Monday 29 November 2010

Kongres PKR Selesai

Syukur, aku difahamkan Kongres PKR sudah pun usai dan berjalan dengan lancar, licin, harmoni dan penuh dengan semangat perpaduan. Itu Musaffta Kamil Ayob juga telah menunjukkan semangat kekeluargaan dan perpaduan dengan menerima kekalahannya dengan rela dan telah mengisytiar di hadapan para perwakilan akan tetap bersama dengan PKR.

Syabas aku ucapkan kepada DS Dr. Wan Azizah yang berani menyuarakan sikapnya tentang 'ketuanan Melayu.' Aku fikir tentu dia dan penasihat politiknya sudah meneliti dengan mendalam implikasi daripada saranannya itu. Alasan yang diberi amat logik bahawa hanya segelintir pemimpin elit dalam Umno yang mahu mempertahankan ketuanan Melayu demi untuk kepentingan mereka.

Sebenarnya ketuanan Melayu sudah terhakis lama dulu dihakis oleh pemimpin Umno sendiri. Mereka hanya mengula-gulakan orang Melayu yang masih tidak terbuka minda mereka memomokkan bahawa ketuanan Melayu mesti dipertahankan, sedangkan hakikatnya merekalah yang telah menghapuskan ketuanan itu. Oleh kerana kegagalan mereka mempertahankan ketuanan Melayu, mereka pula beramai-ramai menyokong Perkasa, menggunakan badan itu untuk menyuarakan hak dan ketuanan Melayu. Sepanjang mereka memerintah selama 53 tahun apa mereka buat dengan orang Melayu? Tanah simpanan Melayu mereka rampas dan orang Melayu kehilangan harta yang paling berharga! Orang Melayu masih terkial-kial dalam bidang ekonomi, sasaran 30% equiti yang mereka sasarkan sendiripun tidak kesampaian. Bahasa Melayu terus terpinggir walaupun sudah lebih setengah abad merdeka.

Apa jadi dengan tanah orang Melayu di Pulau Pinang? Kenapa setelah kuasa politik sudah terlepas di tangan baru terjerit-jerit mahu membela orang Melayu? Ketika kuasa politik ada di tangan, apa kamu lakukan? Tanah orang Melayu di pulau itu diambil dan 'dirampas' dengan bayaran yang tidak berpatutan. Apa mereka boleh beli dengan wang pampasan itu? Nak beli rumah flat murah pun belum tentu cukup! Tanah yang diambil tidak diberi dengan rumah/tanah juga, maka terkonteng-kontenglah mereka tanpa tanah dan kediaman yang selesa. Hiduplah mereka menumpang di negeri sendiri.

Kenapa masih berteriak-teriak mahu mempertahankan ketuanan Melayu? Sepatutnya Melayu sudahpun menjadi tuan sekarang dan tak payah lagi menjerit-jerit dengan slogan basi itu.

Sebenarnya ini hanya lakonan sandiwara mereka aja. Apapun PR harus berwaspada bahawa BN/UMNO mempunyai rangkaian media yang amat kuat dan mantap dan boleh sahaja mensensasikan isu ini sehingga orang Melayu yang kurang pandai akan terpedaya.

Aku angkat topi kerana Wan Azizah berani berterus terang mengatakan bahawa suaminya, Anwar Ibrahim adalah anugerah Tuhan kepadanya. TG Nik Aziz juga bersetuju dengan Wan Azizah. Umum harus melihat Anwar dari persperktif semangat juang dan ketahanan dirinya, bukan dilihat dari sudut 'batang tubuhnya'. Kekentalan semangatnya menghadapai dan mengharungi segala pancaroba bikinan musuh-musuh politiknya sunggah menggangumkan. Aku telah sentuh perkara yang sama dalam blog ini bertajuk 'DSAI dan tuduhan liwat 2' baru-baru ini. Aku bukan memuja DSAI secara peribadi tetapi menghormati semangat kental perjuangannya menghadapi ujian dan cabaran yang getir ini.

Satu perkara yang menarik ialah kempimpinan tertinggi PKR kali ini terdiri daripada golongan muda yang kurang 40 tahun usia mereka. Sekitar 80% terdiri daripada golongan muda. Ini satu perkembangan yang sihat dan PKR sudah menyediakan kepimpinan pelapisnya. Kita harapkan mereka akan membawa PKR ke arah yang lebih positif lagi. Jangan amalkan amalan yang diamalkan oleh Umno/BN. Hendaknya, selepas ini PKR akan mengorak langkah dan bersama-sama parti gabungannya mengatur strategi untuk menghadapai PRU 13.

Aku angkat topi kepada Dr. Syed Husin Ali yang berundur secara sukarela kerana mahu memberi peluang kepada golongan muda. Syed Husin juga patut dijadikan contoh, kerana sepanjang perjuangannya dalam politik dia tidak pernah mahu mendahulukan kepentingannya, sebaliknya akur dengan kehendak parti. Syed Husin sudah lama berkecimpung dalam politik, tetapi dia selalunya kerap tenggalam daripada timbul di atas permukaan. Selalu sahaja kalah dalam pilihan raya, tetapi itu tidak melemahkan semangat juangnya dalam politik. Dia tetap beristiqamah dalam perjuangannya, bukan untuk dirinya tetapi kerana idealisme yang dipegangnya.

Syabas Dr. Syed Husin Ali. Kita harap dia dapat menulis memoirnya untuk tatapan kita bersama. Setelah bersara daripada politik, kita harapkan beliau berkecimpung semula dalam arena penulisan terutama dalam bidang sastera yang sudah lama beliau tinggalkan. Dirgahayu! Dr. Syed Husin.

No comments: