Saturday, 8 October 2011

Belanjawan 2012

Wow! Belanjawan Negara yang diumumkan oleh Najib petang semalam di parlimen sungguh menakjubkan. Aku sendiri tak percaya, tak percaya daripada mana dia akan dapatkan wang sebanyak itu untuk dicurahkan seperti yang dijanjinya? Tak percaya adakah peruntukan itu akan sebenarnya dinikmati oleh rakyat keseluruhannya pada masa yang panjang?

Bayaran one off atau sekali sahaja adalah ibarat melempar umpan di laut dalam. Ianya pasti bajet pilihan raya. Kail dilempar, selepas itu ditarik-tariknya supaya merangsang ikan termakan umpan.

Wah! bekas home guard, polis, SC pada zaman dhararut dulu pun dapat habuan. Heran juga ya? Selepas 54 tahun merdeka baru kerajaan BN sedar untuk berikan sedikit wang saku sebagai mengenang jasa mereka. Kalaulah Mat Sabu tak 'celupar' mulut bangkitkan peristiwa Mat Indera dan Bukit Kepong, jangan harap depa ini akan dapat? Kerajaan BN kalau tidak ada desakan atau asakan, tak usah haraplah rakyat akan dapat perhatian dan keistimewaan. Lihat sahaja Akta ISA, ditarik balik atas perjuangan lama pembangkang. Begitu juga penubuhan Jawatankuasa Parlimen yang meneliti perjalanan pilihan raya, ianya atas desakan Bersih dan Pembangkang juga.

Aku bersetuju dengan pandangan YB Rantau Panjang bahawa bajet Najib hanya tertumpu kepada kebajikan fizikal sahaja, tidak kelihatan ada rangsangan daripada segi spiritual, kerohanian dan akhlak. Pembangunan akhlak sangat mustahak diberi perhatian kerana akhlak rakyat baik yang muda mahupun yang tua sudah tercemar dengan teruknya. Kisah buang anak, pergaulan bebas, rompakan dan samun, dadah serta rasuah sangat mengerunkan.

Kenapa tidak ada peruntukan untuk membina akhlak dan minda rakyat? Tak terlihat ada peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat yang signifikan. Begitu juga tidak ada langsung peruntukan rangsangan untuk bidang kesusasteraan/budaya dan bahasa. Ketiga-tiga elemen ini sebenarnya menjana keintelektualan minda, membentuk sahsiah pemikiran rakyat sekaligus membina tamadun sesuatu bangsa.

Dari segi lahirahnya, belanjawan ini kelihatan bagus, tetapi hanya buat sementara sahaja iaitu pemberian one off (sekali sahaja). Selepas itu melopong mulut. Apa yang harus ditekankan oleh kerajaan ialah dengan menurunkan harga barang, kalaupun gaji tak naik, pastikan barang tak naik, barulah rakyat selesa berbelanja. Dengan pelbagai kenaikan ini, walaupun hanya secara sekali sahaja, sudah tentu peniaga-peniaga yang lahap akan menaikkan barangan keperluan. Sekarang pun harga barang sudah meningkat naik macam roket. Terasa amat sulit untuk berbelanja pasar dengan wang RM 50.00. Kalau naik lagi, gaji yang naik dan wang pemberian yang diberi tidak akan mampu menampung kos hidup yang semakin tinggi. Tak percaya, lihatlah beberapa hari lagi ini ! Tentu harga barang akan meningkat naik.

Entahlah, tentu ahli ekonomi ada jawapannya. Untuk mengulas perkara ini ahli ekonomi mesti jujur, jangan bersifat mengampu untuk menyenangkan hati kerajaan saja. Hakikatnya, rakyat jelata yang menderita.

Apa pun, biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya.

No comments: