Mulai 1 Feb 2012, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mendapat seorang nakhoda baru bagi melayari bahtera bahasa dan sastera yang sekian lama mengalami risiko akan tenggelam kerana diterajui oleh para nakhoda yang kurang mahir dan berani menempuh gelombang samundera politik yang tidak menentu.
Tanda tanya siapakah pengganti Datuk Tarmuzi Abd Aziz yang berkisar sekian lama di kalangan orang bahasa dan sastera akhirnya terjawab. Pengganti beliau ialah Prof. Dr. Awang Sariyan, seorang pejuang bahasa yang tegar dan pernah menjadi Pengarah Bahasa di institusi bahasa itu. Selain itu beliau juga salah seorang ahli jawatankuasa Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Prof Shahril Md Zain setelah kematian Datuk Hassan Ahmad.
Dr. Awang Sariyan bukanlah tokoh asing bagi pejuang bahasa dan sastera Melayu. Meskipun watak beliau kelihatan sebagai seorang yang lembah lembut, namun tekad perjuangannya untuk menegakkan bahasa Melayu tetap utuh dan mantap. Dengan mempunyai latar bahasa dan sastera yang sekian lama telah dikecimpungnya, suatu kelebihan baginya bagi mengemundi bahtera yang hampir tenggelam itu. Pengalamannya menjadi aset yang sangat berharga serta sandaran harapan yang membusut kepada pejuang bahasa dan sastera tanah air.
Tentu sekali harapan yang tinggi dipetaruhkan ke atas pundak Dr. Awang Sariyan oleh rakyat Malaysia bagi mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. Kita mengharapkan bukan sahaja kepakaran seseorang tokoh bahasa untuk memimpin organasasi penting ini, tetapi kita juga mengharapkan pada pemikirannya serta pendiriannya yang bebas, berani, berjati diri untuk diterapkan dalam persoalan bahasa dan sastera kontemporari kita.
Dan bagi Dr. Awang sendiri tentu sekali akan berusaha sedaya upaya agar harapan dan pengharapan masyarakat dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Namun laluan yang akan ditempuhi oleh beliau bukanlah mudah, kerana banyak onak dan duri serta jalur-jalur lumpur yang mungkin memerangkap beliau.
Oleh kerana sistem kehidupan dan pentadbiran negara kita dipengaruhi sepenuhnya oleh hagemoni politik, maka seringkali perjuangan terpaksa mengikut jalur politik yang disenangi oleh pihak penguasa. Justeru, pelantikan Dr. Awang Sariyan sebagai Ketua Pengarah baru Dewan Bahasa dan Pustaka tentu sekali sudah dinilai perhitungan politik oleh Perdana Menteri Datuk Najib Razak atau Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.
Apa pun, itu hanya persepsi, kita harapkan pelantikan itu tidak ada elemen politik, tetapi kerana kewibawaan dan kelayakan beliau.
Umum maklum bahawa DBP adalah di bawah kuasa Kementerian Pelajaran, maka dengan yang demikian segala urusan, arahan serta keputusan hendaklah dipatuhi oleh badan itu seperti yang diputuskan oleh kementerian berkenaan. Mereka terpaksa akur kepada Perintah Am. Oleh kerana kementerian pelajaran diterajui oleh orang politik, tidak dapat tidak pentadbiran DBP terpaksa akur dengan keputusan orang politik. Apabila pengaruh politik meresapi dalam organasasi seperti ini, tentu sekali pengharapan yang menggunung tinggi tidak dapat dilaksanakan seperti yang diharapkan.
Cabaran utama bagi Awang Sariyan ialah memperjuangkan supaya kerajaan memberikan autonomi kepada DBP dalam urusan pentadbirannya. Tanpa autonomi amat sukar bagi seorang Ketua Pengarah DBP membuat sebarang keputusan betapa pun berani dan bebasnya pemikiran beliau. Dengan bebas daripada pengaruh politik, tentu sekali pentadbiran DBP lebih bebas membuat keputusan demi kepentingan bahasa dan sastera Melayu.
Ini terbukti apabila ramai Ketua Pengarahnya tidak berani menongkah arus, terpaksa mengikut arus politik yang dijalurkan. Sebegini ramai Ketua Pengarah DBP, hanya Tan Sri Syed Nasir Ismail yang berani dan lantang memperjuangkan bahasa Melayu walaupun terpaksa berhadapan dengan ketuanya. Beliau berani bertindak demikian kerana beliau juga merupakan orang politik yang berpengaruh pada eranya.
Kita tidak pula mahu orang politik mengetuai organasasi budaya dan bahasa ini kerana bahayanya amat besar dan nyata sekali. Biarkan mereka yang profesional dan tidak terlibat secara langsung dalam politik mengetuai badan penting ini. Namun, mereka perlu dibebaskan daripada kongkongan hagemoni politik yang rakus. Justeru itu DBP seharusnya diperbadankan dan diberi kebebasan untuk mentadbir atau diberi kuasa autonomi bagi memudahkan mereka membuat keputusan dalam usaha mengembalikan kuasa dan kecermelangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ilmu.
Dengan autonomi yang diberikan semestinya DBP lebih berani memperjuangkan isu bahasa dan sastera, meskipun kadangkala di luar bidang kuasa mereka. Isu PPSMI seharusnya menjadi agenda utama DBP meskipun ianya dalam bidang kuasa kementerian Pelajaran. Pencemaran penggunaan bahasa iklan dan bahasa pertuturan dalam drama tv dan filem boleh segera dikuatkuasakan oleh DBP tanpa campur tangan orang politik.
Langkah kedua ialah metransformasikan segera sikap seluruh kakitangannya daripada bersikap makan gaji kepada sikap yang lebih proaktif dan keterlibatan secara positif dalam gerakan bahasa dan sastera. Sekarang ini tidak ramai pengawai dan kakitangannya yang benar-benar menjiwai keterlibatan mereka dalam gerakan bahasa dan sastera. Tidak seperti dalam era 60 dan 70 an, hampir kesemua pengawai dan kakitangannya terlibat secara langsung dalam gerakan bahasa dan sastera. Ramai di antara kakitangan DBP sekarang tidak kenal siapa pengarang dan penulis sastera dan penglibatan mereka dalam perkembangan sastera setakat memenuhi waktu berkerja sahaja, ibarat lepas batuk di tangga.
Hubungan antara persatuan-persatuan penulis dengan DBP seharusnya mendapat perhatian sewajarnya daripada Dr Awang. DBP sewajarnya menjadi pemangkin kepada gerakan persatuan-persatuan penulis dalam usaha mereka menyebarluaskan perkembangan bahasa dan sastera. DBP harus berusaha mendapatkan dana yang mencukupi bagi membiayai aktiviti persatuan-persatuan penulis yang rata-rata sangat daif dan miskin. Adalah disarankan supaya beliau mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil persatuan penulis untuk memahami permasalahan mereka. Di samping itu perbanyakkan lagi sayembara menulis cerpen, sajak atau novel sebagai galakan kepada golongan penulis meraih hadiah atau anugerah itu.
Tentu sekali masalah yang paling rumit bagi Dr. Awang ialah menyelesaikan kemelut konsesi antara DBP dengan Dawama. Isu ini bukan mudah untuk diselesaikan kerana perjanjian tersebut dipercayai diresapi pengaruh politik. Selagi tali politik menjadi pergantungan dalam usaha perkembangan bahasa dan sastera, selagi itulah jalan penyelesaiannya semakin rumit dan kalut. Kita percaya Dr. Awang Sariyan mampu menghadapi kemelut ini dan mencari jalan penyelasaian yang tidak merugikan mana-mana pihak.
No comments:
Post a Comment