Monday 6 December 2010

Pelancaran Jubli Intan IPM dan Buku 'Ranaum' selamat dilancarkan

Masyarakat kampung berpusu-pusu membeli buku-buku tulisan Razali Endun pada majlis pelancaran buku 'Ranum' di Kg. Bertam Malim, 6 Disember 2010.

Majlis pelancaran buku 'Ranum' usai disempurnakan dengan rasmi pada 6 Dis. 2010. Memegang buku 'Ranum' dari kiri penulis buku, Razali Endun, YB Datuk Ir. Idris Haron, Ketua Satu IPM, Hj. Mokhtar Yasin dan YB Datuk Tahir Hassan.

Majlis baca Surah Yassin dalam masjid Kg. Bertam Malim, dipimpin oleh imam (tengah) dihadiri sama oleh YB Datuk Ir. Idris Haron (kanan), Datuk Tahir Hassan (dua dari kanan) dan Ketua Satu IPM, Hj. Mokhtar Yasin (dua dari kiri).


Alahamdulillah! Pagi tadi majlis sambutan Jubli Intan 60 tahun Ikatan Persuratan Melayu (IPM) serta 40 tahun Gapena dan buku Kumpulan cerpen 'Ranum' karya Razali Endun selamat disempurnakan di Kampung Bertam Malim. Majlis pelancaran dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu, YB Datuk Ir. Idris Haron dan Datuk Tahir Hassan, ADUN Paya Rumput, di Dewan Orang Ramai Kg. Bertam Malim, Melaka.

Majlis bermula dengan bacaan Yassin, tahil dan doa selamat dipimpin oleh imam masjid Bertam Malim. Turut serta dalam majlis baca Yassin itu ialah YB Datuk Ir. Idris Haron, Ahli Parlimen Tangga Batu dan Datuk Tahir Hassan, ADUN Paya Rumput.

Kira-kira 150 orang termasuk warga kampung sekitar, Pengerusi JKKK, Datuk-Datuk sidang, Guru-guru sekolah hadir pada majlis itu. Pada majlis itu juga Ketua Satu IPM, Hj. Mokhtar Yasin telah mengumumkan bermulanya Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak sempena menyambut Jubli Intan IPM. Sayembara dengan rasminya bermula pada 15 Disember 2010 dan berakhir 15 Mac 2011. Keputusan sayembara akan diumumkan pada majlis penyampaian hadiah, dijadual akan diadakan pada akhir April atau bulan Mei 2011. Pada majlis itu juga akan diadakan 'bicara karya' yang akan membicarakan karya-karya tulisan ahli-ahli IPM.

Pada majlis pelancaran pagi ini, sdra Razali Endun telah mempamerkan buku-buku tulisannya dan menjualnya dengan harga yang istimewa. Tujuannya ialah bagi mengalak dan menarik minat warga kampung supaya rajin membaca. Alahamdulillah, sambutan sangat mengalakkan, membuktikan bahawa warga desa juga minat membaca untuk menambah ilmu pengetahuan. Datuk Tahir juga telah mengumumkan beliau akan membeli kesemua buku-buku tulisan sdra Razali Endun untuk didermakan kepada perpustakaan 10 buah sekolah dalam DUN beliau.

Datuk Idris Haron juga tidak ketinggalan untuk menghulurkan derma kepada IPM. Beliau telah mengumumkan akan menderma RM 1,500 kepada IPM untuk IPM meneruskan aktiviti sasteranya. Bagi pihak AJK IPM, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada beliau yang sudi membantu IPM bagi mengerakkan kegiatan sasteranya.

Dalam ucapan Datuk Idris, beliau bersetuju dengan cadangan Datuk Tahir bahawa kegiatan seni budaya dan sastera seperti yang berlangsung pada hari ini dilaksanakan bergilir-gilir mengikut kawasan parlimen. Dengan yang demikian masyarakat kampung sebanyak sedikit akan didedahkan dengan hal-hal sastera dan budaya. Katanya, "Kita mulakan sekarang. Diharap ahli-ahli parlimen di kawasan lain menyambut seruan ini. Kalau ada 16 kawasan parlimen, giliran kita akan datang setelah selesai 16 kawasan itu menyambutnya."

Apa yang diharapkan cadangan itu akan disambut oleh Ahli Parlimen lain. IPM merakamkan penghargaan di atas sokongan dan keperhatinan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri itu. IPM juga berterima kasih kepada Datuk Tahir yang sudi membiayai kos majlis tersebut termasuk makan minum, logistik dan sebagainya.






No comments: