Tuesday, 19 January 2010
Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke-18
Majlis penyampian Hadiah Sastera Perdana ke-18 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 18 Januari lalu merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada golongan sasterawan tanah air. Hadiah sastera ini dinilai setiap dua tahun sekali dan merupakan salah satu anugerah/hadiah sastera yang berprestij.
Penyampaian hadiah sastera kali ini merangkumi karya-karya yang terhasil dan diterbitkan bagi tempoh 2004/2005 dan 2006/2007. Majlis penyampian hadiah bagi tahun 2004/2005 sepatutnya diadakan pada tahun 2006, telah tidak diadakan kerana sebab-sebab yang tidak diketahui.
Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) telah mula diwujudkan pada tahun 1971 dengan nama Hadiah Karya Sastera. Nama ini diguna pakai sehingga 1976 apabila diberi penamaan semula. Pada tahun 1981-1995, hadiah ini dikenali sebagai Hadiah Sastera Malaysia. Bermula tahun penilaian 1996/97, hadiah ini dinaikkan taraf dan diberikan nama baru sesuai dengan prestij yang ditonjolkan. Semenjak itu ianya dikenali dengan nama Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka telah diberi mandat dan amanah oleh Kerajaaan Pusat untuk menyelenggarakan hadiah sastera ini.
HSPM merupakan hasil penilaian karya sastera yang diterbitkan dalam bentuk buku dan karya eceran yang telah disiarkan dalam akhbar, majalah, jurnal dan buku, atau karya yang dipentaskan, (bagi skrip drama); dalam tempoh penilaian iaitu setiap dua tahun sekali. Ianya dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, A,B dan C.
Kategori A terbitan berbentuk buku seperti novel, kumpulan cerpen, puisi, drama, esei/kritikan sastera, kajian sastera dan biografi/autobiografi. Hadiah yang disediakan untuk setiap kategori ini ialah RM 10,000.00. Kategori B merupakan karya eceran seperti puisi, cerpen, esei sastera dan drama. Hadiah untuk kategori ini sebanyak RM 1,000 setiap satu. Manakala hadiah untuk kategori C sebanyak RM 5,000 setiap satu bagi genre novel remaja, kumpulan cerpen, puisi dan drama remaja. Kumpulan novel, cerpen, puisi dan drama kanak-kanak juga tergolong dalam kategori ini.
Di antara penerima hadiah utama pada Majlis Penyampian HSPM kali ini ialah mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari, Faisal Tehrani, SN Arenawati dan SN Muhamad Hj. Salleh. Said Zahari memenangi dalam kategori biografi/autobiografi berjudul, ‘Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari,’ terbitan Utusan Publications & Distributions.
Faisal Tehrani memenangi dua hadiah utama dalam kategori novel iaitu, ‘Bedar Sukma Rindu,’ dan ‘Manikam Kalbu,’ memenangi kategori Novel Remaja. SN Arenawati berjaya dengan novelnya, ‘Armageddon Jilid 1: Mandala,’ terbitan UKM. SN Muhamad Hj Salleh dinobatkan hasil karyanya dalam Kumpulan Puisinya bertajuk, ‘Salju Shibuya,’ yang diterbitkan oleh DBP. Manakala Azizi Hj. Abdullah memenangi dalam kategori eceran apabila dua buah cerpennya bertajuk, ‘Sangeeta dan Jusoh, Aku pun Nak ke Sana,’ yang disiarkan oleh Dewan Sastera.
Hadiah-hadiah utama telah disampaikan oleh Tan Sri Mahyuddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Dalam ucapannya Tan Sri Mahyuddin telah mencadangkan supaya penyampaian hadiah ini dibuat setiap tahun, memandangkan terlalu banyak karya yang dihasilkan untuk dinilai. Dengan adanya penyampaian hadiah setiap tahun maka penilaiannya boleh dibuat dengan lebih teliti dan saksama.
Beliau juga telah mensyorkan supaya para sasterawan merebut peluang peruntukan sebanyak RM 200 juta yang disediakan oleh kerajaan untuk kegiatan seni. Sayangnya peruntukan itu tidak dikhususkan untuk kegiatan bahasa dan sastera Melayu, sebaliknya untuk bidang kesenian lain seperi animasi, filem dan drama. Ini terbukti apabila beliau menyarankan supaya karya-karya sastera diadaptasi ke filem untuk mendapatkan peruntukan ini.
Namun demikian, saranan beliau untuk diadakan majlis penyampian hadiah ini setiap tahun adalah satu cadangan yang baik. Akan tetapi beberapa kekangan birokrasi seharusnya diselesaikan terlebih dahulu agar hasrat beliau dapat disempurnakan sebaik mungkin. Persoalan peruntukan untuk majlis ini perlu diambil kira, kerana DBP dikhabarkan di dalam kesulitan kewangan kerana peruntukan untuknya bagi 2010 telah dipotong sebanyak RM 30 juta.
Untuk mendapatkan orang kenamaan menyampaikan hadiah-hadiah ini juga sesuatu yang merumitkan. HSPM bagi tahun 2004/05 tidak dapat diadakan kerana khabarnya sukar untuk mendapatkan orang kenamaan untuk hadir pada majlis ini. Pemimpin kerajaan seharusnya memberi keutamaan pada majlis-majlis seperti ini sebagai penghargaan mereka pada bidang sastera.
Selain itu ianya juga melibatkan pengurusan dan pengendalian yang amat merumitkan sekiranya diadakan setiap tahun. Sudah sampai masanya DBP mengwujudkan sebuah jabatan baru dengan melantik seorang Ketua Jabatan yang bertanggungjawab terhadap pengumpulan, pembacaan dan penelitian semua karya yang diterbitkan dalam mana-mana penerbitan.
Setelah disusun atau dijilid mengikut kategori masing-masing, ianya diserahkan kepada panel penilai. Panel penilai, kalau boleh bertugas sepenuh masa. DBP tidak seharusnya menunggu karya-karya itu dihantar oleh penulis atau penerbit kerana ada kemungkinan mereka terlepas pandang dan tidak peka. Masih banyak lagi karya-karya sastera yang bermutu yang tidak dihantar untuk dinilai oleh panel penilai HSPM. Selain itu jumlah hadiahnya harus dinaikkan sesuai dengan peningkatan hidup masa kini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment