Monday, 12 March 2012

70 Tahun Telah Berlalu

Pada 7 Mac 2012 yang baru lalu merupakan hari ulang tahun aku yang ke-70. Malamnya aku buat sedikit kenduri tahlil dan doa selamat di rumahku di Gombak. Aku jemput orang surau, jiran-jiran dan kekawan penulis, tapi yang datang hanya Dinsman bersama isterinya. Yang lain-lain tak dapat datang, aku maklum kerana hari itu sejak waktu Asar hingga selepas Isyak hujan lebat turun tak henti-henti. Tak apalah ada halangan apa nak dikatakan. Manusia hanya boleh merancang, Allah yang menentukan.

Malam itu sebelum bacaan tahlil, aku telah mendeklamasikan sajak aku di bawah ini di hadapan khalayak surau. Mereka terpegun, senyap sunyi mendengar sajakku. Entah mereka menikmatinya atau tidak mengerti isinya, aku tak tahu. Tetapi sajakku amat jelas dan berterus terang tanpa bunga-bunga bahasa yang mengandungi pelbagai makna. Apapun aku puas kerana mereka telah meminjamkan telinga mereka untuk mendengar puisiku. Kawanku Nordin berkata, inilah pertama kali dia mendengar orang baca puisi pada majlis tahlil. Ini satu perubahaan nampaknya. Apapun terima kasih semua.

Puisi di bawah ini menjelaskan keadaan hidupku sejak daripada dilahirkan sehinggalah sekarang yang telah menjangkau usia 70 tahun. Aku bersyukur kepada Allah swt kerana memberikan kesihatan, rezeki dan kelapangan selama ini. Terima kasih Allah!

Nikmatilah puisiku di bawah ini.

Sajak

70 Tahun Telah Berlalu

Mentari pagi
7 Mac 1942
cahaya benderang
dalam suram kemelut perang
di sana sini berdentum dentam
langit hitam
debu-debu berterbangan

Ibu berlari ke sana sini
mencari tempat sembunyi
lalu terjun ke dalam sawah padi
kata Ibu, di situlah aku dilahirkan
ketika padi menguning di dalam bendang
dalam kekalutan perang
antara hidup dan mati
dalam gedung makanan ruji
Ibu bilang, ini petanda
murah rezeki.

Kini,
70 tahun telah berlalu
meskipun aku tidak sekaya
Vincent Tan dan Al-Bukhari
aku bahagia dalam sederhana ini
dalam keperitan dan kesukaran
menjalani hidup penuh pancaroba

Aku bahagia bersama keluarga
bersama isteri, anak-anak
dan cucu-cucu tercinta
lebih-lebih lagi Adam,
cucuku yang kecil ini
comel budaknya
petah mulutnya
pintar fikirannya
lincah gelagatnya,
lucu ada kalanya
membikin aku terhibur
hingga terlupa usia
semakin hampir ke kubur

Ya! Allah!
aku bersyukur kepada Mu
di atas segala nikmat
yang telah Kau berikan
nikmat rezeki
nikmat kesihatan
nikmat kelapangan
nikmat kebahagiaan
dan nikmat Islam

Dalam perjalanan di hujung kembara ini
kupohon padaMu Ya! Allah!
Restu dan Hidayah Mu
moga terus tetapkan iman kami
mudahkan ibadat kami
mudahkan urusan kami
ampunilah, dosa-dosa kami
dosa-dosa kedua ibu bapa kami
dosa-dosa para Syuadah dan muslimin

Kepadamu Ibu
terima kasih kurakamkan
kasihmu dan budimu
tetap di mahkota kalbuku
kepada ayah yang membanting tulang
membesarkan aku di jelapang
tanpa menghiraukan lelah dan penat
meskipun tubuh lecun dibasahi keringat

Ibu dan Abah
aku terkilan
tidak dapat membalas segala jasa dan budi kalian
benarlah kata nenek moyang
ibu seorang boleh menjaga anak 10 orang
anak sejumlah itu
tak bisa menjaga seorang ibu.

Namun,
budi dan jasamu masihku ingat
hingga ke akhir hayat
moga Allah tempatkan Roh kalian
dalam Jannah yang penuh Rahmat.
Al-Fatihah untuk ibu dan ayah!

Razali Endun
7 Mac 2012

No comments: