Wednesday 1 June 2011

Tarif letrik naik 7%

Hah! kerajaan telah mengumumkan tarif letrik akan dinaikkan sebanyak 7% mulai hari ini 1 Jun2011. Manakala harga gas (gas masak) diapungkan (tidak dikawal). Kata gerombolan (kerajaan) kenaikan ini masih rendah dibandingkan dengan negara-negara jiran. Lagipun kata gerombolan rakyat yang guna letrik kurang daripada RM 77.00 sebulan tidak terlibat dalam kenaikan ini. 4.4 juta rakyat tak terlibat, kata gerombolan. Yang terima bahananya 24.6 juta orang. Jadi majoriti yang terpaksa tanggung kenaikan tarif ini.

Tujuan utama untuk tidak memanjakan rakyat menikmati subsidi kerajaan. Dengan kenaikan ini subsidi kerajaan akan berkurangan dan duit itu kononnya akan disalurkan kepada projek-projek lain untuk rakyat. Entah-entah masuk ke dalam kantung Bik Mama dengan projek Permatanya?

Biasalah, apabila mengumumkan kenaikan komoditi asas, gerombolan akan mencari berbagai helah dan alasan untuk menjustifikasikan kenaikan mereka. Aku fikir rakyat sudah muak dengan alasan klise ini. Rakyat kena fikir kewajaran kenaikan tarif ini, kerana negara kita adalah negara pengeluar minyak dan gas asli. Wajarkah kita dikenakan bayaran yang tinggi apabila kita menjadi pengeluar minyak yang banyak?

Contohlah, abah kita ada kebun durian, apabila musim durian luruh abah memaksa anak-anak, cucu-cucu dan isterinya, membeli buah-buah durian itu dengan harga yang mahal. Kalau tidak, tak boleh makan buah durian itu, meskipun buah durian berlambak-lambak gugur. Bagaimanakan perasaan anak cucu dan isterinya, yang mempunyai hak pada kebun itu, tetapi dikenakan caj yang amat tinggi. Logik kah?

Minyak bukan hak milik mutlak segelitir elit politik pemerintah ataupun Petronas. Ia milik rakyat! Hak rakyat mesti dipulangkan kepada rakyat. Bukan dibolot oleh golongan elit yang berkuasa! Rakyat harus berfikir, dan berfikirlah dengan kritis!

Tak lama lagi, percayalah gerombolan akan naikkan harga petrol Ron 95. Depa tunggu reaksi rakyat tentang kenaikan tarif letrik ini. Kalau rakyat senyap dan tidak ada bantahan, bulan depan naiklah harga petrol Ron 95.

Harga gas pula diapungkan, ini bermakna penjual boleh menjual dengan harga pasaran yang mereka tentukan. Pasti harga mee goreng, pisang goreng, makanan lain dan kueh-kueh lain akan naik harga. Malah belanja dapur pun akan bertambah kerana harga gas mahal. Kita tak boleh salahkan peniaga, kerana mereka terpaksa salurkan beban itu kepada pengguna. Rakyatlah sebagai pengguna memikul beban gerombolan, bukan kerajaan atau gologan kapitalis.

Apapun, kalau kerajaan terus-terusan menaikkan harga komoditi asas, pastinya harga barang akan naik dan tidak dapat dikawal. Aku tak pasti mungkin Najib tak jadi nak buat PRU 13 pada tahun ini,kok, sebab itu dia naikan harga barang. Dia tunggu rakyat dah lupa tentang kenaikan ini, baru dia akan adakan PRU 13. Mungkin tahun depan, apabila rakyat sudah lupa.

Rakyat patut faham bahawa kos hidup yang semakin meningkat menjadi beban kepada rakyat. Maka dengan yang demikian masalah sosial akan membiak. Kejadian rasuah, menipu, merompak, menyeludup dan mencuri akan meningkat demi untuk menampung sara hidup yang tinggi. Implikasinya amat luas, ianya bukan sekadar kenaikan harga, tetapi melibatkan masalah sosial yang berpanjangan.

Kerajaan nak wujudkan negara berpendapatan tinggi. Mengikut fahaman aku pendapatan rakyat harus tinggi. Ini sudah terbalik, pendapatan kerajaan semakin tinggi, pendapatan rakyat masih ditakuk lama lagi. Sepatutnya tinggikan pendapatan rakyat dulu, baru naikkan harga komoditi, tentu rakyat mampu menghadapi harga barangan yang tinggi.

Aku fikir cukuplah gerombolan memerintah dah lebih setengah abad. Rakyat patut fikirkan membuat trasformasi kerajaan kepada kerajaan baru. Kita cuba dulu, mana tahu yang baru akan lebih baik dan mesra rakyat? PRU 13 kita buat perubahan, lakukan tarsformasi seperti yang diuar-uarkan oleh Najib.

"Biar gagal dalam usaha, jangan takut mencuba." Cuba, cubalah, jangan takut mencuba! Tukar! Jangan Tak Tukar!

1 comment:

barajiwa said...

Hidup panglima Melaka!!!
(Dikejooor Wak kat Melaka baru tau).
Tahniah. Ya kita mestilah TUKAR. Jangan sampai tak TUKAR.

Terima kasih kerana sudi menunjukkan sikap.

Kenapa?

Berdiri di atas pagar, sama seperti menyokong gerombolan ini. Itulah yang terjadi kepada orang-orang Melayu selama ini, sejak sebelum merdeka lebih-lebih lagi Melayu Melaka, Melayu Johor dan Negeri Sembilan.