Sunday 25 December 2011

Himpunan Budayawan di Felda Sg. Tengi

Aku baru pulang dari Felda Sg. Tengi di Hulu Selangor. Ramai juga para penulis yang hadir pada pertemuan antara para seniman, budayawan dan sasterawan dengan warga Felda. Antara yang hadir Rahmad Haroun, Hishamuddin Rais, Dinsman, Kassim Muhamad, Mohd Ali Atan, Benz Ali, Amni Jagat, HMS Abu Bakar, Ibrahin Ghaffar, Ismas Saring dan ramai lagi. Ito dari Blues Gang juga ada menyampaikan beberapa buah lagu. Anbakri dari Kelantan juga mendendangkan lagu puisi. Personaliti menjadi tumpuan pastinya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Pertemuan itu selain menyokong warga Felda yang menentang penyenaraian syarikat Felda dalam bursa saham terbuka, juga bertujuan merakyatkan sastera dan budaya di kalangan masyarakat Felda. Malangnya, selepas solat Jumaat hujan turun dengan lebatnya sehinggalah jam 9.30 malam. Hujan membantutkan kehadiran warga Felda pada majlis yang sudah diatur oleh jawatankuasa pengajur Felda di situ. Ditambah pula pada hari yang sama pihak Umno mengadakan majlis penerangan bantuan RM 500 di Dewan Serbaguna berdekatan. Majlis penerangan aje, bukan menghulurkan bantuan RM 500.

Malah pentas yang mahu dibina oleh pihak penganjur himpunan telah tidak dibenarkan oleh puak-puak Umno. Jahat betul mereka ini! Ini bukan pertama kali berlaku, malah sudah banyak kali berlaku di mana-mana di seluruh tanah air. Aku pernah mengalami situasi begini dengan depa. Inilah budaya mereka, menjadi pengacau!

Pada sebelah petangnya selepas majlis penyampaian bantuan kepada masyarakat miskin di daerah itu, dan pada majlis dialog antara seniman & budayawan dengan warga Felda, aku lihat tidak ramai warga Felda yang hadir. Mungkin kerana hujan turun terlalu lebat, mereka tidak datang pada majlis yang sangat signifikan untuk mereka.

Tetapi pada malamnya selepas hujan berhenti, semakin ramai orang datang menyaksikan pembacaan sajak, mendegar lagu puisi, lagu-lagu gasal dan asli yang disampaikan oleh Orkes Warisan Selangor yang didatangkan dari Kuala Selangor. Mainan muzik dan nyanyiannya sungguh baik dan mempesonakan.

Sayangnya, majlis ini pada pandangan aku telah tidak diatur dengan rapi dan sempurna. Nama-nama pembaca sajak tidak disenaraikan lebih awal, ini menyebabkan pengisian pembacaan sajak itu dipungut secara semborono pada ketika itu. Malah susunan aturcara majlis juga tidak dimaklumkan lebih awal menyebabkan ramai yang tidak maklum pengisian majlis itu. Ada penyajak/penyanyi mengambil masa terlalu lama. Para warga Felda di situ tidak diberi kesempatan untuk turut serta dalam acara itu, seperti membaca sajak, syair atau berpantun. Pendeknya, pengurusan masa tidak diatur sesempurna mungkin. Nampak sangat tidak 'organise' kata bebudak sekarang.

Apapun pendekatan Paksi untuk mendekati rakyat serta menyokong warga Felda yang ditindas oleh pihak berkuasa harus diteruskan. Cuma kita harapkan susun aturnya lebih sempurna dan memastikan penglibatan warga tempatan menjadi kemestian supaya mereka juga turut mengambil bahagian pada acara sedemikian.

Walahualam!!

Friday 23 December 2011

Cerita Hassan Ali

Sekarang ini heboh fasal Hassan Ali yang semakin celupar mulutnya dan didakwa pula sudah termasuk perangkap gerombolan. Sebenarnya dia bukan termasuk perangkap, tetapi sengaja memerangkapkan diri dengan hasrat dan tujuan yang tersembunyi.

Melihat watak Hassan Ali ini dia sebenarnya seorang yang egoist. Ini dapat dilihat daripada cara dia mengacarakan Forum Perdana di Tv beberapa tahun lalu. Juga dalam ucapan-ucapannya, jelas nada suara dan gayanya membayangkan dia seorang yang ego. Sebagai individu dia mungkin tidak perasaan gelagat dan tingkah lakunya. Tetapi sebagai pakar motivasi dia kelihatan tidak mampu untuk muhasabah dirinya, lantas akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan para pelajarnya. Tentu sekali menimbulkan persoalan di kalangan pelajarnya sekiranya apa yang diajarnya bertentangan dan perilaku dirinya sendiri.

Ego bererti bahawa sesorang itu sentiasa menganggap dirinya lebih daripada orang lain, lebih pandai, lebih tahu, segala-galanya lebih, yakni lebih daripada orang lain; maka dengan itu menganggap orang lain kurang tahu dan dia saja yang tahu serba serbinya. Demikianlah watak ego sesorang itu.

Tentang perangkap, aku kira dia sengaja masuk perangkap gerombolan dengan harapan dilamar dan mungkin bercita-cita menggantikan Jamil Khir. Kalau tidak apa-apa, masakan tempua bersarang rendah. Oleh kerana kerelaannya mencerca partinya sendiri dalam wawancara oleh Utusan dan TV 3, maka dia mendapat liputan meluas daripada media tersebut. Kalau tidak kerana komen dia memburukkan Pas, tak mungkin dia mendapat liputan meluas begitu. Bukan mudah nak keluar muka di tv.

Hassan Ali ni tidak mengikut jemaah atau suara majoriti. Muktamar Pas telah bersetuju supaya tidak diadakan rundingan untuk berkerjasama dengan gerombolan. Begitu juga dengan negara kebajikan, sudah diluluskan oleh muktamar. Belajarlah menghormati suara ramai.

Cerita Hassan Ali nak jadi MB Selangor sudah diketahui ramai. Khabarnya dia awal-awal lagi sudah berunding dengan Khir Toyo untuk tubuhkan kerajaan campuran Pas /Umno ketika PR menang PRU 12 lalu. Sekarang macam-macam tembelang terbuka. Musatffa Ali mempersoalkan apa yang dia buat pada bulan puasa lalu (Ogos) di sebuah hotel bersama- Nasa dan 3 orang lagi. Yang 3 orang itu tidak pula dijelaskan oleh Mustaffa.

Siapa agaknya mereka itu? Mungkin orang atau agen-agen gerombolan. Mungkin si kitul Zul yang lantang menjadi jurucakap gerombolan? Ini disahkan oleh Hassan apabila dalam kenyataannya seperti dilapor Harakahdaily bahawa dia pernah bertemu Zul dan sependapat dengannya. Tak taulah!

Hassan Ali ni pelik juga. Kalau tak setuju dengan pucuk pimpinan, kenapa tidak saja bersemuka dan lahirkan pandangannya kepada kepimpinan. Kalau mereka tidak terima dan dia tak setuju, keluar saja, tinggalkan parti dan masuk parti lain. Janganlah rosakkan rumah tempat kita berlindung daripada hujan dan panas. Kalau rumah itu sudah tidak boleh dibaiki lagi, keluar dan tinggalkan, masuk rumah lain atau bina rumah baru. Barulah orang respect!

Cukuplah seorang Zul. Jangan ditambahkan lagi Zul, Zul yang sengaja membuat onar dunia politik tanah air. Biarkanlah si Zul itu terjun dengan labu-labunya.

Thursday 22 December 2011

Ayuh! Kita Ke Sg. Tengi Esok!

Ayuh, esok ada perhimpunan para seniman dan budayawan di Sg. Tengi, Ulu Selangor. Tujuannya ialah untuk mendapatkan penjelasan daripada peneroka Felda yang menghadapi 'runtuhan durian runtuh' tidak berapa lama lagi, apabila Syarikat Felda akan di senaraikan dalam bursa saham Malaysia. Para seniman, bukan nakkan durian runtuh itu, tetapi nak tahu benarkan durian runtuh seperti yang dijanjikan oleh kepimpinan negara ini akan menjadi kenyataan, dan tidak merugikan warga Felda.

Apa yang dikhuatiri oleh para Seniman dan budayawan, takut nanti dengar 'guruh di langit, air tempayan ditumpahkan'. Kisah warga Felda di Sg. Buaya Selangor, dan sebuah lagi di N. Sembilan cukup menjadi pengajaran kepada kita terutama warga Felda. Apa sudah jadi dengan jutawaan segera Felda ini sekarang? Sesetengah mereka sudah bengkrap dan ada yang hilang tanah di Felda dan kehidupan mereka tidak tentu hala. Inilah akibatnya apabila termakan gula-gula kepimpinan politik negara yang bukan memikirkan kepentingan rakyat tetapi kepentingan saku mereka. Apakah warga Felda seluruh negara tidak menjadikan peristiwa ini sebagai iktibar?

Khabarnya Samad Said, Siti Zainon Ismail, Hishamuddin Rais, Rahmad Haron dan Wan Ahmad Wan Ismail dari Terengganu pun akan datang meramaikan. Wak Ibrahim Ghaffar dan wak Saring khabarnya sudah menempa chalets di sana. Bermacam-macam aktiviti akan diadakan sepanjang hari, dari acara melukis untuk kanak-kanak yang akan dibimbing oleh sdra Yeoh dan Siti Zainon, hingga acara lagu puisi dan baca sajak pada sebelah malamnya. Pendeknya para seniman dan budayawan akan berkampung di situ.

Ayuh! kita ramai-ramai pergi ke sana esok!

Tuesday 20 December 2011

IPM berjaya adakan bengkel penulisan

Seperti yang dijadualkan Bengkel Penulisan Kritis (kreatif dan non-kreatif) telah berjaya diadakan pada 16-18 Disember lalu di kpA agroBazaar & Chalets di Lebuh AMJ, Melaka. Inilah julung-julung kali sebuah bengkel penulisan (seingat aku) dianjurkan oleh Ikatan Persuratan Melayu (IPM) sepanjang 61 tahun usianya yang menglibatkan secara langsung IPM mengendalikannya.

Bengkel ini anjuran bersama IPM dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) serta kerjasama Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Seramai 17 peserta sahaja yang hadir (10 wanita dan 7 lelaki) daripada 20 peserta yang telah memberi kesanggupan menyertai bengkel ini, ( 3 tidak hadir, kesemuanya lelaki) telah menjayakan bengkel ini dengan amat positif sekali. Para peserta terdiri daripada para penulis dan bakal penulis di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.Walaupun bengkel hanya berlangsung selama 3 hari 2 malam, namun hasilnya sangat membanggakan pihak penganjur.

Pada hari pertama para peserta masih malu-malu kerana mungkin belum mengenali satu sama lain. Selepas majlis pengenalan dan duduk pula dalam satu rumah, kemeseraan semakin ketara pada hari kedua dan ketiga. Malah pada sesi pembentangan, beberapa orang peserta wanita telah memberanikan diri untuk berinteraksi dengan pembimbing. Sebenarnya itulah tujuan penganjur mahu melibatkan secara langsung para peserta dalam perdebatan ketika membicarakan kertas kerja pembimbing. Konsep penganjur ialah mahu membina pemikiran kritis di kalangan peserta, justeru kerana itu bengkel ini tidak menjurus ke arah satu hala sahaja, akan tetapi bersifat dua hala. Para peserta digalakkan menyanggah pendapat atau pandangan pembimbing sekiranya tidak bersetuju. Nampaknya ia membuahkan hasil yang positif apabila menerima cabaran daripada pembimbing dan penganjur.

Pelbagai persoalan ditimbulkan daripada soal penulisan kepada soal sosial, politik dan sebagainya. Perbincangan amat positif sekali, sekurang-kurangnya sudah ada petanda minda mereka semakin terbuka selepas perbincangan. Ini akan memberikan mereka lebih ruang untuk berkarya secara kritis dan positif dalam membina masyarakat madani di negara ini.

Apa yang menarik ialah keberanian mereka menyampaikan rumusan sidang pleno dengan pelbagai pendapat dan idea yang bernas. Sebelum itu mereka telah dibahagikan kepada 4 kelompok bagi membincangkan suatu mauduk komtemporari yang sangat relevan dengan keadaan sosial dan politik di negara kita.

Para pembimbing terdiri daripada Dr. Alinor dari UKM yang membicarakan Pencarian Melayu, yang sangat menarik dan boleh dijadikan 'Ilmu Bantu' dalam karya mereka. Prof. Dr. Zainon Ismail membicarakan pengalaman dan ciri-ciri yang harus ada dalam penulisan novel. Cikgu Azmi Hamid menekankan betapa pentingnya penulis memperjuangkan kebenaran dan mencegah kebatilan. Sdra Dinsman menyentuh soal keperibadian penulis, di mana penulis berdiri dan penulis harus menyatakan pendirian. Razali Endun membicarakan 'Membentuk Pemikiran Kritis Dalam Penbulisan Cerpen.' Hasni Abas menyentuh tentang bahasa dalam penulisan, manakala Kassim Muhamad melontarkan idea, "Kenapa kita harus berubah?"

Tajuk-tajuk itu sangat mencabar minda para peserta, justeru itu telah berjaya membuka minda mereka dengan positif dan diharapkan memberi manfaat dalam penulisan mereka. Bengkel ini tidak berakhir di situ sahaja, malah Ketua Satu IPM Hj. Moktar Yassin telah menyarankan kepada peserta supaya terus menulis dan menghantar tulisan mereka kepada urusetia untuk diberi teguran. Para peserta juga diharapkan akan dapat memanfaatkan media-media yang ada untuk menghantar karya-karya mereka. Karya-karya mereka tidak seharusnya disimpan di dalam laci sahaja.

Kita harapkan mereka manfaatkan bengkel ini dan akan terus berkarya tanpa jemu. Selamat pulang kepada para peserta. Terima kasih kerana sudi hadir menjayakan bengkel ini.

Wednesday 14 December 2011

PRU 13 selepas Anwar dipenjarakan?

Perbicaraan Anwar Ibrahim sudah sampai ke penghujung. Sekarang dalam proses penggulungan oleh Pendakwa dan Pembela. Selepas itu Hakim akan membuat keputusan.

Aku sudah dapat menyangkakan keputusan hakim, walaupun beliau belum membuat keputusan. Aku bukan mahu mencampuri urusan mahkamah yang boleh membuat aku didakwa kerana 'comtempt' atau menghina mahkamah. Namun, hakim telah menimbulkan persepsi serta membayangkan apakah keputusan yang akan diambilnya terhadap kes ini.

Aku ambil contoh, botol minuman yang mula-mula ditolak oleh Hakim sebagai bukti, namun diterima semula sebagai bukti selepas itu. Kedua, hakim sudah 'pre-empt' dengan menyatakan secara terbuka bahawa Saiful adalah saksi yang boleh dipercayai, walaupun kes masih berjalan dan jauh daripada sampai di penghujung. Aku beranggapan ini adalah petanda-petanda yang akan menyimpulkan keputusan hakim, biarpun pembela mempunyai alasan dan bukti munasabah untuk dipertimbangkan.

Maka dengan itu pada akhir Disember ini atau awal Januari tahun depan, hakim akan memberikan keputusannya. Walaupun Anwar mengharapkan yang terbaik daripada keputusan hakim itu, namun dia mesti bersedia untuk menerima yang terburuk. Malah Anwar sendiri sudah bersedia untuk menerima yang terburuk itu.

Apakah signifikannya keputusan perbicaraan Anwar ini dengan politik negara ini terutama berkaitan PRU 13? Signifikannya amat besar sekali, kerana gerombolan mahu menghapuskan pengaruh Anwar dalam jagat politik tanah air, terutama ketika menghadapi PRU 13 yang sangat membimbangkan Najib, Umno dan BN. Najib sudah berikrar dia akan mempertahankan Putrajaya walau dengan apa sekalipun. Ini suatu kenyataan umum dan boleh ditafsirkan dari pelbagai sudut dan kemungkinan.

Oleh hal yang demikian, aku membuat andaian bahawa Anwar akan didapati bersalah dan dihukum penjara antara 5-10 tahun. Selepas itu Najib akan mengumumkan tarikh pilihan raya. Maka tarikh itu bertepatan dengan banyak andaian orang ramai termasuk Mahatahir bahawa PRU 13 akan diadakan pada Mac 2012. Percaya atau tidak, kita tunggu dan lihat.

Monday 12 December 2011

Seminar & Bengkel Penulisan

Wah! bulan Disember ini, bulan terakhir bagi 2011, banyak seminar, bengkel dan pertemuan penulis diadakan pada bulan ini.

Pena sibuk dengan majlis makan malamnya bersama dengan PM Najib pada malam 16 Disember. Pada masa yang sama PM akan merasmikan Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) anjuran Pena, DBP, ITN, Percetakan Nasional dan Akademi Kenegaraan. PPMN kali ke-3 ini akan berlangsung pada 17 - 18 Disember dan ianya merupakan susulan Perhimpunan yang telah diadakan di Tg. Piai Johor pada 2007, di Ayer Keroh Melaka 2009, dan kali ini giliran Kuala Lumpur pula.

Khabarnya inilah julung-julung kali seorang PM Malaysia yang sudi menghadiri majlis anjuran persatuan penulis. Tentu sekali ianya membanggakan kepimpinan muda Pena yang berhasil mempengaruhi PM untuk hadir, sedangkan Gapena tidak berjaya berbuat demikian.

Akan tetapi, khabarnya ada 'muslihat' di sebalik Pena mengundang PM untuk hadir pada majlis makan malam ini. Selain mahu mendapat kepastian PM dalam isu PPSMI dan beberapa masalah lain yang dihadapi oleh persatuan itu, Pena cuba membisikkan supaya PM menggunakan pengaruhnya agar bangunan serta tanah di mana pejabat Pena berada sekarang tidak dirampas oleh Dewan Perniagaan Melayu yang akan memajukan tempat itu. Khabarnya tanah itu milik Dewan Perniagaan Melayu dan sudah sekian lama mereka mahukan tanah ini untuk dimajukan. Bererti Pena harus nyah daripada rumah Pena itu yang sekian lama sudah dihuninya. Kesian.

Nampaknya Pena terpaksa juga bergantung pertolongan orang politik kerana merekalah yang punya kuasa dan menentukan segala. Dulu Pena ada Ahmad CB, seorang korporat dan seorang aktivis politik yang mempunyai pengaruh juga pada ketika itu. Kini Ahmad CB sudah tinggalkan Pena, maka Pena seolah-olah sudah tidak ada dahan tempat bergantung lagi. Maka Pena pun mahu melompat terus ke puncak pohon untuk bergantung nasib di dahan Najib, yang kelihatan kukuh di luar, akan tetapi mungkin rapuh dalam pembuluh. Semoga Pena akan berjaya bergayut pada dahan itu sekurang-kurangnya sehingga PRU 13.

Pada masa yang sama juga 17-18 Disember, ada Festival Puisi di Pulau Pangkor. Majlis ini anjuran kerajaan negeri Perak dan Yayasan Kampung Karyawan Malim, (yang diterajui oleh Malim Ghazali PK). Khabarnya ramai penyair tanah air sudah mendaftar diri untuk menyertai festival ini. SN Dato Dr. Anwar Ridhwan diberitakan akan juga menghadiri festival ini. Moga berjaya festival puisi ini.

Pada tarikh yang sama juga 16-18 Disember, Ikatan Persuratan Melayu (IPM) bersama dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang akan mengadakan Bengkel Penulisan Kritis (kreatif & non-kreatif) di Melaka. Bengkel ini mendapat kerjasam Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Antara pembimbing bengkel ini ialah Dinsman dan Prof. Dr. Siti Zainon Ismail. Moga berjaya.

Sebelum ini, pada 10-11 Disember, kelompok E Sastera mengadakan majlis tahunannya di Alor Setar. Pada majlis itu beberapa buah buku tulisan anggota E Sastera telah dilancarkan. Khabarnya penyampaian hadiah tokoh E Sastera bagi tahun 2011 juga telah diadakan.

Wah! bagus sungguh! Nampaknya kegiatan persatuan-persatuan penulis sentiasa aktif dan segar. Dalam pada itu kita harapkan semoga ianya akan membuahkan hasil yang positif bagi golongan penulis untuk menongkah arus permasalahan politik, sosial, ekonomi dan yang sepertinya yang telah mencemar masyarakat kita. Golongan penulis ini diharapkan dapat mengubah minda masyarakat supaya menegakkan kebenaran, menentang kezaliman dan kecurangan. Penulis tidak harus membiarkan minda mereka dikongkong oleh perasuah, meskipun mereka dalam keadaan 'despreate' mengharapkan bantuan daripada kepimpinan yang tidak kelihatan bersih. Hubaya! hubaya! Jangan sampai kita bersekongkol dengan golongan perasuah dan yang tidak jujur! Walahhaualam!