Sunday 25 March 2012

Shahrizat, anak Nazri dan Najib

Aku ingin komen sikit fasal Shahrizat. Dia sudahpun umumkan perletakan jawatannya sebagai Senator dan Menteri berkuatkuasa April ini. Namun dia enggan mengosongkan jawatan Ketua Wanita Umno walaupun didesak oleh Timbalannya, Kamalia dan Ketua Umno Cawangan Cheras. Ramai lagi yang mahu dia melepaskan jawatannya itu, termasuk (Mahathir dan bekas Ketuanya Rafidah Aziz) yang didakwa terlempias dengan skandal Feedlot, diketuai suaminya.

Memanglah itu hak dia sama ada mahu kosongkan kerusi Ketua Wanita Umno atau tidak. Akan tetapi sekirannya beliau mempunyai intergeriti atau maruah, aku kira wajar dia meletakkan jawatan itu. Jawatan bukan untuk kita sepanjang hidup, ada orang lain yang lebih berwibawa menerajuinya, apa lagi sekiranya diri sendiri tercemar dengan pelbagai dakwaan yang mengaibkan.

Memang beliau bukan pihak yang bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahan itu. Meskipun yang terlibat secara langsung ialah suami dan anak-anaknya, maka beliau sebagai isteri pastinya akan menanggung malu kerana itu. Bak kata peribahasa Melayu, 'cubit peha kiri, peha kanan terasa sakit.' Sebaik-baik tindakan beliau ialah meletakkan semua jawatannya sebagai bukti belia berpegang kepada intergeriti dan maruah.

Yang peliknya, Najib pula turut sama mempertahankan Shahrizat. Sepatutnya, beliau berdiam diri dan menyerahkannya kepada Wanita Umno memutuskannya. Apabila beliau menyokong secara terang-terangan, ianya mengambarkan seolah-olah konsep 'transformasinya' hanya retorik sahaja. Trasformasi dilakukan secara terpilih-pilih.

Satu lagi kisah ialah, dakwaan anak Nazri Aziz, Menteri yang bertanggungjawab atas parlimen yang bergaduh dengan penyelia keselamatan di salah sebuah pangsapuri di ibukota. Apa yang aku tertarik ialah kemewahan anak Nazri yang bernama Nedim ini memiliki sebuah kereta 'porche' dan mempunyai pula beberapa orang 'body-guard.' Kereta ini memang mahal harganya.

Ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah dia memperolehi kemewahan yang amat mewah ini. Kalau daripada hasil titik peluh mereka, oklah, tetapi yang akan menimbulkan syak wasangka ialah takut-takut kekayaan ini diperolehi secara tidak berperaturan. Sesiapa yang mengenali Nazri, tentu tahu dan faham menteri ini dalam urusan kerjanya. Tentu Nazri tidak mahu dipalitkan dengan tohmahan dan prasangka yang bukan-bukan.

Bukan anak Nazri saja yang mampu memiliki porche atau kekayaan melampau. Ramai lagi suku sakat gerombolan yang memiliki kekayaan yang sama. Malah Pengerusi JKKKK pun mampu mendirikan sebuah banglo yang besar di kampung masing-masing hanya setahun menjadi Pengerusi JKKKK. Orang kampung tertanya-tanya, bagaimana depa ni sekelip mata menjadi kaya raya walaupun baru setahun menjadi Pengerusi JKKKK?

Ingat 'istana' di Kelang yang dimiliki oleh Ketua Cawangan gerombolan, yang sebelumnya menjadi sebagai pemandu teksi? Banyak lagi contoh yang sama yang boleh diberi pertimbangan kewajaran dan kemampuan mereka.

Semua ini hendaklah dijadikan pertimbangan oleh rakyat ketika memilih kerajaan baru dalam PRU 13 nanti. Jangan lagi tertipu dan jangan memilih mereka yang disyaki berurusan secara tidak jujur dengan rakyat. Hubaya! Hubaya! buaya bukan saja berada di dalam air, tetapi juga berada di daratan!

Saturday 24 March 2012

Prof. Shahrir di DBP

Prof. Shaharir Mat Zain akan bentangkan kertasnya bertajuk, "Ilmu Melayonesia" di Dewan Bahasa dan Pustaka, K.Lumpur pada 29 Mac 2012 bermula jam 10 pagi. Beliau tentu akan menghuraikan kajiannya tentang 'ilmu' yang dimiliki oleh orang Melayu, pastinya bukan 'ketuanan Melayu.'

Semua bangsa termasuk Melayu yang menyokong ketuanan Melayu harus datang mendengar ceramah beliau. Ayuh! kita sesakkan dewan di Dewan Bahasa. Pastikan kita peka dan prihatian terhadap nasib 'Melayo.' Datang, jangan tak datang!

Monday 12 March 2012

70 Tahun Telah Berlalu

Pada 7 Mac 2012 yang baru lalu merupakan hari ulang tahun aku yang ke-70. Malamnya aku buat sedikit kenduri tahlil dan doa selamat di rumahku di Gombak. Aku jemput orang surau, jiran-jiran dan kekawan penulis, tapi yang datang hanya Dinsman bersama isterinya. Yang lain-lain tak dapat datang, aku maklum kerana hari itu sejak waktu Asar hingga selepas Isyak hujan lebat turun tak henti-henti. Tak apalah ada halangan apa nak dikatakan. Manusia hanya boleh merancang, Allah yang menentukan.

Malam itu sebelum bacaan tahlil, aku telah mendeklamasikan sajak aku di bawah ini di hadapan khalayak surau. Mereka terpegun, senyap sunyi mendengar sajakku. Entah mereka menikmatinya atau tidak mengerti isinya, aku tak tahu. Tetapi sajakku amat jelas dan berterus terang tanpa bunga-bunga bahasa yang mengandungi pelbagai makna. Apapun aku puas kerana mereka telah meminjamkan telinga mereka untuk mendengar puisiku. Kawanku Nordin berkata, inilah pertama kali dia mendengar orang baca puisi pada majlis tahlil. Ini satu perubahaan nampaknya. Apapun terima kasih semua.

Puisi di bawah ini menjelaskan keadaan hidupku sejak daripada dilahirkan sehinggalah sekarang yang telah menjangkau usia 70 tahun. Aku bersyukur kepada Allah swt kerana memberikan kesihatan, rezeki dan kelapangan selama ini. Terima kasih Allah!

Nikmatilah puisiku di bawah ini.

Sajak

70 Tahun Telah Berlalu

Mentari pagi
7 Mac 1942
cahaya benderang
dalam suram kemelut perang
di sana sini berdentum dentam
langit hitam
debu-debu berterbangan

Ibu berlari ke sana sini
mencari tempat sembunyi
lalu terjun ke dalam sawah padi
kata Ibu, di situlah aku dilahirkan
ketika padi menguning di dalam bendang
dalam kekalutan perang
antara hidup dan mati
dalam gedung makanan ruji
Ibu bilang, ini petanda
murah rezeki.

Kini,
70 tahun telah berlalu
meskipun aku tidak sekaya
Vincent Tan dan Al-Bukhari
aku bahagia dalam sederhana ini
dalam keperitan dan kesukaran
menjalani hidup penuh pancaroba

Aku bahagia bersama keluarga
bersama isteri, anak-anak
dan cucu-cucu tercinta
lebih-lebih lagi Adam,
cucuku yang kecil ini
comel budaknya
petah mulutnya
pintar fikirannya
lincah gelagatnya,
lucu ada kalanya
membikin aku terhibur
hingga terlupa usia
semakin hampir ke kubur

Ya! Allah!
aku bersyukur kepada Mu
di atas segala nikmat
yang telah Kau berikan
nikmat rezeki
nikmat kesihatan
nikmat kelapangan
nikmat kebahagiaan
dan nikmat Islam

Dalam perjalanan di hujung kembara ini
kupohon padaMu Ya! Allah!
Restu dan Hidayah Mu
moga terus tetapkan iman kami
mudahkan ibadat kami
mudahkan urusan kami
ampunilah, dosa-dosa kami
dosa-dosa kedua ibu bapa kami
dosa-dosa para Syuadah dan muslimin

Kepadamu Ibu
terima kasih kurakamkan
kasihmu dan budimu
tetap di mahkota kalbuku
kepada ayah yang membanting tulang
membesarkan aku di jelapang
tanpa menghiraukan lelah dan penat
meskipun tubuh lecun dibasahi keringat

Ibu dan Abah
aku terkilan
tidak dapat membalas segala jasa dan budi kalian
benarlah kata nenek moyang
ibu seorang boleh menjaga anak 10 orang
anak sejumlah itu
tak bisa menjaga seorang ibu.

Namun,
budi dan jasamu masihku ingat
hingga ke akhir hayat
moga Allah tempatkan Roh kalian
dalam Jannah yang penuh Rahmat.
Al-Fatihah untuk ibu dan ayah!

Razali Endun
7 Mac 2012