Tuesday 25 December 2012

Bongok Sangat Orang Umno ni?

Baru-baru ini aku balik ke kampung dan pergi ziarah rumah seorang kawan di Nyalas Jasin, Melaka. Ketika sampai ada seorang lelaki kira-kira 45 tahun bersama isterinya sedang memberi ceramah politik kepada tuan rumah. Lelaki itu salah seorang pemimpin UMNO di Gemas. Tuan rumah melongo dan mengiayakan saja apa yang dikatakan oleh lelaki itu. Kelihatan tuan rumah pun dungu terhadap suasana politik semasa. Dia amat taksub dengan penjelasan lelaki Umno itu sambil beberapa kali mengangkat sebuah akhbar Melayu yang sangat meloyakan pemberitaannya.

Seperti biasalah, orang Umno macam burung kaka tua, hanya tahu mengulang-ulang kata-kata tuannya. Begitulah juga dengan pemimpin Umno bahagian/cawangan Gemas ini hanya menakut-nakutkan tuan rumah dengan mengulang-ulang, "kalau pembangkang menang, orang Melayu akan susah dan jadi hamba. Cina akan jadi tuan dan berkuasa. Mahukah kita bertuankan Cina?" begitulah kira-kira ugutannya yang membuatkan tuan rumah turut sama terpesona kerana ketakutan hilang kuasa.

Telinga aku berdesing mendengar dan mata aku berpinar melihat betapa pemimpin Umno ini memperbodohkan tuan rumah itu yang hanya mengiyakan saja. Lantas aku menyampuk, "Selama ini, dalam Malaysia ini, tidak pernahkan Cina memerintah?"

"Di Pulau Pinang berpuluh tahun Gerakan/BN perintah, Apa Umno buat apabila tanah orang Melayu dirampas atas nama pembangunan dan diusir daripada pulau itu? Kenapa sekarang baru Umno sibuk-sibuk bersuara, menunjuk perasaan kononnya DAP merampas tanah orang Melayu? Dulu kenapa mereka diam? Mungkin mereka juga mendapat habuan, sebab itu diam membisu. Sekarang apabila habuan sudah tidak dapat lagi, mereka pun buat kacau dan bising. Nasib orang Melayu yang terumbang ambing di P.Pinang sekarang, angkara siapa?  BN/Umno atau DAP?"
 
Pemimpin Umno dan tuan rumah tersentak. Termangau-mangau macam orang bodoh sesat jalan. Lalu si Umno menjawab dengan alasan, "Kita tak mahu di peringkat pusat perkara ini terjadi." Tuan rumah pun mengiyakannya.

Aku membalas, "hakikat politik sekarang tidak ada siapa yang boleh menuntut menjadi tuan lagi. Semua warga negara berhak menjadi pemimpin politik dan memimpin negara. Pelantikan pemimpin negara tertakluk kepada Perlembagaan Negara."

Sambung aku lagi, orang Melayu mesti buka minda mereka. Mesti berfikiran terbuka. Jangan baca satu akhbar saja. Jangan tengok satu saluran tv aje? Kalau kita hala kan pandangan kita ke satu arah saja maka yang kita nampak jalur itu saja. Yang di sekelilingnya, di sebelah, di kiri di kanan di belakang, di bawah, di atas kita tak nampak. Maka itu yang nampak itu satu saja, bukan yang pelbagai. Dengan demikian fikiran kita jadi jumud, tak berkembang dan tidak berfikir.

"Tapi dalam surat khabar ini dia kata begitu? Kita percayalah apa yang dia kata," sampuk tuan rumah, nampak sangat kedunguannya.

Baca banyak akhbar, buku dan apa saja dalam apa bahasa sekalipun. Buka internet, blog, facebook dan twitter. Dengan pembacaan kita boleh nilai sendiri baik buruk sesuatu perkara. Benar tidaknya isu yang dibawa. Kalau baca satu akhbar saja, maka yang itulah saja kita anggap benar. Tapi akhbar ini pemberitaannya sangat disangsikan. Cuba baca tentang kononnya 'Amanat Hj. Hadi'; ini sudah 40 tahun lalu, tetapi setiap menjelang pilihan raya perkara yang sama dibangkitkan semula. Orang bodoh saja akan mempercayai apa yang ditulisnya. Lagipun akhbar ini sudah banyak kali kena saman kerana memfitnah, dan dia kalah. Bolehkah kita percaya akhbar ini lagi? Wah! macam orang politik aje aku berhujah.

 Mereka diam, maka aku teringat kata-kata Dr. Mahathir, tiada orang bijak pandai Melayu yang mahu masuk Umno sekarang. Kisah di kampung Nyalas ini bukti betapa dungu dan bodohnya orang Melayu yang memang sanggup diperbodohkan oleh Melayu/Umno, kerana dengan kebodohan itu mereka akan terus kekal berkuasa.

Lalu akupun menghadiahkan pemimpin Umno dari Gemas ini sebuah buku politik yang aku tulis bertajuk, "50 Tahun Politik Orang Melayu." Dengan harapan buku itu memberi pencerahan mindanya supaya tidak terus-terusan menjadi jumud.

Mesej cerita ini ialah, Bahawa akhbar memainkan peranan penting untuk mempengaruhi fikiran orang Melayu terutama di kampung-kampung. Jelas sekali di kampung-kampung mereka masih membaca akhbar yang merosakkan pemikiran orang Melayu. Mereka terbelenggu dengan pemikiran yang disebarkan oleh UMNO. Mereka tidak ada internet, maka akhbarlah menjadi penyampai maklumat kepada mereka. PR tidak sampai di rumah seperti tuan rumah ini. Apa lagi media mereka, bukan saja tidak sampai tetapi sudah dianggap haram membacanya.

Maka dengan yang demikian, jangan harap PR akan dapat undi Melayu di kampung-kampung. Wallahualam!
  

Sunday 23 December 2012

SPRM Nak Tapis Calon PRU 13

Wah! itu kawan aku Datuk Johan Jaafar rupa-rupanya sudah dilantik sebagai Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah. Baguslah! Syabas dan Tahniah Datuk!

Al-maklum, bak kata perumpaan orang putih, "new broom sweeps well." Maka begitulah dengan keadaan Datuk Johan yang memang banyak punya idea. Lalu beliau mencadangkan supaya semua calon yang akan bertanding dalam PRU 13 nanti (tak kira parti) akan ditapis dan disaring oleh SPRM sebelum dibenarkan menjadi calon. Ini bererti calon-calon yang tidak lulus saringan ini tidak dibenarkan menjadi calon.

Seorang lagi  kawan aku, Prof Datuk Zainal Keling segera menyokong cadangan ini lalu berkata dengan saringan ini UMNO/BN dapat memilih calon-calon yang benar-benar bersih untuk menjadi calon. Ini bermaksud calon-calon UMNO/BN sekarang ini ramai yang tidak bersih, begitulah kira-kiranya aku fahami daripada ungkapannya.

Tanggapan Prof Datuk Zainal Keling ini semacam selari dengan pendapat aku. Aku congak-congak, kalau nak dapatkan calon yang bersih bagi UMNO/BN amat payah, kerana majoritinya sudah, sedang dan masih terpalit dengan 'kekotoran.' Tak payah aku cakap banyak, rakyat boleh lihat dan nilai sendiri.

Aku kira bagus juga idea Datuk Johan Jaafar ini. Akan tetapi timbul persoalan, Adakah SPRM mempunyai kuasa (mengikut mana-mana undang-undang atau Akta) untuk menapis calon-calon ini? Yang telah lalu hanya parti masing-masing saja yang menapis calon-calon ini. Sekiranya mana-mana calon yang ditolak oleh SPRM, maka mereka tidak layak bertanding walaupun partinya mahukan calon itu. Kalau calon itu tetap bertanding dan menang pula, adakah kemenangan itu boleh dibatalkan? Kalau sekiranya mereka sudah disabitkan dengan kesalahan, sudah tentu mereka tidak boleh menjadi calon. Kalau mereka ada merit untuk didakwa tugas SPRM lah mendakwa mereka. Kalau mereka masih atau belum didakwa, dia belum lagi disabitkan kesalahan. Apakah mereka juga tidak akan melepasi saringan itu?

Kalaulah benar-benar idea ini dilaksanakan, tidakkah ianya menjadi beban dan halangan kepada PM Najib sendiri? Apakah Najib boleh lepas saringan ini dengan dakwaan pelbagai skandal rasuah dan pelbagai macam dakwaan lagi termasuk kes Atantuya? Kalaulah SPRM meluluskan Najib, dan kemudian dibantah oleh calon parti lawan, Apakah SPRM atau Datuk Johan Jaafar sanggup mengenepikan pencalonan Najib? Nampak macam SPRM atau Johan Jaafar nak perangkap Najib aja? Tidak dapat tidak inilah persepsi yang akan timbul! Penganalisis politik boleh membaca daripada pelbagai sudut dan aspek yang mungkin orang awam tidak perasaan.

Apapun aku berpendapat SPRM tidak punya kuasa untuk menapis atau menolak pencalonan mana-mana parti politik kecuali jelas terbukti mereka sudah disabitkan dengan kesalahan. Yang ada kuasa SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang kewibaannya masih dipertikaikan oleh parti-parti pembangkang. SPRM hanya boleh menasihati parti-parti politik berkaitan calon-calon yang dikemukakan sama ada ada kecurigaan atau tidak. Namun kuasa mutlak meletak calon ialah parti-parti politik.

Rakyat boleh menilai sendiri nama-nama calon yang bertanding. Namun nasihat daripada SPRM mungkin membantu rakyat dan parti-parti politik untuk memilih calon-calon yang benar-benar bersih daripada rasuah. Wallahualam!

Friday 21 December 2012

Malaysia Gudang 'Haram.'

Haram! Haram! Haram!

Haram jadah betul!
 
Malaysia menjadi lubuk atau gudang yang  menjana segala perbuatan haram. Daripada pendatang haram, judi haram, rokok haram, anak haram, sumbang mahram dan macam-macam haram lagi.

Mutakhir ini Malaysia merupakan negara kedua pengaliran wang haram dalam senarai pengeluaran wang haram sedunia. Wah! nombor dua, baguskah tu?

Menurut laporan Global Financial Integerity (GFI) pada tahun 2009 jumlah aliran wang haram keluar dari negara ini meningkat 111% iaitu RM 94.2 billion ringgit kepada RM 199.58 billion pada 2010. Ohoi! lebih 100% lonjakan. Apakah ini petanda 'good governance' atau 'very-very bad governance?.

Pengaliran keluar duit ini adalah hasil 'duit haram' yang diperolehi dalam negara ini. Antaranya ialah wang rasuah, pecah amanah dan penyelewengan urus tadbir. Kalau begini keadaannya, tidak hairanlah Malaysia menduduki kedudukan dalam kelompok teratas negara-negara dunia yang mengamalkan rasuah.

Apakah pelik perkara ini berlaku? Saya kira tidak, kerana para pemimpinnya pun mengamalkan unsur-unsur rasuah dalam pentadbirannya. Apakah yang boleh diharapkan daripada ketua yang rasuah? Keroh air di hulu tak mungkin jernih air di kuala!

Wahai rakyat Malaysia! Apakah sanggup kita melihat fenomena yang buruk ini terus-terusan berlaku? Kalau anda mahukan ianya terus berlaku, maka tunggulah kemusnahannya. Kalau tidak mahu, sudah sampai masanya kita berubah, bereformasi ataupun melakukan transformasi.

Masa yang sesuai ialah pada PRU 13 ini. Lakukan perubahan! Jangan tunggu lama-lama nanti kita merana. Tukar! Jangan tak tukar!

Wednesday 19 December 2012

Sistem AES  Kantoi!

Oleh Razali Endun
 
Kah! kah! kah! itu sistem AES dah kantoi! Inilah kerja JPJ yang tidak pernah belajar daripada kesilapan. Ini bukan pertama kali JPJ buat silap. Sebelum ini pemasangan lampu isyarat (berkelip-kelip) di atas kenderaan berat, kononnya untuk mengesan kelajuan, hanya tinggal kenangan. Sesudah para pengendali lori dan bas memasangnya (bukan murah pula harganya), beberapa tahun kemudian 'sistem pengesan' itupun hilang dan tidak berkuat kuasa lagi.

Selepas itu diperkenalkan pula kaedah 'kotak hitam' juga kononnya bagi mengesan kelajuan kenderaan berat kerana menurut badut-badut dalam jabatan ini kenderaan berat yang menyebabkan kemalangan dan banyak nyawa melayang disebabkan kelajuan. Walaupun mendapat bantahan daripada pengusaha dan persatuan-persatuan pengangkutan, Kementerian Pengangkutan dan JPJ terus MEMAKSA pemilik lori dan bas memasangnya dan mendapatkan bekalan daripada sebuah pembekal sahaja. (Pembekal ini khabarnya kroni depa juga).  Harganya paling murah RM 1,000 satu, kalau ada 20 buah kenderaan harganya mencapai RM 20,000. Selepas stok kotak hitam itu habis dalam simpanan pembekal, maka sistem itupun kantoi, tidak siapa yang ambil peduli dan tidak ada lagi penguatkuasaan.

Bayangkan berapa banyak wang pengusaha telah hangus kerana paksaan daripada JPJ, bukan kerana mahu menyelamatkan nyawa, tetapi mahu mengkayakan kroni. Yang untung pembekal, yang rugi pemilik bas dan lori.

Sekarang diperkenalkan pula sistem perangkap kelajuan automatik (AES) dan banyak kamera sudah dipasang di merata jalan yang bukan 'accident prone' atau kawasan kemalangan. Yang banyak dipasang ialah di jalan yang had lajunya 90 km/j bagi memerangkap pemandu, bukan pula tempat berlaku banyak kemalangan. Sistem inipun mendapat bantahan orang ramai yang tidak puas hati caranya diperkenalkan. Banyak keraguan timbul apabila penguatkuasaanya diserahkan kepada dua syarikat swasta yang tentunya akan memikirkan keuntungan daripada yang lain-lain. 

Lagipun, apakah jadahnya JPJ memasang kamera perangkap had laju ini sedangkan polis telah melaksanakannya sebelum ini. Nampak sangat ini kerja bertindih, dan sekarang penguatkuasaanya dilakukan oleh dua agensi yang berlainan. Jelas tidak ada koordinasi dan kerjasama antara dua jabatan ini. Khabarnya polis masih meneruskan penggunaan kamera perangkap laju ini di samping JPJ. Wah! kena bayar denda dua kali di dua jabatan yang berasingan. Biarkan pihak polis saja yang uruskan hal kamera ini, kenapa JPJ gatal tangan mahu masuk campur? Ini bukti betapa tempangnya 'good governance' yang dilaung-laungkan oleh pihak kerajaan.
 
Khabarnya kes-kes yang dibawa ke mahkamah telah ditarik balik oleh JPJ kononnya kerana masalah teknikal. Ini membuktikan kerja-kerja JPJ hanya dilakukan mengikut kehendak hati ketua atau menterinya bukan kerana profesionalisme. Ini terbukti apabila peguam yang mewakili OKS, iaitu Zulhasmi Shariff mempertikaikan kewibawaan pengawai JPJ yang mendakwa OKS. Memang benar, selama inipun kes-kes JPJ dikendalikan oleh pegawai penguatkuasanya yang tidak ada kelayakan undang-undang. Perkara ini sudah berjalan begitu lama tanpa sesiapa atau peguam yang mencabarnya. Syabas Zulhasmi, anda telah membuka mata JPJ dan Jabatan Peguam Negara yang menutup sebelah mata selama ini.

Perkara ini berlaku kerana kebanyakan OKS kes-kes JPJ mengaku salah, bukan kerana mereka melakukan kesalahan tetapi kerana tidak mahu menghabiskan masa di mahkamah. Sebab itu pegawai JPJ yang mendakwa akan menjadi kelam kabut apabila OKS tidak mengaku bersalah, dan mereka akan berusaha memujuk OKS supaya mengaku bersalah dan sanggup berjumpa majistret untuk mendapatkan denda yang kurang. 

Begitu juga tentang pendakwaan yang tidak mengikut prosedur undang-undang (dalam aspek ini Akta JPJ). Kenderaan Syarikat saya pernah didakwa kerana tidak mempharakahdailynetunyai cukai jalan dan perlindungan insuran (sudah tamat belum diperbaharui). Kata mereka selain pemandu, syarikat juga dikenakan saman yang sama mengikut undang-undang (saya dah lupa Seksyen berapa). Saya berjumpa peguam dan peguam juga seolah-olah bersetuju. Saya minta peguam itu baca seksyen tersebut dan seksyen tersebut jelas menyebut perkataan 'ATAU' bererti sekiranya JPJ sudah saman dan mendakwa pemandu, mereka tidak boleh mendakwa pemilik kenderaan lagi. Apa lagi kalau pemandu sudah mengaku salah dan bayar denda. Kecuali perkataan 'Atau' itu digantikan dengan 'Dan', barulah kedua-duanya boleh didakwa. Lagipun adalah melanggar prinsip undang-undang hukuman dijatuhkan kepada dua orang atas kesalahan yang sama.   

Begitulah kisahnya, JPJ dengan badut-badut yang menjadi kantoi apabila tidak belajar daripada kesilapan sebelumnya.  Pak-pak ketua di JPJ dan menterinya hendaklah peka dan belajar daripada kesilapan bukan mengulangi kesilapan yang sama. Akhirnya akan menjadi bahan ketawa (mockery) saja. Wallahualam!
 

Tuesday 4 December 2012


                                                           Bertemu Kembali

           Asalamualikum! Saya minta maaf kerana terlalu lama tidak mengemaskini blog ini. Hampir 3 bulan. Sebenarnya saya sedang menyiapkan sebuah novel dan cuba mahu masuk sayembara anjuran DBP yang tarikh tutupnya pada pertengahan Disember ini. Saya terpaksa mengejar masa kerana masa semakin deras mengejar sedangkan idea tidak sederas putaran masa. Kekangan masa inilah membuatkan saya tidak dapat 'up-date' kan blog ini. Doa-doakanlah agar saya memenangi sayembara ini.

         Sebenarnya banyak isu semasa yang boleh disentuh, diulas, dikiritk dan dibaham. Tak mengapa, selepas ini mungkin saya akan cuba mengemaskinikan blog ini sebaik mungkin.

        Kepada kekawan dan pengikut blog ini, harap jangan berasa kesal dan bosan. Adalah diharapkan semuga anda akan terus dapat mengikuti blog ini dan berkongsi pendapat dalam apa jua isu.
   
        Selamat Bertemu Kembali 



                                      IPM DAN UTeM ANJUR SEMINAR SASTERA SIBER


           Ikatan Persuratan Melayu (IPM) bersama-sama dengan Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, UTeM dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunaksi, UTeM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan akan mengadakan satu hari Seminar Sastera Siber bertempat di dewan seminar PBPI, UTeM pada 8 Disember 2012 (Sabtu) bermula jam 9 pagi-5 petang.

           Seminar tersebut akan dirasmikan oleh Naib Cancelor UTeM Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan. Pada majlis perasmian tersebut juga akan diadakan majlis pelancaran buku Antologi Cerpen dan Sajak berjudul 'Impian & Harapan' terbitan IPM. Antologi tersebut mengandungi cerpen-cerpen dan sajak-sajak yang memenangi sayembara menulis cerpen 2011 anjuran IPM, DBPWS dan Kerajaan Negeri Melaka pada tahun lalu.

         Antologi ini akan diulas oleh 3 orang panel iaitu Ketua 1 IPM sendiri, Hj. Razali Endun, Sdra Uthaya Sankar S.B. Presiden Kavyan dan Prof. Dr. Mohd Halim bin Ali dari UPSI. Manakala sebelah petangnya Prof Ir. Dr. Wan Abu Bakar bin Wan Abas (Irwan Abu Bakar) akan membentangkan kertas kerjanya berkaitan Sastera Siber. Disusuli oleh Prof. Dr. A. Pogadev dari Rusia yang akan memperkatakan Sastera di Rusia.

        Antara matlamat seminar ialah memberi kesedaran kepada para pelajar UTeM yang berkecimpung dalam bidang kejuruteraan dan teknologi agar memahami secara positif bidang bahasa dan sastera tanah air. Dijangka seramai 60 orang mahasiswa universiti ini dijangka akan menyertai seminar ini. Manakala pada majlis perasmian dijangka Dekan Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, UTeM, Dr. Mariana bte Yusoff dan Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunakasi, UTeM, Prof Dr. Hj. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin akan turut hadir.

        Majlis penutup akan disempurnakan oleh Pengarah DBPWS, Tuan Hj. Rahim bin Omar.