Sunday 23 December 2012

SPRM Nak Tapis Calon PRU 13

Wah! itu kawan aku Datuk Johan Jaafar rupa-rupanya sudah dilantik sebagai Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah. Baguslah! Syabas dan Tahniah Datuk!

Al-maklum, bak kata perumpaan orang putih, "new broom sweeps well." Maka begitulah dengan keadaan Datuk Johan yang memang banyak punya idea. Lalu beliau mencadangkan supaya semua calon yang akan bertanding dalam PRU 13 nanti (tak kira parti) akan ditapis dan disaring oleh SPRM sebelum dibenarkan menjadi calon. Ini bererti calon-calon yang tidak lulus saringan ini tidak dibenarkan menjadi calon.

Seorang lagi  kawan aku, Prof Datuk Zainal Keling segera menyokong cadangan ini lalu berkata dengan saringan ini UMNO/BN dapat memilih calon-calon yang benar-benar bersih untuk menjadi calon. Ini bermaksud calon-calon UMNO/BN sekarang ini ramai yang tidak bersih, begitulah kira-kiranya aku fahami daripada ungkapannya.

Tanggapan Prof Datuk Zainal Keling ini semacam selari dengan pendapat aku. Aku congak-congak, kalau nak dapatkan calon yang bersih bagi UMNO/BN amat payah, kerana majoritinya sudah, sedang dan masih terpalit dengan 'kekotoran.' Tak payah aku cakap banyak, rakyat boleh lihat dan nilai sendiri.

Aku kira bagus juga idea Datuk Johan Jaafar ini. Akan tetapi timbul persoalan, Adakah SPRM mempunyai kuasa (mengikut mana-mana undang-undang atau Akta) untuk menapis calon-calon ini? Yang telah lalu hanya parti masing-masing saja yang menapis calon-calon ini. Sekiranya mana-mana calon yang ditolak oleh SPRM, maka mereka tidak layak bertanding walaupun partinya mahukan calon itu. Kalau calon itu tetap bertanding dan menang pula, adakah kemenangan itu boleh dibatalkan? Kalau sekiranya mereka sudah disabitkan dengan kesalahan, sudah tentu mereka tidak boleh menjadi calon. Kalau mereka ada merit untuk didakwa tugas SPRM lah mendakwa mereka. Kalau mereka masih atau belum didakwa, dia belum lagi disabitkan kesalahan. Apakah mereka juga tidak akan melepasi saringan itu?

Kalaulah benar-benar idea ini dilaksanakan, tidakkah ianya menjadi beban dan halangan kepada PM Najib sendiri? Apakah Najib boleh lepas saringan ini dengan dakwaan pelbagai skandal rasuah dan pelbagai macam dakwaan lagi termasuk kes Atantuya? Kalaulah SPRM meluluskan Najib, dan kemudian dibantah oleh calon parti lawan, Apakah SPRM atau Datuk Johan Jaafar sanggup mengenepikan pencalonan Najib? Nampak macam SPRM atau Johan Jaafar nak perangkap Najib aja? Tidak dapat tidak inilah persepsi yang akan timbul! Penganalisis politik boleh membaca daripada pelbagai sudut dan aspek yang mungkin orang awam tidak perasaan.

Apapun aku berpendapat SPRM tidak punya kuasa untuk menapis atau menolak pencalonan mana-mana parti politik kecuali jelas terbukti mereka sudah disabitkan dengan kesalahan. Yang ada kuasa SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang kewibaannya masih dipertikaikan oleh parti-parti pembangkang. SPRM hanya boleh menasihati parti-parti politik berkaitan calon-calon yang dikemukakan sama ada ada kecurigaan atau tidak. Namun kuasa mutlak meletak calon ialah parti-parti politik.

Rakyat boleh menilai sendiri nama-nama calon yang bertanding. Namun nasihat daripada SPRM mungkin membantu rakyat dan parti-parti politik untuk memilih calon-calon yang benar-benar bersih daripada rasuah. Wallahualam!

1 comment:

barajiwa said...

Tukang jaga pintu, the gate-keeper diperlukan untuk mengawal sesiapa yang mahu memasuki halaman rumah. Umno Baru dibina, lengkap dengan pintunya. Ku Li dan gang tak dibenarkan masuk. Anak didik Kutty menggunapakai kaedah lama. Untuk upah yang bagus, apakah sdr Razali tak hingin jika diangkat sebagai si tukang jaga pintu?