Saturday 27 November 2010

Cerpen 'Musang'

Cerpen ini telah dikirim ke akhbar Siasah. Pembaca blog ini diberi kemudahan membaca cerpen ini sebelum ianya disiarkan oleh akhbar mingguan tersebut.


Cerpen

Musang



Musang, kalau tak makan ayam bukan musang namanya. Ada kalanya bukan semua ayam pula dimakan musang.

Hari itu musang-musang di dalam gua berpesta-pestaan. Menari-nari tidak keruan. Pelbagai tarian dan nyanyian dipersembahkan. Hari itu hari bertuah bagi musang-musang di dalam gua. Khabarnya, mereka akan disogok dan disuap dengan pelbagai makanan. Ada ayam Kentucky, ada ayam Macdonald, ada ayam serama, ada ayam siam, ada itik gantung dan segala macam makanan disogokkan kepada mereka. Malah selama sepuluh hari musang-musang di dalam gua itu tidak payah lagi pergi berburu untuk mengisi perut masing-masing.

Selama ini pun musang-musang di dalam gua itu mencari makan sendiri-sendiri. Ada yang berburu ayam hutan di dalam belantara bersempadan dengan Siam. Ada yang berburu di dalam belukar sekitar gua-gua di situ. Tidak kurang pula yang pergi mencuri ayam dan itik di dalam reban orang kampung. Yang pemalasnya pula, hanya menunggu sisa-sisa habuan yang tidak habis dimakan oleh kekawan mereka.

Sekarang ini mahu mencari makanan pun semakin susah. Hutan belantara habis dicantas. Bukit bukau gondol ditarah. Hutan batu menggantikan kehijauan belantara. Manusia yang dulunya fobia tinggal di atas dan di kaki bukit sudah memenuhi kawasan itu. Dulunya menjadi penghuni para haiwan dan unggas. Manusia bukan sahaja merampas hak milik kediaman mereka, tetapi memusnahkan alam sekitar serta eko-sistem yang menjadi dunia kehidupan mereka.

Semenjak berita yang dibawa pulang oleh penghulu segala musang di dalam gua-gua di situ, maka tidak terhinggalah gembiranya musang-musang di dalam gua itu. Kata penghulu musang, ada pesta-pestaan memilih ketua kampung di Kampung Galas berdekatan dengan gua itu. Lazimnya sebelum ketua kampung dipilih, penduduk kampung akan berpesta-pestaan selama sepuluh hari sepuluh malam. Dalam tempoh itu amatlah pemurahnya puak-puak yang mahu bertanding merebut jawatan itu. Dalam tempoh itu juga kebiasaannya akan dilambakkan pelbagai rezeki untuk dinikmati oleh mayarakat kampung. Masyarakat musang juga tidak dipinggirkan dalam pesta lambak melambak pelbagai projek dan makanan itu.

Untuk mendapatkan rezeki yang mewah serta lazat, musang-musang itu terpaksa menuruni gua, bukit bukau, merentas hutan belukar, menyelusuri denai dan sungai, barulah sampai di kampung Galas. Di kampung itu mereka dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat. Ayam Kentucky dan Macdonald memang tidak pernah dinikmati musang-musang itu sebelum ini. Apabila merasainya baru disedarinya betapa enaknya masakan segera dari barat itu.

Sebelum ini ayam dan burung hutan menjadi makanan mereka. Kalau malas ke hutan mereka mencuri ayam dan itik peliharaan orang-orang kampung. Selama ini, itu saja yang didapatnya untuk dimakan. Selera mereka sudah terbiasa dengan makanan seperti itu. Kadang-kadang menjadi muak, sampai tidak berselera untuk dimakan. Akan tetapi terpaksa ditelan juga, kalau tidak tentu kebulur.

Apabila dihidangkan dengan ayam Kentucky dan Macdonald, musang-musang itu amat berselera sekali. Ada kelainan dalam resipi masakan ayam-ayam dari Amerika itu. Ada perisa yang sangat menakjubkan, sehingga menjadi ketagih pula kalau tidak dapat merasainya. Orang barat memang bijak kepala otak mereka. Mereka bukan sahaja memonopoli makanan segera itu, tetapi memastikan sesiapa yang memakannya akan sentiasa terkenangkan mereka. Dipasaknya pengaruh dan ingatan melalui makanan segera. Dengan yang demikian mereka berjaya menjajah pemikiran pelanggannya.

Musang-musang itu tidak payah berebut-rebut kerana makanan terlalu mewah dan banyak. Tidak seperti di dalam hutan, mereka terpaksa bersaing antara satu dengan yang lain untuk survival. Di dalam belantara, mereka terpaksa berdikari untuk mencari rezeki. Di Kampung Galas mereka disuap dengan pelbagai habuan yang tak pernah dimimpi.

Namun demikian ada juga di antara masyarakat musang ini yang tidak berselera langsung memakan ayam Kentucky dan Macdonald.

“Weick!” seekor musang jantan tua terloya semacam mahu termuntah sebaik-baik sahaja lidahnya mencecapi ayam-ayam segera itu.

“Hish! Sopan sedikit!” bentak sahabat musang jantan itu.

“Ayam ini tak ada darahnya lagi. Darahnya sudah kering dimasak. Kalau tidak ada darah mentah, mana sedapnya?” balas musang jantan tua bagaikan merungut.

“Hish! Kamu ni! Ini makanan percuma, terima saja apa yang dihidangkan. Kita tak payah bersusah payah bersusup sasap di dalam hutan berburu mencari makanan. Sekurang-kurangnya selama pesta ini berlangsung makanan kita ditanggung. Jangan cerewetlah!” rungut sahabat musang jantan tadi.

“Ini bukan soal cerewet, tetapi soal marwah dan selera. Ini bukan selera musang, tetapi selera manusia. Aku tidak mahu menjadi peminta sedekah di sini, makan disuap, minum disogok. Itu bukan budaya masyarakat musang. Musang mesti berdikari, berkerja keras untuk survival hidup mereka. Mengemis bukan pegangan hidup masyarakat musang,” musang jantan tua menyanggah dengan nada suara yang tinggi bagi menggambarkan kekukuhan pegangang falsafahnya.

“Aku mahu pulang,” rungut musang jantan itu. “Ooi! Sesiapa masyakarat musang yang mahu ikut aku pulang ke gua, ayuh! Mari! Di sini bukan tempat kita! Di sini penuh dengan pesona dan tipu daya. Tempat kita di hutan belantara! Tempat kita di dalam gua! Ayam kita adalah ayam buruan, bukan ayam hidangan,” jerit musang jantan tua dengan lantang. Maka ada di antara musang-musang itu menyahut seruan musang jantan kerana ayam Kentucky dan Macdonald tidak serasi dengan selera mereka.

Oleh kerana terlalu banyaknya rezeki di Galas, ramai juga di antara musang-musang itu tidak pulang ke gua masing-masing. Perut mereka sentiasa kenyang, mengening serta membusung, terlalu kenyangnya mereka sehinggakan malas mahu pulang semula ke gua. Mereka turut berkampung di situ. Sama-sama pula menyokong puak-puak yang bertanding jawatan ketua kampung itu. Mereka akan memberi sokongan yang lebih kepada puak-puak yang lebih pemurah, dan sanggup memberi habuan yang lebih. Malah sehingga sanggup membantu menaikkan bendera dan banting dalam kempen pemilihan itu.

Kini, setelah sepuluh hari selesai pemilihan Ketua Kampung Galas, musang-musang itu kembali ke dalam gua. Perut yang mengening dulu sudah kempis. Kekenyangan tidak bertahan lama. Lapar mulai menguasai diri apabila kerap pula membuang najis. Calon yang terpilih tak nampak batang hidung lagi. Ketika kempen dulu habis semua pelusuk dijelajahi. Bukit bukau, baruh denai, terowong gua semua dimasukinya tanpa jijik dan geli.

Kini masyarakat Galas menunggu segala taburan janji. Banyak projek dijanjikan seperti perumahan PPRT, pembinaan semula stesen kereta api, membina bangunan seratus tingkat tinggi. Bagi memastikan semua projek ini berjaya dilaksanakan, maka rakyat perlu berkorban. Tanah milik harus diserahkan. Tanah lembah dan paya ditambak ditinggikan. Hutan belantara dicantas digondolkan. Bukit bukau ditarah diratakan. Lubang gua dikambus dan dirobohkan. Itulah pengorbanan yang perlu dikorbankan oleh rakyat demi pembangunan, meskipun hak milik selepas itu bukan jaminan. Kalau tidak, pembangunan tidak dapat diadakan. Itulah pengorbanan rakyat kalau mahukan pembangunan.

Apabila teringatkan janji-janji itu, masyarakat musang di dalam gua menjadi gusar. Salah satu perojek yang akan dilaksanakan ialah mengambus dan merobohkan gua-gua di situ. Kalau itu dilaksanakan, ke mana pula warga musang mahu pergi? Ke mana mahu mencari rezeki? Wah! Ini bukan janji tetapi suatu tragedi!

“Kita mesti protes! Kita mesti demonstrasi!” seru musang jantan tua yang sejak dulu tidak sebulu dengan penghulu. Ada suara-suara menjerit bersetuju.

“Sabar! Sabar! Demonstrasi bukan penyelesaian. Kita berdiplomasi, bukan demonstrasi!” nasihat penghulu segala musang, merayu. Ada yang setuju ada yang tidak bersetuju. Sudah ada retak dalam hubungan masyarakat musang di dalam gua. Semenjak mencampuri urusan pemilihan ketua kampung itu, masyarakat musang sudah berpecah dua. Ada yang menyokong musang jantan tua, ada pula yang menyokong penghulu yang menjadi ketua.

“Bukan masanya untuk berdiplomasi kalau hak dan kebebasan kita dimusnahkan nanti. Sanggupkah kita membiarkan gua kita ini dirobohkan? Melihat hutan belantara digondolkan? Di mana nanti kita akan mencari rezeki, kalau hutan batu jadi pengganti?” sanggah musang jantan tua penuh semangat. Seruannya itu mendapat sokongan dan sorakan yang menggamatkan di dalam gua itu.

“Ah! tak payah kita berdemonstrasi dan diplomasi. Kita curi saja ayam-ayam mereka nanti,” celah pula seekor musang muda dengan suara meninggi.

“Itu bukan budaya kita! Masyarakat musang mesti berdikari, bukan hidup mencuri,” suara musang jantan tua semakin tenor. Sepi. Tak siapa bersuara lagi. Golongan muda semakin malas mencari rezeki.

Penghulu musang pusing. Kepalanya ligat macam gasing. Dia bigung, tak disangkanya pengaruh politik berpuak-puak sudah meresap dalam masyarakatnya. Sangkanya politik itu penyatuan, nyata sekali politik itu gejala kepada perpecahan.

“Kita tidak perlu melawan mereka. Mereka berkuasa. Undang-undang mereka cipta. Undang-undang bukan untuk mereka, tetapi untuk kita. Mereka ibarat mata gergaji, disorong makan, ditarik makan,” rintih penghulu segala musang penuh sayu.

“Kalau begitu kita berpindah sahaja. Kita berhijarah ke seberang sempadan, ke negeri Siam. Belantara adalah dunia kita. Tidak ada garis sempadan pada kita. Garisan sempadan hanya untuk manusia,” saran pula seekor musang betina yang sarat mengandung. Dia runsing kalau tidak cukup makanan, kandungannya akan terjejas.

“Ya! kita berhijarah ke sana,” serentak jeritan suara-suara musang bergema di dalam gua.

“Ya! saya setuju!” lengking musang jantan tua. Bergema lagi suara-suara sokongan di dalam gua itu bagaikan gempita melanda belantara.

“Tunggu! Di sana nanti belum tentu duduk perkara. Mungkin serupa dan sama saja,” seru pula penghulu.

“Kita cuba dulu!” balas singa betina tadi. “Biar gagal dalam usaha, jangan takut mencuba!” singa bentina bagaikan berfalsafah pula.

“Ya! kita berangkat esok!” cadang singa jantan tua meninggikan suara. Gegak gempita bergema di dalam gua. Ramai warga musang bersetuju belaka. Ramai juga yang enggan ikut serta. Ayam itik di dalam reban habis disapu belaka.

Penghulu pusing kepala. Ini semua kerana gara-gara mereka dirasuah dengan pelbagai cara. Masyarakat musang yang dulu hidup berdikari, sudah malas berkerja. Budaya sogok menyogok sudah meresap dalam kehidupan mereka. Keroh air di hulu, masakan jernih air di kuala………..

No comments: