Thursday 21 June 2012

Ralat- 6 Julai bukan 7 julai

Mohon maaf. Tarikh program 'Semarak Seni, Lebuhraya Rakyat" ialah pada 6 Julai BUKAN 7 Julai. Masa dan tempat masih sama. Maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan ini.

Semarak Seni, Lebuhraya Rakyat di Melewar Pada 7 Julai ini

Persatuan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) akan mengadakan himpunan para seniman, sasterawan dan budayawan pada 7 Julai ini di Taman Melewar bagi tujuan memungut derma membantu pembinaan Lebuhraya Rakyat di Kelantan.

Paksi teruja dengan rayuan MB Kelantan TG Nik Abd. Aziz Nik Mat yang memohon rakyat menghulurkan bantuan untuk menjadikan projek yang sedang diselenggarakan itu menjadi kenyataan.  Kerajaan Negeri mengambil keputusan melaksanakan projek ini kerana janji-janji kerajaan pusat tidak ditunaikan sehingga kini. Oleh kerana biaya pembinaan itu mencapai 1.8 bilion ringgit, kemampuan kerajaan Kelantan untuk membiyai sepenuhnya projek itu akan menghadapi jalan sukar. Justeru itu TG Nik Aziz menyarankan supaya rakyat turut terlibat dalam pembinaan lebuhraya ini demi kepetingan rakyat. Lebuhraya ini tidak akan dikenakan tol.

Paksi terpanggil dengan seruan TG kerana yakin projek yang dilaksanakan itu akan memberi manfaat kepada rakyat Kelantan khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Lagipun ada keikhlasan dalam nada seruan TG dan percaya projek itu dilaksanakan kerana Allah dan rakyat Kelantan.

Berdasarkan keyakinan itulah Paksi menyahut seruan TG Nik Aziz dengan kemampuan yang ada untuk membantu sedikit sebanyak bagi menjayakan projek itu. Kemampuan kami ialah mengadakan persembahan seni dan sastera seperti membaca puisi, melagukan lagu puisi, seksta, nyanyian, seni lukis dan seumpamanya. Maka dengan itu Paksi telah memutuskan untuk menghimpunkan seramai mungkin para artis, seniman, sasterawan dan budayawan bagi mempersembahkan kesenian yang mereka miliki bagi tujuan memungut derma lebuhraya rakyat ini.

Tarikh yang dipilih untuk himpunan ini ialah pada 7 Julai 2012 (Jumaat) bermula jam 9.00 malam di markas Pas Taman Melewar, Kuala Lumpur. Malam yang diberi nama "Semarak Seni, Lebuhraya Rakyat " akan dirasmikan oleh SN Datuk A. Samad Said. Turut memberikan persetujuan untuk menjayakan program ini ialah penyanyi Wan Aishah, Bob Lokman, Leman Raja Lawak. Para penyair yang akan turut serta antaranya ialah Pyanhabib, Dinsman, Rahmat Haron dll. Selain itu lelongan buku dan lukisan juga akan diadakan sebagai salah satu cara memungut sumbangan ini.

Penceramah khas malam itu ialah Mohamad Sabu. Manakala YB Husam dan beberapa orang pegawainya akan turun dan menyertai himpunan ini. Paksi telah meminta YB Husam menayangkan video berkaitan pembinaan lebuhraya ini sekitar 5 minit. Beliau juga dijangka akan menerima serahan kutipan derma pada malam itu bagi pihak kerajaan negeri Kelantan.

Program ini adalah juga dengan kerjasama Pas Kawasan Batu.

Sehubungan dengan itu Paksi menyeru agar para hadirian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dapat beramai-ramai hadir dalam program ini bagi menjayakan usaha murni ini. Paksi percaya setiap niat yang baik akan dibalas kebaikan jua oleh Allah SWT. Datanglah beramai-ramai disamping berhibur dan bersantai, menderma kerana Allah. Bawalah seikhlas wang untuk didermakan. Jangan lupa peminat buku dan lukisan untuk sama-sama membeli buku dan lukisan sambil menderma. Bawalah seramai mungkin kawan-kawan dan ahli keluarga pada malam itu. Insyallah usaha yang murni ini akan diberikan laluan mudah dan diberkati oleh Allah SWT.

Wednesday 20 June 2012

Debat SS tidak mengecewakan

Tadi malam aku berkesempatan menonton debat antara YB Safiuddin Abdullah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Majlis Tertinggi Umno dengan YB Sallehudin Ayub, Naib Presiden Pas dan wakil rakyat Kubang Kerian. Terima kasih kepada Astro Awani yang menyiarkan debat itu secara langsung. Sebelum itu dikhabarkan Astro tidak mahu menyiarkan debat itu, akan tetapi di saat akhir atas bujukan pelbagai pihak termasuk pihak penganjur, (Krangkraf) maka para penonton dapat mengikuti debat itu selama satu setengah jam.

Aku dapati kedua-dua pendebat mempunyai kewibawaan tersendiri dalam mengemukakan hujah masing-masing. Akan tetapi, mengikut penilaian aku, hujah Safiuddin kebanyakannya adalah ulangan apa yang pernah diperkatakan oleh kepimpinan Umno sebelum ini berkaitan dengan Demonstrasi Jalanan Bersih 3.0. Tidak ada hujah baru. Apapun aku kira Safiuddin berjaya mengemukakan hujahnya dengan yakin dan jelas mencakupi pelbagai alasan untuk mempertahankan hujahnya.

Manakala hujahan Sallehuddin Ayub banyak mengandungi alasan dan fakta baru bagi menyokong hujahnya. Yang paling menarik di akhir debat itu dengan penuh sinis Sallehuddin menjawab komen Safiuddin tentang betapa sopan dan lembutnya PM Najib yang sentiasa tersenyum. "Takkanlah watak PM yang sentiasa tersenyum itu tidak boleh dibawa berbincang," begitu kira-kira komen Safiuddin.

Sallehuddin menjawab, "Memang kita hormat Najib sebagai Perdana Menteri yang sentiasa tersenyum, tetapi di sebalik senyuman itu biarlah ada keikhlasan. Kalau senyumannya ikhlas sudah barang tentu dia tidak terus menerus menarik royaliti minyak yang bukan sahaja ia perbuatan zalim tetapi menyeksa rakyat Kelantan dan merampas hak rakyat. Hak rakyat mesti dipulangkan kepada rakyat."

Dalam penggulungan akhirnya Safiuddin menjawab, Speaker Dewan Rakyat tidak mentakrifkan itu sebagai royaliti tetapi 'wang ihsan."  Inilah salah satu contoh yang saya katakan Safiuddin tidak ada   hujah baru. Ini jawaban klise yang selalu kita dengar dijawab oleh pimpinan Umno. Benarkah itu wang ihsan? Apakah dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan Kelantan istilah 'wang ihsan' digunakan, bukan royaliti? Kalau begitu keadaannya kenapa Sabah dan Sarawak masih dibayar royaliti, bukan wang ihsan? Jangan membingungkan rakyat dengan alasan dan fakta yang tidak meyakinkan. Rakyat sudah celik dan faham antara berkata benar dengan pembohongan! Jangan cuba mempertahankan pimpinan Umno dengan pembohongan.

Walau bagaimanapun aku angkat tabik kepada kedua-dua pendebat ini yang sangat berwibawa dan berani bersemuka. Kedua-duanya sebaya dan tergolong dalam angkatan muda. Mereka berpontensi sebagai pemimpin sekiranya diberi peluang. Selepas ini di medan manakah YB Safiuddian akan berjuang? Beberapa kali Sallehuddin menjolok bahawa Safiuddin akan lebih terserlah sekiranya dia berada bersama-sama Pakatan Rakyat. YB Safiuddin kelihatan tersenyum saja setiap kali Sallehuddin cuba mengusiknya. Dia tidak respons pun. Apakah kemungkinannya selepas ini?

Monday 18 June 2012

Jawatankuasa Baru IPM

Ikatan Persuratan Melayu (Melaka) Pada Ahad 17 Jun 2012 telah mengadakan Mesyaurat Agung Dwitahunannya di sebuah hotel di Air Keroh Melaka. Mesyuarat telah berjalan dengan lancar dan harmoni di mana peralihan pucuk pimpinan telah berlangsung dalam keadaan aman, tenteram dan sempurna.

Pada mesyuarat itu Ketua 1 IPM, cikgu Mokhtar Yasin telah berundur dengan sukarela setelah memimpin pertubuhan itu lebih 20 tahun lalu. Beliau dengan redanya pula mencadangkan supaya jawatan itu diambil alih oleh Ketua 2, Hj. Razali bin Endun. Cadangan beliau telah disokong sebulat suara oleh ahli yang hadir pada mesyuarat itu. Tiada pencalonan lain dikemukakan.

Cikgu Husin Embi telah dipilih semula sebagai Setiausaha 1 dengan sebulat suara walaupun beliau meminta supaya tidak dicalonkan semula kerana sudah 13 tahun memegang jawatan itu. Beliau akhirnya berkompromi dengan bersetuju memegang jawatan itu untuk sepenggal lagi ( 2 tahun). Beliau dibantu oleh seorang muka baru, Sharifah Aisiah Syed Mahazar sebagai Setiausaha 2. Manakala Ketua 2 disandang oleh Prof. Dr. Arbak Othman.

Mesyuarat juga dengan sebulat suara meluluskan cadangan pindaan kepada Perlembagaan IPM yang telah dirangka semenjak ditubuhkan iaitu pada tahun 1950. Pindaan itu sangat signifikan dan amat relevan pada era globalisasi dan menepati keperluan kontemporari. Ia juga sesuai dengan zaman yang semakin mencabar ini demi penambahbaikan serta memantapkan Persatuan seiring dengan perkembangan masa dan negara yang sedang menuju ke arah negara maju.

Pada pemilihan itu ramai muka baru telah dipilih untuk menganggotai Jawatankuasa bagi tempoh 2012/2014. Senarai penuh Jawatankuasa tersebut adalah seperti berikut.

Penasihat :        Hj. Mokhtar Yasin
Ketua 1    :        Hj. Razali Endun
Ketua 2    :        Prof. Dr. Arbak Othman
Setiausaha 1:      Hj. Husin Embi
Setiausaha 2:      Sharifah Aisiah Syed Mahazar
Bendahari   :      Hj. Othman Hj. Md Derus
Ahli Jawatankuasa:
                            Hj. Mokhtar Yasin
                            Hj. Abd. Razak Adam
                            Norhidayah Mohd Rasid
                            Hj. Shaharuddin Daud
                            Nurul Farehah Jaamad
                            Hj. Aladin Mohamad
                            Othman Hashim.

Friday 8 June 2012

Ikatan - Lama Mana Usia Penafasannya?

Akhirnya Tan Sri Sheikh Fadzir menubuhkan sebuah parti politik yang dinamakan Ikatan. Ikatan baru saja dilancarkan dengan tujuan bergerak sebagai parti politik di Malaysia. Bertambah lagi sebuah parti politik di Malaysia yang sudahpun sekian banyaknya parti-parti politik tumbuh melata bagaikan cendawan selepas hujan. Menurut Sheikh Fadzir Ikatan tidak akan bertanding dalam PRU 13 ini kerana pendaftarannya masih belum disah secara rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan.

Sejujurnya, akau kurang senang melihat Pas mengendong Pak Sheikh ini ke sana ke mari dalam hampir setiap ceramah Pas. Aku memang merasakan Pas buat kerja sia-sia kerana daripada tanggapanku tidak kelihatan ada keiklhasan dan kejujuran pada Pak Sheikh ini. Aku lihat dia mencari tempat duduk yang selesa untuk dirinya pada PRU 13 nanti setelah berhenti daripada menjadi ahli Umno. Barangkali, setelah Pas tidak menjanjikan mana-mana kerusi untuknya, maka adalah lebih baik beliau menubuhkan sebuah parti lain yang mana beliau sendiri boleh menjadi Pengerusi atau Presidennya. Demikianlah manusia, mereka hanya mementingkan kedudukan, bukan perjuangan. Ini terbukti dengan jawapan beliau, Pas dan gabungannya dalam PR sudah ada pemimpin mereka sendiri.

Untuk jadi pemimpin maka dia pun tubuh parti baru. Macam juga Zahid Ibrahim dulu ketika tinggalkan PKR dia masuk parti kecil yang tidak bermaya dan dijenamakan semula dengan Parti Kita. Kata Zahid ahlinya ramai hampir juga 1 juta, seperti didakwa oleh Pak Seikh juga. Aku kira angka ini hanya untuk menyenangkan diri sendiri saja. Apa jadi pada Kita? Macam hidup segan mati tak mahu. Apakah Ikatan juga akan menempuh nasib yang sama seperti Kita? Sejauh mana usianya boleh bertahan? Kita tunggu dan lihat.

Pak Seikh juga berkata, dia tidak menghalang sesiapa ahli partinya yang mahu bertanding dalam PRU 13 ini tetapi bolehlah menggunakan atas tiket parti lain. Awas! aku saja nak peringatkan PR supaya hubaya-hubaya dengan 'konsep menumpang' ini. Apa jadi dengan Ibrahim Ali? Juga Zukkifli Nordin dan beberapa orang lagi. Setelah menang atas tiket parti berkenaan, dia pun calo! Hati-hatilah supaya ahli politik yang tidakada  pegangan ideologi yang kukuh ini tidak menjadikan PR tempat dahan bergantung mereka ketika dalam kesusahan. Pastikan mereka sebenaynya jujur dan ikhlas dalam perjuangan, bukan mencari kesempatan  atau kepentingan diri sendiri. Ramai lagi anggota parti yang masih setia dan jujur dalam parti. Awas! Hubaya! Hubaya dengan kelompok parasit ini!

Tuesday 5 June 2012

Warga Felda ditipu lagi?

Berita Terbaru:
Setiausaha Publicity DAP, Tony Pua mempersoalkan tindakan kerajaan menjual kepentingan dalam Felda Global Ventures Holdings (FGVH) secara besar-besaran melalui tawaran awal (IPO). Penjualan 60 % saham yang dimiliki Felda itu membolehkan kerajaan mengumpul RM 5.5 bilion.

Kalau berita ini betul, tentu malang nasib Felda dan warganya.

Kalau tak silap aku harga saham yang akan disenaraikan ketika prospektus dilancarkan oleh PM Najib baru-baru ini ialah RM 4.25 sesaham. Khabarnya penyenaraian rasminya di Bursa Saham akan berlangsung pada 28 Jun ini. Belum pun di senaraikan secara rasmi di Bursa Saham, kerajaan Najib sudahpun menjualkannya. Kenapa terdesak sangat Najib bertindak sedemikian rupa? Tentu ada sesuatu di sebalik batu?

Yang peliknya Najib pernah menasihatkan warga Felda supaya tidak menjualkan saham-saham yang kononnya diperuntukkan kepada mereka. Malangnya Najib sendiri bertindak sedemikian meskipun belum disenaraikan di Bursa Saham secara rasmi. Tindakan Najib menimbulkan pelbagai persoalan dan persepsi. Penyenaraian  FGVH semacam retorik politik saja. Lebih daripada itu penjualan ini dianggap sebagai sumber mendapatkan kewangan bagi menghadapi PRU 13. Atau Najib sendiri tidak yakin saham FGVH akan meningkat pada masa terdekat atau dalam masa panjang.

Isu Felda ini sudah menjadi semakin kompleks mutakhir ini. Macam-macam tindakan yang tidak mengikut lunas undang-undang berlaku di hadapan mata. Isu pelantikan Isa Samad sebagai Pengerusi Felda juga tidak berani disanggah oleh Pendaftar Koperasi Malaysia walaupun ianya tidak menepati undang-undang dan peraturan Felda sendiri. Kisah borang yang disertakan dengan dokumen mendapatkan 'Durian Runtuh" menjadi persoalan kerana borang itu dikatakan borang pinjaman bank untuk membeli saham dalam FGVH. Ini bererti saham untuk warga Felda bukan diberi secara percuma tetapi melalui pinjaman Bank. Kalau FGVH lingkup atau sahamnya merosot, warga Felda ini akan menanggung hutang pinjaman itu. Oh! liciknya? Apa semuanya ini? Ini tentu sekali akan menimbulkan syak wasangka di kalangan warga Felda khasnya dan rakyat amnya.

Aku kira selepas penjualan 60 % kepetingan itu dan memperolehi RM 5.5 bilion, PM Najib akan bubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya. Wang sebanyak itu tentu mencukupi untuk belanja pilihan raya termasuk juga wang saku para penyokong dan pengundi. Selepas itu sama ada FGVH untung atau tidak bukan persoalan bagi kerajaan Najib. Warga Felda untung atau menanggung hutang seumur hidup, bukan menjadi perkiraan lagi. Kalau PR menang PRU 13 nanti, kerajaan baru pula kena tanggung 'biawak hidup' untuk menyelesaikan kekusutan yang sengaja ditinggalkan. Itulah dia senario masa kini. Masihkah kita mahu menaruh keyakinan dan kepercayaan? Terpulang kepada anda dan warga Felda memikirkannya!
 

Monday 4 June 2012

Hijau! Hijau! Hijau

HIJAU  ITU  SUBUR

Hijau ! Hijau ! Hijau !
di sana hijau, di sini hijau,
melata kehijauan di mana-mana
saujana mata memandang

Alor Setar dibanjiri kehijauan
lautan hijau di Stadium Darul Aman 
tunas-tunas tumbuh menghijau
pucuknya hijau, daunnya menghijau
rumpun rimbunnya turut menghijau

Hijau itu kesuburan
hijau itu kedamaian
hijau itu kemakmuran
hijau itu kesetiaan

Mari kita sama-sama raikan kehijauan
melestrarikan alam  dengan kehijauan
flora dan fauna penyeri alam
menjaga kehijauan tuntuan Tuhan

Ayuh !
mari kita bersama-sama
mengangkat panji-panji hijau
lambang Rasulullah !
melangkah gagah berarak penuh taqwa
menuju ke Putrajaya !

Insyallah !
Semoga Berjaya !