Monday 23 January 2012

Gong Xi Fa Chai, Kuin & Auku, isytiar harta

Terlebih dahulu aku mengucapkan Gong Xi Fa Chai pada kekawan berbangsa Tionghua sempena menyambut tahun naga pada hari ini. Semoga simbol naga ini akan memberi kebaikan kepada masyarakat Cina khususnya dan masyarakat Malaysia umumnya; bukan naga yang pelahap mencuri harta rakyat, rasuah dan menyeleweng wang rakyat.

Dalam pada itu, kebetulan ketika menyambut tahun baru lunar ini ada dua peristiwa yang menarik perhatian aku untuk di ulas. Pertama kisah pengantungan mahasiswa Kolej Insaniah Kedah atau KUIN yang terajunya khabarnya di pegang oleh MB Azizan dari parti Pas. Kisahnya ialah kerana mahsiswa kolej itu mengadakan tunjuk perasaan, maka kerana itu pihak Kuin mengambil tindakan dengan menggunakan Auku untuk menjustifikasikan tindakan mereka.

Aku jadi pelik juga, bagaimana tindakan Pas tidak selari dan konsisten dengan apa yang diperjuangkan oleh parti itu. Kebanyakan anggota parti Pas termasuk Timbalan Presidennya, Mohd Sabu serta sayap pemudanya dengan lantang menentang Auku dan membenarkan perhimpunan aman. Apa yang berlaku di Kuin menggambarkan bahawa tindakan Kuin atau kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran Pas telah melanggar prinsip dan perjuangan mereka sendiri.

Aku tak pasti bagaimanakah Pas mentadbirkan negeri-negeri yang dikuasai tanpa mengikut garis panduan ideologi serta dasar yang telah diputuskan dalam Muktamar. Antara Kedah dan Kelantan banyak perkara dasar tidak sama. Kalau cara yang berbeza boleh diterima, akan tetapi apabila dasar bertelingkah, maka ia akan memberi gambaran negatif kepada rakyat. Begitu juga antara kerajaan PR yang lain seperti DAP dan PKR, tidak dapat diketemu dasar yang seiring.

Inilah bak kata Hasihamuddin Rais dalam blognya, "Hubaya! Hubaya! dengan orang yang kelihatan memperjuangkan Islam yang berselindung di sebalik jubah, ketayap, misai dan janggut. Dan juga berhati-hati dengan puak-puak yang memperjuangkan slogan "Pas ganti Umno." Maka terbuktilah, mereka benar-benar menggantikan Umno dengan perangai, tindakan dan perbuatan. Apabila kuasa sudah berada di tangan, semua yang diperjuangkan dulu hanya menjadi kenangan saja. Maka sebab itulah aku telah menyuarakan lama dulu, sama saja, tak adapun perubahan antara yang diganti dengan yang pengganti.

Lagi pelik, kerajaan negeri Kedah menjalinkan kerjasama erat dengan Gapena, yang seperti kata Dinsman, puak-puak ini yang sangat anti dengan PR. Aku tak kisah sekiranya diadakan kerjasama dengan sesiapapun waimah musuh kita, akan tetapi biarlah kita dahului pendukung-pendukung kita dulu. Dalam jagat kesusasteraan tanah air bukan tidak ada para seniman dan penulis yang memihak kepada Pas atau PR.

Azizi Hj. Abdullah seorang pendukung kuat Pas dan pernah bertanding calon Pas di Kulim suatu ketika dulu macam tak dikisahkan oleh kerajaan negeri Kedah pimpinan Pas. Dinsman terjerit-jerit, menjelajah ke seluruh Kedah minta supaya kerajaan negeri Kedah sekurang-kurangnya atau kerajaan PR mewujudkan suatu anugerah 'Sasterawan Rakyat' bagi mengenang jasa-jasa Allahyahraham dalam bidang kesusasteraan. Nampaknya, seruan itu belum lagi mendapat perhatian, sebaliknya konvensyen Gapena yang akan berlangsung dan dirasmikan oleh MB Kedah, Datuk Azizan pada 27 & 28 Januari ini akan berlangsung dengan penuh kemegahannya.

Satu lagi yang aku pelik ialah apabila Nik Aziz berkata dia akan mengisytiarkan hartanya kepada SPRM sekiranya diwajibkan. Kenapa mesti tunggu sehingga diwajibkan. Perkara inilah yang tak mahu dilakukan oleh pemimpin BN/Umno. Apakah Pas dan PR mahu tunggu diwajibkan, baru mengisytiarkan harta? Aku fikir Kelantan yang sudah 20 tahun di tangan Pas sudah mengisytiarkan harta para Dun dan AP nya sebaik-baik sahaja mengambil alih pentadbiran, namun sehingga sekarang masih belum berbuat demikian. Kenapa mesti ikut perangai Umno/BN. Kalau sama saja, tak adalah apa-apa perubahan dan perbezaan pun!

Apapun aku ucapkan Tahniah pada Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang mendahului semua negeri mengisytiarkan harta Dun nya. Aku tak pasti Selangor ada berbuat demikian atau tidak, sepanjang pengetahuan aku tak dengar pun ada perkara seumpama ini dilakukan.

Demikianlah senario pada tahun baru Cina tahun ini. PR jangan ganti BN/Umno. Pas, PKR, DAP atau PR mesti berbeza dan membawa kelainan daripada BN/Umno. Kelainan dan perbezaan ini mestilah yang berbentuk positif dan pro-aktif. Kalau ganti bermakna sama saja, perkara yang sama akan terus berlaku cuma diganti dengan pentadbiran baru. Kalau itu berlaku, ramai berpendapat tak perlu digantipun, biarlah yang ada teruskan.

Oleh itu jangan gunakan slogan 'PR sudah bersedia ganti Umno/BN.' PR mesti menekankan slogan, 'Membangun negara berkebajikan, demi rakyat untuk rakyat." Aku pasti ia mempunyai kelainannya dan sekiranya PR berjaya menempah jalan menuju ke Putrajaya, jangan dilupa slogan ini, slogan ini bukan saja dijadikan falsafah negara, tetapi juga hendaklah dilaksanakan.

1 comment:

barajiwa said...

Tahniah kerana berterus tentang Gapena dan telatah Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah. Ya, kenapakah yang terang-terang pro-Umno ini masih dibawa masuk ke dalam kelambu?

Jangan lupa peristiwa GMP, PPSMI dan Gapena. Itu hakikat bukan dongeng.