Himpunan "Janji Demokrasi" (Saya pun keliru ada menyambut "Janji Bersih" yang mana satu betul, tak pasti.) Apapun namanya namun pada malam menjelang menyambut ulang tahun kemerdekaan pada 30 Ogos, malam 31 Ogos berdekatan Dataran Merdeka membuktikan bahawa kuasa Sasterawan/Budayawan sudah mula muncul dan memberi impak dalam masyarakat sivil dan dunia politik tanah air.
Jumlah yang hadir pada malam itu, Malaysiakini anggar 10,000 orang, polis anggar 6,000 orang dan Tukar Tiub anggar 30,000 orang. Kita ambil angka pertengahan iaitu 10,000, sebagai ukuran yang agak munasabah, ianya bukan suatu jumlah yang kecil untuk menghimpunkan seramai itu yang hanya diseru dan dikepalai oleh seorang Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said. Kalau dibandingkan dengan himpunan di Bukit Jalil pada 31 Ogos diketuai oleh PM Najib Razak, maka jumlah di Dataran Merdeka tidaklah memalu dan mengaibkan pihak penganjurnya.
Harus diingat kehadiran himpuan "Janji Demokrasi" tidak dipaksa, tidak dibayar dan tidak diberikan apa-apa habuan seperti hadiah kereta, tiket penerbangan dan yang sepertinya. Mereka datang dengan sukarela, mengikut cara sendiri dan penuh keikhlasan.
Berbeza dengan di Bukit Jalil, dipenuhi oleh pelajar sekolah, pegawai dan kakitangan kerajaan yang dipaksa hadir untuk meramaikan. Di samping itu para mahasiswa yang hadir diberikan ganjaran kewangan. Tambang LRT percuma. Ada hiburan oleh artis tanah air. Jadi kehadiran mereka bukan ikhlas dan jujur atau secara sukarela, tetapi dipaksa dan kerana ganjaran yang ditawarkan. Himpunan sebegini yang dianjurkan oleh Umno/BN sudah lumrah dan diketahui ramai. Ianya tidak menggambarkan jumlah kehadiran secara jujur dengan sebenar.
Syabas Pak Samad! Kejayaan Pak Samad menghimpunkan sejumlah besar itu bukan kerana wang atau habunan tetapi kerana kesedaran. Kesedaran yang mahu ditonjolkan oleh beliau ialah bahawa budayawan/sasterawan juga berupaya mengerakkan massa dalam keadaan yang memerlukan. Lalu saya teringat akan konsep, "Cultural Will" dan "Political Will" yang diutarakan oleh Dinsman. Nyata sekali bahawa clutural will atau tekad budaya boleh digerakkan tanpa mengharapkan "political will".
Konsep dan perjuangan ini harus diteruskan dan harus ada pelapisnya untuk menggantikan Pak Samad yang sudah berusia itu. Bagi mengerakkan konsep ini seseorang itu harus ada kerberanian dan iltizam yang kuat berpegang kepada prinsip. Pak Samad punyai kriteria ini.
Agak mendukacitakan pula, melalui berita media pihak polis akan menyiasat sama ada tindakan Pak Samad membaca sajak di hadapan khalayak ramai itu satu kesalahan dari segi undang-undang. Wah! ini lagi karut. Baca sajakpun salah ke? Kalau ditakdirkan Pak Samad ditahan dan didakwa, saya nak tahu apakah tindakan para penulis/sasterawan/budayawan nanti? Apakah tindakan Gapena, Pena, Paksi, Seniman, Persatuan-Persatuan Penulis terhadap tindakan itu? Apakah mereka akan terus membisu dan berkata mereka 'tidak berpihak?"
Kalau itu berlaku, amat malang sekali nasib budayawan/sasterawan di negara ini? Gelap dan pudarlah dunia kesenimanan dan kesusateraan kita. Haruskah kita berdiam diri? Saya anjurkan para penyair/sasterawan mengajurkan bacaan sajak secara besar-besaran di hadapan orang ramai, sekiranya Pak Samad ditahan dan didakwa oleh polis hanya kerana membaca sajak di khalayak ramai.
Ayuh! jangan jadi pengecut wahai sasterawan/budayawan. Jangan kita diperbudakkan dan ditakut-takutkan dengan ancaman yang tidak masuk akal ini. Jangan jadi takut hanya kerana mahu disiasat dan didakwa. Kita semua harus berdiri menyokong Pak Samad! Ayah nyatakan sokongan anda dengan menciptan sebanyak sajak yang mungkin yang bertemakan Pak Samad dan perjuangannya!
Ayuh! Teruskan perjuangan!
No comments:
Post a Comment