Hari ini, 17 Julai 2012 aku akan ke hospital Selayang untuk memenuhi janjitemu dengan para doktor di sana. Jumaat lepas selama satu hari penuh (terlepas solat Jumaat) aku juga ke hospital sama kerana membuat pemeriksaan panyakit lama aku di dalam perut. Aku sudah 4 kali dibedah perut kerana kata doktor ada 'cyst' dalam perut. Pemedahan terakhir kalau tak silap aku pada tahun 2006. Selepas itu terkesan semula bengkak di perut, dan doktor mahu bedah lagi.
Aku enggan melakukan pembedahan lagi kerana kesal 'cyst' yang dikatakan telah dikeluarkan masih berakar umbi dalam perutku. Lagipun aku semakin tua dan mengalami sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Kata doktor buah pinggang aku pun kurang baik. Risikonya amat tinggi.
Sabtu lepas selepas program di Taman Melewar dan esoknya aku pulang ke Melaka kerana ada program IPM di Melaka, selepas itu aku jatuh sakit. Gula dalam darah naik mendadak tak mau turun. Demam berulang-ulang. Perut aku terasa semakin membesar dan sakit. Selama 7 hari menderita, pada Jumaat lepas aku pergi buat check-up di hospital Selayang. Ini kes lama aku di hospital itu. Aku tidak pergi lagi membuat check up di hospital itu sejak 2007 apabila mereka mahu bedah perut aku lagi. Pelliknya pada hari itu aku berasa sihat dan perut pun tak sakit lagi, paras gula sudah turun sehinggalah hari ini yang mana aku diminta berjumpa dengan para doktor di sana untuk membuat pemeriksaan.
Aku pasti mereka akan masukkan aku ke dalam wad dan akan membuat pembedahan. Ini kerana hasil x-ray dan scan memang jelas ada nampat ketumbuhan dalam perutku.
Inilah delimaku hari ini. Sama ada aku bersetuju dimasukkan ke dalam wad dan dibedah menjadi persimpangan dalam mindaku. Walaupun aku ada membuat solat istikarah, petunjuknya macam 50-50. Apakah aku perlu mengambil risiko ini?
Ditakdirkan aku ditahan di wad dan dibedah, aku pohon para sahabat dan kawan-kawan mendoakan keselamatanku semoga pembedahan berjalan dengan lancar dan sempurna. Moga Allah mudahkan segala kerja-kerja para doktor dengan selamat.
Sekiranya tak berjaya, dan aku dipanggil oleh Allah SWT, aku mohon kemaafan dan keampunan daripada para sahabat dan kawan-kawan sekiranya ada kesilapan atau kesalahan yang pernah aku lakukan. Termakan terminum harap dihalalkan. Yang paling penting semoga Allah ampunkan segala dosa-dosakua yang lalu.
Apapun aku mesti berfikiran positif. Kita hanya berusaha, Allah menentukan segala! Wallahualam!
No comments:
Post a Comment