Friday 25 February 2011

Bicara Karya berjaya

Syukur Alahmdulillah, majlis bicara karya yang berlangsung pada 23 Feb lalu di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam sangat berjaya. Seramai hampir 300 orang hadir termasuk 40 orang pelajar dari UKM, Bangi. Jarang sekali khalayak sebegini ramai dalam majlis-majlis serupa ini. Majlis berjalan dengan lancar dan sempurna, dipengerusikan oleh Ir. Kassim Muhamad dan Prof. Dr. Ir Wan Abu Bakar Wan Abas, meskipun dalam keadaan 'sound system' nya yang tidak begitu baik.

Empat orang pembicara di ketengahkan dalam majlis ini, mereka ialah SN Datuk Anwar Ridwan dan Dr. Syed Husin Ali yang membicarakan buku 'Kumpulan Esei Budaya Bertindak' manakala Che Abdullah Che Ya, pensyarah sastera dari UKM dan Mohamad Daud Mohamad, penagawi bahasa dan kritikan sastera DBP, membicarakan buku Kumpulan Cerpen 'Ranum' karya Razali Endun.

Ucapan aluan disempurnakan oleh sdra Dinsman selaku Presiden PAKSI, manakala ucapan penuntup dilakukan oleh Puan Hjah Mastura Hj Muhamad, Pengarah PPAS. Semoga kejayaan ini akan menjadi rangsangan dan galakan bagi PAKSI menganjurkan acara-acara seterusnya.

Wednesday 16 February 2011

Tahniah Azizi buku baru 'Anak Belantara.'

Aku buka blog Azizi Abdullah dan terpapar kulit buku terbarunya berjudul, 'Anak Belantara.' Tahniah Azizi yang sangat prolifik ini. Aku tak pasti adakah buku ini berbentuk Novel ataupun tulisan ilmiah serta pengalamannya di belantara Baram. Tajuk buku ini seakan-akan sama dengan tajuk novel terbaru aku yang berjudul, 'Gelora Belantara,' sedang dalam peroses akhir penerbitan oleh DBP. Harap-harap akan dapat diterbitkan sebelum pesta buku antarabangsa.

Novel aku ini juga mengisahkan cerita kaum Penan dalam Belantara Baram di Sarawak. Dah lama aku hantar ke DBP, semenjak kursus penulisan novel anjuran DBP di Port Dickson dulu, Azizi juga hadir sebagai ahli panel. Kalau tak silap aku hampir 5 tahun dah, tak siap-siap lagi. Banyak sangat birokrasinya sehinggakan pada satu tahap aku pertikaikan komen penilai terhadap novel tersebut, yang bagi aku bukan saja mungkin dia tidak pernah menulis novel, malah tidak tahu kedudukan geograpi di mana letaknya Long Seridan.

Aku diberitahu perkembangan terakhir novel ini bahawa, pihak Dawama sedang menyediakan gambar kulitnya. Aku beritahu DBP aku nak tengok dulu gambar kulit itu sebelum dicetak. Aku dah beritahu konsep yang aku mahu pada gambar itu, tetapi hingga hari ini belum pun ada apa-apa berita pun. Ah! banyak sangat songeh mereka ni!

Pada kesempatan ini aku ingin ucapkan selamat menyambut Hari Kelahiran Rasullah SAW kepada umat Islam. Juga tahniah kepada rakyar Mesir yang berjaya menumbangkan Firaun moden bernama Mubarak. Sekuat mana pun manusia tidak akan terdaya melawan takdir Allah. Semoga rakyat Mesir akan menikmati kebebasan yang lebih baik dalam dunia politik baru negara itu. Yang paling baik ialah ikut cara Islam. Mungkin Ikhawanul-Muslimin boleh membantu rakyat Mesir menuju ke arah yang diRedai Allah SWT.

Saturday 5 February 2011

'Ranum' Dalam Bicara Karya 23 Feb 2011

'Ranum' akan dikupas oleh SN Datuk A. Samad Said.

Dunia kiritkan sastera pada tahun ini akan disemarkkan dengan majlis bicara karya yang akan diadakan pada jam 9.30 pagi, 23 Feb ini di Tingkat 3, Bangunan Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Dua buah buku telah dipilih untuk dibicarakan pada hari tersebut iaitu Kumpulan Cerpen "Ranum' karya Razali Endun dan sebuah lagi ialah buku 'Kumpulan Esei Budaya Bertindak,' ditulis oleh 29 orang penulis/budayawan dan ahliakademik, diterbitkan sempena menyambut ulang tahun pertama membantah dasar PPSMI.

Dua orang Sasterawan Negara iaitu Datuk A. Samad Said dan DatukDr. Anuar Ridwan telah memberi persetujuan untuk mengambil bahagian dalam majlis diskusi ini. Majlis yang bertemakan, ‘Seni Penulisan Menjulang Warisan Budaya Bangsa dan Menjana Kewarasan Minda,’ akan menyaksikan dua orang pembicara mengulas bagi setiap buku.

Kumpulan Cerpen ‘Ranum’ akan dikupas oleh SN Datuk A.Samad Said dan Che Abdullah bin Che Ya, pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa Kesusasteraan dan Budaya Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Manakala buku 'Kumpulan Esei Budaya Bertindak' akan disorot oleh SN Datuk Dr. Anuar Ridwan dan Dr. Syed Husin Ali.

Penggiat dan peminat sastera serta golongan pelajar di Pusat Pengajian Tinggi adalah dialu-alukan menghadiri program ini. Program ini anjuran bersama Persatuan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) denganPerbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Ini merupakan program pertama tahun ini bagi PAKSI, bertujuan menyemarakkan lagi percambahan minda antara para penulis dan orang awam, serta merangsang dunia kritikan sastera yang semakin lesu kebelakangan ini. PAKSI akan meneruskan program seperti ini dan sedang merancang beberapa buah buku lagi untuk dibicarakan termasuk novel ‘Shit’ karya SN Datuk Shahnon Ahmad.

PAKSI amat berterima kasih atas kerjasama yang sangat baik diberikan oleh PPAS terutama pengarahnya, Hjh Mastura bte Hj. Muhamad. Kerjasama seperti ini bersama pengarah-pengarah perpustakaan lain harus diteruskan supaya percambahan minda dan penyebaran karya sastera dapat disebarluaskan dengan sebaik-baiknya.

Puan Mastura yakin program seperti ini akan dapat menarik minat membaca terhadap buku-buku bacaan termasuk genre sastera/budaya yang masih kurang diminati oleh orang awam. Katanya PPAS bersedia berkerjasama menganjurkan program-program seperti ini dalam lingkungan kemampuannya. Beliau mengharapkan seramai mungkin orang ramai terutama pelajar-pelajar universiti tidak akan melepaskan peluang ini untuk menimba ilmu melalui ulasan dan kupasan dua orang Sasterawan Negara yang tersohor. Masuk adalah percuma.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Dinsman, Tel:019-9592408 atau Razali Endun, 019-6658064.

Wednesday 2 February 2011

Gong Xi Fa Choy

Esok, 4 Feb 2011 masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru mereka. Tahun ini tahun Arnab. Tak tahu aku apa signifikannya binatang itu pada tahun ini. Tak ramai beri komen atau ulasan tentang tahun Arnab. Mungkin Arnab bersifat lemah dan selalu menjadi mangsa binatang yang lebih besar. Apa pun aku ucapkan Selamat Tahun Baru kepada kekawan Cina aku, juga kepada kaum keluarga Cina aku. Moga tahun Arnab ini memberi rezeki yang melimpah ruah.

Di sebalik perayaan ini, rakyat Mesir sedang bergelut mahu menjatuhkan Maha-firun Muberak yang berkuasa lebih 30 tahun di negara itu. Setakat tulisan ini Muberak hanya memberi pengakuan tidak akan menawarkan diri pada pilihan raya Mesir September ini. Dia masih enggan berundur atau meletakkan jawatannya. Degil sungguh Maha-firun ini. Katanya, dia mahu mati di Mesir, bukan di negara lain. Cukup partioritik nampaknya. Aku kira dia sedang menunggu peluru daripada rakyatnya sendiri untuk ditumbangkan. Orang yang akan menanamkan peluru itu tidak lain dan tidak bukan terdiri dalam kalangan orang-orang kepercayaannya. Mungkin seorang anggota atau pegawai tentera. Sejarah telah membuktikan ramai para pemimpin Mesir mati ditembak oleh orang-orang yang dekat dengan pemimpin itu. Salah seorangnya Anwar Sadat. Tunggu dan lihat. Ini hanya andaian aku. Mungkin betul mungkin tak! jangan percaya sangat.

Peristiwa ini perlu diambil iktibar oleh pemerintah kita. Jangan fikir rakyat akan terus berdiam diri apabila terus diperbodohkan. Perintah dengan adil dan saksama. Pastikan pemimpin dan rakyat tidak mengamalkan rasuah. Tapi macam mana mahu ajar rakyat jangan rasuah, apabila pemimpin kerajaan sendiri mengajar mereka bagaimana lakukan rasuah? Buktinya apabila berlaku PRK. Banyak berlaku, mutakhir sekali di Tenang. Pemimpin kerajaan mesti hentikan rasuah politik ini kerana ianya amat merbahaya sekali kesannya pada masa panjang. Kalau mahu berikan apa-apa peruntukan, berikan di luar musim pilihan raya. Jangan tunggu pilihan raya, kerana tidak ada keikhlasan dalam pemberian itu selain ianya memang bersifat rasuah. Kalau rakyat mengamalkan rasuah, apakah salah mereka? Fikir-fikirkanlah!