Tuesday 2 November 2010

PKR amal demokrasi total

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama TG Abd. Hadi Awang ketika kempen PRK Kuala Trengganu tahun lalu.


PKR MENTRANSFORMASI SISTEM PEMILIHAN


Pemilihan kepimpinan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang rancak berlangsung sekarang. Di Ranting dan Cabang sudah, masih dan akan berlangsung. Malah sudah tersenarai nama-nama calon yang akan bertanding dalam pemilihan peringkat tertinggi parti seperti dilaporkan oleh Mingguan Malaysia 17 Oktober lalu.

Mengikut senarai tersebut hanya Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail sebagai Presiden sahaja menang tanpa bertanding. Jawatan Timbalan Presiden ada tiga pencalonan untuk satu jawatan, manakala Naib Presiden ada 19 pencalonan untuk 4 jawatan. Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dua dan Ketua Wanita tiga pencalonan, masing-masing untuk satu jawatan.

Pelbagai berita tentang kekecohan serta haru biru yang kononnya berlaku pada pemilihan ini dilaporkan dengan sensasi sekali oleh media penyokong BN/Umno. Kemuncak kepada pemilihan ini akan berlangsung pada bulan November ini apabila pemilihan kepimpinan tertinggi parti itu akan diadakan nanti.

Berita tentang kekecohan yang berlaku dalam pemilihan dan pencalonan pada peringkat akar umbi ada juga kebenarannya. Ianya diakui oleh Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution bahawa memang ada beberapa kelemahan berlaku pada pemilihan itu. Kekecohan ini sekali gus mendapat perhatian umum terutama media penyokong BN/Umno yang cuba mensensasikan keadaan. Ini suatu petanda bahawa PKR sudah mula mendapat pengaruh dalam arena politik tanah air dan dalam proses kematangan.

Episod perebutan untuk menjadi pemimpin semakin ketara dan sengit. Masing-masing cuba buruk memburukkan lawan serta kepimpinan parti dengan pelbagai cara semata-mata mengikut emosi yang keterlaluan. Ada yang berkrisis secara peribadi dan ada pula yang mengugut mahu keluar parti. Ada pula pihak menyerahkan ‘Memorandum Taubat’ kepada Anwar Ibrahim sebagai usaha memburukkan lagi imej parti dan kepimpinan.

Gejala-gejala tidak sihat ini menjadi kemelut kepada asas demokrasi total yang cuba diperkenalkan oleh PKR. Tidak dapat dinafikan dalam mana-mana pemilihan parti-parti politik gejala seperti ini adalah sesuatu yang lazim. Akan tetapi apabila berlakunya pergaduhan, penipuan serta persoalan pribadi, ianya memburukkan imej parti dan kepimpinan sedia ada. Ianya juga menggambarkan betapa ahli-ahli parti tidak berdisplin dan dikuasai oleh emosi, bukan profesionalisme. Lebih memburukkan lagi apabila ianya dibesar-besarkan oleh media bagi mensensasikan keadaan.

Pada pemilihan kali ini PKR cuba mengubah amalan demokarasi konvensional yang lazim diamalkan oleh parti-parti politik dan sesetengah pertubuhan lain di negara ini. Kelaziman yang diamalkan oleh pertubuhan-pertubuhan ini dalam pemilihan kepimpinannya ialah dengan mengadakan pemilihan di cawangan dan bahagian untuk memilih pemimpin peringkat tersebut yang secara otomatiknya pula menjadi perwakilan dalam Muktamar atau Perhimpunan Agung parti untuk memilih kepimpinan di peringkat pusat atau nasional.

Sistem ini diamalkan oleh kesemua parti politik di negara ini dan ianya semacam menjadi amalam dalam sistem pemilihan kepimpinan dalam negara ini. Malah sebelum ini pun PKR mengamalkan sistem yang sama pada pemilihan kepimpinannya. Kali ini parti itu cuba membuat perubahan dengan membenarkan ahli akar umbi turut terlibat sama secara langsung dalam pemilihan kepimpinan di peringkat cabang dan nasional.

Sistem konvensional, yakni pemilihan perwakilan sebagai wakil ahli akar umbi ke Perhimpunan/Mukatamar Agung parti menjadi amalan semua parti politik di negara ini termasuk Pas. Sistem ini menetapkan jumlah calon yang layak diwakili di setiap Cawangan, Bahagian atau Cabang mengikut kekuatan ahli yang ada dalam kawasan-kawasan itu. Hanya perwakilan yang disahkan oleh sekretariat parti sahaja dibenarkan menghadiri dan layak mengundi dan bercakap dalam Perhimpunan/Muktamar parti. Ahli akar umbi tidak dibenarkan berbuat demikian, kecuali sekadar menjadi pemerhati dalam mesyuarat tersebut.

Ini bermakna pucuk pimpinan parti ditentukan oleh perwakilan, bukan oleh ahli akar umbi lagi. Sistem ini menafikan hak kepada ahli akar umbi memilih pemimpin mereka kerana kononnya mereka telah mewakilkan hak mereka kepada perwakilan. Undi yang diberikan oleh perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan tidak semestinya disetujui oleh ahli akar umbi yang mewakilkan hak itu kepada mereka. Oleh yang demikian pemilihan pimpinan tidak semestinya menggambarkan sokongan total ahli parti. Sistem ini berkemungkinan besar membuka ruang untuk ‘merasuah’ para perwakilan oleh calon-calon yang rakus untuk merebut jawatan.

Sistem ini juga menentukan Perdana Menteri di negara ini apabila parti yang diwakili memenangi pilihan raya umum dengan jumlah kerusi majoriti mudah, waimah melebihi sebuah kerusi pun. Lazimnya, secara otomatik Presiden atau Ketua sesebuah parti politik yang memenangi pilihan raya itu menjadi Perdana Menteri atau Ketua Menteri dan Menteri Besar. Oleh yang demikian Perdana Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar sebenarnya hanya mewakili parti-parti mereka, bukan suara rakyat jelata. Kerana yang memilih mereka menjadi Ketua Negara atau Negeri ialah parti, bukan rakyat akar umbi. Kadangkala apabila jumlah undi keseluruhannya diambil kira, parti yang menang itu tidak semestinya memperolehi majoriti suara rakyat, sekadar melebihi jumlah kerusi yang dipertandingkan.

Parti Keadilan Rakyat pada pemilihan tahun ini cuba merobah sistem itu dengan menongkah arus pada sistem yang lazim diamalkan di negara ini. Justeru kerana itu pelbagai masalah, cabaran dan kepayahan dialami pada permulaan perkenalan baru sistem ini.

Sistem ini sesuatu yang baik dalam amalan demokrasi. Ianya memberi hak akar umbi dan rakyat jelata untuk menentukan pemimpin dan kepimpinan negara. Sistem ini juga memberi hak kepada sesiapa sahaja untuk menjadi calon atau dicalonkan, selagi individu itu sah menjadi ahli parti walaupun baru dianggotainya. Sekadar dua pencalonan sahaja sudah melepasi kuota yang ditetapkan. Tidak seperti sesetengah parti politik yang menetapkan kuota yang tidak munasabah untuk menjadi calon, yang dianggap sebagai halangan serta menafikan hak ahli untuk menjadi calon pemimpin.

Sistem ini sudah diamalkan oleh beberapa buah negara di dunia termasuk Amerika Syarikat serta tetangga kita Indonesia. Rakyat jelata diberikan hak untuk memilih presiden mereka dalam setiap pilihan raya umum. Nama-nama calon presiden dicalonkan oleh parti-parti politik masing-masing setelah melepasi beberapa saringan yang ketat dan rumit. Setelah calon-calon itu mendapat sokongan ramai maka nama-nama mereka dipertandingkan sebagai Presiden atau Ketua Negara mengikut pengundian yang diberikan oleh semua rakyat jelata yang berhak mengundi. Maka dengan demikian, Presiden atau Ketua Negara ini benar-benar mendapat sokongan majoriti rakyat jelata, bukan sekadar mendapat sokongan parti yang diwakilinya.

Demikianlah serba sedikit perbezaan di antara sistem konvensional yang menjadi amalan di negara kita dengan sistem pemilihan langsung yang cuba diperkenalkan oleh PKR. Tidak dapat dinafikan dalam usahanya memperkenalkan sistem demokrasi total ini, PKR telah tidak menyediakan suatu peraturan yang sempurna bagi mengendalikan pemilihan dan pencalonan ini supaya ianya berjalan dengan lancar.

Banyak kekurangan dan kepincangan berlaku sehinggakan ramai di antara ahlinya merasa tidak ‘puas hati’ dan ‘desperate’ hingga sanggup meluahkan perasaan di media penyokong BN/Umno tanpa segan silu. Tambah memalukan apabila mereka ini membuka pekung di dada sendiri yang menyerlahkan keaiban sesama ahli parti di mata umum. Ini bukan sikap profesional tetapi sikap mementing diri. Sekretariat PKR tentunya sudah menyediakan saluran untuk membuat pengaduan seperti ini. Kalau sudah ada kenapa tidak digunakan? Kalau belum ada, ianya suatu kepincangan yang nyata dan seharusnya disediakan pada kadar segera.

Kini sudah sampai masanya sistem demokrasi di negara kita menjalani transformasi yang drastik sesuai dengan peredaran masa. Sistem konvensional yang mempertandingkan kerusi sudah tidak relevan lagi. Kita seharusnya mencontohi amalan demokrasi yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat dan Indonesia. Bukan kerusi yang menjadi penentu, tetapi suara majoriti rakyat yang menentukan kemenangan sesebuah parti dan juga Perdana Menteri.

Dalam sistem pengundian langsung ini rakyat jelata mempunyai hak memilih dan jumlah kerusi hanya ditentukan setelah mana-mana parti politik mendapat peratusan suara majoriti yang ditetapkan. Satu undi lebih tidak semestinya calon itu menang, ianya mesti ada had mengikut peratusan undi yang diterimanya. Misalnya seseorang calon itu sekurang-kurangnya harus mendapat 55% undi (suara) daripada jumlah keseluruhan pengundian dalam kawasannya, barulah calon itu memenangi sesebuah kerusi. Manakala di peringkat nasional pula, parti itu mesti mendapat tidak kurang 60% daripada jumlah undi keseluruhannya, barulah parti itu berhak memerintah negeri/negara. Peratusan ini boleh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pada pemilihan Perdana Menteri (PM) pula pengundian langsung daripada rakyat jelata seharusnya dipraktikkan. Ketua-ketua parti politik boleh dicalonkan untuk jawatan PM setelah mereka melepasi beberapa saringan yang ketat. Rakyat jelata berhak memilih Perdana Menteri secara langsung, bukan lagi oleh parti. Kaedah ini benar-benar menggambarkan suara majoriti, bukan lagi suara parti. Barulah PM boleh mendabek dada bahawa beliau benar-benar mewakili majoriti rakyat negara ini.

Apa yang berlaku sekarang, pada hakikatnya PM bukan dipilih oleh rakyat jelata tetapi secara otomatik menjadi PM kerana beliau kebetulan menjadi Ketua parti yang memenangi pilihan raya. Oleh itu beliau bukan mewakili majoriti rakyat, akan tetapi hanya mewakili partinya sahaja. Sudah ada suara-suara lantang berkumandang menyatakan PM hanya sekadar mewakili Melayu dalam Umno sahaja. Itulah hakikat hasil sistem demokrasi yang kita amalkan sekarang.

PKR mendahului parti-parti politik lain di tanah air untuk mentranformasikan pemilihan kepimpinan pada jalur demokrasi sebenarnya. PKR cuba memulihkan suara rakyat dan akar umbi supaya didengar. Usahanya ini sesuatu yang baru serta menongkah arus dan melanggar kelaziman. Setiap yang baru pasti ada cabaran dan halangan pada awalnya. Apabila ianya sudah diterima pakai dengan baik, maka ianya menjadi amalan biasa dan pastinya segala gejala buruk yang menghantuinya akan dapat diatasi dengan mudah dan sempurna.

Sudah sedia dan beranikah parti-parti politik lain termasuk Umno berubah kepada transformasi dan reformasi demokrasi seperti diperkenalkan oleh PKR ini? Nampaknya PKR lebih berani membuat ujian awal dan menjadi perintis kepada penerokaan baru!

Selagi tidak ada perubahan dalam sistem pemilihan kepimpinan ini, maka selagi itulah akan kedengaran suara-suara yang mempertikaikan kepimpinan negara.


No comments: