Thursday 30 June 2011

Gambar-gambar Pelancaran Novel 'Cinta AF.'

S.N. Datuk A. Samad Said sedang mengupas novel 'Cinta AF.'






Gambar kiri: Sebahagian hadiran pada Gambar atas: Gimik pelancaran setelah dipotong

pelancaran novel, 'Cinta AF.' riben oleh Pak Samad. Dari kiri Kassim Mohamad
Razali Endun, Pak Samad dan Prof. Irwan.




Cinta AF Selamat dilancarkan

Alahamdulillah! Novel terbaru saya 'Cinta AF' telah selamat dilancarkan oleh SN Datuk A. Samad Said petang semalam Rabu 29 Jun 2011 di pentas aktiviti Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam. Seramai 30 orang hadir memenuhi kerusi di hadapan pentas itu untuk menyaksikan pelancaran itu.




Selepas pelancaran, novel tersebut telah diulas oleh dua orang pembicara berwibawa iaitu SN A. Samad Said sendiri dan Prof. Ir. Dr. Wan Abu Bakar bin Wan Abas @ Irwan Abu Bakar. Manakala moderatornya ialah Ir. Kassim Mohamad.




Dalam ulasannya Prof Irwan berpendapat tajuk novel itu tidak selari dengan isi kandungannya. Saya tidak terjumpa ada episod cinta dalam novel ini. Mungkin pengarangnya mahu memikat pembaca muda dengan tajuknya itu.




Penceritaannya lancar dan bahasanya mudah. Razali mengisahkan peristiwa Lokman yang bagi saya membayangkan watak 'Mawi' dalam program Akademi Fantasia. Lokman budak Felda berlatar belakang ajaran agama ditugaskan untuk berdakwah di program itu. Kisah novel ini bermula dengan kematian Hakim, bapa Lokman. Bapa Lokman mati bukan sahaja kerana penyakit kencing manisnya, tetapi oleh angkara Teja Lawa, janda beranak satu. Pengarang menggambarkan janda ini seorang penggoda. Dia berhenti menggoda setalh berkahwin. Lepas itu watak itu mati.




Lokman berjaya menjuarai program ini dan kemudiannya merasakan beliau tidak punya masa untuk beribadat. Dia berdepan dengan pelbagai dugaan tanpa disangkanya. Saya lihat aktiviti dakwahnya tidak dapat dokongan daripada para ustaz yang mula-mula menyarankan supaya Lokman berdakwah dalam program itu. Lokman ditinggalkan keseorangan dalam misi dakwahnya, kecuali sekali sekali menerima sms daripada ustaz




Saya dapati banyak bidalan atau frasa yang digunakan Razali dalam novel ini hidup dan menarik. Ada antaranya saya sendiri tidak tahu atau terlupa. Misalnya, 'Mohd Alif melompat-lompat serperti kijang mendapat pucuk muda,' (m/s 63). Episod ini diceritakan oleh pengarang semasa Lokman dan Mohd Alif berada di atas pokok manggis berangan-angan ketika zaman kanak-kanaknya. Dari segi logiknya, tak mungkin dia boleh melompat-lompat dia atas dahan pokok manggis itu.




Bagi saya, sambung Prof Irwan, bab Maria di dunia bunian tidak seharusnya diadakan dalam novel ini. Ia semacam diada-adakan saja. Pengakhiran ceritanya juga bagi saya mengelirukan. Tiba-tiba saja watak Sudir hadir pada pengakhiran cerita dan saya tidak nampak apa perlunya watak ini dihadirkan?




SN Datauk Samad Said pula menyatakan Razali bukan baru dalam dunia penulisan. Ini buku yang ke-9 ditulisnya. Saya percaya banyak lagi buku akan dihasilkan oleh beliau.




Menyentuh novel Cinta AF, Pak Samad berpendapat novel ini ada flasfahnya sendiri dan ianya berkisar dalam kegiatan dunia hiburan yang cuba didakwahkan . Pengarangnya cuba memperkatakan hiburan dari prespektif Islam dan hiburan dibolehkan dalam Islam asalkan ianya tidak bercanggah dengan prinsipnya. Misalnya hiburan harus bermula selepas waktu sembahyang, selepas Isyak kalau diadakan pada waktu malam. Penyanyinya mesti menutup aurat. Penonton diasingkan antara lelaki dan perempuan. Semuanya adalah saranan positif untuk kebaikan masyarakat terutama umat Islam.




Ada satu adengan yang saya anggap melampau, ujar Pak Samad lagi. Misalnya pada muka surat 232, "Saya cuba gapai tangannya sebagai petunjuk supaya memeluk saya. Saya kuyukan kelopak mata sembari bibir saya direnggangkan sedikit sebagai petanda saya sedia dikucup. Lama saya tunggu. Tidak ada sentuhan. Saya renggangkan lagi sedikit bibir saya supaya dia bertambah ghairah. Saya menanti dan terus menanti. Bibir saya kaku menunggu tanpa sentuhan.............." Pada usia saya sebegini saya kira gambaran ini sedikit melampau.




Pak Samad berpendapat novel ini mempunyai mesejnya tersendiri. Sebagai hasil sastera setiap karya seharusnya mempunyai mesej serta buah fikiran untuk menjadi renungan masyarakat pembaca. Razali telah melontarkan beberapa persoalan untuk difikirkan. Kata pak Samad lagi, "Seni bukan lagi hiburan. Seni bukan lagi menghantar kisah. Seni mendesak kita setelah dihantar kisah."




Wednesday 29 June 2011

Ini Komen Pendek Barajiwa tentang Novel 'Cinta AF.'

Di bawah ini diperturunkan komen pendek Ir. Kassim Mohamad @ Barajiwa. Beliau akan menjadi moderator dalam bicara novel itu petang ini di Pusat Konvensyen Shah Alam. Dua orang sasterawan akan membicarakan novel tersebut iaitu SN Datuk A. Samad Said dan Prof. Ir. Dr. Wan Abu Bakar bin Wan Abas @ Dr. Irwan.

Membicarakan Cinta AF nya Razali Endun

Orang kerap berpesan 'janganlah sekali-kali meneliti buku dengan melihat kulitnya.' Apapun wisdom orang, sesungguhnya penampilan dan pandangan pertama itu biasanya cukup untuk meninggalkan kesan, paling tidak kesan awalnya. Ertinya manusia - umumnya terkesan oleh citra luaran. Untuk sebuah buku itu adalah kulitnya.

(Sebenarnya kita boleh bercakap panjang dalam sesi khas tentang buku. Tentang buku p (P-book) atau buku e (e-book). Tentang DBP dan sahabat karibnya Dawama, tentang 'Al-Amin' semasa bersama DBP dan 'Al-Amin setelah diambil alih oleh sahabat kita PTS nya Puan Ainon. Tentang kenapa Gerakan Darurat Bahasa itu sebenarnya sudah terlewat).

'Cinta AF' adalah sebuah karya pop untuk hiburan santai sekali lalu. Ia karya popular untuk menangkap perhatian anak-anak muda. Ia mengingatkan kita kepada watak yang namanya Mawi, anak Felda dari Johor.

2

Apakah perhatian ini tepat atau meleset tidak ada cara lain melainkan saudara teliti sendiri isi buku ini. Entah buku yang ke berapa puluh oleh pengarang yang tidak asing lagi kepada khalayak sastera kita. Saya tidak mahu membaca profilnya yang panjang, saya cuma ingin katakan inilah manusia penulis yang tidak pernah kenal penat lelah dalam berkarya. Syabas dan syukur Alahamdulillah, Razali Endun adalah anggota setia rumah Paksi.

3.

Yang akan membicarakan 'Cinta AF' adalah SN Datuk A. Samad Said dan Prof. Dr. Irwan Abu Bakar, pengasas E-Sastera. Tentu menarik ulasan mereka. Datanglah beramai-ramai meraikan majlis ini di pentas aktiviti Pesta Buku Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam petang ini, 29 Jun 2011, antara jam 4-6 petang. Ayuh! Jangan lepaskan peluang ini. TK.

Kassim Mohmad adalah mantan jurutera di Jabatan Saliran dan Tali Air (DID). Beliau seorang penulis cerpen dan pengkritik sastera yang baik. Pejuang bahasa yang tegar. Terlibat dalam banyak NGO. Kunjungi blog beliau di; barajiwa.blogspot.

Tuesday 28 June 2011

Ini Puisi Samad Said Yang Ditakuti Polis

Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara-
kita laungkan juga pesan merdeka:
demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hangat semurni harga diri

lama resah kita - demokrasi luka
lama duka kita -demokarasi lara
demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami

dua dekad lalu Sam Adams berseru
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
tak diperlu gempita sorak yang gebu
diperlu hanya unggun api yang syadu

kini menyala unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu

A. Samad Said
24-25 Jun 2011

Lihat betapa indahnya puisi ini. Di sebalik keindahannya tersembunyi mesej yang mengusarkan pihak gerombolan. Puisi seperti ini bukan baru dicipta oleh para sasterawan. Malah ada yang lebih berterus terang lagi tanpa dihiasi atau berselinduang di sebalik keindahan bahasa. Saya fikir pihak polis hanya mahu mengertak Pak Samad. Kita yakin Pak Samad tidak akan gentar menegakkan kebenaran! Teruskan perjuangan Pak Samad!

Samad Said disiasat polis - Penulis, Sasterawan dan Seniman perlu Melahirkan Sikap

Wah! Aku terasa pelik dan hairan juga kenapa SN Datuk A.Samad Said diheret ke rumah pasung untuk disiasat hanya kerana keberaniannya meluahkan perasaannya melalui puisi sinisnya dan dideklamsikan pula pada perhimpunan pelancaran 'Bersih' di Dewan Perhimpunan Cina baru-baru ini. Bak kata Pak Samad, pihak polis (baca kerajaan Umno/BN) sekarang sudah gentar dengan puisi yang sudah menjadi 'senjata' bukan lagi suatu hiburan. Dengan kata lain puisi dan bidang kesusasteraan sudah mula boleh mengoncang sesebuah kerajaan, mungkin juga menjatuhkan sesebuah kerajaan (tentunya kerajaan yang korup, zalim dan menyelewang). Kerajaan yang bersih dan tidak kotor tak usah takut dengan sesiapapun waimah Kumpulan Bersih atau sasterawan. Gerakan 'bersih' ialah hendak membersihkan yang kotor. Untuk membuat pembersihan ini pun menjadi kesalahan. Ini bukti depa ni sememangnya kotor!

Ini suatu perkembangan baru, di mana kesusasteraan sudah mula mendapat perhatian pihak pemerintah yang dulunya memandang enteng dan remeh bidang ini. Pak Samad yang sudah berusia (76 tahun) mempunyai semangat yang kental bagaikan orang muda. Pak Samad berdepan kerana memperjuangkan kebenaran. Dulu dia juga disiasat polis kerana turut berada di barisan hadapan dalam demo anti PPSMI. Pak Samad perjuangkan dan mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu dan mahu PPSMI dimansuhkan, yang diperkenalkan oleh Umno. Orang Umno tak buat apa-apa pun hanya mengangguk aje walaupun PPSMI memusnahkan bahasa Melayu dan melanggar Perlembagaan Negara. Itulah fiil orang UMNO termasuklah Perkasa yang dipimpin oleh Ibrahim Ali. Kini mereka melalak ke sana ke sini kononnya memperjuangkan ketuanan Melayu. Pi lah! Poorah! Merekalah sebenarnya pengkhianat bangsa Melayu! Banyak bukti boleh diberikan.

Sekarang kita mahu lihat di mana berdirinya para penulis, sasterawan serta persatuan-persatuan penulis terutama Gapena dan Pena yang gah dengan perjuangan mereka kononnya mahu mendaulatkan kesusasteraan dan bahasa Melayu. Apakah mereka ini masih berfikiran pasif dan menerima apa-apa saja yang disogokkan oleh pihak pemerintah? Apakah mereka ini akan bersekongkol dengan juak-juak dan gerombolan ini yang sudah nampak tanda-tanda mahu menyekat kebebasan berkarya? Bangun! Bangun! Bangkitlah para penulis dan sasterawan. Jangan kamu bersembunyi di sebalik selimut! Kalau pemimpin persatuan tak berani bersuara dan tidak berfikiran kritis, jatuhkan mereka! Ganti dengan orang yang lebih berani bersuara! Kalau yang sudah tua, berhentu saja lah, jangan sampai ahli meluat. Ayuh tunjukkan pendirian kamu!

Aku sokong di atas keberanian Pak Samad. Sukar untuk mendapat seorang seniman/sasterawan macam dia. Apa lagi memegang anugerah Sasterawan Negara dan bergelar 'datuk' pula. Pak Samad tak bimbang gelarannya dicabut kerana apa yang diperjuangkan ialah suatu kebenaran dan menuntut keadilan. Pak Samad sebenarnya Sasterawan Rakyat, gelaran ini sudah cukup untuknya kalau pihak wewenang mahu mengambil balik gelaran itu. Pak Samad bukan macam sesetengah penulis/sasterawan apabila mendapat gelaran semacam terhutang budi dan sanggup pula mengorbankan prinsip perjuangan. Orang macam ini bachul! Hipokrit dan mementingkan diri sendiri aje.

Ayuh! kita sokong pak Samad. Inilah jasa dan baktinya semasa hayatnya. Kita doakan semoga Allah panjangkan umurnya dan berikan kesihatan kepadanya! Insyallah!

Wednesday 22 June 2011

Pelancaran Novel, 'Cinta AF' pada 29 Jun ini

Novel 'Cinta AF' karya terbaru Razali Endun akan dilancarkan oleh Samad Said pada 29 Jun ini.






Samad Said Lancar Novel ‘Cinta AF’ 29 Jun


Sebuah lagi novel terbaru Razali Endun akan dilancarkan pada 29 Jun ini di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. Novel itu yang diberi judul, ‘Cinta AF’ akan disempurnakan pelancarannya oleh SN Datuk A. Samad Said. Selepas pelancaran Samad akan membicarakan novel tersebut Turut akan membicarakannya nanti ialah sdra. Dinsman. Manakala Prof. Dr. Wan Abu Bakar bin Wan Abas akan menjadi moderator pada majlis itu.

Majlis pelancaran ini mengambil sempena pesta buku dan sambutan Hari Ilmu Selangor yang akan diadakan bermula 24 Jun hingga 1 Julai 2011. Majlis pelancaran novel ini antara acara daripada beberapa banyak acara yang disediakan untuk memeriah dan menceriakan lagi pesta buku tersebut. Slot yang diberikan untuk acara ini ialah antara pukul 4-6 petang pada 29 Jun (Rabu), bertempat di pentas aktiviti, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di Shah Alam.

Novel ‘Cinta AF’ yang diterbitkan pada tahun ini mengisahkan kegilaan remaja Melayu yang mahu menjadi penyanyi, pelakon serta selebriti bagi mengejar kemewahan, kepopularitian dan glamor. Kegilaan ini juga tidak terkecuali mempengaruhi dua orang remaja, Lokman dan Alif dari sebuah perkampungan Felda untuk mencuba nasib dalam sebuah program realiti yang penuh fantasi anjuran sebuah stesen tv. Falsafahnya, ‘biar gagal dalam usaha, jangan takut mencuba,’ menjadi dorongan kuat baginya menyertai program realiti ini.

Apabila diketahui oleh ustaz Munir bahawa Lokman dan Alif akan mencuba bakat seni suaranya dalam program itu, ustaz Munir tidak membantah sebaliknya meminta Lokman menyelam sambil minum air. Pada kesempatan itu ustaz Munir mahu supaya Lokman menyerapkan aktiviti dakwahnya di kalangan peserta program itu yang dianggap oleh ustaz itu sudah mula terpesong daripada aqidah dan ajaran Islam. Lokman yang mempunyai latar pendidikan agama di kampungnya amat sesuai untuk melaksanakan misi itu.

Lokman mengalami kejutan budaya ketika berada dalam program itu dan beliau berasa suasana di situ sangat berlainan daripada persekitaran di kampungnya. Dia bukan berhadapan dengan realiti tetapi di kelilingi oleh suasana fantasi dan ilusi. Lokman berdepan dengan konflik besar dalam dirinya, bergelojak dan tidak tenteram, meskipun mengecapi kemewahan, kepopularitian dan glamor. Lokman berada di persimpangan yang bersilang. Lokman merasakan ada kelompangan dalam hidupnya meskipun sudah mengecapi kemewahan, kepopularitian dan glamor. Apa sebenarnya yang dicari oleh Lokman? Berjayakah Lokman dalam misi dakwahnya? Bacalah novel ini sampai habis.

Majlis pelancaran dan bicara novel ini terbuka kepada orang ramai secara percuma. Novel tersebut akan turut dijual pada majlis pelancaran itu. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Razali Endun 019-6658064.

Pelancaran Novel, 'Cinta AF' pada 29 Jun ini









Samad Said Lancar Novel ‘Cinta AF’ 29 Jun


Sebuah lagi novel terbaru Razali Endun akan dilancarkan pada 29 Jun ini di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. Novel itu yang diberi judul, ‘Cinta AF’ akan disempurnakan pelancarannya oleh SN Datuk A. Samad Said. Selepas pelancaran Samad akan membicarakan novel tersebut Turut akan membicarakannya nanti ialah sdra. Dinsman. Manakala Prof. Dr. Wan Abu Bakar bin Wan Abas akan menjadi moderator pada majlis itu.

Majlis pelancaran ini mengambil sempena pesta buku dan sambutan Hari Ilmu Selangor yang akan diadakan bermula 24 Jun hingga 1 Julai 2011. Majlis pelancaran novel ini antara acara daripada beberapa banyak acara yang disediakan untuk memeriah dan menceriakan lagi pesta buku tersebut. Slot yang diberikan untuk acara ini ialah antara pukul 4-6 petang pada 29 Jun (Rabu), bertempat di pentas aktiviti, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di Shah Alam.

Novel ‘Cinta AF’ yang diterbitkan pada tahun ini mengisahkan kegilaan remaja Melayu yang mahu menjadi penyanyi, pelakon serta selebriti bagi mengejar kemewahan, kepopularitian dan glamor. Kegilaan ini juga tidak terkecuali mempengaruhi dua orang remaja, Lokman dan Alif dari sebuah perkampungan Felda untuk mencuba nasib dalam sebuah program realiti yang penuh fantasi anjuran sebuah stesen tv. Falsafahnya, ‘biar gagal dalam usaha, jangan takut mencuba,’ menjadi dorongan kuat baginya menyertai program realiti ini.

Apabila diketahui oleh ustaz Munir bahawa Lokman dan Alif akan mencuba bakat seni suaranya dalam program itu, ustaz Munir tidak membantah sebaliknya meminta Lokman menyelam sambil minum air. Pada kesempatan itu ustaz Munir mahu supaya Lokman menyerapkan aktiviti dakwahnya di kalangan peserta program itu yang dianggap oleh ustaz itu sudah mula terpesong daripada aqidah dan ajaran Islam. Lokman yang mempunyai latar pendidikan agama di kampungnya amat sesuai untuk melaksanakan misi itu.

Lokman mengalami kejutan budaya ketika berada dalam program itu dan beliau berasa suasana di situ sangat berlainan daripada persekitaran di kampungnya. Dia bukan berhadapan dengan realiti tetapi di kelilingi oleh suasana fantasi dan ilusi. Lokman berdepan dengan konflik besar dalam dirinya, bergelojak dan tidak tenteram, meskipun mengecapi kemewahan, kepopularitian dan glamor. Lokman berada di persimpangan yang bersilang. Lokman merasakan ada kelompangan dalam hidupnya meskipun sudah mengecapi kemewahan, kepopularitian dan glamor. Apa sebenarnya yang dicari oleh Lokman? Berjayakah Lokman dalam misi dakwahnya? Bacalah novel ini sampai habis.

Majlis pelancaran dan bicara novel ini terbuka kepada orang ramai secara percuma. Novel tersebut akan turut dijual pada majlis pelancaran itu. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Razali Endun 019-6658064.

Thursday 16 June 2011

Tuesday 14 June 2011

Majlis Baca Puisi Memperingati Penubuhan DBP pada 22 Jun 2011

Diam tak diam usia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah menjangkau 55 tahun. Sudah masuk umur pencen dan dalam kategori pikun. Akan tetapi mutakhir ini DBP sudah kelihatan lesu dan longlai dalam memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu. Nakhoda dan anak kapalnya semacam hilang jati diri serta hilang keberanian untuk menyatakan yang hak. DBP perlu diselamatkan dengan apa cara sekalipun. Tentu sekali nakhoda kapalnya perlu diganti kerana sudah terlalu pikun dan mungkin daya kerativiti dan keberaniannya sudah menurun. Apa-apa pun DBP harus diselamatkan segera sekiranya kita tidak mahu bahasa dan sastera Melayu terkubur dalam negaranya sendiri.

DBP ditubuhkan pada tahun 1956 hasil rumusan dan keputusan Kongres Bumiputera. Kita tentu sekali tidak mahu melihat hilangnya DBP daripada pandangan mata seperti hilangnya Bank Bumiputera yang sudahpun berkubur sekian lama. Perlu diingat Bank Bumiputera juga ditubuhkan hasil Kongres Bumiputera yang diperjuangkan oleh pejuang bahasa dan kemerdekaan negara yang terlalu kental semangat mereka. Semuanya ini sedikit demi sedikit terhapus dan terhakis sebagai hak orang Melayu di negara ini. Siapakah yang menghapuskannya? Adakah DAP , PAS atau PKR?

Siapa lagi kalau bukan gerombolan yang lantang memperjuangkan ketuanan Melayu, tetapi merekalah yang menghapuskan semuanya itu! Fikir-fikirkanlah.

Berbalik kepada majlis baca puisi, mengikut penganjurnya ianya bertujuan memperingati kewujudan DBP ini, meskipun ianya kelihatan longlai, pengajur mahu menyuntik semangat baru ke dalam roh para nakhoda dan anak kapalnya. Maka dengan inisiatif Persatuan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan Gerakan Darurat Bahasa (GDB) sebagai pengajur, bersedia membuka ruang kepada orang awam, golongan penulis, penyair dsb untuk meluahkan rasa dan perasaan mereka pada majlis ini.

Majlis baca puisi akan diadakan pada 22 Jun 2011 ini, bermula pada jam 8.30 malam bertempat di warung rakyat berdekatan dengan bangunan DBP K.Lumpur. Majlis diadakan secara santai dan terbuka kepada orang awam terutama yang tinggal di Lembah Kelang dan wilayah-wilayah yang berdekatan. Jamuan ringan akan disediakan oleh pihak penganjur.

Ayuh! mari kita beramai-ramai menceriakan majlis ini semoga dengan usaha kecil ini akan diberkati oleh Allah dan DBP dapat dipulih dan diselamatkan daripada terus tenggelam di daratan bahasa. Tentu sekali kita tidak mahu melihat bangunan DBP yang tersergam agam dan tinggi itu runtuh seperti runtuhnya bank bumiputera yang dibina atas kesedaran pejuang bahasa dan kemerdekaan kita terdahulu. Datang! Jangan Tak Datang!

Monday 13 June 2011

Surat Terbuka Terkini Daripada Bekas Pegawai Penyiasat Polis Bukit Aman Kepada PM

Di bawah ini diperturunkan surat terbuka daripada mantan pengawai penyiasat di Bk. Aman. Surat ini adalah beberapa surat lain yang ditulis oleh beliau terhadap kemusykilan dan keraguannya terhadap beberapa isu rasuah seolah-olah cuba disembunyikan oleh pihak berkuasa kerana mereka tergolong dalam kroni mereka. Apakah kita mahu terus biarkan negara kita ditadbir urus oleh mereka yang kroup? Fikir-fikirkanlah!
11
Jun
Surat Terbuka Untuk Perdana Menteri
By Anwar Ibrahim 0 Comments
Categories: Analisis, Anwar, Catatan, Ekonomi, Isu Semasa, KeADILan, Kewangan, Malaysia, Media, Pakatan Rakyat, Parlimen and Umno
Mat Zain bin Ibrahim,
10hb.Jun 2011.
Kepada;
YAB Dato Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Dengan Tangan
62152 Putrajaya,
Wilayah Persekutuan.
Yang Amat Berhormat Dato Seri,
PERANAN PEGUAM NEGARA DALAM SKANDAL MAS.
Assalamualaikum wbt.
1. Saya muncul kali ini untuk, menarik perhatian YAB kepada pengumuman yang dibuat oleh Tan Sri Dr.Hadenan Abdul Jalil pada 31.5.2011 yang “membersihkan” Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara sekali lagi, daripada sebarang salah laku jenayah,berkaitan pemergiannya menunaikan Haji di-Mekah, bersama-sama dengan seorang Shahidan Shafie yang dikatakan seorang proxy kepada Tan Sri Tajuddin Ramli.
2. Saya menyatakan bahawa tindakan Tan Sri Hadenan sedemikian itu, adalah tidak teratur serta tidak mengikut peraturan Undang-Undang sedia ada.Ini memandangkan beliau, sama ada secara persendirian atau sebagai sifat Pengerusi Operation Review Panel MACC tidak mempunyai sebarang kuasa atau hak mengikut Perlembagaan atau mana-mana Undang-Undang,untuk menyemak apa-apa keputusan yang dibuat oleh Pendakwa Raya atau SPRM sendiri.
3. Untuk penekanan yang lebih jelas,saya sertakan salinan surat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bertarikh 23.7.2009, menyentuh bidangkuasa mereka,yang ditanda tangani sendiri oleh YA Bhg.Tun Abdul Hamid bin Haji Mohamad,Pengerusi LPPR dengan maksudnya berpenerangan sendiri.
4. Sekiranya Jawatankuasa induk LPPR yang diperngerusikan oleh seorang mantan Ketua Hakim Negara, telah mengesahkan bahawa mereka sendiri TIDAK mempunyai kuasa menyemak keputusan yang dibuat oleh Pendakwa Raya atau SPRM,maka persoalannya ialah;darimana pula Tan Sri Hadenan memperolehi kuasa beliau untuk membersihkan Gani Patail.Selain itu Tan Sri Hadenan sendiri dipercayai telah menerima surat rayuan saya bertarikh 15.4.2009 dialamatkan kepada LPPR dan dipercayai juga, telah mengambil pendirian secara kolektif sepertimana jawapan Pengerusi LPPR bertarikh 23.7.2009 tersebut.
5. Pada pendapat saya persoalan sama ada Tan Sri Hadenan serta Ahli-Ahli jawatankuasa beliau berpuas hati atau sebaliknya, berkaitan siasatan SPRM itu tidak timbul,memandangkan beliau tidak ada kuasa untuk berbuat apa-apa sekalipun beliau tidak berpuas hati.Malahan Tan Sri Hadenan sendiri telah membuat kenyataan umum, bahawa Operations Review Panel (ORP) tidak terlibat didalam sebarang proses penyiasatan SPRM memandangkan ORP bukan sebagai sebahagian organisasi SPRM melainkan sekadar mewakili orang ramai sahaja,sepertimana yang dilaporkan oleh Bernama pada 12.11.2009. Beliau membuat kenyataan ini ketika mengesahkan akan menghantar peromohan ORP kepada Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran bertulis meneliti kes berkaitan V.K.Lingam.Saya sendiri tidak nampak apa yang ORP boleh buat dengan kes berkenaan oleh kerana ORP tidak mempunyai kuasa penyiasatan atau pendakwaan ataupun kuasa dan hak menyemak semula apa apa keputusan yang dibuat oleh SPRM atau Pendakwa Raya.
6. Seterusnya saya berpendapat bahawa tindakan Tan Sri Hadenan membuat pengumuman berkaitan pemergian Peguam Negara ke-Mekah sedemikian itu, sekadar merupakan suatu eksesais “white-washing” yang tidak teratur dan sia-sia,bertujuan untuk menyelamatkan Gani Patail daripada dikenakan hukuman jenayah, berdasarkan daripada penerangan yang saya berikan diatas dan juga hujah lanjutan dalam perenggan-perenggan yang akan menyusul selepas ini.
7. Antara dakwaan utama yang dibuat terhadap Gani Patail berkaitan isu pemergiannya ke-Mekah itu,ialah beliau didapati bersekongkol dengan seorang En.Shahidan Shafie yang dikatakan sebagai seorang proxy kepada Tan Sri Tajuddin Ramli (TRI) yang sedang menghadapi penyiasatan SPRM berkaitan skandal MAS.Hubungan erat antara Gani Patail dengan Shahidan seperti ahli keluarga didakwa telah mempengaruhi Gani Patail untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap TRI.
8. Saya menyatakan bahawa Shahidan bukan sekadar seorang proxy biasa kepada TRI.Malah Shahidan mempunyai liabiliti penjenayahannya yang tersendiri dalam Skandal MAS tersebut, berasingan dengan liabiliti jenayah TRI.Dakwaan ini dapat dilihat dengan jelas dalam laporan kepada SPRM yang dibuat oleh En.Shahari bin Sulaiman Pengarah Urusan MASKargo Sdn Bhd.sebuah anak syarikat MAS pada 20.5.2009.Untuk kemudahan rujukan,saya lampirkan salinan laporan berkenaan yang pernah disiarkan kepada umum oleh blog Malaysia Today sekitar bulan Ogos 2010.
9. Siapa Shahidan,apa hubungan beliau dengan TRI dan apa peranan yang dimainkan oleh Shahidan, dilaporkan secara teratur dan kemas dalam laporan berkenaan.Begitu juga dengan peranan dan tanggungan liabiliti jenayah oleh individu-individu lain yang dinamakan dalam laporan sama.Kredibiliti laporan oleh MAS tersebut tidak boleh dipertikaikan memandangkan terdapat wakil Kerajaan dalam Lembaga Pengarah MAS sendiri. Malahan laporan dari MAS itu seharusnya dianggap sebagai laporan daripada Kerajaan.Kerugian terkumpul RM 8 Billion akibat Skandal MAS itu juga wajar dianggap sebagai pendedahan oleh Kerajaan sendiri.
10. Pada 15 Disember 2010,Tan Sri Hadenan telah membuat pengumuman bahawa Skandal MAS tersebut masih dalam siasatan SPRM setelah muncul keterangan dan saksi-saksi baru.Pengumuman ini telah disiarkan secara meluas oleh media MSM dan alternatif.Ini bermakna status TRI ialah beliau masih dalam siasatan.Begitu juga dengan status setiap seorang yang dinamakan dalam laporan MAS tersebut.Ini juga bermakna bahawa status Shahidan dalam Skandal MAS ini juga, adalah beliau masih dalam siasatan SPRM.
11. Persoalannya ialah adakah wajar,Gani Patail seorang Peguam Negara yang masih berhidmat dilihat sebagai bersekongkol dengan Shahidan, seorang yang masih dalam siasatan serious SPRM, yang mana hasil siasatannya kelak, dipertimbangkan oleh Jabatan Peguam Negara yang diketuai oleh Gani Patail sendiri.Mampukah SPRM atau Jabatan Peguam Negara bertindak berkecuali serta memberikan pertimbangan yang adil dan saksama dalam kes ini sedangkan skandal ini melibatkan kerugian melebihi RM 8 Billion wang Rakyat.
12. Ketika membuat pengumuman pada 31.5.2011 itu pula,Tan Sri Hadenan tidak langsung menyebut berkaitan status Shahidan dalam penyiasatan SPRM ataupun mengesahkan sama ada Gani Patail dan keluarganya benar telah pergi dan tinggal bersama dengan Shahidan ketika di-Mekah ,walapun fakta ini adalah fakta material dalam penyiasatan.Sekiranya Tan Sri Hadenan mengharapkan untuk menemui rekod transaksi kewangan antara TRI atau Shahidan didalam akaun persendirian Gani Patail,maka itu seolah mengharapkan bulan jatuh keriba.Sama ada beliau sedar atau tidak,Tan Sri Hadenan boleh disifatkan telah menyembunyikan sesuatu fakta material yang boleh dianggap sebagai suatu perdayaan sepertimana yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan.
13. Perkara utama dalam isu ini, tidak lain daripada mempertimbangkan tingkah laku atau conduct Gani Patail.Sama ada sebagai seorang Peguam Negara,sepadan atau tidak, beliau bersekongkol secara terang-terang dengan seorang yang sedang dalam penyiasatan pihak berkuasa kerana didakwa terlibat dalam suatu skandal besar melibatkan wang Rakyat.Apabila ianya melibatkan isu conduct seorang Peguam Negara yang sedang berhidmat,maka pihak yang mempunyai kuasa atau hak mengadilinya, hanyalah sebuah Tribunal yang dilantik oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri, sepertimana yang sedia ada secara spesifiknya dalam Artikel 125 (3) dibaca bersama Artikel 145 (6) Perlembagaan.Saya yakin saya tidak perlu menjelaskan perkara ini lebih lanjut lagi memandangkan Kerajaan sendiri pernah menghadapi situasi serupa dalam isu conduct mantan Ketua Hakim Negara, YA.Bhg.Tun Salleh Abbas.
14. Seorang Peguam Negara yang berwibawa dan mempuyai kredibiliti tidak tercemar, akan mempertahankan hak dan keistimewaan jawatan beliau yang sedia diperuntukkan dalam Perlembagaan.Beliau tidak akan sama sekali membenarkan, mana-mana pihak yang tidak berkenaan, sewenang-wenangnya mengadili atau meneliti perihal conduct beliau sepertimana yang pernah dicabar oleh Tun Salleh Abbas suatu ketika dahulu.Malangnya Gani Patail yang kita kenali, sanggup merelakan dirinya diadili oleh sesiapa jua asalkan pihak berkenaan sanggup mengistiharkan secara umum, bahawa beliau bebas daripada sebarang salah laku jenayah.Sekiranya Gani Patail tidak mampu dan berani mempertahankan hak dan keistimewaan jawatan beliau sendiri,maka bagaimanakah Rakyat boleh mengharapkan beliau menjadi pelindung serta mempertahankan hak kesamarataan Rakyat dari sudut Perlembagaan dan undang-undang Negara.
15. Walaubagaimanapun perkara yang ,menarik dalam laporan Pengarah Urusan MASKargo itu ialah; “modus operandi” (M.O.) yang diamalkan oleh TRI dan lain-lain individu terlibat dalam Skandal MAS tersebut. M.O yang dimaksudkan ialah, “membuat perjanjian/konrak jangka panjang yang berat sebelah”. M.O sebegini dikatakan telah diamalkan oleh TRI dalam beberapa perjanjian/kontrak sejak beliau mengambil alih MAS dari tahun 1994 sehingga 2001 yang menyebabkan kerugian terkumpul lebih daripada RM 8 Billion.
15.1. Rakyat juga kini mendapat tahu bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga dilaporkan telah menandatangani beberapa perjanjian/kontrak jangka panjang yang berat sebelah dengan beberapa Penjanakuasa Bebas (IPP),yang mengakibatkan Rakyat menanggung kerugian lingkungan RM 20 Billion.
15.2. Begitu juga dalam hal skandal kewangan Syarikat Perwaja Steel, dimana beberapa perjanjian/kontrak jangka panjang yang berat sebelah telah dibuat dengan beberapa Syarikat dalam dan Luar Negara yang mengakibatkan dana Rakyat sekitar RM 4 Billion lesap. Continue reading ‘Surat Terbuka Untuk Perdana Menteri’

Tuesday 7 June 2011

Pesta Buku, Hari Ilmu dan Konvensyen Penulis

Pesta Buku Selangor akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam bermula pada 24 Jun - 3 Julai 2011. Bersempena dengan pesta buku ini akan diadakan juga perhimpunan serta konvensyen penulis pada 26 Jun 2011 (Ahad) bermula pada jam 10 pagi hingga 5.00 petang. Pada hari yang sama (26 Jun) juga akan berlangsung majlis perasmian pesta buku serta Sambutan Hari Ilmu yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kedua-dua acara tersebut, iaitu pesta buku dan konvensyen penulis adalah diajurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Majlis perhimpunan serta konvensyen penulis dibuka kepada golongan penulis dalam semua genre seperti wartawan, penulis akademik dan agamaan, jurnal, rencana atau artikel, penulis kolum, penulis kreatif seperti novel, puisi, cerpen, lirik, syair, gurindam dan sebagainya. Bloggers, penulis facebook dan twitter juga dikategorikan sebagai penulis dalam kriteria ini. Ianya terbuka kepada golongan penulis di seluruh negara seperti yang disebutkan di atas. Penyertaan adalah percuma.

Mengikut jadual, perasmian akan berlangsung pada jam 10.00 pagi pada 26 Jun oleh Menteri Besar Selangor. Pada majlis yang sama akan diumumkan penerima anugerah Penulis Selangor yang akan menerima RM 10,000.00 berserta hadiah sampingan sumbangan kerajaan Negeri Selangor sebagai pengiktirafan kepada golongan penulis di Selangor. Difahamkan nama tokoh penulis yang bertuah itu telah dikenal pasti di antara tiga nama yang telah disenarai pendek untuk menerima anugerah ini.

Selepas perasmian akan diadakan majlis dialog antara para penulis dengan Menteri Besar secara terbuka, telus dan tanpa tapisan, tetapi berhemah dan bersopan. Golongan penulis digalakkan menyuarakan apa saja kemusykilan atau cadangan kepada Menteri Besar.

Mengikut jadual, pada sebelah petangnya akan berlangsung pula konvensyen penulis, medan wacana untuk golongan penulis berbicara, berbincang, berinteraski secara telus dan kritis sebagai pemangkin wadah ilmu sesuai dengan tema pada majlis itu iaitu; 'Merakyatkan Ilmu: Peranan Penulis dan Tanggungjawab Kerajaan.' Konvensyen akan berpandukan kepada ucaptama yang akan disampaikan oleh seorang tokoh penulis. Turut hadir sebagai panel konvensyen ini ialah SN Datuk Anuar Ridwan dan SN Datuk A. Samad Said. Mereka akan diiringi oleh YB Dr. Halimah Ali dan YB Rodziah Ismail, exco-exco kerajaan Selangor. Manakala moderatornya ialah Sayed Munawwar Al Jamalullail, pengacara TV 1.

Hasrat Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Puan Mastura Mohamad, mahukan seramai mungkin golongan penulis hadir pada majlis perhimpunan ini. "Kalau boleh, tidak kurang 1,000 orang," katanya. Menurutnya peranan penulis tidak boleh dikesampingkan dalam perkembangan ilmu, tamadun manusia, apa lagi dalam politik kontemporari. Tanggungjawab kerajaan terhadap golongan penulis juga tidak harus diabaikan. "Kita percaya banyak isu dan masalah berada dalam kalangan penulis, pada majlis dialog dengan Menteri Besar nanti bolehlah diluahkan segala yang terbuku di kalbu. Kita mahu supaya kerajaan, tak kiralah kerajaan pusat atau negeri harus prihatin dan peka terhadap golongan penulis. Penulis turut berperanan dan sangat signifikan kepada pembangunan negara serta membentuk jati diri warga negara demi membina negara bangsa.

Bagi memudahkan urus setia pengajur, mereka yang berhasrat menghadiri perhimpunan dan konvensyen penulis ini hendaklah mengisi borang yang telah disediakan oleh pihak urus setia. Borang boleh didapati daripada urus setia melalui laman sesawang; www.pestabukuselangor.my Atau e mel suzliana@ppas.orng.my, sufiaz27@yahoo.com Atau Tel: 03-55197667, 012-2221455 (Suzliana bte Abd. Hamid.) Borang-borang yang telah diisi hendaklah dikirimkan kepada PPAS atau e-mel atau fax: 03-55196045. Segala pertanyaan atau kemusykilan boleh juga diajukan kepada urus setia melalui maklumat di atas.

Ayuh! Jom! kita ramai-ramai menghadiri perhimpunan dan konvensyen penulis ini. Ianya julung-julung kali dianjurkan oleh pihak kerajaan. Kesempatan ini patut golongan penulis ambil untuk menyatakan hasrat dan pandangan mereka terhadap kealpaan kerajaan kepada golongan penulis. Ayuh! Kita ramai-ramai ke sana! Jumpa di sana.......sana.........ana...na ..26 Jun 2011.

Saturday 4 June 2011

Mohamad Sabu menang TPP

Wah! Mat Sabu berjaya kalahkan ustaz Nasaruddin dan Tuan Ibrahim Tuan Man dalam pertandingan tiga penjuru jawatan kedua tertinggi dalam Pas. Tahniah! Aku harap kemenangan ini tidak akan membawa perpecahan dalam Pas. Yang kalah terima dengan tenang dan gentleman. Jangan ada dendam kerana kalah menang memang adat dalam pertandingan. Aku percaya kepimpian dan ahli akar umbi Pas sudah dididik supaya menjadikan jawatan dalam parti sesuatu yang amanah, bukan satu kemegahan untuk berkuasa. Pikullah amanah ini dengan baik dan ikhlas. Pasti akan dibalas oleh Allah juga akhirnya.

Tahniah juga kepada Sallehuddin Ayub, Datuk Mahfus Omar dan Husam Musa yang berjaya dalam pertandingan Naib Presiden. Aku harap tuduhan kickdefella bahawa dia diupah sejumlah besar wang oleh Husam, tidak benar. Kalau ada bukti dan ada kebenaran, Husam harus letak jawatan atau dipecat daripada jawatannya. Pas mesti tegas dalam disiplin kepimpinan dan ahlinya. Kita tidak mahu pemimpin rasuah memimpin parti. Barulah ada perbezaan dengan Umno.

Aku kurang percaya dengan dakwaan kickdefella itu. Satu, kerana sudah ada beberapa peristiwa dakwaan beliau tidak tepat. Lagipun sebagai penulis, tak kiralah bidang penulisan apa sekalipun termasuk blogger, beliau tidak sepatutnya menjadi penulis upahan mana-mana pihak atau individu. Menerima upah seperti didakwanya menjejaskan reputasinya sebagai penulis. Di mana letak maruhnya sebagai penulis. Kalau penulis boleh diupah, apakah penulis seperti ini punya maruah? Anda fikirkanlah sendiri. Tentu ada jawapannya!

Wednesday 1 June 2011

Tarif letrik naik 7%

Hah! kerajaan telah mengumumkan tarif letrik akan dinaikkan sebanyak 7% mulai hari ini 1 Jun2011. Manakala harga gas (gas masak) diapungkan (tidak dikawal). Kata gerombolan (kerajaan) kenaikan ini masih rendah dibandingkan dengan negara-negara jiran. Lagipun kata gerombolan rakyat yang guna letrik kurang daripada RM 77.00 sebulan tidak terlibat dalam kenaikan ini. 4.4 juta rakyat tak terlibat, kata gerombolan. Yang terima bahananya 24.6 juta orang. Jadi majoriti yang terpaksa tanggung kenaikan tarif ini.

Tujuan utama untuk tidak memanjakan rakyat menikmati subsidi kerajaan. Dengan kenaikan ini subsidi kerajaan akan berkurangan dan duit itu kononnya akan disalurkan kepada projek-projek lain untuk rakyat. Entah-entah masuk ke dalam kantung Bik Mama dengan projek Permatanya?

Biasalah, apabila mengumumkan kenaikan komoditi asas, gerombolan akan mencari berbagai helah dan alasan untuk menjustifikasikan kenaikan mereka. Aku fikir rakyat sudah muak dengan alasan klise ini. Rakyat kena fikir kewajaran kenaikan tarif ini, kerana negara kita adalah negara pengeluar minyak dan gas asli. Wajarkah kita dikenakan bayaran yang tinggi apabila kita menjadi pengeluar minyak yang banyak?

Contohlah, abah kita ada kebun durian, apabila musim durian luruh abah memaksa anak-anak, cucu-cucu dan isterinya, membeli buah-buah durian itu dengan harga yang mahal. Kalau tidak, tak boleh makan buah durian itu, meskipun buah durian berlambak-lambak gugur. Bagaimanakan perasaan anak cucu dan isterinya, yang mempunyai hak pada kebun itu, tetapi dikenakan caj yang amat tinggi. Logik kah?

Minyak bukan hak milik mutlak segelitir elit politik pemerintah ataupun Petronas. Ia milik rakyat! Hak rakyat mesti dipulangkan kepada rakyat. Bukan dibolot oleh golongan elit yang berkuasa! Rakyat harus berfikir, dan berfikirlah dengan kritis!

Tak lama lagi, percayalah gerombolan akan naikkan harga petrol Ron 95. Depa tunggu reaksi rakyat tentang kenaikan tarif letrik ini. Kalau rakyat senyap dan tidak ada bantahan, bulan depan naiklah harga petrol Ron 95.

Harga gas pula diapungkan, ini bermakna penjual boleh menjual dengan harga pasaran yang mereka tentukan. Pasti harga mee goreng, pisang goreng, makanan lain dan kueh-kueh lain akan naik harga. Malah belanja dapur pun akan bertambah kerana harga gas mahal. Kita tak boleh salahkan peniaga, kerana mereka terpaksa salurkan beban itu kepada pengguna. Rakyatlah sebagai pengguna memikul beban gerombolan, bukan kerajaan atau gologan kapitalis.

Apapun, kalau kerajaan terus-terusan menaikkan harga komoditi asas, pastinya harga barang akan naik dan tidak dapat dikawal. Aku tak pasti mungkin Najib tak jadi nak buat PRU 13 pada tahun ini,kok, sebab itu dia naikan harga barang. Dia tunggu rakyat dah lupa tentang kenaikan ini, baru dia akan adakan PRU 13. Mungkin tahun depan, apabila rakyat sudah lupa.

Rakyat patut faham bahawa kos hidup yang semakin meningkat menjadi beban kepada rakyat. Maka dengan yang demikian masalah sosial akan membiak. Kejadian rasuah, menipu, merompak, menyeludup dan mencuri akan meningkat demi untuk menampung sara hidup yang tinggi. Implikasinya amat luas, ianya bukan sekadar kenaikan harga, tetapi melibatkan masalah sosial yang berpanjangan.

Kerajaan nak wujudkan negara berpendapatan tinggi. Mengikut fahaman aku pendapatan rakyat harus tinggi. Ini sudah terbalik, pendapatan kerajaan semakin tinggi, pendapatan rakyat masih ditakuk lama lagi. Sepatutnya tinggikan pendapatan rakyat dulu, baru naikkan harga komoditi, tentu rakyat mampu menghadapi harga barangan yang tinggi.

Aku fikir cukuplah gerombolan memerintah dah lebih setengah abad. Rakyat patut fikirkan membuat trasformasi kerajaan kepada kerajaan baru. Kita cuba dulu, mana tahu yang baru akan lebih baik dan mesra rakyat? PRU 13 kita buat perubahan, lakukan tarsformasi seperti yang diuar-uarkan oleh Najib.

"Biar gagal dalam usaha, jangan takut mencuba." Cuba, cubalah, jangan takut mencuba! Tukar! Jangan Tak Tukar!