Tuesday, 25 December 2012

Bongok Sangat Orang Umno ni?

Baru-baru ini aku balik ke kampung dan pergi ziarah rumah seorang kawan di Nyalas Jasin, Melaka. Ketika sampai ada seorang lelaki kira-kira 45 tahun bersama isterinya sedang memberi ceramah politik kepada tuan rumah. Lelaki itu salah seorang pemimpin UMNO di Gemas. Tuan rumah melongo dan mengiayakan saja apa yang dikatakan oleh lelaki itu. Kelihatan tuan rumah pun dungu terhadap suasana politik semasa. Dia amat taksub dengan penjelasan lelaki Umno itu sambil beberapa kali mengangkat sebuah akhbar Melayu yang sangat meloyakan pemberitaannya.

Seperti biasalah, orang Umno macam burung kaka tua, hanya tahu mengulang-ulang kata-kata tuannya. Begitulah juga dengan pemimpin Umno bahagian/cawangan Gemas ini hanya menakut-nakutkan tuan rumah dengan mengulang-ulang, "kalau pembangkang menang, orang Melayu akan susah dan jadi hamba. Cina akan jadi tuan dan berkuasa. Mahukah kita bertuankan Cina?" begitulah kira-kira ugutannya yang membuatkan tuan rumah turut sama terpesona kerana ketakutan hilang kuasa.

Telinga aku berdesing mendengar dan mata aku berpinar melihat betapa pemimpin Umno ini memperbodohkan tuan rumah itu yang hanya mengiyakan saja. Lantas aku menyampuk, "Selama ini, dalam Malaysia ini, tidak pernahkan Cina memerintah?"

"Di Pulau Pinang berpuluh tahun Gerakan/BN perintah, Apa Umno buat apabila tanah orang Melayu dirampas atas nama pembangunan dan diusir daripada pulau itu? Kenapa sekarang baru Umno sibuk-sibuk bersuara, menunjuk perasaan kononnya DAP merampas tanah orang Melayu? Dulu kenapa mereka diam? Mungkin mereka juga mendapat habuan, sebab itu diam membisu. Sekarang apabila habuan sudah tidak dapat lagi, mereka pun buat kacau dan bising. Nasib orang Melayu yang terumbang ambing di P.Pinang sekarang, angkara siapa?  BN/Umno atau DAP?"
 
Pemimpin Umno dan tuan rumah tersentak. Termangau-mangau macam orang bodoh sesat jalan. Lalu si Umno menjawab dengan alasan, "Kita tak mahu di peringkat pusat perkara ini terjadi." Tuan rumah pun mengiyakannya.

Aku membalas, "hakikat politik sekarang tidak ada siapa yang boleh menuntut menjadi tuan lagi. Semua warga negara berhak menjadi pemimpin politik dan memimpin negara. Pelantikan pemimpin negara tertakluk kepada Perlembagaan Negara."

Sambung aku lagi, orang Melayu mesti buka minda mereka. Mesti berfikiran terbuka. Jangan baca satu akhbar saja. Jangan tengok satu saluran tv aje? Kalau kita hala kan pandangan kita ke satu arah saja maka yang kita nampak jalur itu saja. Yang di sekelilingnya, di sebelah, di kiri di kanan di belakang, di bawah, di atas kita tak nampak. Maka itu yang nampak itu satu saja, bukan yang pelbagai. Dengan demikian fikiran kita jadi jumud, tak berkembang dan tidak berfikir.

"Tapi dalam surat khabar ini dia kata begitu? Kita percayalah apa yang dia kata," sampuk tuan rumah, nampak sangat kedunguannya.

Baca banyak akhbar, buku dan apa saja dalam apa bahasa sekalipun. Buka internet, blog, facebook dan twitter. Dengan pembacaan kita boleh nilai sendiri baik buruk sesuatu perkara. Benar tidaknya isu yang dibawa. Kalau baca satu akhbar saja, maka yang itulah saja kita anggap benar. Tapi akhbar ini pemberitaannya sangat disangsikan. Cuba baca tentang kononnya 'Amanat Hj. Hadi'; ini sudah 40 tahun lalu, tetapi setiap menjelang pilihan raya perkara yang sama dibangkitkan semula. Orang bodoh saja akan mempercayai apa yang ditulisnya. Lagipun akhbar ini sudah banyak kali kena saman kerana memfitnah, dan dia kalah. Bolehkah kita percaya akhbar ini lagi? Wah! macam orang politik aje aku berhujah.

 Mereka diam, maka aku teringat kata-kata Dr. Mahathir, tiada orang bijak pandai Melayu yang mahu masuk Umno sekarang. Kisah di kampung Nyalas ini bukti betapa dungu dan bodohnya orang Melayu yang memang sanggup diperbodohkan oleh Melayu/Umno, kerana dengan kebodohan itu mereka akan terus kekal berkuasa.

Lalu akupun menghadiahkan pemimpin Umno dari Gemas ini sebuah buku politik yang aku tulis bertajuk, "50 Tahun Politik Orang Melayu." Dengan harapan buku itu memberi pencerahan mindanya supaya tidak terus-terusan menjadi jumud.

Mesej cerita ini ialah, Bahawa akhbar memainkan peranan penting untuk mempengaruhi fikiran orang Melayu terutama di kampung-kampung. Jelas sekali di kampung-kampung mereka masih membaca akhbar yang merosakkan pemikiran orang Melayu. Mereka terbelenggu dengan pemikiran yang disebarkan oleh UMNO. Mereka tidak ada internet, maka akhbarlah menjadi penyampai maklumat kepada mereka. PR tidak sampai di rumah seperti tuan rumah ini. Apa lagi media mereka, bukan saja tidak sampai tetapi sudah dianggap haram membacanya.

Maka dengan yang demikian, jangan harap PR akan dapat undi Melayu di kampung-kampung. Wallahualam!
  

No comments: