Tuesday, 29 March 2011

Meninjau Pemikiran Orang Sarawak

Pola Pemikiran Orang Sarawak Semakin Berubah Oleh Razali Endun Kali terakhir saya melawat Sarawak ialah pada 2008 dahulu. Pada minggu lepas saya berpeluang ke Kucing sekali lagi untuk menghadiri suatu mesyuarat persatuan bas. Pada kesempatan berada di Kucing selama tiga hari itu saya cuba meninjau wargakotanya bagi menyelami keadaan politik menjelang pilihan raya Dewan Undangan Sarawak yang dijadual diadakan pada 16 April akan datang. Rata-rata masih ramai lagi yang takut-takut mahu menyatakan pendirian mereka tentang pemilihan calon dan politik Tan Sri Taib Mahmud, apa lagi membicarakan secara terbuka tentang kekayaan Ketua Menteri bumi kenyalang itu. Namun dalam keadaan demikian tidak kurang juga yang berani menyatakan bahawa memang benar Ketua Menteri dan keluarganya terlalu kaya sekali dan percaya lebih kaya daripada Sultan Berunei. Malah ada yang sudah menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat yang akan bertanding di Sarawak nanti. Orang pertama saya ajukan pertanyaan berkaitan dengan keadaan politik ialah seorang pesara pegawai kerajaan yang sekarang menjadi Pengerusi salah sebuah syarikat bas di Sarawak. Beliau amat payah mahu mengeluarkan pendapatnya kerana katanya dia tidak berminat dan tidak bergiat dalam politik. Namun daripada perbualan kami dapat saya terka bahawa dia penyokong kuat parti PBB yang diketuai oleh Taib Mahmud. Berlainan pula dengan respons seorang pemandu van sapu berbangsa Cina di bandaraya ini yang terlalu berani menyatakan pendiriannya. Vannya kelihatan uzur, dan kusyen banyak yang terkoyak. Kami tahu risikonya amat tinggi menggunakan van ‘haram’ tanpa permit itu. Akan tetapi di Kucing pun perkhidmatan pengangkutan awamnya amat mengecewakan, maka kami tidak ada pilihan melainkan menyewa vannya kerana amat payah mendapatkan teksi dan bas untuk ke pasar Satok yang terkenal dengan jualan ikan terubuknya. Saya sengaja memancing dengan pertanyaan provokasi untuk melihat reaksinya. Pancingan saya mengena apabila dia gemar sekali membicarakan kekayaan Taib Mahmud tanpa berasa takut. Saya bertanyakan kepadanya, betulkah Tan Sri Taib Mahmud itu kaya orangnya? “Ayo! Manyak kaya Loo!” nada suaranya agak tinggi sambil berpaling kepada saya yang duduk di sebelahnya. “Dia punya luit satu kapal Oo!” sambungnya tanpa saya meminta. Saya dan tiga orang lagi kawan di dalam van itu ketawa besar. “Lu tak bohong kah?” sengaja saya bertanya untuk memastikan kenyataannya itu. “Aiya! Semua olang tahu lo!” ujarnya sungguh-sungguh. Kenyataannya itu diakui oleh seorang pemandu teksi mewah berbangsa Melayu. Pemandu ini tidak menafikan kekayaan Taib Mahmud dan keluarganya, malah bersetuju Taib Mahmud lebih kaya daripada Sultan Berunei. Hampir semua syarikat besar di seluruh Sarawak milik keluarga ini. Malah resort di kaki gunung Mulu pun dipercayai dimiliki oleh keluarga ini. Maka dakwaan beliau itu kaya tentu sekali ada kebenarannya, kata pemandu ini. Ditanya parti mana akan menang dalam pilihan raya yang akan diadakan ini, katanya, ‘saya rasa BN juga akan menang.’ “Apa alasannya?” tujah saya “Kalau tak main tipu, BN susah menang,”sambungnya. “Betulkah mereka tipu?” “Ya! banyak kes di mana dicurigai peti undi ditukar dengan yang lain. Membawa peti undi dengan helikopter dan perjalanan terlalu jauh, kemungkinan ini boleh berlaku. Ada satu insiden di mana ketika pengiraan undi, lampu tiba-tiba padam. Ini juga menimbulkan kecurigaan ketika pengiraan undi dijalankan,” jelasnya panjang lebar. Lalu saya teringat insiden yang sama berlaku di parlimen Pantai apabila undi Zainur Zakaria yang mewakili PKR mengatasi Sharizat Abd Jalil (BN) dalam perkiraan undi pada suatu pilihan raya parlimen dulu. Tiba-tiba lampu dalam dewan terpadam, dan apabila dikira semula Sharizat mengatasi Zainur dalam perkiraan itu. Tidak pasti sama ada lampu itu kebetulan terpadam atau sengaja dipadamkan, akan tetapi ada persamaan dengan apa yang diceritakan oleh pemandu teksi ini. Seorang pemandu teksi Cina pula membuat lawak betapa hebatnya Taib Mahmud mampu mengawini wanita Arab yang berusia 28 tahun. “Aiya! Dia 74 tahun bah, tentu manyak luit baru pelempuan mau!” ujarnya dengan ketawa besar. “Banyak duit saja tak guna kalau dia tak kuat,” jolok saya lagi. “Aiya! Olang kaya, olang besat tak-tak kuat pun boleh buat jadi kuat!” tawanya semakin memanjang. Kami turut sama ketawa. Di Kampung Gerisik yang terkenal dengan kek lapis Sarawak ramai di situ sudah kenal dengan Anwar Ibrahim. Kata salah seorang penjual kek di situ, kalau Anwar mengadakan ceramah orang bersesak-sesak datang dan kereta berderet di letakkan sepanjang 2 km. Apabila ditanya sama ada mereka akan mengundi BN, seorang wanita memberi tahu, “Kalau mereka kasi duit, saya undi mereka. Rumah saya sudah lama bocor, tak siapa pun datang membantu. Saya ni bukan orang kaya macam mereka,” sungut wanita ini. Di pasar Satok di mana tempat terkenal penjualan ikan terubuk sudah ramai dikerumuni orang ramai. Peniaga di situ ramai terdiri daripada orang Melayu. Mereka juga tidak gemar bercerita tentang pilihan raya dan kekayaan Taib Mahmud. Mungkin takut lesen mereka ditarik balik. Namun ada beberapa orang Melayu memberi komen apabila saya membeli senaskah akhbar Harakah di situ. “Oh! Orang Pakatan! Baguslah. BN taruh di buntut,” komennya dalam nada suara antara dengar dengan tidak. “Saya suka Nik Aziz,” komen seorang lain. “Dia amat merendah diri dan tawaduk orangnya,” sambung orang itu lagi. Saya hanya tersenyum kerana kurang sesuai berinteraksi lebih lama lagi dalam keadaan orang ramai sibuk membeli belah. Itulah senario mutakhir di bandaraya Kucing. Kalau boleh diandaikan pandangan beberapa orang itu mewaklili suara majoriti rakyat Sarawak, ianya suatu petanda positif untuk PR bertapak lebih kukuh di situ. Namun, seandainya suara-suara itu bukan mewakili rakyat Sarawak keseluruhannya, akan tetapi ianya sudah jelas membuktikan bahawa pemikiran mereka sudah mula berubah dengan tidak lagi terkongkong secara taksub menyokong parti PBB yang bersekongkol dengan BN.

No comments: