Sunday 29 January 2012

Berakhirnya khidmat bas berhenti-henti di Melaka

1 Feb ini akan berakhirlah perkhidmatan bas berhenti-henti di negeri Melaka. Sebanyak 10 buah syarikat bas berhenti-henti, 5 syarikat bumiputera dan 5 lagi bukan bumiputera akan tutup kedai secara rasminya. Kesemua perkhidmatan ini serta laluannya akan diambil alih oleh sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Melaka iaitu PM Cultural & Tours Sdn Bhd.

Pengambilan alih ini bukan diambil begitu sahaja tetapi telah dibayar pampasan oleh kerajaan negeri Melaka. Kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan ini kerana masalah pengangkutan awam telah tidak mendapat perhatian kerajaan pusat ataupun SPAD. Sepanjang pengetahuan aku, belum ada kerajaan negeri yang peka dan mampu untuk membayar pampasan seperti kerajaan negeri Melaka ini. Ini bukan nak bodek! bukan nak ampu Ali Rustam, tetapi ini menunjukkan kemahiran dan kemampuan rundingan antara Persatuan Pengusaha bas negeri Melaka dengan kerajaan negeri Melaka. Tentu sekali persatuan ini aku yang jadi kepalanya. Bukan mahu menunjuk-nunjuk atau bersikap riak, tetapi sekadar mahu menyatakan bahawa kepentingan ahli mengatasi kepentingan pribadi. Syarikat-syarikat bas ini memperolehi pampasan yang agak lumayan.

Ada di antara syarikat ini sudah wujud sebelum perang dunia kedua lagi. Syarikat-syarikat Patt Hup Transport, Malacca Omnibus Service, Bas Tai Lye Sdn. Bhd., Batang Bas dan Town Bus sudah wujud sejak tahun 1930 an lagi. Syarikat-syarikat bumiputera seperti SKA, Salira, Baswira. Tuah bas dan Roda Juara hanya wujud selepas 13 Mei 1968. Syarikat aku hanya wujud pada 1988, bererti hanya bertahan selama 23 tahun. Pada mula operasi dulu, ramai orang menggunakan perkhidmatan bas dan pendapatan pun menguntungkan. Tetapi apabila keadaan bertukar menjadi lebih parah dengan lambakan permit yang mengila dan harga alatganti melambung tanpa dikawal, maka segala keuntungan yang lalu terhakis sama sekali.

Segala punca kegagalan dan kerugian ini adalah berpunca daripada LPKP yang gila-gila mengeluarkan permit mengikut sesuka hati dan selera pak-pak menteri yang berkuasa di kementerian itu. Tidak ada kajian atau penyelidikan dilakukan sebelum sebarang permit dikeluarkan. Kebanyakan permit-permit ini dikeluarkan atas dasar dan pengaruh politik. Pemberian permit kepada penyokong masing-masing, bukan berdasarkan permintaan orang ramai terhadap keperluan pengangkutan awam. Akibatnya, supply more than demand.

PR jangan ikut kesilapan ini.

Apapun, kerajaan negeri Melaka sendiri sedar bahawa mereka akan memikul 'biawak hidup' kerana menyedari perniagaan ini bukan memberikan keuntungan, sebaliknya kerugian. Namun, sooner or later, kerajaan mesti mengambil tanggungjawab ini demi kepentingan rakyat. Kerajaan negeri Melaka telah mendahului kerajaan pusat, yang sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan pusat. Namun kerajaan pusat seolah-olah tidak ambil pot pun terhadap masalah yang telah berpanjangan sekian lama. Mengabaikan perkhidmatan pengangkutan bas atau awam bererti mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat. Ini bukan sahaja satu kesilapan besar, tetapi telah mengabaikan suatu sektor industri terpenting dalam menjana ekonomi negara dan menjadi pelengkap sebagai negara maju.

Ini bukan masalah di Melaka saja, tetapi masalah seluruh Malaysia. Kerajaan pusat mesti melakukan sesuatu sebelum ianya menjadi sebegitu parah dan akan meresahkan rakyat. Jangan biar nasi menjadi bubur.

Selepas 1 Feb 2012, khidmat bas henti-henti akan menjadi kenangan saja, terutama kepada pengusahanya. Akan menjadi kenanganku, bahawa industri pengangkutan yang dulunya tidak kedapatan seorang pun bumiputera, telah dimulakan oleh Tun Razak untuk memberi peluang kepada bumiputera dalam industri ini, akhirnya telah ditamatkan, bukan kerana apa, tetapi kerana salah pelaksanaan mereka selepas beliau.

2 comments:

brokentoe said...

Juga kenaikan harga minyak telah menurunkan harga kereta dan kerani pun mampu guna kancil klu tak baru pun second hand.
Macamana nanti org yg memang hari2 naik bas lepas ni...............

brokentoe said...

Juga kenaikan harga minyak telah menurunkan harga kereta dan kerani pun mampu guna kancil klu tak baru pun second hand.
Macamana nanti org yg memang hari2 naik bas lepas ni...............