Monday 15 November 2010

Himpunan Penyair/Budayawan pada 1 Muharram

Perhimpunan para penyair dan budayawan akan diadakan pada 1 Muharam ini bersamaan hari Selesa, 7 Disember 2010. Acara bermula dari jam 5.00 petang hingga 11.30 malam. Perhimpunan ini anjuran PAKSI/Budaya Bertindak bagi menyokong Muapakat mempertahankan tanah warisan di sekitar Kampung Bandar Dalam, Sentul, Kuala Lumpur.

Dalam Pelan Induk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, sebanyak 7 kampung di sekitar kampung Bandar Dalam itu akan terlibat dalam pengambilan tanah untuk dibangunkan oleh DBKL. Kampung-kampung itu ialah, Kampung Cangkat, Kampung Padang Balang, Kampung Puah, Kampung Puah Seberang, Kampung Cubadak, Kampung Sungai Mulia dan Kampung Sungai Merali.

Himpunan ini bertujuan memberi sokongan kepada penduduk di situ supaya terus mempertahankan tanah warisan mereka daripada di'rampas' oleh pihak berkuasa. Ini tidak bererti para seniman/budayawan anti pembangunan, tetapi semata-mata mempertahankan perkampungan Melayu yang semakin terhakis di badaraya ini. Kampung Baru juga mengalami nasib yang sama, atas nama pembangunan maka perkampungan Melayu menjadi korban.

Sehubungan dengan peristiwa ini semua para penyair/seniman/budayawaan seluruh negara diundang ke majlis ini sebagai manifestasi sokongan kepada perjuangan penduduk di situ. Di antara rumah seniman yang terlibat di kampung itu ialah 'rumah bonda' Prof Dr. Siti Zainon Ismail. Perkampungan ini menjadi sumber inspirasi Siti Zainon dalam banyak karyanya.
Tentu sekali beliau akan terusik/terkilan dengan pengambilan ini. Rumah bondanya dan perkampungan itu mempunyai nilai sentimental yang amat berharga kepada beliau. Ini bukan kerana beliau seorang, tetapi keseluruhan penduduk perkampungan Melayu yang telah wujud sejak 150 tahun yang lalu.

Sempena dengan majlis ini juga, para penyair diminta sekurang-kurangnya menulis sebuah sajak berlatarkan peristiwa ini. Sajak-sajak ini juga akan dibukukan sebagai kenangan perhimpunan besar ini. Anda juga boleh mendeklamasikan sajak ini pada malam itu. Sajak-sajak anda boleh dikirimkan kepada pyanhabib@gmail.com, sebelum 20 Nov. ini. Harap para seniman terima seruan ini dan turut sama-sama menghadirkan diri pada tarikh tersebut.

Pada kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha. Selamat berkorban asalkan jangan dikorbankan. Wallahualam!

No comments: