Sunday, 29 January 2012

Berakhirnya khidmat bas berhenti-henti di Melaka

1 Feb ini akan berakhirlah perkhidmatan bas berhenti-henti di negeri Melaka. Sebanyak 10 buah syarikat bas berhenti-henti, 5 syarikat bumiputera dan 5 lagi bukan bumiputera akan tutup kedai secara rasminya. Kesemua perkhidmatan ini serta laluannya akan diambil alih oleh sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Melaka iaitu PM Cultural & Tours Sdn Bhd.

Pengambilan alih ini bukan diambil begitu sahaja tetapi telah dibayar pampasan oleh kerajaan negeri Melaka. Kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan ini kerana masalah pengangkutan awam telah tidak mendapat perhatian kerajaan pusat ataupun SPAD. Sepanjang pengetahuan aku, belum ada kerajaan negeri yang peka dan mampu untuk membayar pampasan seperti kerajaan negeri Melaka ini. Ini bukan nak bodek! bukan nak ampu Ali Rustam, tetapi ini menunjukkan kemahiran dan kemampuan rundingan antara Persatuan Pengusaha bas negeri Melaka dengan kerajaan negeri Melaka. Tentu sekali persatuan ini aku yang jadi kepalanya. Bukan mahu menunjuk-nunjuk atau bersikap riak, tetapi sekadar mahu menyatakan bahawa kepentingan ahli mengatasi kepentingan pribadi. Syarikat-syarikat bas ini memperolehi pampasan yang agak lumayan.

Ada di antara syarikat ini sudah wujud sebelum perang dunia kedua lagi. Syarikat-syarikat Patt Hup Transport, Malacca Omnibus Service, Bas Tai Lye Sdn. Bhd., Batang Bas dan Town Bus sudah wujud sejak tahun 1930 an lagi. Syarikat-syarikat bumiputera seperti SKA, Salira, Baswira. Tuah bas dan Roda Juara hanya wujud selepas 13 Mei 1968. Syarikat aku hanya wujud pada 1988, bererti hanya bertahan selama 23 tahun. Pada mula operasi dulu, ramai orang menggunakan perkhidmatan bas dan pendapatan pun menguntungkan. Tetapi apabila keadaan bertukar menjadi lebih parah dengan lambakan permit yang mengila dan harga alatganti melambung tanpa dikawal, maka segala keuntungan yang lalu terhakis sama sekali.

Segala punca kegagalan dan kerugian ini adalah berpunca daripada LPKP yang gila-gila mengeluarkan permit mengikut sesuka hati dan selera pak-pak menteri yang berkuasa di kementerian itu. Tidak ada kajian atau penyelidikan dilakukan sebelum sebarang permit dikeluarkan. Kebanyakan permit-permit ini dikeluarkan atas dasar dan pengaruh politik. Pemberian permit kepada penyokong masing-masing, bukan berdasarkan permintaan orang ramai terhadap keperluan pengangkutan awam. Akibatnya, supply more than demand.

PR jangan ikut kesilapan ini.

Apapun, kerajaan negeri Melaka sendiri sedar bahawa mereka akan memikul 'biawak hidup' kerana menyedari perniagaan ini bukan memberikan keuntungan, sebaliknya kerugian. Namun, sooner or later, kerajaan mesti mengambil tanggungjawab ini demi kepentingan rakyat. Kerajaan negeri Melaka telah mendahului kerajaan pusat, yang sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan pusat. Namun kerajaan pusat seolah-olah tidak ambil pot pun terhadap masalah yang telah berpanjangan sekian lama. Mengabaikan perkhidmatan pengangkutan bas atau awam bererti mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat. Ini bukan sahaja satu kesilapan besar, tetapi telah mengabaikan suatu sektor industri terpenting dalam menjana ekonomi negara dan menjadi pelengkap sebagai negara maju.

Ini bukan masalah di Melaka saja, tetapi masalah seluruh Malaysia. Kerajaan pusat mesti melakukan sesuatu sebelum ianya menjadi sebegitu parah dan akan meresahkan rakyat. Jangan biar nasi menjadi bubur.

Selepas 1 Feb 2012, khidmat bas henti-henti akan menjadi kenangan saja, terutama kepada pengusahanya. Akan menjadi kenanganku, bahawa industri pengangkutan yang dulunya tidak kedapatan seorang pun bumiputera, telah dimulakan oleh Tun Razak untuk memberi peluang kepada bumiputera dalam industri ini, akhirnya telah ditamatkan, bukan kerana apa, tetapi kerana salah pelaksanaan mereka selepas beliau.

Monday, 23 January 2012

Gong Xi Fa Chai, Kuin & Auku, isytiar harta

Terlebih dahulu aku mengucapkan Gong Xi Fa Chai pada kekawan berbangsa Tionghua sempena menyambut tahun naga pada hari ini. Semoga simbol naga ini akan memberi kebaikan kepada masyarakat Cina khususnya dan masyarakat Malaysia umumnya; bukan naga yang pelahap mencuri harta rakyat, rasuah dan menyeleweng wang rakyat.

Dalam pada itu, kebetulan ketika menyambut tahun baru lunar ini ada dua peristiwa yang menarik perhatian aku untuk di ulas. Pertama kisah pengantungan mahasiswa Kolej Insaniah Kedah atau KUIN yang terajunya khabarnya di pegang oleh MB Azizan dari parti Pas. Kisahnya ialah kerana mahsiswa kolej itu mengadakan tunjuk perasaan, maka kerana itu pihak Kuin mengambil tindakan dengan menggunakan Auku untuk menjustifikasikan tindakan mereka.

Aku jadi pelik juga, bagaimana tindakan Pas tidak selari dan konsisten dengan apa yang diperjuangkan oleh parti itu. Kebanyakan anggota parti Pas termasuk Timbalan Presidennya, Mohd Sabu serta sayap pemudanya dengan lantang menentang Auku dan membenarkan perhimpunan aman. Apa yang berlaku di Kuin menggambarkan bahawa tindakan Kuin atau kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran Pas telah melanggar prinsip dan perjuangan mereka sendiri.

Aku tak pasti bagaimanakah Pas mentadbirkan negeri-negeri yang dikuasai tanpa mengikut garis panduan ideologi serta dasar yang telah diputuskan dalam Muktamar. Antara Kedah dan Kelantan banyak perkara dasar tidak sama. Kalau cara yang berbeza boleh diterima, akan tetapi apabila dasar bertelingkah, maka ia akan memberi gambaran negatif kepada rakyat. Begitu juga antara kerajaan PR yang lain seperti DAP dan PKR, tidak dapat diketemu dasar yang seiring.

Inilah bak kata Hasihamuddin Rais dalam blognya, "Hubaya! Hubaya! dengan orang yang kelihatan memperjuangkan Islam yang berselindung di sebalik jubah, ketayap, misai dan janggut. Dan juga berhati-hati dengan puak-puak yang memperjuangkan slogan "Pas ganti Umno." Maka terbuktilah, mereka benar-benar menggantikan Umno dengan perangai, tindakan dan perbuatan. Apabila kuasa sudah berada di tangan, semua yang diperjuangkan dulu hanya menjadi kenangan saja. Maka sebab itulah aku telah menyuarakan lama dulu, sama saja, tak adapun perubahan antara yang diganti dengan yang pengganti.

Lagi pelik, kerajaan negeri Kedah menjalinkan kerjasama erat dengan Gapena, yang seperti kata Dinsman, puak-puak ini yang sangat anti dengan PR. Aku tak kisah sekiranya diadakan kerjasama dengan sesiapapun waimah musuh kita, akan tetapi biarlah kita dahului pendukung-pendukung kita dulu. Dalam jagat kesusasteraan tanah air bukan tidak ada para seniman dan penulis yang memihak kepada Pas atau PR.

Azizi Hj. Abdullah seorang pendukung kuat Pas dan pernah bertanding calon Pas di Kulim suatu ketika dulu macam tak dikisahkan oleh kerajaan negeri Kedah pimpinan Pas. Dinsman terjerit-jerit, menjelajah ke seluruh Kedah minta supaya kerajaan negeri Kedah sekurang-kurangnya atau kerajaan PR mewujudkan suatu anugerah 'Sasterawan Rakyat' bagi mengenang jasa-jasa Allahyahraham dalam bidang kesusasteraan. Nampaknya, seruan itu belum lagi mendapat perhatian, sebaliknya konvensyen Gapena yang akan berlangsung dan dirasmikan oleh MB Kedah, Datuk Azizan pada 27 & 28 Januari ini akan berlangsung dengan penuh kemegahannya.

Satu lagi yang aku pelik ialah apabila Nik Aziz berkata dia akan mengisytiarkan hartanya kepada SPRM sekiranya diwajibkan. Kenapa mesti tunggu sehingga diwajibkan. Perkara inilah yang tak mahu dilakukan oleh pemimpin BN/Umno. Apakah Pas dan PR mahu tunggu diwajibkan, baru mengisytiarkan harta? Aku fikir Kelantan yang sudah 20 tahun di tangan Pas sudah mengisytiarkan harta para Dun dan AP nya sebaik-baik sahaja mengambil alih pentadbiran, namun sehingga sekarang masih belum berbuat demikian. Kenapa mesti ikut perangai Umno/BN. Kalau sama saja, tak adalah apa-apa perubahan dan perbezaan pun!

Apapun aku ucapkan Tahniah pada Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang mendahului semua negeri mengisytiarkan harta Dun nya. Aku tak pasti Selangor ada berbuat demikian atau tidak, sepanjang pengetahuan aku tak dengar pun ada perkara seumpama ini dilakukan.

Demikianlah senario pada tahun baru Cina tahun ini. PR jangan ganti BN/Umno. Pas, PKR, DAP atau PR mesti berbeza dan membawa kelainan daripada BN/Umno. Kelainan dan perbezaan ini mestilah yang berbentuk positif dan pro-aktif. Kalau ganti bermakna sama saja, perkara yang sama akan terus berlaku cuma diganti dengan pentadbiran baru. Kalau itu berlaku, ramai berpendapat tak perlu digantipun, biarlah yang ada teruskan.

Oleh itu jangan gunakan slogan 'PR sudah bersedia ganti Umno/BN.' PR mesti menekankan slogan, 'Membangun negara berkebajikan, demi rakyat untuk rakyat." Aku pasti ia mempunyai kelainannya dan sekiranya PR berjaya menempah jalan menuju ke Putrajaya, jangan dilupa slogan ini, slogan ini bukan saja dijadikan falsafah negara, tetapi juga hendaklah dilaksanakan.

Sunday, 15 January 2012

Kongres Pakatan Rakyat di Alor Star

Semalam, 14 Januari 2011, berlangsung Kongres PR di Alor Setar menjelang PRU 13. Aku tak hadir kerana tidak diundang. Khabarnya ramai NGO diundang sama untuk memberikan pandangan dan cadangan, apa yang patut kerajaan PR laksanakan sekiranya ditakdirkan berjaya menawan Putrajaya.

Amiga, Pengerusi Bersih juga ada ditampilkan di atas pentas, Gamis, Persatuan Mahasiswa ada, wakil akademik pun ada, wakil budaywan juga ada. Kalau tak silap aku wakil dari Persatuan Pengangkutan tidak diundang, begitu juga wakil-wakil NGO dari Sabah dan Sarawak.

Bukan apa, aku takut PR akan mengulangi kesilapan yang sama yang dilakukan oleh BN sepanjang mereka memerintah Malaya/Malaysia. Industri pengangkutan, termasuk pengangkutan awam telah diabaikan oleh kerjaan BN/Umno sepanjang negara mencapai kemerdekaan. Lihatlah sekarang, setelah lebih 54 tahun Malaysia merdeka kita tidak punya sistem pengangkutan awam yang sempurna jauh sekali yang efesien dan boleh dipercayai. Sistem bas dan teksi adalah yang terburuk di rantau ini.

Kenapa ini berlaku? Puncanya ialah kerajaan tidak punya iltizam untuk mewujudkan suatu sistem pengangkutan yang bersepadu, murah dan memudahkan rakyat. Setelah 54 tahun merdeka, kita tidak punya suatu Dasar Pengangkutan sebagai landasan untuk membina suatu sistem pengangkutan yang sempurna dan bersepadu. Tidak ada kesepaduan antara agensi-agensi kerajaan untuk mewujudkan suatu sistem yang menepati cita rasa sebuah kerajaan yang berkembang maju.

Apa yang berlaku ialah pengeluaran permit-permit bas ekspres, berhenti-henti, persiaran, teksi, kereta sewa dan seumpamanya hanya mengikut selera menteri yang berkuasa mengeluarkan permit-permit tersebut. Kalau berlaku pertukaran menteri, maka pak menteri itu akan keluarkan permit-permit ini kepada penyokong-penyokongnya di kawasan masing-masing. Malah, khabarnya ada permit yang dikeluarkan melalui 'pintu belakang' setelah urusan 'bawah meja' selesai dilaksanakan. Sepanjang 54 tahun bukan saja tidak ada Dasar Pengangkutan, malah kerajaan tidak pernah mewujudkan "Research & Development" sebagai badan yang membuat kajian terhadap keperluan pengangkutan awam. Pemberian permit pengangkutan awam bukan macam memberi permit berniaga pasar malam. Ia perlukan kajian yang teliti supaya 'supply not over the demand' (bekalan tidak melebihi permintaan).

Kewujudan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak juga membantu untuk mengatasi kemelut yang semakin kalut. SPAD hanya bertukar baju daripada baju LPKP dan sekarang disarung dengan baju bertulis SPAD. Janji SPAD untuk menyediakan 'Master Plan" pengangkutan awam pada September 2011 lalu masih belum ternampak bayang-bayangnya. Kita tidak pasti bilakah sebuah 'Master Plan' dapat disediakan bagi mengatasi kemelut yang semakin rumit sekarang.

Justeru, oleh kerana masalah ini, yang tentunya bermula daripada LPKP yang mengeluarkan terlalu banyak permit, maka sekarang kedapatan terlalu banyak bas, teksi dan kereta sewa yang menyulitkan para pengusaha/pemandu untuk mencari nafkah. Apabila ini berlaku, maka mereka akan tentu menggunakan cara yang diluar undang-undang demi survival mereka. Apakah mereka harus dipersalahkan, sedangkan pihak atasan sudah mengeruhkan keadaan di hulu sungai lagi. Maka aku teringat perumpamaan, 'Keroh air di hulu, tak akan jernih air di kuala.'

Pihak Persatuan Bas telah meminta supaya kerajaan merangka sebuah dasar pengangkutan 20 tahun lalu. Persatuan juga telah menyarankan supaya pengeluaran permit dibekukan sehingga suatu dasar pengangkutan disediakan. Namun ini semua tidak dihiraukan, sebaliknya permit-permit dikeluarkan sesuka hati mengikut selera menteri. Maka terjadilah sekarang di mana perkhidmatan bas berhenti-henti mengalami kerugian besar sehinggakan ramai sudah gulung tikar.

Baru-baru ini Sykat Eng Hiap di Negeri Sembilan telah memberhentikan perkhidmatan mereka. Sebelum itu di Port Dickson sebuah syarikat bas telah tutup kedai. Di Johor, Muar Motor Bas telah gulung tikar. Baru-baru ini sebuah syarikat bas di Bukit Mertajam juga memberhentikan perkhidmatan mereka kerana tidak mampu lagi untuk menanggung kerugian. Pada 1 Feb ini 10 buah syarikat bas di negeri Melaka sudah pun memberi notis untuk memberhentikan operasi mereka sekiranya kerajaan pusat atau negeri tidak tampil memberikan bantuan.

Bukan itu saja, Konsortium Transnasional Bhd, (KTB) sebuah sykt konglomerat dimiliki oleh Datuk Nazmi Salleh juga telah memberhentikan operasi mereka di Kelantan, N.Sembilan, Selangor dan Kedah. KTB memiliki 1,200 buah bas di semenanjung, juga tidak boleh bertahan lagi. Di Kelantan, SKMK juga dibawah pentadbiran KTB, satu-satunya syarikat tunggal yang berkhidmat seluruh Negeri Kelantan, juga tidak boleh bertahan. Di Kelantan SKMK tidak ada pesaingan dengan syarikat-syarikat bas yang lain, juga mengalami kerugian!

Urusan pengangkutan awam ialah tanggungjawab kerajaan pusat. Kerajaan pusat tak ambil kisah pun apabila berlaku pemberhentian operasi bas-bas ini. Semacam membiarkan saja rakyat mencari alternatif lain untuk menyelesaikan masalahan pengangkutan mereka.

Kerajaan harus tampil dengan suatu dasar yang jelas. Apakah kerajaan sendiri mahu terlibat secara langsung dalam industri ini atau membiarkan syarikat swasta mengendalikannya seperti yang telah berlaku selama ini? Dengan reaksi kerajaan yang tidak positif menyelesaikan permasalaah ini, maka ternyata kerajaan tidak kisah sekiranya syarikat-syarikat ini gulung tikar.

Apakah dengan penglibatan kerajaan melalui GLC nya keadaan akan bertambah baik atau akan memberikan keuntungan kepada mereka? Apa yang jelas, Rapid KL mahupun Rapid Penang mengalami kerugian juga walaupun menerima bantuan daripada kerajaan melalui Kementerian Kewangan. Sebelum ini Intrakota dan Park May yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai dua konsortium di Lembah Kelang juga, lingkup.

Kerajaan perlu jelas dan nyatakan sikap supaya pengusaha-pengusaha bas tidak samar-samar dan di dalam kegelapan menebak arah tuju kerajaan. Tiada siapa yang akan melabur dalam industri ini sekiranya dasar kerajaan tidak jelas kerana pelaburan dalam industri ini adalah besar jumlahnya.

Seingat aku, hanya sekali sahaja PKR ada undang aku untuk memberikan pandangan berkaitan pengangkutan awam ini. Aku hanya nak peringatkan bahawa PR tidak seharusnya mengabaikan industri ini, kerana industri ini menjana kepada ekonomi negara dan juga menjadi kriteria sesebuah negara maju. Tanpa sistem pengangkutan awam yang sempurna, efesien dan cekap maka kriteria sebagai negara maju tidak akan tercapai seperti yang digariskan di peringkat global.

ditulis oleh Razali Endun
Timbalan Presiden
Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA).

Monday, 9 January 2012

Akhirnya Anwar dibebaskan

Hari ini Isnin 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mendapati Anwar Ibrahim tidak bersalah setelah 2 tahun proses perbicaraan berlangsung. Ramai terkejut dengan keputusan ini termasuk Anwar sendiri dan aku. Tanggapan aku bahawa sama ada Anwar mempunyai bukti untuk menafikan dakwaan itu atau tidak, keputusannya, Anwar akan tetap dipenjarakan. Prespesi ini adalah prespesi politik kerana aku percaya pertuduhan ini ada kaitan dengan politik, antara sebabnya ialah tidak ada bezanya dakwaan sodomi kedua ini dengan yang pertama.

Aku berpendapat, keputusan mahkamah kali ini juga adalah dipengaruhi oleh pihak eksesutif setelah membuat kesilapan apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap Anwar pada perbicaraan sodomi pertama dulu. Pengaruh Anwar semakin melonjak dan rakyat memberikan sokongan terhadap Anwar. Kali in Najib, setelah memikirkan logik dan realiti politik semasa, maka dengan memenjarakan Anwar tidak akan memberi keuntungan politik kepadanya. Malah reputasinya akan merundum dan perancangannya untuk transformasi akan diperlekehkan oleh lawan politiknya. Rakyat akan bertambah meluat dan melihat Najib lebih zalim daripada Mahatahir.

Apapun, daripada perjalanan perbicaraan itu, aku lihat Anwar mempunyai bukti kukuh menafikan pertuduhan itu. Kenyataan pengadu, Saiful amat diragui kerana tindakannya membuat aduan polis selepas bertemu Najib dan Rosmah. Ini tidak dinafikan oleh Najib, malah kerana itulah timbul prespesi yang amat kukuh untuk mempercayai pertuduhan terhadap Anwar adalah dipengaruhi oleh musuh politik Anwar yang mahu menjahanamkan karier politik beliau. Tambahan lagi apabila hakim bicara memberi komen yang jelas berpihak kepada pendakwa.

Walau apapun kita bersyukur bahawa akhirnya kes Anwar telah membuktikan bahawa suatu hari kebenaran tetap akan menyerlah, meskipun diselimuti pelbagai fitnah dan dakwaan kotor. Kita harapkan keputusan ini menjadi pengajaran kepada pemfitnah yang hidup mereka hanya membuat dan menyebar fitnah.

Dengan ribuan penyokong yang hadir di mahkamah seawal jam 5 pagi lagi, tentu sekali membuktikan bahawa Anwar bukan calang-calang tokoh politik yang boleh diremehkan. Dia tetap mempunyai penyokong yang kuat dan perjuangannya untuk membela rakyat sentiasa mendapat perhatian dan sokonga rakyat.

Aku salut pada Anwar yang sememangnya amat kuat semangatnya menghadapi pelbagai fitnah dan tomahan. Aku percaya sekiranya Najib atau Muhayiddin atau Ahmad Zaid sekalipun menghadapi situasi yang sama, mereka juga tidak akan boleh bertahan seperti Anwar. Ini terbukti dengan kawan-kawan rapat Anwar yang ramai meninggalkan Anwar kerana semangat mereka tidak cukup kuat untuk mempertahankan ideologi dan keyakinan.

Semoga dengan kebebasan ini Anwar dapat menumpukan perhatiannya terhadap cita-cita politiknya untuk menyatukan tiga parti utama dalam satu perjuangan yang mengandungi pelbagai keturunan dan bangsa. Moga-moga beliau juga akan lebih memberi tumpuan kepada keluarganya yang selama ini tercabar dengan pelbagai fitnah itu. Semoga beliau dan keluarga hidup dalam aman dan tenteram dan dapat terus dengan cita-citanya untuk menawan Putrajaya pada PRU 13 nanti. Selamat berjaya dan selamat berjuang!

Monday, 2 January 2012

Dua Peristiwa Gempar Sambut 2012

Bagi aku, dua peristiwa besar yang mengemparkan masyarakat Malaysia berlaku menjelang tahun baru 2012. Yang pertama, kenyataan Raja Petra Kamaruddin ( RPK) tentang Anwar Ibrahim yang disifatkannya tidak bermoral, gay, tidak relevan dan tidak layak memimpin negara.




Aku tidak pelik dengan sikap RPK ini. Dulu memang dia penyokong kuat Anwar, dia yang memperatahankan afidivit penyiasat persendirian terhadap kes pembunuhan Atantuya. Dia lari keluar negara kerana polis nak cekup dia. Dah lama dia di luar negara, lebih 2 tahun barangkali. Dengar khabar polis nak minta bantuan Interpol. Tetapi sampai sekarang dia masih bebas.




Tup!Tup! dia beri kenyataan terbuka kepada media di Malaysia. Mungkin ada juga logiknya apabila dia mempertikaikan kewibawaan Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya. Akan tetapi apabila dia menyerang Anwar secara peribadi, aku kira dia ada sesuatu matlamat yang mahu diperolehinya. Bagi aku, dia mahu pulang ke tanah air tanpa ditangkap polis atau didakwa di mahkamah. Itu aje, kerana memang terbukti mereka yang lazimnya mengampu kerajaan sedia ada tidak akan diapa-apakan oleh undang-undang negara. Aku pasti, selepas ini RPK akan tidak diapa-apakan dan dia mungkin dicipta untuk menjadi seorang lagi Zul.




Peristiwa kedua ialah serangan polis terhadap demonstrasi mahasiswa di hadapan UPSI di Tg. Malim. Bagi pendapat aku tentu sekali berlaku kekasaran polis sehinggakan ketua mahsisawa Mohamad Safwan Anang cedera parah di dimasukkan ke rumah sakit. Alasan polis Perak kononnya mahasiswa ini mencederakan diri mereka adalah tidak masuk akal. Aku teringat dengan alasan polis dulu berkaitan mata lebam Anwar Ibrahim, alasan sebegini juga yang digunapakai.




Seharusnya polis memberikan kelonggaran kepada mereka untuk melahirkan 'tunjuk rasa.'