Sajak ini dicipta khas sempena himpunan para penyair/budayawan/seniman pada 7 Dis 2010 bersamaan 1 Muharram di Kg. Bandar Dalam. 7 buah kampung di sekitar adalah dalam perancangan DBKL untuk diambil alih dan dibangunkan. Penduduk kampung-kampung tersebut membantah, sehingga kini kekhuatiran terus menghantui penduduk kampung-kampung itu. Ini hanya sumbangan kecil para seniman untuk mempertahankan tanah warisan ini. Khabarnya sajak-sajak ini sedang dikumpulkan oleh Pyanhabib untuk dibukukan. Wallahualam!
Sajak
Ini tanah warisan leluhur kami!
(Sempena himpunan para penyair/budayawan di Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur pada 7 Dis 2010 bersamaan 1 Muharam 1432)
Ranah ini,
adalah warisan leluhur kita
dimiliki berabad-abad lamanya
menjadi pusaka zaman berzaman
Siapa mereka
yang berani datang menceroboh wilayah kita?
ini hak kita!
warisan milik kita!
mesti dipertahankan!
walaupun terjadi apa-apa!
Kita tahu mereka siapa!
mereka adalah para dewa dewata
yang rakus haloba
mencari emas dan tembaga
untuk dibina syurga
bukan untuk kita
tetapi untuk mereka.
Mereka mencari tanah pamah untuk dibangunkan
hutan belantara dicantas, digondolkan
bukit bukau ditarah diratakan
lembah paya ditambak, ditinggikan
gua denai disumbat dikambuskan
tanah milik harus diserahkan
demi pembangunan
rakyat marhean harus berkorban.
Hai! Para dewa dewata!
pembangunan itu untuk siapa?
Siapa yang akan memiliki harta itu selepas ini?
kerana tiada jaminan menjadi milik kami
ia akan menjadi milik para dewata
para kapitalis yang lahap haloba.
itukah pembangunan namanya?
setelah tanah warisan ini bertukar nama?
Apakah pembangunan itu
disukat dengan tingginya bangunan?
maka kita pun bersorak sorai
berangan-angan mahu memiliki syurga di kayangan
sedangkan hak milik terlepas di tangan?
persis Pak Kaduk
menang sabung, kampung tergadai.
Ingat! Para dewa!
meskipun kami miskin
tetapi tidak miskin jiwa dan raga
ini tanah warisan kami
perlu dipertahankan demi maruah
ini saja tanah yang kami ada
hanya sekakang kera
masih mahu dirampas oleh para dewata!
penjajah baru, selepas merdeka!
Para dewa dewata punya kuasa
bisa menggunakan pelbagai akta
undang-undang yang mereka cipta
bukan untuk mereka, tetapi untuk kita
Hai! Para dewa!
ingatlah! ada dewa yang lebih berkuasa!
iaitu Allah, namanya
kami tetap percaya
Allah tidak bersekongkol dengan kezaliman
kerana itu bukan sifat-Nya
Jangan ditakut pada dewa!
kerana dewa itu bikinan manusia
yang juga binasa, macam kita
Kalau para dewa sanggup mempertahankan Putrajaya
biarpun itu bukan hak mutlak mereka,
sanggup berputih tulang, jangan berputih mata!
salahkah kami, mempertahankan tanah warisan ini?
Ingat para dewa dewata!
ini tanah warisan leluhur kami
kami akan pertahankan milik ini
kerana kami tidak mahu menjadi
Palestin di sebelah sini!
RAZALI ENDUN Melaka – 14 Nov 2010
No comments:
Post a Comment