Semalam, 14 Januari 2011, berlangsung Kongres PR di Alor Setar menjelang PRU 13. Aku tak hadir kerana tidak diundang. Khabarnya ramai NGO diundang sama untuk memberikan pandangan dan cadangan, apa yang patut kerajaan PR laksanakan sekiranya ditakdirkan berjaya menawan Putrajaya.
Amiga, Pengerusi Bersih juga ada ditampilkan di atas pentas, Gamis, Persatuan Mahasiswa ada, wakil akademik pun ada, wakil budaywan juga ada. Kalau tak silap aku wakil dari Persatuan Pengangkutan tidak diundang, begitu juga wakil-wakil NGO dari Sabah dan Sarawak.
Bukan apa, aku takut PR akan mengulangi kesilapan yang sama yang dilakukan oleh BN sepanjang mereka memerintah Malaya/Malaysia. Industri pengangkutan, termasuk pengangkutan awam telah diabaikan oleh kerjaan BN/Umno sepanjang negara mencapai kemerdekaan. Lihatlah sekarang, setelah lebih 54 tahun Malaysia merdeka kita tidak punya sistem pengangkutan awam yang sempurna jauh sekali yang efesien dan boleh dipercayai. Sistem bas dan teksi adalah yang terburuk di rantau ini.
Kenapa ini berlaku? Puncanya ialah kerajaan tidak punya iltizam untuk mewujudkan suatu sistem pengangkutan yang bersepadu, murah dan memudahkan rakyat. Setelah 54 tahun merdeka, kita tidak punya suatu Dasar Pengangkutan sebagai landasan untuk membina suatu sistem pengangkutan yang sempurna dan bersepadu. Tidak ada kesepaduan antara agensi-agensi kerajaan untuk mewujudkan suatu sistem yang menepati cita rasa sebuah kerajaan yang berkembang maju.
Apa yang berlaku ialah pengeluaran permit-permit bas ekspres, berhenti-henti, persiaran, teksi, kereta sewa dan seumpamanya hanya mengikut selera menteri yang berkuasa mengeluarkan permit-permit tersebut. Kalau berlaku pertukaran menteri, maka pak menteri itu akan keluarkan permit-permit ini kepada penyokong-penyokongnya di kawasan masing-masing. Malah, khabarnya ada permit yang dikeluarkan melalui 'pintu belakang' setelah urusan 'bawah meja' selesai dilaksanakan. Sepanjang 54 tahun bukan saja tidak ada Dasar Pengangkutan, malah kerajaan tidak pernah mewujudkan "Research & Development" sebagai badan yang membuat kajian terhadap keperluan pengangkutan awam. Pemberian permit pengangkutan awam bukan macam memberi permit berniaga pasar malam. Ia perlukan kajian yang teliti supaya 'supply not over the demand' (bekalan tidak melebihi permintaan).
Kewujudan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak juga membantu untuk mengatasi kemelut yang semakin kalut. SPAD hanya bertukar baju daripada baju LPKP dan sekarang disarung dengan baju bertulis SPAD. Janji SPAD untuk menyediakan 'Master Plan" pengangkutan awam pada September 2011 lalu masih belum ternampak bayang-bayangnya. Kita tidak pasti bilakah sebuah 'Master Plan' dapat disediakan bagi mengatasi kemelut yang semakin rumit sekarang.
Justeru, oleh kerana masalah ini, yang tentunya bermula daripada LPKP yang mengeluarkan terlalu banyak permit, maka sekarang kedapatan terlalu banyak bas, teksi dan kereta sewa yang menyulitkan para pengusaha/pemandu untuk mencari nafkah. Apabila ini berlaku, maka mereka akan tentu menggunakan cara yang diluar undang-undang demi survival mereka. Apakah mereka harus dipersalahkan, sedangkan pihak atasan sudah mengeruhkan keadaan di hulu sungai lagi. Maka aku teringat perumpamaan, 'Keroh air di hulu, tak akan jernih air di kuala.'
Pihak Persatuan Bas telah meminta supaya kerajaan merangka sebuah dasar pengangkutan 20 tahun lalu. Persatuan juga telah menyarankan supaya pengeluaran permit dibekukan sehingga suatu dasar pengangkutan disediakan. Namun ini semua tidak dihiraukan, sebaliknya permit-permit dikeluarkan sesuka hati mengikut selera menteri. Maka terjadilah sekarang di mana perkhidmatan bas berhenti-henti mengalami kerugian besar sehinggakan ramai sudah gulung tikar.
Baru-baru ini Sykat Eng Hiap di Negeri Sembilan telah memberhentikan perkhidmatan mereka. Sebelum itu di Port Dickson sebuah syarikat bas telah tutup kedai. Di Johor, Muar Motor Bas telah gulung tikar. Baru-baru ini sebuah syarikat bas di Bukit Mertajam juga memberhentikan perkhidmatan mereka kerana tidak mampu lagi untuk menanggung kerugian. Pada 1 Feb ini 10 buah syarikat bas di negeri Melaka sudah pun memberi notis untuk memberhentikan operasi mereka sekiranya kerajaan pusat atau negeri tidak tampil memberikan bantuan.
Bukan itu saja, Konsortium Transnasional Bhd, (KTB) sebuah sykt konglomerat dimiliki oleh Datuk Nazmi Salleh juga telah memberhentikan operasi mereka di Kelantan, N.Sembilan, Selangor dan Kedah. KTB memiliki 1,200 buah bas di semenanjung, juga tidak boleh bertahan lagi. Di Kelantan, SKMK juga dibawah pentadbiran KTB, satu-satunya syarikat tunggal yang berkhidmat seluruh Negeri Kelantan, juga tidak boleh bertahan. Di Kelantan SKMK tidak ada pesaingan dengan syarikat-syarikat bas yang lain, juga mengalami kerugian!
Urusan pengangkutan awam ialah tanggungjawab kerajaan pusat. Kerajaan pusat tak ambil kisah pun apabila berlaku pemberhentian operasi bas-bas ini. Semacam membiarkan saja rakyat mencari alternatif lain untuk menyelesaikan masalahan pengangkutan mereka.
Kerajaan harus tampil dengan suatu dasar yang jelas. Apakah kerajaan sendiri mahu terlibat secara langsung dalam industri ini atau membiarkan syarikat swasta mengendalikannya seperti yang telah berlaku selama ini? Dengan reaksi kerajaan yang tidak positif menyelesaikan permasalaah ini, maka ternyata kerajaan tidak kisah sekiranya syarikat-syarikat ini gulung tikar.
Apakah dengan penglibatan kerajaan melalui GLC nya keadaan akan bertambah baik atau akan memberikan keuntungan kepada mereka? Apa yang jelas, Rapid KL mahupun Rapid Penang mengalami kerugian juga walaupun menerima bantuan daripada kerajaan melalui Kementerian Kewangan. Sebelum ini Intrakota dan Park May yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai dua konsortium di Lembah Kelang juga, lingkup.
Kerajaan perlu jelas dan nyatakan sikap supaya pengusaha-pengusaha bas tidak samar-samar dan di dalam kegelapan menebak arah tuju kerajaan. Tiada siapa yang akan melabur dalam industri ini sekiranya dasar kerajaan tidak jelas kerana pelaburan dalam industri ini adalah besar jumlahnya.
Seingat aku, hanya sekali sahaja PKR ada undang aku untuk memberikan pandangan berkaitan pengangkutan awam ini. Aku hanya nak peringatkan bahawa PR tidak seharusnya mengabaikan industri ini, kerana industri ini menjana kepada ekonomi negara dan juga menjadi kriteria sesebuah negara maju. Tanpa sistem pengangkutan awam yang sempurna, efesien dan cekap maka kriteria sebagai negara maju tidak akan tercapai seperti yang digariskan di peringkat global.
ditulis oleh Razali Endun
Timbalan Presiden
Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA).
1 comment:
Pak Razali, Bas 'berhenti-henti' (apakah ungkapan yang lebih tepat dan bagus?) @stage bus itu untuk orang-orang kecil yang melarat. Permit pula lombong-lombong untuk Sang Penguasa.
Apa dan siapakah yang perlu dipedulikan? Kecuali ada yang mahu turun ke jalan raya untuk menyatakan bahawa sesungguhnya nasib mereka tidak pernah terbela.
Selamat berjuang untuk pengangkutan awam yang lebih cenderung memikir rakyat kecil daripada laba semata-mata.
Tahniah kerana terus berbicarakan hal ini, berkali-kali, berulang kali walaupun sampai mati...
Post a Comment