Monday 12 September 2011

Malaya tak pernah dijajah - Zainal Keling

Ekoran daripada kegemparan Mat Sabu mengatakan Mat Indera itu hero kemerdekaan dan menyifatkan mata-mata British yang mempertahankan rumah pasong Bukit Kepong sebagai anggota yang mempertahankan pemerintahan kolonial, maka pelbagailah pandangan dan pendapat yang pro dan kontra yang mencelarukan lagi mauduk sebenar yang mahu diketengahkan oleh Mat Sabu.

Saya kira 'point' Mat Sabu jelas, dia tidak mempertikaikan peranan Dato' Onn Jaafar, Tunku Abd. Rahman dan beberapa orang pemimpin Umno yang lain dalam memperjuangkan kemerdekaan negara. Mungkin cara mereka ini, Mat Sabu sifatkan sebagai perunding, bukan pejuang. Pejuang dalam erti kata umumnya ialah mereka yang berjuang secara pizikal, mengangkat senjata atau sekurang-kurangnya menyatakan dengan lantang pendirian secara berani dan sanggup menghadapi risiko termasuk ditangkap, dipenjara atau dibunuh.

Mat Sabu juga mahu pejuang-pejuang lain yang dicop sebagai pemimpin kiri Melayu diiktiraf sama setaraf dengan pemimpin-pemimpin Umno. Nama-nama seperti Ahmad Boestamam, Pak Sako, Dr. Bahrruddin El-Elmy, Ibrahim Yaakob, Bakar Al-Baqir dll, janganlah disingkir atau cuba dipadamkan daripada sejarah kemerdekaan tanah air. Malahan perjuangan melawan penjajah British sudah berlaku lama sebelum kewujudan pemimpin-pemimpin yang dinamakan di atas ini.

Nama-nama seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Maharajalela, Dato Dol Said dan beberapa orang lagi telah berjuang demi kebebasan daripada cengkaman penjajah. Nama-nama mereka semacam tidak termasuk dalam senarai pejuang kemerdekaan, sebaliknya hanya nama-nama pemimpin Umno saja yang wujud dan disebut-sebut berulang kali. Maka kerana itu juga sambutan hari kemerdekaan semacam sambutan hari ulang tahun Umno layaknya. Apa dapat ditanam semangat patriotisme dalam jiwa rakyat, kalau yang suruh dipuja hanya pemimpin Umno saja? Inilah yang dipersoalkan oleh bukan saja Mat Sabu tetapi ramai lagi rakyat Malaysia yang kritis pandangan dan pemikiran mereka.

Dalam kehangatan pedebatan itu, tiba-tiba seorang Prof. menyatakan bahawa Malaya tidak pernah dijajah oleh British kecuali Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Dakwaan ini berdasarkan perjanjian Pangkor yang mengatakan peranan Inggeris hanya sebagai penasihat kepada Raja-Raja Melayu, itu sahaja. Bagi pengertian Prof Zainal Keling, ini bererti secara legalnya Malaya tidak dijajah oleh Inggeris, hanya diberi perlindungan atau 'Protectorate Malay States.' Dari segi logiknya mungkin pandagan beliau ini ada kebenarannya.

Akan tetapi beliau terlupa bahawa tipu muslihai Inggeris sangat licik. Mereka menggunakan muslihat ini untuk menipu orang Melayu dan sultan-sultan. Natijahnya, bukan itu yang berlaku. Di atas kertas hanya bagaikan hidangan lazat yang melupakan segala kesakitan, kepayahan dan keseksaan yang berlaku selepas itu akibat tipu muslihat ini. Yang jelas, apa yang berlaku ialah penjajahan dari segi pizikal dan mental. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa segala urusan negara, ekonomi, politik, pelajaran, kemasyarakatan dan sebagainya adalah ditentukan oleh Inggeris. Malah bahasa Inggeris menjadi medium utama bagi menentukan kecerdikan dan kebajikan hidup rakyat negara ini. Bukan itu saja Inggeris telah menanamkan jalur pemikiran mengikut acuan mereka dalam minda rakyat ini terutama pemimpin-pemimpin negara dulu dan sekarang. Justeru kerana itu maka kita dapat mengesani cara pemerintahan negara selepas merdeka tidak banyak berbeza pun, kerana kita hanya menyambung cara pemerintahan kolonial terdahulu. Orang yang memerintah saja yang bertukar tangan, daripada pemerintahan Inggeris kepada anak tempatan. Akan tetapi falsafah dan cara urusan pentadbiran negara masih tidak berubah apa pun. Oleh itu rakyat Malaya dan sekarang Malaysia boleh diibaratkan terlepas daripada penjajahan Inggeris masuk pula ke dalam era penjajahan anak negeri.

Sebenarnya pendapat Zainal Keling itu sudah lama dilontarkan olehnya dalam beberapa seminar yang saya ikut serta sebagai peserta. Para peserta tidak ambil serius pandangan beliau itu kerana itu mungkin pandangan peribadi beliau saja. Akan tetapi lontaran itu mendapat perhatian umum baru-baru ini susulan kenyataan Mat Sabu mahu diperbetulkan sejarah kemerdekaan negara. Perhatian serius yang diberikan kali ini mungkin kerana kenyataan Zainal Keling mewakili 'kumpulan profesor' yang kononnya diwakili oleh beliau. Kalau itu yang berlaku, pastinya lontaran pandangan ini sesuatu yang tidak kena malah menyalahi fakta sebenar sejarah tanah air. Pastinya pandangan ini tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya menimbulkan kecelaruan dan kekeliruan yang menjadikan kemelut ini semakin kalut!

Tuesday 6 September 2011

Kematian Noramfaizul dipolitikkan oleh gerombolan

Seperti saya katakan terdahulu, hari raya tahun ini mencatatkan banyak kematian. Ini tak termasuk kematian 'ops-sikap' yang kononnya mahu mengurangkan kematian. Menurut laporan media seramai lebih 250 orang telah mati dalam kecelakan jalan raya dalam tempoh ops-sikap berlangsung sehingga Isnin 5 Sept. Semakin bongkak kita mahu mengurangkan kematian (kematian adalah ketentuan Allah) semakin ramai pula yang mati. Kita boleh berusaha untuk mengurangkan kecuaian tetapi kita tidak mampu menghentikan kematian. Itu di luar kemampuan kita. Apabila kita mahu melawan takdir, Allah tunjukkan yang menentukan kematian bukan manusia. Kalau kita masih mahu mengatakan kita berkuasa mengurangkan kematian, saya khuatir sila-silap kita akan menjadi syirik dengan kenyataan sebegini. Tak percaya, tanyalah Dr. Asri?

Apa pun kita simpati dengan keluarga yang menempuh kematian ini. Lebih-lebih lagi sdra Noramfaizul, jurukamera Bernama yang mati terkena peluru sesat di Somalia. Itulah takdir namanya. Keluarga Allahyaraham perlu menerima khadak dan kadar ini dengan sabar dan reda.
Akan tetapi saya lihat kematian beliau ini cuba dipolitikkan oleh gerombolan dengan publicity yang berlebihan dan pemendekan cuti PM Najib yang sedang berlibur di Austaralia. Lebih terlampau lagi apabila Allaharaham disanjung sebagai 'wira'. Dalam kamus Dewan wira bererti 'pahlawan.' Manakala pahlawan pula mengikut Kamus yang sama bererti pejuang yang gagah, perwira, gagah berani.'

Kita tidak nafikan pemergian Allahyahraham ke Somalia adalah atas keberaniannya. Keberanian dalam aspek ini ialah berani menaggung risiko. Beliau bukan pergi berjuang untuk tanah air, tetapi pergi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pekerja. Mungkin beliau diarahkan ke sana dan pergi dalam keadaan 'terpaksa.' Apakah wajar beliau dinobatkan sebagai seorang 'wira'? Inilah yang dikatakan oleh Tuan Ibrahim, yang berkuasa boleh memberi cop apa saja.

Kalaulah ditakdirkan kematian seprti itu berlaku ke atas wartawan Harakah, apakah Najib akan nobatkan sebegitu rupa? Apakah media yang dikawal oleh gerombolan akan memberikan liputan yang luas dan luar biasa sekali? Inilah mainan politik!

Sebagai contoh, pengorbanan Dr Jamilah, bekas presiden Mercy Malaysia dan seorang doktor lelaki tercedera terkena peluru dalam misi kemanusiaannya di Iraq, gerombolan tak ambil kisah pun. Begitu juga media yang dikawal oleh gerombolan, hanya membawa berita itu seperti berita biasa saja. Bukankah pengorbanan Dr. Jamilah dan rakan-rakannya dalam Mercy suatu yang harus dihargai dan dihormati? Beliau bukan saja bawa makanan, tetapi ubatan dan merawat mereka yang cedera dan sakit.

Malah sekarang, tugasan Mercy semacam diambil alih pula oleh Kelab Putra Malaysia yang di bawah pimpinan orang politik. Mercy seolah-olah tidak mendapat publicity dalam media gerombolan lagi. Kelab Putra Malaysia pula mendapat publicity berlebihan. Natijahnya, gerakan bantuan di Somalia dianggap sebagai 'kerja politik' untuk mendapatkan publicity dan 'political mileage' dan lebih bertujuan untuk kepentingan peribadi untuk dicalonkan dalam pilihan raya akan datang.

Najib pun tumpang sekaki, ambil kesempatan ini untuk menonjolkan popularitinya yang semakin menurun dengan menobatkan Allahyaraham sebagai 'wira' negara. Seperti biasa apabila tukang karut melaungkan, 'wira' maka anak buahnya juga akan mengulangi ungkapan yang sama. Najib memendekkan cutinya hanya kerana mahu menyambut kepulangan jenazah Allahyahraham di lapangan terbang Subang KL. Semuanya ini mendapat liputan yang luar biasa oleh media kongkongan gerombolan. Semuanya ini adalah agenda politik yang tersembunyi mahu mendapat sokongang rakyat yang semakin matang menilai arus politik gerombolan. Perkara yang sama juga berlaku apabila gerombolan berebut-rebut membawa pulang penuntut Malaysia di Mesir apabila negara itu dalam kemuncak huru hara kerana kebangkitan rakyatnya. Kepulangan mereka mendapat liputan luar biasa sekali oleh media gerombolan, malah Najib dan Rosmah sendiri turun menyambut kepulangan mereka di airport. Apa jadi selepas itu? Mereka dibiarkan saja, dan gerombolan tidak bertanggungjawab menghantar mereka pulang semula ke Mesir untuk meneruskan pengajian mereka. Inlah yang dikatakan oleh MB Kedah, Ustaz Azizan, 'beruk naik nyiok.' Beruk kalau mahu disuruh naik petik buah nyior (kelapa) diberi makan pisang sebagai upah dulu. Selepas kelapa dipetik, buruk turun tak diberi upah pun. Yang mendapat upahnya nanti ialah tuan beruk itu.

Beginilah kisahnya orang politik. Hinggakan suatu kematian pun mahu dipolitikkan hanya untuk kepentinagan politik mereka. Ubaya-ubaya! dengan orang politik sedemikian rupa!

Sunday 4 September 2011

Mat Sabu buat gempak !

Asalamualikum! Selamat hari raya saya ucapkan kepada penghujung blog ini. Pada hari raya tahun ini saya agak sibuk sedikit. Bukan sibuk apa pun, tetapi sibuk melawat kekawan yang meninggal dunia. Hari raya tahun ini ramai pula kekawan yang meninggal dunia. Apa yang boleh manusia lakukan kerana itu adalah kuasa Allah. Kita harus menerimanya dengan reda.

Seminggu sebelum raya, novelis/sasterawan Allahyaraham Azizi Hj. Abdullah meninggal dunia. Saya pun berkejar ke Kulim untuk menziarahi sahabat saya itu. Tetapi tak sempat, jenazahnya telah disemadikan sebelum ketibaan saya.

Pada hari raya kedua dapat berita pula Datuk Hassan Ahmad, mantan KP DBP meninggal secara mengejut. Pemerigian Datuk Hassan benar-benar satu kehilangan bagi pejuang bahasa dan anti PPSMI. Pada hari yang sama Naib Cancelor UPSI, Tan Sri Datuk Abdul Shukor juga meninggal dunia. Pada hari raya ketiga 1 Sept lalu anak kepada besan saya di Pulau Pinang dan seorang cucunya mati lemas dalam laut di Balik Pulau. Bergegas semula ke Pulau Pinang untuk menziahari keluarga malang itu. Itulah Kahdak dan khadar sebenarnya. Tiada siapa yang bisa melawan takdir!

Berita yang paling menarik perhatian saya menjelang Hari Raya ini ialah lontaran idea Mat Sabu tentang Mat Indera yang dicop sebagai komunis Melayu oleh golongan 'gerombolan.' Lontaran ini tidak dilihat oleh 'gerombolan' sebagai satu isu penting sejarah untuk dijadikan pedebatan secara akademik bagi mengkaji semula sejarah tanah air. Isu yang ditimbulkan oleh Mat Sabu ada unsur 'debatable' atau boleh dihujah atau dibahaskan secara intelektual, bukan dalam pandangan sempit kepartian. Sebaliknya Mat Sabu menerima laontaran batu 'fitnah' memburuk-burukkan kredibilitinya sebagai seorang politikus.

Sebenarnya saya sendiri sedang memikirkan untuk menulis novel sejarah berkaitan dengan Mat Indera. Dalam seminar penulisan novel sejarah warisan Johor saya telah menyampaikan hasrat ini kepada para panel pembimbing, iaitu akan melihat daripada sudut perjuangan kebangsaannya. Saya telah pun baca sedikit kisahnya dalam sebuah buku terbitan kerajaan Johor. Saya perlu membuat kajian lagi berkaitan kisah hidupnya sebelum menulis. Saya pun tak pasti akan dapat/sempat menulisnya kerana tarikh akhir peraduan pada akhir Dis 2011 ini. Saya berminat menulis kisahnya dari prespektif fahaman kebangsaannya.

Peristiwa berdarah balai polis Bukit Kepong boleh dilihat daripada beberapa prespektif. Kita bersimpati kepada keluarga polis yang kehilangan keluarga mereka. Akan tetapi daripada prespektif perjuangan, siapakah yang dipertahankan oleh anggota polis itu? Pada masa kejadian itu negara kita masih dalam cengkaman penjajah Inggeris. Nyata sekali yang dipertahankan oleh anggota polis itu ialah tuan mereka, yakni penjajah Inggeris yang menjarah negara ini. Mereka bukan mempertahankan negara, tetapi tuan mereka.

Pada sudut yang lain pula, Mat Indera yang terpaksa bersekongkol dengan Parti Komunis Malaya (PKM) kerana itu saja landasan perjuangan yang dia ada (malah oleh apa yang disebut oleh British sebagai pemimpin kiri, seperti Shamsiah Pakeh, Rashid Maidin dan kekawan mereka), kerana mereka telah diharamkan dalam gerakan politik iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Mereka bukan penyokong fahaman komunis, akan tetapi menjadikan medan itu sebagai kaedah perjuangan mereka. Dalam buku berkaitan dengan Mat Indera juga dicatitkan bahawa mereka bukan penganut fahaman komunis.

Dua sudut ini boleh dihujahkan mengikut fakta dan pandangan masing-masing. Walau bagaimanapun, saya bersetuju dengan pendapat Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan bahawa sejarah biasanya ditulis oleh pihak yang menang/berkuasa. Pihak yang berkuasa akan menentukan sejarah apakah yang harus ditulis. Oleh kerana Inggeris yang berkuasa pada masa itu, maka pihak Inggeris telah menanamkan kefahaman, siapa saja yang melawan Inggeris adalah musuh, dan komunis dicipta sebagai lembaga halimunan untuk menakut-nakutkan rakyat. Dan Umno/BN berjaya dipengaruhi dengan fahaman ini yang menganggap yang kiri itu 'komunis.'

Kebetulan pula Umno/BN sedang berkuasa sekarang, maka sejarah yang mempunyai kepentingan politiknya sahaja ditonjol dan dipropagandakan saja. Yang menjadi idola pejuang-pejuang kemerdekaan mereka hanya pemimpin-pemimpin Umno saja seperti Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abd. Rahman Putera. Pejuang-pejuang kiri yang lain, yang masuk dan keluar penjara Inggeris seperti Ahmad Boestamam, Ishak Hj. Mohamad (Pak Sako), Ibrahim Yakob, Dr. Zulkifli Mohamad, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Abu Bakar Al-Baqir dll seolah-olah mahu dipadamkan daripada peta sejarah tanah air. Hakikatnya, pejuang kemerdekaan sebenarnya adalah mereka ini yang telah mengalami keseksaan dan jerit perih perjuangan sehinggakan mereka tidak menghiraukan kepentingan diri dan sanggup berkorban demi pertiwi. Sudahlah begitu, mereka tidak pernah diiktiraf oleh Umno, apa lagi dikenang sebagai pejuang kemerdekaan.

Dato' Onn dan Tunku hanya menerima kemerdekaan tanpa perjuangan apa pun kerana mereka sebenarnya pengawai kerajaan Inggeris dan Inggeris menerima mereka kerana pendirian dan pemahaman jalur pemikiran mereka adalah sama dengan Inggeris. Itulah sebabnya setelah merdeka pun kita masih meneruskan pengaruh Inggeris dalam pentadbiran negara (bukan dasar kebangsaan).

Yang menjadi persoalan ialah, kenapa nama-nama pejuang tulen ini tidak disebut dan tidak diberi penghargaan ketika menyambut hari kemerdekaan negara? Mereka semacam mahu disisih dan dipadamkan sebagai pejuang kemerdekaan!

Apa yang dinyatakan oleh Tuan Ibrahim ada kebenarannya. Ketika zaman Hang Tuah, beliau dinobatkan sebagai pahlawan Melayu dan ditulis dalam sejarah Melayu sebagai seorang yang taat setianya kepada Sultan tidak berbelah bagi. Malah 'Sejarah Melayu' ditulis semata-mata mahu menjaga hati golongan istana. Dan sehingga kini Hang Tuah dijadikan idola oleh sesetengah pihak, walaupun ketaatsetianya terhadap sultan boleh dipertikaikan! Penulisan sejarah ini sengaja dibuat sebegitu rupa untuk 'mengampu' sultan yang sedang berkuasa pada ketika itu. Kataatan yang melulu itu sudah tidak boleh diterima oleh masyarakat kini. Justeru itu, kisah ini ditulis semula oleh Kassim Ahmad dan dengan berani menobatkan Hang Jebat sebagai pahlawan Melayu, bukan Hang Tuah.

Contoh kedua ialah Dato' Sri Anwar Ibrahim, dalam buku atau sejarah Umno nama beliau sudah dipadamkan sebagai pemimpin Umno. Malah gambar beliau juga sudah ditiadakan dalam hierarki kepimpinan Umno. Hakikatnya, sama ada suka atau tidak DSAI pernah menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Kenapa nama beliau dipadamkan? Jawapannya ialah mereka menganggap DSAI sebagai pengkhianat parti, Betul kah? Kalau mengikut logiknya, nama DSAI seharusnya berada dalam senarai kempimpinan Umno, kerana itulah sejarahnya. Inilah buktinya, yang berkuasa menulis sejarah, yang kalah menulis puisi.

Demikianlah kisah Mat Sabu yang cuba mencari dimensi baru pensejarahan tanah air. Lontaran ideanya seharusnya difikir dan didebatkan, bukan dijadikan alat perkelahian.