Sunday 28 February 2010

Sambutan Ulang Tahun Perarakan Basmi PPSMI


Hanya Keranda 152 sahaja kita kuburkan, Artikel 152 tetap dipertahankan. Manifestasi kemeluatan rakyat pada perhimpunan 100,000 orang membantah PPSMI pada 7 Mac 2009.



Ribuan rakyat berhimpun di Masjid Negara pada 7 Mac 2009, sebelum berarak ke Istana Negara untuk menyampaikan Memorandun. Rakyat sudah bosan dengan janji-janji muluk kerajaan yang terus menerus memperlekehkan bahasa Melayu.



7 Mac ini , jangan lupa handai toulan, adalah hari ulang tahun bantahan besar-besaran rakyat, pejuang bahasa, ahli akademik dan rakyat marhaen yang telah dibasahi dan disirami oleh air kimia dan gas pemedih mata. SN Dato' A. Samad Said juga tidak terkecuali merasai kepedihan gas itu yang membuatkan air matanya mengalir. Katanya, air matanya mengalir bukan 100 peratus di sebabkan oleh gas itu, akan tetapi kerana kesedihannya diperbuat begitu hanya kerana mahu menegakkan kedaulatan bahasa Melayu di negaranya sendiri yang sudah pun termaktub di dalam Perlembagaan. "Rupa-rupanya mahu memperjuangkan bahasa sendiri diperlakukan sebegini rupa," ujar Pak Samad setelah selesai perarakan yang aman dahulu, tetapi menjadi kecoh kerana gangguan pihak berkuasa.


Pada tarikh keramat ini, 7 Mac 2010, (Ahad), GMP akan mengadakan majlis memperingati ulang tahun perarakan raksasa anti PPSMI. Kali ini tidak ada perarakan seperti tahun lalu, akan tetapi akan berlangsung perhimpunan di auditorium Muzium Selangor, di Shah Alam.


Acara majlis akan diisi dengan pelancaran buku mengadungi esei yang berkaitan seni dan budaya yang berjudul, 'Kumpulan esei Budayawan Bertindak-Menyokong Perjuangan A. Samad Said.' Buku ini memuatkan 29 buah esei yang ditulis oleh 29 orang penulis/budayawan. Antara mereka yang menyumbang tulisan mereka ialah, Daeng Ramliakil, Pyan Habib, Dr. Ibrahim Ghaffar, Dinsman, Razali Endun, Kassim Muhamad dan ramai lagi. Pelbagai variasi dan pandangan dapat dikutip daripada para penulis/budayawan ini yang menganuti pelbagai aliran ideologi.


Buku tersebut akan dilancarkan oleh Said Zahari, bekas Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu. Selepas pelancaran akan diadakan Konvensyen Bahasa. Semua rakyat, baik pejuang bahasa, sasterawan, budayawan, artis dan rakyat biasa adalah diundang untuk memeriahkan majlis ini. Meskipun kapisiti auditorium hanya boleh diisi seramai 300 orang, namun kedatangan saudara2 melebihi daripada kapisiti itu adalah digalakkan. Kalau kehadirian melebihi anggaran jumlah itu, ianya menunjukkan betapa rakyat tidak rela bahasa Melayu diperlekehkan. Datang tuan-tuan, jangan tidak datang. Tunjukkan bahawa kita sangat prihatin dan menghargai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Jumpa di sana!



Sambutan Ulang Tahun Perarakan Basmi PPSMI

7 Mac ini , jangan lupa

Friday 26 February 2010

Menyulam Dunia Seni Siti Zainon








Apa yang dapat dikutip daripada ucapan perasmian Datuk Dr. Hassan Ali, Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudaham Awam pada acara Bicara Tokoh di Dewan Raja Ilmu di Kompleks Muzium Selangor, Shah Alam baru-baru ini ialah bahawa kerajaan Negeri Selangor tidak mengabaikan golongan budayawan.

Beliau menekankan bahawa budayawan adalah golongan intelektual. Pandangan, pengalaman dan pemikiran mereka amat berguna untuk pembangunan spiritual masyarakat yang sedang membangun. Katanya, pembangunan fizikal sahaja tanpa diiringi dengan pembangunan spiritual, masyarakat akan menjadi tempang. Kita sudah jauh tertinggal dari aspek pembangunan rohaniah ini, maka tidak hairanlah masyarakat kita sedang menghadapi wabak ini. Kejadian rompak dan samun, ragut, rogol dan rasuah adalah gejala-gejala yang melampiaskan kebobrokan masyarakat akibat daripada pengabaian kita dalam bidang sastera dan budaya selama ini.

Katanya, “Kita bercadang untuk mengadakan Syarahan Perdana yang melibatkan para budayawan dan sasterawan. Tempatnya hendaklah juga kondusif, dalam suasana perdana sesuai dengan tajuknya iaitu Syarahan Perdana.”

Beliau seterusnya menekankan, betapa budaya itu harus dipelihara, dihargai, dihormati dan ditempatkan pada tempat yang sewajarnya. “Budaya kita milik kita” tekannya dengan suara yang agak tegas disambut tepukan para hadirin.

Acara Tokoh kali ini membicarakan ketokohan Budayanita kelahiran Negeri Selangor, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail. Beliau merupakan tokoh kedua yang dibicarakan dalam sesi ‘Bicara Tokoh’ yang diadakan setiap dua bulan sekali. Tokoh yang pertama yang telah dibicarakan ialah Datuk Dr. Anuar Riduwan, Sasterawan Negara ke-10.

Siti Zainon mengharungi dunia seninya bermula di kalangan keluarganya. Ungkapan kata-kata neneknya yang indah dan puitis membentuk peribadinya sebagai seorang seniman. Kata-kata itu mempunyai lapisan makna yang sangat mendalam. Sebagai anak dari keturunan Minang sebelah ibu dan neneknya, sudah pasti sinonim dengan bidalan dan pribahasa yang indah-indah bercirikan teromba.

Sebagai contoh, neneknya akan merungut dengan ungkapan ini apabila kerja-kerja di dapur tidak dibereskan, sebaliknya asyik menghias dan membuat kerja-kerja lain. “Oooi! rancak di labuh.’ Satu ungkapan yang indah dan mempuyai lapisan makna yang lain.

Satu lagi ungkapan neneknya yang terpahat di dalam jemala Siti Zainon ialah, ‘Sudahlah conteng garis itu, sudahlah sulam kata-kata itu……’ Ungkapan ini bagaikan merangsang bibit jiwa seninya. Kata Siti Zainon, ‘Inilah suara yang membawa langkah hariku ke depan, berliuk dengan aneka garisan warna dan sulaman kata-kata. Menyulam ungkapan nenek melalui bidalannya yang kerap mengajak saya berfikir, ‘pelita itu di hatimu, nyalakan pelita hatimu.’

GARIS dan SULAM, dua perkataan pertama yang didengar dan dipelajari daripada Abah dan Maknya ketika beliau berusia empat tahun lagi. Pada satu ketika yang lain Abahnya akan menyuruh dia mengecat hasil tukangannya dengan berkata, ‘ambil cat warna coklat, sapu ikut garis tepi.’ Dua unsur asas seni lukis sudah dikenalinya pada usia semuda itu iaitu, garis dan warna.

Abahnya seorang tukang kayu dan emaknya menyulam jahitan, maka dunia Siti Zainon semenjak kecil lagi digelumangi unsur-unsur seni yang sangat signifikan kepada perkembangan bakat dan jiwa seninya.

Satu perkara yang tidak dapat dilupakannya ialah apabila guru sains dan matematiknya mencemuh beliau ketika beliau mengambil keputusan untuk mengambil aliran sastera daripada aliran sains. Kata gurunya, sastera tidak ada masa depan. Setelah dibuktikan baru gurunya sedar kesilapan nasihatnya itu.

Selain seorang penyair, Siti Zainon juga menulis cerpen, novel, makalah dan seorang pelukis yang tidak kurang tersohornya. Hasil-hasil karyanya sudah banyak diterbitkan dan beliau juga banyak memenangi hadiah sastera tanah air termasuk SEA Write Award.

Siti Zainon Ismail dilahirkan di Kampung Bandar Dalam, Gombak, Kuala Lumpur pada 18 Disember 1949. Pendidikan awal beliau ialah di Sekolah Rendah Setapak. Kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Aminuddin Baki, Kampung Pandan dan lulus STP. Menyambung pengajiannya di Akademi Seni Rupa (ASRI) di Yogyarkarta Indonesia (1970-73) hingga lulus Sarjana Muda dalam bidang seni halus.

Sekembalinya ke tanah air beliau bertugas sebagai jurulatih seni lukis di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (1974-76) sebelum melanjutkan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan berjaya mendapat ijazah Sarjana Sastera pada 1980. Beliau seterusnya menjadi pensyarah sambil mengamil PHD pada 1989 dan seterusnya menyandang jawatan professor di UKM sehingga bersara. Kini Siti Zainon sebagai peneliti budaya dan penulis sepenuh masa.

Dua orang tokoh telah diundang untuk membicarakan ketokohan Siti Zainon pada acara itu. Dr. Silfia Hanani dari Sumatera Barat diundang khas untuk membicarakan ketokohan Siti Zainon. Kebetulan Dr. Silfia sudah mengenali Siti Zainon ketika melanjutkan pengajiannya di UKM untuk ijazah kedokotorannya. Seorang lagi ialah A.Rahim Abdullah, seorang pengkritik sastera tanah air.



Keprihatinan Datuk Dr. Hassan Ali terhadap kepincangan budaya dan sastera diharap tidak habis selepas ucapan perasmian itu. Kecelaruan yang berlaku sekarang ialah kerana pihak penguasa politik yang berkuasa bersikap sambil lewa terhadap pengembangan budaya dan sastera. Budaya harus dibina semenjak di bangku sekolah lagi. Bagi membina semula budaya di negara ini, janya harus tidak lari daripada Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah dikanunkan iaitu budaya dan sastera Melayu menjadi teras kepada budaya nasional Malaysia.

Di Selangor sudah ada ura-ura mahu membina Kampung Budaya Cina di Kelang. Ini satu pentanda yang kurang sihat yang seolah-olah menonjolkan budaya Cina sesuatu yang dominan di negara ini. Mengasingkan budaya mengikut etnik dalam masyarakat berbilang kaum akan menanamkan lagi bibit perkauman. Kerajaan Selangor harus berhati-hati dalam menangani perkara ini kerana ianya akan menimbulkan implikasi yang amat buruk kepada budaya dan sastera Melayu yang menjadi teras Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Akhirnya budaya Melayu akan terpinggir di negaranya sendiri.

Saya ingin mencadangkan supaya negeri Selangor mengwujudkan sebuah sahaja portfolio Seni dan Budaya di bawah seorang ahli Exco yang bertanggungjawab tentang seni, sastera dan kebudayaan. Sekarang ini didapati tiga orang exco yang secara tidak langsung dilibatkan dalam pembangunan seni budaya iaitu Datuk. Dr. Hassan Ali (Adat Melayu), YB Rodziah Ismail, (kebudayaan) dan Dr Halimah, (bahasa). Alangkah moleknya disatukan di bawah satu portfolio dan Exco supaya aktiviti dan hala tuju kebudayaan Negeri Selangor dapat menjurus kepada pembinaan identiti negeri yang berbudaya.


Saturday 20 February 2010

'Hari Pejuang Bahasa 152' Apa kata Dr. Shafie Abu Bakar.

Saya pindahkan tulisan Dr. Shafie Abu Bakar dari blognya melalui harakahdaily sepenuhnya tanpa disunting. Dr. Shafie ialah seorang ahli akademik dari pusat pengajian tinggi, seorang penyair dan sasterawan. Beliau juga telah mencipta teori sastera Islam dan pernah dibicarakan di dalam seminar-seminar sastera. Beliau kini terlibat secara langsung dalam dunia politik dan menjadi Adun Bangi, Selangor. Saya perturunkan tulisan ini dari perspektif berbeza untuk tatapan para pembaca dan pejuang bahasa dan sastera.


Pembetulan 1 : Sila baca 'Hari Pejuang Bahasa 152', ada kesilapan oleh Dr. Shafie dalam tulisan beliau.

Pembetulan 2: Tabung Dana ialah 'Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa dan Sastera.'

Hari Perjuangan Bangsa bagaimana maksud GAPENA?
Print
E-mail
http://drshafie.blogspot.com/

Mengikuti berita dari beberapa media hari ini memaparkan bahawa GAPENA akan menubuhkan satu `Tabung Dana` bagi membantu persatuan dan NGO menjalankan aktiviti bahasa dan sastera sebagai salah satu resolusi `Hari Perjuangan Bangsa` yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini.

Membaca kenyataan Hamzah Hamdani Bendahari GAPENA ini, tertanya hati kecil kita, apakah GAPENA baru terbangun dari mimpi ?Kita katakana GAPENA baru terjaga dari mimpi, kerana ada beberapa pertanyaan yang terbuku di kalbu selama ini.Antara pertanyaan ialah berhubung dengan `Hari Perjuangan Bangsa` yang tajuknya begitu bombastic dan perhimpunan pula di dalam bilik dingin dan serba selesa. Ini mengingatkan kita tentang perjuangan menegakkan bangsa dan bahasa yang begitu kontras situasinya dalam mana perhimpunan berlaku di medan-medan terbuka. Contoh Masjid Negara dan jalanraya dalam menuju ke Istana Negara yang dikenali dengan``Perhimpunan Seratus Ribu Bagi Menghapuskan Dasar PPSMI (Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Metamatik Dalam Bahasa Inggeris) bagi menghantar Memorandum Bantahan Terhadap PPSMI kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Dipertuan Agung yang berlaku pada 7 Mac 2009.

Mengetuai bantahan dan menyampaikan memorandum ialah Pengerusinya Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Datuk A.Samad Said Sasterawan Negara. Memorandum walaupun dapat disampai, tetapi tidak semudah berada di dalam bilik hawa dingin, tetapi dalam perhimpunan dan perarakan mereka dikepung dan ditembak dengan gas dan pancutan air berchemical, 124 orang daripada mereka ditahan untuk diambil keterangan. Berminggu selepas dari itu 22 nama dipaparkan di media – mereka dikehendaki polis untuk memberi keterangan berhubung dengan perhimpunan.

Kepimpinan GAPENA, bukan saja tidak ada pada hari itu, tetapi tidak terlibat dalam rentetan perjuangan menghapuskan PPSMI, bahkan beberapa pimpinan budaya yang berpihak kepada GAPENA ada yang memperli dan memperkecilkan tindakan yang diambil oleh kepimpinan himpunan.Sebenarnya perjuangan bahasa sejak kemerdekaan, bahkan sebelum kemerdekaan tidak dapat lari dari melakukannya secara desakan juga perarakan, tanpanya tidak diambil tindakan oleh pemerintah. Contoh tuntutan perlaksanaan bahasa melalui perarakan yang dikenali sebagai `Keranda 152``pada tahun 1959, tuntutan agar didirikan universiti Kebangsaan berlaku bersiri sejak 1967 hinggalah universiti itu terdiri pada tahun 1970.

Kita tidak menafikan peranan GAPENA yang kewujudannya pada 1970an selepas kewujudan persatuan-persatuan penulis di negeri-negeri. Kegiatan lebih bersifat pesta-pestaan seperti Pertemuan Penulis, Hari Sastera, Melawat Rumpun Melayu seperti ke Sri Lanka, Afrika Selatan, kerjasama bahasa dan sastera antara Negara-negara berbahasa Melayu, kerjasama dengan badan koporat menganjurkan sayumbara sastera seperti Esso-Gapena. Kerancakan ini selari dengan kerancakan DBP mengiktiraf penulis-penulis dengan Hadiah Sastera, Sastera Perdana, Pejuang Sastera dan Sasterawan Negara.

Namun kita lihat mulai dari 2000 berlakunya kemalapan dalam kegiatan bahasa dan sastera,GAPENA seperti lumpuh, DBP juga kurang bermaya, persatuan-persatuan penulis di negeri-negeri juga sepi dan setengahnya mati, berbagai hadiah dan insentif penulisan juga terhenti. Boleh dikatakan bahasa dan sastera terpinggir dan tidak dihormati. Dalam keadaan GAPENA lumpuh dan DBP tidak bermaya, bila PPSMI dilaksanakan sejak 2003, GAPENA tidak mengambil sikap sepatutnya memperjuangkan kedaulatan bahasa dan DBP juga tidak berani bersuara.

Tugas dan peranan ini diambil oleh badan-badan luar dari kerabat GAPENA, dipimpin oleh tokoh-tokoh .berpengaruh seperti Prof. Ainuddin Wahid, Profesor Zainal Abidin Wahid, Prof. Dr Shaharir Mohd. Zain, Prof. Dr. Abdullah Hassan Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaludin dan dipuncaki dengan Gerakan Mansuh PPSMI. Dalam masa 6 tahun berpuluh seminar dan ratusan artikal dihasil menyuarakan bantahan terhadap PPSMI. Walau bagaimana dalam masa Datuk Hishamuddin Tun Hussein Onn menjadi Menteri Pelajaran, nampaknya tidak ada kecenderungan beliau untuk melayan tuntutan menghapuskan PPSMI, bahkan beliau membuat kenyataan bila himpunan 100,000 GMP, beliau mengatakan, ``Mengapa selepas 6 tahun baru tuntutan dibuat ?``. Ini menandakan beliau tidak memberi perhatian terhadap berbagai seminar dan tuntutan yang dibuat selama enam tahun itu.

Haruslah diakui hasil dari Himpunan 100,000 pada 7 Mac 2009 dan berlakunya pertukaran Menteri Pelajaran, maka pada 8 Julai 2009 Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penarikan balik PPSMI, tetapi perlaksanaan sepenuhnya hanya berlaku pada tahun 2012. Kita mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Hassan Ahmad, Sasterawan Negara A. Samad Said, badan-badan dan pejuang-pejuang yang membawa kepada penarikan PPSMI. Tetapi perjuangan mendesak meningkat dan memperkembangkan bahasa dan juga sastera bukan terhenti di sini. Kita mengharap pejuang-pejuang yang mendukung GMP akan terus berfungsi, memastikan janji terlaksana, memastikan penggunaan Bahasa Melayu menjadi bahasa Ilmu di pengajian-pengajian tinggi terlaksana, penggunaannya di dalam berbagai bidang seperti perundangan, ekonomi, pentadbiran dan berbagai-bagai lagi terlaksana.

Kita juga berharap GAPENA juga turut bersama, kalau tidak semacam tidak kena dengan ``Hari Perjuangan Bangsa ` yang diadakan itu. Perjuangan apa dimaksudkan

Dr Shafie Abu Bakar, Adun Bangi.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Tuesday 16 February 2010

'Hari Pejuang Bahasa 152' bagaikan mimpi kosong


Ahli Panel dalam 'Wacana Peradaban Bahasa Melayu' terdiri daripada (kiri) Dato' Dr. Zainal Keling, Prof. Dr. Abdullah Hassan, Hj. Hamzah Hamdani (moderator), Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dan Dr. S. Nathesan Sellapan.



Lihat banyaknya kerusi kosong di Dewan Syed Nasir yang boleh memuatkan 1,000 orang.


Hari Pejuang Bahasa ‘152’ yang berlangsung di Dewan Syed Nasir Ismail, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 15 Feb lalu, bagaikan mimpi kosong menghantui pihak penganjurnya. Dewan yang boleh memuatkan 1,000 orang itu hanya diisi sekitar 100 orang sahaja. Tambah memilukan Menteri yang berjanji untuk merasmikan majlis bersejarah itu tidak hadir kerana ada urusan yang lebih penting di luar negara. Agak terkilan pula Ketua Setiausaha Kementerian yang mewakili Menteri berkenaan kelihatan melangkah keluar dewan apabila Datuk Dr. Hassan Ahmad menyampaikan ucaptamanya.

Senario ini menggambarkan betapa sambutan Hari Pejuang Bahasa 152 disambut dingin oleh orang Melayu sendiri dan tidak mendapat dukungan daripada pemimpin Melayu dalam kerajaan. Tentunya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim ketika bersetuju untuk menghadiri majlis tersebut sudah memastikan beliau tidak ada komitmen lain pada tarikh yang sama.

Khalayak juga tertanya-tanya kenapa apabila ucaptama yang sedang disampaikan oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad, pada ketika itu Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Wira Kamaruddin Siara yang mewakili Dr. Rais, keluar dewan? Sepatutnya beliau berada di dalam dewan untuk mendengar intipati ucaptama itu untuk disampaikan kepada menteri berkenaan, dijadikan panduan kementerian dan kerajaan.

Sambutan dingin di kalangan orang Melayu terhadap perjuangan bahasa mereka sendiri amat mengecewakan juga Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah. Pada sesi ‘Wacana Peradaban Bahasa Melayu’ selepas ucaptama, beliau dengan nada kesal berkata, “Kehadiran pada hari ini menggambarkan bahawa orang Melayu sudah hilang semangat terhadap bahasanya sendiri.”

“Soal bahasa adalah soal maruah, maruah sesebuah negara. Bahasa bukan sekadar jiwa bangsa tetapi maruah sesuatu bangsa. Saya terpanggil untuk bersama-sama tuan-tuan walaupun sedang bercuti dengan keluarga merayakan Tahun Baru Cina. Bagi saya soal negara lebih penting daripada hal keluarga” sambungnya disambut dengan tepukan daripada hadirin.

Menurut beliau, kesilapan besar yang dilakukan kerajaan yang memerintah ialah kegagalan mengasimilasikan bahasa dan budaya kebangsaan semenjak kemerdekaan. Sepatutnya sekolah satu aliran sudah diwujudkan selepas kemerdekaan, maka dengan demikian sok-sek, sok-sek seperti yang berlaku sekarang tidak mungkin akan berlaku.

“Sekarang ini kalau mahu diwujudkan sekolah satu aliran, ianya akan menempuh pelbagai rintangan, halangan dan kepayahan yang amat sangat. Ianya bukan sahaja memakan masa, tetapi mesti mempunyai iltizam dan keberanian yang luar biasa untuk melaksanakannya,” terus Dr. Ridhuan lagi.

Menurutnya, tiada kaedah lain yang ada selain mewujudkan sistem sekolah satu aliran sekiranya kita benar-benar mahu melihat bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan ilmu. Hanya dengan melaksanakan kaedah ini dapat menyatupadukan kaum-kaum di negara ini dalam satu negara bangsa yang dicita-citakan. Untuk merealisasikan kaedah ini ianya perlu kepada penglibatan dari atas ke bawah. Walaupun penglibatan dari bawah ke atas sangat signifikan sekali, namun impaknya agak lambat dibandingkan penglibatan dari atas ke bawah. “Yang payahnya yang di atas amat lembab dan tidak ada iltizam untuk melaksanakannya,” terusnya.

“Saya sendiri berasa pilu, sedih, risau dan bimbang terhadap keadaan ini. Kalau orang Melayu sendiri tidak bersemangat untuk mendaulautkan bahasanya sendiri, siapa lagi yang harus diharapkan? Ini bukan soal mudah. Banyak pancaroba yang akan dihadapi dengan suasana politik masa kini. Saya sendiri menghadapi segala macam tohmahan daripada keluarga dan bangsa saya sendiri. Saya dituduh lebih Melayu daripada orang Melayu,” keluhnya dengan nada yang sebak sehinggakan beliau tidak dapat meneruskan kata-katanya.

Dr. S. Nathesan Sellapan pula berpendapat, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara bukan milik orang Melayu semata-mata. Ianya menjadi milik rakyat negara ini tidak kira bangsa. Oleh itu perjuangan untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan seharusnya melibatkan semua kaum di negara ini. “Kita mahu lihat lebih ramai penyertaan kaum-kaum lain dalam majlis-majlis seperti ini,” tekannya lantang.

Dr. Zainal Keling pula mahu Ngo-Ngo berusaha lebih kuat dan berani lagi supaya suara mereka didengar. Beliau tidak yakin lagi terhadap orang-orang politik kerana mereka asyik memikirkan survival politik mereka dalam tempoh 4-5 tahun sahaja. Kita mesti teruskan perjuangan tanpa jemu dan bosan. Kita jangan dibosankan dengan karenah orang politik, sarannya.

Prof. Dr. Abdullah Hassan pula kecewa dengan ura-ura baru kerajaan mahu wajib lulus bahasa Inggeris dalam peperiksaan. Katanya, khabarnya kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar wang, RM 5 bilion untuk membeli komputer, bayaran elaun khas kepada guru-guru Bahasa Inggeris dan mendapatkan tenaga pengajar dari luar negara. Ini juga satu tindakan yang sia-sia dan mundur ke belakang. Kita patut membantah ura-ura ini, sarannya.

“Tak dengar pula kerajaan memperuntukkan sejumlah besar wang untuk memperkasakan bahasa kebangsaan! Kita juga mahu jumlah yang sama, malah lebih daripada itu untuk memastikan kesinambungan pembelajaran bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar kita sejak dari sekolah rendah hingga ke Institut Pengajian Tinggi,” tekan Prof. Abdullah.

Dalam ucaptamanya pula Datuk Dr. Hassan Ahmad menekankan pelaksaan Dasar Bahasa Kebangsaan seperti termaktub di dalam perlembagaan tidak dilaksanakan dengan tegas, benar dan jujur, sering kali pula diselewengkan. Pihak berkuasa yang melaksanakan dasar ini tidak cukup ilmu tentang kelebihan-kelebihan yang ada pada bahasa Melayu. Jiwa dan akal mereka masih terperangkap dalam kotak bahasa asing.

Menurutnya sesebuah negara sukar dibentuk dan ditadbir kalau dasar bahasanya tidak menentu. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara, bukan bahasa kebangsaan Melayu. Ianya mesti digunakan dalam urusan kerajaan. Ianya juga menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pelajaran kebangsaan dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Di akhir ucaptamanya, Datuk Hassan telah mengemukakan beberapa cadangan yang antara lain ialah:-

i) Ditubuhan sebuah Jawatankuasa Khas antara kementerian/jabatan kerajaan untuk memantau pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dalam semua bidang dan sektor rasmi kerajaan dan sektor swasta.
ii) Mengadakan seminar tentang pelbagai aspek dasar bahasa yang ada, tentang kelebihan bahasa Melayu dan hendaklah diadakan sekerap yang mungkin untuk pegawai-pegawai kerajaan.
iii) Pelantikan Naib Canselor IPTA, hendaklan dikenakan syarat, mereka yang mematuhi kehendak Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di IPTA sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Pelajaran menjadi syarat utama pelantikan. Naib Canselor yang melakukan tindakan terang-terang bertentangan dengan semangat dasar bahasa ini hendaklah dilucutkan jawatannya.

Acara ‘Hari Pejuang Bahasa 152’ ini dianjur bersama oleh Gapena, Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) dan Pena. Tentunya jerih perih mengatur acara ini terasa mengecewakan dengan jumlah kehadiran yang kecil. Apa lagi penglibatan daripada pihak kerajaan bagaikan melepas batuk di tangga. Kalau pemimpin Melayu sendiri tidak peka dan yakin terhadap bahasanya, siapa lagi yang harus diharapkan. Pesanan sinis Dr. Mohd Riduan Tee Abdullah seharusnya memalukan kita yang bergelar Melayu.

Saturday 13 February 2010

Kong Xi Fa Chai

Esok, 14 Feb. 2010, (Ahad), masyarakat Tionghua akan merayakan Tahun Baru Cina. Tahun ini, kalau tak silap saya 'tahun harimau.' Harimau, binatang yang garang dan suka memakan daging mentah termasuk daging manusia. Harimau melambangkan kekuatan, maka dengan itu lazimnya yang kuat akan mengatasi yang lemah. Justeru itu kita harus menjadi kuat bukan sahaja kuat fizikal, tetapi kuat mental dan pemikiran. Barang siapa yang memperlihatkan bahawa mereka kuat, padahal sebenarnya mereka tidak kuat, adalah mereka yang tergolong dalam golongan orang-orang dungu dan bebal.

Apa-apa pun saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan 'Selamat Tahun Baru' kepada masyarakat Cina semoga tahun ini menjadi lebih aman, tenteram dan mudah mendapat rezeki.

Esok juga adalah 'Valiantine Day' atau Hari Kekasih. Maka pasangan-pasangan kekasih pun turut sama menyibuk untuk menyambut hari itu. Para ulama mengingatkan Islam tidak menggalakkan menyambut hari tersebut kerana ianya lebih ke arah menggalakan perbuatan maksiat oleh muda mudi. Namun yang degil, mereka tidak mahu ketinggalan menyambut hari tersebut dengan pelbagai cara. Mereka disuguhkan dengan pelbagai kemudahan seperti menyambutnya di-hotel-hotel, di kelab-kelab malam, tempat-tempat karaoke malah di Menara Kuala Lumpur pun disediakan pelbagai kemudahan untuk mereka. Adakalanya mereka tidak berapa minat menyambutnya, akan tetapi oleh kerana segala kemudahan disediakn, maka mereka tertarik untuk merayakannya.

Eloklah, kepada mereka yang merayakan di Menara Kuala Lumpur, kalau kira-kira berputus asa dengan kekasih boleh terus terjun dari atas menara itu. Itu juga kemudahan yang disedikan oleh yang berkenaan kepada mereka yang sudah tidak ada iman untuk hidup lagi. Mereka boleh berjumpa dengan Tuhan mereka yang kebetulan jatuh pada hari kekasih.

Tidak ada yang lebih kasihnya selain kasihnya insan kepada Khalik dan Khalik kepada insanNya. Kasih ibu dan bapa kepada anaknya adalah kasih yang tidak boleh dijual beli. Manakala kasih kepada kekasih ibarat embun di hujung rumpun. Ketika cantik dan lawa akan dipuja dan dipuji. Ketika layunya tidak akan dipeduli. Itulah lazimnya kasih manusia dengan manusia. Wallahualam!

Thursday 11 February 2010

Mengapa saya telaah Dr. Zhivago - SN Datuk A.Samad Said


Di antara para hadirin, kelihatah HMS Abu Bakar, Dinsman dan Ir.Kassim Muhamad @ Barajiwa pada majlis 'Apresasi Novel Dunia,' di Subang Jaya baru-baru ini.


Saya peturunkan petikan kertas kerja yang dibentangkan oleh SN Datuk A. Samad Said pada majlis bicara 'Apresasi Novel Dunia' di Dewan Cempaka Bangunan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada 6 Feb 2010 lalu untuk maklumat dan perhatian kekawan. Majlis ini anjuran MPSJ dengan kerjasama Paksi. Ikuti petikan tersebut seperti berikut:-


"Sebelum memesrai dan kemudiannya mula serasi dengan novel 'Dr.Zhivago', saya sebenarnya telahpun akrab dengan karya-karya Yasunari Kawabata dan Jean-Paul Sartre, terlebih dahulu. Saya membeli novel 'Snow Country' dan the 'Nausea' pada dekad 50-an. Kawabata adalah penemuan baru saya, sementara Sartre lebih mendakap. Walaupun 'Snow Country' adalah di antara novel yang saya sering ulangbaca, tetapi sejak awal memilikinya saya terus membaca 'Dr. Zhivago' dengan penuh minat dan teliti.


Novel 'Dr.Zhivago' sedikit demi sedikit mencengkam perhatian saya. Bab pertama 'Dr. Zhivago' yang menghadirkan seorang anak (Yura) di atas pusara ibunya itulah yang sangat memikat saya. Sertamerta sahaja saya terasakan kepiluannya; sertamerta saja saya ingin mengetahui latar lanjut anak kecil itu; sertamerta juga saya terdorong untuk cepat membaca bab berikutnya. Dunia 'Dr. Zhivago' bukan berlegar seputar Yura sahaja, terlalu ramai watak yang tersangkut di dalamnya sehingga kita tidak lagi merasa hanya berada di dalam sebuah bilik yang sempit. Sebaliknya, kita merasa dihanyutkan ke dalam samudera yang kita kurang alami. Dengan begitu kita merasa kekurangan-dan tentu sekali kita inginkan 'kelebihan.'


Dr.Zhivago (atau Yura) menghamparkan sebuah dunia dan satu era yang sangat luas dan bergelora. Kita tidak hanya berjumpa dengan beberapa orang, sebaliknya kita didampingi oleh puluhan orang. Kita tidak hanya memasuki dunia mesra dan pilu, tapi kita juga memasuki ke dalam dunia yang sangat mendobrak.


'Dr.Zhivago' adalah sebuah novel yang payah diikuti; tidak seperti 'Snow Country' yang terus saja memujuk. Tarikan 'Dr. Zhivago' sangat lambat. Tetapi, dalam serba kepayahan menghayatinya, kita tidak terdaya 'mengetepikan' begitu sahaja. Dari satu bab ke satu bab berikutnya 'Dr. Zhivago' seperti menyediakan perangkap yang tidak sedia kita ketepikan. Kita percaya ada sesuatu yang dapat kita pelajari tentang kehidupan perih dalam era bergelora bangsa Rusia!.


Ada beberapa sebab utama mengapa 'Dr.Zhivago' sangat memikat.


i) novel ini berupaya mengesan sejarah sebuah bangsa yang berada dalam pancaroba yang pedih.

ii) novel ini merakam gelagat harian masyarakat baru Rusia yang sedang dalam pergolakan.

iii) 'Dr.Zhivago' menampilkan fragmen-fragmen peristiwa harian secara bertingkat memungkinkan kita mengikuti aliran gelora kehidupan sebuah bangsa yang sedang tercabar.

iv) novel ini ditulis atau terhidang dengan teknik atau cara penyampaian yang sangat jelas dan indah di mana kita diperkenalkan kepada gumpalan watak yang ramai sehingga terasa bahawa memang inilah kehidupan.

v) 'Dr. Zhivago diiringi dengan beberapa buah puisi indah yang memperjelaskan peralihan era dalam masyarakat Rusia.


Novel 'Dr. Zhivago' sebenarnya telah terpendam lebih dua dekad dalam bahasanya sendiri. Keadaan itu membuktikan betapa 'bahaya'nya novel tersebut kepada pemerintah Rusia. Pengarang novel ini, Boris Pasternak yang masyhur kerana puisi manisnya kini turun ke dunia naratif yang kasar. Latar kehidupannya yang senyap memberontak, menjadikan karyanya dianggap 'berbahaya.' Hanya pada 1957 'Dr.Zhivago' lulus lahir dalam bahasa Itali. Setahun selepas itu novel tersebut lahir dalam bahasa Inggeris sebelum merebak ke bahasa-bahasa lain.


Saya meyenangi 'Dr. Zhivago sebenarnya secara berdikit-dikit. Itulah mangis tarikan pertama kepada 'Dr.Zhivago.' Kemudian terjumpa banyak mangisnya yang lain. Maka itulah novel ini sering saya baca setiap tahun sejak 12 Disember 1958."


Demikiankan petikan daripada kertas kerja SN Datuk A. Samad Said pada majlis 'Apresasi Novel Dunia' yang berlangsung pada 6 Feb. 2010 lalu.


Monday 8 February 2010

Baca Puisi Santai Seni Gegar Kota Melaka


Dua orang mahasiswi dari Institut Perguruan Perempuan Durian Daun sedang berpantun dan bersyair.

Sdra Isa dari JKKN, sedang mendeklamasikan sajaknya.

Buat pertama kalinya majlis baca puisi di khalayak umum diadakan di laman budaya, replika istana Kesultanan Melaka (dekat Kota Melaka) di banda Hilir pada petang 7 Feb lalu. Persatuan Penulis Melaka (Penama) telah menjadi hos majlis itu dengan kerjasama Perzim dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka.


Majlis yang julung-julung kali diadakan itu telah diisi dengan pelbagai persembahan termasuk sajak, lagu puisi, syair dan gurindam serta nyanyian. Difahamkan ini adalah pertama kali majlis baca puisi diadakan di negeri Melaka yang selama ini senyap sunyi aktiviti seperti ini. Menurut Encik Zainal, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka, majlis baca puisi ini akan diadakan pada setiap bulan. Hosnya akan digilirkan di antara persatuan-persatuan penulis di negeri Melaka. Giliran akan datang hosnya mungkin Ikatan Persatuan Melayu (IPM).


Walau bagaimanapun majlis pada petang minggu itu juga mendapat dukungan daripada IPM dengan ramainya ahi IPM turut sama memeriahkan majlis tersebut. Turut hadir ialah Ketua Satu Penama, Datuk Osman Mohamad yang juga Speaker DUN negeri Melaka.


Majlis dimulakan oleh bacaan sajak oleh sdra Arshad dan diselang seli dengan nyanyaian lagu puisi, bacaan sajak, syair, gurindam serta pantun.


Majlis ini adalah sesuatu yang positif dan seharusnya didukung oleh pengiat seni sastera dan seni budaya yang lain. Walaupun ianya diadakan di tempat tumpuan pelancong, namun pengasingannya daripada para pengunjung dan pelancong akan merecatkan penglibatan mereka untuk menghayati sastera tanah air.


Tempat yang diadakan sekarang agak kurang sesuai kerana terlalu sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta. Lagipun ianya tidak seharusnya ditempatkan berasingan daripada tempat pelancongan kerana para pelancong akan brasa segan untuk mendekati majlis itu. Kalau boleh dilibatkan sama para pelancong dalam majlis berkenaan. Meskipun terdapat beberapa orang pelancong menjengah-jengah, akan tetapi oleh kerana khemah tersebut berada di bawah dan jauh dari jalan, maka mereka segan mahu turun tangga untuk mendapatkan tempat duduk di bawah khemah.


Mungkin pihak penganjur dapat memikirkan tempat yang lebih sesuai lagi, di tempat tumpuan pelancong lalu lalang, di hadapan kota Melaka itu sendiri sangat ideal sekali. Ianya boleh difikirkan bersama dan boleh diberi nilai tambah dan pembaikan di sana sini supaya matlamatnya untuk merakyatkan sastera tercapai.



Sasterawan harus berjarakdari kuasa







Sesi soal jawab selepas ceramah ‘Kenapa saya baca berulang kali setiap tahun novel Dr. Zhivago,’ oleh SN Datuk A. Samad Said sangat menarik untuk dipolemikkan. Ianya bermula apabila HMS Abu Bakar menyatakan sokongannya terhadap sikap berani Pak Samad yang mutakhir ini sangat lantang bersuara menentang dasar-dasar kerajaan yang menyeleweng terutama dasar bahasa kebangsaan.

Abd. Shukor Harun pula bangun melahirkan pendapatnya menyorot novel Dr. Zhivago karangan pengarang Rusia Boris Pasternak. Menurut sdra Shukor, dia sangat terkesan dengan dialog di dalam novel tersebut yang antara lain berbunyi, ‘kita telah menamatkan pemerintahan Czar, sekarang ini Czar baru pula yang kita harus hadapi.’

Apa yang menarik, menurut Shukor ialah pengarang novel itu berada di luar kemelut
politik Rusia yang sedang bergolak pada ketika itu. Belaiu lalu berkata, “Pengarang tidak seharusnya aktif di dalam mana-mana parti politik untuk melahirkan karya politik. Pengarang tidak pula harus renggang dengan politik kerana sebagai sasterawan mereka harus peka apa yang berlaku di dalam dunia politik.”

Saya amat bersetuju sekali dengan pandangan sdra. Shukor lalu menyatakan sasterawan tidak perlu fanatik terhadap mana-mana parti politik. Akan tetapi sasterawan mesti mengambil tahu perkembangan politik serta menjadi pemerhati dan penegur kepada orang politik yang terkeluar dari landasan kemanusiaan dan keadilan. Dengan yang demikian pengarang tidak akan terpengaruh dan terbelenggu dalam sentimen ideologi politik yang disokongnya. Namun, setiap karya yang dihasilkan oleh setiap pengarang pasti akan terkesan sikap, kefahaman dan ideologi politik yang dianuti mereka.

Tambah menarik lagi apabila pernyataan di atas semacam mendapat sokongan daripada kolumis Malaysiakini, sdra. Lee Ban Cheng. Beliau berpendapat bahawa sasterawan tidak boleh jarak dengan politik tetapi biar jarak dengan kuasa. Adalah amat bahaya sekali apabila sasterawan bersekongkol dengan kuasa. Kuasa, lama kelamaan akan menjadi korup. Sasterawan bukan sahaja harus bebas berkarya tetapi mesti jujur, katanya.

Pandangan di atas amat relevan sekali dengan tulisan Anuar Asmadi dalam Harakah Bil. 1511, bertajuk, “Orang sastera tidak sokong Pakatan demi periuk nasi?” Tulisan beliau merupakan respons kepada tulisan Dinsman dalam kolumnya Wacana Budaya, Harakah Bil 1507 berjudul, “Kenapa orang sastera masih ragu-ragu sokong Pakatan Rakyat.”


Saya tidak menafikan apa yang diutarakan oleh Anuar ada kebenarannya. Sikap sasterawan yang hipokrit ada di mana-mana. Mereka bukan sahaja menjaga periuk nasi, tetapi menjadi pencacai kepada kepalsuan, kezaliman dan ketidakadilan. Mereka bukan menyokong kepada kebenaran, tetapi menyokong untuk mendapat keuntungan. Sikap dan jalur pemikiran yang songsang inilah amat merugikan perkembangan kesusasteraan dan dunia politik kita. Fahaman seperti ini perlu diperbetulkan.

Saya kira Anuar tidak dapat mengtakwil dengan tepat apa yang tersirat di sebalik tulisan Dinsman itu. Apa yang dapat saya fahami ialah kekesalan Dinsman terhadap PR berkaitan seni budaya dan kesusasteraan, bagaikan tidak ada perbezaan dengan BN. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak memberikan perhatian secukupnya dalam bidang seni budaya seperti perhatian mereka terhadap lanskap, penebangan pokok dan penjagaan bunga-bungaan di dalam taman, misalnya. Lanskap minda yang membina jati diri dan tamadun bangsa tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Ini terbukti, setelah banyak perbincangan diadakan untuk mengerakkan kegiatan seni budaya di negeri-negeri yang dikuasi oleh PR, akan tetapi ianya tinggal rancangan sahaja. Ini ialah kerana tidak ada iltizam daripada pihak berkenaan untuk meneruskannya. Kita faham PR sekarang diasak dengan hebatnya oleh Umno/BN dari pelbagai sudut, dan oleh hal demikian soal survival politik mereka menjadi prioriti daripada yang lain-lain. Perbalahan berpanjangan di antara BN dan PR merugikan rakyat dari segala aspek.

Masalah ini timbul kerana kita tidak mempunyi media yang benar-benar neutral, tidak berpihak kepada mana-mana fahaman politik. Media bukan memainkan peranan mendamaikan tetapi semacam mengapi-apikan keadaan.

“Yang penting bukan neutral, tetapi kejujuran melaporkan sesuatu peristiwa itu,” tekan A. Samad Said dalam perbincangan seterusnya.

Kata Pak Samad, kita ada dua aliran media iaitu satu pihak menyokong BN dan satu pihak lagi menyokong PR. Yang menyokong BN akan melaporkan yang baik-baik tentang parti itu dan membelasah lawannya. Begitu juga sebaliknya. Akan tetapi media yang menyokong PR diterbitkan berkala, tidak setiap hari seperti media penyokong BN. Lagi pun jumlah media yang menyokong BN melebihi media PR. Sudah tentu mereka mudah memanipulasi keadaan, dan rakyat sebanyak sedikit akan terpengaruh dengan laporan propaganda mereka. Rakyat tidak ada pilihan untuk mendapatkan laporan yang seimbang, maka dengan itu rakyat terus dikelirukan.

Ada beberapa perkara yang membuat Pak Samad tertarik untuk membaca berulang kali novel Dr. Zhivago. Novel ini diteribitkan pertama kali dalam bahasa Itali sekitar tahun 1957/58, setelah ianya diseludup keluar dari Rusia. Ianya kemudiannya diterbitkan dalam bahasa Rusia dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa selepas itu. Antara sebab kenapa Pak Samad berulang kali membaca novel ini ialah:-

a) novel ini berjaya merakamkan gelagat baru masyarakat Rusia yang sedang bergolak.
b) Melaporkan fragmen-fragmen seharian untuk rakyat Rusia
c) Tekniknya sangat jitu dan indah
d) Meskipun ideologi politiknya runtuh, namun insan tetap insan.

Majlis bicara, ‘Apresasi novel dunia’ ini dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya dengan kerjasama Seniman Paksi Rakyat (Paksi), berlangsung di Dewan Cempaka, Bangunan MPSJ pada 6 Feb lalu. Turut sama menyemarakkan lagi acara ini ialah Tuan Syed Shahir bin Syed Mohamad, mewakili Menteri Besar Selangor, dan Tuan Hj Selamat Hamzah mewakili YDP MPSJ.

Friday 5 February 2010

Kusut dengan karenah politik tanah air

Aku sebenarnya tak mahu bicara banyak fasal politik. Bak kata Dinsman sebagai orang budaya, kita bicara fasal budaya saja, politik biar orang politik aja yang bergasak. Lantak mereka. Kekadang aku kurang bersetuju juga, kerana politik itu melibatkan semua rakyat tak kira siapa. Cuma sama ada rakyat itu mahu aktif atau tidak, itu cerita lain.

Aku perhatikan politik di Malaysia ini semakin kalut jadinya. Tiada ada petanda bahawa orang politik di negara ini mahu menjadikan politik itu sesuatu yang berhemah, politik yang tinggi tahap pemikirannya. Apa yang kita lihat politik di negara ini semakin bercelaru, tuduh menuduh, fitnah memfitnah dan jatuh menjatuh. Akibatnya rakyat setiap hari menjadi bosan dengan karenah orang politik yang memperagakan kebebalan mereka. Kenapalah mereka tidak boleh bertenang dan menumpukan kepada pembangunan negara? Ada orang kata, orang politik kerjanya ialah mempolitikkan apa-apa isu yang boleh dipolitikkan! Oh! Begitu!

Itulah jadinya. Akibatnya rakyat menjadi celaru dan bingung. Hentikanlah politik kotor ini. Politik itu tidak kotor kerana politik itu adalah ilmu. Untuk mendapat ilmu jangan halalkan cara untuk mencapai matlamat.

Aku kira sudah sampai masanya orang sastera dan budaya bercakap tentang politik di dalam forum umum. Apa pandangan mereka terhadap politik tanah air dari perspektif budayawaan. Jangan biarkan orang politik aja yang bercakap tentang politik. Lain orang juga boleh berbicara tentang politik walaupun tidak terlibat secara langsung. Ayuh! Paksi mungkin boleh anjurkan.

Wednesday 3 February 2010

Aktiviti Sastera Sepanjang Minggu ini


Dinsman, orang kuat Paksi. Beliau tidak yakin kepada 'political will' sebaliknya percaya kepada 'cultural will.'


Dua minggu pertama bulan Feb 2010 ada beberapa aktiviti sastera yang ada dalam pengetaahuan saya untuk dikongsikan bersama dengan kekawan. Sesiapa ada kelapangan diharap dapat hadir pada acara-acara ini untuk menyemarakkan lagi majlis tersebut. Kalau kita orang sastera dan peminat sastera tidak turut sama, siapa pula yang kita harapkan untuk meramaikannya.


2 Feb - Baca puisi Riong, acara bulanan Akhbar Berita Harian, akan berlangsung di Universiti Utara Malaysia, di Sintok, Kedah. Tan Sri Nordin Kardi, selaku VC universiti tersebut sanggup memberi ruang kepada krew Berita Harian dan penyair-penyair undangan untuk memeriahkan lagi acara tersebut. Syabas kepada TS Nordin. Di antara penyair yang diundang ialah Khadijah Hashim, Dinsman, Cicik, Puteri Mardiana, Nur Hanim Muhamad Khairuddin. TS Nordin juga akan mendeklamsikan puisi pada malam itu di samping beberpa orang mahasiswa universiti berkenaan.


5Feb.- Baca Puisi bulanan Pena di Rumah Pena. Di antara yang akan mendeklamasikan sajak pada malam itu ialah Datuk Baha Zain.


6 Feb. Acara 'Apresasi Novel Dunia' akan berlangsung di Dewan Cempaka, Bangunan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bermula jam 9 - 1.00 tengah hari. SN Datuk A. Samad Said akan membicarakan mengapa beliau berulang kali setiap tahun membaca novel Dr. Zhivago karya Boris Pasternak, pengarang Rusia. Majlis ini dianjurkan oleh Paksi dengan kerjasama MPSJ. Datanglah beramai-ramai.


7 Feb. Baca Puisi di bangunan Studhays (Jam Besar) di Melaka Bandaraya Bersejarah anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, N. Melaka. Majlis bermula jam 3 - 6.30 petang. Kali ini giliran Penama mengisi slot berkenaan. Menurut pengawai jabatan KKNN Melaka, acara itu diadakan setiap bulan dan akan digilirkan kepada persatuan-persatuan penulis Negeri Melaka untuk mengisi slot tersebut. Orang Melaka, datang le, jangan tak datang tau!


9 Feb. AJK Paksi akan mengadakan pertemuan dengan YDP Majlis Perbandaran Kajang untuk membincangkan acara seni yang diberi judul, 'Indahnya Bersama Seniman.' Tarikh untuk acara ini akan ditentukan selepas rundingan dan pertemuan dengan YDP berkenaan.


14 & 15 Feb. - Pena bersama Kalam, Gapena, Kemudi dan DBP akan mengadakan Hari Pejuang Bahasa 152 bagi memperingati pejuang-pejuang bahasa Melayu dan mengimbau kembali bagaimana antologi sajak Keranda 152 dibukukan dahulu. Majlis akan berlangsung di Dewan Syed Nasir DBP.


Itulah sedikit berita kegiatan sastera sepanjang dua minggu pertama bulan Feb. ini. Selamat datang ke majlis-majlis berkenaan dan salam sastera.