Sunday 5 December 2010

Harga bahan api naik lagi

Oooh! terkejut sakan aku apabila mendapat tahu harga bahan api dinaikkan oleh kerajaan berkuatkuasa pada hari Sabtu 4 Disember 2010. Petrol Ron 95 naik 5 sen seliter. Ron 97, 15 sen seliter. Gas LPG pun naik 5 sen dan Gula 20 sen sekilogram. Wah! bagi rakyat marhean banyak tu!

Seperti biasa menteri yang berkenaan beri alasan bahawa kenaikan ini sangat kecil. Malahan harga bahan api di negara ini masih rendah dibandingkan dengan negara-negara tetangga kita. Demikianlah jawapan dan alasan klise yang lumrah diberikan. Rakyat sudah muak mendengar alasan yang tak masuk akal ini. Tak pernah pula menteri berkenaan menyatakan kepada rakyat bahawa negara ini salah sebuah negara pengeluar minyak terbesar di dunia. Sepatutnya mereka menikmati harga minyak dan bahan api yang lain dengan harga murah. Di Brunei dan negara-negara pengeluar minyak yang lain harga bahan api mereka juga rendah.

Harga bahan api ini baru saja dinaikkan kira-kira 3-4 bulan lepas. Tahun ini saja sudah dua kenaikan. Oh! Malaysia maju! Jangan terperanjat, harga ini akan terus dinaikkan pada tahun hadapan dan tahun-tahun berikutnya sehingga kesemua subsidi kerajaan yang diberikan kepada rakyat ditarik balik. Kerajaan sudah tidak mahu beri subsidi lagi kepada rakyat!

Ha! fikir-fiikirkanlah wahai rakyat Malaysia yang bijaksana. Negara kita ialah negara pengeluar minyak. Beribu-ribu tong dikeluarkan dari perut bumi di dalam lautan kita. Wang hasil minyak pun tak mahu diberikan sedikit pun lagi kepada rakyat. Siapa yang mengaut duit-duit itu? Petronas hanya mengendalikan urusan pengeluaran dan jualan. Cukainya siapa pungut? Tentu kerajaan yang pungut. Berapa hasilnya, ramai rakyat yang tak tahu? Tapi yang rakyat tahu isteri PM diberi peruntukan yang luar biasa sekali, walaupun beliau bukan menteri kabinet. Peruntukan JPM juga terlalu tinggi, tak tahu apa yang mereka gunakan dengan jumlah besar itu? Yang peliknya Parlimen pun tidak ada kuasa untuk menyoal dan mempertikaikan penyata kewangan hasil minyak ini. Tidak dibentangkan pun dalam parlimen. Yang berhak tentang duit minyak hanya seorang sahaja, iaitu PM. Sebab itu PM ada kuasa untuk beri peruntukan kepada sesiapa sahaja yang dia suka termasuk memberi wang ihsan, menarik balik royaliti. Fikir-fikirkanlah wahai rakyat Malaysia yang bijaksana!

Tapi, ada elok juga kerajaan terus naikkan harga bahan api ini menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti. Bila harga minyak naik, tentu barang keperluan harian juga turut naik. Sedangkan pendapatan mereka di takuk lama. Rakyat akan marah! Mereka akan protes! Oleh kerana rakyat Malaysia tidak bersikap agresif dan militant, tak berani keluar tujuk perasaan di jalanan seperti sesetengah rakyat negara lain, maka mereka akan buat protes dalam peti undi macam PRU 12 dulu, apabila BN kalah teruk kerana Pak Lah naikkan harga bahan api secara mendadak dan terlalu tinggi. Siapa tahu kali ini bukan sahaja BN tak dapat dua pertiga, tetapi mungkin tersungkur terus.

Kalau ini berlaku kita lihat pula apa yang akan dan boleh dilakukan oleh kerajaan PR. Kalau PR pun macam BN, utamakan kroni dan tidak memberi perhatian kepada kesusahan rakyat, pilihan raya seterusnya kita jatuhkan mereka pula. Rakyat harus mencuba, jangan takut untuk mencuba biarpun gagal dalam usaha! PRU 13 ini kita cuba melakukan tranformasi seperti yang galak disuarakan oleh PM. Kita cuba dulu! Jangan takut! Jangan bimbang! Kuasa pilih kerajaan berada di tangan rakyat. Gunakannya dengan bijak! Wallahualam!

No comments: