Tuesday 14 June 2011

Majlis Baca Puisi Memperingati Penubuhan DBP pada 22 Jun 2011

Diam tak diam usia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah menjangkau 55 tahun. Sudah masuk umur pencen dan dalam kategori pikun. Akan tetapi mutakhir ini DBP sudah kelihatan lesu dan longlai dalam memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu. Nakhoda dan anak kapalnya semacam hilang jati diri serta hilang keberanian untuk menyatakan yang hak. DBP perlu diselamatkan dengan apa cara sekalipun. Tentu sekali nakhoda kapalnya perlu diganti kerana sudah terlalu pikun dan mungkin daya kerativiti dan keberaniannya sudah menurun. Apa-apa pun DBP harus diselamatkan segera sekiranya kita tidak mahu bahasa dan sastera Melayu terkubur dalam negaranya sendiri.

DBP ditubuhkan pada tahun 1956 hasil rumusan dan keputusan Kongres Bumiputera. Kita tentu sekali tidak mahu melihat hilangnya DBP daripada pandangan mata seperti hilangnya Bank Bumiputera yang sudahpun berkubur sekian lama. Perlu diingat Bank Bumiputera juga ditubuhkan hasil Kongres Bumiputera yang diperjuangkan oleh pejuang bahasa dan kemerdekaan negara yang terlalu kental semangat mereka. Semuanya ini sedikit demi sedikit terhapus dan terhakis sebagai hak orang Melayu di negara ini. Siapakah yang menghapuskannya? Adakah DAP , PAS atau PKR?

Siapa lagi kalau bukan gerombolan yang lantang memperjuangkan ketuanan Melayu, tetapi merekalah yang menghapuskan semuanya itu! Fikir-fikirkanlah.

Berbalik kepada majlis baca puisi, mengikut penganjurnya ianya bertujuan memperingati kewujudan DBP ini, meskipun ianya kelihatan longlai, pengajur mahu menyuntik semangat baru ke dalam roh para nakhoda dan anak kapalnya. Maka dengan inisiatif Persatuan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan Gerakan Darurat Bahasa (GDB) sebagai pengajur, bersedia membuka ruang kepada orang awam, golongan penulis, penyair dsb untuk meluahkan rasa dan perasaan mereka pada majlis ini.

Majlis baca puisi akan diadakan pada 22 Jun 2011 ini, bermula pada jam 8.30 malam bertempat di warung rakyat berdekatan dengan bangunan DBP K.Lumpur. Majlis diadakan secara santai dan terbuka kepada orang awam terutama yang tinggal di Lembah Kelang dan wilayah-wilayah yang berdekatan. Jamuan ringan akan disediakan oleh pihak penganjur.

Ayuh! mari kita beramai-ramai menceriakan majlis ini semoga dengan usaha kecil ini akan diberkati oleh Allah dan DBP dapat dipulih dan diselamatkan daripada terus tenggelam di daratan bahasa. Tentu sekali kita tidak mahu melihat bangunan DBP yang tersergam agam dan tinggi itu runtuh seperti runtuhnya bank bumiputera yang dibina atas kesedaran pejuang bahasa dan kemerdekaan kita terdahulu. Datang! Jangan Tak Datang!

No comments: