Tuesday, 31 May 2011

Muktamar PAS ke-57

Hujung minggu ini, pada awal Jun 2011 akan berlangsung Muktamar PAS ke-57 di Taman Melewar. Aku mengucapkan selamat bersidang kepada perwakilan Pas dari seluruh negara yang hadir pada muktamar ini. Selamat bermuktamar, semoga perbahasan nanti dalam suasana harmoni, kritis dan membina.

Muktamar kali ini menyaksikan pertandingan banyak jawatan kepimpinan dalam Pas, kecuali jawatan Presiden dan Ketua Dewan Ulama. Ini satu perkembangan yang baik dalam sistem demokrasi yang turut diamalkan oleh Pas. Kita harapkan pertandingan dijalankan secara terhormat, bersih dan telus. Kepimpinan dilantik dalam kalangan mereka yang berkebolehan, berkalibar dan berpandangan jauh. Jangan amalkan rasuah, membeli undi demi untuk mendapatkan jawatan, macam sesetengah parti politik. Jangan ikut mereka yang bergelumang dengan kekotoran.

Buktikan bahawa kepimpinan Pas dipilih di kalangan yang terbaik antara yang baik, dan dipilih secara bersih tanpa amalan rasuah. Kita yakin, sebagai parti yang memperjuangkan syariah Islam, ahli dan kepimpinannya bukan sahaja kelihatan bersih, akan tetapi suci daripada amalan kotor dan tidak sihat. Pas mesti menunjukkan kelainan dalam pentadbiran, amalan dan pemilihan kepimpinannya.

Selamat bermuktamar, semoga cita-cita untuk menggapai Putrajaya akan kesampaian.

Saturday, 28 May 2011

Hadiah Sayembara dan Pelancaran Buku







Ki
Gambar Kiri (Atas): Sebahagian para hadirian yang hadir.
Gambar kanan (atas) Pemenang pertama kategori sajak sdra Ehsan Jamily (bersongkok) dan Abd. Jalil Alimon, pertama kategori cerpen.



Gambar atas kiri: Alina Idris menerima hadiah daripada Ketua Menteri Melaka.

Gambar atas kanan: Nur Shafinas bte Hamzah menerima hadiah daripada Mohd Ali Rustam.



Antologi 'Ombak dan Pantai' dilancarkan oleh YAB Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam. Ketua 1 IPM, Hj Mokhtar Yasin menyampaikan buku antologi kepada Ketua Menteri.



Majlis penyampian hadiah Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak anjuran Ikatan Persuratan Melayu (IPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) telah sempurna disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Majlis berlangsung pada 26 Mei lalu di Perpustakaan Awam Melaka. Pada majlis yang sama dilaksanakan juga pelancaran buku Antologi Cerpen dan Sajak berjudul, 'Ombak dan Pantai.' Antologi ini mengandungi 23 buah cerpen dan 65 puisi hasil nukilan 14 orang penulis IPM. Antologi ini diterbitkan oleh IPM mengambil sempena sambutan Jubli Intan, ulang tahun ke-60 penubuhan IPM.


Sayembara dan penerbitan antologi ini adalah puncak kepada sambutan itu yang bermula pada Disember tahun lalu dengan pelancaran buku Kumpulan Cerpen 'Ranum' tulisan Razali Endun.


Sesungguhnya sayembara ini telah dapat mencungkil beberapa orang bakat baru dalam dunia penulisan terutama yang terdiri daripada kalangan pelajar sekolah. Nur Natasha bte Sain, umpamanya, pelajar Tingkat 5 Sekolah Berasrama Penuh , Selandar telah berjaya mendapat tempat ke-3 dalam kategori cerpen. Cerpennya bertajuk, 'Ayun' menerima hadiah wang tunai RM 600.00, sijil serta hadiah sampingan.


Begitu juga dengan Nur Shafinas bte Hamzah, pelajar Tingkatan 5 Sekolah Kluster, SMK Ghaffar Baba, Masjid Tanah berjaya mendapat hadiah sagu hati dalam kategori Sajak yang berjudul, 'Kibaran Darah.' Seorang lagi pelajar lelaki Arif bin Abdullah dari Kandang berjaya mendapat hadiah sagu hati dalam kategori sajak. Manakala Alina Idris, walaupun tidak menonjol namanya dalam arena penulisan, akan tetapi karya-karyanya sudah mengisi ruangan sastera dalam majalah Dewan Siswa dan Tunas Cipta terbitan DBP. Alina menang dua hadiah kategori cerpen. Cerpennya bertajuk, 'Takdir di hening takbir,' mendapat tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM 700, sijil dan hadiah iringan. Cerpennya bertajuk, 'Coklat untuk mama,' mendapat hadiah sagu hati RM 400.00


Walaupun para pemenang utamanya terdiri daripada penulis yang sudah ada nama, namun penyertaan yang begitu ramai dalam sayembara ini mengembirakan kepimpinan IPM yang khuatir bahawa tiada penulis muda yang akan meneruskan kesinambungan dunia penulisan kreatif di negeri Melaka. Seramai 174 orang telah menyertai sayembara ini yang menghantar sejumlah 83 buah judul cerpen dan 282 judul sajak, menggambarkan betapa semaraknya sambutan ini di kalangan anak Melaka. Sekurang-kurangnya ini petanda baik bahawa Melaka tidak ketandusan penulis seperti yang dibimbangi oleh IPM.


Esa bin Salleh atau lebih terkenal dengan nama penanya, Ehsan Jamily berjaya mendapat hadiah pertama kategori sajak melalui sajaknya, "Tikar Mengkuang Nenek." Beliau juga menerima hadiah sagu hati dengan sajaknya 'Kepada Pejuang Yang Berkorban.' Manakala Arbak Othman memenangi hadiah kedua dan sagu hati dengan sajaknya masing-masing, 'Hutan Tua di Ufuk dan Masihkah ada harapan.'


Kategori cerpen dimenangi oleh Ab. Jalil Alimon dengan cerpennya, 'Jangan Ambil Tahu.' Kedua, Alina Idris dan ketiga Nur Natasaha bte Mohamad Sain.


Apapun, bagi ahli IPM, pelancaran antologi 'Ombak dan Pantai,' sangat signifikan pada majlis itu. Buku ini diterbitkan selepas 10 tahun penerbitan sebuah buku bertajuk, 'Tokoh-Tokoh IPM' yang juga diterbitkan oleh IPM. Semoga penerbitan ini akan merintis jalan kepada penerbitan karya oleh penulis-penulis IPM yang lebih bermutu dan baik.

Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Cerpen & Sajak Anjuran IPM dan DBPWS

Alahamdulillah, Majlis Penyampaian hadiah sayembara menulis cerpen dan sajak anjuran Ikatan Persuratan Melayu (IPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) telah selamat disempurnakan pada 26 hb Mei yang lalu. Pada majlis yang sama sebuah buku 'Antologi Cerpen dan Sajak' terbitan IPM turut dilancarkan. YAB Ketua Menteri Melaka telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada 16 orang pemenang dan sekaligus melancarkan antologi berkenaan. Seramai 350 orang hadir menyaksikan upacara tersebut yang berlangsung di Dewan Besar, Perpustakaan Awam Negeri Melaka, Bukit Baharu, Melaka.




Hasil sayembara, IPM telah berjaya mencungkil ramai bakat baru terdiri daripada golongan muda. Sebenarnya kepimpinan IPM amat gusar apabila memikirkan tidak ramai penulis muda yang muncul di Melaka dalam media, sebagai kesinambungan kepada penulis-penulis veteran. Alahamdulillah, berkat usaha dan insiatif IPM, rupa-rupanya ramai anak Melaka yang berpontesi besar menjadi pengarang yang tersohor suatu hari nanti.




Walaupun pemenang utama Cerpen dan Sajak dibolot oleh penulis veteran, namun kemunculan golongan muda (pelajar sekolah) yang memenangi hadiah-hadiah yang disediakan amatlah membanggakan. Kita amat berbangga dengan kemenangan adik Nur Natasha bte Sain, pelajar Tingkatan 3 Sekolah Berasrama Penuh, Selandar, yang memenangi hadiah ketiga kategori cerpen berjudul, 'Ayun.' Menurut Natasaha, sebelum ini dia pernah memenangi beberapa peraduan menulis cerpen.




Begitu juga dengan Nur Shafinas bte Hamzah, pelajar Tingkatan 5 Sekolah Kluster SMK Ghaffar baba, Masjid tanah memenangi hadiah sagu hati kategori sajak yang diberi judul, 'Kibaran Darah.' Seorang lagi pelajar lelaki memenangi hadiah sagu hati kategori sajak.




Alina Idris walaupun namanya belum begitu terserlah dalam dunia penulisan kreatif, akan tetapi dia sudah pernah menulis dan karya-karyanya pernah disiarkan dalam majalah Dewan Siswa dan Tunas Cipta, terbitan DBP. Alina memenangi hadiah kedua dan sagu hati kategori cerpen. Cerpennya bertajuk, 'Takdir di hening takbir,' memenangi hadiah kedua, manakala cerpennya, 'Choklat Untuk Mama,' memenangi hadiah sagu hati.




Sajak,'Tikar Mengkuang Nenek' memberi tuah kepada Ehsan Jamily kerana berjaya menggondol hadiah pertama kategori sajak. Sajak ini walaupun melankonik sifatnya, tetapi ianya berjaya memikat hati para peniali dengan keindahan bahasa dan diksi yang tepat dan murni. Manakala Jalil Alimon berjaya mendapat hadiah pertama kategori cerpen yang berjudul, 'Jangan Ambil Tahu.'




Amat menarik apabila pelancaran Antologi Cerpen dan Novel berjudul, 'Ombak dan Pantai,' dilancarkan oleh Ketua Menteri Melaka pada upacara itu. Antologi ini dihasilkan oleh 14 orang penulis IPM

Friday, 20 May 2011

Bengkel Penulisan Krtis Yang Berjaya

Aku baru pulang dari Titihayun, di Yan Kedah menghadiri bengkel penulisan kritis anjuran CAP-Paksi-DBPWU yang diadakan pada 13-18 Mei lalu. Selama 6 hari berada di chalet di kaki Gunung Jerai, di kelilingi kehijauan rimbunan hutan belantara, dilagukan desahan gemersik air sungai yang menerjah deras di celah-celah bongkah batu pejal dan kerikil, kicauan merdu beburung di pohon-pohon tinggi menjulang, dikunjungi pula sang rama-rama pelbagai warna sayapnya serta sesekali terdengar suara kongkang sayup di kejauhan menjadikan suasana selama 6 hari di pinggir hutan di kaki Gunung Jerai amat mengasyikkan. Apa lagi sepanjang seminar itu dihiburkan dengan jenaka dan kelucuan Pak Salleh (HMS Abu Bakar) yang membuatkan para peserta berasa lucu dan terhibur, sehingga terhambur percikan air ludah kerana berdekah-dekah ketawa.

Cuma yang amat tidak menyeronokkan apabila nyamuk menyerang saban malam dan menganggu waktu tidur para peserta. Satu lagi masalah, ialah air yang keluar daripada pili di chalet itu berwarna kekuningan, kelihatan kotor, tetapi amat dingin sekali. Air itu tidak boleh digunakan untuk diminum, terpaksa pula kena keluar ke pekan kecil berhambiran untuk membeli air minuman di dalam botol yang telah disaring. Air dalam pili itu disedut daripada air sungai yang berdekatan, tetapi tidak dirawat. Yang peliknya sejuk air itu tidak meresap sampai ke dalam tulang.

Bengkel ini dihidup dan diimarahkan dalam suasana mesra, muhibbah serta kritis. Bengkel ini sesuatu yang luar biasa dan jarang berlaku pada bengkel-bengkel sebelum ini, di mana para peserta diberikan kebebasan untuk mengutarakan pendapat mereka dan bertukar-tukar-tukar fikiran secara bebas. Tidak ada sekatan antara peserta dengan pembimbing untuk berinteraksi. Bengkel ini berkonsepkan dua hala, bukan satu hala.

Seramai 21 orang peserta menghadiri bengkel ini di bawah bimbingan beberapa orang penulis veteran termasuk seorang dari Indonesia. Para peserta terdiri daripada pelbagai golongan, muda dan tua serta pelbagai pula profesion. Seramai 6 orang peserta wanita juga turut sama dalam bengkel ini. Manakala 3 orang suku kaum Sulu (Morro) warga negara Malaysia dari Sabah juga mengikuti bengkel ini.

Tentu sekali pelbagai pendapat dan pandangan bercambah dalam bengkel ini yang berhasrat membina penulis yang kritis bagi mengtransformasi massa supaya berfikiran kritis. Rata-rata para peserta amat berpuas hati dengan cara bengkel ini dijalankan, walaupun daripada segi logistik serta kelengkapan berseminar tidak begitu memuaskan. Meskipun sekretariatnya tidak begitu tersusun, akan tetapi dari sudut persediaan sudah memadai dengan keadaan yang serba kekurangan dan bengkel yang santai. Apa pun ianya sebuah bengkel yang berjaya dan seharusnya diteruskan.

Aku ditugaskan menyampaikan kertas kerja pada bengkel itu. Kertas aku diberi tajuk, "Penulisan kritis dan menulis untuk berubah." Aku sedaya upaya menyampaikan kertas tersebut dengan bersungguh-sungguh dan semangat agar dapat menimbulkan suasana kritis dalam bengkel itu. Selepas bengkel aku tanyakan para peserta sama ada penyampaian aku membosankan atau tidak. Rata-rata mereka memberikan jawapan yang memerangsangkan dan memberitahu sesi aku antara yang paling panas dan aktif. Ya! Ini dibuktikan dengan penyertaan serta soal jawab dalam sesi pembentangan aku yang amat rancak dan menceriakan. Syukur, sekurang-kurangnya aku tidak ternampak ada peserta yang tertidur ketika pembentangan itu. Cuma aku terkilan Pak Salleh dan Amni Jagat tidak hadir pada sesi aku. Kata Pak Salleh dia tertidur dalam biliknya kerana dia tidak cukup tidur kerana terpaksa bersilat dengan nyamuk saban malam.

Begitulah sedikit kisah dan celoteh aku tentang bengkel di Titihayun, Yan Kedah. Cuma Azizi Hj Abdullah, orang kuat CAP yang menjadi tulang belakang penganjuran ini tidak dapat hadir kerana pada masa yang sama dia sedang menjalani pembendahan lintasan jantung di hospital Pulau Pinang. Kami semua mengadakan solat hajat di situ mendoakan semoga Allah selamatkan pembedahannya dan kesihatan beliau pulih seperti sediakala. Wallahualam!

Tuesday, 10 May 2011

Keputusan Penuh Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak 2011 Anjuran IPM dan DBPWS

1. Keputusan Pemenang - Karya Cerpen




Pertama : Abdul Jalil Alimon k/p 510504-04-5473 "Jangan Ambil Tahu."


(RM 800)




Kedua : Alina binti Idris k/p 680402-04-5466 "Takdir Di Hening Takbir."


(RM 700)




Ketiga : Nur Natasha bte Sain k/p 94103-10-5666 "Ayun."


(RM 600)




Hadiah Sagu Hati


(RM 400 setiap seorang).




1 Alina bte Idris k/p 680402-04-5466 "Coklat Untuk Mama."




2 Zuairi bin Hanip k/p 800514-08-5731 "Gempar."




3. Hanita bte Hassan k/p 710802-04-5400 "Kisah Aku, Ana dan


Cho Phraya."




4. Zamidah bet Hashim k/p 560321-04-5070 "Sebelum Berakhir."




5. Zubaidah bte Ishak k/p 700119-08-6540 "Saat Yang Terindah."




6. Norhidayah bte Mohd Rasid k/p 810627-04-5136 " Sumpah dan Doa."




7. Ismail bin Hashim k/p 580518-04-5195 "Pil."






2. Keputusan Pemenang - Karya Sajak.




Pertama : Esa bin Salleh k/p 480129-01-5007 "Tikar Mengkuang Nenek."


( RM 500)




Kedua : Arbak bin Othman k/p 440210-04-5151 "Hutan Tua di Ufuk Senja."


(RM 400)




Ketiga : Hj. Rosly bin Hj. Mohamad k/p 540310-04-5173 " Sungai Bahasaku."


(RM 300)




Hadiah Sagu Hati


(RM 150 setiap satu).




1 Zurairi bin Hanip k/p 800514-08-5731 "Gendang Hijrah."




2. Dr. Abdul Ghani bin Abu k/p 611121-04-5049 "Sebanyak Itu Rinduku


Terpahat."




3. Nur Shafinas bte Hamzah k/p 941215-04-5236 "Kibaran Darah."




4. Arbak Othman k/p 440210-04-5151 "Masihkah Ada Harapan."




5. Esa bin Salleh k/p 480129-01-5007 "Kepada Pejuang Yang Berkorban


Menuntut dan Mengisi Kemerdekaan




6. Arif bin Abdullah k/p 950320-04-5095 " Selamat Malam Melaka."




7. Mohamad bin Musip k/p 550930-04-5069 "Kita dan Kemajuan."






Perhatian: Majlis Penyampaian Hadiah akan diadakan pada 26 Mei ini bermula jam 2.30 petang bertempat di Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka, Bukit Baru (tidak jauh dari Pejabat Pos) Melaka. YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijangka akan menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang, sekali gus melancarkan buku Antologi Cerpen dan Sajak, terbitan IPM hasil sumbangan penulis-penulis IPM.




Semua peserta diundang ke acara ini untuk menceriakan majlis tersebut.






Monday, 2 May 2011

Sumpah laknat

Aku sebenarnya malas nak terseret dalam kancah kotor para politkus yang amat menjijikkan. Mereka ni dah tak ada kerja lain, sanggup berbuat apa saja asalkan cita-cita mereka tercapai. Ini kisah sumpah laknat sudah jadi lumrah pula. Setakat ini yang aku tahu sudah tiga orang melakukan sumpah laknat ini. Mula-mula sekali Si Saiful di masjid Wilayah Persekutuan mengesahkan kononnya Anwar Ibrahimlah yang meliwatnya. Kedua PM kita Najib Tun Razak (tempatnya aku dah lupa) menafikan dia kenal dengan Altantuya. Dan yang terbaru Datuk Eskay (keturunan Siam, tak tahulah keturunan Islam atau Budhha) melakukan sumpah laknat di sebuah masijid di bandar baru Sentul, K. Lumpur. Eskay ditemani oleh Rahim Tamby Chik dan Suhib Lazim sebagai saksi utama sumpahan itu. Mereka berdua tak pula bersumpah, mewakilkan pada Eskay, kata mereka.




Aku malas nak ambil tahu sama ada sumpah mereka itu betul atau tidak dari sisi agama. Apa yang aku nak beritahu kepada kalian bahawa sumpah laknat ini yang dulu sangat-sangat ditakuti oleh penganut Islam, sekarang sudah jadi mainan pula. Kenapa ini berlaku? kerana penganut Islam sekarang kebanyakannya sudah tidak yakin dengan balasan Allah di dunia dan juga di akhirat. Lihatlah Saiful dan Najib, tak apa-apa pun. Ini akan menimbulkan satu feneomena baru, iaitu Allah tidak berkuasa. Ianya akan menjejaskan Aqidah umat Islam. Kepercayaan kepada Allah akan menimbulkan tanda tanya, malah akan terhakis.




Maka sebab itu mereka berani bersumpah laknat kerana Tuhan tidak akan turunkan laknat kepada mereka yang bersumpah. Jadi kerana itu mereka percaya mereka berkata benar walaupun mereka berbohong dan membuat fitnah. Begitulah keadaan yang berlaku muktahir ini. Sumpah laknat sudah menjadi satu permainan murahan.




Tapi mereka ini takkan percaya ditimpa laknat walaupun mereka menghadapi jiwa yang tidak tenteram, keluarga porak peranda, kekayaan semakin merosot, perniagaan jatuh bankerap, hutang bertimbun, di landa bencana alam seperti banjir, kemarau, gempa bumi, tsunami dan seumpamanya. Bagi mereka ini bukan musibah atau malapetaka tetapi kejadian alam. Mereka tidak pernah kaitkan kejadian itu sebenarnya adalah kehendak dan kekuasaan Allah. Sebab itu mereka tida takut bersumpah laknat. Sumpah mereka ini tidak semestinya menimpa mereka yang bersumpah sahaja, tetapi juga rakyat keseluruhannya, sama ada yang setuju atau tidak bersetuju dengan sumpah laknat mereka. Ini terbukti apabila Tunku Abd. Rahman dan Datuk Asri Muda yang bersumpah 'Quran' satu ketika dulu, tak lama selepas itu terjadi peristiwa berdarah 13 Mei 1969.




Kita tunggu dan lihat apa akan terjadi selepas ini. Cepat dan lambat saja Allah akan tunjukkan. Kita akan lihat sumpah akan memakan tuan atau tidak. Apakan sumpah akan menjadi sumpah-sumpah? Allah saja yang mengetahuinya.

Pesta Buku 2011

Ah! Sungguh dukacita Pesta Buku Tahun ini tak dapat aku ikut sama. Benar kata-kata ini, kita hanya boleh merancang, Allah yang menentukan. Memang aku sudah rancang nak hadir pada Rabu 27 April, menyahut undangan DBP dalam program acara, 'bagaimana saya menulis' oleh Nisah Haron dan Dr. Mawar Shafie, tetapi tak dapat hadir walaupun aku sudah beritahu Nurdiana di DBP akan hadir. Tiba-tiba hari itu aku tidak sihat, tak dapat berdiri betul, mahu jatuh sahaja. Pergi jumpa doktor, katanya aku mungkin menghidap 'vertigo' iaitu gegendang telinga aku ada infections menyebabkan imbangan badan aku tidak tetap. Oh! baru aku tahu rupanya gegendang telinga itu menjadi pengimbang badan kita untuk kita berdiri dan berjalan. Patutlah aku rasa macam mahu jatuh aja dan kepala pusing dan berdiri menjadi tak tetap. Oleh kerana itulah aku tak dapat pergi melihat pesta buku kali ini. Tak apa, Insyallah bulan Jun nanti ada pesta buku Selangor, kalau Allah kunrniakan kesihatan aku akan pergi.

Saturday, 23 April 2011

Pesta Buku bermula

Pesta Buku Antrabangsa sudah bermula pada 22 April - 1 Mei 2011 di PWTC. Hari ini Sabtu khabarnya orang ramai berpusu-pusu ke pesta buku itu. Baguslah. Ini petanda rakyat Malaysia sudah rajin membaca. Masyarakat membaca ialah masyarakat berilmu. Aku dah rancang nak pi pada Rabu depan, kesempatan menunaikan undangan DBP pada program kenapa saya menulis akan disampaikan oleh Dr. Mawar Shafie dan Nisah Haron. Jom kita ramai-ramai pi ke pesta buku ini, tak kiralah bila, janji anda ada kelapangan. Kalau tak ada kelapangan pun kenalah lapangkan sedikit masa demi buku dan baca. Walllahualam!

Tuesday, 19 April 2011

Azizi Masih di hospital

Sabtu lepas aku bersama isteri dan dua orang cucu pergi menziarahi Azizi Hj Abdullah di hospital Pulau Pinang wad jantung. Sepanjang jalan dari KL ke PP hujan sangat lebat sekali. Namun begitu dalam terkial-kial memandu, Alahamdulillah, kami selamat sampai di PP. Sebaik sampai di wad CRW aku lihat Azizi sedang lena tidur. Cucu perempuannya ada di sebelahnya. Aku segan mahu gerakkan dia, tetapi dia semacam tersedar kedatangan aku kerana aku sudah beritahu dia sebelum itu akan menziharinya. Dia bingkas bangun, lebar senyumannya menampakkan beberpa batang giginya yang rongak. Aku lihat air mukanya ceria, namun hatinya tentu kusut dan bimbang kerana menunggu tarikh pembedahan yang belum kunjung tiba. Dah 4 minggu, bayangkan betapa bosannya menunggu. Apapun kita doakan semoga dia akan pulih segera dan selamat menjalani pembedahan dadanya (sekiranya berlaku). Aku beri semangat kepadanya supaya tabah menghadapi dugaan itu. Aku pernah juga menjalani angidogram iaitu dipasang belon dan 'stand' untuk meluaskan saluran darah ke jantung. Tapi pada masa itu aku tabah dan tetapkan iman dan terus berdoa, kalau ada umur tentu selamat, kalau sudah ditakdirkan sampai di situ, terima saja qadak dan qadar itu. Moga Azizi akan selamat, Insyallah. Cuma aku agak terkilan sedikit melihat nasib penulis/sasterawan seperti Azizi dan kawan-kawan lain. Nasib penulis/sasterawan tak seperti selebriti ataupun ahli sukan yang mendapat perhatian daripada kerajaan, diberi pelbagai hadiah, anugerah dan entah macam-macam lagi. Azizi seorang sasterawan terkenal, telah menghasilkan banyak novel dan cerpen. Dia juga telah menerima SEA Write Awards daripada kerajaan Thailand. Memenangi dan menerima pelbagai hadiah sastera. Akan tetapi ketika sakitnya amat daif sekali, bagaikan jasanya tidak dikenang langsung. Kerajaan, ahli politik kerajaan dan PR pun macam tak ambil kisah tentang nasib malang golongan penulis/sasterawan. Lebih sedih lagi Persatuan-Persatuan Penulis yang berselerak di seluruh tanah air. Gapena juga semacam tidak ambil kisah, bagaikan tuli teliga mereka dan kabur pandangan mereka. Gapena harus berbuat sesuatu untuk membela golongan penulis/sasterawan. Kalau kerabat dan kekawan penulis pun tak ambil kisah, siapa lagi yang harus kita harapkan?

Taib Mahmud Menang

Hurray! Hurray! Taib Mahmud menang di Sarawak. Ini bererti BN pimpinan Najib juga menang. Tak sia-sia Najib dan Muhiyuddin berkampung berminggu-minggu di Sarawak. Menangnya BN di Sarawak bererti rakyat Sarawak tidak kisah dengan kekayaan yang dihimpun oleh KM nya serta koco-koconya. Taib kebal, mungkin dia menuntut ilmu kebal daripada Kiayai Salleh di Batu Pahat. Apa pun, kalau itu rakyat Sarawak mahu, kita kena hormati. PR walaupun bertambah kerusi mereka, akan tetapi yang bertambah di kawasan Cina aja. Di kawasan Melayu dan pribumi masih karat menyokong BN. PR mesti bermuasabah diri, strategi yang dilaksanakan tidak berkesan. Jangan banyak berceramah, yang datang tidak semestinya menterjemahkan pada undi. Kalau diterjemahkan mungkin mereka bukan di kawasan itu. Aku masih percaya strategi kempen dari rumah ke rumah lagi berkesan. Ianya harus diadakan setiap masa, tanpa menunggu pilahan raya. Aktiviti sosial harus diteruskan sepanjang masa. Seperkara lagi, PR nampaknya masih tidak boleh bersatu dalam sebuah entiti seperti BN. Untuk mengadakan kesafahaman pun sukar, apa lagi mahu menggunakan satu lambang sahaja. PR kena lihat diri sendiri dan yakinkan rakyat bahawa PR benar-benar boleh gantikan BN.

Friday, 15 April 2011

BN akan kalah di Sarawak?

Menurut berita dan analisis Zentrum serta para penganalisis politik di TV Awani, tergambar jelas BN dalam keadaan terdesak dan mengelabah. PM, TPM dan segala kekuatan kerajaan pusat dari Semenanjung berada di Sarawak untuk memastikan BN menang di sana. Daripada laporan media, jelas sekali rakyat Sarawak sudah berubah dan berani menyatakan pendirian mereka. Mereka sudah ada pilihan sekarang, maka pilihlah pilihan anda dengan bijak. Jangan diberi undi anda pada gerombolan yang tembolok besar dan berperut gendut mengtekedagah duit rakyat. Kebiasaannya pada saat-saat akhir akan berlaku pelbagai kejutan untuk mempengaruhi semula undi yang sudah ter swing pada PR. BN akan menggunakan pelbagai taktik untuk memastikan ianya kekal berkuasa. Salah satu daripadanya bahawa sudah ada khabar angin mengatakan BN sudah menaburkan duit kepada para pengundi terutama di pendalaman. Kisah duit ini sudah lama aku dengar, malah salah seorang orang kuat UMNO pernah memberitahu aku BN bawa duit satu kapal terbang ketika p/r di Sabah dulu. Dia sendiri tak tahu dari mana wang sebanyak itu datang. Maka mainan duit sudah lazim bagi mereka. Peliknya, mereka tak pula didapati bersalah melakukan perkara rasuah ini. Mungkin kerana mereka berkuasa, maka undang-undnag bukan untuk mereka, tetapi untuk kita! Satu lagi taktik ialah kisah video sex yang kononnya melibatkan Anwar Ibrahim. Semalam polis kata sudah kenal pasti pelakon itu. Percayalah, hari ini polis akan mengatakan pelakon itu ialah Anwar Ibrahim. Ini kerana esok hari mengundi, inilah salah satu taktik desperate dan kotor BN/Umno untuk memikat semula para pengundi di Sarawak. Ini andaian saja, dan aku yakin ianya akan berlaku. Tunggu petang ini, pasti ada kenyataan polis. Wallahualam!

Tuesday, 12 April 2011

Pilihan raya Sarawak

Wah! aku dengar pilihan raya Sarawak semakin hangat dan sengit. Orang Sarawak dah tak takut lagi nak datang dengar ceramah PR. Dulu nak dapat 20 orang pun susah, sekarang yang hadir antara 200- 1000 orang. Ini satu perkembangan yang baik bagi sistem demokrasi kita. Akan tetapi ianya suatu petanda yang kurang baik bagi PBB/BN. Maka kerana itulah PM, TPM dan semua menteri pusat dan jentera kerajaan digerakkan untuk membantu calon BN di sana. Mereka datang bukan nak tolong rakyat Sarawak, tetapi nak pertahankan kekuasaan Taib Mahmud dan gerombolan. Rakyat Sarawak kena hati-hati, kalau BN terus berkuasa bermakna anda semua bersetuju untuk kekalkan dan menambahkan lagi kekayaan Taib Mahmud dan keluarga serta kroninya. Jangan dibiarkan anda diperbodohkan oleh gerombolan yang bebal! Ayuh! Tukar, jangan tak tukar. Rakyat Sarawak semakin celek dan pandai untuk memilih. Pilih yang boleh membantu anda, bukan pilih yang akan terus menindas anda.

Pilihanraya Sarawak

Wah! aku dengar pilihan raya di Sarawak semakin sengit. BN tak senang tidur. PM, TPM dan semua menteri perseketuan berkampung di Sarawak. Sanggup masuk dan keluar hutan rimba, ziarah rumah panjang dan menabur pelbagai janji. Kata kawan aku yang berada di sana, semakin hari semakin senget.


Orang Sarawak sudah tak takut lagi menzahirkan pandangan mereka. Mereka ada pilihan sekarang, Pakatan Rakyat sudah bersedia menggangtikan PBB dan BN di Sarawak. Sarawak negeri kaya, tetapi yang kaya raya hanya pemimpinnya sahaja. Rakyat jelata di luar bandar masih papa kedana, duduk di rumah usang tanpa kemudahan asas yang sempurna.


Hebat orang Sarawak. Teruskan transformasi politik ini. Transformkan kepada realiti iaitu BN sudah tidak relevan lagi. Tukar, jangan tak tukar!


Yang tidak kurang hebat ialah kepimpinan PR. Khabarnya DSAI, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Hj Hadi Awang mendapat sambutan daripada rakyat Sarawak. Setiak sesi ceramah PR khabarnya ribuan orang berani datang. Kalau dulu nak dapat 20 orang pun susah, sekarang sudah sampai 200-1,000 datang dengar ceramah PR. Ini yang merungsingkan BN dan PM. Kalau kalah di Sarawak, petanda PRU 13 juga ada kemungkinan rakyat akan tukar kerajaan. Sebab itu seluruh menteri berada di Sarawak bukan mahu tolong rakyat Sarawak, tetapi mahu tolong Taib Mahmud kekalkan kuasa. Kan bodoh tu! Rakyat Sarawak tak bodoh lagi la!


Mengikut berita terkini Malaysiakini, Taib Mahmud bilang dia akan letak jawatan beberapa tahun lagi!. Woo! bukan lepas pilihan raya, tetapi beberapa tahun lagi!. Bila tu? Sampai pilihan raya 5 tahun lagi lah! atau sampai mampus! Aku dah bilang, dia tidak akan letak jawatan kalau dia menang di kawasan dia. Jadi jangan beri dia menang.


Satu yang mengangumkan ialah DAP, PKR dan Pas sudah bertapak di Sarawak. Sekarang mereka sedang memperkukuhkan kedudukan mereka di bumi kenyalang itu. Umno tak ada di Sarawak. Taib Mahmud tak izinkan Umno berada di Sarawak. PBB dan gerombolannya hanya bergabung dengan BN secara tidak ada ikatan kuat. Ia hanya sefahaman. Kalau selepas Taib Mahmud, kepimpinan Sarawak tak mahu bergabung dengan BN dan berpaling kepada PR, Umno/BN di Semenanjung jilat kelawan.

Thursday, 7 April 2011

SPRM dan Kematian

Apa dah jadi ni? SPRM bagaikan tempat perkuburan bagi mereka yang disyaki makan suap. Dah dua orang mati di bangunan SPRM dengan cara yang sama iaitu jatuh dari tingkat bangunan SPRM semasa proses penyiasatan dilakukan. Dulu kes Teoh Beng Hock, belum pun selesai. Ni kes Mohd Sabrini dari jabatan kastam jatuh. Adakah dia terjatuh? dijatuhkan atau dia sengaja menjatuhkan dirinya? Peristiwa terbaru ini tentu sekali akan mencemarkan nama baik SPRM. Bangunan SPRM tidak selamat lagi, dipenuhi hantu-hantu yang sentiasa bersedia menolak mangsanya dari tingkap di mana-mana aras bangunan itu. Sah negara ini sudah tak selamat lagi. Hari-hari ada saja pembunuhan, rogol, tumbuk rusuk, anak atau cucu pukul bapa atau atuk, atuk rogol cucu dan macam-macam lagi. Ini menunjukkan bahawa ada yang tidak kena dengan sistem pemerintahan negara ini. Apabila negara ditadbir oleh mereka yang tidak berakhlak, maka kejadian-kejadian serupa ini pasti datang menimpa sebagai musibah dan malapetaka. Justeru, hubaya! hubaya! apabila orang tidak berakhlak mempersoalkan akhlak seorang alim. Tentu ada yang tidak kenakan? Jangan tunggu lagi, tukar jangan tak tukar. Kalau tak tukar tayarnya, mesti tukar tiubnya, kerana tiubnya sudah bocor dan tayar menjadi pancit. Kah! Kah! Kah! Busuk ikan bermula dari kepalanya. Keroh air di hulu tak jernih air di kuala.

Monday, 4 April 2011

Video Sex Carcosa

Aku dah naik muak dan bosan dengan cerita karut ini. Pada mulanya malas aku dan komen hal-hal karut marut seperti ini. Tetapi apabila ianya sudah dimasukkan ke dalam youtube dan nak ditayangkan pula dalam parlimen, ianya sudah betul-betul karut. Nampaknya juak-juak di sebelah sana boleh buat apa sahaja, walaupun langgar undang-undang, undang-undang bukan untuk mereka, tetapi untuk kita yang tak sebulu dengan mereka. Aku tak tahu apa sebenarnya kerja polis? Hal-hal yang terang-terang menyalahi undang-undang kalau dilakukan oleh penyokong Umno/BN tidak diambil tindakan pun. Banyak perkara boleh dibuktikan, malas aku nak cakap banyak. Rakyat sedang melihat semuanya ini. Jangan sampai rakyat menunjukkan kemarahan di jalan-jalan raya dan berhimpun secara besar-besaran seperti di Mesir, Tunisia dan lain-lain negeri yang seumpamanya, Pada ketika itu menyesal dah tak berguna lagi. Jangan ingat rakyat bodoh! Jangan diperbodohkan rakyat! Kalau kalian sememangnya bodoh, jangan samakan orang lain sama bodoh dengan anda. Kalian boleh berbohong sekali, dua kali kepada beberapa orang, tetapi kalian tidak boleh berbohong setiap kali kepada semua orang. Aku dah muak dengan perangai Umno/BN ini. Kali ini mesti tukar, jangan tak tukar. Jangan dibiarkan kita terus diperbodohkan oleh keldai-keldai bodoh ini! Walaahualam!

Tuesday, 29 March 2011

Meninjau Pemikiran Orang Sarawak

Pola Pemikiran Orang Sarawak Semakin Berubah Oleh Razali Endun Kali terakhir saya melawat Sarawak ialah pada 2008 dahulu. Pada minggu lepas saya berpeluang ke Kucing sekali lagi untuk menghadiri suatu mesyuarat persatuan bas. Pada kesempatan berada di Kucing selama tiga hari itu saya cuba meninjau wargakotanya bagi menyelami keadaan politik menjelang pilihan raya Dewan Undangan Sarawak yang dijadual diadakan pada 16 April akan datang. Rata-rata masih ramai lagi yang takut-takut mahu menyatakan pendirian mereka tentang pemilihan calon dan politik Tan Sri Taib Mahmud, apa lagi membicarakan secara terbuka tentang kekayaan Ketua Menteri bumi kenyalang itu. Namun dalam keadaan demikian tidak kurang juga yang berani menyatakan bahawa memang benar Ketua Menteri dan keluarganya terlalu kaya sekali dan percaya lebih kaya daripada Sultan Berunei. Malah ada yang sudah menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat yang akan bertanding di Sarawak nanti. Orang pertama saya ajukan pertanyaan berkaitan dengan keadaan politik ialah seorang pesara pegawai kerajaan yang sekarang menjadi Pengerusi salah sebuah syarikat bas di Sarawak. Beliau amat payah mahu mengeluarkan pendapatnya kerana katanya dia tidak berminat dan tidak bergiat dalam politik. Namun daripada perbualan kami dapat saya terka bahawa dia penyokong kuat parti PBB yang diketuai oleh Taib Mahmud. Berlainan pula dengan respons seorang pemandu van sapu berbangsa Cina di bandaraya ini yang terlalu berani menyatakan pendiriannya. Vannya kelihatan uzur, dan kusyen banyak yang terkoyak. Kami tahu risikonya amat tinggi menggunakan van ‘haram’ tanpa permit itu. Akan tetapi di Kucing pun perkhidmatan pengangkutan awamnya amat mengecewakan, maka kami tidak ada pilihan melainkan menyewa vannya kerana amat payah mendapatkan teksi dan bas untuk ke pasar Satok yang terkenal dengan jualan ikan terubuknya. Saya sengaja memancing dengan pertanyaan provokasi untuk melihat reaksinya. Pancingan saya mengena apabila dia gemar sekali membicarakan kekayaan Taib Mahmud tanpa berasa takut. Saya bertanyakan kepadanya, betulkah Tan Sri Taib Mahmud itu kaya orangnya? “Ayo! Manyak kaya Loo!” nada suaranya agak tinggi sambil berpaling kepada saya yang duduk di sebelahnya. “Dia punya luit satu kapal Oo!” sambungnya tanpa saya meminta. Saya dan tiga orang lagi kawan di dalam van itu ketawa besar. “Lu tak bohong kah?” sengaja saya bertanya untuk memastikan kenyataannya itu. “Aiya! Semua olang tahu lo!” ujarnya sungguh-sungguh. Kenyataannya itu diakui oleh seorang pemandu teksi mewah berbangsa Melayu. Pemandu ini tidak menafikan kekayaan Taib Mahmud dan keluarganya, malah bersetuju Taib Mahmud lebih kaya daripada Sultan Berunei. Hampir semua syarikat besar di seluruh Sarawak milik keluarga ini. Malah resort di kaki gunung Mulu pun dipercayai dimiliki oleh keluarga ini. Maka dakwaan beliau itu kaya tentu sekali ada kebenarannya, kata pemandu ini. Ditanya parti mana akan menang dalam pilihan raya yang akan diadakan ini, katanya, ‘saya rasa BN juga akan menang.’ “Apa alasannya?” tujah saya “Kalau tak main tipu, BN susah menang,”sambungnya. “Betulkah mereka tipu?” “Ya! banyak kes di mana dicurigai peti undi ditukar dengan yang lain. Membawa peti undi dengan helikopter dan perjalanan terlalu jauh, kemungkinan ini boleh berlaku. Ada satu insiden di mana ketika pengiraan undi, lampu tiba-tiba padam. Ini juga menimbulkan kecurigaan ketika pengiraan undi dijalankan,” jelasnya panjang lebar. Lalu saya teringat insiden yang sama berlaku di parlimen Pantai apabila undi Zainur Zakaria yang mewakili PKR mengatasi Sharizat Abd Jalil (BN) dalam perkiraan undi pada suatu pilihan raya parlimen dulu. Tiba-tiba lampu dalam dewan terpadam, dan apabila dikira semula Sharizat mengatasi Zainur dalam perkiraan itu. Tidak pasti sama ada lampu itu kebetulan terpadam atau sengaja dipadamkan, akan tetapi ada persamaan dengan apa yang diceritakan oleh pemandu teksi ini. Seorang pemandu teksi Cina pula membuat lawak betapa hebatnya Taib Mahmud mampu mengawini wanita Arab yang berusia 28 tahun. “Aiya! Dia 74 tahun bah, tentu manyak luit baru pelempuan mau!” ujarnya dengan ketawa besar. “Banyak duit saja tak guna kalau dia tak kuat,” jolok saya lagi. “Aiya! Olang kaya, olang besat tak-tak kuat pun boleh buat jadi kuat!” tawanya semakin memanjang. Kami turut sama ketawa. Di Kampung Gerisik yang terkenal dengan kek lapis Sarawak ramai di situ sudah kenal dengan Anwar Ibrahim. Kata salah seorang penjual kek di situ, kalau Anwar mengadakan ceramah orang bersesak-sesak datang dan kereta berderet di letakkan sepanjang 2 km. Apabila ditanya sama ada mereka akan mengundi BN, seorang wanita memberi tahu, “Kalau mereka kasi duit, saya undi mereka. Rumah saya sudah lama bocor, tak siapa pun datang membantu. Saya ni bukan orang kaya macam mereka,” sungut wanita ini. Di pasar Satok di mana tempat terkenal penjualan ikan terubuk sudah ramai dikerumuni orang ramai. Peniaga di situ ramai terdiri daripada orang Melayu. Mereka juga tidak gemar bercerita tentang pilihan raya dan kekayaan Taib Mahmud. Mungkin takut lesen mereka ditarik balik. Namun ada beberapa orang Melayu memberi komen apabila saya membeli senaskah akhbar Harakah di situ. “Oh! Orang Pakatan! Baguslah. BN taruh di buntut,” komennya dalam nada suara antara dengar dengan tidak. “Saya suka Nik Aziz,” komen seorang lain. “Dia amat merendah diri dan tawaduk orangnya,” sambung orang itu lagi. Saya hanya tersenyum kerana kurang sesuai berinteraksi lebih lama lagi dalam keadaan orang ramai sibuk membeli belah. Itulah senario mutakhir di bandaraya Kucing. Kalau boleh diandaikan pandangan beberapa orang itu mewaklili suara majoriti rakyat Sarawak, ianya suatu petanda positif untuk PR bertapak lebih kukuh di situ. Namun, seandainya suara-suara itu bukan mewakili rakyat Sarawak keseluruhannya, akan tetapi ianya sudah jelas membuktikan bahawa pemikiran mereka sudah mula berubah dengan tidak lagi terkongkong secara taksub menyokong parti PBB yang bersekongkol dengan BN.

Wednesday, 23 March 2011

Hegemoni Politik Mengatasi Suara Seniman

Interlok- Bukti hegemoni politik mendominasi suara seniman

Novel Interlok karya SN Datuk Abdullah Hussein yang hangat diperkatakan beberapa minggu lalu kelihatan sudah reda daripada dipolemikkan. Interlok dihebohkan oleh orang politik, maka penyelesaiannya juga dibuat oleh orang politik, bukan oleh seniman atau sasterawan. Isu ini kelihatan selesai apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa penggunaan novel itu dalam Komsas dikekalkan dengan dilakukan pindaan kepada ayat-ayat yang dikatakan menghina kaum India iaitu ‘paria.’

Ini bererti keputusan Tan Sri Muhyiddin tidak selari dengan ketetapan persatuan-persatuan penulis dan sasterawan yang mahukan Interlok dikekalkan tanpa apa-apa pindaan, kecuali diperlengkapkan glosari dan disediakan buku bimbingan bagi memudahkan guru memperjelaskan isu yang dibangkitkan. Keputusan Muhyiddin untuk meminda atau memadamkan perkataan paria memberi kemenangan moral kepada MIC. Manakala kesannya kepada dunia kesusasteraan menjurus kepada kekangan pengarang dalam berkarya serta mengaibkan para sasterawan.

Muhyiddin mungkin mengambil jalan tengah bagi meredakan kemelut yang berpanjangan itu. Bagi beliau itu adalah satu keputusan menang-menang (win-win situations), yakni kedua belah pihak berasa menang, meskipun hakikatnya bukan begitu.

Isu Interlok diperbesarkan oleh orang politik untuk kepentingan politik individu dan puak-puak mereka. Ianya telah dijadikan isu yang sarat dengan emosi dan sentimen perkauman mengatasi sentimen kewarasan akademik dan hakikat sejarah. Mereka melihat Interlok dari prespektif politik sempit perkauman, bukan dari aspek sasteranya. Novel itu menjadi mangsa politik yang dipolitikkan oleh orang-orang politik yang sentiasa mencari peluang untuk mempolitikkan apa-apa sahaja yang boleh dijadikan isu untuk dipolitikkan. Begitulah jargon golongan orang politik.

Meskipun isu ini melibatkan dunia sastera namun penyelesaiannya bukan dibuat oleh golongan sasterawan. Walaupun golongan ini lantang menyuarakan pendirian mereka, namun suara-suara mereka hilang ditelan gema kuasa golongan politik. Suara seniman/budayawan dianggap tidak penting dalam politik negara ini, lebih-lebih lagi kepentingan parti-parti politik yang menganggap nilai sekeping undi mengatasi maruah serta nilai sesebuah karya sastera. Jelas sekali hegemoni politik mendominasi suara para seniman/budayawan.

Interlok sebenarnya mempertembungkan hagemoni kuasa antara golongan politik dengan seniman/budayawan. Dalam senario politik di negara ini suara seniman/budayawan selalunya tidak diambil kira oleh golongan politik. Ini kerana kuasa politik menjadi penentu sesebuah negara, bukan seniman/budayawan. Maka dengan hal yang demikian para seniman/budayawan hanya menjadi pak turut sahaja, bukan menjadi sebahagian daripada penentu dasar seperti golongan politik.

Maka gagasan yang diperjuangankan oleh sdra. Dinsman untuk menjadikan ‘clutural will’ setara dengan ‘political will’ seolah-olah mematahkan ranting di hujung dahan dengan keputusan isu Interlok ini. Jelas sekali keputusan Muhyiddin adalah keputusan politik, bukan keputusan yang berlandaskan hakikat sejarah/budaya, jauh sekali berdasarkan estetika sastera.

Konsep ‘cultural will’ boleh dijadikan gagasan untuk diperkembang dan diperjuangkan. Gagasan ini sangat signifikan kepada maruah golongan seniman/budayawan. Ianya harus dijadikan sebagai landasan perjuangan para seniman/budayawan bagi memperlihatkan suara mereka diambil kira dalam apa juga isu dan masalah. Seniman/budayawan tidak harus mengikut telunjuk golongan politik, apa lagi hanya menjadi pak turut. Seniman/budayawan mesti ada peranan memimpin, bukan dipimpin seperti kerbau ditarik hidung. Seniman/budayawan mesti dilihat setara atau setaraf dengan golongan politik kalau pun tidak melebehi mereka.

Dalam isu Interlok, jelas sekali Muhyiddin tidak mengambil kira pandangan para sarjana sastera dan sasterawan. Dari segi akademik dan logik penceritaan, novel tersebut tidak ada unsur penghinaan mana-mana kaum. Apa yang dibangkitkan oleh pemimpin MIC dan kelompoknya tidak mempuyai asas logik serta akademik, ianya semata-mata dipengaruhi oleh sentimen perkauman yang sempit.

Kewujudan golongan paria di India adalah satu hakikat. Ramai di antara golongan ini datang ke Malaya adalah hakikat sejarah yang tidak boleh dinafikan. Muhyiddin boleh saja membuat kesimpulan bahawa pandangan para sarjana sastera adalah lebih logik dan munasabah. Maka keputusan harus berdasarkan penilaian sejarah dan sastera per se, bukan sentimen politik perkauman. Namun Muhyiddin memilih penyelesaian yang bermotifkan politik.

Gapena/Pena, Paksi dan beberapa pertubuhan lain tidak bersetuju dengan keputusan Muhyiddin itu. Malah beberapa orang waklil Pena dengan berani ‘menerjah’ ke arah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyerahkan Memorandum ketika PM membuat kunjungan di Kampung Baru, baru-baru ini. Perbuatan ini bukan suatu tidakan desperate atau kurang ajar, tetapi ianya tersemat suatu keberanian yang merangsang tindakan itu untuk menyatakan yang benar. Ini satu petanda yang positif untuk merevolusikan minda para seniman/budayawan yang sekian lama dimomokkan oleh golongan politik. Revolusi tidak semestinya mengangkat senjata, ianya boleh dilakukan dalam pelbagai cara.

Kenyataan Majlis Perunding Melayu (MPM) bersama Pena menyarankan supaya kerabat seniman/budayawan serta orang Melayu tidak memberikan undi kepada calon India pada pilihan raya akan datang tidak akan memberi kesan kepada kerajaan pimpinan Umno/BN. Seruan itu sepatutnya ditujukan kepada semua calon Umno/BN maka impaknya mungkin berbeza. Sayangnya keberanian ini tidak ada dalam diri sesetengah pemimpin MPM dan Pena kerana ramai di antara mereka menjadi penyokong totok parti itu.

Kaum India tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini kerana menjadi hak mereka menyuarakan apa-apa sahaja yang tidak dipersetujui mereka. Akan tetapi kepimpinan Melayu kita yang lantang memperjuangkan ketuanan Melayu dan Melayu didahulukan, menjadi lembik setelah diasak oleh golongan ini. Kepimpinan kita sanggup mengenepikan maruah serta hakikat sejarah semata-mata demi kepentingan politik mereka. Contoh ini bukan pertama kali berlaku, banyak lagi contoh berlaku sebelum ini.

Sudah sampai masanya para seniman/budayawan bangun bertindak mempertahankan maruah dan intergeriti golongan ini. Suara golongan ini harus didengar dan diambil kira. Orang politik bukan tuan kita tetapi kadam kepada kita dan rakyat. Jangan dipuja mereka sebagai dewa kerana dewa ini akan memomokkan minda kita supaya mengikut jalur pemikiran mereka, walaupun tidak benar. Manusia yang bermaruah ialah mereka yang mempuyai kebebasan berfikir dan berani berkata benar. Pemimpin yang bermaruah ialah pemimpin yang tidak sembunyikan kebenaran.

Bengkel Penulisan Kritis

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan kerjasama Persatuan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) akan menganjurkan 7 hari kursus/bengkel kepada para penulis yang berfikiran kritis, maju dan bertanggungjawab dalam bidang penulisan esei, rencana, cerpen, sajak, novel dan teater. Pembimbing terdiri daripada para penulis yang berpengalaman dalam bidang masing-masing termasuk SN Datuk A. Samad Said. Difahamkan kursus/bengkel ini diadakan secara percuma. Kursus/bengkel tersebut akan diadakan seperti berikut:-

Tarikh : dari 13 - 19 Mei 2011
Tempat : Chalet Titihayun, Yan Kedah.
Penginapan Makan/Minum: Percuma

Pertanyaan/pendaftaran: Dinsman e mel dinsman49@yahoo.com
SMS 019-9592408

Azizi Hj. Abullah e mel editorup@yahoo.com
Tel: 04-8299511 samb-239 (waktu pejabat)

Sesiapa yang berminat sila daftar sekarang. Penyertaan adalah terhad, siapa cepat dia dapat.
Ayuh! jangan lepaskan peluang keemasan ini.

Perhatian: Chalet Titihayun hanya beberapa km dari pekan Yan, Kedah. Anda boleh sampai melalui pekan Yan kira-kira 8 km atau melalui Merbok menyusur jalan laut sehingga ke pekan kecil Yan.

Selamat datang dan terus menulis dengan kritis.

Monday, 14 March 2011

'Ultraman' Superhero Jepun ditelan Tsunami

Langkaran kartun dalam Berita Minggu baru-baru ini telah mendapat bantahan para twitter dan blogger di negara ini, kononnya kartun itu menghina rakyat Jepun yang sedang menghadapi musibah gempa bumi dan tsunami. Kartun itu menggambarkan ultraman lari lintang pukang daripada ditelan ombak tsunami. Aku naik pelek juga, yang bantah rakyat Malaysia bukan rakyat Jepun. BH terus mohon maaf pula.

Kalau dilihat dari sudut dan aspek lain, pelukis kartun itu cuba memaparkan bahawa superhero seperti ultraman pun tidak ada kuasa untuk melawan kekuasan Allah. Gempa bumi dan tsunami bukan sahaja musibah dan malapetaka tetapi ianya menunjukkan betapa Allah berkuasa di atas segala-galanya. Manusia tidak bisa mengatasi kuasa Allah, kalau boleh dengan teknologi canggih pengesan gempa bumi yang dicipta manusia masih tidak dapat memberi amaran awal akan kejadian gempa bumi dan tsunami itu. Itulah kelemahan manusia.

Maka kartun itu hendaklah dilihat dari perspektif positif iaitu dari sudut agama, tauhid dan ketaqwaan. Kalau dilihat dari sudut menghina, apa saja boleh dianggap menghina seperti perkataan 'paria' dalam novel interlok. Wallahualam!

Monday, 7 March 2011

sayembara Novel Sejarah Johor

Aku baru pulang dari menghadiri bengkel penulisan novel sejarah anjuran Yayasan Warisan Johor di Hotel Puteri Resort, Air Keroh, Melaka. Seramai 34 orang hadir, ramai antaranya kaum wanita, masih muda dan belum pernah menulis. Ini kali ke-3 bengkel serupa ini diadakan untuk persediaan sayembara tersebut kali ke-4.

Cuma dua orang sahaja di antara yang hadir itu pernah menghasilkan novel dalam kalangan khalayak itu, antaranya aku (bukan nak membangga diri tetapi itu adalah realiti) dan Rahimah Muda. Justeru itu menimbulkan kebimbangan Penolong Pengarah Yayasan itu, Tuan Hj. Ismail Zam Zam yang khuatir penyertaannya nanti tidak seperti yang diharapkan.

Maka dengan yang demikian, beliau mencadangkan supaya Yayasan itu mengajurkan peraduan menulis cerpen panjang sekitar 2,500 ke 5,000 perkataan tentang sejarah Johor, khusus untuk mereka yang baru cuba menulis sebagai satu galakan. Lalu bagi penulis-penulis yang sudah biasa menulis novel dan pernah menyertai bengkel berkenaan beliau menyarankan supaya diadakan suatu dialog antara mereka dengan Yayasan bagi mencari penyelesaian kemelut kekurangan minat penulis menulis genre novel sejarah ini. Aku rasa ini satu cadangan yang praktikal dan boleh disegerakan tindakannya.

Hadiah yang disedikan agak lumayan, Hadiah pertama: RM 35,000, kedua RM 25,000 dan ketiga RM 15,000. Mankala 5 hadiah saguhati disediakan sebanyak RM 5,000 setiap satu. Aku cadangkan supaya dinaikkan hadiah kedua, ketiga dan saguhati kerana untuk menulis novel sejarah ianya memerlukan masa, wang ringgit dan kesabaran untuk membuat kajian. Namun mereka tidak memberikan jawapan pasti, kerana mungkin mereka tidak punya kuasa untuk mengambil keputusan dalam hal seperti ini, kecuali kerajaan negeri Johor. Apa pun harap-harap mereka panjangkan cadangan ini kepada pihak atasan kerajaan negeri Johor.

Ayuh, para penulis yang mempunyai bakat menulis novel, mari kita sama-sama ramaikan dan menyertai peraduan ini. Manalah tahu ada antara kita akan menjadi juara. Tahun lepas Rahumah Muda berjaya menggodol hadiah pertama, kedua pengarang dari Riau, ketiga WB Rendera. Manakala Aku, Kassim Mahmud, Talib Latif dan Rahimah Muda dapat hadiah Saguhati. Syukurlah juga terpilih! Mari kekawan, jangan lepaskan peluang ini.