kewajaran’ supaya novel tersebut ditarik balik daripada dijadikan buku teks di sekolah-sekolah. Namun mereka tidak pula mempertikaikan kandungi novel tersebut yang diterbitkan pada 1967 untuk bacaan umum. Pendirian ini diambil kerana menghormati karya seni.

4. Hujah Paksi

4.1 Menilai sesebuah novel tidak boleh dikutip beberapa ayat atau halaman sahaja, lalu
terus diambil kesimpulan atau rumusan terhadap karya tersebut.. Ianya perlu dibaca dan dinilai keseluruhan novel itu dari aspek seninya, mesej, pemikiran dan gagasan idea pengarangnya.

4.2 Dalam konteks novel ini, tidak terdapat sebarang penghinaan terhadap mana-mana kaum di negara ini. Ianya mengisahkan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada era sebelum merdeka dalam kalangan keluarga Melayu, Cina dan India. Mesej yang cuba disampaikan oleh pengarang ialah pada era penjajahan Inggeris, ketiga-tiga kaum ini dipisah-pisahkan dalam kotak-kotak perkauman, sehingga sukar mencari titik pertemuan. Ini terbukti apabila kelompok Melayu terdiri dalam kalangan petani, nelayan dan kakitangan kerajaan. Kelompok Cina sebagai pengusaha lombong dan peniaga. Manakala kelompok India sebagai pekerja estet (hal.395). Peristiwa-peristiwa yang berlaku seperti digambarkan dalam novel ini adalah cerminan sejarah yang berlaku pada waktu itu. Novel ini sememangnya bukan novel sejarah, tetapi berunsur sejarah.

4.3 Kasta Paria memang wujud di India. Hakikat ini tidak boleh dinafikan. Ianya menjadi sejarah apabila masyarakat sekarang di Malaysia tidak lagi mengamal pengkelasan kasta. Dalam halaman 211, pengarang menyatakan dengan jelas, ‘sebahagian besar daripada penumpang dek dapat bercakap satu bahasa sahaja, bahasa Tamil. Satu perkara besar yang membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta paria.’

Sebahagian besar di atas dek kapal, bukan bererti kesemua kaum India yang datang di sini berasal daripada kasta paria.


4.4 Novel ini terbahagi kepada 4 bab (buku), Bab pertama menceritakan keluarga Seman
sebagai watak bangsa Melayu. Bab 2 mengisahkan kedatangan keluarga Kim Hock bersama anaknya, Cing Huat yang datang ke sini sehelai sepinggang, bermula dengan berkerja sebagai penarik lanca dan kuli mengangkut najis di Singapura ( hal 139). Bab 3 menceritakan kisah Maniam yang mendarat di Pulau Pinang bersama-sama kawan-kawannya yang datang dari pelbagai daerah di India seperti Pondicerry, Pulikat, Madras, Malabar, Kerala dan Hyderabad (hal. 210). Bab 4 ialah visi dan misi serta cita-cita pengarang untuk membentuk suatu gagasan penyatuan ketiga-tiga kaum ini di dalam sebuah negara merdeka. Ketiga-tiga bab (buku- trilogi) novel ini meskipun kelihatan terpisah, namun ianya mempunyai hubungan antara satu dengan lain. Bab 4 memperjelaskan jalinan cerita dengan rinci merangkumi ketiga-tiga bab sebelumnya, di mana pelbagai peristiwa dramatik digambarkan oleh pengarang dengan berkesan dan jayanya.

4.5 Keluarga Seman digambarkan oleh pengarang sebagai masyarakat yang malas,
miskin dan bodoh (hal 94). Pak Musa, bapa Seman tidak menyekolahkan anaknya Seman, maka Seman terus menjadi petani dan kuli kepada Cina Panjang (Cing Huat). Seman tiba-tiba tersedar, selama ini bapanya menumpang di atas tanah milik Cing Huat. Dia bukan tuan rumah dan tanah itu, tetapi sekadar menumpang sahaja. Seman berasa terhina apabila dia dan ibunya diusir keluar daripada rumah dan tanah yang disangkanya milik ayahnya. “Mahu dengar apa lagi, kita diusir seperti kucing kurap.’ (hal 88).

Apabila dia dan ibunya diusir keluar dari tanah dan rumah itu, Seman bertekad tidak mahu jadi seperti bapanya yang bergantung hidup pada tauke Cing Huat. Dia mahu berdikari dan berusaha sendiri.”Aku tak mahu menumpang orang, Zim. Aku mahu berdiri sendiri. Barangkali ada hikmahnya bapaku tinggalkan kami serupa ini.” (hal 93). Pengarang menguatkan lagi iltizam Seman pada halaman (98 & 99) seperti dialog ini, “Aku tak mahu orang tolong, tak usah!” dan “Aku tak mahu orang bersusah payah menolong aku. Aku tak mahu minta sedekah.”

4.6 Bab 2, pengarang menceritakan Kim Hock dengan anaknya Cing Huat serta
rombongan datang ke Malaya dengan menumpang sebuah kapal berhimpit-himpit di atas geladak yang sempit seperti babi dalam kandang (hal 116). Pengarang juga menggambarkan sifat orang Cina yang suka berjudi seperti diungkapkan dalam halaman 121, “dia sengaja membawanya ke Singapura kerana dia akan membuka pajak judi di Taiping, tempat lombong bijih yang sedang dibuka.” Sifat materialisme masyarakat Cina digambarkan dalam halaman 123, “Cing Huat ingin melihat pokok yang berbuah emas, berbuahkan duit. Dia akan panjat pokok-pokok itu untuk mengambil duitnya.”

Akhirnya berkat kerja kerasnya, keluarga Cing Huat berjaya sebagai seorang peniaga kedai runcit dan menguasai ekonomi di kampung itu serta memiliki banyak harta, meskipun bapanya Kim Hock mati akibat menjadi tahi candu.

4.7 Bab 3 menceritakan kisah Maniam yang juga datang ke Malaya dengan berasak-
asak seperti kambing. Seperti Kim Hock yang meminjam wang daripada paman Kok Leng untuk datang ke sini (hal 110), Maniam juga terjebak dalam perangkap penghisap darah (ceti) bernama Pillay dengan menggadaikan tanah dan rumahnya (hal 215).

Maniam berasa selesa di sini kerana perbezaan kasta tidak menjadi amalan di sini (hal 216). Halaman 218 menguatkan lagi keselesaan Maniam seperti yang diungkapkan pengarang, “ Di sini dia tidak sahaja bebas bercampur gaul dengan orang lain sama bangsanya, malah dia tidak takut dengan pantang larang yang terdapat di negaranya apabila seseorang India daripada kasta rendah menyentuh orang India daripada kasta tinggi.” Halaman 219 lebih meyakinkan Maniam bahawa tiada pemisahan kasta berlaku di sini seperti yang diungkapkan pengarang, “Di negeri ini, orang daripada keturunan kasta tinggi, kasta Brahma (Brahmin), memakai punul yang melintang ditubuh, tetapi dia tidak takut menyentuh orang itu.”

Rumah tangga Maniam berantakan. Isterinya di India dikebas oleh Pillay yang tidak amanah (hal 221). Dia juga terpaksa berpisah dengan isteri keduanya Malini A/P Perumal, mandur di sebuah kebun getah milik orang Inggeris kerana difitnah (hal 239), oleh orang sekampungnya bernama Suppiah, seorang pembodek dan munafik. Ketika Maniam meninggalkan Malini, dia diserang sekumpulan orang yang tidak dikenali (dipercayai orang Suppiah). Mujur Musa (bapa Seman) menyelamatkannya daripada dibunuh oleh kumpulan tersebut. Maniam terasa terhutang budi dan nyawa pada Musa.

4.8 Bab 4 adalah kunci kepada motif dan objektif penulis novel ini. Pengarang
menyatukan ketiga-tiga kaum ini mengikut episod dan rentetan peristiwa yang berlaku sebelumnya. Meskipun Cing Huat masih memandang rendah masyarakat Melayu dan melarang anak-anaknya berkawan dengan budak-budak Melayu (hal.298), akan tetapi anak lelakinya Yew Seng dan Poh Eng, (adik perempuan Yew Seng) meneruskan persahabatan dengan budak-budak Melayu di kampung berdekatan (hal 299).

4.9 Ketika Maniam berpisah dengan Malini, isterinya sedang hamil. Malini melahirkan
anak lelaki yang diberi nama Ramakrisynan (Rama), yang tidak pernah dilihat oleh Maniam ketika anaknya itu membesar. Rama membesar dalam asuhan ibu dan datuknya, Perumal. Rama menjadi inspektor polis dan mereka berjumpa ketika perang Jepun apabila Maniam diseksa di balai polis di mana Rama bertugas (hal 358). Rama kemudiannya memain peranan penting menolong membebaskan Mak Limah (ibu Seman) yang ditangkap Jepun (hal 366). Poh Eng diselamatkan Seman daripada diapa-apakan oleh askar Jepun dan disembunyikan oleh Mak Limah di kebun getah tempat Maniam berkerja. Maniam ditangkap pula oleh gerombolan komunis dan diselamatkan oleh Yee Seng dan Poh Eng. Poh Eng menembak Suppiah (salah seorang anggota gerombolan) sebelum Suppiah sempat membunuh Maniam (hal. 413). Semua peristiwa dramatik ini digambarkan oleh pengarang dengan tragik dan berkesan.

4.10 Dari aspek penyatuan, pengarang mengharapkan suatu mekanisme dapat dibentuk
seperti terdapat dalam ayat, “Raman melihat bahawa satu masyarakat Malaya mesti dibentuk, tetapi dia belum tahu atas dasar apa pembentukan itu mesti dilakukan.” (hal. 395). Raman ialah guru berbangsa India.

Aspek adat dan budaya.

5.1 Pengarang menyentuh aspek adat dan budaya pada setiap watak yang mewakili kaum masing-masing. Ketika Paman Kok Leng membawa rombongannya ke Malaya beliau telah mengingatkan bahawa orang India Muslim dan Melayu tidak makan babi (hal 131). Halaman 226, 227 dan 228 pengarang menggambarkan adat perkahwinan orang India (Hindu) dengan terperinci. Dipetik seperti berikut, “Dalam upacara gatra-haridra tubuh Malini dilumuri dengan tepung kunyit; kemudian dia dimandikan dengan air bau-bauan. Kain yang digunakan untuk mengelap badannya telah dibawa ke dalam hutan di seberang sungai dan disangkutkan pada pokok kayu, supaya dia dapat melahirkan anak yang banyak kelak. Di dahinya digambari dengan gambar bunga; di pelipis di antara alis matanya dipakaikan bindi; pipinya dimerahkan dengan tepung kuma-kuma; bibirnya diwarnakan; matanya dicelak supaya kelihatan besar. Seutas benang mentah yang telah kuning diikat di pergelangan tangannya.” (hal 226).

5.2 Halaman 227 pengarang melukiskan seperti berikut, “Malini dan Maniam didudukkan di atas pentas pelaminan yang dihiasi dengan daun-daun mangga yang ada hubungannya dengan Kaman, dewa cinta, dan kain merah. Setelah menjalankan upacara ankurarppanam, upacara pemujaan yang dilakukan dengan periuk tembikar berisi sembilan macam biji-bijian, doa pun dibaca untuk dewa Palikai.”

Persetujuaan awal yang telah disepakati

6.1 Pada pertemuan awal dulu beberapa persafahaman telah disepakati seperti
berikut:-

i) Kedua-dua belah pihak menghormati dan memperakui bahwa novel Interlok
adalah sebuah karya seni (sastera) dan lantaran itu novel ini tidak seharusnya ditarik balik dari pasaran untuk bacaan umum.

ii) Kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa novel ini bukan sebuah novel sejarah
dalam erti kata sebenar, namun ianya berunsur sejarah.

iii) Kasta Paria memang wujud di India. Malah sudah ramai golongan ini
memegang jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan dan menjadi ahli politik dan perniagaan yang berjaya. Cuma yang tidak disetujui oleh kelompok Ngo India, fakta kasta pariah tidak harus didedahkan kepada pengetahuan murid-murid sekolah.

iv). Kedua belah pihak kesal dengan peristiwa pembakaran novel Interlok dan
gambar SN Datuk Abdullah Hussein di Kelang pada 8 Jan 2011.

Kesimpulan

7.1 Tidak terdapat jurang perbezaan yang besar di antara dua kelompok Ngo ini
Walaupun mereka mempersoalkan ayat, ‘berasak-asak seperti kambing,’ yang kononnya bernuansa menghina, namun hujah mereka tidak kukuh dan mantap. Ianya lebih menjurus kepada sentimen perkauman sahaja. Ayat itu hanya sekadar bidalan bagi menggambarkan betapa sesaknya mereka dalam kapal berkenaan. Pengarang juga menggunakan bidalan yang sama bagi orang Cina seperti, ‘babi dalam kandang.’ Pengarang menggunakan ‘kambing’ bagi orang India kerana mereka gemar makan kambing. Begitu juga ‘babi’ yang menjadi makanan kegemaran orang Cina. Itu bukan penghinaan dan tidak menghina sesiapa pun.

7.2 Kalau sudah boleh diterima bahawa Interlok adalah sebuah karya seni sastera,
maka tidak ada alasan yang logik menolak novel itu daripada dijadikan teks di sekolah-sekolah. Isi kandungannya sama dengan edisi umum, murid sekolah juga boleh membaca edisi umum ini, maka mereka juga akan terdedah dengan apa yang kononnya didakwa menghina kaum India.

7.3 Fakta adalah fakta, ianya tidak boleh disembunyikan. Kasta Paria wujud di India
dan ianya adalah fakta yang tidak boleh dinafikan. Menyembunyikan fakta bererti kita memyembunyikan kebenaran atau kewujudan sesuatu peristiwa itu. Maka hujah bahawa novel ini tidak sesuai untuk dijadikan teks di sekolah-sekolah hanya kerana perkataan paria, adalah sangat dangkal dan remeh.

Banyak buku yang membicarakan kasta paria ditulis oleh penulis-penulis India, seperti Untouchable (Mulk Raj Anand) yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan tajuk ‘Pariah.’ Buku-buku lain ialah Kanthapura (R.K. Rao), A Passage to India (E.M.Foster), Nector In A Sieve (Kamala Markandaya), The Sweet Vendor (R.K. Narayan), A. Handful of Rice (Kamala Markandaya) dan Stroies From India (anotlogi cerpen). Malah sebahagian besar filem-filem Tamil dan Hindustan bertemakan kisah kasta rendah ini seperti filem Slumdog Millionaire.

7.4 Dalam masyarakat India tidak ada kasta Brahma yang ada kasta Brahmin. Ini
mungkin kesilapan taip atau kesilapan pengarang. Begitu juga dengan upacara pemujaan yang dilakukan dengan periuk tembikar berisi sembilan macam biji-bijian, boleh sahaja diperbetulkan kalau ada kesilapan berlaku. Namun kami percaya pengarang pasti sudah membuat penyelidikan dan kajian atau melihat sendiri peristiwa itu sebelum menurunkannya dalam karyanya. Elok mendapatkan kepastian pengarang dalam soal ini.

7.5 Oleh hal yang demikian, Paksi dan Ngo-Ngo yang bersama-sama dengannya
menolak dakwaan bahawa novel Interlok menghina kaum India. Jelas tidak terdapat sekelumit pun unsur penghinaan dalam novel ini. Berlandaskan alasan dan hujuh-hujah di atas, Paksi berpegang teguh pada pendiriannya, bahawa novel Interlok sesuai dan wajar dijadikan buku teks di sekolah-sekolah dan ianya harus dikekalkan status-quonya tanpa apa-apa pindaan dan/atau perubahaan.

7.6 Paksi berpendapat dan yakin isu yang diperbesarkan ini ialah kerana ramai
dalam kalangan masyarakat India tidak/belum membaca novel ini sepenuhnya. Yang sudah membacanya tidak mempertikaikan novel ini. Mereka sekadar berdiam diri takut ditohmah dan dimarahi masyarakat India yang lain. Ianya lebih kepada prasangka buruk dan bersifat sentimen politik perkauman yang sempit. Disemarakkan lagi oleh sesetengah ahli politik dengan membesar-besarkan isu ini sehingga melanggar batasan adab dan susila, semata-mata untuk kepentingan politik diri sendiri daripada kepentingan nasional.

Masyarakat India yang mempertikaikan novel ini mesti menerima hakikat ini dengan rasional dan fikiran terbuka. Mereka yang cerdik tidak membenarkan minda mereka dipengaruhi oleh emosi dan sentimen yang sempit. Tiada apa yang perlu dimalukan mengakui kebenaran. Justeru itu kami menyeru, terimalah hakikat dan kebenaran ini dengan hati terbuka tanpa prasangka. Novel ini harus dilihat dari aspek positifnya, bukan negatifnya. Malah tidak terkesan sifat negatif ada dalam novel ini.

Sekian, terima kasih.


Disediakan oleh Razali Endun bagi pihak Paksi dan Badan-Badan Sekutunya.

Saturday 8 January 2011

Interlok - Pena pula nyata pendirian.

Dari kiri Prof Dr. Datuk Salleh Yaapar, Timbalan Pengerusi DBP, Saleeh Rahamad, Presiden Pena, S.M. Zakir, Setiausaha Agong dan Amiruddin Ali, Timbalan Presiden Pena pada sidang media di rumah Pena 8 Januari lalu.


Persatuan Penulis Nasional (PENA) hari ini menyatakan dengan tegas supaya Kementerian Pelajaran mengekalkan novel 'Interlok' sebagai teks Komponan Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan lima. PENA menentang sebarang tuntutan untuk menarik balik novel Interlok daripada senarai teks Komsas. Demikian kenyataan yang dibacakan oleh Presiden PENA, Mohamad Saleeh Rahamad pada sidang media di rumah PENA pada 8 Jan 2011.

Pada 5 Januari lalu, Persatuan Seniman Rakyat (Paksi) telah menyatakan perkara yang sama menolak sebarang tindakan untuk menarik balik novel Interlok. Sementara itu Gapena melalui kenyataan Setiausaha Agongnya, Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan seperti dipetik oleh Malaysiakini, menyatakan sebarang pindaan dan perubahaan terhadap novel tersebut hendaklah mendapat keizinan terlebih dahulu daripada pengarangnya.

Kemelut Interlok berlaku setelah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah mengumumkan bahawa novel tersebut telah ditarik balik daripada Komsas. Seminggu selepas itu baru dinafikan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Menteri Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin Yasin pula dilaporkan bersetuju supaya dikaji semula novel tersebut, dan jawatankuasa khas ditubuhkan bagi tujuan tersebut. Puncak kebimbangan ialah apabila ada Ngo-Ngo India mengugut mahu membakar novel tersebut di hadapan Kementerian Pelajaran. Manakala dalam kalangan politik, Ngo-Ngo India ini mengancam akan meletakkan calon bebas pada PRK DUN Tenang yang akan berlangsung 30 Jan ini, sekiranya kerajaan enggan menarik balik novel itu.

Senario yang berlaku ini membina prespektif negatif terhadap sebuah novel sastera berbentuk fiksyen kepada isu perkauman yang dipolitikkan. Fenomena ini amat berbahaya sekali, kerana novel tersebut yang memenangi hadiah sagu hati dalam peraduan mengarang novel sempena 10 tahun kemerdekaan negara, sudah berada dalam pasaran lebih 40 tahun lamanya. Kalau benar sekalipun ada unsur penghinaan atau perkauman di dalam novel tersebut, sudah tentu ianya dibangkitkan lama dahulu. Lagipun ianya sudah diterima oleh jawatankuasa pemilihan Komsas sebagai buku teks tingkatan lima tahun ini. Pastinya ianya sudah dikaji dengan teliti oleh jawatankuasa tersebut yang mempunyai kepakaran masing-masing. Novel ini sudahpun dicetak dan diedarkan versi sekolahnya di sekolah-sekolah berkenaan.

PENA berpendapat, tidak ada unsur penghinaan mana-mana kaum dalam karya ini, sebaliknya novel ini mengangkat Malaysia sebagai negara yang bersih daripada kasta. Sekiranya kerajaan tunduk dengan desakan dan ugutan puak-puak ini, dan menarik balik novel tersebut, implikasinya amat besar dan buruk bagi masa depan dunia kesusasteraan tanah air. Bukan itu sahaja, kredibiliti jawatankuasa pemilihan buku teks Komsas akan dipersoalkan. SN Datuk Abdullah Hussein selaku pengarang novel tersebut akan berasa terhina dan diperlekeh.

Sebelum sidang media ini, suatu forum telah diadakan bagi tujuan mengupas novel ini secara intelektual. Panel pembicara ialah Dr. Ilias Zaidi, Dr. Fatimah Busu dan S.M. Zakir, Setiausaha Agong PENA. Rata-rata kesemua ahli panel berpendapat tidak ada alasan bagi Kementerian Pelajaran menarik balik novel tersebut kerana tidak ada unsur penghinaan dan perkauman dalam novel itu. Malah mereka berpendapat Interlok sebagai Novel Sejarah yang mengisahkan keadaan sosial tiga kaum terbesar di Tanah Melayu dalam tahun-tahun 1910-1957.

Itulah hakikat sosial masyarakat berbilang kaum pada masa itu, yang dipecah-pecahkan dalam kotak-kotak perkauman, cuba disatukan oleh pengarangnya dalam satu gagasan negara bangsa. Cita-cita pengarangnya, nampaknya tidak kesampaian kerana sekarang ini masih wujud lagi keadaan berpecah belah dalam masyarakat Malaysia. Malah ianya kelihatan lebih teruk lagi daripada dahulu.

Arahan Tan Sri Mahiyuddin supaya novel tersebut dikaji semula, adalah satu indikator tidak tegasnya pemimpin dan kerajaan Umno/BN. Beliau sendiri seolah-olah terheret dengan mainan politik kaum India yang mahu mengambil kesempatan terhadap Konsep 1Malaysia, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya. Mahiyuddin juga mungkin melihat dari prespektif politik iaitu undi kaum India. Ini kerana kebanyakan kawasan Parlimen dan DUN, undi penentunya ialah kaum India. Undi adalah penentu kuasa, maka kerana itu undi lebih penting daripada nasionalisme dan ideologi. Fenomena ini tidak terhad dalam Umno/BN sahaja, tetapi menular dalam komponan parti-parti politik Pakatan Rakyat. Ini hakikat dan real politik masa kini.

Kelemahan dan tidak tegasnya pihak kerajaan dalam beberapa aspek yang melibatkan penyatuan negara bangsa menjadikan keadaan perpaduan semakin renggang dan terpisah-pisah. Walaupun konsep 1Malaysia ke arah penyatuan itu, namun ianya tidak jelas arah tujunya. 1Malaysia tanpa formula yang jelas menjadikan rakyat semakin keliru. Rakyat melihat slogan 1Malaysia hanya slogan politik seperti juga slogan-slogan yang dicipta oleh dua Perdana Menteri sebelum ini. Slogan-slogan itu turut terkubur dengan terkuburnya karier politik penciptanya.
Salah satu kekeliruan yang berlaku ialah apabila novel Interlok dipersoalkan secara remeh, dan tekanan yang diberikan oleh parti-parti politik India dan Ngo-Ngonya seolah-olah novel itu membawa petaka kepada negara ini. Apabila pemimpin kita terikut-ikut dengan desakan mereka, maka jangan hairan apabila kaduk naik junjung.

Jangan juga terkejut apabila kerajaan akan mengumumkan penarikan balik novel ini daripada menjadi buku teks sastera Komsas. Daripada pengalaman, desakan daripada Ngo-Ngo bukan Melayu, selalunya digeruni oleh kerajaan BN/Umno, manakala Ngo-Ngo Melayu tidak digeruni oleh mereka kerana dalam mana-mana pilihan raya pun masih ramai lagi orang Melayu setia dan mengundi Umno/BN. Kalau pengundi Melayu berpaling arah, maka Melayu akan diberi perhatian istimewa nanti oleh Umno/BN. Ini berlaku di kawasan-kawasan di mana PR memenangi kawasan itu.

Oh! Melayuku! Demikianlah Melayu di tangan pemimpin Melayu yang perjuangkan ketuanan Melayu. Tunggulah Buku 'Melayu Hilang Di Dunia' tulisan Khalid Salleh yang menurutnya akan diterbitkan sebelum PRK DUN Tenang. Buku ini memaparkan, dalam banyak hal Melayu sudah kehilangan segala-galanya.

Wednesday 5 January 2011

Interlok- Paksi Nyatakan Pendirian

AJK Paksi pada sidang media di rumah Pena pada 5 Jan 2011. Dari kiri Prof. Dr. Wan Abu Bakar bin Wan Abas, sdra Dinsman dan Hasni Abas. Barisan belakang kelihatan sdra Rozan (kiri) dan sdra Kassim Mohamad atau Barajiwa.


Seniman Paksi Rakyat atau pendeknya Paksi menyatakan dengan tegas bahawa Persatuan itu menyokong penuh supaya novel 'Interlok' karya SN Abdullah Hussein dikekalkan sebagai buku teks sastera bagi Tingkat 5 bagi tahun 2011.

Presidennya, Che Shamsuddin bin Che Othman, atau lebih dikenali dengan nama Dinsman tidak bersetuju bahawa novel itu menyentuh sensitiviti kaum seperti didakwa oleh sesetengah pihak. Katanya, dia tidak terkesan bahawa novel itu menyinggung perasaan sesuatu kaum seperti didakwa. "Sastera mesti dilihat dari aspek nilai seninya, bukan dari aspek politik perkauman. Hanya terdapat perkataan pariah dalam novel itu bukan bererti pula pengarangnya menghina sesuatu kaum. Dalam novel itu juga ada disentuh orang Melayu malas dan bodoh. Orang Cina pula terlalu miskin sehingga sanggup menjual anak mereka. Semua itu adalah realiti kehidupan pada masa itu, pada zaman tahun-tahun 1920 an hingga 1957. Pengarang hanya merakamkan keadaan pada masa itu dalam bentuk kreatif dan fiksyen."

Paksi melahirkn rasa kesal kerana sikap prasangka perkauman sekarang sangat teruk sekali. Ini adalah kerana kita melihat segala-galanya dari sudut perkauman. Rakyat dan parti-parti politik di negara kita masih tebal dengan sikap perkauman. Masing-masing berfikir untuk kepentingan politik masing-masing, bukan untuk kepentingan nasional.

"Ini buktinya," tekan Dinsman lagi sambil memegang tinggi novel Interlok itu. "Dulu tak apa-apa. Novel ini memenangi peraduan menulis novel sempena 10 tahun negara mencapai kemerdekaan. Sudah diterbitkan sekitar 1967. Lebih 40 tahun berada di pasaran, tak siapa pun rasa tersinggung, baik India, Melayu atau pun Cina."

Novel ini hendaklah dilihat sebagai sebuah karya seni, bukan dilihat sebagai bahan atau alat politik. Masyarakat kita hari ini terlalu sangat berpolitik. Semua perkara hendak dipolitikkan dan segalanya hendak ditelan oleh politik.

"Paksi tidak bersetuju dengan cadangan supaya novel Interlok ditarik balik daripada menjadi buku teks untuk SPM. Tidak ada sebab untuk berbuat demikian," jelas Dinsman dengan suara yang meyakinkan.

Menjawab pertanyaan, apakan tindak balas Paksi sekiranya ura-ura pembakaran novel ini benar-benar berlaku, beliau berkata, "Paksi tidak boleh berbuat apa-apa. Paksi juga tidak mahu terikut-ikut perbuatan bodoh ini. Ianya tidak memberi apa-apa manfaat pun, selain menyemarakkan lagi api perkauman yang sedang membara. Ini amat merbahaya sekali."

Walau bagaimanapun beliau berkata Paksi bercadang mengadakan forum bagi membincangkan novel ini di PRK Tenang. Tenang akan menjadi tumpuan orang ramai sedikit masa lagi. Kita pilih tempat itu bukan untuk berkempen, tetapi bagi menjelaskan isu ini dari aspek kesusasteraan. Pembicaranya akan dipilih di kalangan para akedemik, sasterawan termasuk seorang penulis dari keturunan India. Tarikh, waktu dan tempatnya akan diberitahu sebaik-baik sahaja mendapat persetujuan para ahli panel.

Turut hadir pada sidang media itu ialah saudara Hasni Abas dari DBP, Kassim Mohamad, Razali Endun, Rozan Asif, Prof Dr. Wan Abu Bakar bin Wan Abas dan penulis veteran Abd. Shukor Haron. Mereka merupakan AJK Paksi.

Konflik antara Raja dan MB

Wah! nampaknya krisis perlantikan SUK Negeri Selangor, Hj. Kushrin meleret melibatkan pihak istana pula. Ada Adun Selangor beri komen, Sultan harus ikut nasihat MB seperti dalam perlembagaan negara. Prof Aziz Bari pula menyatakan bahawa Sultan bukan Ketua Eksekutif sesebuah negeri. Ketua Eksekutif ialah MB atau Ketua Menteri, atau Perdana Menteri dalam konteks sebuah negara. Bekas Mufti Perlis Datuk Dr. Asri pula berpendapat bahawa Raja bukan maksum, sehingga tidak boleh ditegur dan dikritik. Dan beliau memberi beberapa contoh pada zaman Rasulullah saw, di mana Nabi sendiri ditegur oleh sahabat-sahabatnya.

Salah faham ini sudah jadi krisis besar, krisis perlembagaan pula layaknya. Yang membesar-besarkannya ialah juak-juak penyokong Umno yang mengipas bara supaya menjadi api. Aku pelik sungguh dengan mereka ini. Nampak gayanya mereka menjadi sekumpulan pengampu dan cuba menyeret istana dalam konflik ini. Dulu, tahun 1993 dulu, mereka inilah juga yang menyokong usaha Dr. Mahathir meminda perlembagaan bagi tujuan menghapuskan kuasa Raja-Raja Melayu. Menjaja seluruh negara, mengapi-apikan dan memperbodohkan orang Melayu supaya menyokong mereka. Pada ketika itu kenapa Ngo Melayu, dan ahli-ahli Umno sendiri tidak seorang pun membela Raja-Raja Melayu, bersuara menentang cadangan Mahathir itu? Semuanya bagaikan dicucuk hidung, mengiyakan saja apa yang dilakukan oleh Mahathir. Malah Raja-Raja pun tidak berani mengangkat mula, apa lagi berani bersuara, menegur Mahathir. Hebat! Sungguh hebat Mahathir boleh menudukkan sesiapa sahaja termasuk Raja-Raja Melayu.

Sekarang, juak-juak ini pula yang mahu mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu yang dulu merekalah yang menjadi penderhaka kepada Raja-Raja Melayu. Kini mahu jadi pembela pula kepada Raja-Raja yang dulunya mereka hina dan tidak beri muka. Pooorah! jangan nak bodohkan lagi orang Melayu. Orang Melayu yang bebal sahaja yang akan percaya sikap hipokrit golongan ini. Hak keistimewaan dan ketuanan orang Melayu yang mereka laung-laungkan sekarang ini hanya pura-pura, hanya helah bagi meyembunyikan segala dosa-dosa yang mereka telah lakukan selama 53 tahun merdeka ini. Siapa yang menghapuskan hak istimewa dan ketuanan Melayu, kalau tidak juak-juak ini dalam Umno? Hoi! kalau hangpa banggang, dan sememangnya pun banggang, jangan pula menanggap orang lain sama banggang macam kamu. Melayu yang bebal sahaja yang percaya dengan kebebalan kalian. OOO! kesian Melayu!

Orang Melayu jangan terus diperbodohkan oleh juak-juak yang hipokrit ini!

Monday 3 January 2011

Selamat Tahun Baru 2011

Novel karya SN Abdullah Hussein disensasikan sesetengah golongan yang naif tentang sastera. Yang peliknya MIC sibuk-sibuk pula beri tekanan supaya novel ini ditarik balik daripada Komsas. Siapa sebenarnya yang cauvinis?


Asalamualikum! Hari ini dah 3 Januari 2011, bermakna sudah 3 hari kita memasuki tahun 2011. Ooh! cepat bangat! Ini bermakna usia kita semakin pendek dan semakin dekat dengan tanah kubur. Semoga Allah ampuni segala dosa-dosa kita, dosa-dosa kedua ibu bapa kita dan kaum muslimin dan muslimat sekalian. Sesungguhnya mati itu pasti bagi setiap kelhidupan. 'Kuluzaikatul maut" janji Allah dan Allah tidak pernah mungkiri janjiNya. Sebab itu setiap hari, setiap saat ada saja kematian berlaku. Insaflah wahai manusia! Taubatlah semasa pintu taubat masih terbuka. Moga-moga diterima Allah. "Astharfullahilazim!"

Tahun baru ini aku mula dengan isu novel 'Interlok' yang dijadikan sensasi oleh sesetengah golongan. Bacalah artikelku ini.


Interlok’ jadi mangsa politiking


Oleh RAZALI ENDUN


Dunia kesusasteraan tanah air menjadi gempar kembali apabila Senator Datuk T. Murugiah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan bahawa novel ‘Interlok’ karya SN Abdullah Hussain ditarik balik daripada dijadikan teks Komponan Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (Komsas) untuk pelajar Tingkatan Lima.

Ada dua prespektif yang boleh kita lihat daripada kenyataan Timbalan Menteri ini; pertama betapa dunia kesusasteraan tidak terlepas daripada perhatian dan pemantauan orang politik. Ini satu perkembangan yang positif kerana ramai beranggapan orang politik tidak ambil kisah tentang kesusasteraan apa lagi membaca hasil karya sastera.

Kira-kira dua tahun dahulu berlaku juga kekecohan dalam dunia kesusasteraan kita apabila Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran tidak menyenaraikan karya Sasterawan Negara sebagai teks baru Komsas. Mungkin kerana tekanan daripada pelbagai pihak ura-ura itu tidak dilaksanakan. Ini terbukti apabila ‘Interlok’ karya Sasterawan Negara Abdullah Hussein dipilih sebagai teks sastera bagi tingkatan lima untuk persekolahan tahun 2011. Pemilihan kali ini menimbulkan pula kontrovesi oleh pihak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada tahun 1999 dunia kesusasteraan kita digemparkan dengan kemunculan novel ‘Shit’ karya SN Shahnon Ahmad. Pada 2008 pula heboh kisah YB Teresa Kok menyaman Pengarang Mingguan Malaysia kerana menyiarkan sebuah cerpen bertajuk, “Politik Baru YB J.” karangan Chamil Wariya. Kes saman ini merupakan kes pertama di negara ini di mana pengarang kreatif menjadi mangsa saman kerana didakwa ‘memfitnah.’ Setakat hari ini kes ini belum lagi didengar di dalam mahkamah.

Kedua, pengumuman Timbalam Menteri itu sangat meragukan dan sarat dengan sentimen politik perkauman. Kenyataannya hanya berdasarkan aduan daripada segelintir khalayak yang mendakwa novel tersebut menghina kaum India dan Melayu, sangat dangkal dan tidak rasional. Sebagai Pengerusi Biro Pengaduan Awam, beliau sewajarnya meneliti segala aspek yang terkandung di dalam novel itu terlebih dahulu sebelum mengumumkan kepada orang ramai. Memetik beberapa ayat di dalam novel tersebut yang dianggap berunsur menghina/perkauman tidak memadai dan tidak boleh dijadikan kesimpulan atau rumusan. Hasil sastera hendaklah dilihat keseluruhan karya itu, bukan dikutip satu dua ayat. Kita tidak pasti apakah beliau membaca keseluruhan novel tersebut.

Tambah keliru lagi apabila beliau yang menjaga portfolio Pengaduan Awam seolah-olah mengambil alih tanggungjawab Menteri Pelajaran? Komsas bukan dalam bidang kuasa beliau tetapi adalah dalam bidang kuasa Kementerian Pelajaran. Pengumuman sepatutnya dikeluarkan oleh Menteri Pelajaran atau salah seorang Timbalan Menteri Pelajaran. Apabila Menteri dan kementerian pelajaran membisu dan tidak memberikan reaksi terhadap kenyataan Datuk Murugiah, sudah pasti ada yang tidak kena dengan pengumuman beliau itu.

Mujur Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Termuzi Abd Aziz keluar dengan kenyataan bahawa tiada arahan tarik balik ‘Interlok’ (BH 24 Dis.10). Katanya, pengumuman Datuk T. Murugiah mengenai penarikan balik buku teks itu adalah pandangan peribadi beliau. Kita tidak pasti pula sama ada kenyataan Ketua Pengarah DBP ini adalah muktamad, kerana setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran mahupun Panitia Penilai Bahagian Buku Teks untuk Komsas.

‘Interlok’ bukan bernuansa perkauman tetapi mempunyai gagasan dan wawasan untuk membina penyatuan bangsa. Judul novel ini saja sudah mencerminkan misi dan visi serta pemikiran pengarangnya. ‘Interlok’ menurut Dr. Mawar Safei bererti tautan, jalinan, cantuman yang kemas, kejap atau memanca. Bertitik tolak daripada itu, pengarang mengadun tema dan plotnya yang mengandungi watak-watak pelbagai kaum demi mencari jalur penyatuan diakhirnya.

Novel ini telah memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Mengarang Sempena 10 Tahun Merdeka (1967). Dalam peraduan ini tidak ada penerima hadiah pertama atau kedua. Penerima hadiah ketiga ialah novel ‘Sandera’ karya Arenawati. Empat hadiah sagu hati, selain ‘Interlok’ ialah, ‘Merpati Putih Terbang Lagi’ ( Khadijah Hashim), ‘Pulanglah Perantau’ (Aziz Jahpin), ‘Meniti Buih’ (Alias Harun) dan ‘Badan Bertuah’ (Ismail Al-Falah).

Jawatankuasa peraduan ini dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Mohamad Suffian Hashim. Peraduan ini telah diusulkan oleh Tun Abd. Razak Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu. Beliau telah memberikan galakan dan restu supaya peraduan ini dilaksanakan. Malah pemenang peraduan ini telah diumumkan di kediaman Tun Abd. Razak sendiri. Maka signifikannya penerbitan novel ini sangat penting kerana ianya lahir daripada cita-cita mantan Timbalan Perdana Menteri yang mahukan sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Malah mengikut kacamata A. Rahim Abdullah, ‘Interlok’ mempunyai ciri-ciri 1Malaysia, justeru itu untuk mencari satu Malaysia, carilah dalam ‘Interlok’, saran beliau (lihat MM 19-9-10).

Pengamal politik tidak seharusnya melihat karya sastera dari perspektif keuntungan politik semata-mata. Sastera bukan alat politik dan propaganda, maka dengan yang demikian ianya tidak wajar dipropagandakan. Ketidaktelitian seorang Timbalan Menteri seperti Datuk T. Murugiah ini akan menimbulkan kekecohan dan keraguan di kalangan orang ramai terutama para pengiat sastera. Ianya juga akan menjejaskan imej kerajaan yang seolah-olah tidak ada kesepakatan dalam satu-satu dasar yang diketengahkan.