Ikatan Persuratan Melayu (IPM) bersama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (PERPUSTAM), akan menganjurkan Majlis Bicara Karya Sastera Melaka 2011 pada 12 November ini (Sabtu) di PERPUSTAM, Bukit Baru, Melaka.
Tiga (3) buah buku akan dibicarakan pada majlis ini terdiri daripada Antologi 'Ombak & Pantai,' karya 14 orang penulis IPM (terbitan IPM), Kumpulan Puisi 'Pada Bumi Permata' (DBP), Aladin Mohamad dan novel 'Gelora Belantara' (DBP) karya Razali Endun.
Penerbitan Antologi 'Ombak & Pantai' merupakan kemuncak kepada sambutan Ikatan Persuratan Melayu yang ke 60 tahun penubuhannya pada tahun lepas. Inilah satu-satunya antologi yang pernah diterbitkan oleh IPM sepanjang kewujudannya. Penerbitan antologi ini sangat signifikan kepada seluruh ahli IPM.
Majlis ini akan diadakan di Dewan Serbaguna PERPUSTAM, bermula pada jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang. Antologi Cerpen dan Sajak, 'Ombak & Pantai' akan dibicarakan oleh Hjh Siti Aisiah Murad (DBP) yang akan memberi penumpuan dalam bidang cerpen, manakala Sdra Zainal Palit (Zaen Kasturi) pemenang SEA Write Award akan membicarakan sajak-sajak dalam antologi itu.
Prof. Dr. Arbak Othman dari UPM akan membicarakan Kumpulan Puisi Aladin Mohamad, 'Pada Bumi Permata,' dan Hj. Hamzah Hamdani (Gapena) akan membicarakan novel Razali Endun, 'Gelora Belantara.'
Majlis bicara karya ini akan dirasmikan oleh SN Datuk A. Samad Said. Manakala majlis perasmian penutupan akan dilakukan oleh Pengarah PERPUSTAM. Majlis ini terbuka kepada orang ramai, temasuk pelajar sekolah, guru-guru sastera, peminat sastera, penulis dan pengamal sastera. Penyertaan adalah percuma.
Sebarang pertanyaan sila kemukakan kepada Hj. Razali Endun (Ketua Dua IPM) Tel: 019-6658064, atau Hj Husin Embi (S/U IPM) Tel: 017-6709911, 06-3358577 ( rumah).