Sunday 13 October 2013

Malim Ghozali di anugerah SEA write Award

Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan Tahniah kepada kawanku Malim Ghozali. Tahun ini Malim Ghozali PK khabarnya mendapat  SEA Write Award, anugerah berpersetij yang ditaja oleh kerajaan Thailand. Di negara ini selain anugerah SEA, anugerah Sasterawan Negara juga menjadi impian dan idaman para penulis kreatif.

Ramai penulis bercita-cita sekurang-kurangnya akan dikurniakan anugerah SEA kalau pun tidak Sasterawan Negara. Sepanjang anugerah itu diwujudkan sudah ramai penulis Malaysia menerima anugerah ini. Antara yang mendapatnya ialah Lim Swee Tin, Zaharah Nawawi, Zurina Hassan, Azizi Hj. Abdullah, Zain Kasturi, S.M. Zakir dan ramai lagi.

Tahun ini 2013, tuah Malim Ghozali memperolehi anugerah berpersetij itu. Malim macam aku juga sudah tinggalkan lama dunia persuratan. Dia kembali menulis setelah 'bersara' beberapa tahun lamanya. Dia bertuah selepas kembali menulis dia terpilih merangkul SEA Write. Dia dipilih oleh sebuah jawatankuasa pemilihan di antara ramai penulis lain yang dikira layak.

Malim orang kanan dan penyokong kuat Menteri Besar Perak, Zamri Abd. Kader. Dia mendapat keistemewaan daripada MB dengan memberikan kepercayaan kepadanya menguruskan beberapa hektar tanah sebagai 'Perkampungan Penulis.' Malim sudah beberapa kali menganjurkan perhimpunan penyair di Pulau Pangkor dan mendapat sambutan di kalangan para penulis. Tahun ini khabarnya dia juga menganjurkan 'Himpunan Penyair Se Dunia' di Perak. Malim melakukan ini kerana mendapat kerjasama dengan MB dan kerajaan Perak.

Berbalik kepada anugerah SEA, ramai yang tertanya-tanya kenapa yang berjaya dalam pemilihan, waimah apa pun anugerah hanya berlaku di kalangan para penulis yang bergayut di Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pena sahaja. Dalam kata lain, mereka yang duduk di sekitar Lembah Kelang sahaja. Pada hal ramai lagi penulis di hujung negeri masih berkelayakan untuk menerima anugerah SEA ini.

Di Perlis, Kedah, Kelantan dan juga Sabah dan Sarawak ramai yang boleh dipertimbangkan untuk anugerah ini. Kita tidak tahu sama ada nama-nama mereka yang layak ini tersenarai dalam senarai pertimbangan Jawatankuasa Pemilihan. Rejab F.I., Norhisaham Mustaffa, Jamaludin D misalnya, memang layak dikurniakan anugerah ini. Mereka ini bukan menetap di Lembah Kelang tetapi di hujung negeri.

Nampaknya memang jelas dan nyata seolah-olah penulis yang bergayut di DBP dan Pena sahaja berpeluang disenaraikan dalam pemilihan anugerah SEA. Mereka yang duduk di hujung negeri, walaupun banyak karyanya, dan bermutu pula, tidak mendapat pertimbangan. Rejab FI misalnya, sudah menghasilkan 106 buah novel, 20 antologi cerpen, 3 kumpulan puisi, 1 kumpulan drama, 184 buah cerpen, 321 buah puisi, 294 buah rencana, 20 drama radio 15 drama TV dan 4 buah drama pentas. Wow! banyak itu? Masih tak layak lagi ke?

Begitu juga Norhisham Mustaffa dan Jamaludin D, hasil karya mereka memang banyak dan bernilai yang seharusnya mendapat pertimbangan wajar para Jawatankuasa Pemilihan.

Nampaknya, Malaysia kena fikirkan untuk mengwujudkan sekurang-kurangnya sebuah lagi anugerah kalau tidak lebih tetapi setanding dengan SEA Write Award. 'Anugerah Penulis Nusantara,' misalnya boleh diwujudkan dengan pengiktrafan kerajaan-kerajaan yang terlibat dalam gagasan ini. Negara-negara yang terlibat ialah Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei dan Indonesia. Kalau ini dapat direalisasikan, sudah tentu memberi peluang kepada ramai penulis mendambakannya.

Fikir-fikirkan lah!

No comments: