Sunday, 29 July 2012

Rais Yatim merapu !

Apa dah jadi dengan manusia yang menyatakan akan membakar jambatan selepas menyeberanginya? Bukan saja jambatan tak jadi dibakar, tetapi sudah merapu macam orang 'nyanyuk' aja. Tak hairanlah usianya pun sudah sepikun 70 tahun lebih. Untuk mengekalkan kebolehan dan kelayakan menjadi wakil rakyat atau menteri pada PRU 13 ini, maka helahnya ialah bukan saja merapu, tetapi MENGAMPU!

Inilah yang terjadi apabila Rais Yatim mencipta lirik lagu hari kebangsaan tahun ini. Langusng tak puitis, apa lagi bersifat patoritik. Yang dapat dikesan ialah propaganda politik Umno/BN yang jelas dan nyata dan berunsur mengampu dan membodek. Inilah yang berlaku apabila diserahkan kepada mereka yang tidak ada kemahiran dalam bidang yang cuba diterokai. Apa yang jelas, Rais semacam mahu mengampu dan membodek PM Najib dengan konsep 'transformasi' nya. Mungkin dengan berbuat demikian Rais mengharapkan Najib akan terus mencalonkannya dalam PRU 13 ini dan terus kekal memegang jawatan menteri. Itu yang aku dapat baca maksud tersirat Rais dalam lirik lagu menyambut hari kemerdekaan itu.

Aku kira lirik lagu ini hampas. Tak payahlah diperdengarkan pada hari kebangsaan nanti. Logo dan temanya juga sarat dengan propoganda politik BN. Hari kemerdekaan bukan hak BN saja, tetapi menjadi hak milik semua rakyat. Slogan atau temanya biarlah yang berkaitan dengan negara, penyatuan kaum, rasa cinta kepada negara dan yang seumpamanya. Inilah yang terjadi dalam banyak hal apabila BN/Umno tak dapat bezakan antara parti dengan kerajaan. Benar yang memerintah parti BN tetapi kerajaannya bukan saja tertumpu kepada penyokong BN tetapi kepada rakyat keseluruhannya termasuk parti pemangkang!

Janganlah memperbodohkan rakyat terus terusan. Rakyat sudah boleh berfikir dan boleh mempertimbangkan antara propaganda politik dengan fakta. Rais tak payahlah nak merapu dan membodek. Dia tidak akan terpilih sebagai calon lagi pada PRU 13 ini kerana faktor umur dan sudah terlalu lama dalam kerajaan. Berilah peluang kepada genarasi muda. Ramai yang menunggu. Khairi Jamaluddin sudah menunggu begitu lama, masih terhalang di bawah lagi. Begitu juga YB Saifuddin Abdullah, hanya setakat Timbalan Menteri aja. Orang seperti ini yang mempunyai minda yang terbuka dan terdepan harus menjadi menteri dan pemimpin negara. Itu pun kalau BN/Umno menang pada PRU 13 ini. Petanda menunjukkan BN akan kecundang pada PRU 13 ini amat jelas sekali. Kalau BN masih kekal berkuasa selepas PRU 13, rakyat harus menghadapi malapetaka besar dalam dunia politik yang belum pernah dialami oleh negara kita sebelum ini. Wallahualam!

Tuesday, 17 July 2012

Masuk Hospital Lagi !

Hari ini, 17 Julai 2012 aku akan ke hospital Selayang untuk memenuhi janjitemu dengan para doktor di sana. Jumaat lepas selama satu hari penuh (terlepas solat Jumaat) aku juga ke hospital sama kerana membuat pemeriksaan panyakit lama aku di dalam perut. Aku sudah 4 kali dibedah perut kerana kata doktor ada 'cyst' dalam perut. Pemedahan terakhir kalau tak silap aku pada tahun 2006. Selepas itu terkesan semula bengkak di perut, dan doktor mahu bedah lagi.
Aku enggan melakukan pembedahan lagi kerana kesal 'cyst' yang dikatakan telah dikeluarkan masih berakar umbi dalam perutku. Lagipun aku semakin tua dan mengalami sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Kata doktor buah pinggang aku pun kurang baik. Risikonya amat tinggi.
Sabtu lepas selepas program di Taman Melewar dan esoknya aku pulang ke Melaka kerana ada program IPM di Melaka, selepas itu aku jatuh sakit. Gula dalam darah naik mendadak tak mau turun. Demam berulang-ulang. Perut aku terasa semakin membesar dan sakit. Selama 7 hari menderita, pada Jumaat lepas aku pergi buat check-up di hospital Selayang. Ini kes lama aku di hospital itu. Aku tidak pergi lagi membuat check up di hospital itu sejak 2007 apabila mereka mahu bedah perut aku lagi. Pelliknya pada hari itu aku berasa sihat dan perut pun tak sakit lagi, paras gula sudah turun sehinggalah hari ini yang mana aku diminta berjumpa dengan para doktor di sana untuk membuat pemeriksaan.
Aku pasti mereka akan masukkan aku ke dalam wad dan akan membuat pembedahan. Ini kerana hasil x-ray dan scan memang jelas ada nampat ketumbuhan dalam perutku.
Inilah delimaku hari ini. Sama ada aku bersetuju dimasukkan ke dalam wad dan dibedah menjadi persimpangan dalam mindaku. Walaupun aku ada membuat solat istikarah, petunjuknya macam 50-50. Apakah aku perlu mengambil risiko ini?
Ditakdirkan aku ditahan di wad dan dibedah, aku pohon para sahabat dan kawan-kawan mendoakan keselamatanku semoga pembedahan berjalan dengan lancar dan sempurna. Moga Allah mudahkan segala kerja-kerja para doktor dengan selamat.
Sekiranya tak berjaya, dan aku dipanggil oleh Allah SWT, aku mohon kemaafan dan keampunan daripada para sahabat dan kawan-kawan sekiranya ada kesilapan atau kesalahan yang pernah aku lakukan. Termakan terminum harap dihalalkan. Yang paling penting semoga Allah ampunkan segala dosa-dosakua yang lalu.
Apapun aku mesti berfikiran positif. Kita hanya berusaha, Allah menentukan segala! Wallahualam! 

Monday, 2 July 2012

Bahasa Kebangsaan - Isunya Bukan Paksaan, Tetapi Perlembagaan

Ucaptama Ketua Satu Gapena Prof Datuk Dr. Abd Latif Bakar pada Seminar Bahasa. Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan pada 28 Jun lalu telah menarik perhatian sahabat saya Kassim Muhamad dalam blognya yang memetik laporan Malaysiakini bahawa apa yang diucapkan oleh Ketua satu Gapena itu berunsur paksaan. Dalam nada yang sama beliau juga tidak bersetuju 'paksaan' digunakan dalam melaksanakan Bahasa Kebangsaan.

Dalam isu bahasa kebangsaan tidak ada unsur paksaan dilaksanakan. Yang ada ialah isu Perlembagaan yang sedia termaktub di dalamnya bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara dan hendaklah digunakan dalam acara rasmi kerajaan. Begitu juga dalam Akta Pendidikan 1996, Dasar Pelajaran Rahman Talib, Dasar Pelajaran Razak  dengan jelas menyatakan 'Suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama dalam semua sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan.'

Malangnya Akta Pendidikan dan Perlembagaan Negara jelas dilanggar oleh kerajaan Umno/BN. Sepuluh tahun selepas kemerdekaan negara, yakni selepas peristiwa perarakan keranda 152 oleh para sasterawan, kedapatan bahawa dasar ini mula dilaksanakan dengan baik. Pada zaman Tun Abd. Razak menjadi PM, beliau telah melaksanakannya dengan sempurna sehinggakan bahasa Melayu dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Semua acara rasmi kerajaan dan surat menyurat dalam bahasa kebangsaan. Malah sistem pelajaran menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dari peringkat sekolah rendah ke institusi pengajian tinggi telah dilaksana dan diterima dengan baik oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini. 

Pada era Dr. Mahatahir Mohamad, menara yang dibina oleh Tun Razak telah diruntuhkan oleh beliau. Mahathair lah pemimpin Umno yang memusnahkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan melanggar Perlembagaan Negara yang jelas memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan pengantar di sekolah-sekolah. Pada zaman beliau bahasa Melayu jadi haru biru, tidak dihormati lagi oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini. Maka dengan itu jelas sekali kegagalan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah adalah dilakukan oleh kepimpinnan Umno sendiri, bukan pimpinan DAP, MCA Gerakan, Pas atau PKR.

Ketika Pak Lah mengambil tampuk kepimpinnan negara ramai mengharapkan dasar menggunakan bahasa Inggeris dalam subjek matematik dan sains yang diperkenalkan Mahathir akan dimansuhkan. Pada zaman 1 Malaysia oleh Najib, dasar ini masih berleluasa tanpa apa-apa tindakan pun. Malah lebih teruk lagi konsep 1 Malaysia Najib sudah disalah ertikan beberapa pihak yang mengambil kesempatan mahu menggunakan pelbagai bahasa. Ada yang menuntut di kembalikan semula dasar PPSMI dan ada yang lebih berani mahu bahasa etnik mereka dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Begitulah kepimpinan Umno/BN yang tidak berani bertegas dalam persoalan ini. Ketegasan bukan paksaan, ia adalah satu kaedah supaya  sistem atau dasar dilaksanakan dengan cepat dan berkesan. 

Satu ketika dulu Mesyuarat Agung MIC dan MCA serta Gerakan diadakan dalam bahasa kebangsaan. Sekarang ini perkara itu tidak berlaku lagi, kerana apa? Kerana mereka sudah tidak hormat lagi peranan bahasa kebangsaan. Lebih teruk lagi kepimpinan Umno sendiri tidak kisah dan ambil tidak peduli peranan bahasa kebangsaan. Mereka tidak menunjukkan contoh yang baik. Malah ramai di antara mereka menggunakan bahasa Inggeris walaupun khalayak seorang dua orang asing. Begitulah yang berlaku kalau tidak ada jati diri.

Apa yang membimbangkan sekarang ini PR juga kelihatan tidak serius untuk melaksanakan dasar bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara. Walaupun Anwar Ibrahim dan Hadi Awang pernah menyatakan bahawa Perlembagaan Negara akan terus dijunjung dan Raja-Raja Melayu kekal sebagai Raja Perlembagaan, namun kenyataan itu tidak begitu kukuh dan meyakinkan. Soal memberi pengakuan adalah amat mudah, manakala untuk  melaksanakannya suatu perkara lain yang dianggap tidak mudah.

Apa lagi dalam program-program PKR, PAS dan DAP masih tergila-gila menggunakan pelbagai bahasa dalam sepanduk dan banner mereka. Takkan dah 55 tahun negara merdeka orang bukan Melayu masih tidak boleh membaca dan berbicara dalam bahasa Melayu? Anehkan? Tindakan ini memperlihatkan bahawa PR juga mementingkan undi daripada prinsip negara. Ini sangat merugikan Negara.

Di Indonesia, Thailand, Jepun dan Korea mereka memartabatkan bahasa mereka dalam segala aspek pentadbiran. Bahasa memainkan peranan penting dalam penyatuan negara. Sebab itu di Indonesia di gunakan bahasa Melayu yang digelar bahasa Indonesia sebagai alat penyatuan. Di Timur Timor dan Irian Barat pun bahasa Indonesia diajar di sekolah-sekolah. Ketika Jepun datang menyerang Asia Tenggara, bahasa Jepun dipaksa kepada penduduk taklukannya. Kenapa? kerana bahasa amat penting dalam sistem komunikasi sesebuah negara. Ianya harus dilaksanakan walaupun dengan cara paksaan sekalipun.

Akan tetapi di negara ini tidak ada paksaan digunakan, hanya diminta menghormati Perlembagaan. Itu saja. Maka kenyataan Ketua Satu Gapena ada kewajaran dan relevansinya. Ini bukan kerana aku nak mengampu dia, tetapi yang benar harus ditegakkan, bukan menegakkan yang batil kerana mahu mengambil hati sesetengah kekawan kita. Wallahualam!