Saturday, 16 January 2010

Isu Kalimah ‘Allah.’ Jangan Semarakkam Sentimen Rakyat

Oleh RAZALI ENDUN


Isu kalimah ‘Allah’ sudah merebak menjadi tegang. Peristiwa membakar beberapa buah gereja di Lembah Kelang dan di tempat-tempat lain sangat-sangat mendukacitakan. Ianya tidak seharusnya berlaku sekiranya semua pihak sensitif dan menggunakan fikiran yang waras untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimah Allah ketika ini adalah akibat kegagalan pelbagai pihak menghidu kesan akibat yang akan berlaku daripadanya. Daripada pihak kerajaan, iaitu Kementerian Dalam Negeri, pihak gereja dan golongan Melayu/Islam yang membantah, seharusnya memikirkan kesan buruknya, bukan sekadar berkeras dan melayani emosi yang meluap-luap. Pihak-pihak lain tidak seharusnya meyemarakkan lagi sentimen rakyat dengan menggalakkan perhimpunan dan demonstarsi. Tindakan provokasi akan menyulitkan lagi penyelesaian masalah ini.

Isu yang berbangkit kelihatan mudah dan enteng. Ianya berkisar kepada penggunaan kalimah Allah dalam akhbar Herald-The Catholic Weekly, terbitan sebuah gereja di Lembah Kelang. Akhbar tersebut telah dilarang mengguna perkataan atau kalimah Allah dalam terbitan akhbarnya oleh Kementerian Dalam Negeri. Susulan daripada itu, pihak gereja melalui Bishop Roman Katholik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam telah mengemukakan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan telah memberi kebenaran kepada akhbar tersebut menggunakan kalimah Allah seperti alasan-alasan yang diberikan. Keputusan tersebut telah tidak dapat diterima oleh sebilangan umat Islam di negara ini.

Kita berasa amat pelik Kementerian Dalam Negeri yang di bawahnya terletak pasukan polis dan Special-Branchnya (SB) yang mempunyai kepakaran merisik, gagal menghidu kesan akibat yang mungkin berlaku hasil daripada keputusan mahkamah nanti. Isu yang dibawa ke mahkamah ada kaitannya dengan agama, dan agama selalunya dikaitkan oleh kerajaan sebagai salah satu perkara sensitif. Pihak Kementerian Dalam Negeri seharusnya berusaha menyelesaikan masalah tersebut pada peringkat awal lagi. Seharusnya KDN sudah mengadakan perbincangan secara telus dengan pihak gereja mencari jalan penyelesaian dan cuba mengelakkan isu tersebut dibawa ke mahkamah.

Pihak KDN seharusnya sudah dapat membayangkan akibat yang akan berlaku sekiranya keputusan mahkamah menyebelahi pihak gereja. Isu yang dibangkitkan ialah kalimah ‘Allah’ yang menjadi pegangan tauhid umat Islam. Sudah pasti umat Islam tidak akan bersetuju dengan keputusan seperti ini, walaupun daripada segi perundangan negara ianya harus dihormati. Sensitiviti awal inilah yang tidak ada pada Menteri Dalam Negeri, pegawai-pegawai dan SB-SBnya, sehingga menimbulkan kekecohan yang berlaku sekarang.


Kita tidak menafikan bahawa pihak gereja mempunyai haknya dari segi Perlembagaan Negara untuk memanjangkan perkara tersebut ke mahkamah. Perlembagaan Negara juga membenarkan agama-agama lain bebas mengamalkan kegiatan agama mereka, meskipun agama Islam diangkat sebagai agama rasmi. Atas asas itu juga mahkamah membuat keputusan. Akan tetapi, kebebasan itu tidaklah mutlak kerana agama-agama lain terikat dengan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama bukan Islam di kalangan orang Islam yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Enakmen ini telah diwartakan pada 1988.

Sayugia diingatkan, bahawa hal ehwal yang berkaitan dengan agama Islam adalah terletak di bawah kuasa Raja-Raja Melayu dan negeri-negeri. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, maka Yang diPertuan Agung adalah ketua agama bagi negeri-negeri berkenaan. Pihak gereja tidak seharusnya berkeras mahu terus menggunakan kalimah ‘Allah’ kerana dalam konteks agama Katolik, mereka tentu maklum tentang sensitiviti umat Islam yang keberatan menerima tuntutan mereka. Apabila pihak gereja berkeras dengan tuntutan mereka, maka ianya menimbulkan andaian adanya agenda di sebalik tuntutan itu. Ianya akan ditafsir sebagai, ‘lulus jarum, lulus kelindan.’ Gejala seperti ini membentuk sikap hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pegangan orang lain.

Reaksi spontan umat Islam terhadap keputusan mahkamah itu sesuatu yang boleh dijangkakan. Sudah pasti kalimah Allah yang menjadi pegangan tauhid dan aqidah umat Islam tidak rela disekutukan dengan agama lain seperti Katolik yang berfahaman trinity, iaitu kewujudan Tuhan bersifat tiga elemen iaitu bapa, anak dan roh. Ini bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam Islam Allah tidak beranak dan diperanakkan.

Ini ditegaskan di dalam Surah Al-Ikhlas ayat 1-4 yang bermaksud, ‘Katakanlah Wahai Muhamad, Dialah Allah Tuhan Yang Maha Esa. Allah tempat bergantung dan meminta sesuatu. Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya.’

Kalimah Allah adalah nama yang merujuk zat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza dengan nama-nama lain yang lazim dipakai.

Maka bantahan umat Islam itu meskipun wajar, tetapi harus berlandaskan undang-undang negara. Jangan pula ada pihak yang berkepentingan mengapi-apikan sehingga menimbulkan keadaan huru hara. Apa lagi apabila ada yang tidak dapat mengawal perasaan dengan bertindak di luar kewarasan dengan membakar gereja. Tindakan ini tidak menggambarkan ajaran Islam itu sendiri, malahan ianya perbuatan provokasi yang akan menjejaskan keharmonian perhubungan kaum dan agama yang telah sekian lama kita nikmati. Tidak akan berkesudahan sekiranya provokasi dibalas juga dengan provokasi.

Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana yang mungkin. Semakin lama dibiarkan, maka semakin panjang rentetan persoalannya. Semakin kusut dan sulit nanti untuk diselesaikan.

Justeru kerana itu semua pihak mesti kembali kepada realiti kehidupan masa kini. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Apa yang dibolehkan di negara lain, tidak semestinya sesuai dengan negara ini. Maka jalan penyelesaiannya ialah dengan semua pihak bertolak ansur demi kesejahteraan perpaduan rakyat di negara ini.

Saranan Datuk Clarence Bongkos Malakun, Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia supaya pihak akhbar Herald-The Catholic Weekly menggugurkan tuntutan dan menarik balik kes mahkamah, harus diberi pertimbangan yang wajar. Mahkamah tidak akan dapat menyelesaikan isu ini, malahan ianya akan bertambah rumit apabila sampai di peringkat yang lebih tinggi. Tentu sekali akan terjadi konflik di antara kuasa mahkamah dengan kuasa Raja-Raja Melayu nanti.

Sekiranya pihak gereja masih degil dan berkeras mahu meneruskan tuntutannya, maka tiada jalan lain lagi selain Majlis Raja-Raja Melayu dengan cepat dan tegas mencampuri isu ini untuk ditangani selaras dengan kuasa dan undang-undang yang sedia ada. Ketegasan Sultan Selangor menghalang kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam, seperti dilaporkan oleh media (BH 12 Jan 2010), adalah manifestasi rasa kecewa baginda terhadap isu yang dibangkitkan ini. Apakah arahan baginda ini boleh dianggap sebagai contempt atau ‘menghina mahkamah?’ Sudah mula terpercik konflik yang dibayangkan di atas tadi.

Kalau pihak akhbar berkenaan masih mahu meneruskan tuntutannya sehingga ke mahkamah yang lebih tinggi, maka mereka seharusnya sanggup menanggung risiko sekirannya berlaku pertelagahan yang lebih besar. Sudah sampai masanya pihak orang bukan Islam dan bukan Melayu menunjukkan toleransi mereka terhadap isu sensitif ini. Orang Melayu/Islam sudah banyak bertolak ansur demi menjaga perpaduan kaum di negara ini. Sudah dapat dibayangkan apa akan berlaku sekiranya keputusan mahkamah yang paling tinggi dalam negara ini tidak menyebelahi Kementerian Dalam Negeri dalam permohonan rayuan mereka. Tidak ada yang dapat dilakukan nanti apabila nasi sudah menjadi bubur.

Kita tidak mahu nanti KDN akan bermaharajalela pula menggunakan Akta ISA sebagai penyelesaiannya. Pastinya bagi KDN menggunakan ISA kaedah yang paling mudah. Atas apa alasan sekalipun, ISA tidak wajar digunakan kepada sesiapa sahaja untuk menyelesaikan masalah. Kita mempunyai Akta dan undang-undang yang mencukupi untuk mendakwa mereka yang disyaki bersalah di mahkamah.

Oleh hal yang demikian, KDN seharusnya berbincang dengan pihak akhbar berkenaan untuk mencari jalan bagi menyelesaikan isu ini di luar mahkamah. Perbincangan di luar mahkamah tidak menjejaskan proses mahkamah yang sedang berjalan. Inisiatif perlu dimulakan oleh KDN sendiri agar kemelut ini dapat diselesaikan pada kadar yang segera. Lebih lama dibiarkan akan lebih kusut jadinya. Semua pihak mesti memikirkan kesan buruknya, bukan soal menang atau kalah.

No comments: