Friday 23 October 2015

Najib Tetap Kekal di Kerusinya Selepas Bajet?

Hari ini pembentangan bajet 2016 akan dibentangkan oleh Najib sebagai Menteri Kewangan di Parlimen. Ramai pemerhati politik tidak ambil put tentang apa yang akan dibentangkan. Yang menjadi perhatian kepada mereka sama ada bajet itu akan diluluskan atau tidak. Menurut peraturan demokrasi, sekiranya parlimen tidak luluskan bererti Najb tidak mendapat kepercayaan parlimen lagi. Maka Najib harus meletakkan jawatannya. Persoalannya jawatan yang mana satu? Menteri Kewangan atau PM?

Dikhabarkan juga Ketua Pembangkang Datin Seri Wan Azizah telah mengemukakan usul tidak percaya terhadap PM dan telah diterima oleh Speaker. Menurut Speaker usul itu terletak di senarai penghabisan usul-usul yang akan dibincangkan. Parlimen akan mendahulukan usul-usul yang dibawa pihak kerajaan untuk dibincangkan. Kata Speaker, mungkin usul itu tidak sempat dibahaskan pada sesi parlimen kali ini. Nampak gayanya usul Wan Azizah akan menerima nasib yang sama dengan usul Hudud yang dibawa oleh Hadi Awang dari Pas. Usul akan tinggal sebagai usul di atas kertas sahaja.

Ini bermakna ada dua saluran boleh digunakan untuk menjatuhkan Najib. Iaitu melalui pembentangan bajet dan undi tidak percaya. Daripada senario mutahir, nampak gayanya kedua-dua usul ini akan kecundang. Tidak akan dapat diluluskan kerana Ahli Parlimen tidak jelas pendirian mereka. Bagi wakil-wakil rakyat BN terutama Umno tidak akan menyokong kedua-dua usul in. Masing-masing sama ada terhutang budi dengan Najib atau takut kedudukan dan keahlian mereka akan terlucut. Selagi mereka tidak mempunyai prinsip untuk menegakkan keadilan dan membantah kebatilan, selagi itulah Umno akan tidak berubah. Dai dulu, kini dan akan datang, mereka tetap akan kekal untuk mempertahankan kedudukan duniawi mereka.

Malah Dr. M sendiri sudah tidak yakin Najib dapat diundurkan melalui kedua-dua usul ini. Saya pun berpendapat sedemikian, kerana Najib sudah menggengam majority ahli parlimen dan Umno. Masing-masing sudah dapat habuan. Maka mereka tidak mungkin mengkhianati budi yang dihulurkan oleh Najib. Memang sifat orang Melayu selalu mengenang budi.

Kalau secara terang-terangan itu mungkin ahli parlimen Umno berasa takut dan segan, maka ada satu cara lain iaitu mendapat tandatangan mereka secara bersumpah berkanun dan serahkan kepada Yang Di Pertua Agung. Cara ini mungkin boleh dilakukan kerana ianya tidak mendedahkan nama-nama mereka kepada umum, hanya kepada Agung. Sanggupkah Pembangkang serta dengan wakil BN lakukan?

Apapun Najib akan terus kekal dikerusinya selagi kuasa itu kekal di tangannya. Tidak siapa berani mengusik Najib waimah SPRM, Polis mahupun Bank Negara. Najib akan kekal di kerusinya sehingga PRU 14. Apakah Najib akan terus menjadi beban kepada parti dan negara sehingga PRU 14, kita kena tunggu dan lihat. Kalau momentam yang ada sekarang kekal, iaitu perspektif rakyat sangat negatif terhadap Najib, maka ianya mungkin menjadi aset kepada Pembangkang untuk memenangi PRU 14. Apa kata kalau Najib dapat pulihkan keadaan sebelum PRU 14? Mungkin persepsi rakyat akan berubah. BN akan menang besar. Najib tetap kekal di kerusinya.

Monday 19 October 2015

Undi Tidak Percaya harus dilakukan secara sulit

Dikhabarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan membawa usul tidak percaya dalam parlimen terhadap PM Najib Razak. Sebelum usul dibawa diberitakan puak pembangkang tidak sepakat, ada yang mahu usul itu dibawa ada yang sebaliknya. Kalau begini keadaannya bagaimanakah usul itu akan dapt disokong oleh ahli parlimen BN.

Setakat ini tidak terdengar pula sama ada usul itu akan mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Umno/BN. Malah Mahyiuddin, Shafie Afdal dan Tengku Razaligh pun masih membisu. Mereka belum lagi secara terang-terangan menyatakan akan menyokong usul itu. Tidak pula diketahui sama ada mereka akan menyokong usul itu.

Najib telah panggil Ahli Parlimen BN ke kediamannya untuk taklimat pra persidangan parlimen. Apa yang dibincangkan tidak pula diketahui umum. Pastinya persepsi umum bahawa tentu sekali Najib memberi amaran terhadap Ahli Parlimen BN terhadap isu 1MDB yang akan dibangkitkan dalam parlimen.

Kalau usul itu dibenarkan dibawa untuk dibahaskan di parlimen, maka pengundian terhadap usul itu seharusnya dijalankan dengan mengundi secara sulit. Iaitu menyediakn kertas undi, dimasukkan ke dalam peti undi sebelum dihitung. Ini bagi memastikan bahawa Ahli Parlimen tidak merasa malu alah ketika mengundi, sekiranya mereka menyokong usul tersebut. Undian secara angkat tangan semacam tidak demokratik. Mungkin penyong BN malu alah atau takut mengangkat tangan, takut akan menjadi mangsa kemudian nanti.

Kita harapkan Speaker Dewan Rakyat akan bersikap tidak berat sebelah.Jangan sampai tindakan Speaker boleh dianggap sebagai cuba menyelamatkan Najib. Biarkan proses pengundian berjalan dengan saksama tanpa campurtangan Speaker. Tugas Speakar memerhati agar pengundian berjalan lancar.

Kita harapkan proses demokrasi dapat dijalankan tanpa gangguan oleh tangan-tangan ghaib. Membawa usul tidak percaya dalam parlimen diizinkan dalam proses demokrasi. Maka dengan demikian peliharalah proses itu dengan sempurna, adil dan saksama. Selamat Mengundi.

Tuesday 13 October 2015

TOL Naik - Apa Nak Jadi?

Kadar Tol di sekitar Lembah Kelang akan naik mulai Khamis ini. Kenaikannya mencapai 300 %. Kata Syarikat Konsensi kenaikan itu sepatutnya dikenakan pada 2008. Namun mereka tangguhkan kerana desakan kerajaan supaya tidak menaikan kadar Tol. Sekarang kerajaan sudah tidak mampu lagi membayar gantirugi kepada syarikat-syarikat konsensi kerana melanggar perjanjian. Dan perjanjian ini ditakrifkan sebagai 'rahsia' tidak boleh didedahkan kepada umum.

Orang ramai tidak setuju dengan kenaikan ini. Kadar Tol baru ini akan membebankan rakyat yang sememangnya sudah terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, GST, nilai ringgit yang merundum dan pelbagai cukai lain yang dikenakan. Ini belum masuk lagi harga petrol yang naik setiap bulan.

Persatuan Pengguna telah meminta supaya kerajaan menagguhkan kenaikan kadar Tol ini demi rakyat. Jabatan Kerjaya Raya pula menyatakan wang 'pampasan' yang dibayar kepada syarikat konsesnsi itu boleh digunakan untuk membina sekolah dan hospital. Kalau begitu halnya, apa jadi dengan pungutan GST? Kata PM wang cukai itu akan dipulangkan kepada rakyat. Belum nampak lagi ada bayangan ke arah itu. GST sudah dikenakan lebih 3 bulan lalu dan pastinya sudahpun dibayar oleh syarikat-syarikat. Belum ada lagi kenyataan pungutan ini secara terpinci dikeluarkan oleh kerajaan.

Najib nampaknya terus dengan cara pentadbiran kewangan negara yang membebankan rakyat. Apakah ini petanda kejatuhan Najib. Dia sedang dibelit dengan pelbagai dakwaan yang tidak mungkin akan melenakan tidurnya. Walaupun dia sedang berusaha untuk melepaskan diri, namun tekanan dan asakan daripada pihak penguatkuasa seperti SPRM dan Bank Negara merisaukannya.

Saya teringat 'kejatuhan' Pak Lah dulu, salah satu sebebnya ialah Pak Lah menaikkan harga petrol terlalu tinggi. Maka sebab itu BN tidak dapat 2/3 undi Parlimen. Maka petanda yang ada pada Najib dengan pelbagai kenaikan, kemungkinan akan menambahkan lagi kebencian rakyat terhadap Najib dan kerajaan.
Apakah telahaan ini tepat? Kita tunggu dan lihat. Apakah BN akan tumbang pada PRU 14 ini? 

Kes konsensi Tol ini sebenarnya bermula daripada era Dr. M. Dalam konsep penswastaannya dulu beliau telah memilih syarikat-syarikat tertentu untuk diberikan tender mengusahakan lebuh raya. Tidak ada tender terbuka. Difahamkan perjanjian konsensi itu semacam berat sebelah iaitu menguntungkan pihak syarikat konsensi. Ia semacam merugikan kerajaan. Kalau kerajaan rugi bermakna rakyat juga turut rugi, kerana wang kerajaan datangnya daripada rakyat. Maka Dr.M tidak boleh lepas tangan sekiranya kadar Tol dinaikkan. 

Maka sebenarnya bukan PM yang bermasalah, Akan tetapi dasar Umno/BN yang menjadikan hal seperti ini. Oleh hal yang demikian menggantikan PM bukan penyelesaian, yang harus diganti ialah Umno/BN. Wahaualam!


Sunday 11 October 2015

Najlis Raja-Raja Minta Dipercepat Siasatan, BUKAN bersihkan 1 MDB

Pejabat Peguam Negara terlalu pantas dan cepat meyahut saranan Majlis Raja-Raja Melayu supaya skandal 1 MDB dipercepatkan siasatan dan dibawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat melakukan kesalahan. Kenyataan Majlis Raja-Raja tidak pula dinyatakan supaya 1 MDB dibersihkan daripada sebarang dakwaan.

Pejabat Peguam Negara nampaknya tersilap tafsir maksud yang tersirat di sebalik kenyataan Majlis Raja-Raja. Amat memeranjatkan Pejabat Peguam Negara dengan pantas menyatakan bahawa tidak terdapat apa-apa salahlaku dalam skandal 1 MDB. Mereka merujuk kepada laporan siasatan oleh Bank Negara terhadap 1 MDB yang mereka yakin dan percaya bahawa ada salahlaku berlaku dalam skandal itu. Bank Negara tidak boleh berbuat apa-apa kerana kuasa pendakwaan HANYA terletak di tangan Pejabat Peguam Negara. Walaupun mereka yakin ada kes untuk didakwa, tetapi kalau Pejabat Peguam Negara kata tidak ada kes, maka mereka tidak boleh buat apa-apa.

Walau bagaimanapun sebaik sahaja Pejabat Peguam Negara memberi kenyataan itu, Bank Negara dengan segera mengarahkan supaya 1 MDB membawa  balik wang yang laburkan di luar negara. Menurut Bank Negara ketika meminta kebenaran itu daripada Bank Negara, 1 MDB memberikan dokumen yang meragukan. Apakah itu saja yang mampu dan terdaya dilakukan oleh Bank Negara? Bagaimana kalau 1 MDB tidak hiraukan arahan itu? Apa yang boleh Bank Negara lakukan.

Tindakan Pejabat Peguam Negara menimbulkan spekulasi baru pula. Dr. M sendiri meragui bahawa tidakan Pejabat Peguam Negara itu dipengaruhi oleh PM. Tanggapan ini tidak boleh ditolak begitu saja kerana campur tangan Najib dalam penyiasatan skandal ini sebelum ini menjadi sandaran kuat pandangan umum. Kalau benar ini berlaku, maka kes 1 MDB nampaknya tidak ke mena. Orang yang terlibat dalam kes ini nampaknya akan terbang bebas ke sana ke mari tanpa didakwa oleh sesiapa.

Perkembangan mutahkir, yang mencuri terlepas bebas, yang mahu menangkap pencuri akan didakwa. Begitulah nampaknya episod di negara kita yang semakin terancam peraturan perundangan.

Sunday 4 October 2015

Episod Sedih Seorang Mantan PM

Dalam ucapannya pada masjlis minum teh bersama Dr.M anjuran Umno Taman Cempaka, sekali lagi Dr. M menyatakan bahawa faktor ringgit merosot dan skaldal 1 MDB adalah kerana Najib. Katanya, kalau Najib turun nilai ringgit akan naik. Menurut Dr. M lagi Malaysia adalah negara yang paling tinggi kes rasuahnya.

Namun begitu, Najib masih bebas keluar negara walaupun sudah ada aduan tentang rasuah yang dikaitkan dengan 1 MDB kepada FBI, di Switzerland, Hongkong dan Singapura. Benarlah kata Dr.M, Najib enggan bercuti atau letak jawatan kerana takut akan didakwa dan dipenjarakan. Timbul persoalan, apakah di Malaysia, selagi kamu berkuasa dan memegang jawatan PM maka tiada siapa berani mendakwa kamu? Kalau begitu keadaannya, maka tidak ada gunanya kita ada SPRM, Polis, Bank Negara yang tidak punya kuasa mendakwa. Sistem perundangan negara ini hanya memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk mendakwa. Apabila Peguam Negara mahu mendakwa PM, Dia pun ditendang oleh PM. Maka PM pun lantik orang yang sebulu dengannya sebagai Penguam Negara. Lalu tiadalah pendakwaan.

Dr.M telah meminta supaya parti pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen. Beliau juga telah meminta Ahli Parlimen BN supaya menyokong usul itu. Setakat ini belum terdengar lagi ada Ahli Parlimen BN terutama Umno yang menyokong saranan Dr. M. Malah YB Azlina, sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Parlimen menyatakan, setakat ini belum ada usul seperti itu dikemukankan di Parlimen. Beliau juga berpendapat usul itu masih boleh dibincangkan dalam Parlimen walaupun Speaker Parlimen menyatakan sebaliknya.

Jelas sekali daripada senario mutakhir, walaupun ada ahli Umno yang mahukan Najib turun, mereka masih tidak berani menyatakan secara jelas dan lantang seperti Dr. M. Ini ialah kerana mereka mungkin sudah termakan budi dengan Najib. Maka slogan Najib, 'Cash is King' seolah-olah menjadi kenyataan.

Apapun, tinduk tanduk Najib sekarang ini adalah cerminan Dr. M sewaktu berkuasa dahulu. Ketika berkuasa Dr. M tidak nampak dari kaca mata umum (rakyat) apa yang dilakukannnya sebagai Penguasa. Dr. M pernah memecat Tun Salleh Abas dan menjadikan senario perundangan dan penghakiman menjadi kecoh. Dr.M pernah pecat Timbalan Perdana Menteri, malah memfitnah Anwar sehingga mengaibkannnya. Dr. peranah dibodek oleh orang-orang di sekelilingnya termasuk ada yang menangis terisak-isak apabial beliau mengumumkan mahu meletak jawatan. Dr. M dikatakan menggalakkan rasuah dalam kalangan ahli Umno terutama ketika pemilihan kepimpinan Umno diadakan. Semua yang Najib buat sekarang adalah cerminan apa yang dilakukan oleh Dr. M ketika berkuasa dahulu. Sekarang, apabila dia tidak memegang kuasa, baru dapat dilihatnya gelagat Najib daripada kaca mata orang awam (rakyat). Saya masih teringat lagi pesanan Allahyaraham Ustaz Fazil Nor, mantan Presiden Pas supaya ahli Pas mendoakan Dr. M panjang umur dengan harapan dia akan dapat melihat kesilapannya nanti. Maka benarlah pesanan Ustaz Fazil.

Maka dengan itu Dr. M sudah tidak ada taring lagi yang boleh menggugat kedudukan Najib. Ramai orang Umno sama ada suka atau tidak akan terus menyokong Najib, kerana Najib ada kuasa. Dr. M sudah tidak ada kuasa lagi. Jadi, apa perlu dibodek orang yang tidak ada kuasa? Kuasa dan wang adalah 'king of politik.'

Demikianlah episod sedih seorang bekas PM yang telah berkuasa selama 22 tahun  di penghujung hayatnya. Kadang-kadang Allah tunjukkan kesilapan dan kesalahan kita ketika kita masih hidup. Tak perlu tunggu hingga mati. Walau bagaimanapun keberanian Dr.M menegur kepincangan Najib termasuk skandal 1 MDB dan pembunuhan Atantuya patut dihargai dan dipuji. Kalau beliau tidak lantang membangkitkannnya, sudah pasti kes dan skandal ini akan senyap tanpa diketahui umum.

Wednesday 30 September 2015

Speaker Parlimen Tidak Berhak Menolak Usul Tidak Percaya

Pada kali ini saya bersetuju bangat dengan pendapat Dr. M bahawa usul undi tidak percaya terhadap PM adalah salah satu proses demokrasi. Speaker tidak ada alasan menolak usul seperti ini dengan menyatakan ianya tidak ada dalam 'standing order' dan belum pernah berlaku sebelum ini. Alasan ini tidak cukup kukuh dan Dr. M telah merujuk kepada Perlembagaan Negara yang menyatakan sekiranya PM tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen, maka beliau harus letak jawatan atau membubarkan parlimen. Speaker tidak ada kuasa menolak sebarang usul seperti ini. Tugas Speaker ialah menguruskan perjalanan pengundian usul tersebut sama ada diterima atau ditolak.

Akan tetapi, adakah usul ini akan dibawa dalam Parlimen? Nampak gayanya kemungkinin usul ini dibawa ke Parlimen adalah sangat tipis. Penyokong Najib sedaya upaya mahu usul ini tidak dibawa. Anggota Parlimen BN terutama Umno, ramai antaranya serba salah kerana sudah termakan budi. Anggota Parlimen Pembangkang tidak cukup undi untuk mendapatkan kelulusan undi ini kalau tidak mendapat sokongan BN. Setakat ini belum terdengar berita bahawa siapakah yang akan kemukakan usul ini di Parlimen. Adakah usul ini akan dikemukakan oleh pihak Pembangkang atau pihak BN sendiri? Sama ada ada rundingan atau kesefahaman berjalan antara Ahli Parlimen Pembangkang dengan BN untuk usul ini, tidak juga diketahui umum.

Usul seperti ini harus digerakkan oleh seseorang yang berpengaruh supaya ianya berhasil. Saya fikir orang yang paling layak mengerakkan usaha ini ialah Dr. M sendiri yang tidak jemu-jemu mahu menjatuhkan Najib sebagai PM. Dr.M harus mengaturkan strategi, memanggil Ahli Parlimen Pembangkang dan Ahli Parlimen BN yang cenderung terhadap usul ini sebelum Parlimen bersidang Oktober ini. Dr. M harus ada cadangan yang munasabah yang boleh diterima oleh kedua-dua puak Ahli Parlimen ini. Dr. M juga harus berhati-hati memilih Ahli Parlimen BN supaya tidak bocor. Kalau bocor tentu Najib akan memintas dengan strategi yang lain agar dia tidak tersingkir daripada jawatannya sekarang.

A. Kadir Jasin pula berpendapat bahawa Najib akan kekal berkuasa sehingga PRU 14. Malah menurutnya, Najib akan memperolehi kemenangan besar dalam PRU tersebut. Alasan Kadir, Najib akan menggunakan segala kuasa yang ada padanya termasuk kuasa wang. Slogan Najib ialah, "Cash Is King" menguatkan lagi alasan Kadir. Kalau telahan Kadir ini tepat maka Dr. M akan malu besar. Dr. M gagal mengawal apa lagi menyekat Najib dalam urusan politik beliau dalam Umno. Saya lihat tanggapan Kadir ini ada kemunasabahannya. Akan tetapi kita harus ingat, 'wang bukan segala-galanya' yang boleh menyelesaikan masalah.

Dengan keadaan yang semakin tertekan dengan kos hidup yang tinggi, ekonomi semakin merundum, cukai GST, penurunan nilai ringgit, apakah wang dapat mengatasi semua ini. Wang untuk pilihan raya hanya diberi sekali gus sahaja, bukan sepanjang hayat. Rakyat terpaksa menanggung keadaan hidup semakin tinggi ini sepanjang hayat. Saya tidak fikir wang boleh beli segalanya! Kalau Najib masih kekal Malaysia akan terus hancur. Najib berkuasa kerana ada kuasa di tangannya. Kuasa tidak kekal, suatu hari nanti pasti kuasa itu terlucut daripada tangan kita, cara mana itu adalah rahsia Allah. Setelah terlucut kuasa yang ada maka Najib tidak akan dapat lari daripada diheret ke mahkamah. Banyak yang terpalit pada diri Najib yang perlu diadili dan diketahui oleh rakyat.

Dr. M perlu bertindak cepat, kalau tidak Najib akan memintas.

Wednesday 2 September 2015

Bersih Berjalan Dengan Aman.

Kali ini Bersih 4 berjaya mengadakan demonstrasi dengan aman seperti yang dijanjikan. Selama 34 jam mereka berkampung berdekaan Dataran mereka, tidak ada apa-apa kejadian buruk dilaporkan. Semua pihak memberikan kerjasama yang baik. Pasukan Polis tidak memprovok peserta demonstrasai seperti pada tunjuk perasaan sebelumnya. Ini terbukti kalau tiada provokasi daripada pihak polis, demonstrasi akan berjalan secara aman. Sikap profesionalisma polis sangat-sangay dihargai.

Bersih mendapat sokongan moral yang bukan sedikit apabila bekas PM Dr. M dan isteri mengunjungi demonstrasi itu. Sebanyak dua kali mereka hadir walaupun kunjungan mereka singkat, tetapi sudah cukup memberi rangsangan bagi Bersih meneruskan perjuangan. Khabarnya Dr. M akan dipanggil polis kerana menyertai demonstrasi itu. Apakah menyertai demonstrasi suatu kesalahan?

Bersih memang difatwakan haram oleh Zahid Hamidi. Malah memakai baju T berwarna kuning dengan tulisan Bersih 4 dianggap satu kesalahan. Kekadang 'fatwa' sebegini selalunya difatwakan seperti keadaan begini. Dulupun pengharaman yang sama juga dibuat. Kadang-kadang larangan mereka ini tidak masuk akal, malah bertentangan dengan hak asasi manusia dan Perlembagaan Negara.

Kehadiran sebegitu ramai orang adalah manifestasi buruk terhadap Najib. Natijahnya Najib terpaksa berfikir sama ada meletakkan jawatan atau kekal dengan jawatan panas itu. Selain  menuntut pilihan raya yang bersih tanpa rasuah, Bersih juga menuntut supaya Najib meletakkan jawatan sebagai PM. Najib di selubungi oleh pelbagai skandal yang menjurus kepada pecah amanah dan rasuah. Semua saluran penyiasatan bagi mencari sumber wang derma dalam akaun Najib sudah ditutup rapat. Najib sengaja menutup saluran ini kerana tidak mahu kebenaran terbongkar. Kalau dia tidak bersalah, apa perlu ditutup semua saluaran ini? Tindakan beliau menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap beliau? Rakyat tidak boleh dipersalahkan kerana rekyat tidak diberitahu keadaan sebenar.

Apapun Bersih telah berjalan dengan aman. Tahniah kepada pihak pengajur dan para peserta. Tahniah juga kepada pihak polis. Syabas. Kita mampu mengadakan demostrasi secara aman, kalau semua pihak berkerjasama. Demonstrasi secara aman tidak melanggar undang-undang. Memang kerja para menteri menakut-nakutkan rakyat supaya tidak hadir pada demonstrasi ini. Itu kita maklum!