Tuesday 29 March 2011

Meninjau Pemikiran Orang Sarawak

Pola Pemikiran Orang Sarawak Semakin Berubah Oleh Razali Endun Kali terakhir saya melawat Sarawak ialah pada 2008 dahulu. Pada minggu lepas saya berpeluang ke Kucing sekali lagi untuk menghadiri suatu mesyuarat persatuan bas. Pada kesempatan berada di Kucing selama tiga hari itu saya cuba meninjau wargakotanya bagi menyelami keadaan politik menjelang pilihan raya Dewan Undangan Sarawak yang dijadual diadakan pada 16 April akan datang. Rata-rata masih ramai lagi yang takut-takut mahu menyatakan pendirian mereka tentang pemilihan calon dan politik Tan Sri Taib Mahmud, apa lagi membicarakan secara terbuka tentang kekayaan Ketua Menteri bumi kenyalang itu. Namun dalam keadaan demikian tidak kurang juga yang berani menyatakan bahawa memang benar Ketua Menteri dan keluarganya terlalu kaya sekali dan percaya lebih kaya daripada Sultan Berunei. Malah ada yang sudah menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat yang akan bertanding di Sarawak nanti. Orang pertama saya ajukan pertanyaan berkaitan dengan keadaan politik ialah seorang pesara pegawai kerajaan yang sekarang menjadi Pengerusi salah sebuah syarikat bas di Sarawak. Beliau amat payah mahu mengeluarkan pendapatnya kerana katanya dia tidak berminat dan tidak bergiat dalam politik. Namun daripada perbualan kami dapat saya terka bahawa dia penyokong kuat parti PBB yang diketuai oleh Taib Mahmud. Berlainan pula dengan respons seorang pemandu van sapu berbangsa Cina di bandaraya ini yang terlalu berani menyatakan pendiriannya. Vannya kelihatan uzur, dan kusyen banyak yang terkoyak. Kami tahu risikonya amat tinggi menggunakan van ‘haram’ tanpa permit itu. Akan tetapi di Kucing pun perkhidmatan pengangkutan awamnya amat mengecewakan, maka kami tidak ada pilihan melainkan menyewa vannya kerana amat payah mendapatkan teksi dan bas untuk ke pasar Satok yang terkenal dengan jualan ikan terubuknya. Saya sengaja memancing dengan pertanyaan provokasi untuk melihat reaksinya. Pancingan saya mengena apabila dia gemar sekali membicarakan kekayaan Taib Mahmud tanpa berasa takut. Saya bertanyakan kepadanya, betulkah Tan Sri Taib Mahmud itu kaya orangnya? “Ayo! Manyak kaya Loo!” nada suaranya agak tinggi sambil berpaling kepada saya yang duduk di sebelahnya. “Dia punya luit satu kapal Oo!” sambungnya tanpa saya meminta. Saya dan tiga orang lagi kawan di dalam van itu ketawa besar. “Lu tak bohong kah?” sengaja saya bertanya untuk memastikan kenyataannya itu. “Aiya! Semua olang tahu lo!” ujarnya sungguh-sungguh. Kenyataannya itu diakui oleh seorang pemandu teksi mewah berbangsa Melayu. Pemandu ini tidak menafikan kekayaan Taib Mahmud dan keluarganya, malah bersetuju Taib Mahmud lebih kaya daripada Sultan Berunei. Hampir semua syarikat besar di seluruh Sarawak milik keluarga ini. Malah resort di kaki gunung Mulu pun dipercayai dimiliki oleh keluarga ini. Maka dakwaan beliau itu kaya tentu sekali ada kebenarannya, kata pemandu ini. Ditanya parti mana akan menang dalam pilihan raya yang akan diadakan ini, katanya, ‘saya rasa BN juga akan menang.’ “Apa alasannya?” tujah saya “Kalau tak main tipu, BN susah menang,”sambungnya. “Betulkah mereka tipu?” “Ya! banyak kes di mana dicurigai peti undi ditukar dengan yang lain. Membawa peti undi dengan helikopter dan perjalanan terlalu jauh, kemungkinan ini boleh berlaku. Ada satu insiden di mana ketika pengiraan undi, lampu tiba-tiba padam. Ini juga menimbulkan kecurigaan ketika pengiraan undi dijalankan,” jelasnya panjang lebar. Lalu saya teringat insiden yang sama berlaku di parlimen Pantai apabila undi Zainur Zakaria yang mewakili PKR mengatasi Sharizat Abd Jalil (BN) dalam perkiraan undi pada suatu pilihan raya parlimen dulu. Tiba-tiba lampu dalam dewan terpadam, dan apabila dikira semula Sharizat mengatasi Zainur dalam perkiraan itu. Tidak pasti sama ada lampu itu kebetulan terpadam atau sengaja dipadamkan, akan tetapi ada persamaan dengan apa yang diceritakan oleh pemandu teksi ini. Seorang pemandu teksi Cina pula membuat lawak betapa hebatnya Taib Mahmud mampu mengawini wanita Arab yang berusia 28 tahun. “Aiya! Dia 74 tahun bah, tentu manyak luit baru pelempuan mau!” ujarnya dengan ketawa besar. “Banyak duit saja tak guna kalau dia tak kuat,” jolok saya lagi. “Aiya! Olang kaya, olang besat tak-tak kuat pun boleh buat jadi kuat!” tawanya semakin memanjang. Kami turut sama ketawa. Di Kampung Gerisik yang terkenal dengan kek lapis Sarawak ramai di situ sudah kenal dengan Anwar Ibrahim. Kata salah seorang penjual kek di situ, kalau Anwar mengadakan ceramah orang bersesak-sesak datang dan kereta berderet di letakkan sepanjang 2 km. Apabila ditanya sama ada mereka akan mengundi BN, seorang wanita memberi tahu, “Kalau mereka kasi duit, saya undi mereka. Rumah saya sudah lama bocor, tak siapa pun datang membantu. Saya ni bukan orang kaya macam mereka,” sungut wanita ini. Di pasar Satok di mana tempat terkenal penjualan ikan terubuk sudah ramai dikerumuni orang ramai. Peniaga di situ ramai terdiri daripada orang Melayu. Mereka juga tidak gemar bercerita tentang pilihan raya dan kekayaan Taib Mahmud. Mungkin takut lesen mereka ditarik balik. Namun ada beberapa orang Melayu memberi komen apabila saya membeli senaskah akhbar Harakah di situ. “Oh! Orang Pakatan! Baguslah. BN taruh di buntut,” komennya dalam nada suara antara dengar dengan tidak. “Saya suka Nik Aziz,” komen seorang lain. “Dia amat merendah diri dan tawaduk orangnya,” sambung orang itu lagi. Saya hanya tersenyum kerana kurang sesuai berinteraksi lebih lama lagi dalam keadaan orang ramai sibuk membeli belah. Itulah senario mutakhir di bandaraya Kucing. Kalau boleh diandaikan pandangan beberapa orang itu mewaklili suara majoriti rakyat Sarawak, ianya suatu petanda positif untuk PR bertapak lebih kukuh di situ. Namun, seandainya suara-suara itu bukan mewakili rakyat Sarawak keseluruhannya, akan tetapi ianya sudah jelas membuktikan bahawa pemikiran mereka sudah mula berubah dengan tidak lagi terkongkong secara taksub menyokong parti PBB yang bersekongkol dengan BN.

Wednesday 23 March 2011

Hegemoni Politik Mengatasi Suara Seniman

Interlok- Bukti hegemoni politik mendominasi suara seniman

Novel Interlok karya SN Datuk Abdullah Hussein yang hangat diperkatakan beberapa minggu lalu kelihatan sudah reda daripada dipolemikkan. Interlok dihebohkan oleh orang politik, maka penyelesaiannya juga dibuat oleh orang politik, bukan oleh seniman atau sasterawan. Isu ini kelihatan selesai apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa penggunaan novel itu dalam Komsas dikekalkan dengan dilakukan pindaan kepada ayat-ayat yang dikatakan menghina kaum India iaitu ‘paria.’

Ini bererti keputusan Tan Sri Muhyiddin tidak selari dengan ketetapan persatuan-persatuan penulis dan sasterawan yang mahukan Interlok dikekalkan tanpa apa-apa pindaan, kecuali diperlengkapkan glosari dan disediakan buku bimbingan bagi memudahkan guru memperjelaskan isu yang dibangkitkan. Keputusan Muhyiddin untuk meminda atau memadamkan perkataan paria memberi kemenangan moral kepada MIC. Manakala kesannya kepada dunia kesusasteraan menjurus kepada kekangan pengarang dalam berkarya serta mengaibkan para sasterawan.

Muhyiddin mungkin mengambil jalan tengah bagi meredakan kemelut yang berpanjangan itu. Bagi beliau itu adalah satu keputusan menang-menang (win-win situations), yakni kedua belah pihak berasa menang, meskipun hakikatnya bukan begitu.

Isu Interlok diperbesarkan oleh orang politik untuk kepentingan politik individu dan puak-puak mereka. Ianya telah dijadikan isu yang sarat dengan emosi dan sentimen perkauman mengatasi sentimen kewarasan akademik dan hakikat sejarah. Mereka melihat Interlok dari prespektif politik sempit perkauman, bukan dari aspek sasteranya. Novel itu menjadi mangsa politik yang dipolitikkan oleh orang-orang politik yang sentiasa mencari peluang untuk mempolitikkan apa-apa sahaja yang boleh dijadikan isu untuk dipolitikkan. Begitulah jargon golongan orang politik.

Meskipun isu ini melibatkan dunia sastera namun penyelesaiannya bukan dibuat oleh golongan sasterawan. Walaupun golongan ini lantang menyuarakan pendirian mereka, namun suara-suara mereka hilang ditelan gema kuasa golongan politik. Suara seniman/budayawan dianggap tidak penting dalam politik negara ini, lebih-lebih lagi kepentingan parti-parti politik yang menganggap nilai sekeping undi mengatasi maruah serta nilai sesebuah karya sastera. Jelas sekali hegemoni politik mendominasi suara para seniman/budayawan.

Interlok sebenarnya mempertembungkan hagemoni kuasa antara golongan politik dengan seniman/budayawan. Dalam senario politik di negara ini suara seniman/budayawan selalunya tidak diambil kira oleh golongan politik. Ini kerana kuasa politik menjadi penentu sesebuah negara, bukan seniman/budayawan. Maka dengan hal yang demikian para seniman/budayawan hanya menjadi pak turut sahaja, bukan menjadi sebahagian daripada penentu dasar seperti golongan politik.

Maka gagasan yang diperjuangankan oleh sdra. Dinsman untuk menjadikan ‘clutural will’ setara dengan ‘political will’ seolah-olah mematahkan ranting di hujung dahan dengan keputusan isu Interlok ini. Jelas sekali keputusan Muhyiddin adalah keputusan politik, bukan keputusan yang berlandaskan hakikat sejarah/budaya, jauh sekali berdasarkan estetika sastera.

Konsep ‘cultural will’ boleh dijadikan gagasan untuk diperkembang dan diperjuangkan. Gagasan ini sangat signifikan kepada maruah golongan seniman/budayawan. Ianya harus dijadikan sebagai landasan perjuangan para seniman/budayawan bagi memperlihatkan suara mereka diambil kira dalam apa juga isu dan masalah. Seniman/budayawan tidak harus mengikut telunjuk golongan politik, apa lagi hanya menjadi pak turut. Seniman/budayawan mesti ada peranan memimpin, bukan dipimpin seperti kerbau ditarik hidung. Seniman/budayawan mesti dilihat setara atau setaraf dengan golongan politik kalau pun tidak melebehi mereka.

Dalam isu Interlok, jelas sekali Muhyiddin tidak mengambil kira pandangan para sarjana sastera dan sasterawan. Dari segi akademik dan logik penceritaan, novel tersebut tidak ada unsur penghinaan mana-mana kaum. Apa yang dibangkitkan oleh pemimpin MIC dan kelompoknya tidak mempuyai asas logik serta akademik, ianya semata-mata dipengaruhi oleh sentimen perkauman yang sempit.

Kewujudan golongan paria di India adalah satu hakikat. Ramai di antara golongan ini datang ke Malaya adalah hakikat sejarah yang tidak boleh dinafikan. Muhyiddin boleh saja membuat kesimpulan bahawa pandangan para sarjana sastera adalah lebih logik dan munasabah. Maka keputusan harus berdasarkan penilaian sejarah dan sastera per se, bukan sentimen politik perkauman. Namun Muhyiddin memilih penyelesaian yang bermotifkan politik.

Gapena/Pena, Paksi dan beberapa pertubuhan lain tidak bersetuju dengan keputusan Muhyiddin itu. Malah beberapa orang waklil Pena dengan berani ‘menerjah’ ke arah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyerahkan Memorandum ketika PM membuat kunjungan di Kampung Baru, baru-baru ini. Perbuatan ini bukan suatu tidakan desperate atau kurang ajar, tetapi ianya tersemat suatu keberanian yang merangsang tindakan itu untuk menyatakan yang benar. Ini satu petanda yang positif untuk merevolusikan minda para seniman/budayawan yang sekian lama dimomokkan oleh golongan politik. Revolusi tidak semestinya mengangkat senjata, ianya boleh dilakukan dalam pelbagai cara.

Kenyataan Majlis Perunding Melayu (MPM) bersama Pena menyarankan supaya kerabat seniman/budayawan serta orang Melayu tidak memberikan undi kepada calon India pada pilihan raya akan datang tidak akan memberi kesan kepada kerajaan pimpinan Umno/BN. Seruan itu sepatutnya ditujukan kepada semua calon Umno/BN maka impaknya mungkin berbeza. Sayangnya keberanian ini tidak ada dalam diri sesetengah pemimpin MPM dan Pena kerana ramai di antara mereka menjadi penyokong totok parti itu.

Kaum India tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini kerana menjadi hak mereka menyuarakan apa-apa sahaja yang tidak dipersetujui mereka. Akan tetapi kepimpinan Melayu kita yang lantang memperjuangkan ketuanan Melayu dan Melayu didahulukan, menjadi lembik setelah diasak oleh golongan ini. Kepimpinan kita sanggup mengenepikan maruah serta hakikat sejarah semata-mata demi kepentingan politik mereka. Contoh ini bukan pertama kali berlaku, banyak lagi contoh berlaku sebelum ini.

Sudah sampai masanya para seniman/budayawan bangun bertindak mempertahankan maruah dan intergeriti golongan ini. Suara golongan ini harus didengar dan diambil kira. Orang politik bukan tuan kita tetapi kadam kepada kita dan rakyat. Jangan dipuja mereka sebagai dewa kerana dewa ini akan memomokkan minda kita supaya mengikut jalur pemikiran mereka, walaupun tidak benar. Manusia yang bermaruah ialah mereka yang mempuyai kebebasan berfikir dan berani berkata benar. Pemimpin yang bermaruah ialah pemimpin yang tidak sembunyikan kebenaran.

Bengkel Penulisan Kritis

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan kerjasama Persatuan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) akan menganjurkan 7 hari kursus/bengkel kepada para penulis yang berfikiran kritis, maju dan bertanggungjawab dalam bidang penulisan esei, rencana, cerpen, sajak, novel dan teater. Pembimbing terdiri daripada para penulis yang berpengalaman dalam bidang masing-masing termasuk SN Datuk A. Samad Said. Difahamkan kursus/bengkel ini diadakan secara percuma. Kursus/bengkel tersebut akan diadakan seperti berikut:-

Tarikh : dari 13 - 19 Mei 2011
Tempat : Chalet Titihayun, Yan Kedah.
Penginapan Makan/Minum: Percuma

Pertanyaan/pendaftaran: Dinsman e mel dinsman49@yahoo.com
SMS 019-9592408

Azizi Hj. Abullah e mel editorup@yahoo.com
Tel: 04-8299511 samb-239 (waktu pejabat)

Sesiapa yang berminat sila daftar sekarang. Penyertaan adalah terhad, siapa cepat dia dapat.
Ayuh! jangan lepaskan peluang keemasan ini.

Perhatian: Chalet Titihayun hanya beberapa km dari pekan Yan, Kedah. Anda boleh sampai melalui pekan Yan kira-kira 8 km atau melalui Merbok menyusur jalan laut sehingga ke pekan kecil Yan.

Selamat datang dan terus menulis dengan kritis.

Monday 14 March 2011

'Ultraman' Superhero Jepun ditelan Tsunami

Langkaran kartun dalam Berita Minggu baru-baru ini telah mendapat bantahan para twitter dan blogger di negara ini, kononnya kartun itu menghina rakyat Jepun yang sedang menghadapi musibah gempa bumi dan tsunami. Kartun itu menggambarkan ultraman lari lintang pukang daripada ditelan ombak tsunami. Aku naik pelek juga, yang bantah rakyat Malaysia bukan rakyat Jepun. BH terus mohon maaf pula.

Kalau dilihat dari sudut dan aspek lain, pelukis kartun itu cuba memaparkan bahawa superhero seperti ultraman pun tidak ada kuasa untuk melawan kekuasan Allah. Gempa bumi dan tsunami bukan sahaja musibah dan malapetaka tetapi ianya menunjukkan betapa Allah berkuasa di atas segala-galanya. Manusia tidak bisa mengatasi kuasa Allah, kalau boleh dengan teknologi canggih pengesan gempa bumi yang dicipta manusia masih tidak dapat memberi amaran awal akan kejadian gempa bumi dan tsunami itu. Itulah kelemahan manusia.

Maka kartun itu hendaklah dilihat dari perspektif positif iaitu dari sudut agama, tauhid dan ketaqwaan. Kalau dilihat dari sudut menghina, apa saja boleh dianggap menghina seperti perkataan 'paria' dalam novel interlok. Wallahualam!

Monday 7 March 2011

sayembara Novel Sejarah Johor

Aku baru pulang dari menghadiri bengkel penulisan novel sejarah anjuran Yayasan Warisan Johor di Hotel Puteri Resort, Air Keroh, Melaka. Seramai 34 orang hadir, ramai antaranya kaum wanita, masih muda dan belum pernah menulis. Ini kali ke-3 bengkel serupa ini diadakan untuk persediaan sayembara tersebut kali ke-4.

Cuma dua orang sahaja di antara yang hadir itu pernah menghasilkan novel dalam kalangan khalayak itu, antaranya aku (bukan nak membangga diri tetapi itu adalah realiti) dan Rahimah Muda. Justeru itu menimbulkan kebimbangan Penolong Pengarah Yayasan itu, Tuan Hj. Ismail Zam Zam yang khuatir penyertaannya nanti tidak seperti yang diharapkan.

Maka dengan yang demikian, beliau mencadangkan supaya Yayasan itu mengajurkan peraduan menulis cerpen panjang sekitar 2,500 ke 5,000 perkataan tentang sejarah Johor, khusus untuk mereka yang baru cuba menulis sebagai satu galakan. Lalu bagi penulis-penulis yang sudah biasa menulis novel dan pernah menyertai bengkel berkenaan beliau menyarankan supaya diadakan suatu dialog antara mereka dengan Yayasan bagi mencari penyelesaian kemelut kekurangan minat penulis menulis genre novel sejarah ini. Aku rasa ini satu cadangan yang praktikal dan boleh disegerakan tindakannya.

Hadiah yang disedikan agak lumayan, Hadiah pertama: RM 35,000, kedua RM 25,000 dan ketiga RM 15,000. Mankala 5 hadiah saguhati disediakan sebanyak RM 5,000 setiap satu. Aku cadangkan supaya dinaikkan hadiah kedua, ketiga dan saguhati kerana untuk menulis novel sejarah ianya memerlukan masa, wang ringgit dan kesabaran untuk membuat kajian. Namun mereka tidak memberikan jawapan pasti, kerana mungkin mereka tidak punya kuasa untuk mengambil keputusan dalam hal seperti ini, kecuali kerajaan negeri Johor. Apa pun harap-harap mereka panjangkan cadangan ini kepada pihak atasan kerajaan negeri Johor.

Ayuh, para penulis yang mempunyai bakat menulis novel, mari kita sama-sama ramaikan dan menyertai peraduan ini. Manalah tahu ada antara kita akan menjadi juara. Tahun lepas Rahumah Muda berjaya menggodol hadiah pertama, kedua pengarang dari Riau, ketiga WB Rendera. Manakala Aku, Kassim Mahmud, Talib Latif dan Rahimah Muda dapat hadiah Saguhati. Syukurlah juga terpilih! Mari kekawan, jangan lepaskan peluang ini.