Monday, 29 November 2010

Kongres PKR Selesai

Syukur, aku difahamkan Kongres PKR sudah pun usai dan berjalan dengan lancar, licin, harmoni dan penuh dengan semangat perpaduan. Itu Musaffta Kamil Ayob juga telah menunjukkan semangat kekeluargaan dan perpaduan dengan menerima kekalahannya dengan rela dan telah mengisytiar di hadapan para perwakilan akan tetap bersama dengan PKR.

Syabas aku ucapkan kepada DS Dr. Wan Azizah yang berani menyuarakan sikapnya tentang 'ketuanan Melayu.' Aku fikir tentu dia dan penasihat politiknya sudah meneliti dengan mendalam implikasi daripada saranannya itu. Alasan yang diberi amat logik bahawa hanya segelintir pemimpin elit dalam Umno yang mahu mempertahankan ketuanan Melayu demi untuk kepentingan mereka.

Sebenarnya ketuanan Melayu sudah terhakis lama dulu dihakis oleh pemimpin Umno sendiri. Mereka hanya mengula-gulakan orang Melayu yang masih tidak terbuka minda mereka memomokkan bahawa ketuanan Melayu mesti dipertahankan, sedangkan hakikatnya merekalah yang telah menghapuskan ketuanan itu. Oleh kerana kegagalan mereka mempertahankan ketuanan Melayu, mereka pula beramai-ramai menyokong Perkasa, menggunakan badan itu untuk menyuarakan hak dan ketuanan Melayu. Sepanjang mereka memerintah selama 53 tahun apa mereka buat dengan orang Melayu? Tanah simpanan Melayu mereka rampas dan orang Melayu kehilangan harta yang paling berharga! Orang Melayu masih terkial-kial dalam bidang ekonomi, sasaran 30% equiti yang mereka sasarkan sendiripun tidak kesampaian. Bahasa Melayu terus terpinggir walaupun sudah lebih setengah abad merdeka.

Apa jadi dengan tanah orang Melayu di Pulau Pinang? Kenapa setelah kuasa politik sudah terlepas di tangan baru terjerit-jerit mahu membela orang Melayu? Ketika kuasa politik ada di tangan, apa kamu lakukan? Tanah orang Melayu di pulau itu diambil dan 'dirampas' dengan bayaran yang tidak berpatutan. Apa mereka boleh beli dengan wang pampasan itu? Nak beli rumah flat murah pun belum tentu cukup! Tanah yang diambil tidak diberi dengan rumah/tanah juga, maka terkonteng-kontenglah mereka tanpa tanah dan kediaman yang selesa. Hiduplah mereka menumpang di negeri sendiri.

Kenapa masih berteriak-teriak mahu mempertahankan ketuanan Melayu? Sepatutnya Melayu sudahpun menjadi tuan sekarang dan tak payah lagi menjerit-jerit dengan slogan basi itu.

Sebenarnya ini hanya lakonan sandiwara mereka aja. Apapun PR harus berwaspada bahawa BN/UMNO mempunyai rangkaian media yang amat kuat dan mantap dan boleh sahaja mensensasikan isu ini sehingga orang Melayu yang kurang pandai akan terpedaya.

Aku angkat topi kerana Wan Azizah berani berterus terang mengatakan bahawa suaminya, Anwar Ibrahim adalah anugerah Tuhan kepadanya. TG Nik Aziz juga bersetuju dengan Wan Azizah. Umum harus melihat Anwar dari persperktif semangat juang dan ketahanan dirinya, bukan dilihat dari sudut 'batang tubuhnya'. Kekentalan semangatnya menghadapai dan mengharungi segala pancaroba bikinan musuh-musuh politiknya sunggah menggangumkan. Aku telah sentuh perkara yang sama dalam blog ini bertajuk 'DSAI dan tuduhan liwat 2' baru-baru ini. Aku bukan memuja DSAI secara peribadi tetapi menghormati semangat kental perjuangannya menghadapi ujian dan cabaran yang getir ini.

Satu perkara yang menarik ialah kempimpinan tertinggi PKR kali ini terdiri daripada golongan muda yang kurang 40 tahun usia mereka. Sekitar 80% terdiri daripada golongan muda. Ini satu perkembangan yang sihat dan PKR sudah menyediakan kepimpinan pelapisnya. Kita harapkan mereka akan membawa PKR ke arah yang lebih positif lagi. Jangan amalkan amalan yang diamalkan oleh Umno/BN. Hendaknya, selepas ini PKR akan mengorak langkah dan bersama-sama parti gabungannya mengatur strategi untuk menghadapai PRU 13.

Aku angkat topi kepada Dr. Syed Husin Ali yang berundur secara sukarela kerana mahu memberi peluang kepada golongan muda. Syed Husin juga patut dijadikan contoh, kerana sepanjang perjuangannya dalam politik dia tidak pernah mahu mendahulukan kepentingannya, sebaliknya akur dengan kehendak parti. Syed Husin sudah lama berkecimpung dalam politik, tetapi dia selalunya kerap tenggalam daripada timbul di atas permukaan. Selalu sahaja kalah dalam pilihan raya, tetapi itu tidak melemahkan semangat juangnya dalam politik. Dia tetap beristiqamah dalam perjuangannya, bukan untuk dirinya tetapi kerana idealisme yang dipegangnya.

Syabas Dr. Syed Husin Ali. Kita harap dia dapat menulis memoirnya untuk tatapan kita bersama. Setelah bersara daripada politik, kita harapkan beliau berkecimpung semula dalam arena penulisan terutama dalam bidang sastera yang sudah lama beliau tinggalkan. Dirgahayu! Dr. Syed Husin.

Saturday, 27 November 2010

Cerpen 'Musang'

Cerpen ini telah dikirim ke akhbar Siasah. Pembaca blog ini diberi kemudahan membaca cerpen ini sebelum ianya disiarkan oleh akhbar mingguan tersebut.


Cerpen

Musang



Musang, kalau tak makan ayam bukan musang namanya. Ada kalanya bukan semua ayam pula dimakan musang.

Hari itu musang-musang di dalam gua berpesta-pestaan. Menari-nari tidak keruan. Pelbagai tarian dan nyanyian dipersembahkan. Hari itu hari bertuah bagi musang-musang di dalam gua. Khabarnya, mereka akan disogok dan disuap dengan pelbagai makanan. Ada ayam Kentucky, ada ayam Macdonald, ada ayam serama, ada ayam siam, ada itik gantung dan segala macam makanan disogokkan kepada mereka. Malah selama sepuluh hari musang-musang di dalam gua itu tidak payah lagi pergi berburu untuk mengisi perut masing-masing.

Selama ini pun musang-musang di dalam gua itu mencari makan sendiri-sendiri. Ada yang berburu ayam hutan di dalam belantara bersempadan dengan Siam. Ada yang berburu di dalam belukar sekitar gua-gua di situ. Tidak kurang pula yang pergi mencuri ayam dan itik di dalam reban orang kampung. Yang pemalasnya pula, hanya menunggu sisa-sisa habuan yang tidak habis dimakan oleh kekawan mereka.

Sekarang ini mahu mencari makanan pun semakin susah. Hutan belantara habis dicantas. Bukit bukau gondol ditarah. Hutan batu menggantikan kehijauan belantara. Manusia yang dulunya fobia tinggal di atas dan di kaki bukit sudah memenuhi kawasan itu. Dulunya menjadi penghuni para haiwan dan unggas. Manusia bukan sahaja merampas hak milik kediaman mereka, tetapi memusnahkan alam sekitar serta eko-sistem yang menjadi dunia kehidupan mereka.

Semenjak berita yang dibawa pulang oleh penghulu segala musang di dalam gua-gua di situ, maka tidak terhinggalah gembiranya musang-musang di dalam gua itu. Kata penghulu musang, ada pesta-pestaan memilih ketua kampung di Kampung Galas berdekatan dengan gua itu. Lazimnya sebelum ketua kampung dipilih, penduduk kampung akan berpesta-pestaan selama sepuluh hari sepuluh malam. Dalam tempoh itu amatlah pemurahnya puak-puak yang mahu bertanding merebut jawatan itu. Dalam tempoh itu juga kebiasaannya akan dilambakkan pelbagai rezeki untuk dinikmati oleh mayarakat kampung. Masyarakat musang juga tidak dipinggirkan dalam pesta lambak melambak pelbagai projek dan makanan itu.

Untuk mendapatkan rezeki yang mewah serta lazat, musang-musang itu terpaksa menuruni gua, bukit bukau, merentas hutan belukar, menyelusuri denai dan sungai, barulah sampai di kampung Galas. Di kampung itu mereka dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat. Ayam Kentucky dan Macdonald memang tidak pernah dinikmati musang-musang itu sebelum ini. Apabila merasainya baru disedarinya betapa enaknya masakan segera dari barat itu.

Sebelum ini ayam dan burung hutan menjadi makanan mereka. Kalau malas ke hutan mereka mencuri ayam dan itik peliharaan orang-orang kampung. Selama ini, itu saja yang didapatnya untuk dimakan. Selera mereka sudah terbiasa dengan makanan seperti itu. Kadang-kadang menjadi muak, sampai tidak berselera untuk dimakan. Akan tetapi terpaksa ditelan juga, kalau tidak tentu kebulur.

Apabila dihidangkan dengan ayam Kentucky dan Macdonald, musang-musang itu amat berselera sekali. Ada kelainan dalam resipi masakan ayam-ayam dari Amerika itu. Ada perisa yang sangat menakjubkan, sehingga menjadi ketagih pula kalau tidak dapat merasainya. Orang barat memang bijak kepala otak mereka. Mereka bukan sahaja memonopoli makanan segera itu, tetapi memastikan sesiapa yang memakannya akan sentiasa terkenangkan mereka. Dipasaknya pengaruh dan ingatan melalui makanan segera. Dengan yang demikian mereka berjaya menjajah pemikiran pelanggannya.

Musang-musang itu tidak payah berebut-rebut kerana makanan terlalu mewah dan banyak. Tidak seperti di dalam hutan, mereka terpaksa bersaing antara satu dengan yang lain untuk survival. Di dalam belantara, mereka terpaksa berdikari untuk mencari rezeki. Di Kampung Galas mereka disuap dengan pelbagai habuan yang tak pernah dimimpi.

Namun demikian ada juga di antara masyarakat musang ini yang tidak berselera langsung memakan ayam Kentucky dan Macdonald.

“Weick!” seekor musang jantan tua terloya semacam mahu termuntah sebaik-baik sahaja lidahnya mencecapi ayam-ayam segera itu.

“Hish! Sopan sedikit!” bentak sahabat musang jantan itu.

“Ayam ini tak ada darahnya lagi. Darahnya sudah kering dimasak. Kalau tidak ada darah mentah, mana sedapnya?” balas musang jantan tua bagaikan merungut.

“Hish! Kamu ni! Ini makanan percuma, terima saja apa yang dihidangkan. Kita tak payah bersusah payah bersusup sasap di dalam hutan berburu mencari makanan. Sekurang-kurangnya selama pesta ini berlangsung makanan kita ditanggung. Jangan cerewetlah!” rungut sahabat musang jantan tadi.

“Ini bukan soal cerewet, tetapi soal marwah dan selera. Ini bukan selera musang, tetapi selera manusia. Aku tidak mahu menjadi peminta sedekah di sini, makan disuap, minum disogok. Itu bukan budaya masyarakat musang. Musang mesti berdikari, berkerja keras untuk survival hidup mereka. Mengemis bukan pegangan hidup masyarakat musang,” musang jantan tua menyanggah dengan nada suara yang tinggi bagi menggambarkan kekukuhan pegangang falsafahnya.

“Aku mahu pulang,” rungut musang jantan itu. “Ooi! Sesiapa masyakarat musang yang mahu ikut aku pulang ke gua, ayuh! Mari! Di sini bukan tempat kita! Di sini penuh dengan pesona dan tipu daya. Tempat kita di hutan belantara! Tempat kita di dalam gua! Ayam kita adalah ayam buruan, bukan ayam hidangan,” jerit musang jantan tua dengan lantang. Maka ada di antara musang-musang itu menyahut seruan musang jantan kerana ayam Kentucky dan Macdonald tidak serasi dengan selera mereka.

Oleh kerana terlalu banyaknya rezeki di Galas, ramai juga di antara musang-musang itu tidak pulang ke gua masing-masing. Perut mereka sentiasa kenyang, mengening serta membusung, terlalu kenyangnya mereka sehinggakan malas mahu pulang semula ke gua. Mereka turut berkampung di situ. Sama-sama pula menyokong puak-puak yang bertanding jawatan ketua kampung itu. Mereka akan memberi sokongan yang lebih kepada puak-puak yang lebih pemurah, dan sanggup memberi habuan yang lebih. Malah sehingga sanggup membantu menaikkan bendera dan banting dalam kempen pemilihan itu.

Kini, setelah sepuluh hari selesai pemilihan Ketua Kampung Galas, musang-musang itu kembali ke dalam gua. Perut yang mengening dulu sudah kempis. Kekenyangan tidak bertahan lama. Lapar mulai menguasai diri apabila kerap pula membuang najis. Calon yang terpilih tak nampak batang hidung lagi. Ketika kempen dulu habis semua pelusuk dijelajahi. Bukit bukau, baruh denai, terowong gua semua dimasukinya tanpa jijik dan geli.

Kini masyarakat Galas menunggu segala taburan janji. Banyak projek dijanjikan seperti perumahan PPRT, pembinaan semula stesen kereta api, membina bangunan seratus tingkat tinggi. Bagi memastikan semua projek ini berjaya dilaksanakan, maka rakyat perlu berkorban. Tanah milik harus diserahkan. Tanah lembah dan paya ditambak ditinggikan. Hutan belantara dicantas digondolkan. Bukit bukau ditarah diratakan. Lubang gua dikambus dan dirobohkan. Itulah pengorbanan yang perlu dikorbankan oleh rakyat demi pembangunan, meskipun hak milik selepas itu bukan jaminan. Kalau tidak, pembangunan tidak dapat diadakan. Itulah pengorbanan rakyat kalau mahukan pembangunan.

Apabila teringatkan janji-janji itu, masyarakat musang di dalam gua menjadi gusar. Salah satu perojek yang akan dilaksanakan ialah mengambus dan merobohkan gua-gua di situ. Kalau itu dilaksanakan, ke mana pula warga musang mahu pergi? Ke mana mahu mencari rezeki? Wah! Ini bukan janji tetapi suatu tragedi!

“Kita mesti protes! Kita mesti demonstrasi!” seru musang jantan tua yang sejak dulu tidak sebulu dengan penghulu. Ada suara-suara menjerit bersetuju.

“Sabar! Sabar! Demonstrasi bukan penyelesaian. Kita berdiplomasi, bukan demonstrasi!” nasihat penghulu segala musang, merayu. Ada yang setuju ada yang tidak bersetuju. Sudah ada retak dalam hubungan masyarakat musang di dalam gua. Semenjak mencampuri urusan pemilihan ketua kampung itu, masyarakat musang sudah berpecah dua. Ada yang menyokong musang jantan tua, ada pula yang menyokong penghulu yang menjadi ketua.

“Bukan masanya untuk berdiplomasi kalau hak dan kebebasan kita dimusnahkan nanti. Sanggupkah kita membiarkan gua kita ini dirobohkan? Melihat hutan belantara digondolkan? Di mana nanti kita akan mencari rezeki, kalau hutan batu jadi pengganti?” sanggah musang jantan tua penuh semangat. Seruannya itu mendapat sokongan dan sorakan yang menggamatkan di dalam gua itu.

“Ah! tak payah kita berdemonstrasi dan diplomasi. Kita curi saja ayam-ayam mereka nanti,” celah pula seekor musang muda dengan suara meninggi.

“Itu bukan budaya kita! Masyarakat musang mesti berdikari, bukan hidup mencuri,” suara musang jantan tua semakin tenor. Sepi. Tak siapa bersuara lagi. Golongan muda semakin malas mencari rezeki.

Penghulu musang pusing. Kepalanya ligat macam gasing. Dia bigung, tak disangkanya pengaruh politik berpuak-puak sudah meresap dalam masyarakatnya. Sangkanya politik itu penyatuan, nyata sekali politik itu gejala kepada perpecahan.

“Kita tidak perlu melawan mereka. Mereka berkuasa. Undang-undang mereka cipta. Undang-undang bukan untuk mereka, tetapi untuk kita. Mereka ibarat mata gergaji, disorong makan, ditarik makan,” rintih penghulu segala musang penuh sayu.

“Kalau begitu kita berpindah sahaja. Kita berhijarah ke seberang sempadan, ke negeri Siam. Belantara adalah dunia kita. Tidak ada garis sempadan pada kita. Garisan sempadan hanya untuk manusia,” saran pula seekor musang betina yang sarat mengandung. Dia runsing kalau tidak cukup makanan, kandungannya akan terjejas.

“Ya! kita berhijarah ke sana,” serentak jeritan suara-suara musang bergema di dalam gua.

“Ya! saya setuju!” lengking musang jantan tua. Bergema lagi suara-suara sokongan di dalam gua itu bagaikan gempita melanda belantara.

“Tunggu! Di sana nanti belum tentu duduk perkara. Mungkin serupa dan sama saja,” seru pula penghulu.

“Kita cuba dulu!” balas singa betina tadi. “Biar gagal dalam usaha, jangan takut mencuba!” singa bentina bagaikan berfalsafah pula.

“Ya! kita berangkat esok!” cadang singa jantan tua meninggikan suara. Gegak gempita bergema di dalam gua. Ramai warga musang bersetuju belaka. Ramai juga yang enggan ikut serta. Ayam itik di dalam reban habis disapu belaka.

Penghulu pusing kepala. Ini semua kerana gara-gara mereka dirasuah dengan pelbagai cara. Masyarakat musang yang dulu hidup berdikari, sudah malas berkerja. Budaya sogok menyogok sudah meresap dalam kehidupan mereka. Keroh air di hulu, masakan jernih air di kuala………..

Thursday, 25 November 2010

DSAI dan pertuduhan Liwat 2

Aku sebenarnya malas nak bebibicara tentang politik. Akan tetapi kes DSAI menghadapi pertuduhan liwat 2 bukan isu politik semata-mata. Ianya bukan sahaja soal maruah Anwar, tetapi juga melibatkan proses kehakiman sama ada ianya kelihatan adil untuk berlaku adil. Dalam Islam keadilan hanya dapat ditegakkan apabila kebenaran dapat diserlahkan. Mahkamah bukan itu mencari salah, tetapi mencari kebenaran siapa yang berkata benar. Malangnya mahkamah di negara kita yang mengamalkan sekularisme di mana undang-undangnya dicipta manusia, inilah yang berlaku.

Tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh dan unsur politik berada di sebalik agensi-agensi kerajaan yang sedang mengenadalikan kes itu. Meneliti laporan media tentang perbicaraan DSAI di mahkamah amat menjelikkan. Manusia bodoh sekalipun akan merasakan bahawa DSAI tidak diberi peluang untuk membela diri secukup dan seadil-adilnya.

Kita juga jadi pelik kenapa mahkamah amat sukar memberi kebenaran supaya dokumen-dokumen yang melibatkan DSAI dalam pertuduhan itu tdak diberikan kepadanya. Banyak perkara termasuklah Nota para doktor di HKL, yang dirujuk dan dilihat pada perbicaraan itu, juga mahkamah tolak permohonan DSAI. Aku bukan mahu menyokong DSAI. Kalau benar-benar dia bersalah, dia patut menangung akibatnya. Tetapi benarkan dia melakukan? Persoalan inilah mahkamah seharusnya menjurus. Oleh itu segala dokumen yang ada kaitan dengan kes seharusnya dapat diases oleh tertuduh. Di samping itu kita tidak menafikan hak pendakwa atau orang yang menuduh. Kalau benar tuduhan itu, apa ditakut diserahkan kepada OKT supaya dia tahu apa sebenarnya pertuduhan itu sama ada benar atau palsu. Kalau ada kebenarannya, pihak pendakwa dan mahkamah tidak harus bimbang, kerana tugas mahkamah ialah mencari kebenaran dalam apa-apa kes sekalipun.

Aku tidak bermaksud mahu masuk campur prosiding atau keputusan mahkamah. Pada andaian aku mahkamah akan mendapati DSAI bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya. Bagi aku, keputusan sudah ada, akan tetapi cuma mahu 'menjustifikasikan' sahaja keputusan itu, maka prosiding diadakan walaupun memakan belanja yang terlalu tinggi. Selepas DSAI dipenjaraakan, PRU 13 akan diumum dan diadakan. Ini hanya andaian, mungkin betul, mungkin salah.

Apapun aku amat kagum dengan semangat DSAI menghadapai dugaan demi dugaan dalam karier politiknya. Ini menunjukkan pengaruh DSAI dalam politik tanah air amat besar sekali. DSAI mencabar kedudukan pengamal politik terutama UMNO/BN. Kalau DSAI tidak ada pengaruh, apa peduli dengan dia dan Parti Keadilannya? Kalau DSAI tidak berpengaruh, aku yakin ujian getir seperti ini tidak akan berlaku. Calang-calang orang tentu tidak hilang semangat menghadapi segala ujian dan dugaan yang kelihatan memang sengaja diada-adakan.

Cuma aku nak nasihatkan sedikit kepada para Hakim dan pendakwa raya. Menurut Islam, orang yang pertama akan masuk neraka ialah para Hakim, sekiranya mereka berlaku zalim dalam penghakimaan mereka. Kadang-kadang balasan Tuhan sudah nampak di dunia ini, tak sempat pun mati. Sebagai contoh, beberapa orang yang terlibat dalam penghakiman sodomi 1 dulu menghadapi pelbagai 'keseksaan' dan 'kesusahan' sebelum mati. Ada yang hidup terseksa dan mati bertahun-tahun kemudian. Ada yang rasa bersalah dalam diri menjadikan kehidupan tidak tenteram. Ini bukan kerana DSAI ada mukjizat atau dianggap sebagai 'wali', akan tetapi kerana perbuatan sesetengah manusia yang bersekongkol dengan kezaliman. Kalau berlaku zalim kepada sesiapa sahaja, Allah akan membalasnya di dunia atau di akhirat.

Menjadi tugas kita bersama mencari kebenaran bagi menegakkan keadilan. Kebenaran adalah paksi dalam mencari keadilan. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua. Insyallah!

Wednesday, 24 November 2010

Sajak 'Ini tanah warisan leluhur kami'

Sajak ini dicipta khas sempena himpunan para penyair/budayawan/seniman pada 7 Dis 2010 bersamaan 1 Muharram di Kg. Bandar Dalam. 7 buah kampung di sekitar adalah dalam perancangan DBKL untuk diambil alih dan dibangunkan. Penduduk kampung-kampung tersebut membantah, sehingga kini kekhuatiran terus menghantui penduduk kampung-kampung itu. Ini hanya sumbangan kecil para seniman untuk mempertahankan tanah warisan ini. Khabarnya sajak-sajak ini sedang dikumpulkan oleh Pyanhabib untuk dibukukan. Wallahualam!


Sajak

Ini tanah warisan leluhur kami!
(Sempena himpunan para penyair/budayawan di Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur pada 7 Dis 2010 bersamaan 1 Muharam 1432)

Ranah ini,
adalah warisan leluhur kita
dimiliki berabad-abad lamanya
menjadi pusaka zaman berzaman

Siapa mereka
yang berani datang menceroboh wilayah kita?
ini hak kita!
warisan milik kita!
mesti dipertahankan!
walaupun terjadi apa-apa!

Kita tahu mereka siapa!
mereka adalah para dewa dewata
yang rakus haloba
mencari emas dan tembaga
untuk dibina syurga
bukan untuk kita
tetapi untuk mereka.

Mereka mencari tanah pamah untuk dibangunkan
hutan belantara dicantas, digondolkan
bukit bukau ditarah diratakan
lembah paya ditambak, ditinggikan
gua denai disumbat dikambuskan
tanah milik harus diserahkan
demi pembangunan
rakyat marhean harus berkorban.

Hai! Para dewa dewata!
pembangunan itu untuk siapa?

Siapa yang akan memiliki harta itu selepas ini?
kerana tiada jaminan menjadi milik kami
ia akan menjadi milik para dewata
para kapitalis yang lahap haloba.
itukah pembangunan namanya?
setelah tanah warisan ini bertukar nama?

Apakah pembangunan itu
disukat dengan tingginya bangunan?
maka kita pun bersorak sorai
berangan-angan mahu memiliki syurga di kayangan
sedangkan hak milik terlepas di tangan?
persis Pak Kaduk
menang sabung, kampung tergadai.

Ingat! Para dewa!
meskipun kami miskin
tetapi tidak miskin jiwa dan raga
ini tanah warisan kami
perlu dipertahankan demi maruah
ini saja tanah yang kami ada
hanya sekakang kera
masih mahu dirampas oleh para dewata!
penjajah baru, selepas merdeka!

Para dewa dewata punya kuasa
bisa menggunakan pelbagai akta
undang-undang yang mereka cipta
bukan untuk mereka, tetapi untuk kita

Hai! Para dewa!
ingatlah! ada dewa yang lebih berkuasa!
iaitu Allah, namanya
kami tetap percaya
Allah tidak bersekongkol dengan kezaliman
kerana itu bukan sifat-Nya

Jangan ditakut pada dewa!
kerana dewa itu bikinan manusia
yang juga binasa, macam kita

Kalau para dewa sanggup mempertahankan Putrajaya
biarpun itu bukan hak mutlak mereka,
sanggup berputih tulang, jangan berputih mata!
salahkah kami, mempertahankan tanah warisan ini?

Ingat para dewa dewata!
ini tanah warisan leluhur kami
kami akan pertahankan milik ini
kerana kami tidak mahu menjadi
Palestin di sebelah sini!

RAZALI ENDUN Melaka – 14 Nov 2010

Sunday, 21 November 2010

Mengadaptasi Sejarah Dalam Karya Kreatif

Artikel ini telah disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada hari ini Ahad 21 Nov 2010 dengan tajuk yang telah dipinda, 'Merentas dilema adaptasi sejarah.'


Mengadaptasi Sejarah Dalam Karya Kreatif

Kekeliruan mengadaptasi sejarah dalam karya kreatif kelihatan semacam semakin celaru, sama celarunya mencari konsep sastera Islam yang masih kabur definisinya. Minggu lepas Ku Seman menyentuh mauduk yang sama, iaitu pementasan teater Natrah yang diadaptasi dari buku sejarah hasil kajian dan tulisan Fatini Yaacob.

Sejujurnya saya belum menonton teater muzikal Natrah arahan Erma Fatimah. Namun apa yang dibangkitkan dalam tulisan Ku Seman memperlihatkan ada semacam konflik dalam memahami konsep sejarah dalam karya kreatif.

Pandangan Ku Seman menyatakan bahawa, “apabila sebuah sejarah dibawa dalam karya kreatif, ia bukan lagi sejarah. Sejarah tidak boleh dipentaskan.” Pandangan ini nyata tidak selari dengan pendapat Saleeh Rahmad, bahawa karya kreatif yang tidak mengekalkan fakta sejarah seperti nama tokoh, tempat dan tarikh tidak tergolong dalam kategori karya sejarah.

Menghasilkan karya kreatif berasaskan sejarah bukan suatu kerja mudah. Ianya lebih tertumpu kepada aspek sejarah. Penghasilan karya seperti ini memerlukan kepada penyelidikan dan pengetahuan yang luas tentang sejarah yang hendak dihasilkan.

Sejarah adalah fakta, mengandungi empat komponan iaitu peristiwa, pelaku, tempat dan waktu peristiwa itu benar-benar berlaku. Peristiwa itu pula mesti mempunyai kaitan dengan peristiwa lain yang penting. Ketepatan fakta juga merangkumi perincian budaya, dailek serta etos.

Di antara ciri-ciri konsep karya sejarah ialah karya itu mesti berlatarkan masa lampau sebagai asas sejarah. Plotnya harus ditunjangi peristiwa-peristiwa sejarah. Karya sejarah merakam peristiwa sejarah dengan cara yang kreatif, menggunakan daya imaginasi dan dibangunkan oleh struktur cereka bagi tujuan mengindahkan cerita serta menimbulkan kesan realiti dalam karya itu. Kebebasan imaginasi dibenarkan dalam cereka malah menjadi sifat cereka. Imaginasi tidak bermakna memberikan kebebasan sewenang-wenangnya kepada pengarang mengubah sejarah.

Menurut Ku Seman, pengarang kreatif cuma perlu membuat interpretasi terhadap sejarah. Pengarang berhak melihat daripada sudut pandangnya. Tepat atau tidak, itu soal lain. Hasilnya tidak boleh dianggap sebagai menafikan sejarah.

Setiap pengarang kreatif boleh melihat peristiwa sejarah dari pelbagai sudut. Ini terpulang kepada kekuatan daya kreativiti mereka. Dalam konteks teater Natrah, seperti disarankan oleh Ku Seman, Erma boleh melihat dari sudut Kadir Adabi, dari sudut pandang peguam yang membela mak Minah dan sebagainya. Namun menurut Saleeh, fakta sejarahnya mesti ada dan tepat. Malahan nama-nama watak sejarah tidak boleh diubah dalam karya kreatif yang berasaskan sejarah.

Bagi menepati serta memenuhi konsep karya sejarah, menurut Saleeh Rahmad 70% daripada aspek sejarah seharusnya mendominasi karya manakala 30% dari aspek estetika sastera.

Pandangan Saleeh tidak sealiran dengan Faisal Tehrani. Menurut Faisal, karya sejarah harus ditekankan pada intipati isi sejarah yang terpancar dalam komponan itu serta ideologi dan pengajaran daripada peristiwa sejarah itu. Meskipun komponan sejarah adalah tarikh, peristiwa, tempat dan tokoh, namun bagi Yusof Al-Qardawi itu tidak penting. Ianya sekadar sampingan dan sarung penampilan sahaja. Al-Quran sendiri menyogokkan peristiwa-peristiwa sejarah tanpa menyuguhkan tarikh, malah peristiwanya pun tidak diperinci.

Bagi Faisal, konsep karya sejarah seharusnya diberi takrifan sendiri. Tidak perlu ikut konsep barat. Faisal mengolongkan konsep ini sebagai ‘metodologi logik.’ Dalam Islam sudah terdapat ‘metodologi mithali.’ Justeru, kita jangan terpengaruh oleh skema karya sejarah ciptaan barat.

Walaupun kelihatan pendapat Ku Seman mirip pandangan Faisal Tehrani, akan tetapi beliau dengan jelas menyatakan, “sebuah karya kreatif yang mengadaptasi sejarah dan kelihatan sebagai buku sejarah adalah karya yang gagal.”

Maka pendapat ini sebenarnya bertepatan dengan pandangan Saleeh Rahmad. Karya kreatif tidak seharusnya kaku seperti buku sejarah. Terpulang kepada pengarangnya mengadun dan mengolah sejarah itu secara kreatif supaya ianya tidak kelihatan seperti dokumen sejarah yang akan membosankan pembaca atau penonton.

Saya tidak pasti kenapa Fatini ‘menyerang’ Erma Fatimah selaku pengarah dan penulis naskah teater muzikal Natrah. Mungkin ada fakta yang terpesong atau pun kurang tepat. Penulis buku sejarah, waimah penulis novel tidak boleh mengongkong daya kreativiti penulis skrip filem atau teater selagi intipatinya tidak lari daripada mesej yang hendak disampaikan. Namun demikian, ianya dianggap gagal mengadaptasikan sejarah kepada karya kreatif sekiranya kreativiti itu masih terpasung dalam helai-helaian sejarah. Erma tentu sekali mahukan kebebasan berkarya dan tidak mahu teater Natrah terpasung dalam gerigi sejarah.

Masih ramai yang keliru ketepatan konsep sejarah diadaptasi kepada karya kreatif, tidak kira genre novel, teater atau filem. Apakah konsep yang diketengahkan oleh Saleeh Rahmad perlu dipatuhi, ataupun pandangan Faisal Tahrani yang tidak mahu terikat pada fakta sejarah dalam berkarya, dijadikan panduan? Apapun ianya perlu kepada polemik yang sihat untuk mencari asas kepada konsep penulisan karya kreatif berasaskan sejarah.

Saturday, 20 November 2010

Ikatan Persuratan Melayu (IPM) sambut 60 tahun

'Ranum' Buku Kumpulan cerpen Razali Endun akan dilancarkan pada majlis sambutan 60 tahun IPM.

Tuan Hj. Mokhtar Yassin, Ketua 1 IPM yang juga penerima anugerah Sasterawan Melaka akan mengumumkan pengisytiaran bermulanya sayembara menulis cerpen dan sajak pada 6 Dis. 2010, sempena 60 tahun penubuhan IPM.



Ikatan Persuratan Melayu (IPM) sebuah Persatuan Penulis yang ditubuhkan di negeri Melaka akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-60 pada 6 Disember ini. Majlis tersebut akan diadakan di balai raya Kampung Bertam Malim, Melaka; bermula jam 9.30 pagi hingga 1.00 tengahari.


Sempena sambutan tersebut pelbagai acara telah diatur untuk memeriahkan lagi majlis itu. Di antaranya ialah membawa pulang Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said pulang ke kampungnya dalam acara 'Sireh pulang ke gagang.' IPM juga akan terbitkan sebuah antologi cerpen dan sajak hasil tulisan ahli-ahlinya. Antologi ini yang diberi jodol,'Ombak dan Pantai' sedang dalam proses penerbitan.


Selain itu IPM akan menganjurkan sayembara menulis cerpen dan sajak dikuhusukan kepada anak kelahiran negeri Melaka tidak kira yang masih bermastautin di Melaka ataupun berada di luar negeri Melaka. Kepada penulis yang bukan anak Melaka masih boleh menyertai sayembara ini dengan syarat telah bermastatusin tidak kurang 3 tahun di negeri Melaka dan sertakan sebarang dokumen yang boleh membuktikan anda sudah bermaustatin di negeri Melaka seperti disyaratkan.


Tema sayembara adalah bebas. Setiap peserta boleh menghantar tidak lebih 3 buah cerpen dan/atau sajak. Cerpen antara 10-16 halaman kertas saiz A-4 dengan ditaip kemas langkau dua baris. Penyertaan hendaklah menggunakan borang yang disediakan oleh pihak sekretariat. Borang penyertaan boleh didapat daripada Setiausaha 1 IPM, Hj. Husin Embi melalui tel. 017-6709911 dan 06-3358577 atau Rusdi Abd. Rahman, DBPWS tel: 07-2358802, e-mel: rar@dbp.gov.my.


Sayembara bermula pada 15 Disember 2010 dan tarikh tutupnya ialah pada 15 Mac 2011.


Sayembara menulis cerpen ini adalah anjuran bersama IPM dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dengan kerjasama kerajaan negeri Melaka dan Gapena.


Ketua 1 IPM, Tuan Hj Moktar Yasin akan mengisytiarkan pengumuman sayembara ini pada 6 Disember ini, hari sambutan ulang tahun tersebut. Majlis berkenaan dijangka akan dirasmikan oleh YB Idris Haron, wakil rakyat kawasan Tangga Batu bersama-sama ADUN Tanjung Minyak, Datuk Tahir Hassan.


Majlis tersebut akan dimeriahkan lagi dengan pelancaran sebuah buku Kumpulan cerpen Razali Endun bertajuk, 'Ranum.' Razali Endun merupakan anak kelahiran Kampung Bertam Malim. 'Ranum' menyerlahkan 17 buah cerpen Razali yang telah diterbitkan dalam pelbagai media tanah dalam tempoh sedekad yang lalu.


Kemuncak kepada sambutan ini ialah majlis penyampian hadiah kepada pemenang-pemenang sayembara ini yang dijadualkan diadakan pada bulan April atau Mei 2011. Pada majlis kemuncak itu akan diadakan juga acara 'bicara karya' hasil tulisan ahli-ahli IPM. Antaranya ialah Kumpulan Cerpen 'Ranum,' Antologi cerpen dan sajak 'Ombak dan Pantai' dan Kumpulan Sajak Aladin Mohamad, 'Pada Bumi Permata.'



Friday, 19 November 2010

Sayonara Zaid

Aku baca blog Azizi Hj. Abdullah tadi. Wah! dia hentam cukup-cukup Zaid Ibrahim. Macam dapat bola tanggung. Dia tanam 'smash' nya macam pukul lalat hingga mampus.

Kata Azizi bukan dia seorang yang meluat dengan perangai Zaid, tetapi ramai lagi. Salah seorang daripada yang ramai itu ialah Aku. Sejujurnya, semenjak Zaid menganggotai PKR aku tidak berapa setuju kerana aku lihat tidak ada kejujuran dalam dirinya. Aku sudah mengambil tanggapan bahawa PKR akan menghadapi masalah dengan insan ini.

Rentetan peristiwa dan liputan media perdana terutama TV 3 memberi ruang seluas-luasnya kepada beliau memprokperandakan PKR menjadikan Zaid seolah-olah seperti kanak-kanak diberi gula-gula untuk mencurahkan segala rahsia ibu, bapa dan keluarganya. Umum boleh menilai mutu hujahan beliau di dalam media.

Kita akur sifat manusia adalah tidak sempurna. Sesebuah parti politik juga ada kekurangannya kerana ianya dikendalikan oleh manusia. Aku percaya tentu sekali PKR sudah menyediakan saluran untuk meluahkan segala permasalahan di dalam parti. Kalau tidak ada, PKR kena buat saluran itu. Kalau sudah ada segala aduan dan rintihan ahli hendaklah disiasat, dikaji dan diperbetulkan semula. Kalau ianya masih dibiarkan tanpa tindakan, maka akan tercetuslah 'pemberontakan' di dalam parti. Apapun kita harapka ianya akan ditangani dengan bijaksana oleh kepimpinan PKR.

Sikap Anwar dan Wan Azizah yang tidak terlalu melayan kerenah sumbang Zaid harus dipuji. Ianya memperlihatkan tiada campur tangan pihak atasan parti. Kalau Zaid mahu berundur, biarkan, jangan dipujuk dia. Biarkan dia terjun dengan labu-labunya.

Namun demikian, PKR mesti memperbetulkan segala kepincangan di dalam parti. Mesti bersikap telus, ikhlas dan jujur. Sekirnya sudah disepakati mahu memilih pemimpin secara terus dari akar umbi ianya harus dilaksanakan dengan jujur dan telus. PKR harus menyediakan mekanisme yang sempurna supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa.

Kalau Zaid mahu berundur, seperti saranan Azizi kita ucapkan sayonara kepada beliau.

Monday, 15 November 2010

Himpunan Penyair/Budayawan pada 1 Muharram

Perhimpunan para penyair dan budayawan akan diadakan pada 1 Muharam ini bersamaan hari Selesa, 7 Disember 2010. Acara bermula dari jam 5.00 petang hingga 11.30 malam. Perhimpunan ini anjuran PAKSI/Budaya Bertindak bagi menyokong Muapakat mempertahankan tanah warisan di sekitar Kampung Bandar Dalam, Sentul, Kuala Lumpur.

Dalam Pelan Induk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, sebanyak 7 kampung di sekitar kampung Bandar Dalam itu akan terlibat dalam pengambilan tanah untuk dibangunkan oleh DBKL. Kampung-kampung itu ialah, Kampung Cangkat, Kampung Padang Balang, Kampung Puah, Kampung Puah Seberang, Kampung Cubadak, Kampung Sungai Mulia dan Kampung Sungai Merali.

Himpunan ini bertujuan memberi sokongan kepada penduduk di situ supaya terus mempertahankan tanah warisan mereka daripada di'rampas' oleh pihak berkuasa. Ini tidak bererti para seniman/budayawan anti pembangunan, tetapi semata-mata mempertahankan perkampungan Melayu yang semakin terhakis di badaraya ini. Kampung Baru juga mengalami nasib yang sama, atas nama pembangunan maka perkampungan Melayu menjadi korban.

Sehubungan dengan peristiwa ini semua para penyair/seniman/budayawaan seluruh negara diundang ke majlis ini sebagai manifestasi sokongan kepada perjuangan penduduk di situ. Di antara rumah seniman yang terlibat di kampung itu ialah 'rumah bonda' Prof Dr. Siti Zainon Ismail. Perkampungan ini menjadi sumber inspirasi Siti Zainon dalam banyak karyanya.
Tentu sekali beliau akan terusik/terkilan dengan pengambilan ini. Rumah bondanya dan perkampungan itu mempunyai nilai sentimental yang amat berharga kepada beliau. Ini bukan kerana beliau seorang, tetapi keseluruhan penduduk perkampungan Melayu yang telah wujud sejak 150 tahun yang lalu.

Sempena dengan majlis ini juga, para penyair diminta sekurang-kurangnya menulis sebuah sajak berlatarkan peristiwa ini. Sajak-sajak ini juga akan dibukukan sebagai kenangan perhimpunan besar ini. Anda juga boleh mendeklamasikan sajak ini pada malam itu. Sajak-sajak anda boleh dikirimkan kepada pyanhabib@gmail.com, sebelum 20 Nov. ini. Harap para seniman terima seruan ini dan turut sama-sama menghadirkan diri pada tarikh tersebut.

Pada kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha. Selamat berkorban asalkan jangan dikorbankan. Wallahualam!

Friday, 5 November 2010

Pakatan Rakyat Kecundang PRK di Galas dan Batu Sapi

Wah! nampaknya 'ramalan' aku tak tepat. Aku 'ramal' (sebenarnya 'andai' kerana dalam Islam, manusia dilarang membuat ramalan). Aku telah membuat andaian bahawa Pas akan menang di Galas, ternyata silap. Di Batu Sapi memang aku andaikan BN menang kerana rakyat di Sabah macam rakyat di Semenanjung pada tahun 60-70an dulu. Dulu letakkan kepala lembu sebagai wakil BN pun, mereka akan undi kerana rakyat sudah ditanamkan dalam otak kepala mereka bahawa BN/UMNO aja yang boleh buat itu, buat ini.

Di Galas calon Umno dapat majoriti undi berganda daripada PRU 12 dulu. Majoriti 1,190 undi. OOO, hebat tu! Memang pun itu kubu kuat Umno, kerana musang-musang di dalam gua di sana memang sudah dijinakkan oleh Ku Li. Akan tetapi, musang-musang di galas sudah dapat dijinakkan oleh Pas pada PRU 12 yang lalu. Kenapa Pas tidak dapat mempertahankannya pada kali ini? Apakah musang-musang itu tidak dijaga dan diberi makan secukupnya oleh Pas? Nampaknya Umno/BN datang dengan pelbagai makanan, habuan dan pembangunan membikin musang-musang itu beralih semula kepada tuan lama mereka.

Kesimpulannya, materialiseme atau kebendaan masih lagi menjadi faktor utama menarik sokongan musang-musang dari dalam gua itu. Musang-musang ini tidak boleh disogokkan dengan idealisme kerana idealisme itu tidak boleh mengenyangkan. Apakah Pas perlu beralih kaedah untuk menumpukan kepada pendekatan materialisme daripada idealisme Islamnya?

Mat Sabu dah beri amaran, Pas atau PR kalau nak ganti Umno/BN jangan ikut cara mereka. Pas mesti kekalkan identiti dan entitinya. Jangan rasuah dan salah guna kuasa. Pas tidak harus bersikap haloba dan perlu beristiqamah dalam perjuangannya. Nabi Mohamad menempuh pelbagai halangan dan rintangan untuk menubuhkan sebuah negara Islam di Madinah.

Pas dan PR perlu berkerja keras untuk sampai kepada rakyat bawahan. Setakat ini pada pandangan aku ianya masih lemah dalam hal-hal ini. Kurang sekali jemaah Pas/PR berkunjung dan mengadakan dailog dengan penduduk di bawah pentadbiran mereka. Hasilnya rakyat masih kurang tahu dan faham kelebihan idealiseme Islam dengan bertuankan pembangunan dan kebendaan. Pas/PR perlu berkerja keras dari sekarang, kerana aku percaya Najib sudah merasa konfiden dengan kemenangan ini dan akan mengadakan PRU 13 pada tahun hadapan.

Malah aku lebih yakin PRU 13 akan diadakan sebaik-baik sahaja Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara dalam kes liwat ke-2 nya. Perbicaraannya dijangka selesai awal tahun depan. Keputusannya, apa pun hujah dan alasan pembela, Anwar akan tetap didapati bersalah oleh mahkamah. Segala petunjuk sudah jelas dengan pelbagai rintangan dan halangan bagi Anwar mendapatkan dokumen-dokumen sebagai persediaannya membela diri diperlekehkan.

Di Galas nyata sekali pengaruh Ku Li masih berbisa. Umno masih kukuh cengkamannya di Gua Musang. Apakah selepas ini Umno akan menghargai Ku Li dengan menawarkannya jawatan Menteri di Pusat? Kalau tidak ada tawaran, tentu sekali Ku Li merasakan beliau dipergunakan saja. Kita lihat perkembangannya nanti.

Itu di Batu Sapi YB barunya, nyonya Cina itu janda mediang YB lama, menurut khabarnya tak fasih berbahasa Melayu. Kalau betul, apa dah jadi ni? Apakah kefasihan berbahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara sudah tidak diperlukan sebagai YB? Hush! ini pun bahaya juga! DBP, Gapena dan badan bahasa yang lain, apa komen?

Wednesday, 3 November 2010

Siapa menang di Galas dan Batu Sapi?

Aku sebenarnya minat politik, tapi tak mahu terlibat secara langsung dalam politik. Aku tahu politik sebenarnya adalah bersih tetapi telah dikotori oleh orang-orang politik yang kotor. Bukan semua pula kotor, tetapi bak kata pepatah Melayu, 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga.' Namun kata kawan saya Kasim Muhamad, tugas kitalah membersihkan orang-orang politik ini. Kalau politik itu kita anggap bersih, maka tak payahlah dibersihkan politik itu. Ini bukan kerja mudah! Orang politik menganggap mereka adalah Superman, mengatasi segala, waimah ahli akademik, budayawan dan sasterawan. Mana orang politik mahu dengar cakap depa semua?

Apa sebab? kerana orang politik jarang sekali bercakap benar. Ramai di antara mereka bersifat munafik dan pembohong. Aku namakan mereka ini bomoh-bomoh politik. Bukan bomoh mengubatkan orang, tetapi bomoh merosakkan orang. Tengok aja apa yang berlaku di Galas dan Batu Sapi! Ini contoh muktahir. Sebelum ini setiap Pilihan Raya Kecil (PRK) sudah pasti bomoh-bomoh politik ini turun padang dan berjanjikan macam-macam, hinggakan batu dan pasir pun mereka boleh tukar menjadi emas.

Tak percaya baca cerpen aku dalam Buku Kumpulan Cerpen terbaru bertajuk, "Ranum." Cerpen yang berkaitan Bomoh Politik ini ada disiarkan dalam buku ini di bawah tajuk "Cerita Bermusim," Cerpen ini telah disiarkan oleh Harakah pada 16-31 Jun 2007. Cerpen ini ditulis ketika PRK di Batu Talam, Pahang. Sebelum itu di Pasir Mas, Kelantan. Temanya, bomoh-bomoh politik ini berjaya mempengaruhi sesetengah pengundi (Melayu) dengan janji-janji mereka untuk menukarkan batu menjadi emas. Puas ditunggu-tunggu, batu tetap batu, tidak pernah menjadi emas. Initipatinya, janji-janji bomoh-bomoh politik ini membikin rakyat menjadi malas berusaha dan menunggu harap daripada mereka.

Sekarang di Galas dan Batu Sapi keadaan yang sama berlaku. Macam-macam janji, nak buat rumah PPRT, dan beri geran tanah, malah kalau nak istana pun bomoh-bomoh politik ini sanggup berjanji membinanya. Tapi awas! mereka hanya berjanji, janji untuk membeli undi.

Apapun, macam-macam ulasan, kajian dan selidikan dilakukan oleh badan-badan bebas terhadap kemungkinan siapa yang akan menduduki kerusi Dun Galas. Mutakhir Ilham Centre mengatakan BN mendahului Pas. Itu kajian mereka, mungkin betul, mungkin tidak!

Satu hal yang orang ramai patut tahu bahawa amat rumit untuk meramalkan pendirian pengundi Kelantan pada setiap kali pilihan raya. Mereka akan beramai-ramai menghadiri ceramah, tak kiralah siapa yang menganjurkannya. Tapi ketika mengundi, mereka ada pilihan sendiri. Pilihan utama mereka ialah parti dan calon yang ada dan pegang kuat pada agama. Akhlak calon yang baik serta tidak meninggi diri. Anda boleh meramal sendiri kedua-dua wajah calon ini untuk membuat keputusan itu. Ini juga teori yang saya gunakan ketika PRK di Kuala Trengganu dulu di antara calon Pas dengan Umno. Ternyata tanggapan saya menepati sasaran.

Aku tak pergi pun melihat atau meninjau suasana kempen di Galas. Namun instict atau naluri aku kuat menyebelahi kemenangan calon Pas. Mungkin majoriti lebih sedikit daripada PRU 12 yang lalu. Di Batu Sapi, naluri aku berat memberi kemenangan kepada calon BN. Ini kerana di Sabah rakyat di sana masih lagi terbelenggu dengan pengaruh BN walaupun sudah ada petanda mereka mahu kepada PR. Tak apalah, tanggapan ini tidak mestinya betul, tetapi aku yakin, itulah keputusannya nanti.

Ini SPR pun satu, apabila Pas nak beri elaun pengangkutan kepada pengundi untuk pulang mengundi, dicopnya pula 'rasuah'. Cekap dan cepat mereka memberi komen, padahal BN macam-macam janji itu dan ini, ada yang sampai memberi wang ringgit dan harta benda, dibuat tak nampak aja. Bersikaplah profesional, Beb! Aku setuju saranan Timbalan Menteri Besar Kelantan, sepatutnya wang elaun itu dibayar oleh SPR kerana SPR memilih mengadakan PRK pada hari berkerja. Lagipun kalau Pas bayar pun belum tentu mereka mengundi Pas kerana itu hak pengundi memilih siapa yang mereka suka untuk mewakili mereka.

Apa pun tunggulah esok 4 Nov 2010 akan menentukan sejauh mana pengundi di Galas dan Batu Sapi terpengaruh dengan janji-janji muluk bomoh-bomoh politik ini. Aku percaya pengundi sekarang sudah bijak memilih, tahu memilih yang mana batu dan yang mana permata. Selamat mengundi.

Tuesday, 2 November 2010

PKR amal demokrasi total

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama TG Abd. Hadi Awang ketika kempen PRK Kuala Trengganu tahun lalu.


PKR MENTRANSFORMASI SISTEM PEMILIHAN


Pemilihan kepimpinan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang rancak berlangsung sekarang. Di Ranting dan Cabang sudah, masih dan akan berlangsung. Malah sudah tersenarai nama-nama calon yang akan bertanding dalam pemilihan peringkat tertinggi parti seperti dilaporkan oleh Mingguan Malaysia 17 Oktober lalu.

Mengikut senarai tersebut hanya Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail sebagai Presiden sahaja menang tanpa bertanding. Jawatan Timbalan Presiden ada tiga pencalonan untuk satu jawatan, manakala Naib Presiden ada 19 pencalonan untuk 4 jawatan. Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dua dan Ketua Wanita tiga pencalonan, masing-masing untuk satu jawatan.

Pelbagai berita tentang kekecohan serta haru biru yang kononnya berlaku pada pemilihan ini dilaporkan dengan sensasi sekali oleh media penyokong BN/Umno. Kemuncak kepada pemilihan ini akan berlangsung pada bulan November ini apabila pemilihan kepimpinan tertinggi parti itu akan diadakan nanti.

Berita tentang kekecohan yang berlaku dalam pemilihan dan pencalonan pada peringkat akar umbi ada juga kebenarannya. Ianya diakui oleh Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution bahawa memang ada beberapa kelemahan berlaku pada pemilihan itu. Kekecohan ini sekali gus mendapat perhatian umum terutama media penyokong BN/Umno yang cuba mensensasikan keadaan. Ini suatu petanda bahawa PKR sudah mula mendapat pengaruh dalam arena politik tanah air dan dalam proses kematangan.

Episod perebutan untuk menjadi pemimpin semakin ketara dan sengit. Masing-masing cuba buruk memburukkan lawan serta kepimpinan parti dengan pelbagai cara semata-mata mengikut emosi yang keterlaluan. Ada yang berkrisis secara peribadi dan ada pula yang mengugut mahu keluar parti. Ada pula pihak menyerahkan ‘Memorandum Taubat’ kepada Anwar Ibrahim sebagai usaha memburukkan lagi imej parti dan kepimpinan.

Gejala-gejala tidak sihat ini menjadi kemelut kepada asas demokrasi total yang cuba diperkenalkan oleh PKR. Tidak dapat dinafikan dalam mana-mana pemilihan parti-parti politik gejala seperti ini adalah sesuatu yang lazim. Akan tetapi apabila berlakunya pergaduhan, penipuan serta persoalan pribadi, ianya memburukkan imej parti dan kepimpinan sedia ada. Ianya juga menggambarkan betapa ahli-ahli parti tidak berdisplin dan dikuasai oleh emosi, bukan profesionalisme. Lebih memburukkan lagi apabila ianya dibesar-besarkan oleh media bagi mensensasikan keadaan.

Pada pemilihan kali ini PKR cuba mengubah amalan demokarasi konvensional yang lazim diamalkan oleh parti-parti politik dan sesetengah pertubuhan lain di negara ini. Kelaziman yang diamalkan oleh pertubuhan-pertubuhan ini dalam pemilihan kepimpinannya ialah dengan mengadakan pemilihan di cawangan dan bahagian untuk memilih pemimpin peringkat tersebut yang secara otomatiknya pula menjadi perwakilan dalam Muktamar atau Perhimpunan Agung parti untuk memilih kepimpinan di peringkat pusat atau nasional.

Sistem ini diamalkan oleh kesemua parti politik di negara ini dan ianya semacam menjadi amalam dalam sistem pemilihan kepimpinan dalam negara ini. Malah sebelum ini pun PKR mengamalkan sistem yang sama pada pemilihan kepimpinannya. Kali ini parti itu cuba membuat perubahan dengan membenarkan ahli akar umbi turut terlibat sama secara langsung dalam pemilihan kepimpinan di peringkat cabang dan nasional.

Sistem konvensional, yakni pemilihan perwakilan sebagai wakil ahli akar umbi ke Perhimpunan/Mukatamar Agung parti menjadi amalan semua parti politik di negara ini termasuk Pas. Sistem ini menetapkan jumlah calon yang layak diwakili di setiap Cawangan, Bahagian atau Cabang mengikut kekuatan ahli yang ada dalam kawasan-kawasan itu. Hanya perwakilan yang disahkan oleh sekretariat parti sahaja dibenarkan menghadiri dan layak mengundi dan bercakap dalam Perhimpunan/Muktamar parti. Ahli akar umbi tidak dibenarkan berbuat demikian, kecuali sekadar menjadi pemerhati dalam mesyuarat tersebut.

Ini bermakna pucuk pimpinan parti ditentukan oleh perwakilan, bukan oleh ahli akar umbi lagi. Sistem ini menafikan hak kepada ahli akar umbi memilih pemimpin mereka kerana kononnya mereka telah mewakilkan hak mereka kepada perwakilan. Undi yang diberikan oleh perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan tidak semestinya disetujui oleh ahli akar umbi yang mewakilkan hak itu kepada mereka. Oleh yang demikian pemilihan pimpinan tidak semestinya menggambarkan sokongan total ahli parti. Sistem ini berkemungkinan besar membuka ruang untuk ‘merasuah’ para perwakilan oleh calon-calon yang rakus untuk merebut jawatan.

Sistem ini juga menentukan Perdana Menteri di negara ini apabila parti yang diwakili memenangi pilihan raya umum dengan jumlah kerusi majoriti mudah, waimah melebihi sebuah kerusi pun. Lazimnya, secara otomatik Presiden atau Ketua sesebuah parti politik yang memenangi pilihan raya itu menjadi Perdana Menteri atau Ketua Menteri dan Menteri Besar. Oleh yang demikian Perdana Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar sebenarnya hanya mewakili parti-parti mereka, bukan suara rakyat jelata. Kerana yang memilih mereka menjadi Ketua Negara atau Negeri ialah parti, bukan rakyat akar umbi. Kadangkala apabila jumlah undi keseluruhannya diambil kira, parti yang menang itu tidak semestinya memperolehi majoriti suara rakyat, sekadar melebihi jumlah kerusi yang dipertandingkan.

Parti Keadilan Rakyat pada pemilihan tahun ini cuba merobah sistem itu dengan menongkah arus pada sistem yang lazim diamalkan di negara ini. Justeru kerana itu pelbagai masalah, cabaran dan kepayahan dialami pada permulaan perkenalan baru sistem ini.

Sistem ini sesuatu yang baik dalam amalan demokrasi. Ianya memberi hak akar umbi dan rakyat jelata untuk menentukan pemimpin dan kepimpinan negara. Sistem ini juga memberi hak kepada sesiapa sahaja untuk menjadi calon atau dicalonkan, selagi individu itu sah menjadi ahli parti walaupun baru dianggotainya. Sekadar dua pencalonan sahaja sudah melepasi kuota yang ditetapkan. Tidak seperti sesetengah parti politik yang menetapkan kuota yang tidak munasabah untuk menjadi calon, yang dianggap sebagai halangan serta menafikan hak ahli untuk menjadi calon pemimpin.

Sistem ini sudah diamalkan oleh beberapa buah negara di dunia termasuk Amerika Syarikat serta tetangga kita Indonesia. Rakyat jelata diberikan hak untuk memilih presiden mereka dalam setiap pilihan raya umum. Nama-nama calon presiden dicalonkan oleh parti-parti politik masing-masing setelah melepasi beberapa saringan yang ketat dan rumit. Setelah calon-calon itu mendapat sokongan ramai maka nama-nama mereka dipertandingkan sebagai Presiden atau Ketua Negara mengikut pengundian yang diberikan oleh semua rakyat jelata yang berhak mengundi. Maka dengan demikian, Presiden atau Ketua Negara ini benar-benar mendapat sokongan majoriti rakyat jelata, bukan sekadar mendapat sokongan parti yang diwakilinya.

Demikianlah serba sedikit perbezaan di antara sistem konvensional yang menjadi amalan di negara kita dengan sistem pemilihan langsung yang cuba diperkenalkan oleh PKR. Tidak dapat dinafikan dalam usahanya memperkenalkan sistem demokrasi total ini, PKR telah tidak menyediakan suatu peraturan yang sempurna bagi mengendalikan pemilihan dan pencalonan ini supaya ianya berjalan dengan lancar.

Banyak kekurangan dan kepincangan berlaku sehinggakan ramai di antara ahlinya merasa tidak ‘puas hati’ dan ‘desperate’ hingga sanggup meluahkan perasaan di media penyokong BN/Umno tanpa segan silu. Tambah memalukan apabila mereka ini membuka pekung di dada sendiri yang menyerlahkan keaiban sesama ahli parti di mata umum. Ini bukan sikap profesional tetapi sikap mementing diri. Sekretariat PKR tentunya sudah menyediakan saluran untuk membuat pengaduan seperti ini. Kalau sudah ada kenapa tidak digunakan? Kalau belum ada, ianya suatu kepincangan yang nyata dan seharusnya disediakan pada kadar segera.

Kini sudah sampai masanya sistem demokrasi di negara kita menjalani transformasi yang drastik sesuai dengan peredaran masa. Sistem konvensional yang mempertandingkan kerusi sudah tidak relevan lagi. Kita seharusnya mencontohi amalan demokrasi yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat dan Indonesia. Bukan kerusi yang menjadi penentu, tetapi suara majoriti rakyat yang menentukan kemenangan sesebuah parti dan juga Perdana Menteri.

Dalam sistem pengundian langsung ini rakyat jelata mempunyai hak memilih dan jumlah kerusi hanya ditentukan setelah mana-mana parti politik mendapat peratusan suara majoriti yang ditetapkan. Satu undi lebih tidak semestinya calon itu menang, ianya mesti ada had mengikut peratusan undi yang diterimanya. Misalnya seseorang calon itu sekurang-kurangnya harus mendapat 55% undi (suara) daripada jumlah keseluruhan pengundian dalam kawasannya, barulah calon itu memenangi sesebuah kerusi. Manakala di peringkat nasional pula, parti itu mesti mendapat tidak kurang 60% daripada jumlah undi keseluruhannya, barulah parti itu berhak memerintah negeri/negara. Peratusan ini boleh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pada pemilihan Perdana Menteri (PM) pula pengundian langsung daripada rakyat jelata seharusnya dipraktikkan. Ketua-ketua parti politik boleh dicalonkan untuk jawatan PM setelah mereka melepasi beberapa saringan yang ketat. Rakyat jelata berhak memilih Perdana Menteri secara langsung, bukan lagi oleh parti. Kaedah ini benar-benar menggambarkan suara majoriti, bukan lagi suara parti. Barulah PM boleh mendabek dada bahawa beliau benar-benar mewakili majoriti rakyat negara ini.

Apa yang berlaku sekarang, pada hakikatnya PM bukan dipilih oleh rakyat jelata tetapi secara otomatik menjadi PM kerana beliau kebetulan menjadi Ketua parti yang memenangi pilihan raya. Oleh itu beliau bukan mewakili majoriti rakyat, akan tetapi hanya mewakili partinya sahaja. Sudah ada suara-suara lantang berkumandang menyatakan PM hanya sekadar mewakili Melayu dalam Umno sahaja. Itulah hakikat hasil sistem demokrasi yang kita amalkan sekarang.

PKR mendahului parti-parti politik lain di tanah air untuk mentranformasikan pemilihan kepimpinan pada jalur demokrasi sebenarnya. PKR cuba memulihkan suara rakyat dan akar umbi supaya didengar. Usahanya ini sesuatu yang baru serta menongkah arus dan melanggar kelaziman. Setiap yang baru pasti ada cabaran dan halangan pada awalnya. Apabila ianya sudah diterima pakai dengan baik, maka ianya menjadi amalan biasa dan pastinya segala gejala buruk yang menghantuinya akan dapat diatasi dengan mudah dan sempurna.

Sudah sedia dan beranikah parti-parti politik lain termasuk Umno berubah kepada transformasi dan reformasi demokrasi seperti diperkenalkan oleh PKR ini? Nampaknya PKR lebih berani membuat ujian awal dan menjadi perintis kepada penerokaan baru!

Selagi tidak ada perubahan dalam sistem pemilihan kepimpinan ini, maka selagi itulah akan kedengaran suara-suara yang mempertikaikan kepimpinan negara.