Wednesday, 23 March 2011

Hegemoni Politik Mengatasi Suara Seniman

Interlok- Bukti hegemoni politik mendominasi suara seniman

Novel Interlok karya SN Datuk Abdullah Hussein yang hangat diperkatakan beberapa minggu lalu kelihatan sudah reda daripada dipolemikkan. Interlok dihebohkan oleh orang politik, maka penyelesaiannya juga dibuat oleh orang politik, bukan oleh seniman atau sasterawan. Isu ini kelihatan selesai apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa penggunaan novel itu dalam Komsas dikekalkan dengan dilakukan pindaan kepada ayat-ayat yang dikatakan menghina kaum India iaitu ‘paria.’

Ini bererti keputusan Tan Sri Muhyiddin tidak selari dengan ketetapan persatuan-persatuan penulis dan sasterawan yang mahukan Interlok dikekalkan tanpa apa-apa pindaan, kecuali diperlengkapkan glosari dan disediakan buku bimbingan bagi memudahkan guru memperjelaskan isu yang dibangkitkan. Keputusan Muhyiddin untuk meminda atau memadamkan perkataan paria memberi kemenangan moral kepada MIC. Manakala kesannya kepada dunia kesusasteraan menjurus kepada kekangan pengarang dalam berkarya serta mengaibkan para sasterawan.

Muhyiddin mungkin mengambil jalan tengah bagi meredakan kemelut yang berpanjangan itu. Bagi beliau itu adalah satu keputusan menang-menang (win-win situations), yakni kedua belah pihak berasa menang, meskipun hakikatnya bukan begitu.

Isu Interlok diperbesarkan oleh orang politik untuk kepentingan politik individu dan puak-puak mereka. Ianya telah dijadikan isu yang sarat dengan emosi dan sentimen perkauman mengatasi sentimen kewarasan akademik dan hakikat sejarah. Mereka melihat Interlok dari prespektif politik sempit perkauman, bukan dari aspek sasteranya. Novel itu menjadi mangsa politik yang dipolitikkan oleh orang-orang politik yang sentiasa mencari peluang untuk mempolitikkan apa-apa sahaja yang boleh dijadikan isu untuk dipolitikkan. Begitulah jargon golongan orang politik.

Meskipun isu ini melibatkan dunia sastera namun penyelesaiannya bukan dibuat oleh golongan sasterawan. Walaupun golongan ini lantang menyuarakan pendirian mereka, namun suara-suara mereka hilang ditelan gema kuasa golongan politik. Suara seniman/budayawan dianggap tidak penting dalam politik negara ini, lebih-lebih lagi kepentingan parti-parti politik yang menganggap nilai sekeping undi mengatasi maruah serta nilai sesebuah karya sastera. Jelas sekali hegemoni politik mendominasi suara para seniman/budayawan.

Interlok sebenarnya mempertembungkan hagemoni kuasa antara golongan politik dengan seniman/budayawan. Dalam senario politik di negara ini suara seniman/budayawan selalunya tidak diambil kira oleh golongan politik. Ini kerana kuasa politik menjadi penentu sesebuah negara, bukan seniman/budayawan. Maka dengan hal yang demikian para seniman/budayawan hanya menjadi pak turut sahaja, bukan menjadi sebahagian daripada penentu dasar seperti golongan politik.

Maka gagasan yang diperjuangankan oleh sdra. Dinsman untuk menjadikan ‘clutural will’ setara dengan ‘political will’ seolah-olah mematahkan ranting di hujung dahan dengan keputusan isu Interlok ini. Jelas sekali keputusan Muhyiddin adalah keputusan politik, bukan keputusan yang berlandaskan hakikat sejarah/budaya, jauh sekali berdasarkan estetika sastera.

Konsep ‘cultural will’ boleh dijadikan gagasan untuk diperkembang dan diperjuangkan. Gagasan ini sangat signifikan kepada maruah golongan seniman/budayawan. Ianya harus dijadikan sebagai landasan perjuangan para seniman/budayawan bagi memperlihatkan suara mereka diambil kira dalam apa juga isu dan masalah. Seniman/budayawan tidak harus mengikut telunjuk golongan politik, apa lagi hanya menjadi pak turut. Seniman/budayawan mesti ada peranan memimpin, bukan dipimpin seperti kerbau ditarik hidung. Seniman/budayawan mesti dilihat setara atau setaraf dengan golongan politik kalau pun tidak melebehi mereka.

Dalam isu Interlok, jelas sekali Muhyiddin tidak mengambil kira pandangan para sarjana sastera dan sasterawan. Dari segi akademik dan logik penceritaan, novel tersebut tidak ada unsur penghinaan mana-mana kaum. Apa yang dibangkitkan oleh pemimpin MIC dan kelompoknya tidak mempuyai asas logik serta akademik, ianya semata-mata dipengaruhi oleh sentimen perkauman yang sempit.

Kewujudan golongan paria di India adalah satu hakikat. Ramai di antara golongan ini datang ke Malaya adalah hakikat sejarah yang tidak boleh dinafikan. Muhyiddin boleh saja membuat kesimpulan bahawa pandangan para sarjana sastera adalah lebih logik dan munasabah. Maka keputusan harus berdasarkan penilaian sejarah dan sastera per se, bukan sentimen politik perkauman. Namun Muhyiddin memilih penyelesaian yang bermotifkan politik.

Gapena/Pena, Paksi dan beberapa pertubuhan lain tidak bersetuju dengan keputusan Muhyiddin itu. Malah beberapa orang waklil Pena dengan berani ‘menerjah’ ke arah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyerahkan Memorandum ketika PM membuat kunjungan di Kampung Baru, baru-baru ini. Perbuatan ini bukan suatu tidakan desperate atau kurang ajar, tetapi ianya tersemat suatu keberanian yang merangsang tindakan itu untuk menyatakan yang benar. Ini satu petanda yang positif untuk merevolusikan minda para seniman/budayawan yang sekian lama dimomokkan oleh golongan politik. Revolusi tidak semestinya mengangkat senjata, ianya boleh dilakukan dalam pelbagai cara.

Kenyataan Majlis Perunding Melayu (MPM) bersama Pena menyarankan supaya kerabat seniman/budayawan serta orang Melayu tidak memberikan undi kepada calon India pada pilihan raya akan datang tidak akan memberi kesan kepada kerajaan pimpinan Umno/BN. Seruan itu sepatutnya ditujukan kepada semua calon Umno/BN maka impaknya mungkin berbeza. Sayangnya keberanian ini tidak ada dalam diri sesetengah pemimpin MPM dan Pena kerana ramai di antara mereka menjadi penyokong totok parti itu.

Kaum India tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini kerana menjadi hak mereka menyuarakan apa-apa sahaja yang tidak dipersetujui mereka. Akan tetapi kepimpinan Melayu kita yang lantang memperjuangkan ketuanan Melayu dan Melayu didahulukan, menjadi lembik setelah diasak oleh golongan ini. Kepimpinan kita sanggup mengenepikan maruah serta hakikat sejarah semata-mata demi kepentingan politik mereka. Contoh ini bukan pertama kali berlaku, banyak lagi contoh berlaku sebelum ini.

Sudah sampai masanya para seniman/budayawan bangun bertindak mempertahankan maruah dan intergeriti golongan ini. Suara golongan ini harus didengar dan diambil kira. Orang politik bukan tuan kita tetapi kadam kepada kita dan rakyat. Jangan dipuja mereka sebagai dewa kerana dewa ini akan memomokkan minda kita supaya mengikut jalur pemikiran mereka, walaupun tidak benar. Manusia yang bermaruah ialah mereka yang mempuyai kebebasan berfikir dan berani berkata benar. Pemimpin yang bermaruah ialah pemimpin yang tidak sembunyikan kebenaran.

No comments: