Saturday, 5 May 2007

Sastera Indonesia Makin Menguncup

Tanggapan terhadap perkembangan kesusasteraan Indonesia oleh khalayak sastera di Malaysia, tidak seperti yang kita bayang dan jangkakan. Ianya sama sahaja dengan nasib yang dialami oleh kesusasteraan Melayu di sini. Kedua-duanya berada di dalam satu kapal yang terumbang ambing dipukul gelombang birokrat masing-masing.

Demikian diberitahu oleh Prof. H. Ajip Rosidi, sasterawan terkenal Indonesia di dalam sesi, ‘bual bicara bersama-sama tokoh’ di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini. Majlis yang bertajuk, ‘Pemasaran Sastera dan Budaya Indonesia di Peringkat Antrabangsa,’ dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Gapena, dihadiri hampir 100 orang sasterawan dan peminat sastera. Beliau ditemani oleh sdra. Hawe Setiawan yang merupakan seorang sasterawan muda Indonesia dan pengarang majalah Sunda ‘Cupumantik.’

Prof. Ajip Rosidi menegaskan, “bagaimana kita mahu berbicara tentang pemasaran sastera dan budaya Indonesia di peringkat antrabangsa, sedangkan di dalam negeri ianya semakin menguncup.”

“Kalau tiga puluh tahun dulu sesuatu judul buku itu bisa dicetak 5,000 naskah, kini sudah menurun menjadi 500 naskah sahaja,” tekannya dengan nada yang pesimis. “Seharusnya dengan pertambahan penduduk jumlah pembaca akan turut meningkat, tetapi fenomena ini menunjukkan sebaliknya.”

Beliau melahirkan rasa kecewanya kerana tidak sampai satu peratus dari sejumlah 220 juta orang rakyat Indonesia yang membaca karya sastera. Ini satu perkembangan yang sangat daif dan mengecewakan. Kalau begini keadaannya, bagaimana mungkin kita memasarkan sastera dan budaya Indonesia di peringkat antarabangsa, ujarnya.

Prof. H. Ajip Rosidi dilahirkan di Jatiwangi Majalengka, Jawa Barat pada 31 Januari 1938. Secara formalnya, beliau tidak tamat Sekolah Menengah Umum. Namun beliau telah menunjukkan bakat besarnya dalam bidang kesusasteraan Indonesia dan Sunda apabila pada usia 17 tahun telah menerbitkan bukunya berjudul, ‘Tahun-Tahun Kematian.’

Beliau pernah mengetuai media Suluh Pelajar (1953-1955), memimpin Majalah Sunda (1965-1967), dan majalah Budaya Jaya (1968-1979). Beliau juga telah menghasilkan lebih 100 judul karya sastera yang meliputi kumpulan sajak, cerpen, roman, drama, esei dan kritikan dalam bahasa Indonesia dan Sunda. Antara karya-karyanya ialah, Cari Muatan, Surat Cinta, Enday Rasidin, Jeram, Perjalanan Pengantin, Sajak-Sajak Anak Matahari, Ciung Wanara, Undang-Undang Hak Cipta, Lutung Kasarung, Mundinglaya Dikusumah dan Ciung Wanara.

Selama 22 tahun beliau terlibat sebagai guru besar di universiti bahasa asing di Osaka, Jepun. Di Jepun beliau telah berusaha memerkenalkan sastera dan budaya Indonesia di peringkat internasional. Pada tahun 1989 beliau telah mengwujudkan Hadiah Sastera Tahunan Rancage yang masih berterusan sehingga sekarang dan telah diambil alih oleh Yayasan Kebudayaan Rancage.

Menurut Dr. Urlich Kratz, Ajip adalah penyair dan cerpenis paling produktif. Sehingga tahun 1983, beliau telah menghasilkan sejumlah 326 judul karya yang tersiar dalam 22 buah majalah. Beliau juga telah beberapa kali menerima penghargaan antaranya Hadiah Sastera Nasional (1955-1956), Hadiah karya Prosa (1960), Hadiah Seni dari pemerintah Indonesia (1993) dan anugerah Kun Santo Zui Ho Sho dari pemerintah Jepun (1999).

Menurut Prof. Ajip lagi, di Indonesia pembelajaran kesusasteraan hanya sebagai tambahan kepada pelajaran bahasa. Anak-anak sekarang semakin jauh dari sastera. Perkembangan kesusateraan tidak mendapat sokongan dari pemerintah. Semakin hari semakin lesu bidang kesusasteraan Indonesia. Kita perlukan suatu mekanisma yang positif dan objektif untuk memperkasakan semula kesusasteraan ini.

Ketika menjawab komen Ketua Pengarah DBP Datuk Dr. Firdaus Abdullah, yang menyifatkan beliau terlalu pesimis di dalam pandangannya terhadap kesusasteraan, beliau dengan tegas menyatakan bahawa beliau tidak nampak ada cahaya di hujung terowong.

Beliau mengakui sekarang ini ada kebebasan penerbitan di Indonesia jika dibandingkan pada era Sukarno dan Suharto. Penerbit tidak perlukan lagi sebarang lesen untuk terbitkan akhbar, majalah atau makalah, seperti sebelum ini ianya dikawal oleh pemerintah. Kesannya ada yang negatif dan positif. Sehinggakan penerbitan majalah ‘Play Boy’ di Indonesia, pemerintahnya tidak punya kuasa untuk mengambil tindakan. Kalau ada yang bantah di Jakarta, penerbitnya akan terbitkan di Bali. Kalau di situ mendapat bantahan juga, mereka akan terbitkan pula di tempat lain. Ianya akan berterusan kerana tidak ada kawalan dari pemerintah.

“Masalahnya, kebebasan sudah dapat, akan tetapi bagaimana kebebasan itu mahu digunakan. Tidak ada ertinya kebebasan sekiranya ia memusnahkan moral dan budaya kita,” ujarnya penuh sinis.

No comments: