Monday 2 July 2012

Bahasa Kebangsaan - Isunya Bukan Paksaan, Tetapi Perlembagaan

Ucaptama Ketua Satu Gapena Prof Datuk Dr. Abd Latif Bakar pada Seminar Bahasa. Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan pada 28 Jun lalu telah menarik perhatian sahabat saya Kassim Muhamad dalam blognya yang memetik laporan Malaysiakini bahawa apa yang diucapkan oleh Ketua satu Gapena itu berunsur paksaan. Dalam nada yang sama beliau juga tidak bersetuju 'paksaan' digunakan dalam melaksanakan Bahasa Kebangsaan.

Dalam isu bahasa kebangsaan tidak ada unsur paksaan dilaksanakan. Yang ada ialah isu Perlembagaan yang sedia termaktub di dalamnya bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara dan hendaklah digunakan dalam acara rasmi kerajaan. Begitu juga dalam Akta Pendidikan 1996, Dasar Pelajaran Rahman Talib, Dasar Pelajaran Razak  dengan jelas menyatakan 'Suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama dalam semua sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan.'

Malangnya Akta Pendidikan dan Perlembagaan Negara jelas dilanggar oleh kerajaan Umno/BN. Sepuluh tahun selepas kemerdekaan negara, yakni selepas peristiwa perarakan keranda 152 oleh para sasterawan, kedapatan bahawa dasar ini mula dilaksanakan dengan baik. Pada zaman Tun Abd. Razak menjadi PM, beliau telah melaksanakannya dengan sempurna sehinggakan bahasa Melayu dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Semua acara rasmi kerajaan dan surat menyurat dalam bahasa kebangsaan. Malah sistem pelajaran menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dari peringkat sekolah rendah ke institusi pengajian tinggi telah dilaksana dan diterima dengan baik oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini. 

Pada era Dr. Mahatahir Mohamad, menara yang dibina oleh Tun Razak telah diruntuhkan oleh beliau. Mahathair lah pemimpin Umno yang memusnahkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan melanggar Perlembagaan Negara yang jelas memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan pengantar di sekolah-sekolah. Pada zaman beliau bahasa Melayu jadi haru biru, tidak dihormati lagi oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini. Maka dengan itu jelas sekali kegagalan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah adalah dilakukan oleh kepimpinnan Umno sendiri, bukan pimpinan DAP, MCA Gerakan, Pas atau PKR.

Ketika Pak Lah mengambil tampuk kepimpinnan negara ramai mengharapkan dasar menggunakan bahasa Inggeris dalam subjek matematik dan sains yang diperkenalkan Mahathir akan dimansuhkan. Pada zaman 1 Malaysia oleh Najib, dasar ini masih berleluasa tanpa apa-apa tindakan pun. Malah lebih teruk lagi konsep 1 Malaysia Najib sudah disalah ertikan beberapa pihak yang mengambil kesempatan mahu menggunakan pelbagai bahasa. Ada yang menuntut di kembalikan semula dasar PPSMI dan ada yang lebih berani mahu bahasa etnik mereka dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Begitulah kepimpinan Umno/BN yang tidak berani bertegas dalam persoalan ini. Ketegasan bukan paksaan, ia adalah satu kaedah supaya  sistem atau dasar dilaksanakan dengan cepat dan berkesan. 

Satu ketika dulu Mesyuarat Agung MIC dan MCA serta Gerakan diadakan dalam bahasa kebangsaan. Sekarang ini perkara itu tidak berlaku lagi, kerana apa? Kerana mereka sudah tidak hormat lagi peranan bahasa kebangsaan. Lebih teruk lagi kepimpinan Umno sendiri tidak kisah dan ambil tidak peduli peranan bahasa kebangsaan. Mereka tidak menunjukkan contoh yang baik. Malah ramai di antara mereka menggunakan bahasa Inggeris walaupun khalayak seorang dua orang asing. Begitulah yang berlaku kalau tidak ada jati diri.

Apa yang membimbangkan sekarang ini PR juga kelihatan tidak serius untuk melaksanakan dasar bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara. Walaupun Anwar Ibrahim dan Hadi Awang pernah menyatakan bahawa Perlembagaan Negara akan terus dijunjung dan Raja-Raja Melayu kekal sebagai Raja Perlembagaan, namun kenyataan itu tidak begitu kukuh dan meyakinkan. Soal memberi pengakuan adalah amat mudah, manakala untuk  melaksanakannya suatu perkara lain yang dianggap tidak mudah.

Apa lagi dalam program-program PKR, PAS dan DAP masih tergila-gila menggunakan pelbagai bahasa dalam sepanduk dan banner mereka. Takkan dah 55 tahun negara merdeka orang bukan Melayu masih tidak boleh membaca dan berbicara dalam bahasa Melayu? Anehkan? Tindakan ini memperlihatkan bahawa PR juga mementingkan undi daripada prinsip negara. Ini sangat merugikan Negara.

Di Indonesia, Thailand, Jepun dan Korea mereka memartabatkan bahasa mereka dalam segala aspek pentadbiran. Bahasa memainkan peranan penting dalam penyatuan negara. Sebab itu di Indonesia di gunakan bahasa Melayu yang digelar bahasa Indonesia sebagai alat penyatuan. Di Timur Timor dan Irian Barat pun bahasa Indonesia diajar di sekolah-sekolah. Ketika Jepun datang menyerang Asia Tenggara, bahasa Jepun dipaksa kepada penduduk taklukannya. Kenapa? kerana bahasa amat penting dalam sistem komunikasi sesebuah negara. Ianya harus dilaksanakan walaupun dengan cara paksaan sekalipun.

Akan tetapi di negara ini tidak ada paksaan digunakan, hanya diminta menghormati Perlembagaan. Itu saja. Maka kenyataan Ketua Satu Gapena ada kewajaran dan relevansinya. Ini bukan kerana aku nak mengampu dia, tetapi yang benar harus ditegakkan, bukan menegakkan yang batil kerana mahu mengambil hati sesetengah kekawan kita. Wallahualam!

No comments: