Friday 28 August 2015

Bersih Undang Darurat?

Perhimpunan Bersih 4 pada hujung minggu ini semacam boleh mengundang pengistiyaraan darurat oleh kerajaan Umno/BN. Ini diyakinkan dengan kenyataan Ketua Angkatan Tentera dalam satu majlis yang dihadiri juga oleh Menteri Pertahanan, Hishamuddin Hussein. Tentu sekali Menteri Pertahanan merestui kenyataan Ketua Angkatan Tentera kerana ini berlaku di hadapannya.

Apakah ini sudah dirancang oleh Najib? Kerajaannya sudah menunjukkan tanda-tanda, kemungkinan mengisytiarkan darurat. Kalau tidak kenapa mesti pihak tentera bersuara perihal perhimpunan Bersih? Perhimpunan adalah urusan Polis, bukan Tentera? Petanda ini memberi amaran kepada Pengajur Bersih bahawa kemungkinan ini akan berlaku.

Kalau ini berlaku pastinya semua ruangan demokrasi akan tersekat. Parlimen akan digantung, tidak akan berlansung undi tidak percaya terhadap Najib. Tidak boleh mendakwa Najib, kalaupun ada kes terhadapnya. Fungsi mahkamah juga tergantung. Wal asal balik hasil, maka Najib akan terus berkuasa di bawah perlindungan angkatan tentera dan kuasa-kuasa darurat.

Kalau telahan ini betul, maka Najib sememangnya tidak mahu menyelamatkan Malaysia, Umno, Ekonomi dan rakyat negara ini. Dia semata-mata mahu menyelamatkan dirinya, biarpun Umno dan negara musnah. Najib takut dengan bayang-bayangnya sendiri. Dia takut akan didakwa kerana dia tahu akan kesilapan yang telah dilakukannya. Maka dengan hal yang demikian, Najib akan terus berkuasa sehingga PRU 14. Dapatkah dia lari dari PRU 14? Apakah rakyat akan memberikan dia mandat lagi memimpin negara dengan segala najis rasuah dan moral yang rendah yang cuba dicucuinya tetapi tidak berjaya. Apakah helahnya nanti menangguhkan PRU 14 supaya dia diterus berkuasa? Kita tunggu dan lihat nanti. Wallahualam!

Thursday 27 August 2015

Umno Kalah - Melayu Bangsat!

Ini Najib semakin sasau. Mulutnya makin celupar. Apa tujuannya menyatakan sekiranya Umno kalah, tidak berkuasa lagi, Melayu akan jadi Bangsat. Apakah Melayu bukan bangsa Bangsat setelah sekian lama Umno/BN memerintah?

Melayu menjadi Bangsat kerana Bahasa Melayu dipinggirkan. Melayu menjadi Bangsat kerana ekonominya tidak sampai 30% dicapai sejak merdeka. Melayu menjadi Bangsat kerana Islam tidak didaulatkan.

Tujuan Najib, tidak lain tidak bukan mahu menakut-nakutkan orang Melayu kalau Umno hilang kuasa. Ini satu ugutan seolah-olah Umno sahaja yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Najib jangan fikir rakyat terutama Melayu Bodoh. Orang Melayu tidak bodoh lagi. Mereka sudah tahu berfikir dan menilai antara yang benar dan batil.

Tujuan kedua Najib ialah cuba mengalihkan perhatian rakyat terhadap skandal 1MDB. Kes 1MDB nampaknya akan tertimbun di bawah sampah sarap kecurangan Najib sendiri. Pasukan Khas Penyiasat sudah tidak berfungsi lagi kerana campur tangan pihak berkaitan. Saya tidak yakin Najib akan berani didakwa oleh penguatkuasa penyiasatan, walaupun ada bukti beliau  ada kes untuk didakwa. Najib akan terus kekal sehingga PRU 14. Ada baiknya juga dia kekal, maka momentum kebencian rakyat terhadap Najib akan dapat dikekalkan sehingga PRU 14. Maka peluang untuk menjatuhkan kerajaan UMNO/BN yang telah berkuasa sejak merdeka akan lebih cerah.

Akan tetapi, sekiranya beliau kekal sebagai PM, maka Malaysia akan terus kucar kacir. Keadaan ekonomi akan terus merundum, nilai ringgit akan terus jatuh macam buah bacang busuk jatuh. Nilai ringgit tidak akan ada harganya lagi berbanding dengan mata wang asing. Malah dibanding dengan mata wang Singapura pun sudah jatuh hingga  RM 3.03 berbanding satu dollar Singapura. Harga minyak terus jatuh, kerajaan sudah tidak ada sumber kewangan lagi apabila Petronas juga kerugian kerana kejatuhan harga minyak. Selama ini kerajaan bergantung kepada keuntungan Petronas. Ini baru harga jatuh, belum lagi telaga minyak kering. Najib kata kerajaan sekarang bergantung kepada cukai GST. Tetapi GST mendera rakyat. Rakyat kampung juga tidak akan dapat lari daripada keseksaan GST. Semakin susah hidup rakyat. Maka rakyat akan terus marah kepada kerajaan Umno/BN.

Kadir Jasin berpendapat Najib tidak akan dapat diturunkan dengan perhimpunan Bersih atau undi tidak percaya di parlimen. Ini kerana ramai ahli parlimen BN sudah dibela oleh Najib. Mereka tidak akan mengundi untuk memecat Najib.

Malah Mahathir sendiri tidak akan berjaya mengnepikan Najib sebagai PM. Najib bukan seperti Pak Lah yang tidak suka didera dan dicemuh. Najib berkulit tebal. Dia dengan bongkaknya berkata beliau bukan sebarang orang malah berketurunan pahlawan Bugis. Dia akan tetap akan kekal sebagai PM. Dengan demikian dia sudah dapat melambatkan sebarang dakwaan yang mungkin dihadapkan terhadapnya.

Teori Dr. M mahu menyelamatkan Umno dan dengan demikian harus mengorbankan Najib sebagai PM. Kalau Najib makin degil, maka tidak dapat tidak andaian Dr.M bahawa Umno akan kalah pada PRU 14 akan menjadi kenyataan. Kalau ini berlaku, dan kerajaan baru mengamalkan good governance dan memerangi rasuah, kemungkinan kerajaan yang baru akan dapat kekal beberapa penggal. Kalau ini berlaku, amat payah bagi Umno bangkit semula. Apakah akan berakhirnya riwayat Umno selepas Najib jadi PM? Teori RAHMAN yang bermula dengan R iaitu Tunku Rahman,  A Abdul Razak, H Hussein Onn, M Mahathir, A Abullah Badawi dan N Najib akan memberi kenyataan. Kalau demikian teorinya, maka akan berakhirlah riwayat Umno pada zaman Najib. Semoga rakyat Malaysia semakin sejahtera selepas kejatuhan empire Umno/BN selama beberapa dekad. Sayonara, Umno/BN!

Sunday 23 August 2015

Pelbagai Alasan Untuk Pertahan Najib

Sekarang ini pelbagai alasan terdengar daripada sesetengah pemimpin Umno yang menjadi pengampu Najib dengan membuat pelbagai kenyataan bagi mengwajarkan RM 2.6 bilion dalam akaun bank Najib. Sebaik-baik sahaja SPRM mengumumkan bahawa wang itu bukan daripada 1MDB tetapi derma dari penderma dari Timur Tengah, maka berkokoklah para pengampu mengatakan wang itu untuk pilihan raya. Dana pilihan raya tidak salah, kata mereka. Lebih dahsyat lagi ada yang mengatakan itu bukan rasuah. Dalam Akta SPRM, derma juga diklasifikasikan sebagai rasuah.

SPRM tidak menafikan wang itu ada dalam akaun Najib. Hakikatnya memang Najib ada terima wang itu dan  dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Najib tidak menafikannya dan tidak boleh menafikannya. Justeru, bagi mengwajarkan wang itu berada dalam akaun Najib, maka pengampu-pengampu ini menyatakan itu sumbangan dana pilihan raya; tidak salah. Lagipun belum ada undang-undang di negara ini yang mengharamkan sumbangan politik.

Muktahir sekali alasan yang diberi, kononnya Pak Arab itu menyalurkan wang itu bagi menyekat pengaruh Yahudi dan DAP. Kononnya takut DAP berkuasa maka orang Islam akan tertekan. Begitulah mengarutnya alasan-alasan yang merapu, yang tidak masuk akal hanya semata-mata mahu mewajarkan transkasi wang itu. Tidak dapat tidak alasan itu hanya helah bagi mengwajarkan wang itu berada dalam akauan Najib. Apalah BODOHnya orang Umno semacam ini?

Senario ini menunjukkan bahawa mereka dan Najib semakin terdesak dengan situasi mutakhir. Bekas Timbalan Pengarah SB Polis sudah mula sedikit demi sedikit memberi pencerahan terhadap isu 1MDB. Seorang bekas pegawai Pejabat Peguam Negara yang lucutkan jawatannya dikatakan akan memfailkan afidivit dalam mahkamah mencabar pemecatannya dan penarikan balik taraf pemastautinnya. Apakah afidivit itu akan 'meletop' membongkar rahsia di sebalik pemecatan bekas Peguam Negara dan draf kertas pendakwaan terhadap Najib? Sama-sama kita tunggu. Ini belum lagi pembongkaran Sirul dalam kes Atantuya. Kalau mereka berani menyatakan yang benar, sudah pasti kita akan melihat senario yang berlainan pula. Rakyat pasti akan menyokong siapa sahaja sekiranya ada sesiapa berani berkata benar. Jangan takut berkata benar, meskipun ianya pahit. Rakyat menunggu pembongkaran ini. Berani kerana benar, takut kerana salah.

Bekas Timbalan Pengarah  SB sudah berani menyatakan ada geng Hang Tuah yang mana si Kitul  cuba merosakkan penyiasatan 1MDB. Kita tunggu siapa si Kitul ini. Pastinya satu haru Tuan Hamid akan memberitahu juga rahsia si Kitul dan rahsia-rahsia lain yang cuba disembunyikan oleh puak-puak Najib. Saya yakin dan percaya kebenaran akhirnya juga akan terserlah. Itupun tertakluk kepada penyiasatan yang telus dan amanah. Kalau siasatan itu diarah supaya menutup kes ini, lainlah pula hasilnya. Jangan takut demi kebenaran. Insyallah Allah akan menlindungi mereka yang berkata benar. Wallahualam!

Friday 21 August 2015

Bagaimana Nak Jatuhkan Najib?

Dr. Mahathir telah mengemukakan beberapa cadangan bagaimana nak jatuhkan Najib sebagai PM. Antaranya supaya ahli parlimen BN dan Pembangkang bersatu mengemukakan undi tidak percaya kepada PM. Namun demikian Dr.M tidak yakin ini akan terlaksana kerana beliau sendiri kurang yakin dengan ahli parlimen BN yang menurutnya telah diugut oleh Najib, malah mungkin dirasuah oleh Najib. Kemungkinan ahli parlimen BN menyokong usul tidak percaya itu sangat diraguinya, walaupun mereka sememangnya tidak setuju dengan isu duit dalam akaun persendirian Najib. Mereka bukan saja serba salah, tetapi  mahu menjaga kepentingan masing-masing yang telah diberi habuan oleh Najib. Ini sememangnya budaya orang Umno, lebih mementingkan kedudukan daripada mempertahankan prinsip.

Namun demikian, Dr. M tidak pula menyatakan kaedah mendapatkan akuan berkanun bersumpah itu salah dari segi undang-undang dan Perlembagaan. Kaedah yang sama digunakan Najib dalam krisis politik di negeri Perak dulu. Maka sekarang sampailah masanya Najib menghadapi situasi yang sama. Allah itu maha berkuasa, balasannya tidak sahaja di Akhirat, tetapi di dunia sudah dipulangkanNya.

Dr. M juga kurang yakin usul 'undi tak percaya' akan dapat diluluskan kalau Pembangkang membawa ususl tersebut, kerana mereka tidak cukup suara majoriti tanpa sokongan ahli parlimen BN. Justeru itu beliau mencadangkan supaya Pembangkang fikirkan kaedah yang sesuai menjatuhkan Najib, tetapi tidak menjatuhkan kerajaan BN. Dari perspektif politik, cadangan Dr.M agak pelik dan menggambarkan kurang cerdiknya dalam politik.

Pastinya tujuan Pembangkang bukan saja nak jatuhkan Najib tetapi juga mahu jatuhkan kerajaan BN. Presiden Pas juga pernah berkata, menukar PM saja bukan penyelesaian kepada kemelut politik yang ada kalau sistemnya tidak turut diubah. Siapapun yang jadi PM di kalangan orang BN, maka masalah yang sama tetap akan berulang. Jadi bagi Pembangkang, keseluruhan kerajaan BN harus ditukar dengan Pembangkang.

Kalau kaedah Dr.M itu supaya Najib sahaja diganti, bukan kerajaan BN, maka yang berkuasa berbuat demikian ialah ahli MT dan ahli-ahli Umno. MT boleh mengajukan undi tidak percaya kepada PM dan cadangkan penggantinya di kalangan pemimpin Umno juga. Kaedah ini tidak akan mengganggu gugat kerajaan BN, cuma PM sahaja digugurkan. Maka BN akan selamat. Tetapi Dr. M juga tidak yakin ini akan berlaku memandangkan menurut beliau pemimpin Umno yang pernah mengadu kepada beliau hal kepincangan Najib sudah berpaling arah setelah menerima 'habuan' daripada Najib. Inilah dia budaya Umno yang tidak disukai oleh ramai rakyat. Mereka hanya bermuka-muka, kalau dapat habuan maka mereka akan sokong. Sekarang Dr.M tidak berupaya memberikan habuan itu, jadi apa perlu mereka menyokong Dr.M.? Pada zaman Dr.M mengetuai kerajaan dulu, lihat betapa ramainya pemimpin Umno menangis teresak-esak apabila  Dr.M mengumumkan mahu letak jawatan sebagai PM. Adakah tangisan itu ikhlas? Bukan, itu hanya pura-pura. Mereka sanggup menangis di hadapan khalayak ramai malah dikaca tv yang ditonton oleh berjuta rakyat. Kenapa mereka menangis? Jawabnya kerana mahu kekal pada jawatan masing-masing. Sekarang Dr. sendiri mengalami keadaan yang sama ketika pemerintahan Dr. M dulu. Tindak tanduk Najib sekarang ini adalah cerminan Dr.M ketika jadi PM dulu.

Saya cadangkan bukan saja usul undi tidak percaya terhadap PM, tetapi mendesak supaya PM bubarkan parlimen dan diadakan pilihan raya baru bagi mendapat mandat baru rakyat, yang sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kerajaan sekarang. Cadangan ini paling sesuai kerana Najib sudah tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat termasuk ahli-ahli Umno sendiri. Cuma ahli-ahli Umno yang masih takut dan tidak berani menyatakan secara terbuka dan terang-terangan. Selagi Najib memegang kuasa, selagi itulah pelbagai masalah akan timbul hasil ganggu gugat beliau yang mempunyai kuasa eksekutif. Wallahualam!
TheMalaysian Insider

Tuesday 18 August 2015

'Guling' Kerajaan: Betulkah dakwaan Zahid?

TPM Datuk Sri Dr. Zahid Hamidi mengumumkan bahawa ada gerakan daripada kepimpinan Umno yang berhasrat 'mengulingkan' kerajaan. Ketika pengumuman ini Zahid kelihatan amat yakin bahawa dakwaannya adalah benar. Dia merujuk pemimpin itu sebagai 'orang tua.' Siapa orang tua ini, tidak pula diumumkannnya.

Khabarnya perencanaan 'penggulingan' ini yang dikatakan oleh Zahid adalah mengikut 'pintu belakang.' Ada yang telah menyanggah penggunaan istilah 'guling' dan 'pintu belakang.' Ini kerana khabarnya kaedah yang akan digunakan pemimpin itu ialah dengan mendapatkan tandatangan ahli parlimen sama ada di kalangan BN dan juga Pembangkang melalui 'akuan bersumpah, (SD). Kalau sudah mendapat majoriti mereka akan menghadap Yang DiPertua Agong untuk menyatakan bahawa PM sudah tidak mendapat sokongan majoriti ahli parlimen. Kaedah ini sama yang dilakukan oleh Najib pada kerajaan Perak di mana BN telah merampas kerajaan negeri Perak dengan cara sebegini. Mahkamah Persekutuan telah merestui kaedah ini dengan menyatakan kaedah itu tidak menyalahi Perlembagaan Negara dan Undang-Undang. Perlu diingat bahawa kaedah ini tidak salah. Zahid jangan mengelirukan rakyat dengan istilah yang akan dianggap oleh rakyat tidak mengikut undang-undang.

Betulkah dakwaan Zahid ini? Nyata mereka yang 'tersenarai' dalam konspirasi ini telah menafikannya. Tan Sri Shairir Samad ketua penyokong ahli parlimen BN menganggap bahawa ini satu dakwaan yang 'palsu.' Shahrir juga meminta Zahid menamakan pemimpin Umno atau 'orang tua' itu. Malah beberapa orang ahli parlimen Pembangkang juga menafikan bahawa mereka tidak tahu menahu tentang rancangan ini. Zahid telah mengemparkan rakyat dengan berita ini sehingga bukan saja mengelisahkan ahli Umno, malah rakyat. Secara tidak langsung Zahid cuba melaga-lagakan pemimpin Umno dan menanam rasa tidak percaya antara satu dengan yang lain.

Sehingga saat ini Zahid masih belum lagi mengumumkan identiti orang tua itu. Siapa orang tua itu? Zahid telah menimbulkan teka teki dan tanggapan yang bukan-bukan di kalangan rakyat. Sebab itu ada blog yang cuba membuat terkaan dengan menyenaraikan beberapa nama ahli parlimen Umno yang dikatakan terlibat dalam konspirasi 'penggulingan' ini.

Mungkin Zahid sengaja menimbulkan isu baru ini dengan beberapa sebab:-
1. Dia cuba mengalihkan perhatian umum daripada skandal 1MDB kepada isu ini.
2. Dia mahu 'membodek' Najib, ketuanya.

Zahid tidak sepatutnya mengeruhkan lagi suasana yang sememangnya sudah keruh.  Apakah tindakan Zahid ini tidak  menimbulkan kegelisahan dan mungkin akan menganggu ketenteraman awam? Apakah tindakan Zahid ini tidak berunsur hasutan. Pihak polis sepatutnya mengambil perhatian tentang isu ini. Kalau ada kes, jangan dibiarkan Zahid terlepas. Kalau orang awam, tentu sekali polis pantas menahannya? Gunakan Akta Hasutan. Wallahualam!


Sunday 16 August 2015

Dah Siasat Najib Ke?

SPRM pernah mengeluarkan kenyataan bahawa badan itu akan membuat soal siasat terhadap PM, Najib berkaitan RM 2.6 bilion dalam akaun PM. Sudahkah siasatan dijalankan? Dah agak lama juga kenyataan ini dikerluarkan tetapi belum ada berita tentang penyiasatan tersebut. Adakah Najib enggan disoal siasat? Atau SPRM gerun dan takut mahu buat soal siasat itu?

Rakyat masih tertunggu-tunggu hasil siasatan tersebut. Kalau sudah disoal siasat beritahu kepada umum supaya rakyat tahu perkembangannya. Skandal 1MDB amat memalukan bukan sahaja kerajaan tetapi rakyat Malaysia. Lagi lama dipendam isu ini dalam peti sejuk akan menjadikan rakyat tidak sabar-sabar mahu mengetahui hasil siasatan itu.

Sekarang terdengar pula Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan mengetahui tentang wang RM 2.6 bilion ringgit itu. Kenapa baru sekarang diberitahu setelah isu ini lunyai diperkatakan? Apa tujuan Ku Nan? Adakah dia mahu melindungi Najib dalam keadaan Najib yang sedang terhimpit dalam isu ini?

Kenyataan Ku Nan itu mengundang bahawa beliau patut di soal siasat tentang pengakuannya itu. SPRM patut soal siasat beliau bagi melengkapkan siasatannya. Macam mana Ku Nan tahu semuanya ini tetapi hanya mendiamkan diri? Siapa yang mendermakan duit itu? Betulkah duit itu duit Umno atau duit Najib? Kalau duit Najib kenapa kepimpinan Umno susah payah mempertahankannya? Bak kata Ku Seman dalam artikelnya, Umno tak semena-mena menanggung biawak hidup apabila mengakui duit itu duit Umno, sedangkan kepimpinan Umno tidak tahu menahu termasuk mantan TPM Muyhiddin Yasin. Kalau duit Umno tentu ada kira-kira dan akaunnya. Takkan Umno organasasi politik terbesar dalam negara ini tidak simpan akaun duit parti? Pelikkan?

Rakyat sudah mula kurang yakin bahawa SPRM benar-benar berani menyiasat Najib. Taring SPRM seolah-olah telah dicabut oleh Najib dengan pelbagai campur tangan yang dilakukannya. SPRM mesti mempertahankan intergeritinya supaya keyakinan orang ramai tidak luntur. SPRM mesti berani tegakkan kebenaran! Wallahualam!

Saturday 15 August 2015

Najib cuba tutup Pekung

Tiba-tiba saja Najib mengalihkan pandangan umum daripada isu 1MDB kepada dana politik pula. Katanya negara ini belum ada undang-undang menyekat dana politik. Dia mendakwa saranan ini sudah disuarakannya pada 2009 lagi. Tetapi parti-parti pembangkang tidak memberikan kerjasama. Sementara itu parti-parti pembangkang menafikan bahawa mereka menolak saranan itu. Ini kata mereka, mereka tidak pernah diundang secara rasmi oleh kerajaan BN untuk membincangkannya.

Najib mengumumkan pelantikan sebuah Jawatankuasa yang akan mengkaji cadangan ini untuk dimajukan kepada kerajaan untuk pertimbangan. Jawatankuasa ini di pengerusikan oleh Menteri di jabatan perdana menteri Datuk Paul Low dan timbalannya Datuk Idris Jala. Hasil siasatan jawatankuasa ini akan dijadikan asas untuk mengubal suatu Akta baru iaitu Akta Dana Politik.

Tindakan terbaru Najib ini tidak dapat tidak akan menimbulkan persepsi baru bahawa dia sengaja mahu mengalihkan perhatian umum terhadap skandal 1MDB yang mana beliau menjadi Pengerusinya. Mungkin Najib berfikir dengan tindakannya ini akan mengurangkan persepsi buruk rakayat terhadapnya. Menurut fikirannya rakyat akan mempercayai kejujurannya dengan menumumkan tindakan barunya itu. Akan tetapi, saya percaya kebanyakan rakyat akan menganggap bahawa beliau cuba bermain sandiwara sekali lagi. Amat payah bagi rakyat mempercayainya sedangkan isu RM 2.6 bilion dalam akaun peribadinya masih sama-samar. Najib harus perjelaskan isu ini supaya kepercayaan orang ramai dapat dipulihkan.

Najib ibarat cuba meyembur minyak wangi di pekung di dadanya. Bau busuk pekung itu semakin merebak meskipun dia cuba menyiram minyak wangi di pekungnya itu. Keharuman minyak wangi tidak dapat mengatasi bau busuk pekung yang busuk lagi membusukkan. Bau itu pastinya akan terhidu juga oleh orang ramai di sekelilingnya.

Wednesday 12 August 2015

Susahnya nak lantik Pengerusi PAC

Kabinet hari ini memutuskan bahawa tidak perlu dipanggil mesyuarat parlimen bagi melantik Pengerusi PAC. Menurut menteri di jabatan perdana menteri Azlina Othman, kabinet memutuskan perlantikan tersebut akan dilakukan pada sesi persidangan akan datang pada Oktober. Pada sesi tersebut petantikan Jawatankusa PSC juga akan dilakukan termasuk perlantikan baru anggota PAC. Ini bermakna anggota PAC sekarang secara tidak langsung adalah terlucut dengan sendirinya.

Keputusan ini akan menimbulkan persepsi baru di kalangan rakyat bahawa kabinet sengaja mahu melengah-lengahkan penyiasatan terhadap 1MDB. PAC dalam siasatan kemuncak terhadap skandal 1MDB. Siasatan PAC terbantut apabila sebilangan anggotanya dibawa ke dalam kabinet Najib. Kerajaan tidak boleh menyalahkan rakyat kalau syak wasangka ini semakin mewabak di kalangan rakyat. Kerajaan semakin semarakkan persepsi negatif rakyat daripada memulihkan keyakinan rakyat. Rakyat semakin kurang percaya dengan apapun yang dinyatakan oleh kerajaan. Umno/BN menghadapi krisis kepercayaan yang semakin teruk.

Dengan keputusan ini bererti saranan beberapa ahli politik termasuk daripada Umno/BN telah tidak diendahkan oleh Najib. Antara mereka ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang lantang mahukan sidang khas parlimen diadakan untuk melantik Pengerusi Baru PAC. Khairy yang juga salah seorang anggota kabinet sepatutnya mempertahankan saranannya untuk memanggil sidang khas parlimen. Apakah beliau tidak hadir pada mesyuarat kabinet hari ini? Kalau hadir, adakah dia mengemukakan saranannya dalam kabinet? Kita mahu dengar daripada Khairy tentang perkara ini untuk kita pertimbangkan adakah Khairy hanya lantang bersuara di luar sedangkan dalam kabinet beliau menikus.

Dengan keputusan ini penyiasatan PAC terhadap 1MDB tertangguh lagi. Lagi lama tertangguh lagi banyak andaian yang akan tersebar di kalangan rakyat. Penangguhan ini jelas menunjukkan bahawa penyiasatan PAC sudah berkubur. Inilah taktik Najib, bukan saja menagguhkan penyiasatan tetapi mahu melumpuhkan sepenuhnya penyiasatan tersebut. Selamatkah Najib?

Walaupun demikian, kerajaan tiada alasan lagi meneruskan penyiasatan ini kerana pasukan Petugas Khas yang dianggotai oleh SPRM, Polis, Bank Negara dan Pejabat Peguam Negara sudah dilumpuhkan oleh Najib. Pasukan ini tidak berfungsi lagi. Ianya sudah mati. Kalaupun diteruskan penyaisatan secara berasingan, daripada perkembangan terbaru, hasilnya nanti akan menimbulkan keraguan orang ramai. Rakyat tidak akan percaya hasil siasatan itu.

Justeru, untuk mengembalikan kepercayaan rakyat, maka adalah wajar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja yang bebas bagi meneruskan siasatan ini. Siasatan-siasatan oleh Suruhanjaya DiRaja sebelum ini diterima dengan baik oleh rakyat. Jangan dilengah-lengahkan lagi penyiasatan ini. Lagi lama tertangguh ada kemungkinan bukti-bukti yang ada akan dimanipulasi. Untuk mengelakkan ini berlaku, rakyat perlu mendesak supaya Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan secepat yang mungkin. Kalau Najib enggan, ahli-ahli parlimen boleh membuat rombongan menghadap Yang DiPertuan Agung untuk mendapat restu daripada baginda. 1MDB jangan dilepaskan begitu sahaja tanpa mengheret individu yang melakukan salahlaku terlepas begitu sahaja. Wallahualam!

Saturday 8 August 2015

Kuasa Politik lwn Kuasa Undang-Undang

Aku memang geram dan marah apabila mengetahui dua pegawai tertinggi SPRM ditukarkan serta merta ke Pejabat Perdana Menteri. Apa ertinya semua ini? Siapa yang berkuasa menukarkan jawatan mereka ini tanpa notis? Wah! saya kira ini sudah melampau. Tidak boleh lagi bertolak ansur dengan tindakan yang memang sengaja mahu melindungi skandal 1MBD yang mana Najib terlibat.

Apa tujuan mereka? Tentu sekali mahu membantutkan siasatan SPRM terhadap 1MDB. Kalau begini keadaannya, sudah jelas dan nyata PM terlibat dalam skandal ini. Kalau tidak, apa perlu dia takut? Kata perumpamaan Melayu, berani kerana benar, takut kerana salah. Daripada perkembangan mutahir nampaknya PM semacam berasa bersalah, sebab itu dia lakukan apa sahaja bagi menyelamatkan dirinya. Sebagai wira Bugis, kenapa takut menghadapi kenyataan ini?

Pesuruhjaya SPRM dikatakan 'dipaksa' bercuti, kononnya atas alasan kesihatan. Manakala timbalannya berada di luar negara. Penangkapan pegawai-pegawai SPRM dan pertukaran jawatan dua orang pengarahnya berlaku ketika ketua mereka tidak berada di dalam negara. Nampaknya, perkembangan terbaru ini mengambarkan bahawa semuanya sudah diatur dengan rapi.

Siapa sebenarnya berkuasa menukarkan kedua pengarah SPRM ini? Dalam heraiki kabinet hanya ada dua orang sahaja mempunyai kuasa itu iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Zahid Hamidi dan PM sendiri iaitu Datuk Najib Razak? Kedua-duanya mesti bertanggungjawab terhadap pertukaran ini. Zahid baru saja mengumumkan bahawa tiada tindakan akan dikenakan kepada pegawai-pegawai selepas ini. Apakah pertukaran tanpa notis ini bukan tindakan?

Kerajaan sekarang nampaknya sudah melampau. Ada di antara para menteri kabinet yang tidak bersetuju dengan pertukaran ini. Maruah dan intergeriti kerajaan yang memang sudah merundum semakin menjadi buruk. Rakyat sudah tidak boleh menerima tindakan-tindakan yang sengaja mahu melindungi Najib dalam skandal 1MDB. Malah orang Umno sendiripun sudah meluat dengan gelagat Najib yang semakin rakus mahu berpaut di dahan kuasa. Kuasa tidak kekal Najib. Hari ini kamu berkuasa dan jadi PM. Esok atau luasa nasib anda belum tentu lagi. Insaflah. Kalau benar melakukan kesalahan, hadapinya sebagai anak jantan seperti pahhlawan Bugis. Melaung-laungkan sahaja kepahlawanan Bugis sedangkan kamu sebenarnya tidak seberani pahlawan Bugis, menjadikan kamu bahan tertawa sahaja.

Inilah kuasa politik yang mengatasi kuasa undang-undang. Saya pernah dengar suatau masa dulu seorang Adun Umno menyatakan politik boleh buat apa sahaja waimah 'membubuh.' Apa mestikan kita biarkan orang politik bermaharaja lela? Mereka tidak mengatasi undang-undang. Seret mereka ke muka pengadilan kalau ada bukti mereka bersalah.

Dalam senario terbaru, nampaknya politik mengatasi undang-undang. Jangan biarkan ini berlaku. Rakyat mesti bangun menentang prespesi ini. Bangun wahai rakyat. Jom kita beramai-ramai menyertai bantahan ini dengan menghadiri perhimpunan 'tangkap dan dakwa Najib.' Pada hujung bulan ini ada perhimpunan serupa ini. Ayuh kita ramai-ramai menyertainya sebagai solidirati menentang kezaliman. Wallahauhulam!

Thursday 6 August 2015

RM 2.6 Bilion, Kenapa Pak Arab Tak Derma Kepada Palestin?

Agak hairan juga, kenapa Pak Arab yang dermawan itu tidak dermakan duitnya kepada rakyat Palestin? Ramai kanak-kanak Palestin yang hidup sangat daif dan ramai juga yang tidak dapat bersekolah. Mengikut berita daripada Institusi Berita dunia, banyak sekolah terpaksa ditutup di Palestin kerana kekurangan wang untuk membayar gaji guru. Mereka lebih memerlukan pertolongan itu, bukan Najib yang memang sudah hidup selesa.

RM 2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun bank Najib memang besar jumlahnya. Mengikut perkiraan Tukar Tiub, kalau dikeluatkan duit itu melalui ATM yang had pengeluarannya sebanyak RM 5,000.00 sehari, ianya memakan masa kira-kira 1424 bulan bagi menghabiskan jumlah sebanyak itu. Wow! tak payah kejo lagi la?

Kita tidak tahu bagaimana wang sebanyak itu dibelanjakan? Yang kita tahu kedua-dua akuan bank Najib sudah ditutup. Kalau ditutup, tentu Najib keluarkan kesemua duitnya dalam akaunnya sebelum ditutup. Ke mana perginya duit itu selepas akaunnya ditutup? SPRM sepatutnya menjuruskan persoalan ini kepada Najib dalam soal siasatnya terhadap Najib.

Walaupun setengah-tengah mengatakan itu wang derma yang diterima oleh Najib, maka terpulang pada dia membelanjakannya. Mengikut beberapa berita, duit itu kononnya didermakan kepada Umno, dan Najib sebagai proxy Umno. Kalaupun dakwaan ini benar, mengapa bekas TPM tidak tahu perkara ini. Malah ramai ahli dan pemimpin Umno tidak tahu. Kalau tidak kerana WSJ membongkar perkara ini, tidak siapa akan tahu. Adakah Najib dilantik sebagai proxy atau pemegang amanah Umno mengikut prosedur? Kalau mengikut prosedur, kenapa ramai pemimpin Umno tidak tahu? Adakah perbelanjaan itu juga mengikut prosedur iaitu ada baucernya, dan ada akaunnya?

Mengikut ramai peguam, Najib telah melakukan kesalahan apabila dia menerima wang derma itu, mengikut Akta SPRM. Kalau benar begitu, SPRM perlu bertindak segera dengan mendakwa Najib. Apakah SPRM berani mengheret Najib ke mahkamah, sedangkan dia tidak punya kuasa mendakwa, hanya menyiasat? Kuasa pendawaan terletak di tangan Peguam Negara. Pemecatan Gani Patail dan pelantikan Peguam Negara yang baru meragukan rakyat bahawa pelantikan itu ada udang di sebalik batu. Walaupun cukup bukti yang dibentangkan SPRM kepada Peguam Negara, ianya terpulang kepada Peguam Negara sama ada mahu mendakwa atau tidak, meskipun ada bukti kukuh. Najib mungkin terselamat lagi kalau keadaan ini berlaku.

Jadi apa caranya untuk mendakwa Najib? Saya kira kalau rakyat semakin marah, maka tidak mustahil mereka akan turun di jalan-jalan raya menuntut Najib ditangkap dan didakwa. Sudah ada suara-suara ke arah itu sekarang apabila Zahid bekas menteri dalam kabinet BN meminta MB Selangor menyedikan stadium yang boleh memuatkan 100,000 orang. Ini bagi menunjukkan solidariti rakyat terhadap pemimpin negara yang korup.

Apapun hasilnya, saya percaya SPRM akan menjalankan siasatannya 'witahout fear or favour.' Rakyat akan sentiasa di belakan SPRM kalau benar-benar badan itu membuat siasatan secara telus, adil dan saksama. Teruskan siasatan kamu SPRM. Rakyat tetap menyokong anda.

Tuesday 4 August 2015

Benarkah Wang Derma Itu Untuk Umno?

Kenyataan SPRM menyatakan bahawa wang yang masuk dalam akaun persendirian Najib adalah wang sumbangan daripada penderma. Tidak pula dinyatakan siapa si penderma yang sangat-sangat bermurah hati mendermakan wang sebanyak RM 2.6 bilion. Tidak juga dinyatakan bagaimanakah wang yang luar biasa banyaknya itu dibelanjakan. Sepanjang yang saya fahami, kenyataan SPRM tidak pula menyatakan wang derma itu untuk Umno.

Kalau benar untuk Umno, masakan Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno dan bekas TPM tidak tahu? Apakah Majlis Tertinggi Umno juga tidak tahu? Daripada kenyataan-kenyataan beberapa pemimpin Umno terutama bekas TPM bahawa mereka tidak tahu kewujudan wang ini. Kalau untuk Umno, kenapa tidak dimasukkan ke dalam akaun Umno?  Saya percaya ramai ahli Umno dan Majlis Tertinggi Umno tidak tahu perkara ini. Kalau mereka tahu sudah pasti mereka akan nyatakan sejak awal lagi bagi menepis tuduhan-tuduhan liar terhadap Najib.

Mutakhir ini terdengar suara-suara sumbang daripada jemaah menteri Najib. Rahman Dahlan memang ditugaskan Najib untuk menolak sebarang tohmahan terhadap Najib. Azalina pula cuba mengampu bosnya dengan menyatakan sumbangan kepada parti politik adalah lumrah dalam dunia politik. Sementara itu Khairy Jamalaudin pula menyatakan Najib tidak melakukan kesalahan jenayah menerima wang derma itu. Kita tidak hairan suara-suara sumbang yang lantang bergema kerana mereka sememangnya ditugaskan untuk menyelamatkan Najib. Itulah patruhan yang mesti dipikul setelah diangkat dalam kabinet Najib meskipun terpaksa mengorbankan maruah mereka.

Seperti yang saya katakan tadi, sekiranya Majlis Tertinggi Umno ketahui kewujudan wang ini, sudah pasti tidak akan sampai sekecoh seperti ini. Sudah terbukti sekarang, memang benar Najib menerima sejumlah wang yang besar dalam akaunnya. Meskipun belum tahu siapa yang menyumbang wang itu, hakikatnya transaksi sudah berlaku. Untuk apa wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank Najib? Ini juga gagal dimaklumkan oleh SPRM. Apakah sebagai penjawat awam, menerima wang sejumlah besar itu bukan rasuah?

Akhir-akhir ini berlaku tangkapan dan soal siasat di antara anggota Pasukan Penyiasat itu sendiri. Beberapa orang kuat SPRM telah ditahan reman dan disoal siasat oleh pihak polis. Mengikut KPN ada kemungkinan Gabnor Bank Negara dan Timbalan SPRM juga akan disoal siasat. Apa hal pula ini? Mereka adalah sebahagian daripada anggota penyiasat. Polis nampaknya cuba mencampuri urusan penyiasatan SPRM. Apakah SPRM akan menggunakan kuasanya untuk menangkap polis dengan alasan menganggu penyiasatannya. Sudah jadi caca marba nampaknya Pasukan Penyiasat ini. Ada lebih baik dibubarkan sahaja pasukan ini kerana ianya membuang masa dan wang sahaja. Rakyat pun sudah mula hilang kepercayaan terhadap pasukannya. Hasilnya juga akan terus diragui.

Saya sokong cadangan Ketua Pemuda Parti Gerakan supaya ditubuhkan Suruhanjaya DiRaja yang bebas bagi meneruskan penyiasatan ini. Saya sendiri sudah mencadangkannya dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini. Inilah satu-satu caranya bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Dalam apa-apa penyiasatan, adalah lebih molek orang yang kena tuduh bercuti atau melepaskan jawatannya sementara siasatan masih berjalan. Ini bagi memastikan bahawa tidak ada gangguan terhadap penyiasatan yang dijalankan dan bagi mengelakkan sebarang tekanan daripada pihak yang kena tuduh. Najib enggan berbuat demikian, namun apa yang kita lihat ialah pihak penyiasat semacam terkena tekanan daripada beliau. Tanggapan ini tidak boleh diremehkan apabila tindakan-tindakan yang tidak masuk akal menjadi kewajaran.

Najib mesti disiasat dengan menyeluruh. Najib harus tinggalkan kerusi PM nya kerana banyak menimbulkan syak wasangka rakyat terhadapnya. Kalau Najib tidak didakwa, atau pihak penguatkuasa tidak berani mendakwa, maka tidak ada jalan lain melainkan menyokong tindakan gerangkan NGO 'demi Malaysia' yang secara terbuka mahu Najib ditangkap dan didakwa. Jangan sampai rayat keluar beramai-ramai ke jalan raya menuntut Najib ditangkap. Kalau secara demokrasi Najib masih enggan berundur dan pihak penguatkuasa enggan mendakwa, tidak mungkin suara rakyat akan 'menjatuhkannya' di jalan-jalan raya. Jangan sampai perkara ini berlaku. Semoga Malaysia terus aman damai. Insyallah.

Monday 3 August 2015

Sudah Terang Lagi Bersuluh

Apa benarkah penyiasatan terhadap skandal 1MDB sudah lumpuh? Kalau dilihat daripada tindakan-tindakan para penyiasat itu mutakhir ini, tidak syak lagi Pasukan Penyiasat Khas itu sememangnya sudah lumpuh. Dengan tangkapan-tangkapan baru yang dilakukan di antara pasukan penyiasat, menggambarkan bahawa antara mereka tidak ada kepercayaan antara satu dengan yang lain. Yang terakhir sekali disoal siasat yang dilakukan oleh pihak polis ialah terhadap salah seorang pendakwa raya daripada SPRM.

Saya pernah menimbulkan keraguan terhadap kewibawaan Pasukan Penyiasat ini, terutama sekali setelah rombakan kabinet dan pemecatan Peguam Negara. Saya telah beranggapan bahawa penyiasatan ini tidak sampai ke manapun, cuma satu sindawara saja. Nampaknya sekarang ianya sudah jelas terserlah. Ibarat sudah terang lagi bersuluh.

Najib amat pintar mengatur strategi politiknya demi survival politiknya. Kelihatannya dia sudah agak 'selamat.' Ramai menteri-menterinya menyatakan bahawa wang yang ada dalam akaun Najib bukan duit 1MDB. Ini membuktikan bahawa memang benar ada duit yang dimasukkan ke dalam akaun bank Najib. Akan tetapi wang itu adalah wang sumbangan atau derma daripada seseorang yang masih menjadi mistri. Daripada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan, nampaknya wang itu datangnya daripada Tok Arab dari Timur Tengah.

Sebagai penjawat awam, apakah tidak salah menerima sumbangan sebegitu banyak wang? Tentu ada udang di sebalik batu. Takkan ada sesiapa yang reda memberikan sebanyak itu wang tanpa mengharapkan balasan? Ini ada unsur rasuah. SPRM, Polis dan Bank Negara tidak sepatutnya mendiamkan diri terhadap isu ini. Jangan cuba sembunyikan segala salah laku Najib. Ini akan memberi tanggapan yang kurang baik terhadap kerajaan yang dipimpin Najib.

Sudah jelas, daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku mutakhir ini, maka ianya kelihatan seolah-olah Pasukan Khas Penyiasat ini cuba menyelamatkan Najib. Ingat, yang batil tetap batil. Jangan sembunyikan bangkai, bau busuknya pasti tidak dapat disembunyikan lagi. Berkhidmat dan berkerjalah dengan ikhlas, tulus dan mulus, kerana Allah. Kalau kita minta perlindungan Allah, pasti akan dimakbulkanNya. Wallahaualam!

Sunday 2 August 2015

Kasihan Dr. Mahathir

Dr. M merungut, sekarang ini dia ditinggalkan keseorangan. Dia semakin sunyi dan tertekan kerana orang-orang yang dahulunya datang menziarahinya sudah beransur-ansur 'menghilangkan' diri. Kata Dr. M dulu dia kerap dikunjungi oleh orang ramai terutama sekali pemimpin-pemimpin Umno Bahagian dan Cawangan yang datang mengadu tentang kepimpinan Najib dan juga tentang skandal 1MDB. Kata Dr. M lagi, sekarang ini mereka sudah berpaling tadah, sebaliknya mereka memberi sokongan kepada Najib pula.

Dr. M tidak patut hairan dengan fenomena ini. Inilah budaya Umno. Pemimpin dan ahlinya hanya akan memberi sokongan kepada ketua mereka yang mempunyai kuasa. Pada zaman Dr. M dulu, inilah juga senarionya. Mereka sokong Dr. M bukan kerana Dr. M betul dalam petadbirannya, tetapi kerana kuasa politik yang ada ditangannya. Kuasa politik itulah akan menentukan survival pemimpin bawahan dalam Umno. Tidak ada gunanya menyokong pemimpin yang tidak punya kuasa, yang tidak akan memberikan manfaat kepada mereka. Lihat bagaimana anggota Umno yang menyebelahi Anwar Ibrahim ketika krisis Mahathir-Anwar dahulu. Ramai pemimpin dalam Umno menyokong Anwar termasuk Zahid Hamidi. Pada mulanya mereka menyangka krisis Anwar akan berjaya menumbangkan Mahathir. Apabila kelihatan Anwar tidak lagi ada kuasa politik, maka seorang demi seorang mula berundur termasuk orang-orang kuat Anwar seperti Roslan Kassim dan kawan-kawannya. Itulah hakikatnya. Jadi Dr. M tidak patut berdukacita dengan 'hilangnya' orang-orang seperti ini, kerana bagi mereka bukan prinsip dan maruah menjadi piroriti perjuangan mereka, sebaliknya ialah kepentingan diri menjadi keutamaan.

Sekarang, Dr. M sendiri melihat ulangtayang apa yang pernah dilakukannya sebelum ini. Apa-apa tindakan Najib adalah selari dengan apa yang pernah dilakukan oleh Dr. M. Sebagai contoh, pemecatan Timbalan Perdana Menteri. Ada banyak lagi contoh boleh diberikan. Dr.M sebenarnya sedang melihat tindak-tanduknya di dalam cermin. Saya teringat pesan Allahyaraham Ustaz Fadil Nor supaya ahli Pas mendoakan Dr.M panjang umur agar dia dapat melihat sendiri apa yang berlaku ketika hayatnya. Dan nampaknya, apa yang dibayangkan oleh Fadil Nor semakin terserlah sekarang. Ini kera tidak ada bezanya tindakan Najib dengan Dr. M sebelum ini, kecuali hal-hal yang menimbulkan syak wasangka umum terhadap Najib seperti skandal 1MDB dan kes Atantuya.

Najib dikatakan sangat gembira apabila dia mendapat sambutan rakyat Melaka ketika berkunjung ke Melaka semalam. Dikatakan seramai 50,000 orang menghadiri perhimpunan bersama rakyat di Melaka. Najib merasakan dia mendapat sokongan padu rakyat Melaka. Dia rasa gembira dan senang hati dan sekaligus berjanji akan membantu kerajaan Melaka dalam membina prasarana yang lebih sempurna. Najib nampaknya akan berbuat apa sahaja termasuk memberi dalam bentuk material kepada sesiapa yang menyokongnya. Ini juga berlaku dalam era Dr. M. Jadi apa yang mahu Dr. M pertikaikan lagi? Ini budaya dalam Umno yang sudah dimulakan oleh Dr.M sendiri. Umno tidak akan boleh berubah hanya dengan menggantikan PM sahaja. Umno mesti menukar seluruhnya sistem yang ada sekarang yang lebih merakyat dan bersifat madani. Banteras rasuah dengan berani, barulah rakyat akan yakin tentang transformasi. Transformasikan dulu Umno, baru fikirkan bagaimana mentransformasikan rakyat. Wallahaualam!

Saturday 1 August 2015

Baai'ah Pas Yang Karut

Kemelut dalam Pas masih belum reda. Kumpulan Profesional dalam Pas dikatakan telah disingkir dalam Muktamar Pas yang lalu. Saya difahamkan puak yang tersingkir ini tidak berpuas hati dengan tatacara pemilihan itu di mana senarai 'chai' diberikan kepada perwakilan untuk memilih calon. Memangpun, sebelum ini tidak terdengar ada kepimpinan Pas yang merajuk apabila kalah dalam pemilihan parti. Memang menjadi adat, kalah atau menang dalam setiap pemilihan. Apa yang dikesalkan oleh puak-puak yang tersingkir ini cara pemilihan itu dilakukan.

Muktahir ini terdengar puak-puak yang kalah ini akan menubuhkan sebuah parti politik bernuasakan Islam. Kewujudan parti ini masih diawang-awang kerana belum didaftarkan. Dengar khabar mereka sedang menilai 'pasaran' sama ada mendapat sokongan daripada rakyat, Ngo dan yang sepertinya. Mereka sudahpun menjelajah ke seluruh negara menguar-uarkan hasrat mereka. Tidak tahu setakat mana sokong rakyat setakat ini. Sementara itu puak-puak ini tidak pula keluar daripada Pas dan masih memegang jawatan ahli parlimen masing-masing. Namun demikian, Pas sendiri tidak pula memecat mereka. Mereka sedang bermain tarik tali.

Pemimpin ini serta YB-YBnya dikatakan terikat dengan Baai'ah yang disyaratkan oleh Pas. Dengar ceritanya sesiapa yang melanggar Baai'ah itu, terpaksa menceraikan isteri masing-masing talak tiga.
Apa punya Baai'ah ini? Walaupun mengikut ustaz Zawawi, mereka mempunyai pilihan sama ada mahu terikat dengan Baa'iah ini dengan menolak menjadi calon Pas, akan tetapi pilihan apa yang ada untuk mereka memilih? Ini semacam paksaan dikenakan, bukan pilihan.

Justeru itu maka puak-puak yang tersingkir masih enggan keluar parti atau meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen. Kepimpinan Pas pula enggan memecat mereka, setakat ini. Bagaimanakah Baai'ah ini boleh mengikat mereka, kerana talak berada di tangan suami. Kalau mereka enggan menceraikan isteri masing-masing seperti yang diBaai'ahkan, apa parti boleh buat? Walaupun kata kepimpinan Pas, mereka perlu jawab kepada Allah, maka terpulang kepada urusan Allah. Dan bagaimana pula dengan Dr. Mariah, adakah dia terpaksa menjatuhkan talak terhadap suaminya? Dalam Islam kuasa talak hanya ada di tangan suami. Maka dengan demikian Baai'ah ini adalah karut, yang tidak berlandaskan real politik kontemporari dan hak asasi manusia. Pas nampaknya semakin undur ke belakang daripada maju ke hadapan.