Ekoran daripada kegemparan Mat Sabu mengatakan Mat Indera itu hero kemerdekaan dan menyifatkan mata-mata British yang mempertahankan rumah pasong Bukit Kepong sebagai anggota yang mempertahankan pemerintahan kolonial, maka pelbagailah pandangan dan pendapat yang pro dan kontra yang mencelarukan lagi mauduk sebenar yang mahu diketengahkan oleh Mat Sabu.
Saya kira 'point' Mat Sabu jelas, dia tidak mempertikaikan peranan Dato' Onn Jaafar, Tunku Abd. Rahman dan beberapa orang pemimpin Umno yang lain dalam memperjuangkan kemerdekaan negara. Mungkin cara mereka ini, Mat Sabu sifatkan sebagai perunding, bukan pejuang. Pejuang dalam erti kata umumnya ialah mereka yang berjuang secara pizikal, mengangkat senjata atau sekurang-kurangnya menyatakan dengan lantang pendirian secara berani dan sanggup menghadapi risiko termasuk ditangkap, dipenjara atau dibunuh.
Mat Sabu juga mahu pejuang-pejuang lain yang dicop sebagai pemimpin kiri Melayu diiktiraf sama setaraf dengan pemimpin-pemimpin Umno. Nama-nama seperti Ahmad Boestamam, Pak Sako, Dr. Bahrruddin El-Elmy, Ibrahim Yaakob, Bakar Al-Baqir dll, janganlah disingkir atau cuba dipadamkan daripada sejarah kemerdekaan tanah air. Malahan perjuangan melawan penjajah British sudah berlaku lama sebelum kewujudan pemimpin-pemimpin yang dinamakan di atas ini.
Nama-nama seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Maharajalela, Dato Dol Said dan beberapa orang lagi telah berjuang demi kebebasan daripada cengkaman penjajah. Nama-nama mereka semacam tidak termasuk dalam senarai pejuang kemerdekaan, sebaliknya hanya nama-nama pemimpin Umno saja yang wujud dan disebut-sebut berulang kali. Maka kerana itu juga sambutan hari kemerdekaan semacam sambutan hari ulang tahun Umno layaknya. Apa dapat ditanam semangat patriotisme dalam jiwa rakyat, kalau yang suruh dipuja hanya pemimpin Umno saja? Inilah yang dipersoalkan oleh bukan saja Mat Sabu tetapi ramai lagi rakyat Malaysia yang kritis pandangan dan pemikiran mereka.
Dalam kehangatan pedebatan itu, tiba-tiba seorang Prof. menyatakan bahawa Malaya tidak pernah dijajah oleh British kecuali Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Dakwaan ini berdasarkan perjanjian Pangkor yang mengatakan peranan Inggeris hanya sebagai penasihat kepada Raja-Raja Melayu, itu sahaja. Bagi pengertian Prof Zainal Keling, ini bererti secara legalnya Malaya tidak dijajah oleh Inggeris, hanya diberi perlindungan atau 'Protectorate Malay States.' Dari segi logiknya mungkin pandagan beliau ini ada kebenarannya.
Akan tetapi beliau terlupa bahawa tipu muslihai Inggeris sangat licik. Mereka menggunakan muslihat ini untuk menipu orang Melayu dan sultan-sultan. Natijahnya, bukan itu yang berlaku. Di atas kertas hanya bagaikan hidangan lazat yang melupakan segala kesakitan, kepayahan dan keseksaan yang berlaku selepas itu akibat tipu muslihat ini. Yang jelas, apa yang berlaku ialah penjajahan dari segi pizikal dan mental. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa segala urusan negara, ekonomi, politik, pelajaran, kemasyarakatan dan sebagainya adalah ditentukan oleh Inggeris. Malah bahasa Inggeris menjadi medium utama bagi menentukan kecerdikan dan kebajikan hidup rakyat negara ini. Bukan itu saja Inggeris telah menanamkan jalur pemikiran mengikut acuan mereka dalam minda rakyat ini terutama pemimpin-pemimpin negara dulu dan sekarang. Justeru kerana itu maka kita dapat mengesani cara pemerintahan negara selepas merdeka tidak banyak berbeza pun, kerana kita hanya menyambung cara pemerintahan kolonial terdahulu. Orang yang memerintah saja yang bertukar tangan, daripada pemerintahan Inggeris kepada anak tempatan. Akan tetapi falsafah dan cara urusan pentadbiran negara masih tidak berubah apa pun. Oleh itu rakyat Malaya dan sekarang Malaysia boleh diibaratkan terlepas daripada penjajahan Inggeris masuk pula ke dalam era penjajahan anak negeri.
Sebenarnya pendapat Zainal Keling itu sudah lama dilontarkan olehnya dalam beberapa seminar yang saya ikut serta sebagai peserta. Para peserta tidak ambil serius pandangan beliau itu kerana itu mungkin pandangan peribadi beliau saja. Akan tetapi lontaran itu mendapat perhatian umum baru-baru ini susulan kenyataan Mat Sabu mahu diperbetulkan sejarah kemerdekaan negara. Perhatian serius yang diberikan kali ini mungkin kerana kenyataan Zainal Keling mewakili 'kumpulan profesor' yang kononnya diwakili oleh beliau. Kalau itu yang berlaku, pastinya lontaran pandangan ini sesuatu yang tidak kena malah menyalahi fakta sebenar sejarah tanah air. Pastinya pandangan ini tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya menimbulkan kecelaruan dan kekeliruan yang menjadikan kemelut ini semakin kalut!
No comments:
Post a Comment