Saturday 4 December 2010

Pelancaran Buku 'RANUM'


Insyallah! kalau tidak ada aral melintang, Isnin ini 6 Disember 2010 akan dilancarkan buku Kumpulan Cerpen terbaru saya yang diberi nama "Ranum." Majlis akan diadakan di Balai Raya, Kg. Bertam Malim, Melaka akan disempurnakan oleh YB. Datuk Ir. Idris Haron, Ahli Parlimen Tangga Batu. Pelancaran buku tersebut adalah mengambil sempena sambutan ulang tahun ke 60 Ikatan Persuratan Melayu (IPM) dan 40 tahun penubuhan Gapena. Pada majlis itu juga Ketua Satu IPM, Hj Moktar Yasin akan mengisytiarkan bermulanya Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak untuk warga Melaka dan pemastautinnya.


Sayembara ini anjuran bersama IPM dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan. Tempoh sayembara bermula pada 15 Dis 2010 dan berakhir 15 Mac 2011. Borang penyertaan boleh didapati daripada Setiausaha Satu IPM Hj Husin Embi melalui tel. 017- 6709911, 06-3358577. IPM merakamkan ucapan terima kasih kepa YB Datuk Tahir Hassan, ADUN Paya Rumput yang telah memberi sokongan dan kerjasama bagi menjayakan majlis ini.


Majlis akan bermula jam 9.15 pagi dengan bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa selamat, di masjid Kampung Bertam Malim. Acara sebenar bermula jam 10 pagi dengan ketibaan YB Datuk Idris Haron, bacaan doa, deklamasi sajak, pengisytiaran sayembara, perasmian sambutan Jubli Intan IPM diikuti dengan pelancaran buku "Ranum." Majlis dijangka usai jam 1 tengah hari diikuti dengan jamuan makan tengah hari.


Semua warga kampung Bertam Malim dan yang berdekatan serta rakyat Melaka adalah dipersilakan hadir pada majis ini. Inilah julung-julung kali ancara seperti ini diadakan di kampung Bertam Malim. Sementelah pula penulis 'Ranum,' sdra. Hj. Razali Endun merupakan anak kelahiran kampung ini. Dan ini memang azam dan cita-citanya untuk melancarkan buku tulisannya di kampung tumpah darahnya. Warga kampung Bertam Malim seharusnya berbangga dengan majlis yang penuh bersejarah berlangsung di kampung ini.


Selamat datang kalian dan diharapkan semoga majlis ini akan berjalan dengan lancar dan sempurna tanpa apa-apa rintangan atau gangguan, Insyallah!

No comments: