Asalamualikum! Selamat hari raya saya ucapkan kepada penghujung blog ini. Pada hari raya tahun ini saya agak sibuk sedikit. Bukan sibuk apa pun, tetapi sibuk melawat kekawan yang meninggal dunia. Hari raya tahun ini ramai pula kekawan yang meninggal dunia. Apa yang boleh manusia lakukan kerana itu adalah kuasa Allah. Kita harus menerimanya dengan reda.
Seminggu sebelum raya, novelis/sasterawan Allahyaraham Azizi Hj. Abdullah meninggal dunia. Saya pun berkejar ke Kulim untuk menziarahi sahabat saya itu. Tetapi tak sempat, jenazahnya telah disemadikan sebelum ketibaan saya.
Pada hari raya kedua dapat berita pula Datuk Hassan Ahmad, mantan KP DBP meninggal secara mengejut. Pemerigian Datuk Hassan benar-benar satu kehilangan bagi pejuang bahasa dan anti PPSMI. Pada hari yang sama Naib Cancelor UPSI, Tan Sri Datuk Abdul Shukor juga meninggal dunia. Pada hari raya ketiga 1 Sept lalu anak kepada besan saya di Pulau Pinang dan seorang cucunya mati lemas dalam laut di Balik Pulau. Bergegas semula ke Pulau Pinang untuk menziahari keluarga malang itu. Itulah Kahdak dan khadar sebenarnya. Tiada siapa yang bisa melawan takdir!
Berita yang paling menarik perhatian saya menjelang Hari Raya ini ialah lontaran idea Mat Sabu tentang Mat Indera yang dicop sebagai komunis Melayu oleh golongan 'gerombolan.' Lontaran ini tidak dilihat oleh 'gerombolan' sebagai satu isu penting sejarah untuk dijadikan pedebatan secara akademik bagi mengkaji semula sejarah tanah air. Isu yang ditimbulkan oleh Mat Sabu ada unsur 'debatable' atau boleh dihujah atau dibahaskan secara intelektual, bukan dalam pandangan sempit kepartian. Sebaliknya Mat Sabu menerima laontaran batu 'fitnah' memburuk-burukkan kredibilitinya sebagai seorang politikus.
Sebenarnya saya sendiri sedang memikirkan untuk menulis novel sejarah berkaitan dengan Mat Indera. Dalam seminar penulisan novel sejarah warisan Johor saya telah menyampaikan hasrat ini kepada para panel pembimbing, iaitu akan melihat daripada sudut perjuangan kebangsaannya. Saya telah pun baca sedikit kisahnya dalam sebuah buku terbitan kerajaan Johor. Saya perlu membuat kajian lagi berkaitan kisah hidupnya sebelum menulis. Saya pun tak pasti akan dapat/sempat menulisnya kerana tarikh akhir peraduan pada akhir Dis 2011 ini. Saya berminat menulis kisahnya dari prespektif fahaman kebangsaannya.
Peristiwa berdarah balai polis Bukit Kepong boleh dilihat daripada beberapa prespektif. Kita bersimpati kepada keluarga polis yang kehilangan keluarga mereka. Akan tetapi daripada prespektif perjuangan, siapakah yang dipertahankan oleh anggota polis itu? Pada masa kejadian itu negara kita masih dalam cengkaman penjajah Inggeris. Nyata sekali yang dipertahankan oleh anggota polis itu ialah tuan mereka, yakni penjajah Inggeris yang menjarah negara ini. Mereka bukan mempertahankan negara, tetapi tuan mereka.
Pada sudut yang lain pula, Mat Indera yang terpaksa bersekongkol dengan Parti Komunis Malaya (PKM) kerana itu saja landasan perjuangan yang dia ada (malah oleh apa yang disebut oleh British sebagai pemimpin kiri, seperti Shamsiah Pakeh, Rashid Maidin dan kekawan mereka), kerana mereka telah diharamkan dalam gerakan politik iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Mereka bukan penyokong fahaman komunis, akan tetapi menjadikan medan itu sebagai kaedah perjuangan mereka. Dalam buku berkaitan dengan Mat Indera juga dicatitkan bahawa mereka bukan penganut fahaman komunis.
Dua sudut ini boleh dihujahkan mengikut fakta dan pandangan masing-masing. Walau bagaimanapun, saya bersetuju dengan pendapat Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan bahawa sejarah biasanya ditulis oleh pihak yang menang/berkuasa. Pihak yang berkuasa akan menentukan sejarah apakah yang harus ditulis. Oleh kerana Inggeris yang berkuasa pada masa itu, maka pihak Inggeris telah menanamkan kefahaman, siapa saja yang melawan Inggeris adalah musuh, dan komunis dicipta sebagai lembaga halimunan untuk menakut-nakutkan rakyat. Dan Umno/BN berjaya dipengaruhi dengan fahaman ini yang menganggap yang kiri itu 'komunis.'
Kebetulan pula Umno/BN sedang berkuasa sekarang, maka sejarah yang mempunyai kepentingan politiknya sahaja ditonjol dan dipropagandakan saja. Yang menjadi idola pejuang-pejuang kemerdekaan mereka hanya pemimpin-pemimpin Umno saja seperti Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abd. Rahman Putera. Pejuang-pejuang kiri yang lain, yang masuk dan keluar penjara Inggeris seperti Ahmad Boestamam, Ishak Hj. Mohamad (Pak Sako), Ibrahim Yakob, Dr. Zulkifli Mohamad, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Abu Bakar Al-Baqir dll seolah-olah mahu dipadamkan daripada peta sejarah tanah air. Hakikatnya, pejuang kemerdekaan sebenarnya adalah mereka ini yang telah mengalami keseksaan dan jerit perih perjuangan sehinggakan mereka tidak menghiraukan kepentingan diri dan sanggup berkorban demi pertiwi. Sudahlah begitu, mereka tidak pernah diiktiraf oleh Umno, apa lagi dikenang sebagai pejuang kemerdekaan.
Dato' Onn dan Tunku hanya menerima kemerdekaan tanpa perjuangan apa pun kerana mereka sebenarnya pengawai kerajaan Inggeris dan Inggeris menerima mereka kerana pendirian dan pemahaman jalur pemikiran mereka adalah sama dengan Inggeris. Itulah sebabnya setelah merdeka pun kita masih meneruskan pengaruh Inggeris dalam pentadbiran negara (bukan dasar kebangsaan).
Yang menjadi persoalan ialah, kenapa nama-nama pejuang tulen ini tidak disebut dan tidak diberi penghargaan ketika menyambut hari kemerdekaan negara? Mereka semacam mahu disisih dan dipadamkan sebagai pejuang kemerdekaan!
Apa yang dinyatakan oleh Tuan Ibrahim ada kebenarannya. Ketika zaman Hang Tuah, beliau dinobatkan sebagai pahlawan Melayu dan ditulis dalam sejarah Melayu sebagai seorang yang taat setianya kepada Sultan tidak berbelah bagi. Malah 'Sejarah Melayu' ditulis semata-mata mahu menjaga hati golongan istana. Dan sehingga kini Hang Tuah dijadikan idola oleh sesetengah pihak, walaupun ketaatsetianya terhadap sultan boleh dipertikaikan! Penulisan sejarah ini sengaja dibuat sebegitu rupa untuk 'mengampu' sultan yang sedang berkuasa pada ketika itu. Kataatan yang melulu itu sudah tidak boleh diterima oleh masyarakat kini. Justeru itu, kisah ini ditulis semula oleh Kassim Ahmad dan dengan berani menobatkan Hang Jebat sebagai pahlawan Melayu, bukan Hang Tuah.
Contoh kedua ialah Dato' Sri Anwar Ibrahim, dalam buku atau sejarah Umno nama beliau sudah dipadamkan sebagai pemimpin Umno. Malah gambar beliau juga sudah ditiadakan dalam hierarki kepimpinan Umno. Hakikatnya, sama ada suka atau tidak DSAI pernah menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Kenapa nama beliau dipadamkan? Jawapannya ialah mereka menganggap DSAI sebagai pengkhianat parti, Betul kah? Kalau mengikut logiknya, nama DSAI seharusnya berada dalam senarai kempimpinan Umno, kerana itulah sejarahnya. Inilah buktinya, yang berkuasa menulis sejarah, yang kalah menulis puisi.
Demikianlah kisah Mat Sabu yang cuba mencari dimensi baru pensejarahan tanah air. Lontaran ideanya seharusnya difikir dan didebatkan, bukan dijadikan alat perkelahian.
1 comment:
Pertama, kita sokong niat saudara menulis novel sejarah berdasarkan watak yang menarik ini. Kedua, yang menimbulkan kegusaran kita ialah putar belitnya demi untuk tujuan politik. Orang-orang Melayu yang malas berfikir terus-terusan terpedaya. Tidak bolehkah berlapang dada, dan perdebatkan hujah-hujahnya Mat Sabu itu? Kenapakah mesti berbohong dengan mengada-adakan cerita yang tak ada?
Post a Comment