Thursday 28 October 2010

"Ranum" Kumpulan Cerpen Terbaru Razali Endun









NOTA: Kumpulan Cerpen 'Ranum' merupakan buku baru terbitan saya. Ianya boleh didapati dengan membuat pesanan kepada saya melalui SMS di nombor tel. 019-6658064. Pesanan terus diberi harga istimewa. Cuma RM 15.00 senaskah termasuk belanja pos. Pesanlah sekarang untuk membantu sesama penulis. Terima kasih atas perhatian.



Ranum’ bukti kelangsungan Razali Endun terus berkarya
-----------------------------------------------------

Oleh Abd. Shukur Harun

Razali Endun adalah di antara penulis veteran yang masih tekun berkarya hingga kini. Yang mendorongnya berterusan menulis cerpen, novel, puisi dan rencana – ialah kerana dia memiliki pemikiran kritikal, atau ‘critical thinking,’ yang seharusnya dimiliki oleh golongan penulis.

Sebagai penulis, dia telah melaksanakan tugasnya dengan baik sebagai jurubicara masyarakat dan zamannya. Sebab itu karyanya bukan sekadar potret biasa atau sebagai foto yang kaku, tetapi pelbagai peristiwa mengandungi tafsiran, kritikan, renungan dan sebagainya.

“Ranum” merupakan kumpulan cerpennya yang terbaharu. Kumpulan cerpennya yang pertama berjudul “Dua Era” telah diterbitkan pada 2002. ‘Ranum’ merakamkan pelbagai peristiwa terkini di dalam masyarakat, sarat dengan falsafah, kritikan sosial dan sindiran terhadap para tokoh yang menjadi pelaku di dalam ceritanya.

Walaupun beliau seorang usahawan, pengusaha pengangkutan, tetapi usahawan yang seorang ini memiliki daya kreatif dan imaginasi yang cukup tinggi. Penulis seperti ini tentu jarang kita jumpai. Inilah keistimewaan Razali Endun, bahawa dia bukan dari kalangan kebanyakan usahawan di mana perhitungan ekonomi yang mendominasi pemikiran mereka.

‘Ranum’ melakarkan kehidupan masa kini – desa dan bandar, politik dan sosial. Sebagai anak desa di Melaka, Razali Endun menggambarkan kehidupan desa dengan latar belakang kampung dusun yang sangat hidup.

Cerpen Ranum melakar pergelutan antara watak utama, Pak Abu dan Pak Tam. Walaupun cerpen ini mengisahkan sebutir rambutan ranum, namun ianya hanya sebagai lambang kepada penceritaan peristiwa yang lain. Temanya seakan-akan berbau lucah, akan tetapi setelah diolah secara kreatif ianya berjaya menengelamkan unsur erotik itu.

Cerpen, ‘Anak-Anak Milenium’ menceritakan bagaimana watak utamanya, seorang bayi ketika berada di dalam perut ibu, di mana sang ibu mengalami keperitan dan kesakitan ketika melahirkannya. Namun segala kesakitan dan susah payah ibu ketika melahirkan bertukar menjadi kegembiraan apabila melihat ‘saya’ lahir dan membelainya dengan penuh kasih sayang.

Selepas dilahirkan, ‘saya’ berdepan dengan situasi yang sangat menggerunkan. Pelbagai kejahatan manusia dipertontonkan. Keruntuhan akhlak, perompakan, perogolan, rasuah serta perang yang menggila menjadi pengalaman baru ‘saya.’ Di sinilah peranan datuk yang amat mengasihi, memberi keyakinan diri untuk terus hidup. Datuklah yang menerangkan segalanya akan erti kehidupan ini bahawa di dalam dunia ini bukan terdapat orang jahat saja, tetapi orang baik, beriman, penuh kasih sayang juga ada. Datuknya inilah yang mengajarnya akan erti kehidupan.

Kisah kehilangan sepatu dan selipar di masjid dilukiskan oleh Razali Endun dalam cerpennya, ‘Sepatu Raya Untuk Ramadan’; dengan agak lucu, tetapi menarik. Ramadan memang sangat ingin untuk memiliki sepatu, ditambah lagi dengan kedatangan hari raya beberapa hari lagi. Cerpen ini merungkai falsafah di antara kepala dan kaki. Di antara songkok dan sepatu. Mana yang lebih diberi keutamaan.

Konflik di antara Pak Uda yang mementingkan sepatu daripada songkok dengan ayah yang mementingkan songkok atau ketayap daripada sepatu sangat menarik untuk dijadikan renungan.

Banyak lagi cerpen menarik Razali Endun yang termuat dalam kumpulan cerpennya ‘Ranum’; antaranya, Mengejar Fatamorgana, Tikus, Mereka Kembali Lagi, Cah Keting, Hari Lahir Papa, Melibas Hantu, Melanggar Adat, Keranda 152, Kami Anak-Anak Isa dan Pagar Dan Padi.

Sudah tentu cerpennya, ‘Keranda 152’, ‘Kami Anak-Anak Isa’ dan ‘Melibas Hantu’, bernuansa politik. ‘Keranda 152’ adalah rakaman mengenai tantangan rakyat terhadap peminggiran Bahasa Melayu oleh pemerintah. Betapa sedihnya anak-anak watan melihat bahasanya dipinggirkan oleh mereka yang berkuasa di kalangan anak bangsanya sendiri.

‘Keranda 152’, secara simbolis merakamkan kekesalan dan kekecewaan seorang ‘abah’ apabila mendengar khutbah Jumaat di kampungnya disampaikan dalam bahasa Arab. Pada hal, kata abahnya itu, orang kampung tidak faham bahasa Arab. Ini bermakna pihak berkuasa masjid itu telah mengambil sikap tidak peduli terhadap kemahuan kebanyakan masyarakat kampung supaya khutbah disampaikan dalam bahasa Melayu. Bacalah seterusnya kisah menarik yang dilukiskan secara simbolik.

Cerpennya ‘Kami Anak-Anak Isa’ ialah kisah sedih bagaimana anak isteri mangsa tahanan ISA pergi membawa juadah hari raya untuk ayahnya yang merengkuk di Pusat Tahanan ISA’ di Perak. Kisah sedih di pagi raya ini mungkin dapat dirasakan sama oleh mangsa tahanan ISA, yang ditahan di bawah Akta zalim itu.

Manakala ‘Melibas Hantu’ mengisahkan pengundi hantu yang bermaharajalela ketika musim pilihan raya. Bagaimana Mualim yang rakus untuk memenangi pilihan raya sanggup berbuat apa saja walaupun bersekongkol dengan ‘hantu.’ Lebai Yob yang menjadi pesaingnya masih berpegang kuat kepada lunas-lunas agama. Kemuncaknya sangat melucukan, tetapi mengandungi sindiran tajam.

Demikian beberapa tema penting yang menjadi latar belakang Razali Endun dalam mengolah cerpennya. Tentu sahaja kita berharap, beliau akan terus berkarya walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Ini kerana bukan mudah bagi seseorang penulis untuk terus kekal menghasilkan karya. Razali Endun, seperti dikatakan, adalah contoh bagaimana penulis veteran dapat terus menulis.

Wednesday 27 October 2010

Mahasiswa UM pentas MKDT

Azrol Azahar melakonkan watak Kaab pada pementasan MKDT di Taman Budaya, KL
Pro-Canselor UM Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Pengerusi Lembaga Pengarah UM Tan Sri Arshad Ayob turut menyaksikan pementasan MKDT oleh mahasiswa UM baru-baru ini.


MKDT gamit minat Pro-Canselor dan Lembaga Pengarah Universiti Malaya.


Teater monolog ‘Menunggu Kata Dari Tuhan,’ karya Dinsman yang dipentaskan pada 20 & 21 Okt. lalu di Auditorium Taman Budaya, Kuala Lumpur memasuki senario baru apabila ianya berjaya menarik minat ahli akademik dan pihak pengurusan tertinggi Universiti Malaya (UM).

Teater yang buat kali ke-44 dipentaskan, bermula di The Stor di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 26 Mac 2009, menggamit minat Pro-Canselor Tan Sri Siti Norma Yaakob serta Tan Sri Arshad Ayub, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya.

Turut hadir pada persembahan itu ialah Naib Canselor, Profesor Dr. Gauth Jasmon, Timbalan Naib Canselor, Prof. Dr. Rohana Yusof dan Prof Dato’ Dr. Mohd Jamil Maah, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UM.

Menurut puan Roselina Johari bte Mohd Khir, Pensyarah Kanan merangkap Penasihat pementasan ini, mereka tidak sangka pembesar-pembesar universiti ini sudi menyahut undangan mereka. Kebiasaannya mereka kurang berminat menonton teater, kehadiran mereka kali ini bukan sahaja menyelak lembaran baru sejarah UM, tetapi juga merupakan suatu penghormatan kepada mahasiswa-mahasiswa Pusat Kebudayaan UM yang menjayakan teater ini.

Ramai tidak menyangka seorang bekas Hakim mahkamah Tinggi/Persekutuan seperti Tan Sri Siti Norma sudi meluangkan masa untuk menonton teater Islamik ini. Dalam sejarah pementasannya sepanjang lebih kurang setahun setengah, ianya hanya ditonton oleh peminat teater serta orang awam. Teater ini juga berjaya membolosi tembok masjid dan surau apabila ianya mendapat kebenaran mementaskannya di dalam bangunan tempat beribadat itu.

MKDT juga pernah di persembahkan di hadapan mantan DYMM Sultan Kelantan, Menteri Besar dan ahli exconya di Istana Kelantan pada 30 Mac 2009. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga pernah menontonnya bersama-sama ahli exco dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. MKDT boleh dipentaskan di mana-mana sahaja, di pentas teater yang lengkap, di masjid, di sekolah, di madarasah, di pentas terbuka termasuk di bawah khemah seperti di Melaka.

Yang penting bagi Dinsman selaku pengarah dan penulis skripnya ialah mesej dakwah itu dapat disampaikan kepada orang ramai biarpun dalam keadaan yang kurang sempurna. Begitulah sejarah persembahan MKDT yang berkesinambungan yang seharusnya mendapat perhatian ‘Malaysian Books of Records’ untuk direkod dan diberikan anugerah kerana memecah rekod persembahan teater yang paling lama.

Persembahan MKDT kali ini tidak diarahkan oleh Dinsman dan juga tidak dilakonkan oleh Sabri Yunus dan Sani Sudin. Ianya di persembahkan keseluruhannya oleh mahasiswa Pusat Kebudayaan UM sempena Malam Kebudayaan Islam 2010. Watak Kaab dilakonkan oleh mahasiswa tahun akhir, Azrol Azahar dan diarahkan oleh Che Zehan Che Ismail. Manakala pengesek biolanya ialah Zamry bin Mohd Nasir. Sdra Mohd Hairil Zainal Abidin bertindak sebagai pengurus pentas.

Pada keseluruhannya persembahan MKDT oleh mahasiswa Pusat Kebudayaan UM tidak mengecewakan. Azrol Azhar mampu membawa watak Kaab walaupun tidak semantap Sabri Yunus. Pada mulanya timbul kebimbangan kami sama ada Azrol berupaya membawa watak Kaab, kerana selain watak itu agak kompleks untuk dilakonkan, skripnya pula amat panjang untuk dihafal.

Tidak semua orang boleh menghafal skrip yang begitu panjang dan melakonkan watak Kaab yang dalam keadaan serba salah kerana tidak turut sama berperang bersama-sama Rasulullah. Sebelum ini dua pelakon lain membawa watak Kaab, satu di Kuala Terengganu dan satu lagi di Taman Melewar. Kami tidak berkesempatan menilai pelakon di Kuala Terengganu, tetapi yang melakonkan watak Kaab di Taman Melewar belum sampai ke tahap yang memuaskan. Namun Azrol berjaya membawa watak ini dan dapat menghafal skripnya dengan baik.

Apa yang paling menarik ialah gesekan biola oleh sdra Zamry sangat mengagumkan. Iramanya sangat sesuai dan melodinya cocok dengan persembahan teater ini. Gesekannya tidak sumbang, malah indah dan mengasyikkan. Sebagai pengesek biola pertama kali untuk teater ini, beliau berjaya mempesonakan penonton dengan gesekannya. Tidak menghairankan kerana menurut Roselina, beliau ialah pemuzik profesional.

Set pentasnya juga baik dengan mempamerkan dua batang pokok tamar dan sebuah pondok/rumah, mungkin kediaman Kaab. Teknik lampunya baik walaupun pada adegan membakar surat Raja Kosan, lampu dipadamkan terlalu lama sehingga meresahkan penonton. Rupa-rupanya lilin tidak berjaya dinyalakan untuk membakar surat itu, lalu adengan itu ditiadakan kerana masalah teknikal itu.

Ketika Kaab sedang bermunajat dan memohon ampun daripada Allah, ‘spotlight’ tidak disuluh ke arah wajah Kaab. ‘Spotlight’ hanya menyuluh apabila Kaab berguling di atas tanah. Oleh yang demikian penonton tidak dapat menyaksikan memek muka Kaab ketika di dalam penyesalan dan memohon taubat. Walaupun ianya mungkin perkara kecil tetapi memberi impak yang besar kepada watak itu.

Asrol berpontensi dan berbakat membawa watak Kaab, meskipun pertama kali melakonkan watak itu. Lakonannya akan bertambah baik dan mantap sekiranya beliau diberi kesempatan membawakan watak ini pada pementasan seterusnya. Malahan Sabri juga memperbaiki lakonannya setiap kali melakonkan watak itu sepanjang 41 kali pementasan. Begitu juga Sani Sudin, gesekan biolanya semakin mantap dan sempurana setelah menjalani sesi pementasan yang berterusan.

Asrol berpontensi menjadi pelakon teater sekiranya terus dibimbing oleh para pensyarahnya di Pusat Kebudayaan UM. Cuma pengarahnya barangkali belum berani untuk membuat perubahan pada pementasan teater ini. Misalnya menjadikannya sebagai teater muzikal, sebagai percubaan. Syabas kita ucapkan kepada krew pementasan ini. Kita menunggu pementasan terbaru menyusul daripada mahasiswa Pusat Kebudayaan ini.