Wednesday 3 November 2010

Siapa menang di Galas dan Batu Sapi?

Aku sebenarnya minat politik, tapi tak mahu terlibat secara langsung dalam politik. Aku tahu politik sebenarnya adalah bersih tetapi telah dikotori oleh orang-orang politik yang kotor. Bukan semua pula kotor, tetapi bak kata pepatah Melayu, 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga.' Namun kata kawan saya Kasim Muhamad, tugas kitalah membersihkan orang-orang politik ini. Kalau politik itu kita anggap bersih, maka tak payahlah dibersihkan politik itu. Ini bukan kerja mudah! Orang politik menganggap mereka adalah Superman, mengatasi segala, waimah ahli akademik, budayawan dan sasterawan. Mana orang politik mahu dengar cakap depa semua?

Apa sebab? kerana orang politik jarang sekali bercakap benar. Ramai di antara mereka bersifat munafik dan pembohong. Aku namakan mereka ini bomoh-bomoh politik. Bukan bomoh mengubatkan orang, tetapi bomoh merosakkan orang. Tengok aja apa yang berlaku di Galas dan Batu Sapi! Ini contoh muktahir. Sebelum ini setiap Pilihan Raya Kecil (PRK) sudah pasti bomoh-bomoh politik ini turun padang dan berjanjikan macam-macam, hinggakan batu dan pasir pun mereka boleh tukar menjadi emas.

Tak percaya baca cerpen aku dalam Buku Kumpulan Cerpen terbaru bertajuk, "Ranum." Cerpen yang berkaitan Bomoh Politik ini ada disiarkan dalam buku ini di bawah tajuk "Cerita Bermusim," Cerpen ini telah disiarkan oleh Harakah pada 16-31 Jun 2007. Cerpen ini ditulis ketika PRK di Batu Talam, Pahang. Sebelum itu di Pasir Mas, Kelantan. Temanya, bomoh-bomoh politik ini berjaya mempengaruhi sesetengah pengundi (Melayu) dengan janji-janji mereka untuk menukarkan batu menjadi emas. Puas ditunggu-tunggu, batu tetap batu, tidak pernah menjadi emas. Initipatinya, janji-janji bomoh-bomoh politik ini membikin rakyat menjadi malas berusaha dan menunggu harap daripada mereka.

Sekarang di Galas dan Batu Sapi keadaan yang sama berlaku. Macam-macam janji, nak buat rumah PPRT, dan beri geran tanah, malah kalau nak istana pun bomoh-bomoh politik ini sanggup berjanji membinanya. Tapi awas! mereka hanya berjanji, janji untuk membeli undi.

Apapun, macam-macam ulasan, kajian dan selidikan dilakukan oleh badan-badan bebas terhadap kemungkinan siapa yang akan menduduki kerusi Dun Galas. Mutakhir Ilham Centre mengatakan BN mendahului Pas. Itu kajian mereka, mungkin betul, mungkin tidak!

Satu hal yang orang ramai patut tahu bahawa amat rumit untuk meramalkan pendirian pengundi Kelantan pada setiap kali pilihan raya. Mereka akan beramai-ramai menghadiri ceramah, tak kiralah siapa yang menganjurkannya. Tapi ketika mengundi, mereka ada pilihan sendiri. Pilihan utama mereka ialah parti dan calon yang ada dan pegang kuat pada agama. Akhlak calon yang baik serta tidak meninggi diri. Anda boleh meramal sendiri kedua-dua wajah calon ini untuk membuat keputusan itu. Ini juga teori yang saya gunakan ketika PRK di Kuala Trengganu dulu di antara calon Pas dengan Umno. Ternyata tanggapan saya menepati sasaran.

Aku tak pergi pun melihat atau meninjau suasana kempen di Galas. Namun instict atau naluri aku kuat menyebelahi kemenangan calon Pas. Mungkin majoriti lebih sedikit daripada PRU 12 yang lalu. Di Batu Sapi, naluri aku berat memberi kemenangan kepada calon BN. Ini kerana di Sabah rakyat di sana masih lagi terbelenggu dengan pengaruh BN walaupun sudah ada petanda mereka mahu kepada PR. Tak apalah, tanggapan ini tidak mestinya betul, tetapi aku yakin, itulah keputusannya nanti.

Ini SPR pun satu, apabila Pas nak beri elaun pengangkutan kepada pengundi untuk pulang mengundi, dicopnya pula 'rasuah'. Cekap dan cepat mereka memberi komen, padahal BN macam-macam janji itu dan ini, ada yang sampai memberi wang ringgit dan harta benda, dibuat tak nampak aja. Bersikaplah profesional, Beb! Aku setuju saranan Timbalan Menteri Besar Kelantan, sepatutnya wang elaun itu dibayar oleh SPR kerana SPR memilih mengadakan PRK pada hari berkerja. Lagipun kalau Pas bayar pun belum tentu mereka mengundi Pas kerana itu hak pengundi memilih siapa yang mereka suka untuk mewakili mereka.

Apa pun tunggulah esok 4 Nov 2010 akan menentukan sejauh mana pengundi di Galas dan Batu Sapi terpengaruh dengan janji-janji muluk bomoh-bomoh politik ini. Aku percaya pengundi sekarang sudah bijak memilih, tahu memilih yang mana batu dan yang mana permata. Selamat mengundi.

No comments: