Wednesday, 15 September 2010



Ulasan Buku


Keaiban cinta dalam ‘Api Cinta.’


Oleh RAZALI ENDUN

Apa yang menarik minat saya untuk terus membaca novel ‘Api Cinta’ karya Sutung Umar R.S ialah kerana novel itu ditulis oleh mantan editor sastera Majalah Dewan Sastera, Berita Minggu dan Pentas. Novel ini juga merupakan novel pertama beliau sepanjang penglibatan dalam dunia penulisan, walaupun banyak puisi dan cerpen yang telah dihasilkan.

‘Api Cinta’ mengisahkan kisah cinta di antara dua insan Sutan Umar dan Zhi-ha. Walaupun pengarangnya tidak pasti seperti yang dipersoalkan dalam halaman 262, berbunyi, Cinta? Apakah cinta? Apakah apa-apa yang aku ceritakan kepadamu ini adalah suatu kisah cinta? Tapi kalau bukan kisah cinta, apakah kisahnya?

Apapun persoalannya, hakikatnya itulah kisah cinta asyik maksyuk di antara dua makhluk yang lena dibuai cinta berahi tanpa batasan.

Cinta di antara Sutan Umar dan Zhi-ha bukan cinta murni.Tidak ada keikhlasan dalam hubungan mereka. Ianya bukan cinta sejati seperti Laila dan Majnun. Ianya adalah cinta nafsu nafsi penuh berahi. Perlakuan sumbang, berkesedudukan serta bergelumang dengan dosa. Malah sehingga berlaku menggugurkan kandungan.

Sutan Umar sangat pemurah. Sanggup membelikan kereta, rumah dan pelbagai macam alat perabot untuk rumah Zhi-ha. Malah dia juga menyewa bilik di sebuah rumah Cina di Cheras semata-mata mahu berseronok dengan Zhi-ha. Manakala Zhi-ha pula sanggup berbuat apa sahaja yang diperlakukan oleh Sutan Umar semata-mata mengejar kemewahan, kesenangan dan kebendaan.

Justeru kerana itu jugalah cinta mereka putus kerana Sutan Umar tidak serius mahu menikahi Zhi-ha walaupun didesak oleh kekasihnya. Manakala Zhi-ha pula mungkin sudah merasakan apa yang dikejarnya sudah mampu dimilikinya, maka Sutan Umar ditinggalkan. Zhi-ha juga mungkin memikirkan ke penghujung mana nanti hidupnya kalau tidak bernikah. Maka kerana itu dia lekas-lekas menerima pinangan salah seorang keluarga bau-bau bacangnya. Sayangnya pertunangan ini juga putus gara-gara tunangan Zhi-ha sudah mengetahui hubungan Sutan Umar dengan Zhi-ha.

Novel Api Cinta tidak mengisahkan sebuah cinta murni yang penuh sopan dan berakhlak. Sebaliknya novel ini memaparkan keaiban cinta yang sangat bobrok dan tidak bermoral. Tambah memalukan apabila ibu, bapa, nenek dan adik beradik Zhi-ha turut berada di rumah Zhi-ha walaupun mereka tahu anaknya berkesedudukan dengan Sutan Umar. Apakah pengarangnya mahu menggambarkan kebobroknya masyarakat kontemporari yang sudah hilang rasa malu dan segan? Maka sebab itu berlaku pembuangan bayi hampir setiap hari.

Apapun objektif dan motif pengarangnya, namun Api Cinta tidak punya moral yang baik untuk dicontohi. Novel ini sangat erotis sifatnya, sarat dengan adegan seks yang memberahi dan mengghairahkan.

Namun demikian, plot atau jalan ceritanya lancar dan mengasyikkan. Pengarangnya berjaya memancing naluri ingin tahu pembaca untuk terus membaca. Naluri ingin tahu melonjak-lonjak dan menjadi tarikan yang kuat untuk mengetahui episod-episod yang berlaku seterusnya.

Teknik penceritaannya juga menarik. Pengarang menggunakan teknik pesanan ringkas atau SMS bagi memulakan cerita. Malah kebanyakan dailognya menggunakan kaedah ini. Pengarang memulakan cerita dengan Sutan Umar menjawab SMS Dr. Saiful yang berbunyi, buat apa Dr. Saiful nak tahu cerita itu begitu terperinci? Dan balas membalas mesej ini berterusan sehingga beberapa bab terkemudian.

Sayangnya novel ini banyak mengandungi ejaan dan tata bahasa yang bercelaru. Banyak ejaan salah terdapat dalam novel ini. Mungkin pengarangnya tidak mengeditnya selepas siap manuskripnya, kerana mahu menerbitkan pada kadar yang segera.

Bahasanya mudah, akan tetapi tidak tertib susunannya. Persis bahasa rojak layaknya. Sebagai mantan editor sastera kesilapan dan kesalahan seperti ini tidak seharusnya berlaku dengan nyata. Pengalaman beliau sebagai seorang editor yang menerima ratusan karya setiap minggu sudah tentu amat prihatin terhadap kesalahan-kesalahan ini. Namun, sebagai manusia biasa, tentu sekali tidak sunyi daripada kesilapan.

Kesimpulannya, Api Cinta hanya sebuah cinta biasa penuh berahi. Ceritanya bagus, menarik tetapi berunsur erotik. Moralnya tidak ada. Malah tidak ada secebis pun keinsafan dan sesalan ada dalam diri Sutan Umar. Jauh sekali untuk bertaubat Nashua. Tidak ada langsung hubungan Sutan Umar dengan Allah SWT. Tidak terjumpa sepotong ayat pun bahawa Sutan Umar menyesal dan beristighfar. Dari aspek Islami, novel ini tidak menjurus, malah jauh menyimpang daripada unsur keagamaan.

Selamat Hari Raya

Selamat Hari Raya kekawan. Maaf dah lama tak menjelma dlam blog ini. Maklum bulan puasa, rehat sebulan lamanya. Kita ketemu kembali pada bulan baik dan barakah ini. Semoga tahun-tahun berikutnya akan memberikan kita lebih rezeki, kesihatan dan keimanan yang lebih kuat untuk menempuh tahun-tahun mendatang.

Syukur, tahun ini saya berasa bertuah kerana Allah telah memanjangkan usia, memberi kesihatan yang baik serta rezeki yang agak lumayan. Tahun ini juga saya telah terbitkan sebuah Kumpulan Cerpen saya berjudul 'Ranum'. Kumpulan Cerpen ini merupakan buku kedua saya selepas 'Dua Era.' Akan saya siarkan kulit buku itu di masa mendatang.

Pada 18 Sept ini saya bertuah terpilih sebagai salah seorang pemenang Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor ke-3. Novel saya berjudul 'Tawarikh Ibu' mengisahkan riwayat hidup Ibu Zain. Hadiah ke berapa tak tahun lagi, kerana mereka belum beritahu. Siapa menang hadiah utama dan sagu hati hanya akan diumumkan pada malam itu di Persada, Johor Bahru.

Novel terbaru saya berjudul, 'Gelora Belantara' sedang dalam penerbitan oleh DBP. Ianya mengisahkan kehidupan puak Penan di Sarawak. Apabila terbit nanti akan saya siarkan dalam blog ini. Sesiapa yang ingin memesannya boleh juga pesan melalui saya.

Sekian celoteh buat kali ini. Terima kasih kerana sudi membaca dan mengunjugi blog ini. Selamat Membaca buku-buku saya. Dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Monday, 19 July 2010

Ulasan Teater 'Uda dan Dara.'

Teater Muzika Uda dan Dara Tidak Menepati Aspirasi Usman Awang.


Semenjak awal lagi setelah dimaklumkan oleh Lyana Usman, anak SN Usman Awang bahawa dia akan cuba mempersembahkan semula drama pentas (teater) Muzika Uda dan Dara, keinginan untuk menonton teater ini semakin membara. Apabila dipentaskan mulai 10 – 20 Julai, saya diingatkan oleh beliau melalui sms tentang pementasan itu. Maka pada 14 Julai lalu saya pun melangkah masuk ke dalam Istana Budaya dengan harapan yang mengunung bahawa persembahan kali ini akan lebih baik daripada yang terdahulu.

Uda dan Dara merupakan drama terbaik Usman Awang. Ianya pernah dipentaskan pada 1972, dilakon dan diarahkan oleh Rahim Razali. Pada pementasan terbaru ini beliau juga bertindak sebagai pengarah, tetapi tidak memegang sebarang watak.

Drama muzika Uda dan Dara sebenarnya merupakan idea awal daripada sajak Usman Awang yang dihasilkan pada 1953 berjudul, ‘Gadis di Kuburan.’ Kisah yang sama diolah semula menjadi sebuah cerpen dengan tajuk yang sama. Pada tahun 1972, judul yang sama disesuaikan untuk persembahan drama TV dan kemudiannya menjadikannya sebuah drama pentas yang popular.

Usman Awang terkenal dengan puisi yang indah bahasanya. Dailog dalam dramanya lazimnya bersifat puitis. Bahasanya yang lembut, sopan tetapi sarat dengan sindiran lumrah dalam karya-karyanya. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Karya-karya beliau yang akrab itu sangat serasi dengan aspirasi rakyat terutama golongan marhean.

Karya-karya beliau mencerminkan perwatakannya. Meskipun Usman Awang lembah lembut orangnya tetapi tegas dalam prinsip perjuangannnya. Aspirasinya untuk menegakkan keadilan serta anti kepada kezaliman menjadi tunggak prinsip pengkaryaannya. Inilah latar perjuangan dan perwatakan beliau.

Sayangnya tidak terkesan segalanya ini di dalam teater muzika Uda dan Dara yang dipentaskan di Istana Budaya baru-baru ini. Jiwa dan ruh Usman Awang tidak terdapat dalam persembahan ini. Ianya tidak menepati aspirasi Usman Awang yang begitu murni dan luhur cita-citanya. Maka apa yang dipertontonkan bukanlah sebuah teater muzikal, akan tetapi sebuah opera muzik yang sarat dengan rentak tarian penuh dengan kebisingan yang membingitkan lubang telinga.

Jelas sekali Rahim Razali tidak mengekalkan skrip asal teater ini. Muzik asal ciptaan Basil Jayatikala yang klasik sifatnya digantikan dengan lagu-lagu berentak rancak ciptaan Hafis Askiak. Bagi saya muzik rentak ini tidak sesuai dengan jalan cerita dan jiwa Usman Awang sendiri. Ianya mungkin digemari oleh generasi sekarang, tetapi kehadirannya bukan sahaja mencacatkan teater ini tetapi turut menghakis aspirasi pengarang asalnya. Maka jadilah muzik dan tarian yang dipersembahkan itu persis yang terdapat di dalam filem-filem Hindustan. Sesekali terasa macam opera Cina pula.

Sepanjang pementasan selama 2 jam 30 minit itu dengan waktu rehat selama 15 minit, 90 peratus daripada persembahan tersebut didominasi oleh tarian dan muzik yang tidak relevan dengan naratif. Di nilai dari sudut bahasanya, ianya tidak seperti yang diharapkan. Nilai yang paling utama dalam teater ini ialah bahasanya. Bahasa Melayu menjadi begitu indah sekali di dalam teater ini. Ianya dirosakkan lagi dengan pengucapan dialog yang ditenggelami oleh bunyi muzik yang terlalu kuat.

Dari segi moral, ianya menyimpang jauh daripada adat dan akhlak masyarakat kampung. Amat jelik sekali melihat Uda dan Dara kerap berpelukan sehinggakan hidung bertemu hidung, sedangkan mereka bukan muhrim. Malah episod Dara berbaring di atas pentas dan ditindih oleh Uda di atasnya dalam adegan mimpi Dara bernikah dengan Uda amat memalukan.

Perlu apakah adegan ini dipaparkan di hadapan khalayak oleh Rahim Razali? Ianya bukan sahaja menyalahi adat resam Melayu tetapi melangkaui batas-batas agama. Tentu sekali yang dikutip oleh generasi muda ialah yang negatifnya, maka dengan demikian ianya semacam lesen yang menggalakkan mereka melakukan perbuatan sumbang dan menjolok mata itu tanpa segan silu di khalayak ramai. Akibatnya anak muda kita hilang perasaan malu dan melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak berakhlak seperti pergaulan bebas, seks rambang sehingga berlaku pembuangan anak di luar nikah. Apakah masyarakat seperti ini yang ingin kita bina?

Tidak ada cinta suci antara Uda dan Dara. Mereka berdua hanyut dalam percintaan nafsu nafsi yang sudah tentu bukan hasrat Usman Awang mencipta dua watak yang sedang dilamun cinta ini.

Dari konteks teater Islam, tidak ada secebis pun yang boleh dibanggakan dari sudut pandang ini. Teater ini tidak berunsur Islami, walaupun para pelakon wanitanya tidak mendedahkan sebahagian dada dan belakang mereka seperti sebuah teater muzikal sebelum ini. Namun demikian adalah menjadi tugasan kita, para seniman, karyawan, penulis skrip dan pengarah teater menerapkan unsur-unsur Islami di dalam teater, bertujuan untuk mendidik dan menjadikan teater sebagai pentas dakwah. Karya seni bukan sahaja dinilai dari aspek keseniannya, tetapi juga dinilai serta dibicarakan kesenian kebenarannya dari segi agama. Oleh yang demikian, asas pencarian kebenaran itu hendaklah berlandaskan pada agama.

Tidak menjadi masalah sekiranya skrip asal tidak mahu digunakan sepenuhnya. Akan tetapi apabila berlaku sebegini tentu sekali yang diharapkan ialah penambahbaikan kepada skrip asal itu. Sayangnya ini tidak berlaku. Rahim Razali telah tidak menggunakan kesempatan ini untuk menerapkan unsur mendidik dan berdakwah dalam teater ini.

Meskipun pada keseluruhannya lakonan pelakon-pelakonnya tidak mengecewakan, namun yang jelas pementasan ini gagal memapaparkan aspirasi Usman Awang. Jiwa dan ruh Usman Awang tidak ada dalam teater ini. Ianya telah dicacatkan oleh irama muzik yang terlalu rancak, tidak sentimental seperti jiwa dan perasaan Usman Awang. Sekiranya muzik asal ciptaan Basil Jayatikala dikekalkan, sentuhannya mungkin berbeza.

Wednesday, 14 July 2010

Cerpen "B O L A"

Pelik! Sungguh pelik! Tiba-tiba sahaja perangai Abah berubah. Dulu perangainya tidak seperti ini. Kalau fasal bola dia tidak ambil kisah pun. Dia tidak minat pun bermain bola. Tetapi semenjak demam piala dunia, perangai Abah tidak macam dulu lagi. Abah menjadi seorang yang amat meminati bola. Nama-nama negara yang mengambil bahagian dalam perlawanan itu dihafalnya. Malahan nama-nama pemain pasukan yang disokongnya sentiasa sahaja bermain-main di bibirnya.

Pada awalnya Abah hanya menonton di depan televisyen. Setiap malam Abah akan setia di hadapan tv menonton perlawanan bola itu sehingga ke pagi. Kadangkala Abah tertinggal solat Subuh kerana hampir waktu Subuh baru Abah terlelap. Esoknya berposak ibu mengerakkannya supaya bangun untuk pergi kerja.

Abah menguap panjang kerana tidak puas tidur. Setiap pagi Abah sangat liat bangun. Abah benar-benar sudah mabuk, mabuk bola. Malahan dia sudah jadi tahi bola.

Kalut! kalut! Abah bukan sahaja gemar menonton bola tetapi dia sudah gemar membeli bola. Abah beli dan bawa pulang beberapa biji bola. Bola yang mirip dalam perlawanan piala dunia itu, berwarna putih hitam bertompok-tompok, menjadi kegemarannya. Abah juga membeli beberapa helai jersey pasukan yang disukainya. Bola dan jersey itu didakapnya dalam tidurnya apabila dia terlena di atas sofa di hadapan peti televisyen.

Abah bersorak, menjerit dan bertepuk tangan apabila pasukan yang disokongnya berjaya menendang bola masuk ke dalam gawang. Abah menjerit kuat, Gol! Gol! Gol!. Jeritannya tidak disenangi Ibu dan Atuk yang sedang lena tidur. Suara sorakan Abah mengganggu kenyamanan tidur Ibu dan Atuk. Ibu membebel panjang, Atuk membisu, memeram perasaan.

Kalau pasukan pilihannya kalah, Abah moyok macam ayam berak kapur. Dia memaki-maki pemain bola itu kerana tidak berpuas hati dengan corak permainan mereka. Abah merungut, ketika ada peluang pemain tersebut tidak menendang masuk ke dalam gawang, sebaliknya melepasi palang gol. Abah memaki-maki dan marah-marah, macam dia tahu sangat bermain bola. Semua orang tahu Abah tidak boleh bermain bola. Abah bukan sahaja kaki bangku, tetapi berkaki palsu.

Gila Abah sudah melarat ke peringkat mendera. Kadang-kadang Abah kejutkan Ibu yang sedang nyanyak tidur di tengah malam supaya membuat kopi O untuknya. Setiap malam sudah tersedia sebungkus kacang goreng cap tangan untuk dikunyah sambil menghirup kopi O panas. Kata Abah, kalau pekena dengan kopi O panas mata tidak mengantuk. Kesian Ibu terpaksa akur dengan suruhan Abah, menyerang air dan membancuh kopi di tengah malam.

Atuk mengamuk sakan apabila tahu Ibu terpaksa membuat kopi O panas di tengah malam semata-mata untuk Abah berjaga menonton perlawanan bola piala dunia. Pada membuang masa begitu, lebih baik sembahyang tahjud atau membaca Quran, sungut Atuk. Bola itu berpuaka. Tak ada faedahnya menonton bola, itu permainan orang bodoh. Orang yang menontonnya turut diperbodohkan oleh mereka yang bodoh itu. Atuk terus berungut, marah.

Atuk memang tidak berminat dengan pemainan bola sepak. Atuk hanya berminat bermain catur atau dam. Berjam-jam dia boleh berada di hadapan papan catur atau dam, merenung dan berfikir panjang sebelum mengerakkan buah catur atau buah dam. Katanya permainan ini menggunakan akal. Kita berfikir untuk mengatur strategi mengalahkan lawan. Otak dan akal kita menjadi cergas apabila kita banyak berfikir.

“Bukan macam bola sepak, bola sebiji dikejar bagi nak gila oleh 22 orang. Itu kerja gila namanya,” rungut Atuk pada suatu hari apabila dia marahkan Abah mendera Ibu supaya membancuh kopi O di tengah malam. Atuk tambah berang apabila Ibu mengadu Abah sudah tidak tidur sebilik dengannya semenjak pesta bola sepak piala dunia bermula di Afrika Selatan. Abah sudah hanyut dengan kegilaan bolanya.

Abah hanya diam, tidak melawan. Tetapi saya menyanggah pendapat Atuk itu. Saya memberanikan diri untuk bersuara. Kata saya, “bermain bola sepak juga kena berfikir. Kena gunakan strategi juga. Malah menggunakan tenaga.”

Atuk merenung tajam ke muka saya. Keningnya berkerut. Misainya yang memutih panjang bergerak-gerak, mengerunkan saya. Renungan Atuk membikin saya gementar. Kalau Atuk hilang akal, silap-silap penampar singgah di pipi.

“Bukankah kerja bodoh mengejar sebiji bola beramai-ramai lalu ditendang ke dalam pintu gol. Bola juga menjadi bodoh apabila dibenarkan disepak. Orang yang cerdik tidak akan membenarkan disepak seperti bola. Jadi, bermain bola adalah permainan orang-orang bodoh.” Begitulah pandangan Atuk menguatkan hujahnya.

Muka Abah berkerut mendengar omelan Atuk. Abah mengisar duduknya. Dia semacam tidak bersetuju dengan pandangan Atuk. Akan tetapi suara Abah tersekat di kerongkongnya, bukan kerana takut, tetapi hormat kepada Atuk.

“Bola itu pun sememangnya bodoh,” tenor suara Atuk semacam melepaskan geramnya. Tiba-tiba Atuk merampas bola yang sedang didakap oleh Abah. Abah terkejut dan tergamam. Atuk membawa bola itu ke dapur. Abah dan saya termangau-mangau.

Sebentar kemudian Atuk kembali membawa sebilah parang tajam di tangan kanannya, manakala bola tadi dikepit di bawah ketiak kirinya. Atuk meletakkan bola itu di hadapan kami. Atuk menghayun parang lalu ditetaknya bola itu. Mata Abah tercerlung. Mulutnya terlopong macam mulut terowong. Abah terkejut macam melihat seekor harimau sedang memamah anak kesayangannya di hadapan matanya.

Parang tadi melantun setelah hinggap di atas kulit bola yang penuh berisi angin. Mujur belakang parang tidak terkena kening Atuk. Bola itu bergolek setelah menerima tetakan parang tajam Atuk. Parang yang tajam itupun tidak mampu membelah bola itu.

Atuk merenung mata parang itu. Dia hairan, parang yang digunakan untuk menyembelih lembu itu tidak lut kulit bola itu. Lalu Atuk suruh saya pegang bola itu, lantas Atuk menghiris parang itu di atas kulit bola macam menyembelih lembu layaknya. Sedikit demi sedikit mata parang itu terbenam ke dalam kulit bola. Tidak lama kemudian terdengar desis angin keluar dari dalam bola itu. Bola yang tadinya kembung menjadi kempis dan terbahagi dua.

“Lihat! Apa yang ada dalam bola ini? Kosong!.Benda yang kosong tidak berguna! Luarnya sahaja nampak cantik, kembang, licin dan berkilat. Dalamnya kosong! Kosong!” ujar Atuk semacam menyindir Abah. Abah terkedu.

Setelah amukan Atuk, Abah sudah tidak menonton perlawanan bola di rumah lagi. Setiap malam Abah akan keluar dengan seorang teman yang baru dikenalinya yang datang menjemputnya di rumah. Teman barunya seorang lelaki Cina yang juga berminat dengan bola. Abah berpayah-payah berjalan menggunakan tongkat untuk menopang kaki palsunya. Kaki kanan Abah kudung setelah terkena jerangkap samar ketika berkhidmat di dalam tentera. Sejak pencen, Abah hanya makan duit pencen sahaja. Tiada siapa yang membantunya. Ibu yang berkerja membantu belanja dapur.

Ibu dan Atuk berasa tenteram apabila Abah tidak lagi membuat bising menonton perlawanan bola melalui tv. Mereka nyanyak tidur sehingga ke pagi. Mimpi mereka tidak diganggu oleh sorakan dan jeritan suara Abah di tengah malam. Sehinggakan Abah tidak pulang sepanjang malam pun mereka tidak sedar. Dulu, bagaimana sibuk sekalipun, Abah tetap pulang setiap malam. Abah sudah mendapat kawan yang serasi dengannya di luar.

Malam final, Abah awal-awal lagi sudah keluar rumah bersama-sama teman-temannya. Selepas waktu Asar Abah dibawa pergi oleh lelaki Cina itu untuk ke suatu lokasi bagi menyaksikan perlawanan akhir piala dunia. Di mana lokasi Abah pergi, Ibu dan Atuk tidak tahu. Mereka tidak mahu ambil tahu. Abah sudah tidak dengar nasihat lagi. Abah terlalu asyik dengan bola macam sepasang kekasih sedang berasyik maksyuk.

Ketika Abah keluar dia memakai jersey pasukan Belanda. Malah mukanya pun dicat dengan warna bendera Belanda. Belanda menjadi pilihan Abah. Abah yakin Belanda akan menjadi juara piala dunia kali ini mengalahkan Sepanyol. Walaupun sotong yang bernama ‘Paul’ meramalkan Sepanyol akan memenangi perlawanan itu, Abah lebih yakin dengan ramalan Bomoh Siam yang dikunjunginya untuk membuat ramalan itu. Bomoh Siam itu meramalkan kedua pasukan sama hebatnya. Walau bagaimanapun Belanda akan menang satu kosong. Meyakini ramalan Bomoh itulah, Abah memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Belanda.

Abah benar-benar menjadi separa gila apabila pasukan pilihannya kalah satu kosong. Abah menyumpah seranah pasukan Belanda yang kalah. Pelbagai kata nista, kutukan dan maki hamun dihamburkan terhadap pasukan itu. Malah Abah juga menyumpah-nyumpah Bomoh Siam yang salah ramalannya. Dia berasa tertipu pula. Kepala Abah pusing, ligat macam baling-baling.

Abah pening-pening lalat ketika sepasukan polis datang menyerbu lokasinya pada dinihari itu. Serbuan itu dilakukan serentak oleh pasukan polis dan penguatkuasa Jabatan Agama Islam. Abah ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam perjudian perlawanan bola piala dunia. Pejabat agama juga mahu mendakwa Abah bukan sahaja atas kesalahan berjudi tetapi atas kesalahan minum arak. Polis mendakwa mereka ada kuasa untuk menahan Abah di bawah Undang-Undang Jenayah Sivil. Pejabat Agama juga mendakwa mereka punya kuasa menahan Abah sebagai seorang Muslim di bawah Undang-Undang Jenayah Syariah. Abah bingung. Undang-Undang yang mana satu mahu dikuatkuasakan terhadapnya.

Kepala Abah terus pusing, ligat macam gasing. Terasa berat kepalanya macam sebongkah beban berada di pundaknya. Oleh kerana tidak terlarat menanggung beban yang semakin berat itu, Abah rebah. Pagi itu Abah tidak pulang-pulang ke rumah.

Petang berikutnya Ibu dan Atuk dikunjungi sekumpulan lelaki Cina. Mereka datang mencari Abah. Mereka datang menuntut wang yang dipinjam oleh Abah untuk berjudi. Mereka memberi kata dua, kalau Abah tidak bayar hutang itu keselamatan Abah dan keluarganya di dalam bahaya.

“Lu punya rumah dan tanah jadi milik gua, ma!,” ugut salah seorang lelaki itu sambil mengoyang-goyang geran tanah milik Atuk.

Atuk tergamam. Biji mata Atuk terbelalak.

“Hei! Kamu ini siapa huh?” Tanya Atuk dengan nada marah.

“Kami, Along!”

Atuk menepuk dahi. Kakinya layur. Atuk terjelepok di atas tanah. Ibu menangis terisak-isak. Saya menangis di dalam hati.

Bahasa Melayu dalam filem dan drama

Bahasa Melayu Dalam Filem dan Drama.


Bahasa amat penting bagi kehidupan manusia. Bahasa merupakan alat komunikasi dan pertuturan bagi menyatakan sesuatu. Bahasa juga mencerminkan ketamadunan sesuatu bangsa. Bahasa menunjukkan bangsa.

Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan dan bahasa ilmu semakin hari semakin tercemar penggunaannya. Kita tidak punya bahasa yang ‘standard’ dalam pertuturan, malahan dalam tulisan; ejaan dan nahu semakin bercelaru. Ada usaha oleh Kementerian Pendidikan suatu ketika dahulu untuk menjadikan sebutan baku sebagai bahasa standard, akan tetapi usaha itu telah dihapuskan kerana pertelingkahan politik di antara golongan politikus. Maka terbantutlah usaha murni itu sehingga menjadikan penggunaan bahasa Melayu sekarang sekerat belut, sekerat ular.

Bahasa rojak ini sudah menjadi bahasa harian para pemimpin, ahli korporat dan rakyat biasa. Fenomena ini sudah meresap pula dalam industri perfileman kita. Malahan dalam drama juga bahasa ‘kolokial’ ini sudah dijangkiti. Tambah teruk lagi bahasa ini menjadi amalan para penyampai atau juru hebah radio dan televisyen. Radio dan televisyen yang sepatutnya menjadi contoh penggunaan bahasa yang baik sudah menjadi gedung bahasa ‘basahan’ atau ‘kolokial’, meminjam istilah Prof. Dr. Teo Kok Seong.

Pencemaran bahasa Melayu dalam filem dan drama tv semakin serius. Bahasa rojak sangat berleluasa digunakan dalam industri ini. Ianya bukan sahaja berlaku dalam filem dan drama tv Melayu, malahan dalam filem-filem dan drama-drama tv Indonesia juga pencemaraan bahasa sedang berlaku dengan amat serius sekali.

Filem-filem Melayu pada tahun-tahun 40 dan 50 an dahulu menggunakan pertuturan bahasa baku. Ianya semacam suatu kemestian di dalam dialog filem pada ketika itu. Pada era 70 an dailognya sudah mula berubah, menggunakan loghat Johor-Riau. Ini kerana kebanyakan orang Melayu di Malaysia menggunakan loghat ini dalam pertuturan harian mereka. Dan loghat ini semacam sudah menjadi bahasa standard kepada orang Melayu di negara ini.

Penggunaan bahasa dalam filem terus menerima perubahan apabila filem dianggap sebagai alat perakam realiti kehidupan masyarakatnya. Kalau masyarakatnya menggunakan bahasa rojak, maka bahasa itulah yang digunakan di dalam filem. Kalau masyarakatnya bobrok, maka kebobrokan itulah yang dipaparkan di dalam filem.

“Mereka adalah produk kita. Mereka juga adalah pasaran kita. Maka dengan itu ‘market force’ menentukan ‘content’ sesebuah filem itu. Inilah hambatan pengusaha filem,” demikian keluhan Dr. Mahadi J. Murat dalam wacana intelektual di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

Menurut beliau lagi bahasa filem dan drama (drama pentas?) tidak boleh disamakan. Kedua-duanya menggunakan bahasa berlainan. Filem ialah gambar bergerak, maka bahasanya juga adalah bahasa bergerak. Manakala bahasa dalam drama ialah lontaran suara dan perwatakan. Filem ialah ‘story telling’ dan peranannya menghantar ‘content’ (isi).

Katanya lagi, filem ialah ‘bahasa penceritaan.’ Ianya disebut ‘bahasa visual.’ Ianya tertakluk kepada kepentingan dan matlamat visual. Filem harus disesuaikan dengan teknik perfileman. Dailog dalam filem sekadar menggambarkan watak serta plot. Yang penting dalam filem ialah bahasa visualnya.

Dr. Mahadi seterusnya berpendapat bahawa apa yang berlaku sekarang adalah proses kehidupan umat Melayu iaitu umat yang keliru. Serba serbi dalam kekeliruan. Industri filem tidak mencorakkan masyarakat Melayu. Hanya segolongan kecil masyarakat Melayu yang menentukan ‘market force.’ Filem Melayu sangat sedikit jumlah penontonnya, sekitar 400,000 sahaja. Macam mana pembikin filem boleh hidup? Ini soal survival, ianya faktor yang penting kepada mereka yang mahu mencebur dalam industri ini.

Prof. Dr. Teo Kok Seong pula melontarkan pertanyaan, apakah filem dan drama itu sesuatu yang formal? Apa pun ianya perlu berperaturan, terikat pada undang-undang, norma masyarakat serta budaya negara. Filem dan drama mesti berperaturan dalam adegan dan bahasanya. Bahasa pertuturan dalam filem terlalu basahan (rendah). Bahasa filem tidak boleh kolokial sifatnya.

Prof. Teo menyalahkan sikap masyarakat Melayu sendiri yang sudah hilang jati diri serta sikap patriotik terhadap bahasa Melayu. Ini termasuk para pemimpin kita yang menjadikan bahasa rojak sebagai bahasa pertuturan.

Meskipun bahasa filem tidak boleh disamakan dengan bahasa lazim atau standard, akan tetapi menurut Prof. Teo, bahasa mengindahkan isi. Kita lihat sahaja seni kata lagu-lagu Melayu, kebanyakannya indah dan berseni, kenapa tidak boleh digunakan seperti lirik lagu ini sebagai bahasa dan tajuk filem?

“Ini semua terpulang kepada sikap kita. Kita perlu ada sikap yang positif terhadap bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu seformal yang mungkin dalam filem boleh dicapai sekiranya media kita mempunyai tanggungjawab sosial terhadap bahasa Melayu. Media seperti radio, tv serta filem berperanan penting terhadap penggunaan bahasa Melayu dengan betul,” demikian komen Prof. Teo.

Sementara itu A. Rahim Abdullah tetap mempertahankan bahawa bahasa Melayu seharusnya digunakan dengan betul walau dalam keadaan apa sekalipun. Katanya, tidak ada kompromi dalam penggunaan bahasa Melayu. Masalahnya kita tidak punya badan penguat kuasa untuk menguatkuasakan penyalahgunaan bahasa ini.

Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah yang bertindak sebagai pengerusi panel dalam banyak komennya tidak bersetuju dengan penggunaan bahasa sekerat belut dan sekerat ular. Apa perlunya menggunakan I dan You untuk ganti nama, saya, aku, awak atau kamu? Tambah meluat lagi apabila adegan anak dan ibu yang berada di kampung bertutur sekerat Melayu sekerat Inggeris.

Katanya lagi filem-filem Inggeris/Amerika menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya walaupun watak dalam filem itu adalah golongan ‘alien.’ Orang asing ini tentu ada bahasanya sendiri, tetapi di dalam filem-filem mereka, mereka menggunakan bahasa Inggeris.

Tambah memalukan lagi apabila Tajuk Pesta Filem yang ke-20 yang pelbagai macam itu menggambarkan orang-orang filem kita tidak peka terhadap bahasa Melayu. Pesta Filem tersebut tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Katanya lagi, tajuk-tajuk filem Melayu juga tidak menggambarkan jati diri dan watak orang Melayu. Tajuk-tajuk dalam bahasa Inggeris dan yang bercampur aduk adalah manifestasi nilai jati diri yang rendah di kalangan sesetengah orang filem. Perbandingan tajuk-tajuk filem kita dengan filem-filem Indonesia, jelas menunujukkan filem-filem Indonesia masih mengekakalkan jati diri mereka dengan menggunakan tajuk-tajuk filem dalam bahasa mereka dan mempunyai kekuatan tersendiri.

“Dalam kita mahu mengkomersialkan filem-filem kita, ianya tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada penggunaan bahasa Melayu yang betul,” ujar Prof. Madya Dr. Abu Hassan.

Pandangan seorang peserta yang mencadangkan sebuah Lajnah Bahasa ditubuhkan terdiri daripada Lembaga Penapis Filem, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Finas diwujudkan sebagai Badan Pemantau terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul di dalam filem-filem dan drama tv harus dipertimbangkan. Badan ini menjadi rujukan pengusaha filem dan drama tv sebagai penasihat. Yang lebih penting ianya harus mempunyai kuasa eksekutif untuk menguatkuasakan peraturan dan undang-undang bahasa.

Sejauh mana relevannya badan seperti ini, masih disangsikan. Sedangkan DBP yang sudah pun mempunyai kuasa untuk menyaman setelah pindaan Akta DBP diluluskan oleh parlimen pun masih tidak berupaya melaksanakan kuasanya yang ada itu.

Friday, 25 June 2010

Kemelut Dalam Kepimpinan Gapena

Pada 3 Julai ini khabarnya Gapena akan mengadakan mesyuarat agungnya. Kali ini ada pemilihan kepimpinan. Tidak pasti sama ada kali ini akan berlaku pertandingan pucuk kepimpinannya atau pun tidak. Setakat ini belum terdengar secara jelas ada sesiapa yang berani atau sanggup mencabar Ketua Satu yang disandang oleh Tan Sri Ismail Hussein semenjak penubuhan Gapena pada tahun 70 an lagi.

Namun, yang jelas kedengaran sudah ada desakan dalam kepimpinan Gapena sendiri meminta supaya Ismail Hussein tidak lagi mempertahankan jawatannya pada mesyuarat agung akan datang. Dalam erti kata lain, meminta supaya Ismail Hussein berundur, meletakkan jawatannya secara hormat.

Khabarnya Ismail enggan berbuat demikian, sebaliknya meminta supaya diberi peluang kepadanya sepenggal lagi. Alasannya, banyak perkara yang belum diselesaikan. Alasan klise ini menguatkan lagi dakwaan sesetengah kerabatnya yang mula mempertikaikan kepimpinannya. Sudah hampir 40 tahun beliau memegang jawatan itu, masih banyak perkara yang belum diselesaikan?

Kali terakhir berlaku pertandingan dalam Gapena ialah pada pemilihan dua tahun lalu. Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), sdra Amiruddin Ali memberanikan diri untuk mencabar Ismail Hussein. Ternyata beliau mendapat undi di luar dugaan, 26 undi daripada 48 perwakilan. Ini bukan sahaja pencapaian yang memeranjatkan, tetapi ianya suatu manifestasi penolakan kepimpinan Ismail Hussein dalam Gapena.

Tiada siapa yang menafikan ketokohan Tan Sri Ismail Hussein mengetuai Gapena. Beliau sudah buat banyak perkara untuk memperkenalkan Gapena di peringkat global. Beliau juga telah menubuhkan Sekretariat Melayu Antarabangsa (SMA) yang berkonsepkan ‘diaspora Melayu.’ meneroka alam Melayu serta mencari Melayu di seluruh pelusuk dunia. Gapena bukan sahaja sudah sampai di Asia Tenggara malah sehingga ke Afrika Selatan, Madagaskar dan Surinam.

Gapena juga telah menubuhkan sayap ekonominya yang diberi nama ‘Gapeniaga Sdn Bhd.’ Khabarnya syarikat milik Gapena ini memiliki beberapa buah lot rumah kedai di Bukit Jalil dan sebidang tanah seluas 18 hektar di Ulu Langat, Selangor. Hartanah inilah menyumbang kepada pendapatan Gapena selama ini. Mungkin juga kerana hartanah ini menjadikan Ketua Satunya liat mahu melepaskan jawatannya, kononnya takut disalah gunakan oleh pemimpin baru Gapena nanti.

Meskipun demikian, kebanyakan kerabat Gapena berpendapat bahawa Gabungan itu sudah jauh tersasar daripada asal tujuan penubuhannya. Gapena sudah tidak lagi menumpukan perhatian kepada kebajikan penulis dan kerabat-kerabatnya. Soal Hak Cipta golongan penulis masih terawang-awang. Bayaran royalti yang tidak sepadan, atau ada yang tidak dibayar langsung oleh sesetengah penerbit termasuk yang sudah establish masih tidak mendapat pembelaan.

Gapena sudah tidak segalak dahulu menerbitkan buku-buku tulisan para kerabatnya. Sayembara menulis novel yang pernah dianjurkan satu ketika dulu sudah tidak mendapat perhatian para pemimpinnya. Gapena hanya sibuk dengan ‘diaspora Melayu’ dan mengabaikan kerabat Melayunya yang bergayut harapan di sekelilingnya.

Ada tanda-tanda pengurusan Gapena tidak lagi telus dan mesra kerabat. Gapena semacam sudah mengwujudkan satu golongan elit di kalangan kepimpinannya untuk terus mentadbir Gapena dalam kelompok elitnya. Ramai di antara ahli Jawatankuasa Tertingginya tidak berani menegur kepimpinan dalam banyak aspek yang jelas tersasar dan terkeluar daripada peruntukan perlembagaannya.

Untuk membuat penilaian sebidang tanah miliknya pun masih belum disempurnakan. Pindaan perlembagaan Gapena yang dicadangkan oleh para kerabat masih belum ada ketentuannya. Cadangan pindaan ini telah dibentangkan pada mesyuarat agung tahun lalu tetapi mendapat tentangan kerabat kerana ianya mirip untuk menguatkan kedudukan kepimpinannya. Malah perlantikan Tan Sri Ismail Hussein sebagi Ketua Satu Gapena meragukan.

Gapena sudah semakin kalut. Pelayaran bahteranya sudah tersasar jauh daripada pulau harapan yang menjadi matlamatnya. Pengemudiannya sudah melencong jauh daripada hala tujuannya. Hal ini berlaku kerana nakhodanya sudah terlalu lama berada di kemudi tanpa ditegur oleh anak buahnya. Ada juga yang mengsyaki nakhoda kapal sudah dipengaruhi oleh jurumudi yang dibayar gaji. Natijahnya, hanya nakhoda sahaja yang berkuasa penuh mengendalikan bahtera itu.

Kemelut ini berlaku kerana ada yang berpendapat nakhoda itu bukan sebenarnya nakhoda kapal, tetapi nakhoda yang membuat teori pelayaran dan perkapalan. Mereka yang membantu dan mengelilingi nakhoda adalah yang serumpun dengan nakhoda tersebut. Teori dan praktikal, sesuatu yang berbeza meskipun ianya kelihatan sama. Justeru itulah maka kemelut ini berpanjangan.

Saya berkongsi pandangan dengan seorang penulis pujuk dalam sebuah akhbar Melayu yang mempersoalkan kenapa golongan penulis membiarkan kepimpinan Gapena dikuasai oleh mereka yang bukan penulis, dalam konteks ini penulis kreatif. Perhatikan sahaja mereka yang berada di dalam Jawatankuasa Tertinggi Gapena, berapa keratkah yang benar-benar tergolong dalam kategori penulis? Justeru kerana itu persatuan-persatuan penulis telah membuat kesilapan dengan membenarkan individu-individu yang tidak berkepentingan menguasai dan mewakili mereka.

Hal ini berlaku kerana ramai di antara kepimpinan peratuan-persatuan penulis ini juga terdiri daripada mereka yang bukan penulis. Kalau ada pun mereka yang sudah lama berhenti menulis. Oleh hal yang demikian mereka juga tergolong dalam kategori yang sama dengan kepimpinan Gapena. Soal kebajikan dan kepentingan para penulis bukan menjadi agenda utama mereka.

Gapena dan kerabat-kerabatnya perlu kepada reformasi dan transformasi. Perubahan perlu berlaku pada semua peringkat. Ianya perlu berlaku pada masa terdekat ini kalau mahu diselamatkan bahtera yang semakin tiris itu. Kesempatannya ialah pada mesyuarat agung 3 Julai nanti.

Perubahan bukan sahaja harus berlaku pada pucuk kepimpinannya, tetapi juga kepada kerabat-kerabatnya. Selama ini kerabat-kerabatnya mengamalkan budaya burung belantuk. Kita perlukan golongan pemikir yang kritis dan berani menegur perkara-perkara yang tidak betul. Teguran bukan bererti ‘melawan’ ketua tetapi manifestasi ‘sayang’ kepada ketua. Sekiranya ketua sudah tidak lagi mahu terima teguran, sudah sampai masanya ketua tersebut digantikan.

Gapena tidak ketandusan pemimpin. “Nobody is indispensible.” Masalahnya ialah ramai di antara pelapisnya berasa segan mahu ‘melawan’ ketua. Apa lagi kalau sudah termakan budi dan ketua itu pula pernah berjasa kepada mereka, malah pernah menjadi munsyi kepada mereka.

Walaupun demikian kita punya ramai penulis muda yang berkalibar dan berpontensi menjadi pemimpin. Kita perlukan tenaga muda yang proaktif dan mempunyai agenda yang selari dengan tujuan penubuhan Gapena. Golongan muda dalam Pena sudah membuktikan kebolehan mereka. Kalau kepimpinan Gapena masih mahu terus bergayut di dahan rapuh, sudah sampai masanya Pena mengambil alih peranan Gapena. Kerabat-kerabat Gapena tentu tidak mahu turut sama jatuh bersama-sama dahan yang rapuh itu.

Marilah kita sama-sama selamatkan Gapena daripada terus karam ke dasar samudera yang bergelora.

Saturday, 22 May 2010

Dinsman Pecah Rekod Pementasan Teater

Sabri Yunus sedang melakonkan watak Kaab bin Malek sementara Sani Sudin mengiringi beliau dengan gesekan biola untuk menaikkan mood lakonan dan pementasan teater MKDT



Sepanjang ingatan, belum rasanya sesebuah teater kontemporari pernah dipentaskan sebanyak 37 kali di 32 tempat berasingan sepanjang tempoh setahun. Hanya Teater Muzikal ‘Puteri Gunung Ledang’ sahaja pementasannya agak lama sedikit, itu pun di tempat yang terhad. Yang lain-lain kebiasaannya antara 3-7 hari sahaja. Oleh yang demikian pementasan teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ (MKDT), layak dimasukkan ke dalam ‘Buku Rekod Malaysia’ kerana pementasannya agak meluas di banyak tempat termasuk di dalam ruang solat masjid.

MKDT adalah teater terbaru Dinsman dan pertama kali dipentaskan di ‘Stor Teater’ DBP, Kuala Lumpur pada 26 Mac 2009. MKDT membawa tema dakwah. Ianya diangkat daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Muslim; mengisahkan peristiwa kegelisahaan Kaab bin Malek, salah seorang sahabat Nabi yang mengabaikan tanggungjawabnya untuk pergi berperang bersama-sama Rasulullah di medan perang Tabuk.

Kecuaian Kaab melambat-lambatkan pemergiannya bersama-sama angkatan perang Rasulullah menyebabkan dia tertinggal untuk bersama-sama dalam peperangan itu. Sikap acuh tak acuhnya itu menyebabkan rasa kesalnya yang tidak berkesudahan, walaupun dia sudah membeli dua ekor unta sebagai kenderaan untuk pergi berperang.

Natijahnya dia bukan sahaja berdepan dengan cemuhan, ejekan dan pemulauan masyarakat sekelilingnya, akan tetapi dia terpaksa berperang dengan emosi dalamannya kerana kecuaiannya itu. Kaab berasa bersalah bukan sahaja kepada Nabi, tetapi juga berdosa kepada Allah Swt. Tekanan perasaannya amat hebat sehinggakan dia terfikir untuk memberi pelbagai alasan dan berbohong kepada Rasulullah. Kaab berdepan dengan dilema, antara berbohong dan berkata benar.

Kaab percaya Allah tetap tahu sama ada dia berbohong atau berkata benar. Akhirnya dia memilih untuk berkata benar. Dia lantas memohon ampun kepada Allah Swt atas kesalahannya serta dosa-dosanya, mengakui kecuaian dan kesilapannya itu. Pengakuan dan taubatnya itu telah mendapat keampunan Allah Swt. Ketika ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ inilah, emosi Kaab berperang hebat dalam dirinya. Kaab berasa lega, akhirnya Allah mengampuni kesalahannya kerana dia berkata benar.

Mesejnya ialah, jangan berbohong, sebaliknya berkata benar. Mesej ini sangat relevan pada setiap masa terutama situasi masyarakat masa kini yang lebih suka berbohong daripada berkata benar. Kerana itu juga teater ini sesuai dipentaskan di mana-mana termasuk di dalam dewan masjid dan surau.

Teater ini memakan masa hanya 45 minit, dilakonkan oleh pelakon tersohor Sabri Yunus dan diiringi dengan gesekan biola oleh Sani Sudin. Ianya lebih tertumpu kepada monolog Kaab yang menceritakan kecuaiannya serta kegelisahannya ketika tertinggal untuk turut sama berperang dengan angkatan perang Rasulullah pada perang Tabuk. Sabri telah berjaya membawa watak Kaab dengan berkesan sehinggakan kesemua pementasan teater ini sebanyak 37 kali, dari Mac 2009 sehingga Mei 2010, (kecuali satu) watak Kaab dilakonkannya. Manakala peranan Sani Sudin hanya mengesek biola bagi tujuan membangkitkan mood lakonan..

Susuk Sabri yang agak agam, tegap serta berkulit sedikit gelap memang sesuai membawa watak Kaab yang berbangsa Arab. Sabri berjaya menghafal skrip yang panjang dengan baik di samping membawa watak Kaab dengan jayanya. Sepanjang setahun ini dia juga telah memperbaiki lakonannya untuk memantapkan lagi watak yang dibawanya.

Bermula dari di Stor Teater DBP, teater ini berhijrah pula ke Istana Kelantan di Kota Bharu pada Majlis Santapan Di Raja pada 30 Mac 2009. Malam berikutnya ianya dipentaskan pula di Dewan Bahasa & Pustaka Wilayah Timur di Kota Bahru. Pada 29 April hingga 3 Mei 2009, lima malam berturut-turut ianya dipentaskan di Auditorium Muzium Negeri Selangor di Shah Alam. Teater ini kemudiannya berkeliling ke seluruh negeri di Semenanjung, kecuali Pahang atas undangan masyarakat setempat.

Rasanya belum tercatat di dalam sejarah sebelum ini sebuah hasil seni seperti teater pernah dipersembahkan di dalam mana-mana masjid di Malaysia, malah mungkin di dunia. Teater ini telah melakar sejarah kerana berjaya menebusi tradisi sebelumnya. Yang lebih uniknya teater ini buat pertama kalinya dilakonkan di dalam ruang solat masjid di Masjid Batu, Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 30 Mei 2009 dengan mendapat sambutan yang sangat menggalakan daripada masyarakat sekitar.

Sehingga kini teater ini sudah pun memasuki di tiga buah masjid iaitu di Masjid Batu, Masjid Al-Amaniah, Batu Caves dan Masjid An-Nur, Bandar Baharu Bangi. Satu di perkarangan masjid, Masjid Jamek An-Najah, Padang Serai, Kedah. Manakala satu di dalam surau sekolah iaitu di Sekolah Agama Menengah Rawang, Selangor. Selainnya di dalam dewan sekolah, dewan teater, pentas terbuka dan di bawah khemah.

Sepanjang persembahan di dalam masjid ianya diiringi pukulan gendang menggantikan biola. Akan tetapi di Masjid An-Nur di Bangi, Jawatankuasa masjid bersetuju membenarkan biola dimainkan dalam teater ini. Ini sesuatu yang mengejutkan dan menggambarkan suatu anjakan pemikiran yang positif terhadap seni teater dan muzik di kalangan sesetengah Ahli Jawatankuasa masjid.

Menurut Dinsman, teater ini memasuki fasa baru apabila watak Kaab akan dilakonkan oleh SN Dato’ A.Samad Said. Sekarang ini Samad Said sedang tekun berlatih dan pementasannya dijangka akan diadakan pada akhir Jun di Auditorium Muzium Negeri Selangor di Shah Alam. Sementara itu usaha-usaha sedang giat dilakukan untuk menjadikan teater ini berbentuk muzikal. Pelakonnya masih tetap Sabri Yunus kerana dia sudah amat serasi dengan teater ini. Sekiranya berjaya teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan-Muzika,’ akan dipentaskan di Kota Bahru pada 11 Jun ini.

Dinsman atau nama sebenarnya Che Shamsuddin bin Othman, seorang aktivis teater yang turut terlibat dalam teater Elit suatu ketika dulu, kini semakin giat menulis skrip drama untuk dipentaskan. Sebelum ini sebanyak 10 buah teater hasil karyanya pernah dipentaskan termasuk teater ‘Bukan Bunuh Diri’ dan ‘Protes’ yang dianggap sebagai teater absurd oleh sesetengah pengkritik teater. Teater-teaternya yang lain ialah; Jebat, Tidak ada jalan dapat menyenangkan……, di Pulau Sadandi, Ana, Projek Ize, Tamu di Medan Perang, Intan (adapatasi dari novel SN. Abdullah Hussein) dan Esok Untuk Siapa? (adaptasi dari filem Jins Shamsuddin).

Dinsman sudah menyiapkan sebuah skrip baru yang diambil dari kisah Al-Quran iaitu kisah Nabi Yusof AS. Malangnya pementasannya tidak dapat dilaksanakan kerana ianya menggunakan ramai pelakon dan belanjanya agak besar. Setakat ini tiada siapa yang sanggup menjadi sponsor kerana kos pementasannya agak tinggi.

Sayang sekali sekiranya skrip teater yang mempunyai unsur Islami ini tidak dipentaskan untuk tatapan umum. Sekarang ini memang sukar untuk mendapatkan skrip yang berunsur Islam di pasaran. Maka skrip teater Kisah Nabi Yusof seharusnya dipentaskan tanpa bertangguh lagi. Ahli korporat dan konglomerat Melayu/Islam harus membantu untuk menjayakan pementasan ini. Bukan teater namanya kalau skripnya tidak dipentaskan.

Tuesday, 11 May 2010

SPAD: Penyelesaiannya di mana?

Pengangkutan Bas di Loughbrough, United Kingdom sangat kerap dan tepat masanya. Lihat lantai basnya amat rendah sekali memudahkan warga tua dan OKU menaikinya. Di Malaysia bas jenis ini sukar diperolehi kerana harganya mahal dan tidak mendapat subsidi daripada kerajaan.

Pengangkutan tram di bandaraya Nottingham, United Kingdom. Gerabaknya banyak dan memudahkan penumpang bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

SPAD: Di mana penyelesaiannya?

Oleh RAZALI ENDUN
razaliendun@gmail.com

Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Akta Pengangkutan Awam Darat sudahpun diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara baru-baru ini. Maka pada 1 Jun 2010 ini, dengan rasminya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD diwujudkan menggantikan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang sekian lama berfungsi mengwujudkan usahawaan bumiputera dalam bidang pengangkutan dengan pemberian pelbagai jenis lesen pengangkutan awam dan lori.

SPAD diwujudkan bukan sahaja atas inisiatif kerajaan, akan tetapi juga atas permintaan pengusaha dan persatuan-persatuan pengangkutan awam. Meskipun salah satu fungsi LPKP mewujudkan usahawaan bumiputera dalam industri pengangkutan, namun matlamatnya tidak kesampaian kerana beberapa kelemahan yang berlaku.

Persatuan dan para pengusaha pengangkutan berpendapat bahawa bidang kuasa LPKP terhad; ianya sekadar mengeluarkan permit semua jenis pengangkutan, itupun bukan berdasarkan mengikut keperluan permintaan berasaskan kepada kajian, akan tetapi lebih kepada banyaknya permohonan yang diterima oleh LPKP. Dengan demikian berlakulah lambakan permit di pasaran menyebabkan keperluan melebihi permintaan. Maka berlakulah segala macam pesaingan yang tidak sihat.

Bidang teknikal seperti pembinaan badan bas, pemeriksaan kenderaan, penguatkuasaan bukan di bawah satu bumbung. Sebaliknya para pengusaha mendepani sebanyak 16 buah agensi kerajaan yang mempunyai kuasa masing-masing untuk menguatkuasakan Akta JPJ/LPKP termasuk Akta atau Enakmen Bandaraya dan Majlis-Majlis Tempatan, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Manusia dan sebagainya.

Maka dengan yang demikian, para pengusaha mengsyorkan supaya kerajaan menubuhkan “One stop Agency” di mana semua agensi yang berkaitan dengan pengangkutan disatukan di bawah satu bumbung. Ianya bukan sahaja bagi memudahkan para pengusaha, akan tetapi menyelaraskan segala yang berkaitan dengan industri pengangkutan di bawah satu pentadbiran, termasuk penguatkuasaan. Kaedah ini juga satu titik mula untuk menyusun kembali serta mewujudkan suatu sistem pengangkutan awam yang efesien, bersepadu dan berkualiti.

Dengan kerajaan sendiri sudah menyedari betapa industri pengangkutan memainkan peranan yang penting bagi membangun ekonomi negara, maka cadangan kerajaan menubuhkan SPAD sangat-sangat dialukan oleh para pengusaha. Ianya bukan sahaja akan memudahkan segala urusan mereka, akan tetapi suatu kaedah sistem pengangkutan dapat diwujudkan untuk rakyat. Manakala rakyat jelata pula mengimpikan suatu sistem pengangkutan awam yang cekap, tepat dan murah bagi memudahkan pergerakan mereka.

Nampaknya kewujudan SPAD tidak menampakkan penyelesaian kepada kemelut yang dihadapi oleh para pengusaha. Jauh sekali menepati apa yang diharapkan oleh persatuan dan rakyat jelata. SPAD sekadar kesinambungan tugasan LPKP dengan bidang yang lebih luas sedikit, mencakupi pengangkutan rel seperti Kereta Api Tanah Melayu (KTM) ERL dan LRT. Justeru kerana itu juga, oleh kerana Sabah dan Sarawak tidak mempunyi sistem rel, maka SPAD tidak merangkumi kedua-dua negeri itu.

Pegawai dan kakitangan SPAD juga terdiri daripada pegawai dan kakitangan LPKP. Malah Menteri dan Pengerusinya adalah sama, kecuali Ketua Pegawai Eksekutifnya encik Mohd Nor Ismail bin Mohd Kamal dan Shahril Moktar selaku Pegawai Eksekutif Operasi yang bukan daripada LPKP.

Penguatkuasaan dalam industri pengangkutan dalam Akta SPAD masih lagi di bawah JPJ, Polis, Alam Sekitar, Sumber Manusia, Majlis Tempatan dan sebagainya. Ini bererti masalah yang di hadapai oleh para pengusaha masa kini akan berterusan sekiranya kaedah penguatkuasaan tidak berada sepenuhnya di bawah satu bumbung. Begitu juga Puspakom tidak dimasukkan secara langsung di bawah SPAD, yang sudah pasti masalah yang dihadapi sekarang tidak akan ada penghujungnya.

Sebelum ini memang ada beberapa kali Unit Perancang Eknomi yang bertanggungjawab mengendalikan kewujudan SPAD berbincang dengan wakil-wakil Persatuan. Kita mengharapkan suatu perbincangan serius diadakan dengan Persatuan untuk meneliti draf Akta tersebut sebelum dibawa ke Parlimen. Akta itu sangat penting bagi kami, ianya ibarat nyawa kami, survival kesinambungan perniagaan kami. Malangnya kami hanya dipanggil untuk diberi taklimat di parlimen pada 6 Mei lalu setelah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Maka tidak ada yang boleh kami perkatakan lagi tentang Akta tersebut, sebaliknya dipaksa menerimanya sama ada suka atau tidak. Taklimat itu untuk memberi tahu pelaksanaannya, bukan mendapatkan pandangan kami tentang Akta itu.

SPAD lebih mementingkan Akta daripada membuat pelan perancangan pengangkutan awam. Tiada kelihatan “Pelan Induk Pengangkutan” (Transport Master Plan) yang dirangka sebelum kewujudan dan Akta SPAD diluluskan. Jauh sekali melakar sebuah Dasar Pengangkutan yang telah didesak oleh Persatuan 20 tahun lalu untuk dijadikan garis panduan kepada para pengusaha dan kerajaan. Malang sekali, setelah 53 tahun merdeka, kita masih tidak mempunyai dasar pengangkutan sebagai matlamat mewujudkan sebuah sistem pengangkutan awam yang efesien dan boleh dipercayai. Yang ada hanya kekalutan sistem yang bercelaru yang tidak tentu hala tujunya.

Memang ada perancangan 20 tahun SPAD untuk mewujudkan sistem pengangkutan ini, akan tetapi ianya hanya akan dirangka selepas SPAD dilahirkan pada 1 Jun ini. Pengusaha mendambakan suatu perancangan yang konfrehensif meletakkan di mana sebenarnya kedudukan dan fungsi mereka dalam industri ini. Oleh kerana ketiadaan Dasar Pengangkutan Negara dan Pelan Induk Pengangkutan dikemukakan sebelum kewujudan SPAD, maka peranan mereka serta hala tuju industri ini masih kabur.


Misalnya apakah peranan Syarikat GLC yang diwujudkan oleh kerajaan pusat seperti Rapid KL dan Rapid Penang di bawah Kementerian Kewangan? Peranan kerajaan-kerajaan negeri yang juga menubuhkan syarikat-syarikat pengangkutan mereka sendiri? (Bas Panorama di Melaka, misalnya). Malah Menteri Pengangkutan sendiri menyediakan van-van di kawasan parlimennya bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada pengundi-pengundi mereka.

Syarikat-syarikat GLC ini menerima subsidi sepenuhnya sama ada daripada kerajaan negeri mahupun Kementerian Kewangan. Manakala para pengusaha tidak mendapat sesen pun subsidi daripada kerajaan, kecuali subsidi disel mengikut kuota yang diluluskan oleh Kementeriaan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. (Di negara-negara maju syarikat pengangkutan diberi subsidi yang tinggi oleh kerajaan).

Kemelut ini menghantui para pengusaha yang telah melabur jutaan ringgit dalam industri ini. Kekalutan ini harus diselesaikan segera agar hala tuju dan matlamatnya jelas supaya para pengusaha lebih yakin terhadap peranan mereka di dalam industri ini.

Itu belum lagi dibicarakan karenah birokrasi yang merugikan banyak masa dan tenaga yang diamalkan oleh LPKP. Kalau orang yang sama berada di situ tentunya kaedah yang diamalkan akan diwarisi seterusnya. Apa lagi kalau sekiranya Pengerusi Suruhanjaya ini dipegang oleh orang politik, bukan profesional di dalam bidang pengangkutan.

Cadangan Datuk Halimaah Sadique, Pengerusi LPKP supaya SPAD duduk kerap berbincang dengan persatuan-persatuan pengangkutan adalah suatu petanda yang positif untuk mencari penyelesaian yang positif juga. Akan tetapi ianya sekadar berbincang bagi menambahbaik pelaksanaan Akta kerana Akta yang menjadi nadi dan nyawa survival kami tidak diminta pandangan kami pun sebelum dibawa ke parlimen. Cuba bayangkan hanya kesalahan melanggar syarat permit dikenakan denda RM 500,000 dan beberapa bulan penjara, pengusaha manakah yang mampu bertahan? Itu belum dikira lagi denda yang tidak selaras, misalnya pengeluaran asap oleh Jabatan Alam Sekitar sebanyak RM 2,000. Karenah JPJ, Polis dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan kadangkala mencabar kesabaran.

Kalau masih banyak lagi jabatan dan agensi kerajaan terlibat secara langsung dalam industri ini secara bersendirian, tanpa di bawah bumbung SPAD, maka amat sukar meramalkan penyelesaian kemelut yang sedia ada. SPAD seolah-olah memakai baju baru bertanda SPAD menggantikan baju LPKP yang sudah lusuh. Mungkin ini suatu pandangan pesimis, sayangnya tiada ternampak petanda optimisme yang tersedia di hadapan mata.

Dengan adanya senario yang serupa di hadapan mata, SPAD tidak akan kemana. Kami masih tidak nampak penyelesiannya di mana?

(Penulis ialah Timbalan Presiden Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) dan Pengerusi Persatuan Penguaha Bas Melaka (MOOA)).


Wednesday, 5 May 2010

Pas dan Muzik

Panel Tazkirah terdiri daripada, kanan Komposer Dahmin, Ustaz Nazmi Karim, Ustaz Riduan Mohd Nor dan moderator Hilmi Riduan pada program santai bersama Mat Motor.

Pada 2001, kira-kira 15 orang para seniman, budayawan dan penulis mengadakan pertemuan dengan Tuan Guru Nik Abd Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul ‘Am Pas untuk mendapatkan pandangan dan penjelasan beliau berkaitan dengan alat muzik dan juga bentuk hiburan yang dibenarkan oleh Pas.

Pertemuan itu diadakan kerana para budayawan dan seniman masih keliru dengan pendirian Pas tentang alat muzik dan bentuk hiburan yang dibenarkan oleh Pas. Ada di antara para ulama di dalam Pas masih menentang hiburan konvensional apa lagi menggunakan alat muzik terutama yang bertali. Tiada kesepakatan di dalam hal ini, maka terjadilah ketidaktentuan di dalam hal-hal kesenian, kebudayaan dan hiburan.

Nasir Jani membangkitkan kegusarannya, katanya kalau Pas berkuasa di peringkat nasional, jenis dan bentuk hiburan yang bagaimanakah yang dibenarkan oleh parti Islam itu. Manakala penyanyi Ito berpendapat bahawa alat muzik bertali seperti biola dan gitar tidak bercanggah dengan hiburan Islam. Tuan Guru Nik Aziz tidak memberikan kata putus, sebaliknya menyatakan perkara itu adalah khilaf ulama. Oleh kerana suasana politik ketika itu belum mengizinkan beliau memberikan kata putus, maka pertemuan itu hanya menjadi kunjungan hormat sahaja.

Hampir sedekad selepas itu, perkembangan hiburan dan muzik di dalam Pas menjurus ke arah yang lebih positif sebagai pernyataan arah tuju bentuk hiburan yang dibenarkan oleh Pas. Di Kelantan sendiri, walaupun beberapa jenis hiburan seperti dikir barat, wayang kulit dan mak yong tidak dibenarkan pada peringkat awal kerana ianya mengandungi hal-hal kurafat, namun kesenian itu terus dibenarkan dengan penyesuaian semula selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Konsert kontemporari juga dibawa ke Kelantan dengan penyanyi-penyanyi terkenal tanah air seperti Mawi, M. Nasir, Jay Jay dll, serta kumpulan nasyid bagi menghiburkan golongan muda di negeri itu. Pada konsert itu, meskipun penyanyi wanita tidak dibenarkan bernyanyi di atas pentas, namun penggunaan alat muzik yang pelbagai termasuk gitar dan biola diizinkan. Maka dengan hal yang demikian, tanpa banyak bicara, Pas sebenarnya tidak menghalang penggunaan alat muzik kontemporari sebagai hiburan.

Ini dikuatkan lagi dengan keizinan Prof. Datuk Dr. Haron Din membenarkan biola dimainkan untuk mengiringi teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ di surau Al-Nur di Bangi baru-baru ini. Selama ini hanya gendang digunakan menggantikan gesekan biola apabila teater itu diadakan di dalam masjid atau surau. Ini bererti alat muzik bertali seperti biola sudah diterima oleh Pas walaupun dimainkan di dalam masjid.

Pas juga baru-baru ini telah membenarkan TV 3 membawa acara popularnya ‘Jom Heboh’ ke Kelantan dengan mengikut garis panduan hiburan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan Pas. Ianya masih tidak membenarkan artis wanita bernyanyi di atas pentas, namun irama muziknya masih diberi sedikit kebebasan. Namun kelainan yang paling ketara ialah pengasingan penonton di antara lelaki dan perempuan dan yang berkeluarga. Konsep pengasingan ini harus dikekalkan kerana ianya suatu kelainan yang sukar dipraktikkan oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain.
Pada Sabtu 1 Mei lalu, Pemuda Pas Shah Alam telah mengadakan sebuah program yang diberi nama, ‘Program Sembang Santai Bersama Generasi Idaman Selangor’ di Dataran Shah Alam. Program ini bertujuan untuk menarik minat generasi muda terutama Mat-Mat Motor untuk sama-sama berhibur sebagai santapan jiwa. Program itu berjaya menarik perhatian kira-kira 200 orang Mat Motor serta lain-lain khalayak berkumpul, menyertai serta mendengar nyanyian-nyanyian yang dipersembahkan.

Pengisian program itu sesuatu yang menarik, disamping hiburan yang dipersembahkan, ianya disulam dengan tazkirah secara santai oleh dua orang ustaz muda dan seorang komposer lagu. Mereka ialah ustaz Riduan Mohd Nor, ustaz Nazmi Karim dan Komposer Dahmin. Tazkirah itu tidak pula secara serius, diselang seli dengan nyanyian dan bacaan sajak supaya penonton tidak berasa bosan. Ustaz Nazmi menyampaikannya pula mengikut loghat pertuturan bahasa golongan muda. Mungkin untuk membuktikan bahawa para ustaz tidak menyisihkan golongan Mat Motor. Pengerusi panel sdra Hilmi Riduan berjaya mengendalikan sesi tazkirah itu disamping mengacara acara pada malam itu.

Yang lebih menarik malam itu diisi dengan lagu-lagu irama rock yang dinyanyikan oleh Ringgo Arrow. Petikan gitar juga mengiringi nyanyian Ringgo dan Dahmin. Ianya diselang seli dengan deklamasi dua buah sajak oleh sdra Razali Endun dan Ibu Lin (Norazlin, isteri Dr. Dzulkefly Ahmad). Norazlin diiringi tiupan seruling berusia 50 tahun yang ditiup oleh seniman veteran encik Hashim Salim. Malam itu sebenarnya menonjolkan pelbagai rentak muzik termasuk seruling secara langsung.
Usaha proaktif golongan muda di dalam Pas terutama usatz-ustaz mudanya adalah suatu perkembangan yang positif. Perkembangan mutakhir ini adalah manifestasi konsep atau hala tuju Pas terhadap seni muzik dan hiburan yang mula boleh diterima oleh kepimpinan parti itu.

Pas memang masih belum ada lagi dasar rasmi kesenian dan kebudayaan untuk dijadikan panduan para muslimin dan muslimat. Justeru itu dikhabarkan Lajnah Kesenian dan Kebudayaan yang dipimpin oleh Dr. Dzulkefly Ahmad telah diberi lampu hijau oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk mengaktif dan membuat garis panduan tentang hiburan, kesenian dan kebudayaan.

Kebudayaan mencakupi semua aspek bidang seni, oleh itu ianya harus diberi tumpuan dan penglibatan oleh semua peringkat di dalam hierarki Pas. Dalam kita mahu menserasikan kebudayaan Malaysia yang pelbagai dalam konsep ‘Pas Untuk Semua,’ kita tidak seharusnya mengkesampingkan kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan Nasional seperti termaktub di dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan Malaysia. Semoga Pas berjaya membentuk suatu dasar kebudayaan kebangsaan yang boleh menjadi contoh.

Monday, 3 May 2010

Aku sebenarnya menghadapi 'mental block'. Sudah lama tidak 'update' blog ini kerana rasa malas mahu berfikir lebih-lebih lagi menghadapi situasi yang kalut dalam masyarakat kita. Malas mahu mengulas keputusan PRK Hulu Selangor. Malas mahu menulis berkaitan dengan politik, sosial dan yang seumpamanya. Apa lagi tentang tembakan polis terhadap remaja 15 tahun dan pelbagai karenah blogger kickdefela. Aku pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku di Kelantan, selain karenah kickdefela, ada semacam tidak tenteram berlaku dalam keluarga di raja Sultan Kelantan. Mutakhir ini sampai berlaku kejadian tembak menembak terhadap pengawal istana. Harap-harap tidak berlaku kejadian yang lebih parah pagi. Duduklah berdamai dan berundiang sesama keluarga dan adik beradiak di dalam istana. Jagalah nama baik Sultan dan istana Kelantan. Nanti akan saya cuba tulis dalam blog ini kalau mental block sudah dapat dirobohkan. Walahualam!

Tuesday, 13 April 2010

'Puisi Riong' Cemar Estetik Puisi

Puisi, seperti juga genre sastera yang lain mempunyai nilai estetik seninya tersendiri. Selain diksi dan ritma, puisi juga membawa pemikiran penciptanya. Puisi bukan sekadar susunan kata-kata, tetapi mempunyai nilai seni yang tinggi lagi puitis sifatnya. Justeru itu bukan semua orang boleh mencipta puisi dan bukan semua orang pula boleh dikategorikan sebagai penyair.

Penyair yang tulin serta jujur mencipta puisi mereka dengan penuh perasaan dan keindahan. Puisi yang baik bukan sekadar gelojak emosi, tetapi mempunyai pemikiran dalam hasil ciptaannya. Susunan diksinya serta ritma yang tepat dan indah disulam pula dengan mesej yang hendak disampaikan, menjadikan puisi suatu ciptaan yang tinggi nilai estetik seninya. Penciptaan puisi lahir dengan sendirinya, dari kemurnian sanubari yang luhur lagi tulus sifatnya. Puisi tidak lahir dari paksaan, kerana itu bukan puisi. Puisi juga bukan alat propaganda, bertujuan membodek atau memuji sesuatu puak.

Ambil contoh sahaja pantun-pantun ciptaan para seniman yang terdahulu. Betapa indah dan cantiknya susunan kata-kata yang mengandungi makna yang tersirat di sebalik yang tersurat. Sajak-sajak Sasterawan Negara Usman Awang satu lagi contoh yang baik. Di sebalik kata-kata puitisnya mengandungi sindiran tajam kepada masyarakatnya. Sajak-sajak beliau bukan sahaja indah, tetapi sangat sinis maksudnya kepada masyarakatnya.

Puisi harus dihidup dan disemarakkan. Puisi bukan milik penyair kerana ianya dicipta untuk masyarakatnya. Puisi dan sastera harus dibawa kepada masyarakatnya. Justeru usaha murni Kumpulan Berita Harian menghidupkan semula ‘Malam Puisi Riong,’ bertujuan untuk merakyatkan genre puisi kepada khalayak sangat-sangat dihargai. Para penyair serta sasterawan menyambut baik usaha murni ini. Berita Harian sebagai badan korporat yang terlibat secara langsung dalam kegiatan penulisan dan sastera mampunyi kemampuan untuk mengadakan persembahan seperti ini secara besar-besaran. Atas kemampuannya itulah, maka Malam Puisi Riong diadakan setiap bulan di setiap negeri.

Bermula di pejabat Berita Harian di Jalan Riong, Kuala Lumpur, ianya bertandang ke universiti-universiti yang berada di tanah air. Di Universiti Utara Malaysia (UUM), di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Universiti Teknologi Mara, Skudai dan pada 7 April lalu di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka (UTeM).

Ini adalah satu usaha yang proaktif dan wajar apabila puisi dibawa kepada mahasiswa universiti. Umum telah maklum bahawa bidang sastera menghadapi zaman pudar di kalangan mahasiswa universiti. Ramai di antara mereka sudah hilang selera terhadap genre sastera ini. Ada di antara mereka tidak kenal pun siapa Sasaterawan Negara kita. Maka usaha BH mendedahkan mereka kepada dunia pemuisian adalah tepat sekali, lebih-lebih lagi di kalangan mahasiswa dalam aliran sains dan teknologi.

Akan tetapi sayangnya, usaha murni ini kerapkali dicemari dengan puisi-puisi yang entah apa-apa isinya. Ianya sekadar susunan kata-kata yang tidak punya nilai seni langsung, semata-mata bertujuan mengampu para pemimpin politik yang hadir. Tambah jelik lagi apabila orang politik juga turut sibuk mencipta dan mendeklamasikan pusi-puisi mereka, bukan mencantikkan tetapi menjelikan lagi suasana. Oleh kerana terlalu ramai yang ingin membaca sajak-sajak mereka, maka kerana itu atur caranya menjadi padat sehinggakan jam 12 tengah malam masih belum selesai acara itu. Program yang bertujuan menarik minat khalayak, akhirnya menimbulkan kebosanan pula. Maka sebab itu sebelum selesai acara, banyak kerusi sudah kosong di dalam Dewan Besar Utem.

Ini berlaku di Utem, Melaka baru-baru ini. Mengikut atur cara program itu sepatutnya selesai pada jam 10.30 malam, melalut-lalut pula melepasi tengah malam. Tidak mengapa kalau kesempatan itu diberikan kepada para mahasiswa mencipta dan menonjolkan diri di atas pentas, meskipun puisi mereka kurang bermutu. Program itu pun bertujuan menarik minat para mahasiswa supaya mendekati sastera. Maka peluang yang lebih seharusnya diberikan kepada mereka, bukan kepada pemimpin-pemimpin politik memonopolinya.

Sastera itu indah dan halus sifatnya. Kehalusan dan keindahan itu janganlah dicemari oleh mereka yang bukan pakar dalam bidang itu. Biarkan mereka yang ada kemahiran dan kepakaran tampil untuk mempamerkan betapa indah dan seninya setiap patah kata puisi yang mempunyai makna yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Melaka tidak tandus dengan para penyair yang cantik dan indah puisi mereka. Nama-nama seperti Mokhtar Yassin, Aladin Mohamad, Aidid Abd. Rahman, Abd. Rani Embi, Ehsan Jamily, Osman Dol, Arbak Othman adalah di antara ramai para penyiar Melaka yang masih boleh diketengahkan. Malangnya pemilihan para penyair pada malam itu dimonopoli juga oleh sebuah persatuan penulis sahaja.

Apapun usaha murni ini harus diteruskan dengan sedikit perubahan penyampaian dan pendekatannya. Kita percaya bukan sedikit wang dibelanjakan oleh BH dan para sponsernya untuk menjayakan Majlis Baca Puisi Riong setiap bulan. Ada lebih baik kegiatan baca puisi ini dikurangkan menjadikan tiga bulan sekali, kerana majlis seperti ini memang ada dilakukan oleh persatuan-persatuan penulis negeri dan daerah. Pena mengadakannya setiap bulan. Di Melaka juga sudah dilakukan setiap bulan di Banda Hilir. PEN di Negeri Sembilan juga ada acara seperti ini. Persatuan Penulis Johor (PPJ) juga giat mengadakan acara baca puisi. Begitu juga yang lain-lain.

Lebihan baget itu dijadikan tabung untuk mengerakkan lagi bidang kesusasteraan supaya lebih bermakna lagi. BH seharusnya mewujudkan Hadiah atau Anugerah Sastera setiap tahun seperti apa yang dilakukan oleh Kumpulan Utusan. Peraduan menulis novel, misalnya. Ini akan lebih bermakna lagi supaya menjadi perangsang kepada para pengarang berlumba-lumba menghasilkan karya sastera yang lebih bermutu.

Thursday, 8 April 2010

Dr. Mahathir dan Perkasa

Dr.Mahathir dan Perkasa


Saya rasa terpanggil mahu melanjutkan perbincangan tulisan Azizi Hj. Abdullah dalam ‘kolumtepi’ Harakah Bil. 1528, halaman F21 yang diberi judul, “Yang buta datang berpimpin.” Tajuknya sahaja berunsur sinis dan simbolik. Ianya semacam membawa pengertian bahawa khalayak yang menghadiri majlis perasmian ‘Perkasa’ baru-baru ini di PWTC adalah mereka yang buta dan dipimpin pula oleh orang yang juga buta.

Saya juga berada di PWTC pada ketika itu menghadiri pesta buku antarabangsa, dan memang benar yang hadir pada majlis perasmian itu kebanyakannya mereka yang sudah pikun, terbongkok-bongkok dan menggunakan tongkat. Kalau dilihat dari segi fizikal, mereka bukanlah orang yang perkasa dalam serba serbinya.

Buta dalam konteks ini bukan buta penglihatan tetapi buta tentang sejarah yang dilakar sendiri oleh pemimpin yang buta mata hatinya yang cuba meletakkan kesalahan pada pundak orang lain atas kesilapan yang dilakukannya. Pemimpin itu seperti orang buta yang memimpin sekumpulan orang buta yang lain dan memberi pelbagai tafsiran pada seekor gajah.

Saya amat bersetuju dengan Azizi bahawa tidak terdapat ciri-ciri intelektual dalam ucapan perasmian Dr. Mahathir, melainkan meratap-ratap dan merintih-rintih tentang nasib orang Melayu yang tidak terbela, ekonomi orang Melayu masih terkebelakang, pelajaran anak Melayu jauh ketinggalan, dan kepimpinan Umno lemah. Dia juga menyentuh tentang rasuah dan biasiswa anak Melayu, seolah-olah cuba melupakan bahawa perkara itu tidak berlaku pada era pemerintahannya. Dr. Mahatahir melahirkan semuanya itu bagaikan dia tidak berada dalam Umno dan tidak pernah memimpin parti Melayu itu.

Sepanjang 22 tahun memegang tampuk kuasa nombor satu dalam pemerintahan negara, terpanjang dalam sejarah Perdana-Perdana Menteri sebelum dan selepasnya, tidakkah dia terfikir tentang perkara ini? Sekiranya dia sedia maklum tentang kepincangan bangsa Melayu, apakah yang telah dilakukannya? Sebaliknya dia telah memusnahkan bahasa Melayu apabila mengarahkan dasar PPSMI dilaksanakan.

Rasuah meroyak ketika pemerintahannya. Politik wang menjadi pekung dalam Umno pada masa kekuasaannya. Biasiswa untuk anak Melayu ditarik balik ketika dia di puncak kuasa. Dasar Ekonomi Baru (DEB) ditamatkan dan Bank Bumiputra menemui ajalnya ketika dia berada di mercu kuasa. Mengapa dan kenapa dia tidak berbuat sesuatu untuk menghalang perkara ini berlaku? Pada ketika dia memegang kuasa dan Umno menjadi tonggak kepada Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ini, dia tidak boleh melakukan sesuatu untuk membela nasib orang Melayu? Apakah yang bisa dilakukan apabila kuasa sudah tidak berada di tangannya lagi?

Memang benar sudah ada orang Melayu menjadi kaya raya, menjadi ahli korporat dan konglomerat, tetapi berapa ramai dan siapa mereka? Mereka adalah kroni-kroni pemimpin-pemimpin Umno sendiri, saudara mara, anak beranak dan seumpamanya. Kita tidak hairan sekiranya mereka ini naik sebagai usahawaan tulin, akan tetapi ramai di antaranya adalah usahawan yang dicekup semborono dan dilantik sebagai CEO dalam bank-bank atau syarikat-syarikat yang dikuasai kerajaan (GLC).

Tak mengapalah, itu kisah zaman Dr. Mahathir memerintah dahulu. Apakah kesilapan yang sama masih dilakukan oleh pengganti-penggantinya? Nampaknya itulah yang berlaku sekarang. Tidak nampak perubahaan yang jelas, sebaliknya dasar yang lama masih diteruskan. Barangkali Dr. Mahathir sudah sedar kesilapannya, maka dengan itu dia cuba menutupi kesilapan itu dengan menyalahkan kepimpinan selepasnya. Seolah-olah kemelut orang Melayu yang masih berterusan bukan bermula pada zamannya. Sebab itulah Azizi meluahkan kemarahannya dengan mencipta sebuah cerpen yang berjudul, “Si Pikun Itulah,” supaya masyarakat tidak melupakan dosa-dosa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir.

Jujurkah Dr. Mahtahir dalam tegurannya? Amat disangsikan kejujurannya kerana umum melihat dia hanya semata-mata mahu mengekalkan momentum kepopularitiannya dari pandangan umum. Dia tidak mahu tenggelam dalam arus gelombang politik tanah air dan dunia yang semakin ruwet ini.

Apakah ‘Perkasa’ pimpinan Ibrahim Ali dapat lakukan untuk membela orang Melayu? Saya tidak fikir ‘Perkasa’ atau Ibrahim Ali dapat melakukan sesuatu yang drastik yang boleh menukar dasar Umno/BN. Seperti juga Dr. Mahathir, Ibrahim Ali mencari tempat yang boleh terus mengapungkan popularitinya di kalangan orang Melayu dengan menubuhkan ‘Perkasa’ yang kononnya memperjuangkan hak dan ketuanan Melayu.

Dalam arena politik, Ibrahim Ali sudah dapat melihat jalur-jalur gelap dalam perjalanan dunia politiknya. Dia tidak akan dipilih semula oleh Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti kerana melanggar akujanji. Dalam Umno, kemungkinan dia dipilih sebagai calon amat tipis kerana ramai ahli Umno sudah lama menunggu untuk dicalonkan. Lagipun sejarah kesetiaan beliau dalam Umno sudah diketahui ramai di kalangan ahli-ahli Umno sendiri. Ramai ahli-ahli Umno menaruh sangsi terhadap beliau. Untuk menjadi calon bebas, waimah di tempatnya sendiri, di Pasir Mas, dia tidak mungkin akan menang. Maka untuk mempersiapkan supaya nama beliau tidak tenggelam dalam dunia politik orang Melayu, maka ‘Perkasa’ lah tempat dia bernaung untuk terus bernafas sebagai alat penyelamat mengapungkan kepopularitiannya di kalangan orang Melayu.

Kalau pun benar ketuanan dan hak keistimewaan orang Melayu sudah terhakis, siapakah yang menghakisnya? Sudah tentu Umno/BN yang berkuasa. Sebagai presiden Umno dan Perdana Menteri yang berkuasa penuh, Mahathirlah sepatutnya memikul tanggungjawab itu. Kenapakah perkara ini berlaku pada ketika kuasa politik berada di tangan pemimpin Melayu/Umno? Kenapa Ibrahim Ali tidak mempertahankan hak dan ketuanan Melayu ketika beliau masih berada dalam Umno? Apa ‘Perkasa’ boleh lakukan di luar kuasa pemerintahan, kecuali melaung, meratap dan merintih sebagai kesinambungan manifestasi kewujudannya di kalangan orang Melayu.

Dari segi teori politik, umum melihat ‘Perkasa’ menjadi alat kepada Umno. Kewujudan ‘Perkasa’ adalah strategi politik Umno untuk menarik semula sokongan orang Melayu kepada Umno. Ini dikuatkan dengan ramainya penyokong dan ahli Umno sendiri menganggotai ‘Perkasa.’ Hala tuju perjuangan ‘Perkasa’ sehaluan dengan perjuangan dan ideologi Umno. Kebebalan politik Umno mahu diserapkan di dalam ‘Perkasa’ dan ‘Perkasa’ pula cuba memikat sokongan orang Melayu dengan mempropagandakan kononnya mempertahankan hak keistimewaan dan ketuanan Melayu.

Maka orang Melayu pun turut sama dibebalkan oleh pemimpin-pemimpin bebal ini yang membawa mereka kepada alam fantasi Mat Jenin dan tidak berjejak di bumi nyata. Orang Melayu terus diperbodohkan dengan slogan-slogan yang retorik, yang hanya disanjung, dinyanyi dan didendangkan ketika pemimpin yang mencipta slogan itu masih berkuasa. Selepas tidak berkuasa, tiada siapa yang peduli dan hiraukan lagi slogan-slogan itu. Ini bukan andaian tetapi sudah terbukti berlaku.

Apakah orang Melayu begitu bodoh sekali dengan muslihat ini? Saya yakin orang Melayu sekarang tidak lagi sebodoh orang Melayu pada era tahun 60 an dahulu. Akan tetapi tidak juga boleh dinafikan, ada juga segelintir orang Melayu yang sanggup diperbodohkan oleh pemimpin-pemimpin politik yang ‘bankrap’ idea dan bebal ini.

Mereka yang hadir pada perasmian ‘Perkasa’ di PWTC baru-baru ini telah ditiup semangat mereka persis meniup air di dalam gelas menggunakan ‘straw’, yang timbul hanya buih-buih yang terapung di permukaan air. Kehadiran ramainya mereka yang sudah renta, rumah kata pergi, kubur kata mari; menjadi petanda bahawa perjuangan ‘Perkasa’ tidak akan sampai ke mana-mana. Ianya hanya penuh dengan retorik dan semangat keMelayuan yang berkobar-kobar dalam alam ilusi mimpi yang mengasyikkan.

Cerpen

Too Wah 901



Angka 901 adalah angka sial bagi Baba Too. Angka sueh! Angka yow shu, kata masyarakat Baba Melaka.

Dulu Baba Too tidak percaya dengan keberkatan atau kesialan angka. Itu tahyul, katanya. Itu hanya mainan perasaan orang-orang Cina. Baba Too tidak macam masyarakat Cina yang lain yang menganggap angka itu boleh membawa tuah. Boleh menjadikan seseorang itu menjadi kaya. Masyarakat Cina juga beranggapan angka juga boleh membawa sial.

Bagi masyarakat Cina, angka-angka ganjil seperti nombor 1, 3, 5, 7, 9 dan seterusnya merupakan nombor-nombor yang membawa ‘ong’. Kalau angka kahwin seperti 1111 atau 3333 atau 5555 dan seterusnya amat digemari oleh masyarakat Cina kerana ‘ongnya’ berlipat kali ganda. Maka sebab itu tauke-tauke Cina yang kaya raya sanggup membeli angka sedemikian daripada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk kenderaan-kenderaan mereka, walaupun dengan harga ratusan ribu ringgit. Harga membeli nombor ini kadangkala sama kosnya membina sebuah rumah kos sederhana.

Fenomena gila nombor ini sudah berjangkit kepada sesetengah golongan elit Melayu yang kaya. Mereka turut sama berebut-rebut menender nombor-nombor yang dikatakan ada ‘ong’ ini. Masyarakat Melayu yang miskin pula berebut-rebut membeli nombor-nombor di kedai-kedai yang menjual nombor ekor bagi bertikam nasib untuk menjadi kaya. Fiil ini sudah meresap ke dalam perangai kebanyakan masyarakat Melayu elit dan menjadikan masyarakat Melayu yang miskin menjadi malas, hanya mahu bergantung nasib kepada tuah nombor-nombor yang mereka beli. Demikianlah peranan nombor mempengaruhi kehidupan manusia untuk menentukan nasib mereka.

Bagi masyarakat Cina angka-angka genap dianggap tidak ada ‘ong’ dan kadangkala membawa sial. Maka sebab itu masyarakat Cina tidak berapa suka dan pantang dengan nombor-nombor sebegini yang dianggap akan membawa sial dalam kehidupan mereka.

Baba Too tidak ambil pusing pun tentang pantang larang masyarakat Cina ini. Sebab itu juga dia menggunakan nombor 4444 pada kereta Mercedesnya. Orang Cina sangat pantang dengan nombor sedemikian. Kata mereka itu nombor sial. Nombor sueh. 4444 bererti mati, mati, mati, mati.

“Empat kali mati, loo!” ujar nonya Too, isteri Baba Too semacam mengeluh apabila mengetahui kereta baru suaminya menggunakan nombor itu. “Kenapalah lu ambil nombor ini. Tak ada nombor lain kah!” tempelak nonya Too. Dia meracau-racau macam orang kerasukan sambil mengenyeh muka dan rambutnya. Biji matanya tercerlung dan rambutnya terburai menutupi sebahagian mukanya bagaikan watak pontianak di dalam filem.

“Alah, lu jangan percayalah benda-benda karut tu! Bukan nombor yang menentukan nasib kita. Nasib kita terletak di tangan kita. Kalau kita tidak berkerja kuat, nasib kita tidak akan berubah.” Baba Too masih pertahankan pendapatnya menolak kepercayaan tahyul masyarakat Cina itu.

“Tapi, ini kepercayaan nenek moyang kita. Berdosa kita kalau tak ikut kepercayaan nenek moyang. Hidup kita tidak berkat. Sueh sepanjang hidup!” tempelak lagi nonya Too dengan suara sebal menyesak dada.

Baba Too pekakkan telinga. Dia tidak mahu melayan karenah isterinya yang sangat percaya pada perkara-perkara tahyul itu. Baginya nasib seseorang itu terletak kepada daya usahanya sendiri. Manusia mesti berkerja keras untuk mengubah nasib mereka. Ini dibuktikan oleh datuk Baba Too ketika datang di Malaya dulu dengan sepasang selipar dan sebuah topi rotan petani Cina. Mula-mula dia berkerja sebagai penarik beca. Kemudian menyewa sekeping tanah orang Melayu dan mengusahakan pertanian di situ.

Sepuluh tahun kemudian dia berjaya membeli tanah kebun orang Melayu itu. Bekas tuan tanah itu menjadi pula kuli pada datuk Baba Too. Dua puluh tahun kemudian datuknya sudah menjadi tauke getah pula menguruskan pembelian dan penjualan getah keping dan sekerap. Kekayaan datuknya itulah yang diwarisinya sekarang sehinggakan mereka berjaya membina empayar perniagaan dalam pelbagai bidang dengan menggunakan jenama Syarikat Keluarga Too.

Bagi Baba Too nombor 4444 itu bukan membawa sial kepadanya. Semenjak menggunakan nombor itu nasibnya semakin baik. ‘Ong’nya bertambah-tambah. Kekayaannya berlimpah ruah. Malah dia disanjung pula oleh masyarakatnya dengan meletakkannya sebagai Pengerusi sebuah Tokong Cina yang terkenal di ibu kota. Dia diletakkan di situ sebagai penghormatan dan mengenang jasanya kerana memberi derma terbesar bagi pengurusan tokong itu. Malah dia menetapkan sekian ribu ringgit untuk didermakan kepada tokong itu.

Sehinggalah pada suatu hari meletup berita besar tentang dirinya. CD dan VCD terdapat di pasaran di seluruh negara dengan tajuk, ‘Skandal Seks Tauke Too.’ Kisah dan cerita ini sudah tersebar luas di semua media. Di tv, di dalam akhbar malah di dalam blog-blog juga menjadi berita utama. Di dalam blog lagi kurang ajar, ada yang menyiarkan gambar dia sedang bersenggama dengan seorang gadis Cina di sebuah hotel.

Dia masih ingat nombor bilik yang disewannya itu ialah 901. Baru dia terperasan, angka inilah yang membawa sial kepadanya. Sejak itu angka itu menghantuinya. Angka itu memusanahkan nama baiknya di kalangan korporat dan konglomerat serta jemaah tokongnya. Dia terpaksa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Tokong dan Lembaga Pengarah dalam syarikat-syarikat yang dianggotainya. Dan dia mula pula mahu mempercayai bahawa angka-angka memain peranan dalam menentukan nasibnya.

Dia berasa diaibkan. Sangat memalukannya dan keluarganya. Dia pasti ini kerja-kerja busuk musuh-musuhnya dalam perniagaan dan kepimpinan tokongnya. Mereka sanggup menyembunyikan kamera di dalam bilik 901 untuk merakamkan perlakuan yang dianggap milik peribadinya. Permainan santai ketika waktu lapangnya. Dia tidak menganggap itu perkara salah. Itu hak peribadinya. Orang lain tidak ada hak mencerobohi hak perbadinya. Kurang ajar betul mereka ni! Baba Too terus merungut memarahi kebiadaban musuh-musuhnya.

“Kan gua sudah bilang dulu, nombor itu sueh! Nombor itu bererti mati, mati! mati! Dan sekarang matilah kita!” rungut nyonya Too seperti tidak ada esok baginya.

Dia berasa kesal setelah mengetahui skandal seks suaminya. Kenapalah suaminya melakukan perbuatan terkutuk itu. Sudah tuakah dia? Sudah tidak menarik lagikah dia pada pandangan suaminya. Setahunya dia tidak pernah menolak kemahuan suaminya apabila keinginannya memuncak. Apalah sial yang terpalit pada maruah keluarganya? Atau sial itu kerana kerenyaman suaminya, ataupun kerana kesialan angka-angka itu?

“Jualkan saja kereta itu. Jualkan nombor yow shu itu! Nombor itu bawa petaka pada keluarga kita,” nonya Too bagaikan beri perintah. Baba Too bungkam.

“Ini bukan kerana nombor itu. Ini kerana kesilapan gua dan kerja keji yang dilakukan mereka untuk merosakkan nama baik gua dan keluarga kita,” Baba Too cuba mententeramkam keberangan isterinya.

“Gua percaya satu hari nanti kebenaran akan muncul. Tuan-Alah itu kaya. Kita tunggu dan lihat,” pujuk Baba Too lagi.

“Tidak ada gunanya lagi kebenaran setelah nama kita dirosakkan,” sungut nonya Too dengan esakan tangis yang betele-tele.

Baba Too tersentak bagaikan terkena kejutan elektrik apabila dia terdengar angka 901 dilaungkan tersangat kuatnya di dalam dewan itu. Orang ramai bertepuk tangan. Riuh randah dewan itu dengan bunyi tepukan yang bergemuruh. Beberapa orang penyokongnya datang meluru ke arahnya, lantas menjulangnya tinggi sehinggakan dia menjadi terpinga-pinga.

“Baba Too mendapat sebanyak 901 undi. Dengan yang demikian, jawatankuasa Tokong ini mengisytiarkan bahawa Baba Too memenangi jawatan Pengerusi Tokong bagi tempoh 2010/2013,” demikian pengumuman lanjut pengacara majlis pada pemilihan itu.

Baru Baba Too perasaan bahawa dia sudah memenangi Jawatan Pengerusi Tokong dengan mendapat undi terbanyak mengatasi lawan-lawannya. Dia menerima sebanyak 901 undi. Dia tidak sangka boleh memenangi pengundian itu. Apa lagi skandal seksnya masih kuat terpahat dalam ingatan masyarakatnya.

Ternyata moral tidak lagi menjadi penentu kepada karier kehidupan manusia kontemporari. Ternyata juga angka 901 membawa tuah kepadanya. Angka itu bukan angka sial baginya. Angka yang dulu sial, kini membawa ‘ong’ kepadanya.

Dia juga menjadi pelik undi yang dimenangi itu bersamaan dengan nombor bilik hotel yang disewanya ketika melakukan permainan santainya. Apakah ini satu kebetulan, atau memang nasibnya ditentukan oleh angka itu?

Isterinya menerkam ke arahnya sebaik-baik sahaja dia diletakkan semula di atas lantai dewan itu setelah dijulang tinggi oleh penyokong-penyokongnya. Isterinya memeluk erat tubuhnya. Dia mengucup bibir kering isterinya.

“Angka hanya ramalan, bukan penentuan,” bisik Baba Too di telinga isterinya. Nyonya Too menyungging senyum.

Monday, 5 April 2010

Selamat berjumpa kembali

Asalamulaikum! Selamat bertemu kembali. Maaf, sudah lama saya tidak kemas kini blog ini kerana terikat menyiapkan manuskrip novl Insyallah, saya akan kemas kinikan blog ini pada masa yang terdekat. Selamat berumpa kembali di alam maya.

Saturday, 6 March 2010

PKR lalibiliti pada Pakatan rakyat?

Senario politik masa kini amat bercelaru sekali. Nampaknya ahli parlimen PKR ramai yang keluar parti. Walaupun mereka belum lagi masuk Umno/BN, namun mereka menjadi calon bebas, dan yang pastinya menyokong BN. Fenomena ini merugikan PR kerana dari segi moralnya, PR terjejas amat teruk sekali. Mungkin ada benarnya apabila Anwar Ibrahim mengatakan bahawa parti sudah tersalah pilih calon pada PRU 12 dahulu. Semua mengetahui kebanyakan calon-calon PKR pada PRU 12 adalah tangkap muat sahaja. Mereka sendiri tidak menyangka akan memenangi banyak kerusi seperti yang diumumkan. Akan tetapi bagi saya, PKR sendiri belum kukuh hala tuju dan ideologi politiknya dan dijadikan tohmahan oleh Umno, iaitu PKR menjadi alat DAP atau menjadi 'budak suruhan' kepada orang-orang Cina.

Sebab yang lain, kebanyakan yang menyokong PKR ialah bekas ahli Umno. Mereka sudah tidak diperlukan atau tidak mendapat apa-apa jawatan atau peluang untuk mendapat jawatan dalam Umno amat tipis, oleh kerana itu mereka masuk PKR. Mereka hanya tukar baju, dulu pakai baju Umno, sekarang pakai baju PKR. Namun hati nuraini mereka masih berkiblatkan Umno.

Apa yang berlaku sekarang iaitu krisis keluar parti atau melompat parti sebenarnya dimulakan oleh Anwar Ibrahim sendiri. Saya sendiri amat tidak bersetuju apabila Anwar mengwar-warkan akan mengambil alih kerajaan pusat kerana dia sudah ada cukup ahli parlimen dari Umno/BN yang bersedia menyeberang jambatan. Jumlahnya bukan seorang dua, tetapi melebihi 20 orang untuk mendapatkan suara majoriti dalam parlimen. Perkiraan politik apakah yang Anwar pakai? Orang bodoh politik pun akan berfikir, mustahil seramai itu akan menyeberang atau menyertai PKR. Lebih-lebih lagi umum sudah mengetahui sifat, sikap serta fiil orang Umno/BN. Tak mungkin mereka akan seberang kerana mereka tiada keberanian dan kedua, mana mungkin mereka tinggalkan lombang emas itu?

Kalau pun ada kebenaran mereka mahu melompat, apa perlu dicanangkan terlebih dahulu. Apabila ianya sudah diketahui oleh pihak lawan, sudah tentu parti lawan mengubah strategi dan mula pula menyerang dengan menggunakan taktik yang sama. Seharusnya taktik itu disembunyikan dulu, ketika sampai masanya baru diletupkan. Entahlah!

Dari segi permainan politik, jelas Najib amat pintar daripada Anwar. Bermula dari Perak, Najib berjaya menarik 2 orang PKR dan seorang DAP keluar parti, mengistiyiar sebagai anggota Bebas dan menyokong Umno/BN, maka runtuhlah kerajaan pimpinan PR di Perak.

Sekarang Najib atau Umno berusaha menarik seramai mungkin ahli Parlimen dan DUN PKR keluar parti dan isytiar sebagai anggota Bebas tetapi menyokong BN. Dari segi undang-undang, mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana tidak ada undang-undang anti lompat parti di negara ini. Ini yang berlaku sekarang kecuali bekas Timbalan Ketua Menteri P.Pinang, Fairuz yang mengumumkan terus masuk Umno. Maka dengan itu silat terajang politik antara Najib dan Anwar, nampaknya Najib jadi juara. Dalam politik matlamat menghalalkan cara yang diamalkan di negeri ini, maka mereka yang bijak dan pintar sahaja akan memenangi permainan itu.

Banyak perkara-perkara lain berlaku susulan daripada peristiwa itu kemudiannya yang memberi petanda bahawa pilihan raya Umum ke-13 akan diadakan tidak lama lagi. Umno/BN sudah siap siaga, serangan mereka terhadap PR memberi kesan, manakala PR masih terkial-kial untuk membetulkan rumah mereka yang telah diporak-perandakan oleh parti lawan. PR belum dan tidak bersedia lagi, maka dengan yang demikan inilah masa yang sesuai bagi Najib bubarkan parlimen dan mengadakan PRU-13. Mungkin hujung tahun ini atau awal tahun depan. Ini andaian saya. Cuba amat-amati dan perhatikan, apakan ianya betul dan akan menjadi kenyataan. Wallauhalam!

Sunday, 28 February 2010

Sambutan Ulang Tahun Perarakan Basmi PPSMI


Hanya Keranda 152 sahaja kita kuburkan, Artikel 152 tetap dipertahankan. Manifestasi kemeluatan rakyat pada perhimpunan 100,000 orang membantah PPSMI pada 7 Mac 2009.



Ribuan rakyat berhimpun di Masjid Negara pada 7 Mac 2009, sebelum berarak ke Istana Negara untuk menyampaikan Memorandun. Rakyat sudah bosan dengan janji-janji muluk kerajaan yang terus menerus memperlekehkan bahasa Melayu.



7 Mac ini , jangan lupa handai toulan, adalah hari ulang tahun bantahan besar-besaran rakyat, pejuang bahasa, ahli akademik dan rakyat marhaen yang telah dibasahi dan disirami oleh air kimia dan gas pemedih mata. SN Dato' A. Samad Said juga tidak terkecuali merasai kepedihan gas itu yang membuatkan air matanya mengalir. Katanya, air matanya mengalir bukan 100 peratus di sebabkan oleh gas itu, akan tetapi kerana kesedihannya diperbuat begitu hanya kerana mahu menegakkan kedaulatan bahasa Melayu di negaranya sendiri yang sudah pun termaktub di dalam Perlembagaan. "Rupa-rupanya mahu memperjuangkan bahasa sendiri diperlakukan sebegini rupa," ujar Pak Samad setelah selesai perarakan yang aman dahulu, tetapi menjadi kecoh kerana gangguan pihak berkuasa.


Pada tarikh keramat ini, 7 Mac 2010, (Ahad), GMP akan mengadakan majlis memperingati ulang tahun perarakan raksasa anti PPSMI. Kali ini tidak ada perarakan seperti tahun lalu, akan tetapi akan berlangsung perhimpunan di auditorium Muzium Selangor, di Shah Alam.


Acara majlis akan diisi dengan pelancaran buku mengadungi esei yang berkaitan seni dan budaya yang berjudul, 'Kumpulan esei Budayawan Bertindak-Menyokong Perjuangan A. Samad Said.' Buku ini memuatkan 29 buah esei yang ditulis oleh 29 orang penulis/budayawan. Antara mereka yang menyumbang tulisan mereka ialah, Daeng Ramliakil, Pyan Habib, Dr. Ibrahim Ghaffar, Dinsman, Razali Endun, Kassim Muhamad dan ramai lagi. Pelbagai variasi dan pandangan dapat dikutip daripada para penulis/budayawan ini yang menganuti pelbagai aliran ideologi.


Buku tersebut akan dilancarkan oleh Said Zahari, bekas Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu. Selepas pelancaran akan diadakan Konvensyen Bahasa. Semua rakyat, baik pejuang bahasa, sasterawan, budayawan, artis dan rakyat biasa adalah diundang untuk memeriahkan majlis ini. Meskipun kapisiti auditorium hanya boleh diisi seramai 300 orang, namun kedatangan saudara2 melebihi daripada kapisiti itu adalah digalakkan. Kalau kehadirian melebihi anggaran jumlah itu, ianya menunjukkan betapa rakyat tidak rela bahasa Melayu diperlekehkan. Datang tuan-tuan, jangan tidak datang. Tunjukkan bahawa kita sangat prihatin dan menghargai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Jumpa di sana!



Sambutan Ulang Tahun Perarakan Basmi PPSMI

7 Mac ini , jangan lupa

Friday, 26 February 2010

Menyulam Dunia Seni Siti Zainon








Apa yang dapat dikutip daripada ucapan perasmian Datuk Dr. Hassan Ali, Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudaham Awam pada acara Bicara Tokoh di Dewan Raja Ilmu di Kompleks Muzium Selangor, Shah Alam baru-baru ini ialah bahawa kerajaan Negeri Selangor tidak mengabaikan golongan budayawan.

Beliau menekankan bahawa budayawan adalah golongan intelektual. Pandangan, pengalaman dan pemikiran mereka amat berguna untuk pembangunan spiritual masyarakat yang sedang membangun. Katanya, pembangunan fizikal sahaja tanpa diiringi dengan pembangunan spiritual, masyarakat akan menjadi tempang. Kita sudah jauh tertinggal dari aspek pembangunan rohaniah ini, maka tidak hairanlah masyarakat kita sedang menghadapi wabak ini. Kejadian rompak dan samun, ragut, rogol dan rasuah adalah gejala-gejala yang melampiaskan kebobrokan masyarakat akibat daripada pengabaian kita dalam bidang sastera dan budaya selama ini.

Katanya, “Kita bercadang untuk mengadakan Syarahan Perdana yang melibatkan para budayawan dan sasterawan. Tempatnya hendaklah juga kondusif, dalam suasana perdana sesuai dengan tajuknya iaitu Syarahan Perdana.”

Beliau seterusnya menekankan, betapa budaya itu harus dipelihara, dihargai, dihormati dan ditempatkan pada tempat yang sewajarnya. “Budaya kita milik kita” tekannya dengan suara yang agak tegas disambut tepukan para hadirin.

Acara Tokoh kali ini membicarakan ketokohan Budayanita kelahiran Negeri Selangor, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail. Beliau merupakan tokoh kedua yang dibicarakan dalam sesi ‘Bicara Tokoh’ yang diadakan setiap dua bulan sekali. Tokoh yang pertama yang telah dibicarakan ialah Datuk Dr. Anuar Riduwan, Sasterawan Negara ke-10.

Siti Zainon mengharungi dunia seninya bermula di kalangan keluarganya. Ungkapan kata-kata neneknya yang indah dan puitis membentuk peribadinya sebagai seorang seniman. Kata-kata itu mempunyai lapisan makna yang sangat mendalam. Sebagai anak dari keturunan Minang sebelah ibu dan neneknya, sudah pasti sinonim dengan bidalan dan pribahasa yang indah-indah bercirikan teromba.

Sebagai contoh, neneknya akan merungut dengan ungkapan ini apabila kerja-kerja di dapur tidak dibereskan, sebaliknya asyik menghias dan membuat kerja-kerja lain. “Oooi! rancak di labuh.’ Satu ungkapan yang indah dan mempuyai lapisan makna yang lain.

Satu lagi ungkapan neneknya yang terpahat di dalam jemala Siti Zainon ialah, ‘Sudahlah conteng garis itu, sudahlah sulam kata-kata itu……’ Ungkapan ini bagaikan merangsang bibit jiwa seninya. Kata Siti Zainon, ‘Inilah suara yang membawa langkah hariku ke depan, berliuk dengan aneka garisan warna dan sulaman kata-kata. Menyulam ungkapan nenek melalui bidalannya yang kerap mengajak saya berfikir, ‘pelita itu di hatimu, nyalakan pelita hatimu.’

GARIS dan SULAM, dua perkataan pertama yang didengar dan dipelajari daripada Abah dan Maknya ketika beliau berusia empat tahun lagi. Pada satu ketika yang lain Abahnya akan menyuruh dia mengecat hasil tukangannya dengan berkata, ‘ambil cat warna coklat, sapu ikut garis tepi.’ Dua unsur asas seni lukis sudah dikenalinya pada usia semuda itu iaitu, garis dan warna.

Abahnya seorang tukang kayu dan emaknya menyulam jahitan, maka dunia Siti Zainon semenjak kecil lagi digelumangi unsur-unsur seni yang sangat signifikan kepada perkembangan bakat dan jiwa seninya.

Satu perkara yang tidak dapat dilupakannya ialah apabila guru sains dan matematiknya mencemuh beliau ketika beliau mengambil keputusan untuk mengambil aliran sastera daripada aliran sains. Kata gurunya, sastera tidak ada masa depan. Setelah dibuktikan baru gurunya sedar kesilapan nasihatnya itu.

Selain seorang penyair, Siti Zainon juga menulis cerpen, novel, makalah dan seorang pelukis yang tidak kurang tersohornya. Hasil-hasil karyanya sudah banyak diterbitkan dan beliau juga banyak memenangi hadiah sastera tanah air termasuk SEA Write Award.

Siti Zainon Ismail dilahirkan di Kampung Bandar Dalam, Gombak, Kuala Lumpur pada 18 Disember 1949. Pendidikan awal beliau ialah di Sekolah Rendah Setapak. Kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Aminuddin Baki, Kampung Pandan dan lulus STP. Menyambung pengajiannya di Akademi Seni Rupa (ASRI) di Yogyarkarta Indonesia (1970-73) hingga lulus Sarjana Muda dalam bidang seni halus.

Sekembalinya ke tanah air beliau bertugas sebagai jurulatih seni lukis di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (1974-76) sebelum melanjutkan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan berjaya mendapat ijazah Sarjana Sastera pada 1980. Beliau seterusnya menjadi pensyarah sambil mengamil PHD pada 1989 dan seterusnya menyandang jawatan professor di UKM sehingga bersara. Kini Siti Zainon sebagai peneliti budaya dan penulis sepenuh masa.

Dua orang tokoh telah diundang untuk membicarakan ketokohan Siti Zainon pada acara itu. Dr. Silfia Hanani dari Sumatera Barat diundang khas untuk membicarakan ketokohan Siti Zainon. Kebetulan Dr. Silfia sudah mengenali Siti Zainon ketika melanjutkan pengajiannya di UKM untuk ijazah kedokotorannya. Seorang lagi ialah A.Rahim Abdullah, seorang pengkritik sastera tanah air.



Keprihatinan Datuk Dr. Hassan Ali terhadap kepincangan budaya dan sastera diharap tidak habis selepas ucapan perasmian itu. Kecelaruan yang berlaku sekarang ialah kerana pihak penguasa politik yang berkuasa bersikap sambil lewa terhadap pengembangan budaya dan sastera. Budaya harus dibina semenjak di bangku sekolah lagi. Bagi membina semula budaya di negara ini, janya harus tidak lari daripada Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah dikanunkan iaitu budaya dan sastera Melayu menjadi teras kepada budaya nasional Malaysia.

Di Selangor sudah ada ura-ura mahu membina Kampung Budaya Cina di Kelang. Ini satu pentanda yang kurang sihat yang seolah-olah menonjolkan budaya Cina sesuatu yang dominan di negara ini. Mengasingkan budaya mengikut etnik dalam masyarakat berbilang kaum akan menanamkan lagi bibit perkauman. Kerajaan Selangor harus berhati-hati dalam menangani perkara ini kerana ianya akan menimbulkan implikasi yang amat buruk kepada budaya dan sastera Melayu yang menjadi teras Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Akhirnya budaya Melayu akan terpinggir di negaranya sendiri.

Saya ingin mencadangkan supaya negeri Selangor mengwujudkan sebuah sahaja portfolio Seni dan Budaya di bawah seorang ahli Exco yang bertanggungjawab tentang seni, sastera dan kebudayaan. Sekarang ini didapati tiga orang exco yang secara tidak langsung dilibatkan dalam pembangunan seni budaya iaitu Datuk. Dr. Hassan Ali (Adat Melayu), YB Rodziah Ismail, (kebudayaan) dan Dr Halimah, (bahasa). Alangkah moleknya disatukan di bawah satu portfolio dan Exco supaya aktiviti dan hala tuju kebudayaan Negeri Selangor dapat menjurus kepada pembinaan identiti negeri yang berbudaya.